pakistan salji
ISLAMABAD - Angka askar Pakistan yang terbunuh dalam tragedi runtuhan salji, di wilayah Kashmir yang menjadi pertikaian antara negara itu dan India, dikhuatiri meningkat kepada 135 orang.
Jurucakap tentera Pakistan, Mejar Jeneral Athar Abbas berkata, seramai 124 askar Pakistan dan 11 orang  awam hilang selepas salji setebal 21 meter runtuh dan menimbus kem tentera di kawasam Glasier Siachen, awal pagi semalam.
Laporan awal menyebut bahawa 100 askar dan 11 orang awam hilang.
Pasukan penyelamat belum menemui mangsa yang terselamat setakat ini.
Dipetik BBC, Athar juga berkata bahawa runtuhan salji meliputi kawasan seluas satu kilemeter persegi dan menyifatkan tragedi ini sebagai sesuatu yang "sangat buruk."
Kem tentera itu terletak 4,572 meter dari paras laut, di wilayah Gayari, berhampiran sempadan India.
Katanya, adalah terlalu awal untuk mengatakan berapa ramai yang terselamat dan jumlah yang terbunuh.
Malah, beliau juga memberi amaran operasi mencari dan menyelamat akan mengambil masa beberapa hari.
Suhu di lokasi kejadian dilaporkan -70 darjah Celsius.
Kejadian runtuhan salji pada 2010 telah meragut nyawa 24 askar Pakistan, jumlah yang terbanyak sebelum tragedi semalam.