Tuesday, August 25, 2015

Pancaroba

Lvr Francis's photo.

Terima & Perbaiki Situasi Ekonomi Secepat Mungkin - Nazir Razak


Diterbitkan: Selasa, 25 Ogos 2015 4:00 PM
Nazir Razak.

PETALING JAYA: Pengerusi Kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Razak memuat naik gambar seekor "Wall Street Bull"  tumbang di akaun Instagramnya untuk menggambarkan keadaan semasa ekonomi di negara ini.
Gambar tersebut yang menerima lebih 650 likes dimuat naik bersama kapsyen yang mengandungi kata-kata berunsur nasihat kepada mereka yang berkuasa.
"Mati atau cedera? China akan menentukan, tetapi nilai relatif normal baharu akan diguna pakai bagi kebanyakan pasaran yang muncul. Terima dan sesuai diri dengan cepat.
"Sementara itu, modal sangat sensitif; berita buruk dan tanda-tanda tidak baik diperluas, jadi mereka yang 'berkuasa' perlu mengelak mengatakan perkara bodoh," tulis Nazir yang juga adik kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau tidak menyatakan dengan jelas mengenai individu yang dirujuk itu.
Wall Street Bull atau lebih dikenali sebagai "Charging Bull" merupakan sebuah monumen ikonik berwarna gangsa yang terletak berhampiran Wall Street, New York.
Ia dibina pada 1989 oleh artis Arturo Di Modica untuk melambangkan keyakinan dan kekuatan kewangan berikutan kejatuhan pasaran saham Amerika Syarikat pada 1987

Mohon Batal Pernyataan Pembelaan Rafizi


Diterbitkan: Jumaat, 21 Ogos 2015 1:54 PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor memfailkan permohonan bagi membatalkan beberapa perenggan dalam pernyataan pembelaan Naib Presiden PKR Mohd Rafizi Ramli dan satu lagi pihak dalam saman fitnah berhubung isu subsidi minyak.
Peguam Choo Shi Jin, yang mewakili perdana menteri dan isteri memaklumkan perkara itu kepada pemberita selepas kes disebut di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Nurdiana Mohd Nazari.
Selain Mohd Rafizi, pemilik portal 'Media Rakyat' Chan Chee Kong, turut dinamakan defendan dalam saman fitnah itu.
Prosiding dalam kamar itu turut dihadiri peguam Ng Siau Sun yang mewakili Mohd Rafizi dan Chee Kong.
Shi Jin berkata Najib dan isteri memohon memadamkan beberapa perenggan dalam pernyataan pembelaan itu atas alasan pembelaan kedua-dua defendan bukan satu komen berpatutan.
Peguam itu berkata mahkamah menetapkan 26 Ogos untuk pengurusan kes saman berkenaan.
Pada 16 April lepas, Najib dan Rosmah selaku plaintif memfailkan saman itu mendakwa Mohd Rafizi telah memberi ucapan berbaur fitnah dalam satu forum berkaitan dengan subsidi minyak di Bandar Tun Razak pada 22 November 2014.
Dalam pernyataan tuntutan itu, Najib dan Rosmah mendakwa ucapan Mohd Rafizi telah dirakam oleh 'Media Rakyat' yang kemudiannya dimuat naik oleh Chee Kong atau pembantunya ke laman web YouTube Media Rakyat dan portal Media Rakyat di bawah tajuk 'Rafizi Ramli: Kenapa Kita Pertahankan Subsidi Minyak'.
Mereka juga mendakwa bahawa rakaman yang sama turut dikongsi oleh Chee Kong dalam laman Facebook Media Rakyat, dengan ia boleh diakses secara bebas oleh pengguna internet seluruh dunia.
Menurut mereka lagi Chee Kong telah gagal mengamalkan prinsip kewartawanan bertanggungjawab kerana gagal mengambil tindakan untuk mengesahkan atau menyiasat kebenaran tuduhan yang terkandung dalam perkataan fitnah tersebut sebelum menerbitkannya.
Najib dan Rosmah turut menuntut kedua-dua defendan membayar ganti rugi am, ganti rugi tambahan dan ganti rugi teladan yang akan ditafsir oleh mahkamah.
Mereka juga menuntut satu arahan injunksi untuk menghalang Mohd Rafizi, Chee Kong dan pembantu mereka daripada menerbitkan lebih lanjut perkataan fitnah itu selain menuntut satu perintah supaya kedua-dua mereka menerbitkan permohonan maaf secara bertulis dalam surat khabar dan majalah.-- Bernama

Perhimpunan Bersih 4.0 Tidak Terjejas Tanpa PAS - Mat Sabu


Diterbitkan: Selasa, 25 Ogos 2015 5:07 PM

SHAH ALAM: Gerakan Harapan Baru (GHB) menyifatkan sambutan terhadap perhimpunan Bersih 4.0 tidak akan terjejas walaupun PAS tidak mengerahkan ahlinya menyertai himpunan itu pada hujung minggu ini.
Pengerusi GHB, Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu bagaimanapun berkata, beliau percaya ahli PAS akan menyertai perhimpunan berkenaan kerana melibatkan isu rakyat.
"Tidak terjejas bahkan saya yakin ahli PAS juga akan bersama dalam himpunan itu, Bersih adalah isu rakyat... tidak kira parti politik semua akan turun.
"InsyaAllah, akan berlaku satu perhimpunan aman," katanya pada sidang media mengenai Bersih 4.0 di pejabat GHB di sini, Selasa.
Turut hadir, Setiausaha Gerakan Harapan Baru (GHB) Dr Dzulkefly Ahmad.
Pada Isnin, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, parti itu tidak akan mengerahkan ahli dan penyokongnya untuk menyertai perhimpunan Bersih 4.0 di ibu negara pada Sabtu dan Ahad ini.
Sebaliknya kata Takiyuddin, PAS akan menghantar wakil ke perhimpunan berkenaan sebagai tanda sokongan kepada tuntutan Bersih terutama dalam aspek sistem pilihan raya yang lebih telus dan adil.
Mengulas lanjut, Mat Sabu berkata, GHB akan mengarahkan 500 sukarelawan gerakan itu yang akan bertugas pada hari itu bersama  Pemuda Sosialis DAP (Dapsy) dan Angkatan Muda Keadilan (AMK).
Beliau menambah, GHB bersama Bersih memberi jaminan bahawa perhimpunan kali ini akan diadakan secara aman tanpa sebarang keganasan.
"Kita akan bersama Bersih. Bersih kata teruskan, kita teruskan (sertai himpunan). Kita adakan perhimpunan dengan tangan kosong, tanpa senjata. Kita menolak segala bentuk keganasan.
"Saya rasa polis akan ada pertimbangan. Saya yakin mereka akan bertugas dengan baik," katanya berharap perhimpunan Bersih akan berada dalam keadaan terkawal.
Sebelum ini, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak menyertai perhimpunan Bersih 4.0 pada 29 dan 30 Ogos ini kerana ia menyalahi undang-undang dan tidak memenuhi syarat notis di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

Perpindahan Abdul Hamid Membimbangkan - Rahim Noor


Diterbitkan: Selasa, 25 Ogos 2015 10:37 AM
Abdul Hamid Bador.

PETALING JAYA: Keadaan menyelubungi perpindahan bekas Timbalan Pengarah Cawangan‎ Khas I Bukit Aman, Datuk Abdul Hamid Bador "amat membimbangkan", kata bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor.
Rahim berkata sudah ada kebimbangan apabila Ketua Cawangan Khas, Datuk Akhil Bulat yang digantikan pada Julai, seminggu sebelum kontraknya tamat.
"Orang No.1 sudah tiada lagi di sana dan kini No.2 dipindahkan.
"Orang yang waras akan berfikir adalah lebih baik untuk tidak menukar dua individu tersebut serentak," katanya.
Rahim berkata beliau tidak menyebelahi mana-mana pihak tetapi merasakan terpanggil untuk menyatakan rasa tidak puas hati terhadap cara perpindahan itu dibuat.
Abdul Hamid bekerja di bawah Rahim semasa beliau menjadi Pengarah Cawangan Khas selama hampir empat tahun (dari Januari 1986 hingga Disember 1989).
"Dia sangat bijak dan berdedikasi. Beliau adalah seorang pegawai perisikan seratus peratus. Ia ada di dalam darahnya.
"Sebagai bos, saya tidak pernah meragui beliau dan keselamatan negara sentiasa menjadi keutamaannya.
"Beliau amat dedikasi dengan unit Cawangan Khas. Beliau akan melakukan apa sahaja untuk melindungi integriti, imej dan maruah Cawangan Khas," katanya apabila merujuk kepada perpindahan Abdul Hamid dari Bukit Aman ke Jabatan Perdana Menteri, Khamis lalu.
Pada sidang media Ahad lalu, Abdul Hamid mendakwa terdapat 'tangan ghaib' yang tidak senang dengan beliau sebagai orang No.2 dalam unit tersebut.
Beliau mendakwa ia mungkin ada kaitan dengan tindakannya yang ingin menyiasat kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) secara telus.
Pada masa sama, Rahim turut bersimpati terhadap Abdul Hamid.
"Ia seolah-olah usaha untuk menutup mulut sesiapa yang menentang kepentingan pihak tertentu dalam isu 1MDB," kata Rahim.
Beliau juga memuji tindakan Abdul Hamid yang menyatakan rasa tidak puas hati mengenai perpindahan tersebut.
"Hakikatnya beliau berani mengeluarkan kenyataan semasa masih dalam perkhidmatan kerajaan, itu menunjukkan warna sebenarnya. Beliau berani kerana benar," kata Rahim.

"Buat Aktiviti Berfaedah Daripada Sertai Bersih 4.0" - Ahmad Maslan


Diterbitkan: Selasa, 25 Ogos 2015 3:01 PM
Ahmad (dua, kiri) menunjukkan salah satu logo Hari Kebangsaan yang dihasilkan oleh Hashim (tiga, kiri). Turut serta Raja Zahabuddin (kiri) dan Haryaty (empat, kiri). - Gambar - IWAN SHU-ASWAD SHUAIB

SUBANG JAYA: Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan menyeru anak-anak muda supaya melakukan aktiviti berfaedah bagi memperingati hari kemerdekaan negara daripada menyertai perhimpunan Bersih 4.0 yang dirancang diadakan hujung minggu ini.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, terdapat pelbagai program kreatif boleh dilakukan sempena hari kemerdekaan yang disambut pada 31 Ogos ini.
"Jauhilah daripada melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah sama sekali seperti yang dihasratkan oleh pihak tertentu untuk mengadakan demonstrasi Bersih.
"Sepatutnya nama Bersih itu... bersihlah tujuan dan kaedahnya. Jangan hanya namanya bersih, tetapi tujuan dan kaedahnya tidak bersih. Tidak bersih kerana mengingkari arahan pihak berkuasa," katanya kepada pemberita selepas mengadakan program Ziarah Kasih anjuran Puteri Umno di kediaman pencipta logo hari kebangsaan, Prof Madya Hashim Hassan di sini, Selasa.
Turut hadir Ketua Penerangan Puteri Umno, Haryaty Hamdzah dan Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Seni Selangor, Prof Datuk Raja Zahabuddin Raja Yaacob.
Sebelum ini, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak menyertai perhimpunan Bersih 4.0 kerana ia menyalahi undang-undang dan tidak memenuhi syarat notis di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.
"Kita sudah ada Akta Perhimpunan Aman dan membenarkan supaya diadakan di kawasan tertentu sehingga stadium pun kita boleh benarkan. Tetapi mengapa mesti berhasrat untuk melakukan di jalan raya di ibu kota yang boleh menganggu pelbagai pihak dan memberikan imej tidak baik kepada negara," soal Ahmad.
Sehubungan itu beliau berharap agar Umno termasuk sayap Pemuda, Puteri dan Wanita akan berusaha dalam masa beberapa hari lagi supaya mempergiatkan pelbagai aktiviti sempena hari kemerdekaan.
Menurut Ahmad, Biro Penerangan Umno telah menyediakan peruntukan khas kepada 191 bahagian di seluruh negara untuk melakukan aktiviti-aktiviti berkaitan dengan kemerdekaan.
"Kita sediakan kira-kira RM10,000 untuk satu bahagian bagi melakukan sekurang-kurangnya dua ceramah dan dua lagi aktiviti berkaitan kemerdekaan. Sekurang-kurangnya empat program di setiap bahagian sempena hari kemerdekaan ini," katanya.
Sementara itu, Haryaty berkata, program Ziarah Kasih menunjukkan keprihatinan orang muda terutama sayap parti terhadap orang-orang lama yang memberi banyak sumbangan kepada negara.
"Selain itu, ia memberikan inspirasi kepada orang muda untuk mencontohi sumbangan bakti mereka. Kesedaran ini dapat memberikan yang terbaik kepada negara.
"Ini juga dapat kita sebarkan supaya anak-anak muda dapat meraikan Hari Kebangsaan ini dengan cara kita sayangkan negara dan bukannya merosakkan negara," katanya.
Haryaty bagaimanapun berkata, program Ziarah Kasih bukan sekadar tertumpu kepada Hari Kebangsaan semata-mata tetapi akan dilakukan secara berterusan bagi aktiviti pergerakan Puteri Umno.

Jangan Perbodohkan Rakyat - Sultan Johor


Diterbitkan: Selasa, 25 Ogos 2015 1:49 PM
Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar.

MERSING: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar menasihatkan kerajaan supaya tidak memperbodohkan rakyat dengan membuat kenyataan yang hanya sedap didengar bagi menutup keadaan sebenar.
Baginda menggesa kerajaan untuk menyelesaikan segera masalah negara terutamanya kejatuhan nilai ringgit yang semakin teruk.
"Sebagai Sultan, saya tidak boleh mencampuri urusan politik tetapi sebagai Sultan, saya bertanggungjawab untuk memastikan suasana kehidupan rakyat dalam keadaan baik, maju dan makmur," katanya pada Selasa.
Sultan Ibrahim berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Hari Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas Ke-50 di Kem Iskandar di sini.
Sultan Ibrahim juga mengingatkan kepada pemimpin pemimpin kerajaan yang telah dipilih oleh rakyat supaya memikul tanggung jawab dengan penuh amanah untuk kepentingan umum dan jangan mengutamakan kepentingan peribadi.
Baginda juga menegur pemimpin yang memperbodohkan rakyat dengan membuat kenyataan yang hanya sedap untuk didengar bagi menutup keadaan sebenar.
“Rakyat pada hari ini adalah generasi yang berilmu dan bijak menilai maklumat yang diterima, janganlah cuba memperbodohkan rakyat dengan memberikan berita dan maklumat yang hanya sedap untuk didengar bagi menutup keadaan sebenar.
"Selesaikanlah masalah masalah yang timbul dengan segera,” titah baginda.

Jangan Sertai Perhimpunan Bersih 4.0 Di Padang Merdeka - KP Sarawak


Diterbitkan: Isnin, 24 Ogos 2015 6:03 PM

KUCHING: Orang ramai dinasihat supaya tidak menyertai perhimpunan Bersih 4.0 di Padang Merdeka di sini mulai pukul 2 petang pada 29 Ogos untuk mengelakkan tindakan diambil terhadap mereka.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Sri Muhammad Sabtu Osman memberikan nasihat itu dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Beliau berkata Ketua Polis Daerah Kuching ACP Roslan Bek Ahmad telah dimaklumkan mengenai rancangan untuk menganjurkan perhimpunan di sana oleh penganjurnya Nicholas Mujah Anson. 

"Roslan kemudian merujukkan perkara itu kepada kerajaan negeri, yang memutuskan untuk tidak membenarkan Padang Merdeka digunakan pada tarikh dan masa itu.

"Justeru, oleh kerana pihak penganjur gagal mendapat kebenaran, polis tidak membenarkan perhimpunan diadakan di sana," katanya.

Muhammad Sabtu berkata polis akan bertindak untuk menguatkuasakan undang-undang jika orang ramai atau pihak penganjur gagal mematuhi nasihat tersebut.

PDRM Nafi Guna Senjata Renjat Terhadap Peserta Bersih


Diterbitkan: Selasa, 25 Ogos 2015 2:08 PM
Noor Rashid.

KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid menafikan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menggunakan senjata renjat (taser gun) pada perhimpunan haram Bersih 4.0 hujung minggu ini.
"Tidak, kami tidak akan menggunakan alat tersebut semasa perhimpunan Bersih," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran laman web iSelamat.my di sini, Selasa.
Beliau berkata senjata renjat sudah berada di tangan mereka dan akan diedarkan kepada jabatan polis yang berbeza.
"Senjata renjat terbukti secara saintifik untuk melumpuhkan sementara penjenayah dan kami akan menggunakan alat tersebut pada masa akan datang apabila keadaan memerlukan," katanya.
Sebuah akhbar bahasa Cina, Oriental Daily memetik Noor Rashid pada Isnin sebagai berkata penunjuk perasaan mungkin akan dikejutkan dengan penggunaan senjata renjat jika rusuhan menjadi ganas.
"Dalam apa jua keadaan, polis akan mengikut prosedur operasi standard (SOP). Jika keadaan perlu dikawal, polis akan menggunakan senjata renjat untuk melumpuhkan sementara suspek seiring dengan SOP mereka," katanya.
Noor Rahsid turut menasihati orang ramai supaya memberikan kerjasama dan bertanggungjawab kerana polis menghormati hak kebebasan bersuara dan berhimpun.
"Kami akan memudahkan tapi jika mereka melanggar undang-undang, kami akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka," katanya.
Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) akan mengadakan perhimpunan keempat pada 29 dan 30 Ogos ini bagi menuntut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Perhimpunan tersebut akan diadakan di Kuala Lumpur, Sabah dan Sarawak bermula 2 petang, Sabtu ini.
Polis menyifatkan perhimpunan tersebut sebagai haram.

Perhimpunan Hujung Minggu Ini Dianggap Haram - Polis


Diterbitkan: Selasa, 25 Ogos 2015 2:28 PM

KUALA LUMPUR: Perhimpunan yang dirancang diadakan di sini, hujung minggu ini, dianggap 'tidak dibenarkan' atau haram kerana tidak memenuhi syarat Akta Perhimpunan Aman 2012.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Tajuddin Md Isa berkata berdasarkan Seksyen 9 akta tersebut, pihak penganjur perlu mendapat kebenaran pemilik tempat.
Namun sehingga kini, pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bertegas tidak membenarkan perhimpunan itu diadakan di sekitar ibu kota khususnya di Dataran Merdeka dan Dataran DBKL serta kawasan sekitarnya, katanya.
"Kita akan ambil tindakan tegas (ke atas peserta) mengikut apa jua peruntukan yg ada. Undang-undang dah ada patuhilah ia," katanya dalam sidang media bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Mhd Amin Nordin di sini, Selasa.
Tajuddin berkata pihaknya tidak mempunyai masalah membantu penganjur perhimpunan sekiranya mereka mengikut sepenuhnya undang-undang dan mengadakan perhimpunan di tempat tertutup seperti stadium seperti mana dicadang Mhd Amin.
Sementara itu, Mhd Amin mengulangi pendirian tidak membenarkan perhimpunan diadakan di lokasi awam, khususnya di Dataran Merdeka dan Dataran DBKL.
Beliau sebaliknya berkata pihaknya sedia membenarkan penganjur menggunakan Stadium Titiwangsa yang berada di bawah seliaan DBKL atau membantu mereka memohon Stadium Nasional Bukit Jalil daripada pihak Majlis Sukan Negara atau Stadium Merdeka daripada Permodalan Nasional Berhad.

1MDB: Swiss Buka Prosiding Jenayah Terhadap Dua Eksekutif


Diterbitkan: Selasa, 25 Ogos 2015 8:30 AM

ZURICH: Pejabat Peguam Negara Switzerland (OAG) membuka prosiding jenayah ke atas dua eksekutif dan individu tidak dikenali dari 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Dalam satu kenyataan pada Isnin, OAG menjelaskan jenis siasatan terhadap 1MDB yang pertama kali diumumkan kepada khalayak ramai pada Jumaat.
Prosiding tersebut dimulakan kerana dipercayai wujud pemberian rasuah di kalangan pegawai asing, salah laku dalam pejabat awam dan pengubahan wang haram, kata OAG.
Di bawah undang-undang Switzerland, pihak berkuasa berkata mereka sedang meneliti individu yang tidak dikenali apabila tidak pasti siapa yang terlibat.
Pada minggu lalu, pengawal selia kewangan Swiss Finma berkata pemeriksaan dengan beberapa bank-bank di negara ini telah dibuat sama ada mereka menjalankan urusan dengan 1MDB.
Pada Ahad, 1MDB berkata syarikat tersebut masih belum dihubungi pihak berkuasa Switzerland tetapi bersedia untuk membantu siasatan sekiranya diminta berbuat demikian. - Reuters

Cristiano Ronaldo Beli Kediaman Mewah Di New York


Diterbitkan: Selasa, 25 Ogos 2015 10:32 AM

BINTANG bola sepak dunia, Cristiano Ronaldo dilaporkan telah membeli sebuah pangsapuri mewah bernilai RM79 juta ($18.5 juta) yang terletak di tengah-tengah New York.
Pemain Real Madrid yang disenarai sebagai atlit menerima bayaran tertinggi di dunia oleh Forbes telah membeli kediaman seluas 2,509 kaki persegi di tingkat lima Menara Trump, lapor New York Post.
Rekaan pangsapuri eksklusif itu merupakan ilham daripada sebuah novel yang kemudian direalisasikan oleh taikun hartanah Itali, Alessandro Proto - rakan kongsi Donald Trump.
Akhbar Amerika Syarikat (AS) itu turut mengaitkan bahawa Ronaldo bakal mengakhiri karier di negara berkenaan sebagai pemain bola di MLS.
Ronaldo yang mempunyai aset di banyak negara dilaporkan belum mempunyai teman wanita selepas berpisah dengan model, Irina Shayk.
Pemain Portugal itu juga terkenal sebagai seorang penderma khususnya kepada Palestin dan badan bebas yang membantu negara Islam berkenaan.

Tags / Kata Kunci:

Yazid adakan usrah di rumahnya


24 OGOS 2015


KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Yazid Sufaat mengadakan beberapa sesi usrah di ruang tamu rumahnya dengan pintu berkunci.

Inspektor Shafez Adil, dari Cawangan Khas Bukit Aman, memberitahu mahkamah bahawa perkara itu dimaklumkan kepadanya melalui seorang pemberi maklumat yang menghadiri sesi itu pada 21 Julai 2012.

"Di dalam rumah itu, Yazid dilihat duduk menghadap jemaah lain yang jumlahnya tak lebih 10 orang," katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria.

Kata Shafez, beliau mengarahkan pemberi maklumat yang juga merupakan saksi terlindung untuk merakam segala kegiatan usrah itu dalam keadaan sembunyi namun audio dan percakapan di dalam usrah itu jelas.

Beliau juga berkata saksi itu akan menghubunginya sehari sebelum setiap kali usrah diadakan.

"Setiap kali bertemu dengan saksi berkenaan, saya akan memberikan alat perakam audio untuk merakam segala kegiatan usrah tersebut.

"Saksi memberitahu bahawa keadaan terkawal dan selamat ekoran Yazid tidak membuat pemeriksaan terlebih dulu terhadap anggota jemaahnya sebelum memasuki dan menyertai usrah berkenaan," katanya.

Shafez berkata kesemua rakaman percakapan dipindahkan ke dalam komputernya sebelum dipindahkan ke dalam bentuk cakera padat.

Shafez, merupakan saksi ke-19 dalam perbicaraan kes Yazid, 51, dan pembantu kafetaria, Muhammad Hilmi Hasim, 35.

Yazid berdepan dua tuduhan menggalakkan keganasan dengan niat mengugut orang awam di Syria dan menjadi anggota kumpulan Tanzim  Al-Qaeda Malaysia, manakala Muhammad Hilmi didakwa bersubahat dengannya.

Kedua-dua tertuduh diwakili peguam Amer Hamzah Arshad. Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Azman Husin bersambung esok. -  Bernama

1MDB: ‎Siasatan tidak lengkap tanpa tiga individu


SITI ZUBAIDAH MAT ISA
25 OGOS 2015Mohd Shukri Abdull
Mohd Shukri Abdull Mohd Shukri

KUALA LUMPUR - Siasatan berkaitan SRC International Sdn Bhd tidak akan lengkap tanpa keterangan ketiga-tiga individu yang sedang dikesan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Shukri  Abdull berkata, sehingga kini ketiga-tiga individu terbabit (Pengarah Urusan dan SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil dan Pengarah syarikat itu, Datuk Suboh Md Yassin serta ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low) belum menghadirkan diri ke Bahagian Operasi Khas SPRM.

“Kita masih belum menerima sebarang maklumat berkaitan ketiga-tiga individu terbabit.

“Kehadiran mereka diperlukan bagi melengkapkan siasatan. Jika (mereka) tidak hadir, tidak lengkaplah siasatan,” katanya.

SPRM dalam kenyataannya, menerusi Pengarah Siasatannya, Datuk Azam Baki tiga hari lalu menyatakan, ketiga-tiga individu itu dikehendaki menghubungi Pegawai Penyiasat Kes iaitu Penolong Pesuruhjaya Rosli Husain di talian 010-318 7757 atau 03-8890 0752, atau Penolong Pesuruhjaya Norkhafizin Isa di talian 019-6000345 atau 03-8890 0754.

Mereka dikehendaki hadir di Bahagian Operasi Khas SPRM di Aras 7, Menara Prisma, Presint 3, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya.

Azam juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai ketiga-tiga individu ini supaya menghubungi pegawai SPRM itu atau menghubungi pejabat SPRM terdekat.

Menurutnya, alamat terakhir Jho Low  dipercayai di Tanjung Bungah, Pulau Pinang, alamat Nik Faizal di Alam Impian, Shah Alam, sementara alamat Suboh di  Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.

Kalau tak suka PM, tunggulah pilihan raya‎


JANATUL FIRDAUS YAACOB
25 OGOS 2015Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz
Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz Mohamed Nazri Aziz

BUKIT FRASER - Sekiranya tidak sukakan Perdana Menteri tunggulah sehingga pilihan raya kerana perkara ini bukan soal kehendak individu ia membabitkan suara majoriti rakyat,kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan,Datuk Seri Mohamed Nazri Abd Aziz.

Beliau turut mengingatkan ahli Umno yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membuat keputusan pada pemilihan Umno akan datang.

"Jadi kalau ada ahli Umno pun tak setuju tunggulah sewaktu pemilihan Umno yang akan datang nanti jika tak suka pun.

"Manakala rakyat kalau tak suka Perdana Menteri tunggulah pilihan raya sebab ini bukan soal kehendak seorang individu ini soal kehendak suara terbesar dan suara terbesar pada tahun 2013 telah menunjukkan mereka mahu kepada Datuk Seri Najib selaku Perdana Menteri kerana beliau Presiden kepada sebuah parti (Umno) serta mendapat kerusi terbesar dalam Dewan Rakyat," katanya kepada Sinar Harian, di sini hari ini.

Nazri turut mengingatkan pimpinan Umno yang berhasrat menggulingkan Perdana Menteri untuk menghentikan hasrat berkenaan dan bekerja untuk parti serta rakyat sehingga PRU14.

"Jadi hentikanlah, buatlah kerja kalau nak jatuhkan kerajaan pun buatlah cara yang dibenarkan iaitu menerusi pilihan raya," katanya.

Beliau menegaskan sekiranya wujud  usaha untuk menggulingkan Perdana Menteri itu memang satu kesalahan di bawah kanun keseksaan.

"Sebab ia dilakukan dengan cara yang keras kerana seseorang yang dilantik, dipilih oleh rakyat tidak boleh diturunkan dengan cara yang tidak demokratik.

"Oleh itu,  kalau guna cara itu ia adalah jenayah  merupakan kesalahan di bawah kanun keseksaan dan tindakan boleh diambil," katanya.

Reaksi senada turut dizahirkan Penyelaras Adun BN Selangor, Mat Nadzari Ahmad Dahlan yang menyifatkan  usaha untuk menggulingkan Perdana Menteri sebagai satu usaha yang tidak bermoral dan tidak bertanggung jawab serta melanggar sistem demokrasi.

"Seharusnya orang yang telah dipilih itu dibenarkan untuk terus menjalankan tugasnya dengan baik,  tidak diganggu dengan cara yang tidak sopan dan tidak beradab agar kita betul-betul dapat memberi satu manfaat dan kejayaan kepada rakyat.

" Kita harus menunggu pilihan raya sebagai tempat untuk kita mengganti pemimpin yang kita mahukan," katanya.

Korea Utara siapsiaga kapal selam, artileri


24 OGOS 2015Korea Utara siapsiaga kapal selam, artileri
Korea Utara siapsiaga kapal selam, artileri Askar Korea Selatan meronda di kawasan neutral (DMZ) yang memisahkan Korea Selatan dan Korea Utara di bandar Paju.

SEOUL - KOREA SELATAN. Korea Selatan mengecam tindakan Korea Utara menggerakkan berpuluh-puluh kapal selam dan unit artileri di sempadan.

Menurut AFP, sekurang-kurang 50 kapal selam Korea Utara lenyap dari radar Korea Selatan dalam satu tindakan yang disifatkan 'memandang rendah' perbincangan tahap tertinggi yang kedua-dua Korea tersebut jalankan.

Perbincangan tersebut yang masih berjalan bertujuan untuk mengelakkan perang dari berlaku antara dua negara tersebut.

Jurucakap Kementerian Pertahanan Seoul menambah, pihaknya dan Amerika Syarikat kini meningkatkan pemerhatian di sempadan.

Laporan mengatakan Korea Utara meletakkan unit artileri dua kali ganda dari jumlah sebelumnya.

"Korea Utara bermuka-muka dalam perbincangan ini," kata jurucakap dipetik dari sebuah kenyataan yang dikeluarkan.

Laporan agensi Yonhap pula menambah, jumlah kapal selam yang digerakkan negara komunis tersebut adalah yang terbesar semenjak kedua-dua pihak menamatkan perang pada 1950-53.

"Jumlah kapal selam tersebut adalah 10 kali ganda. Ini adalah situasi yang serius," kata kenyataan tersebut lagi.

Keadaan di sempadan kedua-dua negara tersebut tegang selepas Seoul menuduh Korea Utara menanam periuk api yang melumpuhkan dua anggota tenteranya, awal bulan ini.

Pyongyang bagaimanapun menafikan tuduhan tersebut.

Seoul bertindak balas dengan menyiarkan propaganda melalui pembesar suara di sempadan, 10 Ogos lepas.