Showing posts with label pos. Show all posts
Showing posts with label pos. Show all posts

Saturday, October 29, 2011

SPR perluas undi pos




ABDUL AZIZ (dua dari kiri) beramah mesra dengan sebahagian pegawai pengurus dan pegawai pengurus pilihan raya negeri pada program taklimat PRU-13 di Ipoh semalam.


IPOH – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bercadang membenarkan pemilih yang berkhidmat dalam beberapa sektor pekerjaan seperti media, perubatan, penerbangan dan cari gali minyak mengundi secara pos atau mengundi awal bersama polis dan tentera pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).
Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, cadangan itu akan dibincangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya yang sebelum ini turut menilai beberapa cadangan lain seperti pengunaan dakwat kekal atau biometrik.
“Jika cadangan dipersetujui, rang undang-undang pindaan peraturan dan undang-undang berkaitan termasuk membolehkan pengundian awal akan dibentangkan di Parlimen,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program taklimat PRU-13 kepada 24 pegawai pengurus dan 105 penolong pegawai pengurus pilihan raya negeri ini di sini semalam.
Abdul Aziz berkata, jika sempat kesemua cadangan itu boleh dilaksanakan pada PRU-13.
“Kita faham ada beberapa kumpulan media yang tidak dapat pergi mengundi kerana tugas, jadi adakah kita nak biarkan begini? Oleh itu, kita fikir patut buat perubahan supaya mereka ini mengundi pos atau mengundi awal dan cadangan ini akan dibawa ke dalam jawatankuasa berkenaan nanti.
“Sebenarnya, bukan saja media tetapi juga petugas di pesawat seperti pramugari dan pramugara, jururawat dan petugas di pelantar minyak,” katanya.
Beliau berkata, SPR sedang menjalankan kajian berkenaan cadangan-cadangan itu sama ada sesuai dilaksanakan tetapi ia bergantung kepada pindaan peraturan dan undang-undang.

Wednesday, August 10, 2011

Penulis blog kempen halang tutup pejabat pos AS



NEW YORK 9 Ogos - Seorang penulis blog giat menjalankan kempen bagi menentang rancangan Perkhidmatan Pos Amerika Syarikat (AS) untuk menutup kira-kira 4,300 pejabat pos di seluruh negara ini pada tahun depan.
Steve Hutkins bukan pekerja pos tetapi mengajar kesusasteraan di Universiti New York dan tinggal di pekan kecil bernama Rhinecliff di Lembah Hudson, utara Manhattan.
Tiada penghantaran surat dilakukan ke rumah di Rhinecliff yang memiliki penduduk 685 orang, sebaliknya penduduk mengambil surat di pejabat pos setempat.
Hutkins naik berang pada April lalu apabila mengetahui pejabat pos di Rhinecliff mungkin termasuk dalam senarai untuk ditutup, di bawah rancangan yang ditujukan terhadap pejabat pos di luar bandar yang tidak mendatangkan keuntungan.
Walaupun kedudukan pejabat pos Rhinecliff masih selamat buat masa ini, Hutkins tetap melancarkan kempen untuk menyelamatkan pejabat pos di seluruh negara.
Blog Save the Post Office melaporkan penutupan, penggabungan dan penggantungan pejabat pos selain memaparkan analisis dan pandangan.
"Saya tinggal di sebuah pekan yang sangat kecil dilengkapi sebuah pejabat pos yang sangat kecil, dan matlamat saya untuk menyelamatkan semua pejabat pos seperti itu," katanya.
Beliau begitu obses dengan perjuangan untuk menyekat strategi pengecilan saiz Perkhidmatan Pos sehingga sanggup meminta cuti daripada mengajar untuk memberi fokus terhadap blognya.- Agensi, utusan

Tuesday, March 30, 2010

Menteri mesti bertanggungjawab Pos Malaysia rugi RM546 juta



Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 30 Mac: PAS mahu kerajaan mengkaji kegagalan urusniaga Pos Malaysia dan mahu Pengerusi Pos Malaysia, Pengerusi Khazanah Nasional dan Menteri Kewangan bertanggungjawab di atas kerugian berjumlah RM546 juta itu.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar) berkata, Pos Malaysia sebagai GLC milik negara membelanjakan wang rakyat untuk urusniaganya seharusnya memberikan pulangan yang positif bukannya memberikan kerugian yang besar.
Sehubungan itu, katanya, PAS mengambil pandangan yang serius terhadap ucapan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong di parlimen berhubung pendedahan bekas ahli parlimen yang juga mantan Pengerusi Pos Malaysia & Services Holdings Bhd, Tan Sri Adam Kadir dalam majalah Malaysian Business bertajuk 'Is whistle-blowing really serious'.
Katanya, artikel berkenaan turut menyentuh secara langsung isu kehilangan wang rakyat berjumlah RM546 juta dalam pelaburan Pos Malaysia.
Tambahnya, tindakan Khazanah Nasional yang mempengaruhi Pos Malaysia untuk melambatkan penjualan sahamnya dalam syarikat pengendali kargo yang bermasalah, Transmile Group Bhd telah menyebabkan negara rugi bila mana sahamnya jatuh kepada harga 35 sen seunit dengan nilai keseluruhan hanya RM14 juta pada 26 Februari 2010.
Sebelum ini, Pos Malaysia boleh menjual saham itu pada harga tinggi iaitu RM14 dengan nilai keseluruhan adalah RM546 juta, namun percaturan yang dibuat jelas merugikan rakyat.
Pos Malaysia adalah pemegang saham kedua terbesar dalam Transmile Group Bhd selepas raja gula Malaysia, Robert Kuok (Kuok Brothers Sdn Bhd).
Pada tahun 2004, Pos Malaysia menjual 30 peratus kepentingan dalam Transmile Air Services Sdn Bhd iaitu anak syarikat Transmile Group Bhd sebelum membeli saham Transmile Group Bhd.
Walau bagaimana pun penjualan dan pembelian saham-saham itu ternyata tidak mendatangkan faedah bila mana Transmile Group Bhd selepas itu mengalami kemerosotan dan nilai sahamnya jatuh teruk selepas itu.
Tahun lepas sahaja, Pos Malaysia mengumumkan kerugiannya sebanyak RM113.20 juta, di mana RM107.19 juta adalah kerugian yang diterima dalam pelaburan di Transmile Group Bhd.
“Rakyat pasti bertanya, kenapa Pos Malaysia tidak mahu melabur dalam Malaysia Airlines Cargo Sdn Bhd (Mas Kargo) yang juga salah satu GLC milik negara yang lebih menguntungkan dalam operasi penghantaran kargonya?
“Adakah pelaburan sebelum ini ada kepentingan untuk membantu menyelamatkan syarikat Transmile Group Bhd yang turut dimiliki bersama dengan Robert Kuok?” tanya Idris.
Menurutnya, PAS hanya melihat kes itu sebenarnya mengulangi insiden kegagalan pengurusan GLC milik negara seperti Proton yang menjual sahamnya dalam MV Agusta dengan harga 1 Euro sahaja. 
Tambahnya, pendedahan mantan Pengerusi Pos Malaysia itu juga harus disiasat dan rakyat mahukan jawapan.