Tuesday, January 1, 2013

Keadilan untuk mangsa rogol



Seorang gadis melaungkan desakan supaya hak perlindungan ke atas wanita dipertingkatkan, semasa satu bantahan di New Delhi, India, semalam. - AGENSI
NEW DELHI 31 Dis. - Keluarga mangsa rogol pelajar perubatan India menegaskan, mereka tidak berdiam diri selagi kesemua pelaku kes itu tidak menerima hukuman gantung atas jenayah yang dilakukan.
Dalam satu wawancara bersama akhbar The Indian Express yang disiarkan hari ini, abang mangsa berkata, walaupun adiknya telah meninggal dunia, dia dan keluarganya tidak akan berhenti berjuang untuk mendapatkan keadilan bagi mangsa.
"Perjuangan baru sahaja bermula. Kami mahu semua tertuduh digantung sampai mati dan kami akan berjuang habis-habisan," katanya.
Enam orang tertuduh didakwa atas kesalahan membunuh selepas merogol secara bergilir-gilir pelajar perubatan tersebut di dalam sebuah bas di New Delhi pada 16 Disember lalu.
Pelajar itu yang tidak didedahkan namanya, dijadual melangsungkan perkahwinan pada Februari ini dan tragedi terbabit telah mencetuskan rusuhan di seluruh India untuk menuntut undang-undang yang lebih tegas dilaksanakan.
Bapa mangsa berkata, anak lelakinya itu mungkin akan menderita sepanjang hayatnya selepas kehilangan adik kesayangan dalam kejadian yang menyayat hati.
"Isteri saya turut diselubungi kesedihan yang amat sangat dan dia tidak berselera untuk makan sejak dua minggu lalu.
"Dia sangat letih dan tidak dapat menerima hakikat kematian anak perempuan kami," katanya.
Sementara itu, parti pemerintah, Kongres India Nasional (INC), dilapor mengusulkan agar satu hukuman yang lebih berat dilaksanakan terhadap pelaku jenayah seks, termasuk mengasi secara kimia.
Pihak berkuasa di New Delhi juga dilapor melancarkan satu talian kecemasan untuk mempertingkatkan tahap keselamatan bagi wanita di bandar raya ini. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130101/lu_01/Keadilan-untuk-mangsa-rogol#ixzz2GjmX3JjF
© Utusan Melayu (M) Bhd 

1,056 tentera Afghanistan terkorban sepanjang tahun ini



KABUL 31 Dis. - Seramai 1,056 tentera Afghanistan terbunuh dalam pelbagai serangan sepanjang tahun ini, lapor Kementerian Pertahanan.
Menurut jurucakap Kementerian, Zahir Azimi, berdasarkan laporan, lebih 75 peratus Tentera Kebangsaan Afghan terbunuh dalam serangan termasuk dalam serangan letupan darat dan juga serangan bom jalanan.
"Tentera kami mudah terdedah dengan serangan darat berbanding tentera luar yang memiliki peralatan yang lebih canggih," katanya. - DPA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121231/lu_10/1056-tentera-Afghanistan-terkorban-sepanjang-tahun-ini#ixzz2GjmOylxX
© Utusan Melayu (M) Bhd 

11 terbunuh dalam dua serangan di Iraq



BAGHDAD 1 Jan. - Sekurang-kurangnya 11 orang maut semalam dalam dua serangan berasingan di negara ini selepas pihak berkuasa meningkatkan kawalan keselamatan.
Dalam serangan pertama di selatan negara di bandar Hilla, tujuh orang terbunuh dan empat lagi cedera apabila seorang lelaki bersenjata meletupkan tiga buah rumah.
Dalam serangan kedua, di Kirkuk, utara negara ini pula, tiga orang polis terkorban dan tujuh yang lagi mengalami kecederaan. - DPA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130101/lu_10/11-terbunuh-dalam-dua-serangan-di-Iraq#ixzz2Gjm5nUa2
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Nik Aziz: 'Saya juga layak muncul di TV'



ROSALWANI CHE SOH
1 Januari 2013
Nik Aziz: 'Saya juga layak muncul di TV'
Nik Aziz (dua kiri) meninjau keadaan kawasan hakisan di Pulau Gorek, Badang bersama Ketua jajahan Kota Bharu, Adnan Hussin (kiri).
KOTA BHARU - Di sebalik isu Datuk Seri Abdul Hadi Awang mahu muncul dalam televisyen berhubung isu Amanat Haji Hadi, Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pula berkata, beliau juga layak untuk bercakap menerusi media elektronik bagi memberi penjelasan tentang perjuangan Pas.

Bagi tujuan itu, beliau bersedia bila-bila masa bagi menerangkan perjuangan sebenar Pas yang menurut parti itu kini disalahertikan oleh pelbagai pihak.

“Kita sebagai umat Nabi Muhammad SAW wajib menyebarkan kebenaran kepada setiap umat di dunia tidak kira Islam atau sebaliknya, jadi sesungguhnya sebagai negara demokrasi kerajaan perlu memberi peluang kepada Pas untuk memberi penjelasan kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke kawasan hakisan ombak di Kampung Pulau Gorek, Badang di sini, pagi ini.

Baru-baru ini, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang, menyatakan kesediaannya muncul dalam televisyen bagi menjawab apa jua soalan yang dikemukakan semasa sesi penjelasan isu Amanat Haji Hadi menerusi siaran langsung televisyen RTM dan TV3 yang dimintanya.

Namun dalam timbal balas yang diterima, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim dalam kenyataan berkata, pihaknya tiada masalah untuk menyiarkan penjelasan Abdul Hadi namun ia perlu dibuat secara rakaman dan bergantung terhadap pertimbangan RTM sama ada sesuai dijadikan bahan berita atau sebaliknya.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, dalam isu penyiaran terbabit, seharusnya sebagai kerajaan yang ditadbir oleh pemimpin beragama Islam, pihak terbabit perlu memberi peluang sama rata dan adil bagi menegakkan kebenaran.

“Saya menyokong penuh kewibawaan Hadi yang bersedia menjelaskan amanatnya di televisyen, namun ia perlu disiarkan secara langsung dan bukannya rakaman seperti kenyataan Rais.

“Susah apa jika disiarkan secara langsung, negeri kita demokrasi, harta benda kerajaan menjadi hak semua jika cukup umur. Dia (Hadi) merupakan lulusan universiti, pernah jadi wakil rakyat dan Menteri Besar Terengganu, jadi beliau mempunyai hak untuk bersuara,” katanya.

Nik Aziz berkata, adalah sesuatu yang  menyedihkan apabila isu demikian gagal diselesaikan oleh bangsa Melayu-Islam sendiri sekali gus membantut usaha untuk berdakwa kepada bangsa lain.

“Perkara ini perlu difikirkan secara rasional dan sebagai negara demokrasi kita juga berhak bersuara, jangan jadi seperti negara diktator,” katanya.

2013: Nik Aziz harap rakyat runtuh kezaliman



ROSMIZA KASIM
1 Januari 2013
Nik Aziz
Nik Aziz
KOTA BHARU - Tahun 2013 yang bermula hari ini menjadi angka amat penting kepada rakyat di negara ini kerana bukan sahaja menyambut tahun baru bahkan berlakunya Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Sehubungan itu Menteri Besar Kelantan,  DatukNik Abdul Aziz Nik Mat mengharapkan rakyat menggunakan hak untuk memilih dengan sebaik-baiknya.

Menurutnya, jangan membuat pilihan yang akan menyebabkan penyesalan di akhirat dan yakinlah setiap anggota badan termasuk tangan individu mengundi akan menjadi saksi terhadap amalan manusia di padang Mahsyar.

“Sempena kedatangan tahun baru 2013 ini, saya meminta semua pihak agar memperbaharui tekad untuk meruntuhkan kezaliman dan menggantikannya dengan keadilan.

“Perlihatkan keindahan Islam di dalam kehidupan di segenap sudut agar ia dipandang tinggi oleh orang lain. Saya optimis masa depan yang cerah untuk Islam di seluruh pelosok dunia Insya-Allah,”  katanya menerusi Facebooknya semalam.

Selain itu,  Nik Aziz yang juga Mursyidul Am Pas memberitahu harapan setiap harinya adalah untuk melihat tertegaknya Islam sebagai agama yang syumul di bumi Malaysia.

“Sudah terlalu lama sekular berakar umbi dalam politik sehingga mengakibatkan kerosakan yang dahsyat. Jika dibiarkan berterusan, Melayu pun tidak terbela, Islam pun entah ke mana,” katanya.

Dalam pada itu, sempena tahun baru juga beliau mendoakan semoga semua terus diberikan hidayah dan taufik oleh ALLAH SWT dan dimasukkan dalam golongan hamba-hamba yang beriman.

Israel culik 900 budak pada 2012




1 Januari 2013
Israel culik 900 budak pada 2012
Askar Israel turut menggari dan menutup mata remaja yang diculik sebelum mereka dibawa ke pusat soal siasat di kawasan penempatan haram.
Israel culik 900 budak pada 2012
Askar Israel turut menggari dan menutup mata remaja yang diculik sebelum mereka dibawa ke pusat soal siasat di kawasan penempatan haram.
Kementerian Tahanan Penjara Palestin melaporkan jumlah kanak-kanak diculik mencecah 900 orang pada 2012 berbanding 700 pada tahun sebelumnya, sekali gus membuktikan pencabulan Israel ke atas golongan lemah di negara itu semakin meningkat.

Menurut kementerian tersebut, peningkatan angka tersebut mungkin kerana faktor Perang Israel-Palestin pada bulan lalu dan kejayaan mereka menaik taraf status sebagai negara pemerhati bukan anggota di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Susulan daripada detik bersejarah itu, tentera Israel didakwa sengaja menyasarkan golongan remaja dan kanak-kanak Palestin.

Sebanyak 95 peratus budak yang diculik didakwa turut didera secara fizikal.

Kebanyakan daripada mereka diculik dari rumah masing-masing antara jam 2 dan 4 pagi iaitu semasa remaja atau kanak-kanak tersebut sedang nyenyak tidur bersama keluarga mereka.

Tentera Israel sewenang-wenangnya memecah masuk ke rumah penduduk Palestin dan merosakkan perabot dan barangan lain semasa serbuan tanpa waran itu dilakukan.

Askar rejim Zionis juga memukul ahli keluarga yang cuba untuk menyelamatkan mereka.

Dalam kebanyakan kes, ketika dalam perjalanan menuju ke pusat tahanan, askar tidak berperikemanusiaan ini akan memukul dan menendang remaja dan kanak-kanak itu tanpa belas kasihan.

Ada juga yang sengaja mahu menakut-nakutkan mereka dengan melepaskan tembakan peluru hidup dan bom tangan.   

Di pusat soal siasat itu, mereka akan dipukul dan diseksa secara berterusan sehingga budak tersebut membuka mulut dan memberi maklumat yang diperlukan oleh askar Israel.

Mereka diperlakukan dengan kejam dan ada yang dipaksa berdiri di tengah panas dan semasa hujan lebat selama beberapa jam.

Kementerian itu mendakwa ada juga penyiasat rejim Zionis yang menggunakan kekerasan seperti alat renjatan elektrik dan memaksa kanak-kanak atau remaja tersebut minum air mendidih sama seperti dilakukan ke atas Nassar Aref Jaradat, 16, yang berasal dari Sair berhampiran bandar Hebron di Tebing Barat.

Nassar diculik pada 2 Februari 2010 dan dibawa ke kem tentera Etzion, di mana dia didera secara melampau hingga tidak sedarkan diri.

Difahamkan, kebanyakan mangsa culik dibawa ke pusat soal siasat rahsia di penempatan haram Israel di Keryat Arba, Maaleh Adumin, Dan Shomron dan beberapa kawasan lain yang tidak diketahui oleh Palang Merah Antarabangsa.

Sehingga kini, seramai 140 kanak-kanak masih disoal siasat dan menanti untuk dibicarakan termasuk 32 budak di bawah umur 16 tahun.
Sama seperti tahanan dewasa Palestin, golongan itu juga tidak mendapat hak asas dan jaminan yang terkandung dalam perlindungan antarabangsa hak asasi manusia.

Peguam dan keluarga 'tahanan' kecil tersebut tidak diberikan sebarang maklumat mengenai lokasi dan sebab mereka ditahan. 

Tindakan rejim Zionis itu jelas menunjukkan mereka sengaja melanggar undang-undang antarabangsa terutamanya berhubung perlindungan kanak-kanak.

Mereka sesuka hati menggunakan kuasa berdasarkan Perintah Tentera #132 membenarkan askar menculik dan menyoal siasatan budak Palestin yang telah mencecah umur 12 tahun.

Jika dilihat semasa perang Israel-Palestin yang berlangsung selama lapan hari pada November lalu, kebanyakan mangsa terkorban adalah budak dan bayi.

Tahun 2012 sudah melabuhkan tirai, namun adakah kekejaman ke atas golongan lemah itu akan berakhir pada tahun ini? - IMEMC

Brahimi umum pelan damai baru Syria




1 Januari 2013
Hospital Dar al-Shifa
Hospital Dar al-Shifa antara bangunan yang musnah dalam serangan udara di Aleppo pada bulan lalu. Foto: AP
KAHERAH - Wakil Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Liga Arab, Lakhdar Brahimi, kelmarin mengumumkan pelan damai baru Syria yang didakwa akan disokong negara antarabangsa termasuk Rusia, sekutu negara bergolak itu.

Brahimi membuat pengumuman itu selepas Rusia dilaporkan menghantar kapal perang ketiga mereka ke pangkalan tentera laut di Pelabuhan Tartus di Syria.

Semasa sidang media di Kaherah, Brahimi memberitahu beliau telah merangka pelan gencatan senjata yang mungkin boleh diguna pakai untuk meredakan ketegangan di Syria berikutan keadaan di negara itu kini berada pada tahap membimbangkan.

"Saya sudah berbincang dengan Rusia dan Syria berhubung pelan tersebut. Saya yakin cadangan itu akan menerima reaksi positif masyarakat antarabangsa.

Ia juga mengandungi cadangan penyelesaian politik berdasarkan Konvensyen Geneva," jelasnya lagi.

Sehingga kini, seramai 45,000 orang telah terkorban akibat konflik berterusan di Syria sejak lebih 20 bulan lalu. - AFP

Iran lancar ‘perang siber’

TEHERAN: Tentera Iran menjalankan apa yang digelar sebagai latihan perang siber untuk kali pertama ketika unit tentera laut Republik Islam itu menggerakkan ‘serangan’ di Selat Hormuz, lapor media semalam.
Memetik pegawai kanan Tentera Laut Iran, Laksamana Amir Rastegari, akhbar harian berbahasa Inggeris negara itu melaporkan, serangan disasarkan ke atas rangkaian komputer pasukan pertahanan dalam usaha menerobos rangkaian berkenaan.

“Serangan juga dibuat dengan matlamat menggodam maklumat atau menyebarkan virus,” katanya. Menurut Amir, serangan siber itu berjaya dikesan dan dihalang. Sejak tiga tahun lalu, kemudahan perindustrian Iran, termasuk loji minyak dan nuklear serta rangkaian komunikasi dan sistem perbankan menjadi sasaran serangan siber.
Teheran menyalahkan Amerika Syarikat dan Israel atas serangan berkenaan. Menurut Teheran, kerajaan menubuhkan unit siber tentera dan awam bagi mengatasi serangan berkenaan. Unit tentera laut Pengawal Revolusi bekerjasama dalam latihan ketenteraan di Selat Hormuz serta Teluk Oman sejak minggu lalu. Pegawai tentera Iran berkata, latihan itu bertujuan mempamerkan kemampuan pertahanan tentera laut negara itu serta menyampai mesej keamanan serta persahabatan kepada negara serantau. Menurut media, beberapa kapal selam mengambil bahagian dalam latihan yang turut menguji sejumlah peluru berpandu itu. Bagaimanapun, tentera mendakwa, latihan itu bukan bertujuan menutup Selat Hormuz yang menjadi laluan strategik kepada perdagangan petroleum seluruh dunia. - AFP

Pasrah walaupun banglo diroboh

Kosmo! Online - Negara:




lokasi rumah Jamaluddin (dalam bulatan di kiri) dan Zulhasnan (kanan) yang akan dirobohkan.



KUALA LUMPUR – Dua bekas menteri Kabinet terpaksa menyambut kedatangan tahun baru 2013 dengan berita sedih apabila banglo mereka di Puncak Setiawangsa di sini yang berdepan insiden tanah runtuh baru-baru ini disahkan tidak selamat dan terpaksa dirobohkan.
Mereka ialah Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Dr. Jamaludin Jarjis dan Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Seri Zulhasnan Rafique.
Jamaluddin pernah memegang jawatan sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi manakala Zulhasnan Rafique pernah menjadi Menteri Wilayah Persekutuan.
Ketua Pegawai Operasi Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram), Mohd. Taufik Harun berkata, keputusan untuk merobohkan banglo mereka dibuat kerana struktur tanah di kawasan itu tidak selamat.
Beliau berkata, langkah itu juga bertujuan memberi ruang kepada zon penampan antara tebing runtuh dan rumah-rumah berhampiran.
Menurutnya, sebanyak tujuh buah rumah yang terletak di Jalan Puncak Setiawangsa 2 dikesan mengalami keretakan yang boleh mengundang bahaya.
“Kita sedang cuba untuk menyelamatkan tiga atau empat buah rumah di kawasan itu termasuk rumah dua ahli parlimen berkenaan.
“Bagaimanapun, semua itu bergantung pada keadaan dan jika perlu untuk dirobohkan, kita terpaksa melakukannya demi menjaga keselamatan penduduk yang lain,” katanya ketika ditemui di lokasi tanah runtuh di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0101&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz2GhN0BiME 
Hakcipta terpelihara 

'via Blog this'