Tuesday, February 17, 2015

Sirul pertimbang bongkar kes Altantuya


17 Feb 2015 
Selepas ke Australia, bekas anggota polis elit Sirul Azhar Umar kini mempertimbangkan menjawab persoalan terbesar sekitar pembunuhan Altantuya Shaariibuu – kenapa dia dan Azilah Hadri membunuh wanita itu?

Dalam perbualan telefon denganMalaysiakini baru-baru ini, Sirul mendedahkan bahawa beberapa media Australia telah pun memohon sesi wawancara “terus terang” dengannya.

“Saya belum putuskan untuk ditemubual,” katanya.

Ditanya sama ada beliau sedia mendedahkan segala-galanya jika wawancara itu menjadi kenyataan, bekas anggota polis itu menjawab:

“Ya, saya pertimbangkan kemungkinan ini dengan serius.”

Difahamkan bahawa beberapa stesen televisyen telah berhubung dengan Sirul (atas), yang sedang ditahan pihak imigresen negara itu di Sydney.

Rundingan antara Sirul dan stesen TV masih berjalan.

'Bertindak atas arahan'

Sementara itu, Sirul memberitahu bahawa dia tidak kenal mangsa pembunuhan atau Abdul Razak Baginda – penganalisis politik dan rakan dekat Datuk Seri Najib Razak yang terlepas dalam kes itu.


“Saya bertindak atas arahan. Orang penting yang mempunyai motif masih bebas,” katanya yang enggan mengulas lanjut.

“Ia bukan bermakna saya tidak sayangkan (pasukan) polis, tetapi saya bertindak atas arahan,” tegasnya.

Menjawab soalan, Sirul berkata keadaannya OK di pusat tahanan dan dia dibenarkan menggunakan telefon dan Internet.

“Saya biasanya baca MalaysiakiniUtusan (Malaysia) dan Harakahuntuk ikuti perkembangan di kampung halaman,” katanya.

Dari jauh, duda 43 tahun itu bagaimanapun bimbangkan dua anak remajanya di Malaysia yang berhenti sekolah, akibat kesnya.

Kambing hitam

Bulan lepas, Sirul dan Azilah dijatuhi hukuman mati apabila didapati bersalah dalam kes tersebut di Mahkamah Persekutuan.

Terdapat beberapa persoalan di sebalik kes itu, termasuk motif pembunuhan itu yang masih misteri.


Najib, ketika masih timbalan perdana menteri, bersumpah dengan nama Allah bahawa beliau tiada kaitan dengan kes itu.

Bekas pembantunya, DSP Musa Safri, yang memberitahu Azilah untuk membantu Razak Baginda (kanan) pada malam pembunuhan itu, tidak dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan.

Dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Sirul mendakwa dia dijadikan kambing hitam untuk “melindungi rancangan mereka”.

Sirul tidak hadir di Mahkamah Persekutuan ketika keputusan disampaikan kerana berada di Australia.

Undang-undang Austalia tidak membenarkan ekstradisi individu yang berdepan hukuman mati ke negara asal.

Miros Nafi Mitos 'Minyak Penuh Tangki Meletup'


Diterbitkan: Selasa, 17 Februari 2015 7:53 PM

PETALING JAYA: Mesej teks yang sedang tersebar menerusi aplikasi mesej telefon pintar yang mendakwa tangki yang diisi penuh dengan petrol mungkin meletup akibat gelombang haba pada masa kini telah dibuktikan palsu.

Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros)  Profesor Wong Shaw Voon berkata, khabar angin itu adalah tidak benar, memandangkan teknologi serta penyelidikan semasa telah memikirkan langkah-langkah keselamatan untuk memastikan tangki dapat menampung petrol dengan selamat.

"Industri automotif ... biasanya akan mereka bentuk bahagian-bahagian yang mampu bertahan dalam pelbagai persekitaran. Sebagai contoh, keadaan cuaca di Malaysia, walaupun ia tidak sepanas cuaca di Timur Tengah atau musim panas di Amerika Syarikat," katanya.

"Terdapat banyak keperluan yang diletakkan, dan menjadikan kereta berada dalam keadaan lebih selamat dan semakin selamat. Bahkan ketika mengepam minyak ke dalam kenderaan dalam penggunaan biasa, adalah sangat tidak mungkin untuk ianya meletup," katanya.

"Terdapat juga mekanisme 'penutupan automatik' dalam reka bentuk pam yang akan menghentikan pengisian selepas petrol mencapai had tangki," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata terdapat sebahagian pemandu yang terus mengisi minyak kenderaan mereka walaupun selepas pam secara automatik 'menutupnya' kerana telah mencapai kapasiti maksimum tangki - satu amalan yang tidak digalakkan.

"Anda tidak perlu melepasi had atau anda akan berdepan limpahan petrol," katanya.

Mesej teks berkenaan secara palsu menasihati orang ramai untuk mengisi tangki minyak mereka kepada takat separuh kapasiti, dengan menyatakan bahawa tekanan haba akan menyebabkan tangki minyak yang penuh meletup.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor  Mohd Sani Harul juga menafikan mesej yang mendakwa terdapat lima kejadian kenderaan dengan tangki penuh meletup disebabkan oleh haba dan kepanasan.

OIC Umum Langkah Segera Perangi Keganasan, Pertahan Dunia Islam


Diterbitkan: Selasa, 17 Februari 2015 8:39 PM

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) memperkenalkan langkah segera bagi memerangi penularan keganasan yang memberi kesan kepada negara anggota OIC, dan mempertahankan dunia Islam daripada bahaya keganasan ekstremisme, susulan mesyuarat peringkat menteri Jawatankuasa Eksekutif OIC pada Ahad.
Dalam kenyataan kepada Bernama, pertubuhan itu menggesa diadakan mesyuarat pakar undang-undang dan keganasan bagi menilai semula Konvensyen OIC 1999 bagi mewujudkan mekanisme yang sesuai untuk menentang trend baharu keganasan di kalangan negara anggota OIC.
Mesyuarat berkenaan juga meminta diadakan perbincangan menyeluruh tentang keganasan antarabangsa, jenayah rentas sempadan dan perkembangan keselamatan melalui persidangan, simposium dan bengkel membabitkan ahli akademik; ahli politik, agamawan serta para pemimpin tradisional selain mencari jalan mendepani keselamatan siber dan memperjelas paradigma untuk berdepan dengan punca keganasan fahaman.
Ia juga meminta OIC membina kerjasama dengan pertubuhan serantau dan antarabangsa menentang keganasan, dan pengaktifan 'Pusat Keganasan Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu' bagi menyelaras usaha menentang keganasan.
Mesyuarat tersebut juga meminta OIC menjalin kerjasama dengan negara anggota bagi mengukuhkan kalangan belia dan komuniti lain yang berisiko dieksploitasi kumpulan pengganas, bagi memastikan mereka tidak mudah terpengaruh dengan perekrutan dan fahaman radikalisme.
Sementara itu, Setiausaha Agung OIC Iyad Ameen Madani menegaskan bahawa keganasan tidak boleh diatasi dengan berkesan melalui kaedah ketenteraan dan keselamatan sahaja, dan pelan konkrit perlu diwujudkan untuk menangani aspek, dimensi dan konteks keganasan.

Tidur Anwar Terganggu Kerana Nyamuk - Wan Azizah


Diterbitkan: Selasa, 17 Februari 2015 4:48 PM
Wan Azizah
Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (kiri) dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR: "Tidur Anwar sedikit terjejas kerana gangguan nyamuk," kata Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengenai keadaan terkini suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang di penjara di Sungai Buloh.

Dr Wan Azizah berkata beliau telah memohon kepada pihak penjara supaya menyediakan tilam setebal dua inci dan menyelesaikan masalah tandas yang tidak sesuai.

"Pihak penjara meyakinkan kami namun kami masih menunggu janji mereka untuk menyediakan tilam setebal dua inci dan menangani masalah nyamuk selain tandas cangkung yang tidak sesuai dengan keadaan fizikal Anwar," katanya kepada pemberita di luar mahkamah selepas perbicaraan kes saman fitnah yang difailkan Anwar terhadap Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

Di akhir prosiding pada Selasa, Anwar sempat berkata: "Terima kasih Yang Arif, saya akan balik ke Sungai Buloh" selepas selesai memberi keterangan.

Kes itu didengar di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Siti Khadijah S. Hassan Badjenid dengan Anwar diwakili peguam Razlan Hadri Zulkifli manakala Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, mewakili Anifah.

Anwar, 67, yang berpakaian kemeja biru muda dan berseluar hitam, tiba pada pukul 7.45 pagi di Kompleks Mahkamah di sini dan dibawa ke dalam bilik bicara sejam kemudian dengan diiringi pegawai dari Penjara Sungai Buloh dan polis mahkamah tanpa bergari.

Sebelum prosiding bermula, anggota keluarganya termasuk Dr Wan Azizah dan beberapa pemimpin pembangkang antaranya Menteri Besar Selangor Azmin Ali dibenarkan bertemu dengan Anwar di bilik saksi.

Cucunya yang masih kecil dan kebiasaannya tidak dibenarkan memasuki mahkamah juga berada di galeri awam ketika prosiding itu berlangsung.

Beliau hadir di mahkamah itu untuk memberi keterangan dalam kes samannya sebanyak RM100 juta terhadap Anifah berhubung kenyataannya pada sidang media di Washington pada Mei 2009.

Anwar dibawa ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini ketika sedang menjalani hukuman penjara lima tahun setelah Mahkamah Persekutuan pada 10 Feb lalu memutuskan beliau bersalah meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.

5 Jun Keputusan Berhubung Saman Anwar Terhadap Anifah


Diterbitkan: Selasa, 17 Februari 2015 8:39 PM
Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) dan Datuk Seri Anifah Aman.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa menetapkan 5 Jun bagi keputusannya berhubung saman malu RM100 juta yang dikemukakan oleh penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

Pesuruhjaya Kehakiman Siti Khadijah S. Hassan Badjenid menetapkan tarikh itu selepas Anwar memberi keterangan pada pendengaran saman itu.

Anwar dipanggil semula ke mahkamah pada Selasa selepas Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Anifah untuk meminda kenyataan pembelaannya.

Dalam kenyataan pembelaan yang dipinda, Anifah berkata beliau telah didatangi bekas timbalan pengerusi KFC Holdings (M) Bhd Datuk Ishak Ismail pada satu masa sebelum 16 September, 2008, ketika beliau berada bersama beberapa orang Anggota Parlimen (MP) lain di Cigar Lounge Kuala Lumpur Hilton.

Anifah berkata Ishak membuat tawaran RM100 juta untuk beliau dan beberapa MP Barisan Nasional (BN) lain dari Sabah yang rapat dengan beliau untuk melompat dari gabungan BN menyertai gabungan Pakatan Rakyat.

Anwar memberitahu mahkamah beliau tidak pernah menyuruh Ishak menjadi agennya untuk menemui Anifah supaya menteri itu melompat ke pihak pembangkang.

Anwar juga berkata hubungan terakhirnya dengan Ishak ialah pada 2004 bila Ishak melawatnya di Munich.

"Saya tidak lagi rapat dengannya sejak 1998 dan hanya sekali, pada 2004, beliau muncul di Munich dan kami berbual ringkas ketika itu," kata beliau semasa disoal balas oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Anifah.

Muhammad Shafee: "Anda kenal siapa Ishak Ismail?"

Anwar: "Saya kenal beliau sejak awal 80an. Beliau dari Pulau Pinang seperti anda; bila saya jadi menteri, beliau menemui saya seperti anda lakukan.

Muhammad Shafee: "Ini bukan tempat untuk bersenda. Jawab saja! Anda kenal Ishak Ismail?"

Anwar: "Ya. Beliau berkhidmat di bahagian (UMNO) Permatang Pauh pada 1994-1995. Saya jadi ketua Permatang Pauh sejak 1982. Saya tahu beliau seorang ahli perniagaan dan terlibat dengan KFC dan Idris Hydraulic."

Muhammad Shafee: "Adakah anda gunakan Ishak sebagai seorang agen untuk mengadakan perjanjian dengan Anifah supaya 16 September, 2008 menjadi kenyataan? (Merujuk kepada hari pembangkang dilaporkan merancang mengambl alih Putrajaya berikutan dakwaan berlaku tindakan beberapa MP BN melompat ke pihak pembangkang.Rancangan itu gagal).

Anwar: "Tidak. Saya tidak hubungi Ishak."

Anwar juga berkata dakwaan Anifah mengenai tawaran RM100-juta (kepada beliau) untuk melompat ke pembangkang adalah 'jahat dan keji'.
Beliau berkata dakwaan itu juga langsung tidak benar dan sesuatu yang hanya terlintas kemudian di fikiran.

Sementara itu, ketika disoal semula oleh peguamnya Razlan Hadri Zulkifli, Anwar berkata beliau tidak rapat dengan Ishak sekarang dan mengesahkan bahawa Ishak tidak menjadi agennya dari 2004 hingga sekarang.

Anwar memfail saman terhadap Anifah dan kerajaan Malaysia pada 27 Mei 2009, dengan mendakwa kenyataan menteri itu pada sidang media di Washington, ketika Setiausaha Negara AS Hillary Clinton hadir telah mencemar imej beliau.

Anwar menuduh Anifah menggambarkan beliau sebagai seorang yang tidak layak memegang jawatan politik dan sebarang jawatan lain, dan berbahaya kepada masyarakat Malaysia.

Anwar juga mendakwa bahawa kenyataan Anifah, yang dilaporkan secara meluas dalam media tempatan dan asing, telah merosakkan keperibadiannya dan secara langsung atau tidak, menggambarkan beliau sebagai seorang yang tidak beretika, tidak berprinsip dan korup.

Belum Bincang Tentang Ketua Pembangkang Baharu - Pemimpin PAS


Diterbitkan: Selasa, 17 Februari 2015 7:27 PM
Abdul Hadi Awang.
Datuk Seri Abdul Hadi Awang

PETALING JAYA: Pemimpin PAS sedang menahan diri daripada terjebak dalam spekulasi yang menyatakan bahawa presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang sedang dipertimbangkan untuk diangkat sebagai Ketua Pembangkang.

Berikutan cadangan sesetengah pihak supaya Hadi menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini sedang menjalani hukuman penjara, pimpinan parti berkata perkara itu hanya akan dibincangkan selepas Anwar secara rasminya hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen.

Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar enggan mengulas lanjut berhubung perkara ini sambil menyatakan bahawa isu itu akan dibangkitkan apabila tiba masanya.

"Kami akan berbincang di peringkat parti dan kemudian akan membawanya ke pimpinan Pakatan Rakyat," katanya kepada The Star Online sebelum memutuskan perbualan.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Idris Ahmad berkata beliau tidak mengetahui sebarang keputusan mengenai pengganti Anwar, sambil menambah parti juga masih belum membincangkan perkara itu.

"Saya tidak mempunyai maklumat mengenai perkara ini buat masa ini dan tidak pernah mengetahui sebarang cadangan (untuk menggantikan Anwar dengan Hadi)," katanya ketika dihubungi.

Pada Selasa, pemimpin Dewan Ulama PAS mencadangkan bahawa Hadi adalah orang yang paling sesuai untuk mengambil alih tempat Ketua Pembangkang kerana beliau adalah seorang ulama Islam yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Dr Abu Bakar Abdullah, yang juga timbalan ketua Dewan Ulama Terengganu memberitahu sebuah akhbar berbahasa Melayu bahawa Presiden PAS mempunyai kelayakan untuk menyelesaikan masalah Pakatan dan berkata beliau yakin ulama itu dapat mencari penyelesaian dengan pendekatan berasaskan agama.