Thursday, October 13, 2011

Empat kumpulan jadi sasaran



SHAH ALAM - Empat golongan dipercayai menjadi sasaran utama kumpulan pendakwah Kristian untuk memurtadkan orang Islam di negara ini.

Exco Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali berkata, mereka ialah golongan miskin, anak muda, pesakit kronik dan golongan intelek yang berpengaruh tetapi kurang pengetahuan agama.

“Mereka menjalankan penerapan fahaman Kristian menggunakan pelbagai taktik dan strategi, termasuk menerusi pendekatan Islamik dengan cara yang sangat halus,” katanya.

Antara caranya kata Hasan ialah dengan mendekati pesakit kronik yang terlantar di hospital terutama yang diabaikan atau kurang mendapat perhatian keluarga.

“Inilah sasaran utama untuk mereka dekati, mulanya dengan cara membantu namun lama-kelamaan mereka mula mempengaruhi dan memesongkan akidah individu terbabit,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Menangani Cabaran Kristianisasi di Malaysia di sini, semalam.

Hadir sama pada majlis itu termasuk Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Selangor, Datuk Dr Sidek Baba.

Selain itu kata Hasan, gerakan itu juga menjalankan aktiviti mengedar risalah secara terbuka di pusat beli-belah dan juga kawasan perumahan.

“Mereka mempunyai kepakaran dan strategi serta taktik yang terancang untuk mempengaruhi golongan seperti ini,” katanya.

Hasan bagaimanapun mengakui, pihaknya tidak mempunyai data mengenai bilangan individu Islam yang sudah dimurtadkan menerusi gerakan seperti itu selain berapa banyak kumpulan yang menjalankan kegiatan Kristianisasi dengan menjadikan orang Islam sebagai sasaran.

“Apa yang kita diberitahu, gerakan Kristian aliran Evangelist yang aktif dalam kegiatan ini malah mereka dilihat semakin aktif,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Hasan berkata, seramai 25 individu telah mendapatkan bantuan di Unit Selamatkan Akidah (USA) yang diwujudkan awal bulan lalu.

“Hampir sebulan unit ini ditubuhkan, kita berjaya membantu individu yang pernah dan sedang mendapat bantuan daripada pertubuhan Kristian.

“Kebanyakan yang datang pada kita adalah mereka yang menetap di kawasan bandar dan mengaku pernah menerima bantuan daripada gerakan itu akibat kesempitan hidup dan sukar mendapat bantuan daripada pihak berkaitan,” katanya.

Jais mohon waran tangkap

SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) akan mendapatkan perintah waran tangkap daripada mahkamah terhadap penulis lirik, pelakon dan pengacara terkenal, Bob Lokman seandainya masih berdegil enggan hadir memberi keterangan.

Pengarah Jais, Marzuki Hussin berkata, selebriti yang nama sebenarnya Muhammad Hakim Lokman, 47, itu juga melakukan kesalahan lain jika enggan mematuhi perintah hadir terhadapnya.


“Sepatutnya pagi tadi (semalam), dia hadir ke Ibu Pejabat Jais, tetapi dia gagal berbuat demikian.

“Dia (Bob Lokman) berdegil datang, Jais akan memohon waran tangkap,” katanya ketika dihubungi mengulas kes Bob Lokman mengadakan ceramah tanpa tauliah di Masjid Sungai Lui, Hulu Langat, Isnin lalu.


Bob Lokman ditahan mengikut Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Islam (Negeri Selangor) 2003 iaitu ceramah tanpa tauliah.


Seksyen 119, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 menyebut: “Mana-mana orang yang mengajar agama Islam atau perkara mengenai agama Islam tanpa tauliah diberikan mengikut Seksyen 118 adalah melakukan kesalahan dan boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.” Disebabkan enggan hadir memberi keterangan dengan sengaja pula, selebriti itu melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12B Enakmen Jenayah Syariah Selangor.

Jika disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 12B Enakmen Jenayah Syariah Selangor itu, boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.


Sementara itu, Bob Lokman ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai ketidakhadirannya ke pejabat Jais.

Malah, pengacara itu seterusnya mengeluarkan perkataan kesat kepada wartawan. Laporan muka depan Harian Metro, semalam menyiarkan bahawa Jais mengesahkan membuat tangkapan terhadap selebriti yang juga pelakon dan penulis lirik, Bob Lokman kerana mengadakan ceramah tanpa tauliah di Masjid Sungai Lui, Hulu Langat, pada Isnin lalu.


Marzuki dipetik berkata, Bob Lokman tidak memiliki tauliah dan tidak pernah memohon daripada Jais untuk memberikan ceramah. Laporan semalam turut memetik sumber Jais, selebriti itu bersama dua lagi iaitu Pengarah Pilihan Raya Pemuda Pas dan nazir masjid berkenaan ditahan Jais ketika berucap selepas solat Maghrib di hadapan 70 jemaah. Katanya, mereka dibawa ke balai polis berhampiran untuk diambil keterangan sebelum dilepaskan atas jaminan polis. Bagaimanapun, katanya, Bob Lokman dan dua lagi rakannya gagal hadir di Ibu Pejabat Jais di sini, walaupun diminta berbuat demikian.

myMetro | Jais mohon waran tangkap:

'via Blog this'

Melayu hilang kuasa 10 tahun lagi


KUALA LUMPUR 12 Okt. - Orang Melayu di negara ini dijangka kehilangan identiti serta kuasa terutama berkaitan hal sosial, politik dan ekonomi dalam masa 10 tahun lagi, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Katanya, jangkaan itu berdasarkan trend perpecahan politik yang semakin ketara di kalangan kaum itu sehingga menyaksikan terdapat di antara mereka menjadi pihak minoriti dalam mana-mana perkongsian kuasa.

Apabila itu terjadi, katanya, golongan minoriti tersebut terpaksa meminta bantuan pihak lain demi kuasa, tetapi 'berhutang' dengan pemberi 'bantuan' berkenaan sehingga akhirnya membuatkan Melayu Islam kerugian.

Menurutnya, senario identiti Melayu Islam di Singapura serta keadaan ekonomi golongan itu di Thailand wajar dijadikan iktibar.

"Di Singapura, muftinya tidak boleh memprotes hidangan daging haram yang dihidangkan di majlis membabitkan Melayu Islam (serta Islam lain) walaupun membuat ketetapan Islam tidak boleh memakannya.

"Hidang tidak apa dan ini (berlaku) kerana ketiadaan kuasa (di kalangan Melayu)," katanya semasa berucap merasmikan Seminar Perpaduan dan Ekonomi Ummah di Bangi, dekat sini hari ini.

Seterusnya, Dr. Mahathir yang juga Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) mengingatkan supaya masyarakat Islam merebut kekayaan negara serta menguruskan kekayaan itu kerana kekuatan ekonomi boleh menyelamatkan agama.

Sebagai contoh, katanya, banyak negara Arab yang mempunyai kekayaan hasil minyak tetapi gagal menjananya semula sehingga menyimpan wang dalam bentuk rizab bon di negara maju seperti Amerika Syarikat (AS).

Bagaimanapun menurut beliau, AS yang kini mempunyai hutang terkumpul bernilai AS$14 trilion dikhuatiri tidak mampu membayar rizab bon negara-negara Arab berkenaan.

"Miskin itu kufur dan pegangan (agama) juga boleh jadi lemah," ujarnya.

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri:

'via Blog this'