Wednesday, December 3, 2014

Penduduk Islam ditindas di Britain

Golongan wanita di Britain turut terkena tempias diskriminasi dalam pasaran kerja di negara itu.
Golongan wanita di Britain turut terkena tempias diskriminasi dalam pasaran kerja di negara itu.

LONDON - ENGLAND. Laporan terbaharu menunjukkan orang Islam di Britain berdepan diskriminasi paling teruk dalam pasaran kerja di negara  itu.

Pendedahan yang diterbitkan akhbar The Independent itu adalah berdasarkan kajian dilakukan Dr Nabil Khattab dan Profesor Ron Johnson ke atas data diperoleh daripada Pejabat Statistik Kebangsaan.

Tinjauan tersebut menunjukkan kira-kira 76 peratus lelaki Islam gagal mendapatkan pekerjaan berbanding lelaki Kristian yang mempunyai kelayakan dan umur sama.

Kajian ke atas 14 kumpulan etnik di negara itu juga mendapati hanya bangsa Yahudi mendapat peluang kerja lebih cerah jika mahu dibandingkan dengan warga Britain yang lain.

Sementara itu, wakil Suruhanjaya Hak Asasi Orang Islam berpusat di London, Abed Choudry bertindak menyalahkan kerajaan dan media kerana sering memberi persepsi negatif ke atas penduduk Islam di negara terbabit.

"Laporan itu jelas menunjukkan Islamophobia semakin menular di Britain," tegasnya yang dipetik Press TV

Doktor guna pam basikal jalani pembedahan

Gambar dirakam di kem pemandulan di Kampung Banarpal menunjukkan
Gambar dirakam di kem pemandulan di Kampung Banarpal menunjukkan doktor menggunakan pam basikal bagi menjalani pembedahan ke atas pesakit. – AGENSI
DELHI 2 Dis. - Sekeping gambar yang men­dedahkan sekumpulan doktor di India menggunakan pam basikal untuk menjalankan pembedahan pemandulan mengejutkan ramai pihak yang mula mempersoalkan kreadibiliti sistem perubatan di negara ini.
Mail Online melaporkan, gambar yang dipercayai dirakamkan di kem pemandulan di Kampung Banarpal, daerah Angul itu menunjukkan doktor-doktor terbabit menggunakan pam basikal untuk mengembungkan abdomen pesakit bagi memudahkan pembedahan dijalankan.
Difahamkan 56 orang pesakit sudah menjalani pembedahan sedemkian di kem berkenaan.
Imej yang tidak dinyatakan sumbernya itu didedahkan dua minggu selepas 13 orang wanita dilaporkan meninggal dunia selepas menjalani pembedahan pemandulan di negeri Chhattisgarh.
Akhbar Hindustan Times memetik laporan seorang pegawai daerah Angul sebagai berkata, pihaknya mengakui teknik yang ‘keras’ telah diguna pakai ke atas 56 pesakit yang menjalani pembedahan pemandulan pada hari tersebut.
Doktor yang menjalankan pembedahan berkenaan, Dr. Mahesh Prasad Rout berkata, penggunaan pam basikal bagi mengembungkan abdomen merupakan perkara biasa di beberapa buah kawasan terpencil di negara ini.
Sementara itu, pegawai perubatan tempatan berkata, siasatan sudah dijalankan berhubung pendedahan berkenaan dan laporan lengkap mengenainya akan dikeluarkan pada minggu ini.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/doktor-guna-pam-basikal-jalani-pembedahan-1.31960#sthash.mmCHRl3K.dpuf

Madonna khianati keluarga anak angkat

Madonna bersama anak angkatnya, Mercy James.
Madonna bersama anak angkatnya, Mercy James.
LOS ANGELES 2 Dis. – Penyanyi, Madonna dituduh ‘mengkhianati’ keluarga anak angkatnya, Mercy James ketika mereka merayu untuk bertemu kanak-kanak perempuan tersebut.
Datuk Mercy, Saxon Maude dari Malawi menuduh bintang pop itu meminggirkan mereka dan gagal memenuhi janji untuk memastikan kanak-kanak tersebut tidak melupakan asal usulnya.
“Tiada sesiapa memaklumkan kepada saya tentang kedatangan Mercy ke negara ini atau bagaimana keadaannya sejak dia meninggalkan kami.
“Mercy adalah darah daging saya. Tidak munasabah saya tidak dimaklumkan apa-apa tentang kehidupannya,’’ kata Muade kepada portal berita Daily Mail.
Penjual periuk berumur 69 tahun itu berkata, Madonna mengecewakannya dan keluar­ganya.
Maude pada mulanya menyokong usaha Madonna untuk mengambil Mercy sebagai anak angkat bagi memastikannya mendapat pendidikan yang sempura dan dapat membantu keluarganya apabila berjaya kelak.
“Orang asing berkulit putih tidak faham budaya kami. Mereka tidak sedar setiap anggota keluarga Afrika bertanggungjawab menjaga anggota keluarga lain dengan berkongsi kemewahan mereka.
“Saya pernah bekerja dengan seorang wanita asing yang mengambil seorang kanak-kanak sebagai anak angkat mereka. Kanak-kanak tersebut berjaya menjadi seorang doktor dan pulang membantu keluarganya. Keadaan itu menyebabkan saya menyokong Mercy dipelihara oleh Madonna,’’ katanya.
Bagaimanapun, katanya, Madonna yang datang bercuti di Malawi, baru-baru ini tidak membawa Mercy berjumpa dengan anggota keluarganya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/madonna-khianati-keluarga-anak-angkat-1.31958#sthash.DhMFUGcH.dpuf

Malaysia bawa masuk 12,000 pekerja Bangladesh di sektor perladangan - PM


PUTRAJAYA: Malaysia menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Bangladesh bagi membawa masuk 12,000 pekerja dari negara itu untuk bekerja di sektor perladangan di Sarawak, kata Datuk Seri Najib Razak.
Perdana Menteri berkata, sektor perladangan di Sarawak kini memerlukan 60,000 pekerja yang akan dipenuhi secara berperingkat.
"Kita akan lihat penyesuaian 12,000 pekerja Bangladesh yang akan dibawa masuk dalam masa terdekat.
"Kita akan tentukan sama ada mahu membawa masuk lebih ramai pekerja dari Bangladesh selepas itu," katanya pada sidang media selepas menerima kunjungan hormat Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina, di sini sebentar tadi.
Malaysia dan Bangladesh turut mengadakan perbincangan lanjut mengenai kerjasama dalam bidang penjanaan kuasa dan projek pembangunan perumahan.

Silap kutuk anak Obama

Pennsylvania: Seorang pembantu ahli kongres Republikan meletak jawatan selepas cemuhannya terhadap anak Presiden Barack Obama mendapat kecaman hebat rakyat Amerika Syarikat (AS).
Ketua kakitangan ahli kongres Stephen Fincher, Jessica Carter mengesahkan peletakan jawatan Elizabeth Lauren itu Isnin lalu tanpa mengulas lanjut.
Elizabeth yang juga pengarah komunikasi Fincher memuat naik komen dalam laman Facebook mengkritik penampilan dua anak perempuan Obama, Malia, 16 dan Sasha, 13 yang dianggap sepatutnya lebih mengutamakan ‘kelas’ ketika majlis sempena Hari Kesyukuran di Rumah Putih, minggu lalu.
Dalam komennya itu, dia membidas pakaian kasual remaja berkenaan dan sikap mereka yang dianggap kurang sopan namun dianggap kebanyakan pengguna Internet sebagai perbuatan biasa remaja.
“Kamu harus menghormati peranan yang diberikan. Tetapi mungkin tidak memeranjatkan kerana ibu bapa kamu pun tidak begitu menghormati jawatan mereka sendiri.
“Jadi saya berpendapat mungkin kamu dibesarkan tanpa mendapat contoh yang baik,” katanya.
Elizabeth kemudian memohon maaf dan memadamkan komen berkenaan ekoran kecaman pengguna media sosial.
Katanya, tindakan berkenaan diambil selepas dia berdoa, berbincang dengan keluarga dan membaca semula komennya menyebabkan dia mempertimbangkan semula apa yang ditulisnya itu.
“Pertama kali menulis komen di Facebook, saya terlampau mengikut perasaan selepas membaca sebuah artikel dan mengadili mereka dengan cara yang saya sendiri tidak gemari ketika berusia remaja.
“Saya mahu memohon maaf kepada siapa yang terluka dengan ayat saya,” kata Lauren.
Rumah Putih tidak mengulas kejadian itu. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Disember 2014 @ 7:25 AM




GAmbar yang dikritik Elizabeth menunjukkan Sasha (tengah) dan Malia ketika mendengar ucapan bapa mereka.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/13610#sthash.pw5nfyjr.dpuf

Polis AS diarah pakai kamera badan



BEBERAPA anggota polis kelmarin menahan seorang penunjuk perasaan yang membantah keputusan juri besar Missouri membebaskan anggota polis kulit putih yang menembak seorang remaja kulit hitam, Michael Brown pada 11 Ogos lalu.


WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama mahu melihat lebih ramai anggota polis memakai kamera badan semasa bertugas bagi mengelak sebarang kontroversi seperti kejadian seorang remaja berusia 18 tahun, Michael Brown yang ditembak mati dipercayai dalam keadaan tidak bersenjata.
Berikutan itu, Obama mencadangkan pakej perbelanjaan tiga tahun berjumlah AS$263 juta (RM901.6 juta) untuk meningkatkan penggunaan kamera badan, meluaskan latihan anggota polis dan me­nyalurkan sumber tambahan bagi penambahbaikan jabatan polis.
Pakej berkenaan termasuk sejumlah AS$75 juta (RM257.1 juta) bagi membeli 50,000 unit ka­mera kecil untuk merakam tindak tanduk anggota polis semasa bertugas dengan separuh kos tersebut dibiayai oleh pentadbiran negeri dan tempatan.
Biro Siasatan Persekutuan menganggarkan terdapat hampir 700,000 anggota polis di AS pada tahun 2011.
Mengulas saranan Obama, White House menyatakan kamera tersebut dapat membantu mengurangkan jurang ketidakyakinan orang ramai terhadap polis.
Selain itu, usaha tersebut juga dapat membantu menyelesaikan pertikaian seperti yang berlaku dalam kes seorang anggota polis kulit putih menembak mati Brown pada Ogos lalu. Orang ramai berang apabila juri mahkamah membebaskan anggota polis itu, Darren Wilson setelah memutuskan dia tidak bersalah dalam kes tersebut.
– AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1203&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz3KmoaHelO 
Hakcipta terpelihara 

Obama desak Kongres segera luluskan AS$6.18 bilion tangani Ebola



AFP - GAMBAR yang dirakam pada 27 September lalu menunjukkan seorang jururawat memimpin tangan seorang kanak-kanak yang dijangkiti wabak Ebola di sebuah pusat rawatan di Monrovia, Liberia.


WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama berkata, beliau akan mendesak Kongres meluluskan segera dana kecemasan sebanyak AS$6.18 bilion (RM21 bilion) untuk membantu negara Afrika Barat menangani wabak Ebola.
Menurut beliau, peruntukan tersebut juga penting untuk melengkapkan persediaan hospital-hospital tempatan apabila wabak berkenaan dikesan di AS.
Katanya, dana itu termasuk AS$1.5 bilion (RM5 bilion) yang akan digunakan sebagai tindakan kecemasan jika jumlah sebenar tidak diluluskan oleh anggota Kongres.
“Dana tersebut merupakan sebahagian pakej untuk menghadapi risiko besar,” kata Presiden InterAction, Sam Worthington iaitu sebuah pertubuhan bukan kerajaan.
“Saya fikir wujud kurang kefahaman mengenai keperluan jangka panjang untuk berhadapan dengan wabak penyakit seperti ini dan bagi memastikan masalah itu tidak berlaku lagi pada masa akan datang,” kata Worthington.
Sementara itu, beberapa penggubal undang-undang mengaku AS perlu mengambil tindakan untuk menangani penyakit yang boleh membawa maut, namun segelin­tir pihak pula dilihat berhati-hati memberi kelonggaran pelaburan wang dalam masalah kesihatan awam di Afrika Barat.
Wabak Ebola telah membunuh sekurang-kurangnya 5,987 orang sejak Mac lalu terutamanya di Guinea, Liberia dan Sierra Leone.
– Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1203&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3KmnqiuVH 
Hakcipta terpelihara 

India beli 126 jet pejuang Rafale Perancis



AFP - GAMBAR fail menunjukkan sebuah jet pejuang Rafale keluaran Perancis.


NEW DELHI – Menteri Pertahanan India dan Perancis kelmarin kini di peringkat akhir persetujuan bagi pembelian seba­nyak 126 buah jet pejuang keluaran Perancis yang dianggarkan bernilai AS$15 bilion (RM51.4 bilion), kata pegawai.
Sebelum ini syarikat Perancis, Dassault Aviation cuba menjual jet-jet Rafale yang dikeluarkan pada 2012 kepada India tetapi berhadapan dengan masalah apabila gagal mencapai persetujuan mengenai harga selain India sendiri berdepan dengan krisis ekonomi menyebabkan kekurangan peruntukan bagi pembelian berkenaan.
Kelmarin, Menteri Pertahanan Perancis, Jean-Yves Le Drian mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya, Manohar Parrikar yang dilantik sebagai Menteri Pertahanan India bulan lalu.
“Kedua-dua pihak telah bersetuju untuk mengadakan kerjasama strategik termasuk membincangkan isu jet Rafale. Kita juga memutuskan bahawa jika wujud sebarang perbezaan pandangan, suatu jalan penyelesaian segera perlu diambil,” kata jurucakap Menteri Pertahanan India, Sitanshu Kar.
Berdasarkan perjanjian, sebanyak 18 buah pesawat yang dibina di Perancis akan dihantar ke India, manakala baki 108 buah pesawat dipasang oleh syarikat tempatan, Hindustan Aeronautics Ltd di India.
Peringkat akhir rundingan kontrak perjanjian antara dua negara itu akan dimasukkan dalam bajet India yang bakal dibentangkan pada Mac 2015, jelas Ketua Eksekutif Dassault Aviation, Eric Trappier pada bulan lalu. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1203&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3Kmn2yilT 
Hakcipta terpelihara