Monday, May 11, 2015

Raja Arab Saudi Boikot Sidang Kemuncak Barack Obama


Diterbitkan: Isnin, 11 Mei 2015 11:28 AM

WASHINGTON: Raja Arab Saudi, Raja Salman tidak akan menghadiri sidang kemuncak yang dihoskan oleh Presiden Amerika Syarikat Barack Obama kerana sidang tersebut bercanggah dengan gencatan senjata kemanusiaan yang dijadualkan di Yaman serta pembukaan Pusat Bantuan Kemanusiaan Raja Salman.
Menteri Luar Arab Saudi, Adel al-Jubeir menjelaskan, walaupun tidak dapat menghadiri sidang kemuncak tersebut, Raja Salman komited dalam mencapai keamanan dan keselamatan di Yaman dan menggesa agar bantuan kemanusiaan dihantar dengan lebih cepat.
Obama mengadakan sidang kemuncak tersebut untuk mengukuhkan kerjasama dan kepercayaan dengan pemimpin Teluk itu selain meneruskan perbincangan bersama Iran.
Pegawai di White House menerangkan, Amerika Syarikat mahu menyangkal kebimbangan pihak Arab Saudi mengenai pihak Washington yang dikatakan tidak mahu mempunyai kerjasama dengan negara Teluk itu dan mengurangkan ketakutan pihak Arab mengenai perbincangan bahan nuklear bersama dengan musuh tradisi, Iran.
"Ini merupakan peluang untuk kami memperkuatkan kerjasama strategik bersama negara-negara Teluk, membincangkan kebimbangan mengenai tindakan Iran yang menggugat kestabilan di rantau ini.
"Kami juga bersama-sama memberikan komitmen untuk mengambil langkah-langkah penting dalam meningkatkan kestabilan di negara tersebut dan mengurangkan ketegangan," kata pegawai di White House.
Beberapa diplomat dari negara Teluk menyuarakan kebimbangan mereka secara rahsia mengenai dakwaan berkaitan pihak Washington yang membuat tawar-menawar bersama Iran dalam satu perjanjian nuklear.
Pihak dari Washington juga akan berbincang bersama negara Teluk itu mengenai konflik di negara Arab termasuk di Iraq, Libya, Syria, dan Yaman.
Sumber daripada kedutaan Arab Saudi di Washington menjelaskan, delegasi Arab akan diketuai oleh Putera Mahkota Muhammed bin Nayef pada sidang kemuncak itu.
Akan turut hadir pada sidang kemuncak tersebut adalah anak kepada Raja Arab, Timbalan Putera Mahkota, Putera Muhammad bin Salman setelah mengetahui perubahan rancangan pada Jumaat lalu.
Enam Pemimpin Majlis Kerjasama Teluk dijangka akan melawat White House pada Rabu sebelum menghadiri sidang kemuncak di tempat rehat Presidensi, Camp David, pada keesokan harinya.
Setiausaha Amerika Syarikat, John Kerry telah berjumpa dengan Adel al-Jubeir di Paris pada Jumaat untuk membuat persiapan bagi sidang kemuncak yang akan turut disertai oleh pemimpin dari Bahrain , Kuwait , Oman , Qatar , dan Emiriah Arab Bersatu.

Video 'Haram Sambut Hari Ibu' Oleh Ustaz Azhar Idrus Muncul Semula


Diterbitkan: Isnin, 11 Mei 2015 1:10 PM

PETALING JAYA: Video pada tahun 2012 di mana Ustaz Azhar Idrus mengecam Hari Ibu sebagai perayaan yang tidak boleh disambut oleh orang Islam muncul semula di media sosial.

"Hari Ibu dikaitkan dengan Ibu Gereja, atau kuasa yang tertinggi dalam gereja, Virgin Mary, yang disambut pada minggu kedua bulan April setiap tahun. Gerakan ini bermula seawal abad ke-19, dengan gereja memohon supaya kerajaan mengisytiharkan hari ini sebagai cuti umum," kata Azhar.

Beliau dalam video berdurasi 3.47 minit itu seterusnya berkata kepada jemaah bahawa pergerakan itu telah meminta gereja, pada tahun 1862 meletakkan perayaan itu dalam kalendar gereja sebagai perayaan Kristian.

"Hari Ibu telah diisytiharkan sebagai cuti umum di semua negara-negara Kristian; ini adalah mengapa haram untuk meraikan Hari Ibu. Pada hari itu, orang akan memberikan kek kepada ibu mereka, dan mereka melakukan ini sekali setahun. Tetapi Islam mengajar untuk menjadi pemurah dengan ibu sepanjang tahun," kata Azhar.

Beliau juga menjelaskan bahawa orang Cina tidak akan merayakan Deepavali dan orang Jepun tidak menyambut Awal Muharram.

"Mereka (Jepun) tidak akan menyambut Awal Muharram kerana mereka tahu ia adalah perayaan untuk orang Muslim. Orang Mexico meraikan Krismas dan bukan Maulidur Rasul. Orang Kanada tidak meraikan Thaipusam," kata Azhar.

Abim Serah Memorandum Tuntut Pemimpin Tabung Haji Letak Jawatan


Diterbitkan: Isnin, 11 Mei 2015 6:11 PM

KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menuntut agar pemimpin Lembaga Tabung Haji berundur selepas tercetus kontroversi urusan pembelian tanah 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Kumpulan bersama 10 orang ahli dengan diketuai oleh presidennya Amidi Abdul Manan tiba di ibu pejabat Tabung Haji itu pada kira-kira 3.30 petang Isnin.
"Kami menggesa Tabung Haji dibersihkan daripada unsur-unsur IMDB dan pihak pengurusan atasan yang terlibat perlu berundur," katanya kepada pemberita.
Beliau menyerahkan memorandum kepada Pemangku Ketua Pegawai Operasi Adi Azwan.
Penolong Setiausaha Agung Abim Ahmad Fahmi Mohd Samsudin memberitahu The Starbahawa mereka mungkin membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Selasa.
Mereka kemudian bersurai secara aman pada kira-kira 4.15 petang.
Isu Tabung Haji 1MDB-mula dibangkitkan oleh blog, yang meletakkan dokumen mengenai Tabung Haji membayar 1MDB dengan jumlah RM188.5 juta di Tun Razak Exchange (TRX).
Tabung Haji mempertahankan keputusan untuk membeli tanah tersebut dengan berkata tanah seluas 1.6 ekar itu bernilai RM188.5 juta manakala nilai pasaran semasa adalah RM194 juta.

Bagaimanapun, Pengerusinya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim telah menafikan bahawa penjualan itu adalah untuk menyelamatkan 1MDB.
Pada Sabtu,  Abdul Azeez berkata, TH mengambil keputusan untuk menjual semula tanah seluas 0.66 hektar bernilai RM188.5 juta di pusat kewangan Tun Razak Exchange (TRX) di Kuala Lumpur, selepas menerima tiga tawaran daripada pihak yang berminat membeli tanah itu.

PAC Akan Siasat CEO dan Bekas CEO 1MDB


Diterbitkan: Isnin, 11 Mei 2015 1:50 PM
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy (kanan), serta bekas CEO pertama 1MDB, Datuk Shahrul Ibrahim Halmi akan dipanggil untuk siasatan PAC.

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen Malaysia akan memulakan prosiding siasatan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 19 Mei ini.
Prosiding ini akan turut memanggil Ketua Setiausaha Perbendaharaan (MoF) Tan Sri Irwan Serigar Abdullah dan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Rahmat Bivi Abdullah, kata pengerusinya Datuk Nur Jazlan menerusi satu kenyataan di sini.
Pada minggu berikutnya, 26 Mei 2015 pula, PAC akan memanggil Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy, serta bekas CEO pertama 1MDB, Datuk Shahrul Ibrahim Halmi, yang berkhidmat sejak Mac 2009 hingga Mac 2013.
Nur Jazlan Mohamed, berkata jawatankuasa berkenaan telah sebulat suara bersetuju untuk memulakan prosiding siasatan terhadap 1MDB pada satu perbincangan khas pada 30 April lepas.
"Dalam perbincangan ini, semua ahli PAC, yang terdiri daripada lapan Anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) serta lima daripada pembangkang, sebulat suara bersetuju memanggil semua pihak terbabit dalam pengurusan kawalan tadbir urus 1MDB sejak ia mula ditubuhkan pada 2009 selepas bertukar fungsi daripada Pihak Berkuasa Pelaburan Terengganu (TIA)," katanya.
"PAC akan memulakan prosiding dengan memanggil Pegawai Pengawal syarikat 1MDB iaitu Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Ketua Pengarah EPU yang pernah hadir memberikan keterangan kepada jawatankuasa ini pada 2012, katanya.
Nur Jazlan berkata surat panggilan terhadap Kementerian Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi (EPU) sudah dihantar pada 6 Mei lepas, dan mengikut peraturan dan kuasa yang diberikan kepada PAC oleh Parlimen Malaysia, semua pihak berkaitan perlu hadir di hadapan jawatankuasa ini.
Katanya EPU telah menghantar surat balas kepada PAC pada Jumaat lalu selepas menerima surat panggilan yang dikeluarkan pada 6 Mei, untuk memaklumkan unit berkenaan tidak bertanggungjawab terhadap tadbir urus 1MDB.
Bagaimanapun Nur Jazlan berkata PAC tetap mahukan EPU hadir memberikan keterangan di hadapan jawatankuasa berkenaan kerana mereka pernah hadir sebanyak dua kali bagi menjelaskan mengenai pelaburan syarikat terbabit selain turut bertanggungjawab terhadap pembangunan tanah Tun Razak Exchange (TRX) serta Bandar Malaysia, Sungai Besi.
"Kita sudah menghantar semula surat panggilan terhadap EPU pada hari ini, bagi memastikan mereka hadir pada 19 Mei ini, bersama-sama MoF bagi memulakan prosiding.
"PAC berpendapat jawatankuasa ini tidak boleh menunggu laporan Ketua Audit Negara, yang turut mengaudit syarikat ini atas arahan Kabinet, kerana terlalu banyak persepsi serta spekulasi dalam kalangan rakyat yang semakin bimbang ke atas status operasi serta kewangan dana pelaburan kerajaan ini.
"Pada masa yang sama, perlu diingatkan bahawa PAC yang dianggotai Anggota  Parlimen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang, turut diwakili pegawai dari kementerian serta jabatan termasuk Kementerian Kewangan, Jabatan Audit Negara, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Jabatan Akauntan Negara dan EPU, katanya.
Nur Jazlan berkata PAC merupakan jawatankuasa paling bebas dan adil, yang boleh memanggil serta menyiasat 1MDB memandangkan ia bukan berada di bawah cabang eksekutif iaitu Kabinet, sebaliknya sebuah jawatankuasa di bawah cabang legislatif iaitu Parlimen sebagai penggubal undang-undang dan dasar tertinggi negara.
Selain itu, katanya PAC tidak menetapkan sebarang tempoh masa untuk menamatkan prosiding ke atas 1MDB, sebaliknya akan menyiasat keseluruhan isu yang dibangkitkan mengenai tadbir urus serta pelaburan syarikat berkenaan.
Oleh itu, Nur Jazlan berkata PAC berharap semua pihak memberikan kerjasama terhadap prosiding 1MDB bagi memastikan sebarang persepsi negatif mengenai dana pelaburan berkenaan dapat dipulihkan, sekali gus memberikan gambaran terbaik terhadap usaha kerajaan menubuhkan syarikat berkenaan pada 2009.

PAS Sokong Wan Azizah Ketua Pembangkang


Diterbitkan: Isnin, 11 Mei 2015 3:00 PM
Wan Azizah Wan Ismail kini telah mendapat mandat daripada kesemua parti komponen Pakatan Rakyat untuk dinamakan sebagai ketua pembangkang Dewan Rakyat yang baru bagi mengantikan suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

PETALING JAYA: PAS bersetuju untuk menyokong Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilantik sebagai ketua pembangkang Dewan Rakyat yang baru bagi mengantikan suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini sedang menjalani hukuman penjara lima tahun.
Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar memberitahu para pemberita pada Isnin yang keputusan untuk menyokong Dr Wan Azizah sebagai ketua pembangkang dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa PAS pusat Sabtu lalu.
Sebelum ini, DAP awal-awal lagi telah memberikan sokongan mereka kepada Dr Wan Azizah untuk dilantik sebagai ketua pembangkang sebaik sahaja beliau diumumkan sebagai wakil rakyat baru untuk kerusi Parlimen Permatang Pauh.
Mesyuarat Jawatankuasa PAS pusat itu dipengerusikan oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
"Keputusan itu dicapai secara sebulat suara," katanya di Ibu Pejabat PAS di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

PRK Pmtg Pauh: PKR Menang Kerana GST, Isu Pengurusan Wang Negara


Diterbitkan: Isnin, 11 Mei 2015 11:51 AM

ANALISIS
SEHINGGA Ahad, ‘kelibat’ calon Barisan Nasional (BN), Suhaimi Sabudin masih boleh dilihat dan dikesan di sekitar bandar Seberang Jaya walaupun telah tewas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh Khamis lalu.
Kata seorang lelaki yang setia memakai kemeja-T biru berlogo BN, sekurang-kurangnya Suhaimi masih ada di sekitar Permatang Pauh dan beliau kini kembali meneruskan rutin harian seperti orang lain.
"Kita turunkan yang kecil-kecil dulu, yang besar last sekalilah. Bagi peluang Suhaimi ‘jaga’ kawasan ni sat (sekejap)," katanya sinis merujuk kepada poster besar wajah Suhaimi yang digantung di tiang konkrit di bulatan berhampiran tapak expo Seberang Jaya.
Lelaki dalam lingkungan awal 40an itu ditegur ketika sedang sibuk menurunkan bendera, poster serta bahan kempen PRK Permatang Pauh bersama beberapa rakannya.
Sehari selepas Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail diumumkan menang, wakil rakyat dua kawasan di dua negeri berbeza itu 'hilang' kerana terpaksa bergegas pulang ke Kuala Lumpur.
Malah Dr Wan Azizah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang itu terpaksa mewakilkan beberapa undangan majlis perkahwinan kepada anak kelimanya, Nurul Iman Anwar yang masih berada di Permatang Pauh.
PRK Permatang Pauh edisi 2015 berkakhir dengan siri kejadian 'ganas' , termasuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) berhadapan pelbagai serangan termasuk dari dalam pakatan pembangkang sendiri khususnya daripada PAS.
Kemenangan dengan majoriti 8,841 undi dengan peratus keluar mengundi hanya sekitar 73 peratus daripada lebih 71,000 pengundi berdaftar boleh danggap pencapaian yang baik.
Namun berdasarkan perkiraan mudahnya sama ada BN mahupun PKR, kedua-dua parti politik ini perlu menafsirkan keputusan PRK Permatang Pauh dalam bentuk yang lebih negatif.
Ini kerana keputusan Khamis lalu sebenarnya memberi tafsiran yang pelbagai apabila kedua-dua pihak seakan hanya mengekalkan status quo keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu tanpa sebarang kejutan.
PRK Permatang Pauh memperlihatkan BN berjaya mengurangkan undi popular PKR sebanyak 1.47 peratus berbanding PRU-13.
Bagaimanapun di pihak BN, parti pemerintah itu hanya mampu meningkatkan jumlah undi popular dalam PRK Permatang Pauh sebanyak 0.38 perarus.
Tafsiran kasarnya ialah pengundi Permatang Pauh sebenarnya membuat keputusan memilih PKR dan Pakatan Rakyat dan bukannya atas dasar individu bernama Dr Wan Azizah.
Dr Wan Azizah dan suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan lagi penentu kemenangan di Permatang Pauh sebaliknya parti yang di wakili mereka adalah penyebab utama rakyat di kawasan berkenaan tetap menolak BN.
Buktinya walaupun PKR dan PAS dihimpit kontroversi berhubung pelaksanaan hukum hudud, Dr Wan Azizah berkata beliau berjaya meningkatkan sokongan pengundi Melayu sekitar empat hingga lima peratus.
Lebih membanggakan apabila peratusan sokongan pengundi Melayu itu ialah dari kawasan DUN Permatang Pasir yang menjadi kubu kuat PAS.
Walaupun pada awalnya Dr Wan Azizah berhadapan ugutan boikot oleh PAS Kawasan Permatang Pauh dan Pemuda PAS Pulau Pinang, namun atas dasar dan semangat Pakatan Rakyat, kerusi berkenaan kekal menjadi milik pembangkang.
Namun penurunan undi masyarakat Cina khususnya di pusat daerah mengundi (PDM) Sungai Semambu kepada PKR perlu diberi perhatian.
Peningkatan hampir sekali ganda iaitu daripada 16.8 peratus kepada 30.3 peratus undi masyarakat Cina kepada BN di PDM Sungai Semambu merupakan petanda baik kepada MCA dalam memenangi hari pengundi.
Di satu sudut lain, pakatan pembangkang seharusnya segera mengikis sentimen ‘dinasti Anwar’ di Permatang Pauh jika mereka ingin terus mengekalkan kemenangan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.
Jika sentimen 'parti anak-beranak' dan ‘kerusi suami isteri’ tidak ditangani segera, tidak mustahil BN berjaya menduduki semula kerusi Parlimen Permatang Pauh sedikit masa lagi.
Bermula daripada sekarang, PKR wajar mengetengah calon pengganti Dr Wan Azizah untuk diketengahkan pada PRU-14.
Menerusi amanat dan ucapan terima kasihnya selepas diumumkan menang, Dr Wan Azizah meletakkan isu simpati terhadap Anwar yang kini sedang menjalani hukuman penjara sebagai antara faktor utama kemenangannya.
Mungkin tafsiran itu ada kebenarannya, tapi ia bukanlah seratus peratus pendorong kemenangan PKR di Permatang Pauh.
Pengundi Permatang Pauh memangkah Dr Wan Azizah pada kertas undi bukan kerana beliau adalah isteri Anwar namun kerana mereka marahkan BN berhubung pelbagai kontroversi khususnya pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) serta kaedah pengurusan kewangan negara.
Walaupun hudud menjadi nadi perjuangan ahli dan penyokong PAS, namun isu GST lebih dekat dengan pengundi apabila ia berkait rapat dengan soal perbelanjaan harian.
Tidak mustahil untuk BN merampas kembali kerusi Permatang Pauh daripada PKR.
Namun formulanya perlu betul. Selain calon yang bersih, dasar kerajaan secara keseluruhannya adalah penyumbang kepada faktor kemenangan kerana isu pembangunan setempat bukan lagi menjadi perhatain pengundi.
Di Permatang Pauh sendiri, rata-rata pengundi selesa dengan pembangunan sedia ada dengan pecahan taburan penduduk dari kawasan kampung tradisional, semi-bandar dan bandar seperti Seberang Jaya.

KWAP Setuju Beli Tanah TRX Pada Kos Lebih Rendah Berbanding Perjanjian TH


Diterbitkan: Isnin, 11 Mei 2015 10:30 AM
Ibu Pejabat Baharu: Model skala Tun Razak Exchange pada majlis pelancarannya di Kuala Lumpur kira-kira tiga tahun lalu.

PETALING JAYA: Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) telah bersetuju untuk membeli sebidang tanah dan bangunan yang akan dijadikan ibu pejabat baharunya di Tun Razak Exchange (TRX) pada harga lebih 15 peratus lebih rendah daripada apa yang telah dibayar oleh Lembaga Tabung Haji (LTH).
Kepala perjanjian bagi pembelian itu telah diselesaikan antara KWAP dan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang akan menyaksikan KWAP membayar antara RM1 bilion dan RM1.2 bilion untuk sebuah bangunan 40 tingkat dan tanah di TRX di Kuala Lumpur.

Menurut sumber, KWAP akan membeli tanah itu pada harga kira-kira RM2,300 bagi setiap kaki persegi.

"Kepala perjanjian adalah permulaan kepada perjanjian jual beli (S & P). Syarat-syarat perjanjian juga ketat di mana KWAP hanya akan membayar 10 peratus terlebih dahulu dan selebihnya apabila bangunan itu siap," kata sumber berkenaan.

LTH membayar RM188.5 juta kepada 1MDB, atau RM2,774 sekaki persegi, untuk 0.64 hektar tanah miliknya di TRX.

Pembelian oleh LTH telah dikritik hebat dan dana jemaah haji itu pada Sabtu mengumumkan akan menjual tanahnya.

Pengerusi LTH Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata dana itu jemaah haji dijangka memperolehi keuntungan RM5 juta daripada penjualan  tanah yang dibelinya daripada   1MDB dengan harga RM188.5 juta.

KWAP telah menyewa ibu pejabatnya dan keputusan untuk berpindah ke TRX adalah langkah semula jadi memandangkan pembangunan sedang direka untuk menjadikannya sebagai hab pasaran kewangan Islam.

"KWAP mahu berada dalam kawasan di mana pasarannya, akan menjadi sebuah pusat kewangan Islam," kata satu sumber.

Ibu pejabatnya pada masa ini terletak di Menara Yayasan Tun Razak, yang dimiliki oleh Yayasan Tun Razak dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

Walaupun perjanjian S & P masih belum ditandatangani, syarat-syarat perjanjian untuk membeli bangunan dan tanah itu akan menjadi lebih baik daripada transaksi di antara 1MDB dan LTH yang dibatalkan, kata sumber.

"KWAP akan membayar deposit sebanyak 10 peratus dan wang itu akan dimasukkan ke dalam akaun 'escrow'," kata sumber berkenaan.

1MDB, syarikat pelaburan Kementerian Kewangan (MoF) di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, sedang menghadapi masalah aliran tunai untuk memenuhi obligasi hutangnya sejumlah RM42 bilion.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengetuai senarai ahli-ahli politik termasuk menteri Kabinet semasa dalam mencari jawapan daripada Najib tentang bagaimana dan mengapa 1MDB telah dilibatkan dalam perkara ini.

Mengenai bangunan KWAP, sumber itu berkata lokasi ibu pejabat baharu itu akan mengadap stesen bawah tanah Mass Rapid Transit (MRT) yang akan dibina di TRX.

Stesen itu akan menjadi stesen terbesar di sepanjang laluan MRT Sungai Buloh-Kajang yang sedang dalam pembinaan.

Pada masa akan datang, KWAP akan menduduki 10 tingkat ibu pejabat dan menyewakan unit-unit yang lain.

Ia membayar sewa RM4 sekaki persegi di Menara Yayasan Tun Razak.

Denda Dan Penjara Jika Tidak Solat Jumaat Di Kedah


Diterbitkan: Isnin, 11 Mei 2015 3:19 PM

ALOR SETAR: Bermula 1 Jun ini, umat Islam yang tidak menunaikan solat Jumaat sebanyak tiga kali berturut-turut boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 13 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014, kata Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK).
Ketua Pegawai Penguat Kuasa JAIK Syeikh Ahmad Fisol Omar berkata mereka yang didapati bersalah boleh disaman tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.
"Kita tidak mengeluarkan saman secara membuta. Kita akan bertindak mengikut aduan yang dilaporkan orang awam terutama sekali yang tinggal dalam kariah sendiri.
"Sekiranya pesalah gagal memberi kerjasama, kita juga akan memohon waran tangkap dari Hakim Mahkamah Syariah," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini.
Syeikh Ahmad berkata pihaknya menerima banyak aduan mengenai kehadiran lelaki Islam di tempat-tempat awam di negeri ini ketika waktu solat Jumaat, dan berharap undang-undang itu dapat membendung perbuatan meninggalkan solat Jumaat.
Perkara tentang Seksyen 13 berkenaan kegagalan menunaikan solat Jumaat itu termaktub dalam Rang Undang-Undang Kesalahan Jenayah Syariah (Kedah Darul Aman) 2014, yang diluluskan sidang Dewan Undangan Negeri tahun lepas.
Penguatkuasaan sepatutnya bermula pada 1 Feb lepas tetapi Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah JAIK akan hanya mula menguatkuasakan secara sepenuhnya 1 Jun ini.
Syeikh Ahmad berkata JAIK mengadakan jelajah di 12 daerah di negeri ini untuk memberi penerangan kepada pihak yang boleh membantu dalam menguatkuasakan undang-undang itu.
"Poster dan pekeliling tentang undang-undang itu turut diedarkan kepada 568 masjid di seluruh Kedah," katanya.
Beliau berkata orang awam boleh mendapatkan borang aduan ketidakhadiran solat Jumaat itu di pejabat-pejabat agama daerah dan maklumat pelapor akan dirahsiakan.

Raja Arab Saudi tak jadi jumpa Obama

Raja Arab Saudi tak jadi jumpa Obama
Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud

WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud tidak akan berjumpa dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama yang dijadualkan berlangsung minggu ini.

Menurut CNN, perubahan saat akhir tersebut datang empat hari sebelum sesi mesyuarat dua hari di antara Obama dengan pemimpin Arab dari Majlis Kerjasama Teluk.

"Kami mendapat tahu mengenai perubahan tersebut dari pihak Arab Saudi pada Jumaat," menurut pegawai senior rasmi White House.

"Pihak Arab Saudi mengesahkan perkara tersebut pada Sabtu. Kami bekerja rapat dengan Arab Saudi untuk mengatur satu pertemuan alternatif dan berharap dapat menyambut Putera Mahkota Mohammed dan Putera Raja Mohammed," katanya.

Duta diraja Arab Saudi dalam satu kenyataan mengatakan ketidakhadiran Raja Salman disebabkan waktu pertemuan tersebut yang menghampiri tarikh gencatan senjata di Yaman dan pembukaan Pusat Bantuan Kemanusiaan Raja Salman.

Bilionair bawa 6,400 pekerja pergi bercuti

Bilionair bawa 6,400 pekerja pergi bercuti
Pekerja Tiens dalam cubaan memecah rekod dunia untuk 'rangkaian manusia terpanjang' di dunia di Nice, Perancis. - Foto AP

CANNES - PERANCIS. Seorang bilionair warga China menempah 84 pesawat, 147 bas, 140 hotel dan lebih 4,500 bilik untuk percutian 6,400 pekerja syarikatnya, awal bulan ini.

Menurut metro.co.uk, bilionair dan CEO, Li Jinyuan dari syarikat Tiens juga berjaya memecah rekod 'rangkaian manusia terpanjang' di dunia semasa berada di Nice.

Beberapa kedai ekseklusif juga ditempah untuk supaya pekerja syarikat Tiens mambu membeli-belah dengan aman.

Pekerja Jinyuan juga dibawa ke Palais Nikaia untuk menonton persembahan kabaret, Moulin Rouge.

Difahamkan, percutian tersebut juga simbolik menjayakan kerjasama syarikat Tiens dengan kerajaan Perancis.

Selain daripada pekerja Tiens, terdapat beberapa pelancong Rusia dan Kenya menyertai rombongan tersebut.

Kesemua pekerja Tiens diberikan layanan VIP manakala pekerja terbaik diberikan layanan VVIP.

Ancaman terbaru Korea Utara

Seoul: Tentera Korea Utara semalam mendakwa berjaya melancarkan peluru berpandu balistik dari kapal selam, sekali gus meningkatkan kemampuan serangan negara berkuasa nuklear itu.
Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un yang menyaksikan ujian itu memuji peluru berpandu balistik itu sebagai senjata strategik bertaraf dunia.
Agensi berita rasmi Korea Utara, KCNA turut menyiarkan beberapa gambar peluru berpandu berkenaan muncul di permukaan laut selepas dilancarkan sebuah kapal selam.
Ujian itu melanggar sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang mengharamkan Pyongyang memiliki teknologi peluru berpandu balistik.
Teknologi itu menjadikan ancaman serangan nuklear Pyongyang ke tahap lebih tinggi kerana kapal selam Korea Utara boleh dihantar sehingga ke Semenanjung Korea serta berkemampuan membalas serangan nuklear dengan pantas.
Pakar kajian antarabangsa di Universiti Johns Hopkins di Amerika Syarikat sebelum ini memberitahu teknologi untuk membangunkan senjata itu sangat mahal dan Pyongyang memerlukan masa bertahun-tahun untuk mencapainya.
“Sekiranya benar ujian ini berjaya, Pyongyang berjaya mencapainya lebih awal daripada jangkaan semua pihak,” kata pakar kajian krisis antarabangsa di Seoul, Dan Pinkston.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mei 2015 @ 10:05 AM


PELURU berpandu balistik muncul di permukaan laut selepas dilancarkan dari sebuah kapal selam milik Korea Utara.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/49860#sthash.HWlpwXTn.dpuf

Demonstrasi bantah Cameron, keputusan pilihan raya Britain


Anggota polis terpaksa menghalang penunjuk perasaan daripada memecah
Anggota polis terpaksa menghalang penunjuk perasaan daripada memecah masuk Downing Street dalam satu kekecohan di tengah London, kelmarin. REUTERS
LONDON 10 Mei – Beratus-ratus penunjuk perasaan bertindak ganas dalam demonstrasi di Downing Street kerana tidak berpuas hati dengan keputusan Parti Konservatif mencapai kemenangan majoriti dalam Pilihan Raya Umum Britain, kelmarin.
Mengikut laporan akhbar Daily Mail, seramai 17 penunjuk perasaan turut ditahan mengikut Akta 1986 pada demonstrasi itu apabila mereka bertindak menyerang anggota polis, membuat kacau selain berkelakuan ganas.
Kumpulan menggelar diri mereka sebagai ‘Perhimpunan Rakyat’ itu mengadakan demostrasi aman untuk melahirkan rasa tidak puas hati terhadap keputusan pilihan raya selain protes terhadap Perdana Menteri, David Cameron yang kembali menerajui Britain untuk penggal kedua.
Penunjuk perasaan berarak dalam kumpulan kecil dari Whitehall sehingga ke pekarangan pejabat Perdana Menteri di Downing Street, dengan ada diantaranya memakai topeng dan cermin mata hitam agar tidak dapat dikenali.
Mereka kemudian mula bertindak ganas dengan menyerang polis menggunakan bom petrol, tin, dan botol air.
Mereka juga dilihat membawa papan tanda memaparkan perkataan lucah selain mengeluarkan kata-kata kesat memaki hamun polis yang menghalang mereka daripada meneruskan protes itu.
Seramai lima anggota polis cedera dengan dua daripadanya menerima rawatan di hospital, dipercayai patah tulang dan cedera di bibir.
Pihak polis terpaksa menutup jalan-jalan utama yang hanya dibuka kembali selepas kumpulan itu bersurai, beberapa jam kemudian.
Ahli Parlimen Parti Konservatif, Sir Peter Bottomley memohon kepada penduduk agar menerima keputusan pilihan raya dengan terbuka.
Jurucakap Downing Street turut mengecam perbuatan menconteng grafiti monumen perang sebagai tidak menghormati pengorbanan pahlawan yang telah terkorban demi negara.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/demonstrasi-bantah-cameron-keputusan-pilihan-raya-britain-1.90458#sthash.14gDLHAS.dpuf