Showing posts with label tak puasa. Show all posts
Showing posts with label tak puasa. Show all posts

Wednesday, August 10, 2011

Selamba beli makan tengah hari





Sebahagian daripada pelanggan dipercayai beragama Islam membeli makanan tengah hari di sebuah gerai di AU3 Keramat pada kira-kira pukul 11 pagi, semalam.


KUALA LUMPUR 9 Ogos – Setiap kali bulan Ramadan menjelma hinggalah bulan mulia yang penuh keberkatan itu melabuhkan tirainya, cerita tentang kaki ponteng puasa pasti kedengaran.
Pelbagai alasan diberikan oleh kaki ponteng terbabit untuk mewajarkan perbuatan mereka itu dan mereka juga sering dilihat membeli makanan secara bungkus tanpa rasa bersalah.
Tinjauan Utusan Malaysia berjaya mengesan sebuah gerai di Jalan AU3/29, Keramat di sini yang dilihat menjadi ‘lokasi terbaik’ untuk kaki ponteng puasa melayan selera.
Golongan tersebut dilihat semakin berani, tanpa segan-silu dan secara terang-terangan mengunjungi gerai nasi berlauk yang dibuka sejak pagi setiap hari itu.
Sepanjang pemerhatian selama satu jam bermula pukul 10.30 pagi semalam, gerai tersebut didatangi lebih daripada 10 lelaki yang dipercayai beragama Islam untuk membeli pelbagai makanan di situ.
Kesemua lelaki berusia awal 20 hinggalah warga emas itu dilihat membungkus makanan sebelum dibawa ke tempat yang lebih selamat seperti rumah masing-masing untuk menikmatinya.
Penulis yang kemudiannya mengunjungi gerai itu dan berpura-pura ingin membeli makanan mendapati terdapat lebih 10 jenis lauk terhidang secara terbuka di gerai tersebut.
Lebih memeranjatkan, minuman teh 0 panas yang sudah siap dibungkus turut disediakan bagi memudahkan kaki ponteng membelinya dan membawa pulang.
Salah seorang pekerja di gerai itu mendakwa gerai tersebut beroperasi pada sebelah malam pada hari biasa dan dibuka pada waktu tengah hari pada bulan Ramadan.
Ditanya tidakkah dia rasa bersalah kerana menggalakkan orang ramai ponteng puasa, pekerja berusia akhir 30-an itu mendakwa dia hanya bekerja di situ dan tidak tahu perkara-perkara lain.
Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Din berkata, sejak hari pertama berpuasa, gerai itu menjadi tumpuan kaki ponteng puasa dan keadaan itu benar-benar memalukan.
Sehubungan itu, dia meminta supaya tindakan bukan sahaja diambil kepada kaki ponteng puasa tetapi juga kepada peniaga yang membuka perniagaan dan menjual makanan sebelum waktu yang dibenarkan.-utusan

Thursday, August 12, 2010

Tidak segan silu bersarapan



BANDARAYA MELAKA - Seorang lelaki berusia 54 tahun antara tiga yang ditahan Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim), semalam kerana makan di khalayak ramai pada bulan Ramadan.

Lelaki yang berasal dari Bukit Rambau itu ditahan ketika sedang menikmati sarapan nasi lemak di sebuah kedai makan bukan Islam tanpa segan silu.

Selain lelaki terbabit, dua lagi turut ditahan ketika sedang menjamu selera di kedai makan pada hari pertama umat Islam berpuasa, semalam.

Dalam operasi semalam, ia disertai 15 kakitangan Jaim bagi menyekat tindakan umat Islam yang tidak berpuasa dan makan di khalayak ramai sekitar Bandar Melaka.

Ketua Unit Pencegahan Penguatkuasaan Jaim, Nurul Iman Zakaria berkata, kesemua yang ditahan berusia lingkungan 31 hingga 54 tahun diberi notis perintah hadir ke Mahkamah Syariah oleh Jaim kerana tidak berpuasa.

:"Mereka dikenakan tindakan di bawah Seksyen 49 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana tidak berpuasa.

"Jika sabit kesalahan, boleh didenda RM1,000 atau enam bulan penjara dan bagi kesalahan kali kedua, hukuman akan digandakan," katanya.

Nurul Iman berkata, operasi seumpama itu akan diteruskan setiap hari, termasuk melaksanakan kempen penghayatan bulan Ramadan yang dilancarkan kelmarin.

“Kempen ini diharapkan dapat memberi kesedaran kepada masyarakat Islam khususnya supaya menghormati bulan mulia ini.

“Kempen ini akan berterusan selama sebulan di seluruh daerah di negeri ini untuk memastikan umat Islam mengikut undang-undang dan menunaikan kewajipan berpuasa,” katanya.

Beliau berkata, tahun lalu, lebih 30 pesalah dikenakan tindakan di bawah seksyen berkenaan.

“Tahun ini, tindakan pencegahan digunakan menerusi operasi berbanding tahun-tahun sebelumnya apabila pesalah dibawa mengelilingi bandar Melaka menggunakan van jenazah, sebagai hukuman," katanya.

Sementara itu, beliau turut menasihatkan peniaga kedai makan Islam supaya memulakan perniagaan selepas 3 petang bagi mengelakkan ramai yang tidak berpuasa mengambil kesempatan.