Friday, April 13, 2012

Injunksi Sri Wani halang suami, madu

SRI  WANI  ketika hadir mendengar permohonan injuksinya 
di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, semalam.
SRI WANI ketika hadir mendengar permohonan
injuksinya di Mahkamah Syariah
 Kuala Lumpur, semalam.

Mohon perintah data diri tidak disebar 

KUALA LUMPUR: Pengusaha butik kecantikan, Sri Wani Choo Abdullah yang disyaki suaminya beliau seorang lelaki, memohon meminda perintah injunksi sebelah pihak terhadap dua madunya di Mahkamah Tinggi Syariah semalam, dengan menambah nama suaminya, Dr Bahrom Sanugi.
Dalam prosiding semalam, Sri Wani, 37, membuat permohonan itu bagi menghalang responden iaitu dua madu dan suaminya, Bahrom, 61, yang juga bekas dekan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), menyebarkan maklumat berhubung dirinya kepada media.
Sri Wani yang tidak diwakili peguam memberitahu mahkamah pihak media menyiarkan lokasi tempat tinggal dan butiknya, yang boleh membahayakan dirinya. 

“Mengapa sebarkan kepada pihak media? Ramai wartawan mengekori saya dan saya tidak boleh keluar,” katanya. 

Sri Wani berkata, beliau juga sudah membuat laporan polis mengenai perkara itu. 

Hakim Syarie Abdul Walid Abu Hassan memerintahkan Sri Wani membuat pindaan itu secara bertulis dan memasukkannya dalam afidavit permohonan dalam tempoh seminggu, manakala dua minggu bagi responden menjawabnya. 
Baru-baru ini, Bahrom memfailkan permohonan membubarkan pernikahan mereka di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini, apabila mengesyaki Sri Wani adalah lelaki berdasarkan penemuan surat beranak yang menunjukkan beliau seorang lelaki. 

Permohonan itu dikemukakan Bahrom pada 17 Januari lalu, selepas mendapat arahan daripada Jabatan Agama Islam Daerah Gombak pada 23 November 2010 supaya berpisah sementara dengan Sri Wani. 

Semalam, Abdul Walid menetapkan 17 Mei ini untuk mendengar permohonan injunksi Sri Wani.

Pasar lengang kerana gempa Aceh



GERAI-GERAI menjual ikan di pasar pagi Tandop Kubang Rotan, Alor Setar lengang ekoran kekurangan bekalan ikan semalam.


ALOR SETAR - Dua buah pasar pagi di jeti pendaratan ikan di Kuala Kedah di sini lengang apabila kebanyakan gerai tidak beroperasi selepas bekalan ikan pada pagi semalam berkurangan gara-gara amaran tsunami akibat gempa bumi kuat 8.6 pada skala Richter di Aceh, Sumatera Utara petang kelmarin.
Gerai-gerai menjual ikan tidak beroperasi kerana nelayan tidak keluar ke laut selepas amaran tsunami dikeluarkan dan tinjauan Kosmo! mendapati, hanya lapan daripada 13 buah gerai di pasar pagi Seberang Kota beroperasi manakala hanya enam daripada 13 buah gerai dibuka di pasar pagi Tandop Kubang Rotan.
Rata-rata peniaga dan nelayan memberitahu, bekalan ikan berkurangan selepas kesemua nelayan di laut diarahkan pulang oleh pihak berkuasa termasuk Agensi Penguat Kuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) petang kelmarin.