Thursday, October 28, 2010

Saya keliru, terkejut

KUALA LUMPUR: “Saya menjadi keliru dan terkejut apabila Aidil dilaporkan pergi ke Mahkamah Tinggi Syariah untuk memfailkan permohonan sulh sedangkan sewaktu pulang untuk memulihkan kembali hubungan baru-baru ini, Aidil menyatakan dia menyayangi saya dan anak.
“Bukan itu saja, dia turut berjanji akan menjaga rumah tangga kami dan memastikan kandungan saya yang baru berusia tiga bulan dalam keadaan baik,” kata dramatis popular, Rita Rudaini Mokhtar, 34, yang kini mengandung anak kedua pasangan itu.

Sewaktu dihubungi, Rita menjelaskan dia sangat sedih dengan tindakan Aidil, (pemain bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan Abdul Razak, 23), kerana hanya mengetahui perkara itu menerusi akhbar, pagi semalam. “Saya sendiri sayangkan rumah tangga ini dan dia pun sayang. Cuma apabila tersiar berita ini, pada pandangan saya orang pergi ke mahkamah kerana sudah tiada lagi jalan penyelesaian. Perkara ini benar-benar menyebabkan saya keliru dan langsung tidak faham.

“Bukankah permohonan dibuat Aidil itu untuk pasangan yang sudah bercerai. Masalahnya kami masih lagi suami isteri. Setahu saya sebelum meminta kebenarannya untuk menetap di rumah adik saya di Taiping, Perak, buat sementara keadaan kami baik,” kata pelakon yang cukup terkenal menerusi drama bersiri Reflesia itu.

Menurut Rita, hubungan mereka sebelum ini tiada masalah. “Malah, sewaktu kami bertemu sebelum ini, Aidil memohon maaf dan mengakui kesilapannya. Begitu juga dengan saya. Malah, dia sendiri datang menjemput saya pulang ke Kuala Lumpur dan mengambil anak di kampung (Perlis). “Hubungan kami baik seperti sebelum ini. Namun pengakuan dibuat Aidil benar-benar membuatkan saya sedih dan kecewa,” katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan Aidil ke Mahkamah Tinggi Syariah Seremban bersama seorang peguam bagi memfailkan permohonan sulh (perbincangan) dan hak penjagaan anak.
Menjelaskan lebih lanjut, Rita berkata sejak berita itu disiarkan, Aidil langsung tidak menghubunginya bagi memberikan penjelasan atau menerangkan kedudukan sebenar apa yang telah berlaku.

“Saya hanya mengetahui menerusi teman-teman wartawan bahawa Aidil meminta bantuan mereka bagaimana hendak menyelesaikan masalah ini. Saya tak mampu untuk berkata apa lagi. Masalahnya saya sendiri tidak sihat kerana kandungan baru berusia tiga bulan. Saya tidak tahu apa sebenarnya motif suami berbuat begini,” katanya.

Rita menjelaskan sebelum ini Aidil pernah membuat aduan sama, namun selepas berbaik-baik dan berbincang, suaminya mengakui kesilapan yang dibuat. “Saya fikir tindakan itu diambil suami sewaktu sedang marah. Maklumlah waktu orang tengah marah mereka tidak boleh berfikir dengan matang. Bila sudah berbaik, dia cakap dia silap. Hendak diikutkan antara kami sudah tidak ada apa-apa masalah pun.

“Walaupun ada masalah, semuanya boleh dibawa berbincang antara kami. Apatah lagi sebelum ini apabila ada masalah berlaku kami tidak pernah berfikir sehingga hendak bercerai. Katanya, sebelum ini dia meminta kebenaran Aidil untuk pulang ke rumah adiknya berikutan suaminya kini sibuk kerana perlu menumpukan perhatian pada perlawanan bola sepak dan lebih banyak menghabiskan masa di Negeri Sembilan untuk persediaan menghadapi perlawanan. “Saya tak berapa sihat dan apabila tinggal di rumah adik, mereka boleh tengok-tengokkan saya dan Ryyan (anak),” katanya.

Menurutnya, dia masih sayangkan Aidil, apatah lagi suaminya benar-benar menunjukkan kesungguhan mahu memulihkan hubungan mereka selepas perbincangan, baru-baru ini.

“Saya hairan apabila perkara ini berlaku selepas Aidil pulang bertemu keluarganya. Saya tidak mampu hendak berkata apa lagi, kini terpulanglah kepada Aidil untuk membuat keputusan. Sebagai isteri saya tidak mampu berkata apa. Lagipun pada fikiran saya kami tidak berhadapan dengan apa-apa masalah. Hubungan kami baik,” katanya.

Ditembak polis kerana tak pakai topi keledar

Wanita terkejut suami ditembak 

PASIR GUDANG – Seorang wanita terkejut selepas melihat suaminya terbaring di depan pagar berlumuran darah sementara seorang anggota polis berdiri di: sampingnya, sebaik pulang dari tempat kerja, kira-kira jam 6 petang, kelmarin. 

Seperti lagak dalam drama, suaminya yang ketika itu masih sedarkan diri menunjukkan dan berkata bahawa bahagian belakang pinggangnya cedera parah terkena tembakan. 

Wanita terbabit yang enggan namanya disiarkan tidak menyangka hasrat suaminya yang ingin keluar menjala ikan berakhir dengan tragedi ditembak kerana dikatakan melarikan diri daripada pihak berkuasa. 

Menurutnya, suaminya yang ketika itu menunggang motosikal bersama beberapa rakan, melarikan diri daripada ditahan kerana tidak memakai topi keledar dan hanya mempunyai lesen L serta cukai jalan tamat tempoh. 

“Ketika saya pulang makan tengah hari di rumah, suami ada memberitahu dia ingin keluar menjala ikan bersama rakan dan saya pergi semula ke tempat kerja memandu kereta sendiri. 

“Betapa terkejutnya saya sebaik pulang dari tempat kerja apabila melihat suami terbaring berlumuran darah di depan mata kerana ditembak seperti lagak dalam drama yang ditonton di televisyen,” katanya, semalam. 

Dia yang masih bersedih dengan tragedi yang menimpa suaminya, bimbang dengan masa depan empat anaknya yang masih kecil kerana keadaan suaminya yang dirawat di hospital masih belum stabil serta belum sedarkan diri. 

Wanita itu juga mempertikaikan kenapa suaminya ditembak, sedangkan banyak cara lain boleh digunakan untuk menangkap suaminya jika benar dia melarikan diri kerana ketakutan kerana melakukan kesalahan jalan raya. 

“Saya tidak berpuas hati kerana suami saya ditembak seperti penjenayah bahaya, sedangkan dia cuma melarikan diri kerana menunggang motosikal dengan tidak memakai topi keledar dan cukai jalan mati serta hanya ada lesen L. 

“Saya bimbang jika apa-apa berlaku kepada suami kerana anak kami empat orang masih kecil dan perlukan kasih sayang ayah; saya tidak boleh bayangkan apa akan terjadi jika apa-apa berlaku kepada suami saya,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Roslan Zainuddin ketika dihubungi berkata, perkara itu akan disiasat secara terperinci. 

Namun beliau enggan mengulas lanjut.

60 kali tidak hadir



GERIK – Seorang bapa, Azman Harun, 43, melahirkan rasa tidak puas hati apabila anaknya, Mohd Habib Haziqah, 14, yang belajar di sebuah sekolah menengah di sini dibuang sekolah kerana tidak hadir sebanyak 60 kali. 

Azman berkata, dia pernah berusaha untuk berbincang dan mengemukakan rayuan kepada pengetua sekolah itu, namun gagal. 

Menurutnya, pada pengetahuannya, sepanjang tahun ini seramai 130 pelajar daripada pelbagai tingkatan dibuang sekolah. 

“Sehingga hari ini (semalam), sudah lebih dua bulan anak saya tidak bersekolah dan terpaksa bekerja sementara di sebuah bengkel motosikal di Gerik. 

“Saya sudah berusaha untuk berjumpa pihak sekolah, namun sepanjang perbincangan yang diadakan di sekolah itu, pengetua tidak pernah berada di sekolah,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Air Suda, semalam. 

Azman berkata, sikap pengetua dan penolongnya didakwa tidak boleh dibawa berbincang dalam segala hal, termasuk masalah pembuangan pelajar. 

Dia berkata, tarikh pertemuan pertama yang ditetapkan untuk kes anaknya jatuh pada hari minggu menyebabkan dia terpaksa membuat perjumpaan susulan dengan pihak sekolah. 

"Diharap pihak berkenaan terutama Kementerian Pelajaran dan Jabatan Pendidikan Perak mengambil perhatian serius berhubung masalah ini,” katanya. 

Menurutnya, dia turut tidak berpuas hati kerana anaknya pernah ditampar dan dipaksa menghisap rokok bagi memudahkan kerja pihak sekolah walaupun anaknya bukan perokok. 

Sementara itu, Mohd Habib berkata, pada awalnya tindakan yang dikenakan adalah penggantungan sekolah dan ia sepatutnya selesai apabila ayahnya berjumpa dengan timbalan pengetua. 

“Setelah beberapa kali mengadakan perjumpaan dengan penolong pengetua tanpa kehadiran pengetua, saya dibenarkan meneruskan persekolahan, namun pada Ramadan lalu iaitu hari kedua menjalani ujian dalaman sekolah, saya dipanggil pengetua dan dibuang serta merta,” katanya.

PKR umum tujuh misi dalam manifesto



SANDAKAN - Parti Keadilan Rakyat (:PKR) semalam mengumumkan tujuh misi perjuangannya jika calonnya dipilih sebagai wakil rakyat kawasan Parlimen Batu Sapi dalam pilihan raya kecil di situ 4 November ini. 

Calonnya, Ansari Abdullah berkata tujuh misi berkenaan termasuk menyampaikan suara dan keluhan rakyat kawasan Batu Sapi ke Parlimen tanpa mengira agama, bangsa, kaum dan kedudukan. 

“Saya juga bertekad membela rakyat Batu Sapi daripada berterusan menjadi mangsa penindasan oleh pelbagai pihak dan pemimpin yang tidak bertanggungjawab,” katanya semalam. 

PKR juga, katanya, akan bersama rakyat berusaha dan menuntut pembangunan kawasan Batu Sapi mengikut keperluan dan kemampuan selain merancang program dalam usaha meningkatkan taraf ekonomi rakyat Batu Sapi. 

Menurut Ansari, PKR juga akan memastikan pelajar-pelajar di luar bandar dapat menikmati kemudahan yang terbaik bagi meningkatkan tahap pendidikan mereka serta membantu sedaya upaya mengurangkan tahap kemiskinan dan gejala sosial. 

Sambil berjanji untuk berkhidmat dengan penuh dedikasi dan sepenuh hati, Ansari berkata beliau akan berusaha memberikan la�yanan yang terbaik untuk penduduk Batu Sapi tanpa pilih kasih. 

Ansari turut menafikan laporan media kononnya beliau diserang penyokong Barisan Nasional di kawasan Kampung Bukara ketika berkunjung ke situ malam semalam. 

Katanya, beliau sudah tiga kali ke perkampungan berkenaan untuk berkempen dan tidak pernah dikasari oleh penduduk kampung itu.

“Pagi tadi, ketika mengiringi presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melawat Pasar Tanah Merah, saya ditanya pemberita sama ada benar saya diserang malam tadi. Saya tanya dia, apakah anda ada melihat sebarang tanda yang saya telah diserang?,” katanya. - Bernama

Somalia dahului senarai paling banyak rasuah



BERLIN - Somalia dinamakan negara paling banyak melakukan rasuah, diikuti dengan Afghanistan, Myanmar dan Iraq, menurut sebuah badan pemerhati antarabangsa. 

Transparency International mendapati negara Afrika itu paling banyak terlibat dengan rasuah dan mendahului senarai 178 negara yang dikaji badan bukan kerajaan itu. 

Sebanyak 75 peratus daripada negara yang ditinjau mendapat markah kurang daripada lima pada skala 10 (sangat bersih) ke 0 (sangat dicemari dengan rasuah). 

Denmark, New Zealand dan Singapura pula berkongsi tempat pertama sebagai negara paling kurang rasuah, diikuti dengan Finland, Sweden, Kanada dan Belanda. 

Malaysia pula kekal pada kedudukan ke-56, sama seperti tahun lalu, dalam indeks terbaru itu.

Anwar ulang alik dari KL ke Galas setiap hari




GUA MUSANG - Walaupun perlu berada di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur setiap hari bagi mengikuti kes liwatnya, namun tidak mematahkan semangat Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk tiba di Galas sehingga 4 November ini. 

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, pihaknya tidak akan tertipu dengan mainan politik pihak lawan yang mahu membataskan pergerakan beliau untuk membantu Pas di Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas. 

Menurutnya, beliau akan terus berjuang walaupun terpaksa berulang alik setiap hari dari Kuala Lumpur ke Gua Musang untuk menghadiri ceramah perdana sehingga 3 November ini. 

”Walaupun selepas (ceramah) ini saya perlu kembali hadir ke mahkamah pagi esok, esok selepas selesai urusan di mahkamah, saya akan terus ke sini semula. 

”Jangan kita tertipu dengan mainan mereka, semoga kemenangan berpihak kepada kita pada 4 November nanti,” katanya ketika menyampaikan ucapan di ceramah perdana Kampung Kerinting, kelmarin. 

Dalam ceramahnya, Anwar menggesa pengundi DUN Galas menolak kepimpinan Barisan Nasional (BN) yang dilihat suka menjadikan isu perkauman sebagai pendebatan mereka. 

“Beza Pakatan Rakyat (PR) dan UMNO ini besar, kita walaupun mempunyai perbezaan kaum dan agama kita tidak nafikan perkara itu tetapi UMNO gunakan ia sebagai alat untuk menghina kaum lain. 

“Bagi PR, kita anggap semua sebagai rakan dan kita tidak hukum sesiapa kerana warna kulit, dalam PR, Melayu, Cina dan India semua sama sahaja. Kita jaga kebajikan semua dan kita tolong semua,” katanya. 

Anwar berkata, pengundi di Galas perlu memilih Dr Zulkefli sebagai wakil rakyat memandangkan beliau mempunyai pengaruh dan sentiasa berkhidmat kepada rakyat.

Hutang negara meningkat



SHAH ALAM - Peningkatan mendadak hutang negara dalam tempoh lima tahun kepada RM362.39 bilion seperti didedahkan oleh Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dipercayai akibat ketirisan dan rasuah. 

Ketua Penerangan Pas Pusat, Idris Ahmad berkata, jumlah itu turut dipengaruhi kerugian RM10 bilion dialami negara akibat rasuah setiap tahun sebagaimana didedahkan oleh Ketua Setiausaha Negara. 

“Hutang kerajaan di dalam negara tahun lalu RM348.60 bilion atau 96.2 peratus keseluruhan hutang Kerajaan Persekutuan. Ini bermakna rakyat Malaysia seramai 26 juta menanggung hutang sebanyak RM14,000 setiap orang,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian, semalam. 

Beliau berkata, laporan Ketua Audit Negara 2009 mendedahkan berlaku penyelewengan agihan bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) kepada murid tidak layak kerana maklumat pendapatan mereka meragukan. 

“Malah, ada penerima memiliki kemudahan tidak sepadan dengan kedudukan kewangan diisytiharkan seperti saluran televisyen berbayar Astro, lebih sebuah kenderaan dan ada penghawa dingin di rumah,” katanya. 

Idris turut mempersoalkan keberkesanan pentadbiran oleh kerajaan pemerintah yang sentiasa mengaku ‘bijak’ sebaliknya negara dibebani hutang yang banyak. 

“Adakah ini sebuah kerajaan yang berkesan dalam mentadbir negara? Biasanya pemimpin UMNO di negara ini sering mendabik dada bahawa parti yang bijak memerintah ialah UMNO dan BN. Selain mereka, tidak ada yang mampu,” katanya.

Tanah orang Melayu semakin kurang


 
GEORGETOWN - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Muhamad Farid Saad mempertahankan tindakannya mendedahkan masalah tanah orang Melayu di Pulau Pinang bagi menyedarkan mereka daripada terus terlena. 

Menurutnya, langkah tertentu perlu diambil bagai memastikan tanah yang ada tidak terus terlepas ke tangan orang lain yang mempunyai kuasa beli tinggi. 

“Orang Melayu dihimpit dari pelbagai sudut sama ada oleh Kerajaan Negeri pimpinan DAP dan kuasa beli sektor swasta yang dikuasai kaum tertentu. 

“Pelbagai polisi dan cara dilakukan untuk 'menghalau' atau meminggirkan orang Melayu dari tanah mereka sendiri. 

“Orang Melayu menjual tanah yang ada kepada pemaju swasta kerana tawaran harga lumayan manakala penduduk berdekatan tidak mampu membeli rumah kerana harga di luar kemampuan mereka,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam. 

Menurutnya, tuduhan Ketua Menteri, Lim Guan Eng bahawa beliau bersikap rasis dengan membangkitkan masalah itu pada Perhimpunan Agung UMNO di Kuala Lumpur minggu lalu adalah tidak berasas. 

“Saya membuat kajian terperinci. Hasilnya saya dapati tanah milik orang Melayu di Daerah Timur Laut hanya 1.16 peratus, Balik Pulau (15.07 peratus), Seberang Perai Utara (44.20 peratus), Seberang Perai Tengah (23.55 peratus) dan Seberang Perai Selatan (18.09 peratus). 

“Secara keseluruhannya tanah milik orang Melayu di Pulau Pinang dan Seberang Perai hanya 20.41 peratus sahaja,” katanya. 

Katanya, keadaan Melayu di Pulau Pinang kritikal adalah kerana kajian mendapati 7,000 orang akan kehilangan tempat tinggal kerana rumah mereka sekarang ini dibina di tanah milik orang lain seperti Kampung Jalan Pokok Asam, Kampung Binjai, Teluk Kumbar dan Bayan Lepas.

Permit majalah kartun Zunar ditolak KDN



KUALA LUMPUR - Kementerian Dalam Negeri tidak meluluskan permohonan permit penerbitan bagi komik Gedung Kartun yang dipohon kartunis Zulkiflee SM Anwar Ulhaque yang lebih dikenali sebagai Zunar, kata Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Dalam jawapan bertulis kepada soalan N. Gobalakrishnan (PKR-Padang Serai), beliau berkata, permit tersebut ditolak kerana isi kandungan komik berkenaan didapati menyalahi Garis Panduan Penerbitan Kementerian seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

"Isi kandungan tersebut dilihat mengandungi unsur-unsur tohmahan dan spekulasi serta tuduhan-tuduhan tidak berasas serta boleh menimbulkan kebencian dan kemarahan masyarakat terhadap pemimpin negara.

"Ia juga jika diterbitkan boleh memudaratkan ketenteraman awam dan kepentingan negara," katanya.

Gobalakrishnan ingin tahu mengapa Zunar tidak diberikan permit untuk menerbitkan karya kartunnya dan sama ada terdapat sebarang unsur yang mengancam keselamatan pada kandungan karya tersebut.