Showing posts with label saman. Show all posts
Showing posts with label saman. Show all posts

Sunday, February 17, 2013

Jumlah saman JPJ turun


Jumlah saman JPJ turun
Johari bersama Adli (kanan) menunjukkan antara kesalahan berjaya dirakamkan pihaknya.
JOHOR BAHRU - Jumlah saman yang dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor sempena ops perayaan Tahun Baru Cina pada tahun ini mencatatkan penurunan sebanyak 63 peratus berbanding tahun lalu.

Pengarah JPJ negeri, Johari Yusof berkata, pihaknya mengeluarkan 638 saman dalam tempoh kira-kira dua minggu bermula 3 hingga 14 Februari lalu berbanding 1,846 saman bagi tempoh sama pada tahun lalu.
“Jumlah kesalahan yang direkodkan turut menunjukkan penurunan sebanyak 58 peratus iaitu 886 kesalahan pada tahun ini berbanding 2,133 kesalahan untuk tahun lalu.

“Selain itu, jumlah kenderaan yang diperiksa dan diambil tindakan turut menunjukkan penurunan jika dibandingkan antara tahun ini dengan tahun lalu iaitu masing-masing mencatatkan 82 peratus dan 79 peratus,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita ketika ditemui pada sidang akhbar selepas meninjau Ops Tahun Baru Cina bersama Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Johor di Kilometer 28 Lebuhraya Pasir Gudang (menghala ke arah Taman Perling), di sini, semalam.

Hadir sama, Pengurus Penguatkuasaan SPAD Wilayah Selatan, Mejar (B) Adli Azim Ahmad.

Johari berkata, menerusi penyamaran bergambar pihaknya dalam Ops Tahun Baru Cina, sebanyak 79 kes melibatkan kesalahan gagal mematuhi peraturan lampu isyarat dicatatkan diikuti 40 kes memandu di lorong kecemasan dan 26 kes tidak memakai topi keledar bagi penunggang motosikal.

Katanya, selain itu, tujuh kes memotong garisan berkembar direkodkan selain memotong barisan dan memandu secara berbahaya (menggunakan telefon bimbit) mencatatkan masing-masing satu kes dalam ops berkenaan.
Laporan perangkaan operasi khas motosikal JPJ Johor turut mencatatkan 152 daripada 413 kenderaan yang diperiksa diambil tindakan kerana melakukan kesalahan seperti ubahsuai kenderaan, tiada perlindungan insurans, tiada lesen memandu kompeten (CDL), CDL tamat tempoh, tidak mempamerkan stiker P, tiada Lesen Kenderaan Motosikal (LKM) dan LKM tamat tempoh.

Manakala seorang daripada 25 pemandu bas yang diperiksa oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) didapati positif dadah.

Tuesday, January 22, 2013

Sekat masuk Felda: Anak fail saman pemula


KUALA LUMPUR:
 Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) akan memfailkan saman pemula memohon satu pengisytiharan bahawa tindakan Felda melarang sebarang ceramah politik diadakan di tanah rancangan adalah tidak sah.

Peguam Anak, Mohd Harris Abdullah berkata, tindakan menghalang itu bercanggah dengan undang-undang tertinggi negara iaitu Perlembagaan Persekutuan.

Dalam Fasal 9 Larangan buang negeri dan kebebasan bergerak, undang-undang itu menyebutkan, ‘Tiada seorang pun warganegara boleh dibuang negeri dari atau ditahan masuk ke Persekutuan’.

"Kita sebagai rakyat Malaysia berhak untuk bergerak bebas di mana-mana bahagian Persekutuan," katanya dalam sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut hari ini.

Difahamkan, tindakan melarang program Pakatan Rakyat di Felda adalah bersandarkan kepada Seksyen 34 Akta Group Settlement Area (GSA) yang kononnya memperuntukkan kuasa pengurus rancangan.

Di bawah Seksyen 34. 2 (b) menyebutkan: “that upon such declaration being made, the area shall vest in the development authority” iaitu bahawa apabila perisytiharan dibuat, kawasan itu hendaklah terletak hak pada pihak berkuasa pembangunan.

Namun Harris berkata, Felda hanyalah agensi yang menguruskan tanah yang tertakluk kepada kerajaan negeri.

"Jadi Felda tidak ada hak untuk menghalang mana-mana pihak untuk masuk ke Felda," tegasnya.

Justeru saman pemula itu akan difailkan Isnin depan di Mahkamah Tinggi Kuantan dengan menamakan Pengurus Pejabat Felda Jengka 12, Mohd Yazid Abdullah dan Penolong Pengurus Besar Komoditi wilayah Jengka yang mengeluarkan arahan sekatan itu.

Sementara itu, Presiden Anak, Mazlan Aliman berkata, sekatan ke atas mereka untuk masuk ke Felda semakin melampau sejak Faizol ahmad mengambil alih jawatan Penagrah Besar Felda.

"Sekarang ini kita nak buat majlis di rumah ahli sendiri pun disekat. Tapi kalau program Umno boleh sahaja dibuat di Felda," katanya.

Friday, December 21, 2012

Saman bekas KPN RM100 juta




         
KUALA LUMPUR: Pengerusi Yayasan Kebajikan Sosial, Tan Sri Robert Phang, akan memfailkan saman sebanyak RM100 juta terhadap bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan, selewat-lewatnya Isnin depan kerana merasakan dirinya difitnah individu terbabit.

Robert Phang, 73, dalam satu sidang media di ibu negara semalam berkata, satu laporan polis berhubung kenyataan media memfitnah dirinya yang dibuat bekas pemimpin tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 10 Disember lalu juga sudah dibuat di Balai Polis Jalan Tun Razak, di sini, kira-kira jam 11 malam kelmarin.


Menurutnya, Musa mendakwa dia berperanan menyebabkan seorang pegawai polis ditukar dalam tempoh 24 jam kerana tidak mahu meluluskan satu projek sistem komunikasi PDRM yang diperolehnya.

“Dakwaan itu tidak benar sama sekali dan ini adalah satu pertuduhan yang serius terhadap diri saya selain pasukan PDRM sendiri.


“Saya harap perkara ini disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah dan saya bersedia disiasat polis serta dihadapkan ke mahkamah berhubung dakwaan yang dibuat oleh Musa itu,” katanya.


Katanya, dia tidak faham kenapa Musa membuat dakwaan sedemikian yang seolah-olah ingin menjatuhkan intergritinya dan PDRM.

“Saya tidak tahu apa motif sebenar beliau membuat pelbagai tuduhan serta kritikan terutama terhadap PDRM, hanya selepas dia bersara dan pada pandangan saya mungkin dia mempunyai niat tertentu.


“Surat tuntutan supaya beliau memohon maaf secara terbuka juga sudah diserahkan kepadanya dan saya memberi tempoh tujuh hari untuk dia berbuat demikian, namun saya tetap akan memfailkan saman di mahkamah selewat-lewatnya Isnin depan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, ketika ditanya mengenai laporan polis berkenaan, memberi jaminan akan menjalankan siasatan lanjut.


“Jika benar ada laporan polis dibuat, kita akan siasat perkara itu,” katanya.

Thursday, December 20, 2012

Perbicaraan kes Husam saman fitnah Kickdefella diteruskan



WARTAWAN SINAR HARIAN
20 Disember 2012
Kickdefella
Kickdefella
KUANTAN - Perbicaraan kes saman fitnah yang dikemukakan Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa terhadap penulis blog, Kickdefella diteruskan semalam selepas kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan untuk selesaikan kes itu di luar mahkamah.

Husam menfailkan tuntutan saman RM5 juta terhadap Kickdefella atau nama sebenarnya, Syed Azidi Syed Abdul Aziz berikutan penyiaran artikel yang didakwa berunsurkan fitnah terhadap beliau.

Dalam prosiding semalam, dua saksi sampingan, Penolong Pengurus Projek dan Hartanah Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Ismail Shauki Ibrahim, 56 dan Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Sanusi Othman, 42, hadir memberikan keterangan dalam perbicaraan yang berlangsung di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuntan, Datuk Mariana Yahya.

Sementara itu, Peguam, Datuk Jahaberdeen Mohamed Yunoos yang mewakili Kickdefella ketika ditemui di luar mahkamah berkata, perbicaraan kes itu terpaksa diteruskan selepas kedua-dua pihak gagal mencari jalan penyelesaian di luar mahkamah.

Menurutnya, untuk perbicaraan seterusnya yang ditetapkan pada 28 Februari hingga 8 Mac 2013, pihaknya akan mengemukakan lima saksi.

“Selain Husam, kita juga akan menyerahkan sapina untuk memanggil empat saksi termasuk Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, timbalannya, Datuk Ahmad Yakob, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kebudayaan dan Pelancongan Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan dan peguam, Nordin Noor.

“Pihak plaintif dijangka mengemukakan lima atau enam saksi memberi keterangan dalam perbicaraan kelak,” katanya.

Dalam perbicaraan semalam, Peguam Husam, Hisham Fauzi memaklumkan plaintif tidak hadir kerana mempunyai tugasan rasmi manakala Kickdefella hadir bersama individu dipercayai penyokong.

Sunday, November 25, 2012

Izzah saman Utusan isu kebebasan beragama



RUZY ADILA IDRIS
23 November 2012
Nurul Izzah Anwar
NURUL IZZAH ANWAR
KUALA LUMPUR – Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar hari ini memfailkan saman fitnah terhadap Kumpulan Utusan dan ketua pengarangnya berhubung laporan berkenaan dengan kenyataan menyentuh kebebasan beragama, yang menurut beliau telah diputarbelitkan oleh akhbar terbitan syarikat berkenaan.
Syarikat itu merupakan penerbit akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia.
Nurul Izzah memfailkan tuntutan saman melalui firma guaman Tetuan Mohamed Hanipa & Associates di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Beliau selaku plaintif, menamakan syarikat Utusan Melayu (M) Berhad dan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak masing-masing defendan pertama dan kedua.
Saman itu berhubung empat artikel yang disiarkan di muka hadapan akhbar Utusan Malaysia antaranya bertajuk: "Melayu bebas pilih agama? Rakyat tidak harus dipaksa amal ajaran tertentu - Nurul Izzah" bertarikh 5 November lalu.

Menurut pernyataan tuntutan, Nurul Izzah menuntut defendan meminta maaf dan menarik balik tuduhan fitnah dalam masa 24 jam daripada tarikh perintah ke atas writ saman di muka hadapanUtusan Malaysia, ganti rugi am, ganti rugi teladan dan ganti rugi melampau, tetapi nilai tuntutan tidak dinyatakan.
Menurut pernyataan tuntutan, tiga lagi artikel yang diterbitkan akhbar berkenaan di muka surat lima bertarikh 6 November 2012 pula adalah "Nurul Izzah cuba gadai Islam, Melayu"," Naib Presiden PKR letak akidah lebih rendah daripada politik" dan "Kenyataan Nurul Izzah bertujuan jadikan Malaysia negara Pluralisme agama".
Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai juga menuntut injunksi kekal ke atas Utusan Malaysia bagi menghalang akhbar tersebut terus menyiarkan artikel sama.
Beliau tidak menyatakan jumlah ganti rugi yang dituntut dalam saman tersebut.
Ahli Parlimen Lembah Pantai itu didakwa membuat kenyataan tersebut sewaktu menjadi panelis forum “Negara Islam: Versi yang Mana; Siapa Bertanggungjawab?" di Gereja Full Gospel Tabernacle, Subang Jaya pada 3 November lalu.
Berikutan itu, beliau kemudiannya dikecam beberapa pihak termasuk Sultan Sultan melahirkan rasa kesal.

Wednesday, November 21, 2012

AES kekal, tiada cadangan beri diskaun saman




21 November 2012
AES
Sistem AES
KUALA LUMPUR - Kerajaan tidak bercadang memansuhkan pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) mahupun memberi diskaun saman kepada pesalah trafik yang dikesan menerusi sistem itu.
  
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha menegaskan bahawa sistem AES bukan untuk menghukum tetapi bagi mengajar pengguna jalan mematuhi undang-undang dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan maut.
  
Sejak fasa pertama sistem kamera AES dipasang pada 22 September lepas, ada penurunan sehingga 70 peratus bilangan mereka yang melanggar had laju dan melanggar lampu isyarat, katanya pada sidang media di Lobi Parlimen, hari ini.
  
Cho Ha berkata, pelaksanaan AES telah dikaji daripada segala aspek termasuk kepakaran memperbaiki, menyelenggara peralatan AES dan kaedah mengelakkan wujudnya vandalisme.
  
Katanya beliau berasa amat kecewa dengan tindakan segelintir wakil rakyat pembangkang yang didakwa memutarbelitkan fakta mengenai AES.

"Pembangkang mendakwa seolah-olah dua syarikat yang terbabit dalam AES mengaut keuntungan berlebihan sebaliknya mereka perlu sedar bahawa sebenarnya proses pemilihan (syarikat) dijalankan secara telus.
  
"Kedua-dua syarikat itu hanya penyedia perkhidmatan manakala penguatkuasaan pula dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)," katanya.
  
Pada sidang media yang sama, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Rahim Bakri pula berkata kandungan perjanjian antara kerajaan dengan dua syarikat penyedia perkhidmatan AES itu adalah rahsia dan sulit serta mengguna pakai Akta Rahsia Rasmi.
  
Terdahulu, semasa sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2013 peringkat jawatankuasa, Kong berkata cadangan untuk memberi diskaun kepada pesalah trafik yang dikenakan saman melalui AES akan dikaji walaupun pada masa ini, kerajaan tidak mempunyai sistem untuk berbuat demikian.
  
"Jadi, cadangan itu kita akan ambil kajian," katanya ketika menjawab gesaan anggota Parlimen Datuk Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) sama ada kementerian akan membuat kajian berhubung cadangan tersebut demi kepentingan rakyat.
  
Beliau juga berkata, kaedah pembayaran saman yang dikesan melalui AES akan diperluaskan apabila pembayarannya boleh dibuat di pejabat pos, melalui MYEG dan secara atas talian.
  
Mengenai tuduhan sesetengah pihak bahawa kerajaan menswastakan penguatkuasaan kesalahan memandu melebihi had laju dan melanggar lampu isyarat, Kong berkata ia adalah tidak benar sama sekali.
  
Katanya, ini kerana kedua-dua syarikat itu meerupakan penyedia perkhidmatan yang hanya bertanggungjawab untuk membangunkan, menyelenggara dan mengoperasikan sistem AES.
  
Katanya, seperti yang telah dijelaskan sebelum ini, semua saman adalah dikeluarkan oleh JPJ yang ditempatkan di Pusat Kawalan AES dan di bawah perjanjian di antara kerajaan dan pihak penyedia perkhidmatan, sistem tersebut akan diserahkan kepada kerajaan selepas lima tahun ia beroperasi.
  
"Sebenarnya pelaksanaan AES ini telah diberi pertimbangan sedalam-dalamnya oleh kerajaan dan jika kerajaan tidak melantik pihak syarikat swasta secara kaedah penyumberan luar, ia terpaksa memberi pertimbangan kepada masalah dari segi penyelenggaraan, risiko vandalisme, kecurian peralatan, teknologi yang berubah, alat ganti dan penyediaan dalam mengoperasi dan menyelenggarakan sistem ini," katanya. - Bernama

Sunday, November 4, 2012

Saman, cerai isteri kerana anak hodoh

BEIJING - Seorang lelaki di China sanggup menceraikan isterinya hanya kerana dia melahirkan anak hodoh.

Akhbar The Stir melaporkan, Jian Feng turut mengemukakan saman kerana mendakwa dia tertipu dengan kecantikan palsu isterinya selepas wanita itu mengaku melakukan pembedahan plastik sebelum berkahwin untuk kelihatan cantik seperti sekarang.

Feng juga menuduh wanita yang dikahwini atas dasar cinta itu mengadakan hubungan sulit dengan lelaki lain berikutan wajah bayi perempuan tersebut langsung tidak seirasnya atau isterinya. Bagaimanapun, isteri Feng menafikan dakwaan tersebut kerana dia percaya anak mereka mewarisi genetiknya.

Feng menang kes itu dan mendapat ganti rugi AS$120,000 (RM370,000). - The Week

Thursday, October 25, 2012

Tom Cruise saman majalah AS berhubung artikel mengenai anaknya

GAMBAR fail pada 4 November 2007 menunjukkan Tom Cruise mendukung Suri ketika menunggu Katie Holmes di New York. - Foto APGAMBAR fail pada 4 November 2007 menunjukkan Tom Cruise mendukung Suri ketika menunggu Katie Holmes di New York. - Foto AP LOS ANGELES: Aktor Hollywood, Tom Cruise memfailkan saman terhadap penerbit majalah Amerika Syarikat, Life and Style sebanyak AS$50 juta berhubung laporan muka depan yang mendakwa beliau tidak menjaga anak perempuannya, Suri.

Peguam Cruise berkata, majalah mingguan keluaran 30 Julai lalu memaparkan tajuk "Suri in tears, abandoned by her dad,' (Suri dalam kesedihan, ditinggalkan ayahnya) dengan gambar Suri yang berusia enam tahun teresak-esak menangis.
Suri dilaporkan tinggal dengan ibunya, Katie Holmes sejak pasangan itu mengumumkan berita mengejutkan bahawa mereka bercerai.

Peguam Cruise, Bert Fields berkata, pihaknya memfailkan saman fitnah itu semalam di Mahkamah Daerah Los Angeles dengan menuntut ganti rugi bernilai AS$50 juta.

“Tom adalah seorang ayah yang sayangkan Suri. Suri adalah sebahagian kehidupannya. Untuk menyatakan dia tidak 'memeliharanya' adalah satu pembohongan yang keterlaluan," kata Fields dalam satu kenyataan. - AFP 

Friday, October 5, 2012

Aktres saman portal berita berhubung isu pelacur



ZIY

LOS ANGELES - Aktres terkenal China, Zhang Ziyi menyaman portal berita Boxun News kerana menyiarkan laporan yang mendakwa dia merupakan seorang pelacur, kata seorang peguam pelakon itu kelmarin.
Portal berita itu yang berpangkalan di sini mendakwa Ziyi melakukan hubungan seks dengan seorang ahli politik China, Bo Xilai.
"Boxun News berulang kali melaporkan bahawa Ziyi ialah seorang pelacur," kata peguam tersebut, Adam LeBerthon.
Pendengaran saman itu dijadualkan berlangsung pada 16 Oktober ini di sebuah mahkamah di sini.
Pada Jun lalu, Ziyi, 33, yang merupakan pelakon filem Crouching Tiger, Hidden Dragon menyaman sebuah akhbar di Hong Kong, Apple Daily dan majalah mingguan, Next kerana mendakwa dia melacur untuk beberapa pegawai kanan China.
Bo dipecat sebagai setiausaha parti komunis di bandar Chongqing pada Mac lalu kerana didakwa menerima rasuah. - Agensi

Friday, May 18, 2012

Bapa Kafir: NST disaman RM1 juta


Harakahdaily,18 Mei 2012

(Laporan NST yang mendakwa Nik Aziz bapak kafir)

KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menghantar notis saman kepada semua yang terlibat dengan laporan berita 'Nik Aziz father of kafir'.

Saman pula akan difaikan minggu depan terhadap mereka yang terlibat di New Strait Times dan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor.

Saman itu dibuat ekoran kegagalan kedua dua pihak memohon maaf dan menarik balik tuduhan terhadapnya sebagai “bapa kafir” dalam tempoh yang diberikan.

Pengerusi Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia PAS Kelantan Hisham Fauzi(gambar) berkata, pihaknya kini sudah menyiapkan sepenuhnya dokumen dan dijangka memfaikan saman tersebut Isnin depan.

"Minggu depan kita akan faikan saman terhadap kedua-dua pihak tersebut, dan kita jangka ianya boleh dibuat Isnin ini," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Sebelum ini, pihaknya telah memberi tempoh 24 jam untuk Rahim menarik balik kenyataan dan memohon maaf secara terbuka kepada Tuan Guru Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS itu.

Bagaimanapun tiada sebarang respon daripada Rahim malah beliau tampil menafikannya pula.

Isnin lalu pula, pihaknya menghantar notis saman kepad NST dengan memberi tempoh 48 jam untuk akhbar milik Umno itu memenuhi tuntutan.

Selain New Straits Times (NST), notis saman itu turut menamakan Ketua Editor NST serta tiga orang wartawan yang terlibat dengan berita itu iaitu Rahmah Ghazali, Lim Poh Lean dan Nik Imran Abdullah.

Notis itu antara lain menuntut NST menyiarkan penarikan balik dan permohonan maaf di muka hadapan akhbar itu, manakala enam kali dalam muka yang lain.

Mereka juga menuntut disiarkan satu muka penuh sama permohonan maaf itu di akhbar Berita Harian ataupun Utusan Malaysia.

Selain itu, turut dituntut bayaran RM1 juta sebagai gantirugi penyelesaian luar mahkamah.

Tuesday, April 10, 2012

Mualaf tuduh isteri nusyuz, tuntut RM1j

KUALA LUMPUR: Tindakan isterinya yang keluar rumah tanpa izin, menyebabkan seorang mualaf memfailkan permohonan nusyuz terhadap wanita itu di Mahkamah Rendah Syariah, di sini semalam, serta menuntut ganti rugi RM1 juta kerana mendakwanya melanggar perjanjian yang dipersetujui sebelum berkahwin, dua tahun lalu.
Plaintif, Muhamad Sem Yap Abdullah, 39, memfailkan permohonan itu pertama kali pada 16 Januari lalu dengan menamakan isterinya, Norlysalfarina Zainal, 30, sebagai defendan.

Bagaimanapun, plaintif yang diwakili peguam syarie Othman Wahab hadir ke mahkamah semalam untuk membuat pindaan terhadap tuntutan itu.

Permohonan itu didengar di hadapan Hakim Syarie Ab Malek Awang yang seterusnya menetapkan sebutan kes itu pada 21 Mei ini.

“Mahkamah menetapkan 21 Mei ini untuk sebutan bagi dua perkara iaitu bagi mengesahkan writ saman disampaikan kepada defendan selain untuk memutuskan sama ada kes itu wajar dibawa ke Mahkamah Tinggi untuk bicara,” kata Othman. Plaintif yang bekerja sebagai pembantu arkitek di sebuah firma sebelum ini sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak lelaki, namun bercerai pada 2005 manakala ia adalah perkahwinan pertama bagi defendan.

Permohonan nusyuz yang dibuat mengikut Seksyen 59(2) Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan (Akta 303) itu meminta supaya Norlysalfarina kembali taat terhadap suaminya.


Sekiranya defendan enggan taat, mahkamah akan mensabitkan wanita itu nusyuz dan dengan itu, dia tidak boleh meminta sebarang nafkah edah, mutaah dan nafkah sebagai isteri sepanjang meninggalkan rumah kelamin.

Menurut plaintif, dia mengenali defendan menerusi laman sosial facebook dan pada ketika itu defendan bertugas di Terengganu.
Dalam penyata tuntutan pindaan itu, Muhamad Sem mendakwa Norlysalfarina yang bertugas sebagai jururawat di Bahagian Kecemasan di sebuah hospital kerajaan keluar dari rumah mereka pada 10 Januari 2012 tanpa izinnya dan tidak pulang ke rumah sehingga sekarang.

Plaintif beberapa kali menelefon dan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada defendan, namun tiada jawapan lalu plaintif membuat beberapa laporan polis.

Dalam penyataan itu, plaintif berkata, dia amat terseksa kerana sebelum ini isterinya berjanji akan hidup bersamanya.

Plaintif yang memeluk Islam pada 1994 turut mengemukakan salinan surat akujanji yang ditandatangani defendan dan seorang saksi pada 7 November 2010 yang menyatakan defendan berjanji untuk menjadi isteri solehah dan setia selama-lamanya kepada plaintif.

Defendan turut bersetuju sekiranya memungkiri janji itu atau melanggar mana-mana satu undang-undang keluarga Islam Malaysia, dia perlu membayar ganti rugi RM1 juta kepada plaintif.

Oleh yang demikian, plaintif memohon mahkamah mengeluarkan perintah supaya defendan atau waris defendan atau individu yang menghasut defendan supaya tidak mentaati plaintif, membayar RM1 juta kepada plaintif.

Plaintif juga menuntut mahkamah mengeluarkan perintah tiada nafkah perlu dibayar kepada defendan selama defendan keluar rumah dan kos perbicaraan ditanggung oleh defendan.

Pasangan itu bernikah pada 12 November 2010 di rumah keluarga wanita itu di Kerteh, Terengganu dengan hantaran RM15,000, tidak mempunyai cahaya mata.

Saturday, April 7, 2012

Sri Wani mahu saman RM6 juta



KHALILAH GUSTI HASSAN
7 April 2012
Wani
SHAH ALAM - Sri Wani Choo Abdullah nekad mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang didakwa menjatuhkan maruah dan perniagaannya.
Tanpa mendedahkan siapakah orang yang dimaksudkan, katanya, dia sudah melantik peguam untuk mengambil tindakan saman RM6 juta.

“Buat masa ini, peguam sedang mengumpul maklumat berkaitan hal ini,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sri Wani, 37, menegaskan, dia mempunyai bukti yang kukuh untuk bertindak berdasarkan khidmat pesanan ringkas (SMS) dan video bertujuan merosakkan reputasinya sebagai ahli perniagaan.
 
Suaminya, seorang bekas dekan institusi pengajian tinggi awam tempatan, yang mengesyaki Sri Wani  lelaki, memfailkan permohonan membatalkan perkahwinan di Mahkamah Tinggi Syariah.

Bahrom Sanugi, 61, bertindak demikian selepas setahun mengahwini isteri ketiganya itu,  seorang pengusaha produk kecantikan, yang memeluk Islam pada 2001.

Peguam Bahrom, Muhammad Hafiz Ab Rashid berkata, anak guamnya menikahi Sri Wani pada 19 Ogos 2009 di Songkhla, Thailand dan mendapatkan sijil nikah di Kedah.

Menyedari isterinya seorang lelaki, Bahrom membuat aduan ke Jabatan Agama Gombak dan diarah untuk berpisah sementara pada 23 November 2010.

Hakim Syarie Abdul Walid Abu Hassan menetapkan 23 April ini untuk memberi keputusan sama ada Sri Wani perlu menjalani ujian pengesahan jantina atau tidak.

Sementara itu, Sri Wani, yang berasal dari Bentong, Pahang, memfailkan bantahan terhadap permohonan suaminya dengan mendakwa dia dianiaya.

Dia turut memfailkan injunksi ex parte (sebelah pihak) terhadap dua madunya kerana mendakwa difitnah.

“Saya ada bukti mereka juga hantar khidmat pesanan ringkas (SMS) dan panggilan kurang sopan,” katanya.

Abdul Walid memerintahkan Sri Wani menyerahkan bukti itu pada 12 April ini.
 
Sri Wani dalam temu bual eksklusif dengan Sinar Harian juga menekankan bahawa dia menyayangi suaminya.
 
“Biarlah apa orang nak kata; Tuhan mengetahui segala-galanya,” katanya dalam nada sedih, tetapi tetap yakin.

Wednesday, March 21, 2012

Tanah rizab Melayu: Kelantan saman Utusan


(Laporan Utusan hari ini yang membawa tindakan saman ke atas akhbar itu)



KOTA BHARU, 21 Mac: Kerajaan negeri Kelantan mengambil keputusan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar Utusan Malaysia yang memfitnah mereka berkaitan isu tanah.

Keputusan ini dicapai dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri Kelantan yang dipengerusikan oleh Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini.

"Laporan itu kami sifatkan sebagai tidak berfakta, menghasut agar membenci kerajaan negeri dan fitnah," kata Dr Mohd Fadhli Hassan, Exco kerajaan negeri Kelantan.

Akhbar milik Umno, Utusan Malaysia hari ini menyiarkan laporan muka depan kononnya rakyat Kelantan dianiaya ekoran dakwaan tindakan kerajaan negeri memajak tanah kepada syarikat bukan bumiputra.

Laporan itu memetik kenyataan Datuk Mustapha Mohamad, Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan.

Semalam, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghantar notis saman kepada Utusan ekoran laporan media itu yang mendakwa beliau seorang biseksual.

Anwar menuntut penarikan balik berita itu, permohonan maaf dan bayaran gantirugi RM100 juta.

Dr Fadzli, exco penerangan Kelantan dalam kenyataannya berkata, kerajaan negeri telah mengarahkan tindakan itu dilaksanakan.

"Laporan itu berunsur fitnah dan ada niat politik untuk burukkan Kelantan," kata Dr Fadzli selepas menghadiri mesyuarat Exco pagi ini.

Beliau mempertikaikan, bagaimana akhbar itu boleh menyiarkan berita sebegitu sedangkan tanah rizab Melayu di negeri ini yang dikatakan dilelong dan sebagainya tidak berbangkit langsung kerana ia tidak dijual.

Wednesday, March 14, 2012

Noh saman Kerajaan Selangor, Adun Sekinchan




14 Mac 2012
Datuk Seri Noh Omar
KUALA LUMPUR - Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar telah memfailkan saman fitnah terhadap kerajaan negeri Selangor serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sekinchan Ng Sue Lim kerana didakwa memfitnah beliau.
Noh berkata kerajaan negeri Selangor melalui akhbar rasminya SelangorKini dalam keluaran 25 Nov-2 Dis 2011 telah menerbitkan dua artikel yang dikatakan memfitnah beliau berbunyi: "Pesawah tuntut Noh Omar letak jawatan" serta artikel yang turut menyiarkan kain rentang "Noh Omar khianat petani dan lesap RM110 juta untuk bantuan petani".
"Satu kita saman kerajaan negeri bersama enam yang lain termasuk sidang pengarang SelangorKini dan satu lagi kepada Adun Sekinchan," katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini hari ini.
Katanya, saman sebanyak RM10 juta setiap satu telah difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 9 Mac lepas melalui peguamnya Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin.
Noh berkata penerbitan kata-kata fitnah itu boleh menjatuhkan reputasi beliau sebagai anggota parlimen Tanjong Karang, menteri dan juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor.
Mahkamah menetapkan 22 Mac ini untuk pendengaran pengurusan kes.

Thursday, February 16, 2012

Blogger Papagomo disaman Husam Musa pula



KOTA BHARU, 16 Feb: Blogger mesra Umno, Papagomo sekali lagi menerima nasib malang apabila disaman pula Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa (gambar) berhubung dakwaan fitnah yang disiarkan melalui blognya.

Dua minggu lepas blogger terbabit disaman seorang peguam terkenal, Datuk Shukri Mohamad juga berkaitan artikel fitnah yang disiarkan dalam blognya.

Writ saman tersebut difailkan Husam melalui peguam Hisham Fauzi baru-baru ini dengan menuntut gantirugi sebanyak RM10 juta, memohon maaf secara bertulis, gantirugi teladan, gantirugi melampau dan gantirugi punitif.

Selain itu injunksi menghalang defendan atau ejen atau pembantu berkomunikasi, memberi komen, mengulangi penerbitan kenyataan-kenyataan berunsur fitnah terhadap plaintif.

Defendan melalui blog; http://www.papagomo.com bertajuk 'gambar ekslusif bakal MB Kelantan pimpin tangan China Doll’ diterbit pada 6 Disember tahun lepas cuba mengaibkan Husam dengan menyiarkan gambar tersebut.

Husam yang juga anggota Exco kerajaan negeri menyifatkan gambarnya dimanipulasikan sehingga memberikan gambaran plaintif sedang berpimpin tangan dengan seorang perempuan Cina.

Defendan atau nama sebenar Wan Muhammad Azri Wan Deris beralamat di Villa Apartment, Jalan 5/23 e, Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur antara lain turut menulis;

“Tapi Kawe yakin rakyat Malaysia bijok dan crdik bilo keleh gambar ni. Ambo yakin sedikit sebanyak rakyat Kelantan akan buko mato kenal siapo hok dalam gambar ni.”

Dalam writ samannya Husam menjelaskan gambar itu sebenarnya menunjukkan beliau ketika itu bersama rombongan kerajaan Kelantan ke China sedang berjalan keluar dari sebuah bangunan dengan diikuti oleh jurubahasanya, seorang perempuan warganegara China.

Plaintif sedang memegang saputangan di tangan dan perempuan itu berjalan di belakang.

Plaintif sebelum ini mengemukakan notis tuntutan kepada defendan menuntut supaya memohon maaf secara terbuka dan membayar gantirugi.  Bagaimanapun defendan gagal dan enggan berbuat demikian.

Sunday, January 22, 2012

Saman Ops Sikap naik 50%



SALLEH Mat Rashid (kiri) cuba mengendalikan alat perangkap had laju dalam Ops Sikap Ke-25 di KM446 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Rawang, dekat Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 21 Jan. – Sikap pengguna jalan raya melakukan kesalahan lalu lintas ternyata masih tidak berubah apabila sebanyak 100,773 saman dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang lima hari Ops Sikap Ke-25, berbanding 55,578 saman dikeluarkan dalam tempoh sama pada operasi tahun lalu.
Notis saman itu dikeluarkan PDRM membabitkan kesalahan-kesalahan yang sering dilakukan pemandu seperti memandu melebihi had laju, memandu di lorong kecemasan, memotong garisan berkembar, melanggar lampu isyarat dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu.
Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Salleh Mat Rasid berkata, jumlah saman yang melebihi 100,000 itu menyaksikan peningkatan sebanyak 50 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.
Beliau berkata, keadaan itu membuktikan sikap pengguna-pengguna jalan raya di negara ini masih tidak berubah dan mementingkan diri sendiri.
“Sikap pemandu seperti menggunakan lorong-lorong kecemasan untuk memotong dan memotong di garisan berkembar, masih dilakukan walaupun pelbagai amaran dan nasihat diberikan pihak berkuasa.
“Pengguna jalan raya hanya akan mematuhi peraturan sekiranya mereka menyedari kehadiran pihak polis di kawasan tersebut,” katanya kepada pemberita ketika membuat lawatan tapak Ops Sikap Ke-25 di Hentian Sungai Buloh, di sini hari ini.
Salleh memberitahu, sepanjang lima hari Ops Sikap Ke-25, ia menunjukkan peningkatan kadar kemalangan sebanyak 8.5 peratus iaitu 6,602 kes berbanding 6,083 kes dalam tempoh sama pada tahun lalu.
Katanya, jumlah kematian namun menurun kepada satu kes iaitu 58 orang, berbanding 59 orang dalam tempoh sama pada tahun lalu.
Dalam pada itu, beliau berkata, PDRM akan menawarkan ganjaran berupa hadiah kepada pemandu-pemandu bas yang mematuhi segala peraturan serta memandu dalam keadaan berhemah.
“Pemeriksaan akan dilakukan ke atas kenderaan berat itu seperti brek, lampu selain pemantauan had laju dan berdasarkan rekod,” ujarnya.
Beliau berkata, usaha itu diharap dapat mengelakkan kemalangan melibatkan bas selain memupuk rasa tanggungjawab ke atas pemandu dan syarikat pengusaha bas itu sendiri.

Friday, January 20, 2012

Anwar saman fitnah terhadap Utusan berhubung temubual BBC


Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR - Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan saman fitnah terhadap Utusan Melayu (Malaysia) Bhd dan ketua pengarangnya Datuk Abdul Aziz Ishak yang didakwanya telah mencetak dan menerbitkan berita berhubung komen beliau bersama BBC mengenai undang-undang berkaitan dengan homoseksual.

Anwar memfailkan saman tersebut di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil di sini melalui firma guaman tetuan Daim & Gamany.
Plaintif menuntut gantirugi RM50 juta, gantirugi teruk, gantirugi teladan serta relif-relif lain yang disifatkan sesuai dan patut diberikan oleh mahkamah.

Beliau juga memohon satu injunksi untuk menghalang defendan-defendan daripada terus menyatakan ataupun menerbitkan mana-mana perkataan yang memfitnah plaintif.

Dalam penyataan tuntutannya, Anwar mendakwa suratkhabar berkenaan telah menerbitkan dua artikel di muka hadapan dan mukasurat 10 akhbar berkenaan
bertarikh 17 Jan tahun ini yang seolah-olah telah memberikan gambaran bahawa beliau adalah seorang pemimpin muslim yang mempunyai pandangan yang tidak selari dengan ajaran Islam.

Anwar menjelaskan perkataan-perkataan yang diterbitkan tersebut yang berasaskan temuramah bersama BBC itu adalah palsu, tidak berasas dan disiarkan
dengan niat jahat.

Maruah: Pesara tentera saman Kuan Yew, 6 PM Malaysia



20/01/2012 5:07pm

KUALA LUMPUR 20 Jan. - Seorang pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berpangkat Kapten hari ini memfailkan saman terhadap bekas Perdana Menteri Singapura Lee Kuan Yew dan enam pemimpin Malaysia berhubung dakwaan melakukan konspirasi, menipu dan menjatuhkan maruah 403 pegawai ATM yang telah bersara.
Tengku Zainal Abidin Tengku Yusoff, 58, yang mewakili 403 pesara ATM itu, memfailkan saman berkenaan di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.
Tengku Zainal dan 403 pegawai berpangkat Leftenan Muda hingga Jeneral, menamakan Kuan Yew, enam Perdana Menteri Malaysia bermula Tunku Abdul Rahman sehingga Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Setiausaha Negara sebagai defendan.
Turut dinamakan sebagai defendan ialah Menteri Pertahanan bermula era Tun Abdul Razak Hussein sehingga sekarang iaitu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Setiausaha Pertahanan, Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Republik Singapura.
Dalam pernyataan tuntutannya, kesemua plaintif mendakwa Perdana Menteri pertama sehingga keenam dan Ketua Setiausaha Negara telah menipu, melakukan konspirasi dan menyalahguna kuasa mereka untuk menjatuhkan maruah pegawai ATM dengan cara memotong kuantum gaji kor dan elaun pegawai berkenaan dari 1963 sehingga sekarang. - BERNAMA

Thursday, January 19, 2012

Selesai ikut perundangan

KUALA LUMPUR: Saman kerajaan Kelantan ke atas Petroliam Nasional Bhd (Petronas) berhubung mungkir janji akan didengar dan diselesaikan mengikut isu perundangan.
Hakim Datin Zabariah Mohd Yusof membenarkan permohonan kerajaan Persekutuan dan Petronas supaya membolehkan hakim memutuskan saman itu ditentukan secara isu perundangan. Zabariah membuat keputusan tersebut selepas mendengar hujah panjang lebar oleh semua pihak semalam dan menetapkan 20 Februari sebagai tarikh pengurusan kes. Kedua-dua pihak berkenaan (kerajaan Persekutuan dan Petronas) memohon hakim memutuskan kes berpandukan isu perundangan di bawah Perintah 14A Peraturan Mahkamah Tinggi 1980 dan Perintah 33 dalam peraturan yang sama tanpa perlu perbicaraan penuh. Peguam Kanan Persekutuan, Datin Azizah Nawawi bertindak di pihak kerajaan Persekutuan, peguam Tan Sri Cecil Abraham mewakili Petronas manakala Ganesan Nethi dan Nur Ashikin Abdul Rahim sebagai peguam di pihak kerajaan negeri Kelantan. - Bernama