Friday, January 23, 2015

Mahkamah benar permohonan Saiful pinda tuntutan saman terhadap Anwar



Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) dan Mohd Saiful Bukhari Azlan.
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan bekas pembantu peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd Saiful Bukhari Azlan, untuk meminda pernyataan tuntutan dalam saman RM50 jutanya terhadap ketua pembangkang itu.
Pesuruhjaya Kehakiman Azizul Azmi Adnan membuat keputusan itu di dalam kamarnya selepas mendengar hujahan peguam Zamri Idrus yang mewakili Mohd Saiful dan Shahid Adli Kamarudin yang mewakili Anwar.
Zamri memberitahu media bahawa mahkamah memerintahkan Anwar memfailkan pernyataan pembelaan pindaan sebelum 23 Feb dan mahkamah menetapkan 13 Mac untuk pengurusan kes.
Pada 16 Januari lepas Mohd Saiful memfailkan permohonan untuk meminda pernyataan tuntutannya itu bagi memasukkan butiran terperinci berhubung dakwaan fitnah oleh Anwar mengenai laporan polis yang dibuat oleh Mohd Saiful mengenai kejadian liwat, enam tahun lepas.
Pada 23 Jun tahun lepas, Mohd Saiful, 30, memfailkan saman bagi menuntut ganti rugi RM50 juta selepas mendakwa beliau mengalami kesakitan fizikal dan menanggung penderitaan sejak 2008 sehingga kini akibat diliwat oleh Anwar.
Dalam pernyataan tuntutannya, Mohd Saiful mendakwa Anwar menuduh laporan polis yang dibuat pada 28 Jun 2008 mengenai kejadian liwat itu sebagai satu fitnah dan konspirasi terhadap Anwar.
Mohd Saiful juga mendakwa beliau tidak pernah berbohong dengan kandungan laporan polis itu yang menyatakan Anwar telah meliwatnya dan kali terakhir kejadian itu berlaku pada 26 Jun 2008, di Unit 1151, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setia Kasih, di sini.
Mohd Saiful mendakwa beliau telah dipandang rendah oleh masyarakat yang mempercayai tuduhan Anwar terhadapnya, dicemuh di laman-laman sosial dan telah mengalami tekanan teruk akibat daripada fitnah dan kejadian liwat itu.
Sehubungan itu, Mohd Saiful memohon ganti rugi RM50 juta, ganti rugi am, khas, teruk, faedah, kos dan lain-lain relif yang dianggap sesuai oleh mahkamah.
Anwar dalam pernyataan pembelaan yang difailkan 8 Oktober tahun lepas menafikan beliau meliwat Mohd Saiful dan berkata dakwaan liwat itu adalah tidak benar kerana menurutnya kejadian itu tidak pernah berlaku. - BERNAMA

Belangsungkawa Raja Abdullah


Raja Abdullah Abdulaziz.


RIYADH: Raja Arab Saudi, Raja Abdullah Abdulaziz, mangkat pada usia 90 tahun akibat penyakit radang paru-paru pada 22 Januari 2015. 
Ketika hayatnya baginda merupakan merupakan seorang pemerintah yang lantang memerangi kumpulan Al-Qaeda dan berusaha memodenkan pentadbiran diraja ultra konservatif Islam di Arab Saudi termasuk memberi peluang lebih besar kepada wanita.
Dalam satu kenyataan diraja yang diterbitkan Agensi Saudi Press berkata, baginda mangkat pada jam 1 pagi Jumaat. 
Adik tiri baginda, Putera Salman, 79, diumumkan sebagai pengganti beliau.

Salman adalah putera mahkota ketika Abdullah memerintah dan baru-baru ini beliau telah mengambil alih tanggungjawab pemerintahan berikutan keadaan gering baginda. 
Bekas ketua perisikan Arab Saudi, Puteri Muqrin, 69, yang juga adik tiri kepada kedua-dua Raja Salman dan Abdullah, diumumkan sebagai putera mahkota keluarga diraja itu.
Berperanan lebih daripada penyandangnya yang konservatif, Raja Abdullah yang merupakan keluarga paling kaya dan berpengaruh di Arab Saudi itu, sentiasa berusaha membentuk negaranya keluar daripada kepompong biasa.
Keutamaannya adalah untuk membalas pengaruh negara lawan, terutama Syiah di Iran apabila ia cuba menunjukkan kekuasaannya. 
Baginda dan keluarga diraja Arab Saudi itu juga secara lantang dan tegas membantah kebangkitan gelombang pro-demokrasi Asia Barat, melihatnya sebagai ancaman terhadap kestabilan dan pemerintahan mereka.

Di peringkat serantau, keutamaan terbesar Raja Abdullah adalah untuk berdepan Iran, kuasa utama Syiah di seluruh negara Teluk. 
Baginda menyokong penduduk Sunnah Islam menentang sekutu Tehran di beberapa negara di mana konflik itu mencetuskan perasaan benci antara penduduk Sunnah-Syiah, paling ketara dalam perang saudara Syria, di mana kedua-dua negara menyokong pihak masing-masing. 
Konflik terbabit sebaliknya meningkatkan kebangkitan militan yang mengancam Arab Saudi.

Raja Abdullah dilantik sebagai putera mahkota pada 1982, pada hari abang tirinya, Raja Fahd mengambil alih takhta. Baginda menjadi pemerintah de facto pada 1995 apabila Raja Arab Saudi itu diserang strok.

Abdullah sekian lama dipercayai kesal dengan pakatan yang dijalin dengan Amerika Syarikat dan menekan Washington menarik balik tenteranya yang dikerah ke Arab Saudi sejak pencerobohan Iraq pada 1990 ke atas Kuwait. Amerika akhirnya berbuat demikian pada 2003.

Baginda kerap kecewa dengan kegagalan Washington menjadi orang tengah bagi menyelesaikan konflik Israel-Palestin dan pada tahun 2000 selain meyakinkan Liga Arab bersetuju berdamai dengan Israel jika ia menarik diri daripada tanah Palestin yang didudukinya pada 1967.

Baginda juga menekan pentadbiran Obama supaya mengambil pendirian lebih tegas ke atas Iran dan menyokong kuat pemisah Sunnah yang berjuang menggulingkan Presiden Syria, Bashar Assad.

Abdullah yang dilahirkan di sini pada 1924, adalah seorang daripada berpuluh anak lelaki pengasas Arab Saudi, Raja Abdul-Aziz A Saud dan seperti mana anak lelakinya yang lain, baginda hanya menerima pendidikan asas.

Asuhan tegas yang diterimanya ditunjukkan apabila baginda dipenjara tiga hari sebagai anak muda sebagai hukuman oleh bapanya kerana gagal memberi tempat duduknya kepada seorang pelawat, pelanggaran kepada sikap mesra puak Badwi.

Baginda mempunyai matlamat memodenkan pentadbiran diraja itu untuk masa depan. Sebagai satu daripada pengeksport terbesar minyak dunia, Arab Saudi sememangnya terkenal amat kaya namun wujud jurang meluas antara golongan kaya dan anak muda yang memerlukan pekerjaan, perumahan dan pendidikan.

Lebih daripada separuh penduduknya yang berjumlah 20 juta itu berusia bawah 25 tahun. Baginda adalah penyokong kuat pendidikan, membina universiti di tanah air dan menambah pemberian biasiswa untuk pelajar tempatan.

Mungkin baginda adalah pemecah tradisi wanita di mana kali pertama memberi kerusi dalam Majlis Syura, badan tidak rasmi yang menasihatkan raja dan kerajaan. Baginda berjanji wanita boleh mengundi dan bertanding dalam pilihan raya tahun ini untuk majlis perbandaran, satu-satunya pilihan raya diadakan dalam negara itu.

Abdullah melantik timbalan menteri wanita pertama pada 2009 dan dua atlit wanita bertanding dalam sukan Olimpik buat pertama kali pada 2012, selain segelintir wanita dibenarkan bekerja sebagai peguam ketika pemerintahannya.

Satu daripada projek cita-cita tingginya ialah universiti ala Barat yang menggunakan namanya, Universiti Sains dan Teknologi Raja Abdullah yang dibuka pada 2009.
Lelaki dan wanita berkongsi bilik kelas serta belajar bersama di dalam kampus, satu pembaharuan besar di sebuah negara di mana perbualan kecil antara kedua-dua jantina di khalayak ramai boleh dikenakan tindakan daripada polis agama.


Biodata ringkas Raja Abdullah

Raja Abdullah merupakan anak ke-13 daripada 45 anak lelaki Raja Abdulaziz.

Baginda diputerakan pada Ogos 1924, di Riyadh.

Pada 1962, beliau telah dilantik sebagai Komander Pengawal Keselamatan Saudi pada 1963.

Dilantik sebagai Putera Mahkota dan Timbalan Perdana Menteri pertama pada 1982 selepas Raja Fahd menggantikan Raja Khalid.

Menaiki tahkta sebagai Raja Arab Saudi pada Ogos 2005 selepas kemangkatan Raja Fahd.

Ketika memerintah beliau membenarkan wanita di negara itu keluar bekerja.

Baginda juga membenarkan rakyat dan pihak tertentu sedikit kritikan terhadap kerajaan pimpinannya dan membiarkan ia disiarkan di dalam akhbar.

Generasi Pertama & Kedua Imigran Kini Kuasai Switzerland


Diterbitkan: Khamis, 22 Januari 2015 10:46 PM

GENEVA: Generasi pertama dan kedua imigran kini telah menguasai sepertiga jumlah penduduk Switzerland yang berusia 15 tahun ke atas.
Sebahagian besar daripada pendatang ini adalah dari benua Eropah juga dengan keturunan Itali dan Jerman merupakan yang terbesar iaitu 11 peratus setiap satu.
Ini diikuti oleh keturunan Portugis dan Perancis.
Pada 2013, 2.4 juta daripada 6.8 juta penduduk Switzerland yang berusia 15 tahun ke atas adalah terdiri daripada generasi pertama dan kedua imigran.
Sedangkan pada 2003, jumlah imigran di negara itu cuma 1.7 juta orang sahaja, demikian menurut data yang dikeluarkan oleh Pejabat Statistik Persekutuan pada Khamis.
Statistik itu juga menunjukkan, lebih sepertiga daripada mereka kini memegang pasport Switzerland.
Bagaimanapun, memperolehi kerakyatan di Switzerland tidak mudah dan memakan proses yang panjang.
Tidak ada jaminan yang generasi kedua atau ketiga daripada keturunan imigran ini akan memperolehi kerakyatan secara automatik.
Mana-mana imigran yang tidak mempunyai pertalian darah dengan warga Swiss sama ada menerusi perkahwinan arau kelahiran adalah diwajibkan bermastautin di negara itu sekurang-kurangnya 10 tahun sebelum layak memohon kerakyatan.
Namun begitu mereka masih dituntut membuktikan yang mereka boleh menguasai bahasa Swiss dengan baik dan berintegrasi dengan budaya tempatan. 

Kes Sirul Menyamai Penjenayah Perang


Diterbitkan: Jumaat, 23 Januari 2015 8:00 AM
Sirul Azhar Umar.

KUALA LUMPUR: Bekas komando polis, Sirul Azhar Umar akan ditahan dalam tempoh yang lama di pusat tahanan Australia jika kesnya mempunyai persamaan dengan kisah bekas komander Serbia, Dragan Vasiljkovic.

Vasiljkovic, seorang suspek jenayah perang dipenjarakan selama lebih sembilan tahun kerana bertindak melawan permohonan ekstradisi ke atasnya.

Dia mendakwa tidak akan diberi perlindungan berdasarkan Konvensyen Geneva jika dibawa ke Mahkamah Croatia.

Neil Williams, seorang peguam untuk Kerajaan Australia telah meminta jaminan dari Croatia bahawa Vasiljkovic akan selamat jika dia dibawa untuk dibicarakan di Zagreb.

Media Australia melaporkan Vasiljkovic yang dikehendaki oleh Croatia atas kesalahan jenayah perang ditahan oleh polis Australia di Sydney pada Januari 2006.

Sejak dari itu kerajaan Croatia memohon agar lelaki tersebut yang juga dikenali sebagai Kapten Dragan diekstradisi.

Vasiljkovic sepatutnya menghadapi tiga pertuduhan jenayah perang di Croatia.

Sejak ditahan pada 1996, Vasiljkovic, yang didakwa melakukan jenayah perang pada 1990 ketika bertugas sebagai komander tentera semasa perang Balkan, kekal di dalam sebuah penjara di Australia.

The Australian melaporkan penangguhan proses ekstradisi itu disebabkan permohonan Vasiljkovic untuk mencabar perintah tersebut dan tindakan pihak berkuasa Australia yang melambatkan proses tersebut.

Dalam laporan terbaharunya pada Disember tahun lalu, akhbar tersebut berkata, rayuan terbaharu Vasiljkovic untuk mengetepikan ekstradisi ke Croatia ditolak oleh Mahkamah Persekutuan Australia.

Rayuan terbaharu mengenai perintah ekstradisi ke atas dirinya tertumpu kepada kelewatan undang-undang dalam kes beliau, isu berkaitan Konvensyen Geneva, dan pertikaian terhadap ketelusan prosedur.

Bekas komander berusia 60 tahun yang dilahirkan di Belgrade itu, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan jenayah perang dan mencabar perintah ekstradisi sejak dia ditahan pada 2006.

Selepas permohonan untuk mencabar permintaan Croatia itu, bekas Menteri Dalam Negeri, Jason Clare meluluskan ekstradisinya pada November 2012.

Menurut indikmen yang dikeluarkan Mahkamah Wilayah Croatia, Vasiljkovic didakwa menyeksa tawanan perang, memerintahkan pembunuhan tawanan perang dan serangan ke atas perkampungan Glina sehingga menyebabkan kematian dan kecederaan orang awam.

Sementara itu, sumber mengakui kes Sirul mungkin perlu melalui proses yang sama seperti Vasiljkovic.

"Proses ekstradisi agak kompleks walaupun selepas negara yang membenarkan proses tersebut bersetuju dengan permintaan berkenaan.

"Memandangkan dia sedang menghadapi hukuman mati sebaik sahaja kembali ke Malaysia, Australia mungkin tidak akan mengekstradisi Sirul melainkan Malaysia boleh meyakinkan beliau," kata sumber itu.

Laporan Akhir MH17 Dijangka Siap Pertengahan 2015 - Najib


Diterbitkan: Jumaat, 23 Januari 2015 9:07 AM

DAVOS (Switzerland): Laporan akhir berhubung tragedi  pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 dijangka siap selepas pertengahan tahun ini, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri yang sedang mengetuai delegasi Malaysia ke Forum Ekonomi Dunia (WEF) ke-45 di sini berkata, perkara itu dimaklumkan oleh rakan sejawatnya, Perdana Menteri Belanda Mark Rutte pada sesi pertemuan dua hala pada Khamis.

Beliau berkata, laporan itu sedang disiapkan oleh jawatankuasa bebas yang ditubuhkan khas untuk menyiasat tragedi itu yang diketuai Belanda.

"Beliau (Rutte) telah berjanji supaya sebelum laporan itu diumumkan, akan maklumkan kepada saya, apa dia rumusan dan dapatan daripada laporan tersebut.

"Sekali lagi, Perdana Menteri Belanda mengulangi bahawa tragedi MH17 ini telah membawa kedua-dua negara kita lebih rapat lagi dari segi hubungan," kata Najib yang juga Menteri Kewangan kepada pemberita Malaysia di sini Khamis.

Pada 17 Julai lepas, pesawat MH17, yang berlepas dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terhempas di Donetsk, Ukraine berdekatan sempadan Rusia.

Pesawat Boeing 777-200 yang membawa 298 orang termasuk 283 penumpang dan 15 anak kapal itu, dipercayai ditembak jatuh tetapi belum ada pihak yang mengaku bertanggungjawab terhadap tragedi itu sehingga sekarang.

Selain rakyat Malaysia, penumpang pesawat itu terdiri warga Belanda, Australia, United Kingdom, Jerman, Belgium, Kanada, New Zealand, Indonesia dan Filipina.

Najib berkata pertemuan kira-kira 20 minit itu turut membincangkan tentang minat Belanda dalam minyak sawit dan kayu balak.

Selain itu, Perdana Menteri turut mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri Turki, Ahmet Davutoglu dan Ketua Menteri Andhra Pradesh, Chandra Babu Naidu.

Antara yang dibincangkan termasuk langkah untuk terus meningkatkan hubungan dua hala dalam semua bidang termasuk teknologi, ekonomi, perdagangan dan ketenteraan.

"Hanya Jumpa Di Sekolah, Awie 'Sorok' Anak" - Rozana Misbun


Diterbitkan: Jumaat, 23 Januari 2015 12:37 PM
Rozana ketika hadir ke Mahkamah Tinggi Syariah, Kuala Lumpur. Foto adalah ihsan portal berita - Malaysia Gazette.

PETALING JAYA: Penyanyi Awie tidak habis-habis mahu memutuskan hubungan ibu dan anak apabila sanggup menyembunyikan tiga anaknya pada Sabtu lalu.

Perkara itu didedahkan oleh isteri penyanyi rock itu, Rozana Misbun, 37, apabila hasrat dia untuk berjumpa tiga anaknya iaitu Putra Ahmad Merrah, 8, Putra Ahmad Rezzki, 7, dan Puteri Qasseh Antasha, 5, di rumah suaminya itu gagal walaupun sudah dimaklumkan lebih awal.

“Pada Sabtu lalu saya ada hubungi pembantu rumah Awie dan melaluinya saya dapat bercakap dengan tiga anak saya. Mereka benar-benar merindui saya. Saya pesan kepada pembantu rumah untuk ambil mereka pada pukul 6 petang Sabtu dan pulangkan semula 6 petang pada hari Ahad.

“Sayangnya apabila saya datang ke rumah Awie di Ukay Bistari pada hari Sabtu lepas, tiada sesiapa di rumah termasuk anak-anak,” katanya kepada mStar Online pada Jumaat.
mStar Default Image
Rozana Misbun. Foto ihsan Malaysia Gazette.

Jelas Rozana, semasa di rumah itu dia cuba menghubungi pembantu rumah berkenaan tetapi talian telefon dimatikan dan Awie pula tidak menjawab panggilan.

Tambah Rozana, pada waktu yang sama dia telah menghantar mesej kepada Awie agar memastikan anak-anaknya ada di rumah  pada pukul 11 pagi keesokkan harinya (Ahad) untuk dia datang berjumpa mereka sekali lagi, tetapi tetap gagal.

Katanya, semasa tiba untuk kali kedua pada hari Ahad, rumah berkeenaan masih berkunci.

Disebabkan masih gagal berjumpa anak-anak, Rozana akhirnya terpaksa pergi ke sekolah dua anaknya iaitu Merrah dan Rezzki pada Khamis (semalam) untuk melepaskan rindu.

“Saya ada bertanya kepada anak sulung saya ke mana mereka pergi hari Sabtu lepas dan dia menjawab, mereka tidur di Rawang (iaitu rumah kakak sulung Awie) dengan alasan ayah mereka ada kerja,” katanya kesal dengan sikap Awie itu.

Bagaimanapun kata Rozana, dia tidak dapat berjumpa seorang lagi anaknya iaitu Qasseh kerana tidak tahu dimanakah kanak-kanak itu dihantar bersekolah.

Ditanya bagaimana reaksi dua anaknya selepas tujuh bulan terpisah Rozana berkata, mereka kelihatan seperti keliru tetapi dia bersyukur mereka masih mengenalinya.

“Saya kasihan melihat anak-anak saya dan menangis memeluk mereka. Tapi syukurlah mereka tidak lupakan saya walaupun tujuh bulan kami berpisah,” jelasnya.

Dalam pada itu Rozana menegaskan, tuduhan Awie seperti dilaporkan akhbar pada Khamis kononnya dia tiada usaha untuk berhubung atau berjumpa anak-anak adalah mengarut.

Awie
Awie (Wings)

Katanya, hasrat untuk berjupa seringkali dihalang termasuklah dalam kejadian pada Sabtu dan Ahad lalu sebagai bukti.

“Semalam dalam akhabar Awie ada sentuh isu dia sebagai bapa adalah penyumbang ekonomi kepada anak-anak dan hal itu seharusnya tidak dibangkitkan.

“Sebagai ketua keluarga, sudah menjadi tanggungjawab suami dan ayah kepada anak-anak untuk mencari rezeki buat keluarganya.

“Satu perkara lagi semua orang perlu jelas… selama ini saya tidak berjumpa anak sebab   Awie yang memohon kepada mahkamah menghalang saya berjumpa anak-anak. Kenapa dia masih tak faham dan terus membangkitkan hal itu?” tegurnya.

Rozana menambah tiada sebab untuk dia dihalang berjumpa anak-anak kerana mengikut sejarahnya, dia bukanlah seorang kaki pukul atau penjenayah.

“Saya bukannya penjenayah yang punya sejarah pukul orang sampai tulang rusuk patah jauh sekali membunuh sehingga Awie tergamak mengenakan injunksi kepada saya halang jumpa anak-anak.

“Perlu diingat, sayalah ibu yang melahirkan tiga anak saya dari sebesar tapak tangan. Lagipun faktor keselamatan telah menyebabkan saya berada dalam perlindungan polis yang menghalang saya menjejakkan kaki di  tempat saya dipukul iaitu tempat tinggal anak-anak saya sekarang.

“Saya bersyukur kerana akhirnya mahkamah membatalkan hak jagaan sementara yang diperoleh Awie kerana dengan perintah itulah membolehkan saya berjumpa anak-anak,” katanya.

Sehubungan itu Rozana meminta Awie tidak terus mengungkit perkara sedemikian lagi sebaliknya pergilah uruskan sijil pernikahan palsu mereka secepat mungkin.

Terdahulu Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur pada 14 Januari lalu  membatalkan hak penjagaan tiga anak yang diperoleh Awie secara ex-parte (sebelah pihak).

Dengan pembatalan itu, kedua-dua pihak mempunyai hak ke atas tiga anak hasil perkahwinan mereka itu.

Awie dan Rozana bernikah secara rahsia di Selatan Thailand pada 20 Jun 2005.

Awie turut mempunyai dua lagi anak hasil perkahwinan terdahulunya dengan penyanyi Arni Nazira iaitu Puteri Aleeya Antasha, 15, dan Puteri Aleefa Antasha, 13.

Warga emas simpan 226kg syiling di bank

SLATON - TEXAS. Selepas 65 tahun memenuhkan tabung syiling, seorang warga emas berusia 81 tahun akhirnya membuat keputusan untuk menyimpan wang syilingnya di Bank Prosperity di Slaton, baru-baru ini.

Ira Keys, berasal dari Slaton dikatakan membawa timbunan wang syiling 1 sen yang mencecah berat sehingga 226 kilogram ke bank.


Memetik laporan daripada portal berita Metro.co.uk, dia menyimpan wang syiling tersebut sejak berusia 17 tahun selepas mendengar nasihat daripada orang tuanya.


“Saya berhenti belanjakan wang syiling pada tahun 1952 setelah mengikut nasihat bapa. Bapa saya pernah berpesan, apa pun yang kita lakukan, kita perlu menyimpan wang yang kita ada.


“Pada masa itu saya tidak mempunyai banyak wang, jadi saya simpan sahaja wang syiling yang saya ada dan masih mengamalkan tabiat tersebut sehingga sekarang,” katanya seperti yang dipetik menerusi laporan tersebut.


Difahamkan, pegawai bank terpaksa mengambil masa sehingga satu jam untuk memproses penyimpanan wang warga emas itu.

Keys mengumpul sehingga $816 (RM2952.62) ketika usianya mencecah 80 tahun.

Tanggung derita, peha bekas ratu cantik reput

Tanggung derita, peha bekas ratu cantik reput

SAO PAULO - BRAZIL. Bekas ratu cantik dari Brazil terpaksa bertarung nyawa dan menanggung derita sepanjang hayat hanya kerana untuk kelihatan cantik.



Andressa Urach, 27, mengakui apa yang berlaku telah mengubah hidupnya, sekaligus memberikan pengajaran paling pahit untuk dikenang sepanjang masa.



“Saya ketagihan pembedahan plastik.



Pada masa itu, saya hanya mahu orang lain memandang saya dengan penuh rasa cemburu,” katanya seperti yang dipetik menerusi Mail.Online.



Menurut Urach, keinginan yang begitu tinggi untuk mencantikkan lagi pehanya membuatkan dia mengambil keputusan untuk menjalankan rawatan kaedah menyuntik pehanya dengan (filler) bahan kimia, hidrogel dan polymethylmetacrylate (PMMA).



Namun bentuk peha yang diidamkan tidak kesampaian apabila doktor mengesahkan bahan kimia yang disuntik ke dalam paha mula mereputkan tisu kulitnya. “Rawatan kecantikan yang dijalankan mula mereput dan memakan tisu peha saya.

Pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah Abdulaziz mangkat

RIYADH: Raja Arab Saudi, Raja Abdullah Abdulaziz al Saud mangkat, lapor stesen rasmi Arab Saudi sebentar tadi. Baginda berusia 90 tahun.
Raja Abdullah dilapor dimasukkan ke hospital kerana menghidap jangkitan pada paru-paru. Baginda menaiki takhta pada tahun 2005. - AFP

Bayi lelaki terlebih ramai


Beijing: Pihak berkuasa kesihatan China semalam menggambarkan ketidakseimbangan jantina dalam kalangan bayi yang baru lahir di negara itu sebagai sesuatu yang “serius dan berpanjangan” berikutan polisi dasar anak satu yang ketat di negara berkenaan.
Suruhanjaya Kesihatan dan Perancangan Keluarga Kebangsaan berkata, keadaan dialami itu menjejaskan China.
Menurut agensi berkenaan, seramai 118 bayi lelaki dilahirkan bagi setiap 100 bayi perempuan.
Kadar purata global ialah 103 bayi lelaki bagi setiap 107 bayi perempuan.
Seperti kebanyakan negara Asia, China - yang mengamalkan dasar anak tunggal - biasanya lebih suka membesarkan anak lelaki berbanding perempuan.
Penyelidik pula memberi amaran, ketidakseimbangan nisbah jantina yang besar boleh menyebabkan gangguan kestabilan kerana lebih ramai lelaki tidak berkahwin.
Ia juga akan meningkatkan risiko tingkah laku antisosial dan ganas, selain memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi. - Reuters
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 January 2015 @ 5:05 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/25666#sthash.8tQrdwRG.dpuf

Facebook senjata cerai


London: Akibat pelbagai perkara peribadi dikongsikan di Facebook, media sosial itu semakin digunakan sebagai bahan bukti dalam kes cerai.
Firma guaman Lake Legal berkata, Facebook dirujuk dalam lebih sepertiga (66 daripada 200) kes cerai ditelitinya.
Jurucakap firma, Lyn Ayrton berkata, media sosial menjadi rekod setiap butiran kehidupan dan apabila berkongsi aktiviti atau gambar yang juga menggunakan geotag ia mampu menjadi bahan bukti untuk digunakan di mahkamah.
“Kebanyakan kes dikendalikan membabitkan orang yang menggunakan Facebook untuk mencari bekas kekasih atau meletakkan maklumat yang menimbulkan tanda tanya terhadap status kewangan mereka.
“Lazimnya, jika seseorang membuat kenyataan mengenai bonus, tawaran kerja atau perancangan percutian, ia mungkin membawa kepada bukti mereka tidak berterus-terang mengenai kedudukan kewangan,” katanya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 January 2015 @ 5:09 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/25683#sthash.6VIHylgb.dpuf

Polis wanita Indonesia bakal dibenar pakai jilbab


Jakarta: Polis wanita Indonesia bakal dibenarkan memakai jilbab apabila perintah kebenaran mengenainya ditandatangani tidak lama lagi.
Menurut Timbalan Ketua Polis Indonesia, Badrodin Haiti, dia sudah bersedia untuk meluluskan peraturan mengenai kod etika berpakaian itu tidak lama lagi.
“Sebaik saja surat itu ditandatangani, pegawai wanita boleh mula memakai jilbab,” katanya.
Badrodin berkata, surat berkenaan akan ditandatangani minggu depan, namun tiada sebarang tarikh khusus dinyatakan.
“Surat itu sudah dipersiapkan, cuma menunggu masa untuk ditandatangani,” katanya.
Ketika ini tiada sebarang peraturan membenarkan pegawai wanita memakai jilbab, kecuali untuk anggota polis di Aceh.
Sebelum ini, Majlis Ulama Indonesia (MUI) Riau mendesak kerajaan membenarkan polis wanita menutup aurat ketika bertugas.
Ketua MUI Riau, Prof Dr H Mahdini berkata, mereka menggesa Badrodin menggubal udang-undang baru bagi membenarkan polis wanita memakai jilbab.
“Sudah 68 tahun polis di negara ini wujud. Ertinya sudah lebih setengah abad,” katanya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 January 2015 @ 5:13 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/25691#sthash.xJDNqUms.dpuf