Friday, November 12, 2010

Melayu Pulau Pinang bakal hidup melarat


Oleh Fazli Abdullah 
fazliabdullah@bharian.com.my
2010/11/12

Pemilikan tanah hanya tinggal 20.41 peratus 

GEORGETOWN: Pemilikan tanah orang Melayu di Pulau Pinang kini hanya tinggal 20.41 peratus, meskipun kaum itu mewakili 44.89 peratus daripada jumlah penduduk negeri ini.Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Betong daripada UMNO, Muhammad Farid Saad, berkata lebih membimbangkan, Daerah Timur Laut iaitu kawasan paling pesat membangun di Pulau Pinang, tanah milikan Melayu hanya 1.16 peratus.
Katanya, kajian UMNO Pulau Pinang juga mendapati ada 60 perkampungan Melayu yang mempunyai 7,000 penghuni dibina di atas tanah orang lain. 

“Berikutan itu, penduduk bakal kehilangan tempat tinggal pada bila-bila masa,” katanya pada forum bertajuk Penghakisan Tanah Melayu Pulau Pinang anjuran Yayasan Bina Ilmu Pulau Pinang di sini, kelmarin. 

Farid adalah salah seorang daripada empat ahli panel forum berkenaan, selain Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG), Datuk Seri Mohd Yusoff Latiff; Ahli Parlimen Parit Buntar daripada PAS, Dr Mujahid Yusuff Rawa dan Presiden TERAS Malaysia, Mohd Azmi Abdul Hamid. 

Forum yang menggabungkan parti politik tanpa mengira fahaman dan pertubuhan bukan kerajaan untuk mencari jalan bagi menangani isu penghakisan tanah milikan Melayu, dikendalikan Pensyarah Universiti Sains Malaysia, Prof Amir Hussain Baharuddin. 
Pada sesi soal jawab forum itu, seorang peserta mencadangkan supaya satu fatwa dikeluarkan bagi memastikan tanah milikan Melayu di Pulau Pinang tidak terlepas ke tangan bukan Islam. 

Mengulas cadangan itu, Farid melihat perkara berkenaan secara positif dan sesuatu yang wajar jika keadaan benar-benar memerlukan. 

“Jika berlaku pertukaran milikan tanah yang boleh menyebabkan tiada lagi orang Melayu di sesuatu kawasan sehingga membawa kepada solat Jumaat tidak boleh didirikan kerana tidak cukup jemaah, ia wajar dilakukan,” katanya. 

Mujahid, yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang turut bersetuju jika ada fatwa sedemikian, tetapi ia bukan satu jaminan orang Melayu tidak menjual tanah kepada bukan Islam. 

“(Kalau ada) fatwa pun boleh berlaku (pertukaran milikan tanah kepada bukan Islam) juga,” katanya sambil menjelaskan faktor tawaran harga lumayan memainkan peranan penting dalam urusan jual beli tanah. 

Azmi pula berpandangan, masalah itu memerlukan komitmen yang lebih kerana jika diwujudkan fatwa sekali pun, urusan penjualan tanah kepada bukan Islam akan terus berlaku. 

Pekerja kilang buta, melecur disimbah asid




KUALA LUMPUR – Seorang pekerja kilang buta dan melecur hampir seluruh badan sejak setahun lalu akibat disimbah asid, tetapi yang lebih menyedihkan, perbuatan itu dilakukan ahli keluarga sendiri. 

Mangsa, Azri Abdullah, 42, berkata, kejadian berlaku 22 Disember tahun lalu di rumah ibunya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang, iaitu kira-kira tiga bulan selepas kematian bapanya. 

Menurutnya, sebelum kejadian, dia pergi ke rumah ibunya untuk mengambil salinan asal geran motor milik arwah bapanya kerana mahu memperbaharui cukai jalan kenderaan itu. 

Katanya, sebaik tiba di rumah, dia mendapati pintu dan tingkap rumah berkunci, malah ibu dan adik-beradiknya tidak menyahut panggilannya. 

“Mereka enggan buka pintu, jadi saya cuba intai melalui lubang dinding rumah dan dapati emak serta semua adik-beradik saya berada dalam rumah.

“Saya panggil mereka, tapi mereka buat tak tahu. Saya nampak seseorang pegang bekas kecil dan terus simbah melalui lubang tempat saya mengintai,” katanya pada sidang akhbar di Wisma MCA, semalam. 

Azri berkata, mata dan mukanya berasa panas dan sakit apabila terkena cecair itu, sebelum menjerit meminta bantuan ibu dan adik-beradiknya. 

“Mereka tidak peduli, menyebabkan saya terpaksa mendapatkan bantuan daripada ibu saudara yang tinggal berdekatan. Saya tidak sedarkan diri dan dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya,” katanya. 

Menurutnya, dia koma selepas kejadian dan dipindahkan ke tiga hospital dan terbaru di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan. 

“Hampir 11 bulan saya menanggung kesakitan ini. Saya sukar bernafas, harapan untuk kedua-dua mata pulih juga tipis. Lebih menyedihkan, sepanjang terlantar sakit, tidak sekalipun ibu atau adik-beradik datang bertanya khabar,” katanya dalam nada sebak. : 

Ketika ditanya, kenapa ada orang sanggup bertindak kejam terhadapnya, Azri berkata, dia sendiri tidak mengetahui punca sebenar, namun tidak menafikan ada yang mungkin berdendam atau tidak berpuas hati terhadap tegurannya. 

Azri, adalah anak sulung daripada enam beradik dan sejak kematian bapanya dia bertindak sebagai ketua keluarga dan kerap menegur kelakuan adiknya. 

“Biar apa pun layanan adik-beradik terhadap Azri, Azri tetap sayang dan maafkan mereka. Azri redha dan sangat rindukan mereka,” katanya teresak-esak.

Dua anggota polis lepaskan tembakan



SHAH ALAM – Dua anggota polis melepaskan tembakan pada malam kejadian kejar dan tembak kereta Aminulrasyid Amzah di Seksyen 11, di sini, April lalu. 

Pegawai Penyiasat Forensik polis, Cif Inspektor Mazli Jusoh @ Che Kob berkata, beliau diberitahu mengenai perkara itu dalam siasatan lanjut kes terbabit dua hari selepas kejadian. 

Menurutnya, beliau menyiasat arah tembakan itu dilepaskan dengan mencari serpihan dan anak peluru bermula dari Bulatan Kayangan hingga ke Jalan Tarian 11/2G iaitu tempat mengikut pertuduhan Koperal Jenain Subi didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid. 

Jenain, 48, dituduh menyebabkan kematian mangsa, 15, di jalan itu antara jam 1.10 dan 2 pagi, 26 April lalu. 

Sebelum ini, keterangan pakar kimia senjata api, Shaari Desa mengesahkan tembakan dilepas dua sub-mesingan Heckler & Koch MP5 didaftarkan atas nama Jenain dan seorang lagi anggota peronda pada malam kejadian itu, Konstabel Mohd Izham Mahayadin. 

Menurut pakar itu, sebanyak 13 kelongsong peluru yang dianalisis sepadan dengan senjata digunakan Jenain pada malam kejadian manakala tiga lagi kelongsong peluru yang dikatakan ditemui di sekitar jalan antara Bulatan Kayangan ke Jalan Tarian pula sepadan dengan senjata yang digunakan Mohd Izham.: 

Dalam sambung bicara semalam, Mazli, 32, semasa pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Dusuki Mokhtar berkata, setelah melakukan pencarian dari Bulatan Kayangan hingga ke Jalan Tarian, beliau menjumpai sejumlah 15 kelongsong peluru manakala dua serpihan anak peluru bertaburan antaranya atas jalan tar, dalam longkang, atas rumput dan tepi jalan. 

Menurut Mazli, maklumat awal dalam siasatannya mengatakan, pelajar tingkatan tiga berkenaan ditembak kerana dikatakan cuba melanggar polis secara mengundurkan keretanya setelah terbabas dalam kejadian kejar itu. 

Oleh itu siasatan awal tertumpu di lokasi kereta Aminulrasyid terbabas melanggar pokok di Jalan Makyong.

Penggunaan Facebook, YouTube dalam tugasan media masih rendah


12/11/2010 3:41pm

PETALING JAYA 12 Nov. - Penggunaan Facebook dan YouTube dalam tugas pengamal media masih rendah walaupun populariti laman sosial itu di kalangan masyarakat kian melonjak, demikian menurut kajian yang dijalankan sebuah syarikat perhubungan awam dan universiti tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Intelectasia, Manminder Kaur Dhillon berkata, hasil kaji selidik bersama Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu mendapati blog menjadi pilihan popular pengamal media sebagai alternatif bagi memperoleh pandangan berbeza mengenai sesuatu isu.
Beliau berkata, penggunaan blog terserlah apabila 68 peratus daripada 442 wartawan dan editor daripada 27 agensi berita yang ditemubual menyatakan mereka membaca lebih tiga kali atau secara kerap berita-berita dalam laman blog bagi mendapatkan pandangan alternatif mengenai sesuatu isu yang dilaporkan.
“Biarpun laman sosial seperti YouTube dan Facebook meningkat penggunaannya namun pengaplikasiannya dalam tugasan profesional di kalangan pengamal media (wartawan dan editor) di Malaysia masih rendah.
“Hanya 37.8 peratus daripada 442 wartawan dan editor yang menyertai kaji selidik menyatakan mereka menggunakan laman sosial Facebook untuk tujuan profesional manakala separuh daripada responden iaitu 50.4 peratus memberitahu mereka tidak kerap menggunakan YouTube,” katanya ketika membentangkan hasil kajiannya bertajuk ”Kaji Selidik Amalan Perhubungan Media 2010 di sini, hari ini. - Bernama

Dera amah: 7 Januari untuk dengar rayuan ibu tunggal


12/11/2010 4:47pm

KUALA LUMPUR 12 Nov. - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 7 Januari depan untuk mendengar rayuan seorang ibu tunggal yang dijatuhi hukuman penjara lapan tahun pada Mei lepas kerana mendera pembantu rumahnya warga Indonesia.
Hakim Datuk Ghazali Cha menetapkan tarikh itu untuk mendengar rayuan Hau Yuan Tyng terhadap sabitan kesalahan dan hukuman oleh Mahkamah Tinggi pada 20 Mei.
Yuan Tyng, 44, ibu dua anak, didapati bersalah atas dua pertuduhan menyebabkan cedera parah terhadap Siti Hajar Sadli, 34, dan dijatuhi hukuman penjara empat tahun bagi setiap pertuduhan oleh Hakim S.M. Komathy Suppiah.
Komathy memerintahkan supaya hukuman berjalan serentak.
Beliau turut menjatuhkan hukuman penjara enam bulan bagi pertuduhan ketiga iaitu menyebabkan kecederaan supaya dijalankan serentak dan memerintahkan Yuan Tyng membayar ganti rugi RM5,000 kepada Siti Hajar. - Bernama

Guan Eng arah henti kerja landasan berkembar, bimbang banjir


12/11/2010 5:42pm

GEORGETOWN 12 Nov. - Kerajaan DAP Pulau Pinang hari ini mengarahkan MMC Corporation Berhad-Gamuda Berhad (MMC-Gamuda JV) memberhentikan dengan segera kerja projek landasan kereta api berkembar Ipoh ke Padang Besar melibatkan tanah di negeri itu bagi mengelak banjir.
Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata, mesyuarat exco kerajaan negeri pagi tadi membuat keputusan agar kerja projek itu dihentikan sehingga syarat baru yang ditetapkan oleh kerajaan negeri dipenuhi.
Bercakap kepada pemberita di sini, beliau berkata, kerajaan negeri meminta MMC-Gamuda JV bersedia untuk memecahkan apa-apa landasan yang dibina supaya air tidak akan bertakung dan bertanggungjawab untuk menanggung segala kos kewangan akibat banjir.
"Kami berharap MMC-Gamuda JV dapat memberikan satu jaminan bertulis kepada pihak kerajaan negeri untuk memenuhi dua syarat baru yang ditetapkan,” katanya.
Guan Eng berkata, arahan henti kerja itu akan berkuatkuasa dengan serta merta dan wakil daripada MMC-Gamuda JV seharusnya berjumpa dengan wakil kerajaan negeri untuk berbincang tentang syarat baru itu. - Bernama

Menteri Komunikasi Indonesia dikecam


PETIKAN video jelas menunjukkan Tufatul Sembiring bersalaman dengan Michelle Obama di Jakarta, kelmarin. - AP


JAKARTA 11 Nov. - Media dan blog-blog Indonesia hari ini dipenuhi dengan kecaman terhadap seorang menteri konservatif yang meluahkan rasa malunya selepas berjabat tangan dengan Wanita Pertama Amerika Syarikat (AS), Michelle Obama.
Pengkritik-pengkritik menuduh menteri itu menipu tentang insiden 'berjabat tangan' itu dan memalukan negara yang dihuni oleh majoriti penganut Islam ini, yang disifatkan oleh Presiden AS, Barack Obama sebagai contoh negara toleransi dan kepelbagaian ketika lawatannya ke negara ini yang berakhir semalam.
Wanita Pertama AS itu menjadi fokus perbahasan hangat di Internet berhubung toleransi agama dan hak wanita apabila Menteri Komunikasi, Tifatul Sembiring mengirim mesej kepada beribu-ribu pengikutnya di laman Twitter dengan mendakwa beliau keberatan untuk bersalaman dengan Michelle semasa majlis sambutan rasmi, semalam.
Tifatul merupakan pemimpin Islam konservatif yang menolak untuk menyentuh wanita yang bukan muhrim dan baru-baru ini mengejutkan masyarakat liberal dengan menyatakan dana AIDS sebagai pembaziran wang rakyat serta mengaitkan bencana alam dengan keruntuhan akhlak.
"Saya cuba mengelak kedua-dua belah tangan saya bersentuhan dengan Michelle tetapi dia menghulurkan tangannya terlalu rapat dengan saya, kemudiannya kami bersentuhan," katanya dalam mesej yang mencetuskan ribut kutukan di laman blog Indonesia yang hiperaktif.
Namun, rakaman video pertemuan itu menggambarkan situasi sebaliknya kerana Tifatul kelihatan menghulurkan tangannya untuk bersalaman dengan Michelle seperti orang kenamaan lain.
Tifatul hari ini mempertahankan dirinya melalui komen di dalam Twitter dan Facebook, berbanding daripada mengadakan sidang media untuk menjawab tuduhan itu
"Saya masih memegang kepada kata-kata saya yang saya tidak akan bersalaman dengan wanita bukan muhrim," tulisnya di dalam Twitter kepada 110,000 pengikutnya .
Tambah beliau, beberapa keadaan berlaku secara tiba-tiba atau beliau menemui seseorang yang tidak tahu mengenai pendiriannya.
Kebanyakan pengguna Twitter membuat kecaman pedas kepada menteri itu.
"Sudah tentu Menteri Komunikasi bodoh, naif dan tiada pendirian tetap." kata seorang pengguna.
Seorang pengguna lagi menyifatkan perdebatan ini bukanlah kerana isu berjabat tangan tetapi penipuan. - AFP

Masjid pasang siap dibuka


MASJID pertama di Artik Kanada pada hari perasmiannya di Inuvik, kelmarin. - AFP


OTTAWA 11 Nov. - Masjid pertama di Artik Kanada dibuka semalam di Inuvik sebagai tempat ibadah bagi komuniti kecil Islam di sini, kata ahli jawatankuasa majid berkenaan ketika dihubungi melalui telefon dari Inuvik.
Bangunan masjid pasang siap itu tiba di bandar kecil di utara negara ini pada bulan lalu setelah menempuh perjalanan sejauh 4,000 kilometer melalui jalan darat dan air.
Sebahagian wartawan termasuk pemberita televisyen Arab menyertai masyarakat Islam tempatan dalam majlis pembukaan rasmi yang meriah itu.
Jumlah penduduk Islam di Wilayah Barat Laut Kanada kini telah meningkat kepada 80 orang sejak beberapa tahun lalu. Mereka menunaikan sembahyang di dalam karavan sebesar tiga kali tujuh meter sehingga ia tidak lagi dapat menampung pertambahan jemaah.
Ahli jawatankuasa masjid itu, Amer Suliman berkata, masjid baru yang digelar 'masjid kecil di tundra' oleh media Kanada itu mempunyai sebuah dewan solat utama dengan permaidani merah, sebuah perpustakaan dan ruang dapur.
Kariah bandar ini menempah masjid pasang siap itu menggunakan kapal dari Manitoba, yang mana kos tenaga kerja dan bahan binaan jauh lebih rendah daripada di utara Kanada.
Perjalanan masjid kuning yang kecil itu bermula pada akhir Ogos lalu menggunakan trak melalui jalan berliku-liku merentasi padang rumput dan hutan di barat Kanada diikuti laluan air melalui Sungai Hay di pinggir Great Slave Lake di wilayah barat laut negara itu.
Dari situ, masjid berkenaan dipindahkan pula ke atas tongkang dan dibawa mengikut aliran Sungai McKenzie untuk di bawa ke Inuvik yang terletak kira-kira 200 kilometer dari utara kawasan lingkaran kutub Artik. - AFP

Rasa curiga Nurasyikin selamatkan kanak-kanak


ABD. Rahim Hamzah Othman menyampaikan sijil penghargaan kepada Nurasyikin Ruji di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, semalam.


KUALA LUMPUR 11 Nov. - Rasa curiga seorang pekerja hotel dengan tindak-tanduk seorang budak berusia tiga tahun yang sangat lincah berjaya menyelamatkan kanak-kanak itu daripada menjadi mangsa jenayah lelaki warga asing.
Nurasyikin Ruji, 40, yang menemui Mohd. Amin Rozi ketika menaiki bas RapidKL semalam terdorong untuk membawa kanak-kanak itu pulang ke rumahnya selepas melihat dia cuba dihampiri seorang lelaki warga asing.
Ketika itu, wanita itu bersama seorang anak perempuannya menaiki bas dari Cheras menuju ke ibu kota kira-kira pukul 12.30 tengah hari.
Ketika menceritakan penemuan kanak-kanak itu, Nurasyikin memberitahu, dia nampak kanak-kanak tersebut menaiki bas berkenaan sambil memegang botol susu.
Katanya, kanak-kanak tersebut dilihat menaiki bas bersama sekumpulan remaja, bagaimanapun tidak duduk bersama kumpulan remaja itu sebaliknya duduk berseorangan di tepi tingkap.
"Kanak-kanak itu sungguh lincah dan sering bertukar tempat duduk sambil mulutnya tidak berhenti bercakap.
"Saya curiga dengan sikapnya dan pasti kanak-kanak itu mungkin hilang daripada jagaan ibu bapanya," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras hari ini.
Akhbar hari ini melaporkan, seorang kanak-kanak berusia tiga tahun dibiar menaiki bas seorang diri hingga menimbulkan rasa hairan kepada penumpang di dalam bas berkenaan.
Kanak-kanak itu dijaga selama lima jam oleh seorang wanita yang merupakan penumpang bas berkenaan sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Nurasyikin berkata, tiba-tiba dia nampak seorang lelaki warga asing berusia lingkungan lewat 30-an duduk di sebelah kanak-kanak itu sambil memujuk supaya mengikutnya.
"Sebelum kejadian yang tidak diingini berlaku, saya terus merapati kanak-kanak itu dan membawanya pulang ke rumah.
"Saya menghubungi pihak polis memaklumkan kejadian sebelum kanak-kanak itu diserahkan kepada pihak berkuasa pada hari yang sama," katanya lagi.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Supritendan Abd. Rahim Hamzah Othman berkata, pihaknya menghubungi ibu bapa kanak-kanak terbabit yang turut membuat satu laporan mengenai kehilangannya pada hari kejadian.
"Difahamkan, kanak-kanak lincah itu 'terlepas' daripada jagaan datuknya yang tertidur di dalam kereta selepas kepenatan mencuci kereta di tempat letak kereta di Flat Sri Sabah, Cheras semalam.
"Sikap yang ditunjukkan oleh Nurasyikin itu patut diteladani oleh semua orang kerana ia mampu membendung jenayah yang mungkin dialami oleh kanak-kanak seperti Mohd. Amin," katanya.

AS tambah stok senjata di Israel


BAITULMAQDIS 11 Nov. - Amerika Syarikat (AS) bakal menambah lebih banyak lagi kelengkapan tentera di Israel sebagai sebahagian langkah meningkatkan kerjasama keselamatan antara kedua-dua sekutu tersebut.
Langkah untuk menambah bekalan bom pintar, senjata-senjata dan kelengkapan tentera bernilai AS$400 juta (RM1.28 bilion) ke Israel dalam tempoh dua tahun akan datang itu, telah diluluskan Kongres AS minggu lalu, lapor koresponden Israel bagi akhbar Defense News.
Program naik taraf tersebut bakal menyaksikan bilangan stok kelengkapan tentera di Israel bertambah kepada AS$1 bilion (RM3.2 bilion) pada tahun depan, dengan sejumlah AS$200 juta (RM640 juta) lagi bakal ditambah pada 2012.
Pada 2007, stok bekalan senjata di Israel dilapor bernilai AS$800 juta (RM2.56 bilion).
Mengikut syarat undang-undang bantuan luar simpanan bekalan senjata untuk sekutu, kelengkapan berkenaan boleh digunakan tentera AS di seluruh dunia atau negara yang menyimpannya.
Menurut akhbar Haaretz, Israel menggunakan bekalan senjata AS semasa perang 2006 dengan Hizbullah di Lebanon. - AFP

Zaid mahu tubuh 'Keadilan Baru'


ZAID Ibrahim (kiri) bersalaman dengan penyokongnya di pejabat PKR Taman Intan, Sungai Petani, Kedah, kelmarin. - utusan/OPAT RATTANACHOT


SUNGAI PETANI 11 Nov. - Bekas Ahli Majlis Tertinggi Pusat dan Pengerusi Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim akan menubuhkan parti politik baru sekiranya dikenakan tindakan pecat oleh pucuk pimpinan PKR.
Beliau berkata, parti yang mungkin dinamakan 'Keadilan Baru' itu akan diwujudkan bagi meneruskan perjuangan jangka panjangnya iaitu melakukan transformasi politik di negara ini.
"Kalau mereka pecat saya, maka saya kena buat (parti) Keadilan Baru. Takkanlah saya nak pencen dan balik nak jadi peguam, tua dah tak boleh.
"Saya akan teruskan perjuangan. Saya percaya dapat melakukan transformasi politik dengan cara begini.
"Apa yang saya cuba lakukan mungkin tidak berjaya sepenuhnya, tetapi ia memang menjadi hasrat saya dari awal," katanya pada majlis dialog bersama lebih 100 ahli PKR dari kawasan Kedah Tengah di Pejabat PKR Taman Intan di sini malam tadi.
Bekas calon Timbalan Presiden PKR itu berkata demikian ketika diajukan soalan oleh salah seorang ahli parti tentang rancangannya sekiranya dikenakan tindakan pecat daripada PKR.
Menurut Zaid, adalah tidak menjadi satu masalah baginya jika dikenakan tindakan atas alasan mendesak Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Naib Presidennya, Azmin Ali berundur.
Ini kerana, katanya, beliau telah melakukan yang terbaik untuk mewujudkan sistem politik bersih dalam PKR, tetapi tidak dapat diterima oleh pucuk pimpinan.
"Saya tinggalkan UMNO, saya lepaskan jawatan Menteri Kabinet, saya tinggalkan syarikat guaman yang paling berjaya. Saya sudah korbankan segalanya.
"Saya mempunyai visi untuk membetulkan keadaan dan mahu menjadikan sistem politik di negara ini lebih telus. Itulah harapan saya. Malangnya, dalam PKR tidak berlaku perkara begitu," katanya.
Ditanya adakah masalah yang berlaku dalam PKR tersebut pernah dibincangkan secara dalaman, Zaid berkata, beliau pernah menjalankan sesi tegur menegur dalam biro politik.
Di KOTA BHARU Zaid menganggap Anwar sebagai orang yang 'takut dengan bayang-bayang' sendiri sehingga sanggup mereka-reka cerita dan menyerang individu yang cuba menghalang anak emasnya, Azmin Ali daripada menggenggam jawatan nombor dua parti itu.
Kata Zaid, beliau sendiri tidak mempunyai masalah dengan Anwar sebelum ini tetapi sebaik sahaja mengumumkan untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden parti itu, Anwar tiba-tiba sahaja menyerangnya secara peribadi termasuk dituduh sebagai ejen UMNO.

Rundingan Fatah, Hamas gagal


DAMSYIK 11 Nov. - Dua kumpulan Palestin yang bertelagah, Hamas dan Fatah menamatkan pusingan terbaru rundingan mereka malam tadi tanpa mencapai sebarang persetujuan bagi merapatkan jurang perselisihan antara mereka berhubung isu keselamatan.
Pertelagahan Hamas-Fatah yang membawa kepada perang pada 2007, telah menjejaskan perjuangan mereka untuk merampas kembali tanah air Palestin yang ditawan Israel, sekali gus menyebabkan kuasa luar iaitu Syria, Iran, Mesir dan Amerika Syarikat (AS) mempengaruhi politik Palestin.
Rundingan itu adalah yang kedua sejak September lalu dan diadakan bagi menangani masalah kawalan terhadap jentera keselamatan Palestin yang berpecah antara Genting Gaza yang dikawal Hamas serta Tebing Barat yang dikuasai Fatah.
"Kami tidak mencapai sebarang persetujuan," kata Azzam al-Ahmad dari Fatah, kumpulan sekular yang setia kepada kerajaan Palestin pimpinan Presiden Mahmoud Abbas yang disokong Amerika Syarikat (AS) di sini hari ini.
Seorang lagi pegawai Palestin berkata, kedua-dua puak itu turut gagal menentukan tarikh pusingan rundingan ketiga, namun beliau enggan memberikan butirannya.
Rundingan itu bermula kelmarin dengan delegasi Fatah termasuk pegawai perisikan kanan Majid Farah dan timbalan pemimpin Hamas, Moussa Abu Marzouk mewakili pergerakan itu.
Fatah membantah cadangan untuk mengurangkan kawalannya ke atas pasukan keselamatan Pihak Berkuasa Palestin selepas mengusir golongan yang bersimpati dengan Hamas.
Hamas berkata, sayap risikan Pihak Berkuasa Palestin yang disokong AS dan beroperasi di Tebing Barat dengan kebenaran Israel, bekerjasama dengan rejim Zionis Israel menentang Hamas dan kumpulan-kumpulan lain yang melancarkan tentangan bersenjata ke atas Israel.
Anggota politburo Hamas, Izzat al-Rishq minggu lepas berkata, rundingan mengenai kerjasama keselamatan dengan Fatah boleh merapatkan jurang perselisihan antara kumpulan-kumpulan Palestin tetapi perdamaian sebenar adalah proses yang rumit dan memakan masa. - Reuters

Jeti daif


Oleh Baharom Bakar
bhkt@bharian.com.my
2010/11/12

JETI yang digunakan pengusaha bot untuk ke Pulau Redang dan Lang Tengah.
JETI yang digunakan pengusaha bot untuk ke Pulau Redang dan Lang Tengah.
Kemudahan dibina dengan kayu, papan lapis 

MERANG: Nasib pengusaha bot pelancong di muara Sungai Merang di sini seperti sudah jatuh ditimpa tangga kerana terpaksa beroperasi dalam prasarana serba daif setelah jeti dibina pihak berkuasa di Pantai Merang untuk membawa pelancong ke pulau peranginan sudah berada di daratan sepenuhnya.Keadaan itu terjadi apabila jeti bot pelancong dan benteng pemecah ombak di Pantai Merang yang dibina pada 1996 menjadi gajah putih kerana ditimbus pasir menyebabkan pengusaha bot pelancong terpaksa mengeluarkan belanja sendiri membina jeti kayu.
Bagaimanapun, berikutan jeti di tapak baru itu hanya menggunakan kayu dan papan lapis, pengusaha sedar ia boleh menimbulkan isu keselamatan, tetapi apakan daya kerana mereka dilarang membina jeti kekal. 

Demi mencari rezeki dan memenuhi permintaan pelancong yang tidak mempunyai pilihan untuk bercuti di Pulau Redang dan Lang Tengah, jeti kayu dialas papan lapis itu terpaksa digunakan sebagai penghubung ke feri. 

Pengusaha bot pelancong, Ya Salleh, 58, berkata permohonan agar kerajaan negeri dan agensi kerajaan terbabit dalam sektor pelancongan membina jeti baru bagi menggantikan jeti kayu sudah beberapa kali dikemukakan, tetapi sehingga kini tiada maklum balas diterima. 

Katanya, kerajaan negeri sudah membuat pengambilan balik tanah di sekitar kawasan itu sejak tahun 2007 untuk menjadikan Merang sebagai pintu masuk utama ke Pulau Redang. 
"Mengikut perancangan awal sebelum pengambilan balik tanah dilakukan, kerajaan negeri bercadang membina ruang kedai, kaunter jualan tiket feri dan jeti serta kawasan tempat letak kereta. 

"Tetapi selepas tiga tahun tanah diambil balik kerajaan, tiada sebarang projek dilaksanakan walaupun semua penduduk iaitu pemilik tanah bersetuju menjual tanah sebagai menyokong hasrat kerajaan," katanya. 

Tinjauan Berita Harian mendapati pemandangan lebih 25 batang titi kayu di sepanjang tebing Sungai Merang yang dijadikan jeti jika terus dibiarkan boleh mencemarkan imej Terengganu yang sememangnya tersohor sebagai destinasi pelancongan pulau pilihan bagi parawisata tempatan dan asing. 

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Batu Rakit, Khazan Che Mat, berkata permohonan peruntukan untuk melaksanakan projek pembinaan jeti baru bagi memberi keselesaan pelancong sudah dikemukakan kepada kerajaan Pusat. 

Katanya, kerajaan negeri sudah menyediakan tempat untuk dijadikan tapak untuk pembinaan jeti yang lebih luas dan mampu menampung lebih 10 feri. 

"Kerja-kerja pengambilan balik tanah penduduk kampung sudah diselesaikan oleh kerajaan negeri, tetapi kita sendiri pun tidak tahu status terkini, termasuk keputusan permohonan peruntukan bagi pembinaan jeti baru," katanya. 

Selain itu, Khazan berkata, kerajaan negeri menyediakan peruntukan lebih RM2 juta setahun untuk kerja-kerja mengorek pasir di muara Sungai Merang bagi membolehkan feri keluar dan masuk mengambil serta menurunkan penumpang. 

6 hari bawah jambatan

ALOR SETAR: “Sudah enam hari kami tiga beranak terpaksa berlindung di bawah jambatan Lebuhraya Tun Abdul Razak, selepas rumah kami ditenggelami banjir besar minggu lalu dan tiada siapa datang menolong,” dakwa Azmi Ali, 56, penduduk Taman Syed Muhammad berhampiran Lebuhraya Sultanah Bahiyah, di sini.
Azmi antara lebih 200 penduduk yang mengadakan demonstrasi aman kira-kira jam 5 petang kelmarin di hadapan Masjid Sultanah Bahiyah di sini, menggesa tindakan diambil terhadap kontraktor yang bertanggungjawab membina landasan kereta api berkembar didakwa sebagai punca banjir besar di negeri itu.

Ketika bantahan dikawal anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar itu, beberapa wakil kontraktor utama iaitu MMC-Gamuda, hadir memberi penjelasan kepada penduduk.

Azmi yang mewakili penduduk mendakwa, air banjir tidak dapat mengalir keluar menyebabkan banjir besar di kawasan perumahan sekitar seperti Taman Uda, Lorong Fajar, Taman Golf, Taman Rakyat, Taman Seri Taman, Taman Muhibbah dan banyak lagi kawasan perumahan di situ.

Katanya, sebelum pembinaan landasan itu kawasan berkenaan adalah sawah paya dengan cabang laluan sungai menghala ke Alor Merah sekali gus memudahkan pengaliran air setiap kali hujan lebat.

“Disebabkan pembinaan landasan dan tambunan tanah di sini, air tidak dapat mengalir keluar ketika banjir besar minggu lalu.

“Ketika banjir saya ada melihat beberapa petugas daripada MMC-Gamuda datang mengorek tanah sebanyak tiga kali kononnya untuk mengalirkan air banjir. Cubalah fikir secara logik, kawasan sawah paya ini sudah tertambun dengan tanah sekali gus nak korek macam mana lagi untuk mengalirkan air,” katanya.

Katanya, banjir besar minggu lalu adalah pertama kali berlaku di kawasan berkenaan menyebabkan lebih 10,000 penduduk terjejas teruk dan mengalami kerugian besar.
Penduduk setempat, Sarjet Singh, 59, pula berkata, sepanjang 40 tahun tinggal di kawasan itu kejadian banjir besar seperti itu tidak pernah berlaku.

“Sebelum ini, laluan air semuanya lancar tetapi selepas tambunan tanah (daripada projek pembinaan landasan keretapi berkembar) baru-baru ini, air seolah-olah tersekat dan tidak dapat mengalir keluar,” katanya.

Dia mendakwa, landasan lama dibina British mempunyai dua laluan air di kiri dan kanan tetapi sudah dtimbus untuk projek pembinaan landasan baru itu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pembinaan Projek MMC-Gamuda, Abdul Razak Othman berkata, pembinaan landasan baru itu bukan punca banjir besar di sekitar Lebuhraya Sultanah Bahiyah.

Bawa slip atas jentolak

TELUK INTAN: “Saya hadiahkan kejayaan ini kepada keluarga terutama ayah yang banyak mengorbankan masa dan tenaganya bekerja sebagai pemandu jentolak untuk menyara keluarga dan memastikan anak-anaknya mendapat pendidikan terbaik.
“Saya bangga kerana anak pemandu jentolak seperti saya juga mampu cemerlang dalam pelajaran sekali gus membuktikan usaha adalah tangga kejayaan,” kata A Mugilan, 12, yang memperoleh 7A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), semalam.

Sejurus mendapat tahu keputusan peperiksaannya, pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Selaba, dekat sini, bergegas ke tempat kerja ayahnya, A Ragu, 32, yang terletak tidak jauh dari sekolahnya.

Ragu yang tidak dapat menahan sebak sebaik melihat slip keputusan itu, menitiskan air mata kegembiraan dan memeluk anak keduanya daripada lima beradik itu sambil mengucapkan tahniah.

“Ini adalah hari paling menggembirakan buat saya dan keluarga kerana selain keluarga, dia juga berjaya mengharumkan nama sekolahnya,” katanya.

Anak bertuah

KOTA BHARU: Walaupun tergolong sebagai Orang Kurang Upaya (OKU), ia tidak mematahkan semangat Ahmad Faiz Ibrahim, 12, dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Kerian 1, mencapai keputusan cemerlang dalam keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan semalam.
Ahmad Faiz mendapat 4A dalam mata pelajaran Bahasa Melayu (Pemahaman), Bahasa Melayu (Penulisan), Matematik dan Sains, manakala Bahasa Inggeris mendapat B.

Menurut Ahmad Faiz, dia hanya menggunakan dua jari kiri sambil disokong dagunya untuk menulis.

“Sepanjang menjawab soalan peperiksaan, saya tidak menghadapi masalah walaupun terpaksa berbuat demikian demi mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

“Saya bersyukur mendapat keputusan 4A 1B dalam UPSR, kerana kebanyakan soalan dapat dijawab dengan baik dan sempurna,” katanya yang bercita-cita menjadi seorang profesor.

Ibunya, Zarina Mohd Kasim, 36, berkata dia bersyukur kerana anak sulungnya memperoleh keputusan yang baik dalam peperiksaan UPSR.

“Alhamdulillah, Ahmad Faiz berjaya dalam peperiksaan UPSR, walaupun dia tidak mempunyai keupayaan bergerak seperti insan lain. “Saya bercadang menempatkannya di sekolah menengah agama di Kubang Kerian ketika di tingkatan satu tahun depan,” katanya.

Belajar 5 jam dapat 5A

BATU PAHAT: Semangat bersaing sesama adik-beradik membolehkan pasangan kembar, Farah Alia dan adiknya, Fatin Alia Mohd Zani, 12, memperoleh keputusan 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini.
Pencapaian cemerlang dua beradik itu melengkapkan kejayaan Sekolah Kebangsaan Tengku Mariam di sini apabila seramai 30 murid memperoleh 5A berbanding 19 murid tahun lalu.

Farah Alia anak sulung daripada empat beradik berkata, sikap ingin bersaing dengan adik kembarnya menyaksikan mereka sama-sama menelaah pelajaran setiap hari bagi memastikan memperoleh keputusan cemerlang dalam UPSR.

Katanya, setiap hari mereka meluangkan tiga jam mengulang kaji pelajaran selain dua jam tambahan melakukan tugasan sekolah sebelum tidur.

“Paling penting menjaga solat bagi memperoleh keberkatan dan ibu bapa kami menyediakan jadual harian.

“Setiap hari bermula jam 3 petang, kami akan menelaah selama tiga jam termasuk melakukan latih tubi bagi subjek tertentu bagi memastikan kami benar-benar mahir.

“Pada waktu malam pula, kami melakukan tugasan sekolah sebelum tidur jam 11 malam,” katanya.

Menurutnya, ibunya, Rohana Hashim, guru Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Syed Isa akan mengajar Matematik manakala bapanya, Mohd Zani Paimon, kakitangan Syarikat Air Johor Holdings Sdn Bhd akan mengajar Bahasa Melayu di rumah.
Sementara itu, adik kembarnya, Fatin Alia berkata, bagi memastikan mereka mempunyai masa mengulang kaji pelajaran, ibu bapa meminta mereka dikecualikan mengikuti sekolah agama selama setahun.

Katanya, keadaan itu memberikan mereka lebih masa mengulangkaji pelajaran selain memberikan tumpuan penuh kerana tidak perlu mengambil peperiksaan di sekolah agama.

Jenazah selamat dikebumi

MUAR: Bekas pelumba basikal kebangsaan, Daud Ibrahim, 63, yang meninggal dunia dalam kemalangan di Kilometer 232.6, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Tol Pedas, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 6 Bakri, selepas Zuhur semalam.
Allahyarham dikatakan bertolak pulang dari Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil, Kuala Lumpur ke Muar selepas menemui anaknya, Mohd Fakharuddin Daud yang juga seorang pelumba basikal sebelum kenderaannya dirempuh sebuah treler dalam kejadian kira-kira 1.15 pagi.
Jenazah mangsa tiba di rumahnya di Jalan Daud, Muar dengan kenderaan jenazah Hospital Tampin jam 1 tengah hari untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan.

Antara yang hadir memberi penghormatan Timbalan Menteri Belia dan Sukan yang juga Ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim.

PM pulih

KUALA LUMPUR: Datin Seri Rosmah Mansor berkata, Datuk Seri Najib Razak sudah sembuh daripada penyakit cacar yang dihidapi dan tidak sabar-sabar untuk memulakan tugas pertama mempengerusikan Mesyuarat Kabinet hari ini.
Katanya, selepas menerima rawatan pakar perubatan dan berehat secukupnya sejak seminggu lalu, Najib kini kembali bertenaga dan sudah menunjukkan tanda pulih sepenuhnya untuk menunaikan tanggungjawab selaku pemimpin tertinggi kerajaan.
“Syukur, beliau sudah kembali pulih dan tak sabar-sabar untuk memulakan tugasnya hari ini,” katanya.

Rebah ketika bermain bola

ZIARAH...sanak-saudara menziarahi jenazah Allahyarham Shamrin di Hospital Pakar Al-Islam Kampung Baru, semalam.
ZIARAH...sanak-saudara menziarahi jenazah Allahyarham Shamrin di Hospital Pakar Al-Islam Kampung Baru, semalam.

JASRIZATUL AKHMAR...isteri Shamrin
JASRIZATUL AKHMAR...isteri Shamrin

KUALA LUMPUR: Penyanyi kumpulan Fotograf, Mohd Shamrin Abdul Samad, 45, meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital selepas rebah ketika bermain bola sepak di padang Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, pada jam 6.30, petang semalam.
Shamrin yang popular menerusi lagu Di Alam Fana Cinta dan Ke Pintu Kasihmu dikatakan tidak langsung menunjukkan sebarang tanda atau sakit sebelum rebah secara tiba-tiba di tengah padang ketika perlawanan persahabatan berlangsung di antara teman-teman artis.
Menurut rakannya, Shaful Azry Mohd Ariffin, 38, atau lebih dikenali sebagai Riot daripada kumpulan Kool yang berada di tempat kejadian, semuanya berlaku terlalu pantas hingga sukar untuk diingatkan semula.

“Sekitar jam 5.45 petang Shamrin ada mengangkat tangannya seolah-olah menunjukkan tanda dia kepenatan dan meminta pemain lain menggantikannya. Kemudian, dia tunduk seperti hendak membetulkan kasut dan ingin duduk. Namun, tiba-tiba rebah dan terbujur di tengah padang. Saya dan teman-teman yang sedang bermain terus meluru kearahnya.


“Kami lihat dia menggigil dan kemudian tidak sedarkan diri, namun jantungnya masih berdegup. Kami buat pelbagai cara yang termampu untuk menyelamatkannya kerana bimbang mungkin serangan jantung. Namun, semuanya tidak berhasil dan terus mengangkat Shamrin untuk dibawa ke hospital di Kampung Baru.

“Ketika dalam perjalanan ke hospital, wajah dan tubuhnya sudah kebiru-biruan dan ketika itu denyutan jantungnya sudah berhenti,” katanya.

Jenazah Shamrin kemudian dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

Selain menyifatkan kejadian yang menimpa sahabatnya itu bagai sukar dipercayai, Riot langsung tidak menyangka pertemuan petang itu yang terakhir antara mereka.

“Siapa sangka, dalam sekelip mata saja saya kehilangan seorang sahabat. Bukan saja kami berdua sering membuat persembahan bersama, malah kami berkongsi minat sama iaitu bermain bola sepak seperti kami lakukan hari ini,” katanya.

Shamrin meninggalkan balu, Jasrizatul Akhmar Abu Saman, 29, yang sarat mengandung anak ketiga serta dua anak iaitu, Akmal Danish, 5, dan Akmal Shamim, 1. Dia juga mempunyai anak perempuan Siti Najwa, 17, hasil perkahwinan pertama dengan Noreda Mohd Razali.

Jenazah Shamrin dikebumikan di tanah perkuburan USJ 22, Selangor, sebelum solat Jumaat hari ini.

Sebelum itu, Shamrin sempat membuat persembahan di Balai Seni Lukis Negara sempena Pelancaran Syiling P Ramlee dengan menyampaikan sebuah lagu seniman agung itu berjudul Bila Larut Malam.

Tunjuk perasaan di sebalik topeng


Foto AP
PARA aktivis badan bantuan kemanusiaan, Oxfam, memakai topeng wajah pemimpin negara kumpulan G-20, dalam tunjuk perasaan yang diadakan di sebuah taman di Seoul, Korea Selatan, semalam.
Mereka menuntut agar para pemimpin kumpulan itu berusaha membasmi kemiskinan sejagat.Sidang G-20 selama dua hari akan diadakan mulai hari ini, dengan tumpuan diberi untuk mengimbangkan semula ekonomi sejagat dan menghuraikan krisis mata wang.Presiden Amerika Syarikat, Encik Barack Obama, akan turut menyertai sidang itu. -- AFP.