Saturday, August 20, 2011

Sembelihan 60,000 ayam diragui




Pegawai-Pegawai Jabatan Agama Islam Johor dan agensi penguatkuasaan memeriksa ayam yang telah disembelih dalam operasi penyalahgunaan logo halal di Pontian, semalam.


PONTIAN 19 Ogos – Operasi bersepadu pihak berkuasa ke atas tiga buah pusat pemprosesan ayam mendapati dua daripadanya melakukan aktiviti penyembelihan yang tidak menepati syarak serta menggunakan logo halal yang tamat tempoh sejak empat tahun lalu.
Serbuan oleh Pejabat Kadi daerah Pontian, Pejabat Kesihatan Pontian, Jabatan Alam Sekitar negeri serta Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri itu dilakukan bermula pukul 12 tengah malam sehingga 4 pagi, melibatkan dua pusat penyembelihan ayam di Pekan Nanas dan sebuah lagi di bandar Pontian.
Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan Unit Halal Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ), Samsudin Paimi berkata, serbuan dibuat kerana timbul keraguan terhadap status halal kira-kira 60,000 ayam segar di pasaran sekitar negeri daripada 200,000 yang dikeluarkan setiap hari, berikutan pelanggaran piawaian JAIJ.
“Dalam serbuan tersebut, pihak PPDNKKK negeri mengambil tindakan menyita bilik sejuk premis terbabit dan akan membawa kes tersebut ke mahkamah.
“Kita bimbang sekiranya aktiviti seperti ini dibiarkan, ayam yang diragui statusnya ini akan terus dijual kepada restoran dan pengguna beragama Islam di negeri ini apatah lagi menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Turut sama menyertai operasi tersebut ialah Pegawai Tadbir Agama Daerah Pontian, Mohd. Fauzi Bachok.
Jelasnya, ramai peniaga kecil-kecilan mengambil kesempatan mengaut untung dengan menggunakan plastik pembungkus memaparkan logo halal tamat tempoh untuk mengaburi mata pengguna sedangkan JAIJ sudah mewajibkan penggunaan label pada bahagian kepak ayam yang mengandungi maklumat penyembelihan dan status halal.
Kata Samsudin lagi, penguatkuasaan Rang Undang-Undang Perlindungan Pengguna (pindaan) 2010 pada tahun depan akan mengenakan denda sehingga RM5 juta bagi kesalahan pertama dan maksimum RM10 juta untuk kesalahan kedua jika didapati bersalah menipu sijil halal.-utusan

Umat Islam kini lemah - Dr. M

JERLUN 19 Ogos - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, ketika ini masyarakat Islam Malaysia berpecah kepada tiga puak sehingga mereka menjadi lemah dan boleh membuka ruang kepada pihak lain mengambil kesempatan.
Menurut beliau, tiga puak berkenaan sebenarnya 'berperang' sesama sendiri walaupun tidak menggunakan senjata seperti di kebanyakan negara Islam lain yang menghadapi pelbagai bermasalah.
"Saya percaya jika terus berpecah-belah dan terbahagi kepada tiga puak yang masing-masing lemah kerana sokongan tidak mencukupi, sekali lagi kita akan dijajah oleh pihak lain kerana kelemahan ini.
"Sebagai orang Islam kita harus ingat sepanjang masa bahawa dalam keadaan kita lemah, hanya perpaduan sahaja yang boleh menjadi benteng dalam mempertahankan hak kita," katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan Aidilfitri di Masjid al-Ehsan, Batu 3, di sini semalam.
Hadir sama isteri beliau, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali dan Ahli Parlimen Jerlun yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir.
Dr. Mahathir berkata, masyarakat Islam di negara ini harus bersyukur kerana walaupun Malaysia mengamalkan perkongsian kuasa, namun yang menjadi tunjang pemerintahan ialah orang Islam.
Bagaimanapun, kata beliau, apa yang dinikmati itu akan berakhir jika orang Islam hilang kuasa pemerintahan.
"Apabila kita sudah tidak berkuasa dan tidak menjadi tunjang kerajaan, maka percayalah kita akan mengalami nasib yang sama seperti orang Islam lain yang terpaksa tinggal di negara di mana orang Islam tidak berkuasa," katanya.
Sementara itu, Dr. Mahathir membidas Pas kerana sanggup 'menghalalkan' segala perbuatan yang dilakukan oleh orang bukan Islam kerana mahu mendapat sokongan golongan itu dan menjaga kerjasama dengan sekutunya dalam pakatan pembangkang.
Katanya, tindakan Pas itu tidak pelik kerana parti tersebut juga sanggup menggugurkan perjuangan menubuhkan negara Islam dan hukum hudud serta digantikan dengan negara berkebajikan.
"Oleh kerana kerjasama dengan orang itu, apa orang itu buat pun dia nak halalkan. Sekarang nak perjuang agama Islam sudah gugur, hukum hudud dah gugur dan diganti dengan negara berkebajikan.
"Apa orang itu buat semua halal pasal nak undi (dan) sokongan daripada orang itu," ujarnya.-utusan

PRU boleh diadakan bila-bila masa






Najib Tun Razak bersama Muhyiddin Yassin ditemani Tengku Adnan Tengku Mansor (kanan) bercakap pada sidang ahkbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato' Onn, PWTC, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 19 Ogos - Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 boleh diadakan pada bila-bila masa dan ia tidak terikat dengan sebarang keputusan daripada Jawatankuasa Terpilih Parlimen yang bakal ditubuhkan kerajaan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata, tarikh sebenar bila pilihan raya umum hendak diadakan tiada sebarang kaitan dengan jawatankuasa tersebut, walaupun ia ditubuhkan bagi tujuan menambah baik sistem pilihan raya agar tidak timbul syak wasangka.
Ini kerana menurut beliau, kesahihan serta kredibiliti sistem pilihan raya di negara ini sudah terbukti dan tidak perlu dipersoalkan oleh mana-mana pihak tetapi jawatankuasa tersebut ditubuhkan bagi menambah baik sebahagian kecil daripada sistem sedia ada.
"Pilihan raya umum boleh diadakan pada bila-bila masa. Ia tiada kaitan dengan Jawatankuasa Pemilihan Parlimen dan soal bila tarikh tersebut, ia langsung tidak terikat," katanya kepada pemberita selepas mempengerusi Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di sini, hari ini.
Mengenai tuntutan Nurul Izzah Anwar yang mahu pembangkang menerajui jawatankuasa itu, Najib berkata, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu kena memahami tradisi sistem demokrasi terlebih dahulu sebelum membuat tuntutan berkenaan.
Katanya, memang menjadi amalan di mana-mana negara demokrasi, parti majoriti yang akan mengetuai sesuatu jawatankuasa di peringkat Parlimen dan pembangkang perlu memahami hakikat tersebut.
Ditanya, apakah kerajaan akan meneruskan penubuhan jawatankuasa itu jika pembangkang bertindak memboikot dengan tidak menghantar wakil mereka, Perdana Menteri berkata, bila tiba masa yang sesuai, ia akan diteruskan.
"Tapi yang penting ialah kita telah tunjuk kepada rakyat Malaysia bahawa kita tidak ada apa yang hendak dikhuatiri, dilindungi atau ditutup. Kita terbuka dalam isu ini dan kerajaan mengharapkan satu konsensus dapat diwujudkan antara semua parti politik," katanya.
Dalam pada itu, menyentuh mengenai dakwaan pembangkang kononnya berlaku pertindihan dalam senarai daftar pemilih, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat kenyataan rasmi mengenai isu tersebut.
"Kita nampak kecenderungan parti pembangkang membangkitkan nama individu tertentu. Tapi ada juga kes yang mereka bangkitkan apabila disiasat oleh pihak akhbar ternyata tidak benar," ujarnya.-utusan

Marina Melayu yang mudah lupa - Perkasa

KUALA LUMPUR 19 Ogos - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menyifatkan aktivis sosial, Datin Paduka Marina Mahathir sebagai seorang Melayu yang mudah lupa serta tidak berpijak di bumi nyata.
Ketua Penerangannya, Ruslan Kassim berkata, tindak-tanduk yang ditunjukkan Marina sejak akhir-akhir ini telah memburukkan imej bapanya, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai bekas Perdana Menteri dan juga negarawan tersohor.
Katanya, Dr. Mahathir merupakan seorang pejuang yang disegani oleh kawan dan juga lawan tetapi Marina langsung tidak mewarisi keperibadian yang dimiliki oleh bapanya itu, malah hanya memalukan keluarganya sahaja.
"Tun (Dr. Mahathir) merupakan pemangkin kepada kemajuan negara, kekuatan orang Melayu tetapi Marina sebaliknya.
"Beliau hanya hidup di dalam fantasi dan tidak berpijak di bumi nyata. Justeru beliau layak dilabelkan sebagai seorang Melayu yang mudah lupa.
"Beliau seharusnya berfikir dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan atau mengambil sesuatu tindakan, bukannya dah buat kenyataan dan ambil tindakan baru mahu memikirkan kesannya. Ia sudah terlambat," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas tulisan Marina dalam akhbar The Star kelmarin yang antara lain mempertahankan perhimpunan haram Bersih pada 9 Julai lalu dan turut mempersoalkan kenyataan beberapa pemimpin kerajaan yang cuba menyamakan perhimpunan haram itu dengan kejadian rusuhan di London, baru-baru ini.
Menurut Ruslan, beliau tidak menolak kemungkinan Marina mempunyai agenda peribadi tertentu sehingga sanggup melakukan perkara yang bertentangan dengan tradisi keluarganya.
"Mungkin beliau ada rasa tidak puas hati sebab itu beliau bertindak sedemikian rupa dan ketika ini beliau telah terperangkap dalam kumpulan vocal minority.
"Beliau perlu ingat, pemerintahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada hari ini merupakan legasi kepimpinan bapanya. Apa yang diamalkan pada hari ini adalah kesinambungan amalan sewaktu Tun (Dr. Mahathir) memerintah. Jadi apa yang beliau tidak puas hati?" ujarnya.
Dalam pada itu, Ruslan turut mencabar Marina mengisytihar harta yang dimilikinya di dalam mahu pun luar negara sama ada ia diperolehi menerusi kaedah yang betul atau sebaliknya.
"Saya cabar Marina supaya mengisytihar harta yang miliknya. Saya yakin semua pihak mahu mengetahui harta serta kekayaan yang dikumpul selama ini," ujarnya.-utusan

Pusat tuisyen didakwa sebar dakwah Kristian ditutup

KUALA LUMPUR 19 Ogos — Kementerian Pelajaran telah mengarahkan pusat tuisyen yang dikatakan menyebarkan dakwah Kristian secara halus di Jalan Klang Lama berhampiran pasar raya besar Tesco ditutup serta-merta.
Timbalan Menterinya, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, ini kerana ia beroperasi secara haram ekoran tidak mempunyai permit yang sah.
Menurutnya, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan Jabatan Agama Islam Wilaya Persekutuan (Jawi) sedang menjalankan siasatan terperinci bagi membolehkan guru pusat tuisyen tersebut diambil tindakan yang sewajarnya.
“Kita serahkan kepada polis dan Jabatan Agama untuk menjalankan siasatan kerana ia berkait dengan undang-undang negara,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mohd. Puad turut mendedahkan laporan awal siasatan Kementerian Pelajaran mendapati tiga murid Melayu dari Sekolah Kebangsaan Seri Setia, Jalan Kuchai Lama menghadiri kelas tuisyen yang dikendalikan secara haram itu.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Che Ali memaklumkan bahawa siasatan masih dijalankan oleh pihaknya.
Kata Che Mat, sebarang tindakan terhadap mana-mana pihak akan diambil berdasarkan laporan yang akan dikeluarkan oleh Jawi nanti.-utusan

‘Kalau tidak nyanyi, tolak markah’




SEBUAH rumah di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur, yang didakwa dijadikan kelas tuisyen bagi pelajaran Bahasa Inggeris, manakala gambar kecil, beberapa murid Melayu menunjukkan bahan bacaan yang diajar di kelas tuisyen itu. – utusan/Fauzi Baharudin


KUALA LUMPUR 19 Ogos – Dua adik-beradik Melayu yang belajar di sebuah tempat tuisyen yang didakwa cuba menyebarkan ajaran Kristian secara halus, memberitahu bahawa mereka tidak tahu apa yang dibuat oleh guru di situ adalah salah.
Utusan Malaysia yang berjaya menemu bual adik-beradik berkenaan mendapati kedua-dua mereka mengaku telah diajar menyanyi beberapa lagu yang mempunyai unsur agama Kristian sewaktu belajar di tempat tuisyen berkenaan.
Ketika ditanya, murid lelaki berusia tujuh tahun tersebut memberitahu, guru tuisyen itu akan membawanya berjalan-jalan kalau mendapat markah yang tinggi.
“Kalau tak nyanyi tolak markah. Ada kawan-kawan yang dibawa ke Genting Highlands dan tengok wayang,” katanya.
Kakaknya yang berusia 12 tahun pula memberitahu, mereka juga diajak menonton video yang disimpan di dalam komputer guru berkenaan setiap kali kelas berlangsung.
“Markah akan ditolak kalau tidak tengok cerita. Kalau markah kosong nanti boleh kena buang dari tuisyen. Kena tengok cerita sampai habis. Cerita itu macam kartun pasal Jesus dengan banyak episod seperti pasal macam mana dilahirkan dan kematiannya.
“Kuiz akan dibuat dan mereka dapat markah tertinggi dapat hadiah. Saya juga pernah dibawa pergi berkelah di Sungai Congkak,” ujarnya.
Menurut murid itu lagi, selain lagu dan video, setiap kali ulang tahun kelahiran, guru berkenaan akan mengadakan parti dan memberi hadiah, begitu juga ketika Krismas.
Menurutnya lagi, mereka tidak pernah memberitahu ibu bapa mereka tentang perkara tersebut.
Adik beradik dari keluarga miskin itu dan rakan-rakan mereka yang lain diberi tuisyen bahasa Inggeris secara percuma oleh guru berkenaan dan juga guru-guru lain di tempat tuisyen tersebut.
Apabila ditanya mengenai Jesus, dia menjawab: “Dia adalah Tuhan cikgu (guru tuisyen tersebut). Kawan-kawan yang sama belajar di situ beritahu saya, mereka kasihankan Jesus sebab cikgu kata dia mati kena paku.”
Budak perempuan itu bagaimanapun memberitahu dia “tidak rasa apa-apa” apabila ditanya perasaannya apabila diajar lagu-lagu tersebut atau disuruh menonton video tentang Jesus.
Pertemuan kedua-dua beradik itu dengan Utusan Malaysia turut disertai oleh dua lagi rakan mereka yang juga belajar di tempat tuisyen sama.
Keempat-empat mereka turut memperdengarkan lagu yang diajar oleh guru tersebut yang antara lain liriknya berbunyi:
“Hari ini ku rasa bahagia, berkumpul bersama saudara seiman, Tuhan Yesus sudah satukan kita, tanpa memandang di antara kita. Kau sahabatku, kau saudaraku, tiada dapat memisahkan kita.”utusan

Khidmat motosikal beri pendapatan lumayan

MAKKAH: Kesesakan jalan raya di sini yang bertambah serius memaksa penduduk menggunakan perkhidmatan motosikal untuk ke Masjidil Haram.

Ia merupakan berita baik kepada pemuda yang mempunyai motosikal untuk mendapatkan pendapatan lebih. Katanya, dia tinggalkan keretanya di bandar dan meneruskan perjalanan ke kedainya dengan menjadi pembonceng motosikal. Biasanya bayarannya cuma SR30 (RM 23.85) satu hala.

“Tetapi bulan Ramadan ini bayaran yang dikenakan antara SR75 hingga SR90 (RM59.64-RM71.57). Saya tidak ada pilihan dan terpaksa membayar upah yang diminta.”

Muatasem Riza, seorang jemaah yang datang dari Jeddah berkata, dia terpaksa membayar SR55 (RM43.74) sebagai pembonceng motosikal dari tempat letak kereta di Rusaifah ke Masjidil Haram.

“Saya terpaksa meninggalkan kereta saya di situ kerana polis tidak benarkan saya masuk ke bandar,” katanya.

Tak sempat tengok anak jadi doktor



Oleh Haika Khazi dan Mohd Fakhrurrazi Usuldin
bhnews@bharian.com.my
2011/08/20

RUSNAH (kanan) menyirami pusara arwah anaknya sambil disaksikan Zulkifli (kiri) di Tanah Perkuburan Presint 20, Putrajaya, kelmarin. Gambar kecil, Muhammad Danial.
RUSNAH (kanan) menyirami pusara arwah anaknya sambil disaksikan Zulkifli (kiri) di Tanah Perkuburan Presint 20, Putrajaya, kelmarin. Gambar kecil, Muhammad Danial.
Anak kedua Timbalan Ketua Pengarah JPN rentung dalam kemalangan jalan raya 

PUTRAJAYA: Ayah dan ibu terkilan kerana tidak sempat melihat anak keduanya bergelar doktor kerana rentung dalam kemalangan jalan raya di kilometer 7.2 Jalan Alor Setar-Kangar, dekat Simpang Empat, Kangar malam kelmarin.
Bapa mangsa, Zulkifli Rahmat, 54, yang juga Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Jabatan Pendaftaran Negara, berkata beliau dan isteri, Rusnah Othman, 56, sedih tetapi reda dengan pemergian anak mereka yang sepatutnya menghabiskan latihan amali selama tiga tahun dan dijangka berakhir di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar.
Katanya, kehilangan Muhammad Danial, 24, terasa begitu cepat selepas kali terakhir bertemu ketika anaknya itu balik rumah mereka di Presint 9 di sini, menyambut awal Ramadan kira-kira dua minggu lalu. 

Zulkifli berkata beliau juga hairan Muhammad Danial kerap pulang ke rumah mereka sejak kebelakangan ini terutama jika tiada kelas pada hujung minggu. 

“Kali terakhir ibunya menelefon pada Selasa lalu untuk bertanya khabar dan dia hanya berkata akan balik untuk sambut Aidilfitri tetapi tidak tahu lagi tarikhnya,” katanya yang amat sugul dengan kejadian itu. 

Mangsa mempunyai seorang kakak yang bertugas di Telekom Malaysia dan adik yang masih belajar di sebuah universiti swasta di Melaka. 
Zulkifli dan isterinya, juga tidak sanggup menatap jenazah anaknya itu yang rentung akibat kemalangan itu. 

Katanya, beliau difahamkan, kejadian berlaku ketika Muhammad Danial, dalam perjalanan pulang dari Alor Setar ke rumah sewanya di Kangar, apabila kereta Perodua Myvi dipandunya dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kenderaan lain. 

“Kawannya maklumkan dia keluar untuk membeli makanan berbuka puasa di Alor Setar. Bagaimanapun, dalam perjalanan itu, Muhammad Danial mengubah fikiran dan mahu berpatah balik ke Kangar, sebelum dilanggar sebuah kereta lain dari arah belakang ketika mahu membuat pusingan U,” katanya selepas pengebumian mangsa di Taman Selatan, Presint 20, di sini, kelmarin. 

Muhammad Danial dijangka menamatkan pengajiannya pada akhir tahun ini. Beliau adalah pelajar tahun akhir jurusan perubatan di Allianze University College of Medical Sciences (AUCMS) dalam program berkembar dengan Universiti Sumatera Utara, Indonesia. 

Sementara itu, Pegawai Turus Trafik Perlis, Asisten Superintendan Rosli Yahaya, berkata pihaknya hanya mampu mengesan identiti mangsa berdasarkan kepada nombor plat kenderaan yang didaftarkan atas nama bapanya, Zulkifli di Putrajaya. 

"Bagaimanapun, keadaan mayat yang rentung sepenuhnya menyukarkan pihak keluarga untuk mengenal pasti identiti mangsa. 

"Apa pun, pengenalan diri positif diperoleh selepas salah seorang rakan mangsa mengenali pen berlampu yang ditemui di tempat kejadian, yang disahkan kepunyaan Mohd Danial," katanya. 

Mengulas insiden berkenaan, Rosli berkata mangsa dikatakan cuba melakukan pusingan U di lokasi kejadian, sebelum kereta dipandu Lim Tai Eng, 58, dari Jalan Raja Syed Alwi, yang berada di belakangnya gagal mengelak dan terus merempuh bahagian sisi belakang sebelah kanan Myvi milik Muhammad Danial. 

Beliau berkata, pihaknya percaya rempuhan terbabit mengenai bahagian tangki minyak kenderaan mangsa, sehingga mencetuskan kebakaran. 

"Pemandu Toyota Corolla SEG terbabit yang patah tangan bagaimanapun sempat keluar dan menyelamatkan diri. Bagaimanapun, Danial gagal berbuat demikian sebelum terbakar bersama kedua-dua kereta terbabit. 

"Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mayat mangsa kemudian dituntut bapa saudaranya, sebelum dibawa pulang ke kediaman keluarganya di Presint 9 Putrajaya," katanya. -bharian

'Ali Setan' didakwa hasut kariah



Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim dan Nor Azizah Mokhtar
bhnews@bharian.com.my
2011/08/20

Azmil Mustapha
Azmil Mustapha
Pemuda UMNO Subang buat laporan polis isu ceramah benci kerajaan 

SUBANG: Pergerakan Pemuda UMNO bahagian Subang dan penduduk Kampung Melayu Subang, semalam membuat laporan polis terhadap penceramah bebas, Azmil Mustapha atau lebih dikenali sebagai ‘Ali Setan’ yang didakwa menyampaikan ceramah menghasut penduduk membenci kerajaan di Masjid An Nur, di sini, malam kelmarin.
Laporan polis dibuat di Balai Polis Kampung Baru Subang kira-kira jam 12 tengah hari semalam oleh Penolong Setiausaha Pemuda UMNO, Zulfakar Ali dan salah seorang penduduk yang mendengar ceramah berkenaan, Mohd Shafie Nasip.
Dalam ceramah yang berlangsung hampir satu jam sebelum solat tarawih di hadapan kira-kira 300 jemaah masjid, Azmil dikatakan menuduh kerajaan tidak beragama serta sistem pendidikan yang sedia ada kini mengikut acuan kafir. 

Malah, Azmil turut mengeluarkan kata-kata kesat iaitu ‘Melayu bodoh’ dan ‘tidak ada telur’ berulang kali menyebabkan lebih 30 jemaah bertindak keluar daripada masjid berkenaan tanpa sempat menunaikan solat tarawih. 

Mohd Shafie, 48, berkata tujuan Azmil dijemput ke masjid berkenaan untuk memberi tazkirah selepas majlis tahlil diadakan, bagaimanapun beliau mengambil kesempatan itu dengan melemparkan pelbagai tohmahan terhadap pentadbiran negara. 

“Lebih mengejutkan, Azmil menjelaskan kepada jemaah supaya tidak perlu mengagungkan Sultan dan Yang di-Pertuan Agong sebaliknya patuh kepada ajaran Allah. Malah, dia juga mempertikaikan pertemuan di antara Perdana Menteri dengan Paderi Kristian, Paul Pope serta mendakwa Dasar Ekonomi Baru itu sebagai dasar ekonomi bodoh. 
“Selepas hampir 20 minit berceramah, salah seorang jemaah yang tidak berpuas hati bangun bertanyakan sama ada Azmil mahu menyampaikan ceramah politik atau agama, namun pertanyaan jemaah itu tidak dipedulikan sebaliknya 
terus melemparkan tuduhan sebelum jemaah terbabit bertindak keluar. 

“Sebaik melihat jemaah berkenaan meninggalkan masjid itu, Azmil terus melaungkan kepada jemaah lain bahawa segala ibadat menunaikan haji, membayar zakat yang dilakukan jemaah terbabit adalah sia-sia,” katanya selepas membuat laporan polis di sini, semalam. 

Sehubungan itu, Mohd Shafie meminta polis menjalankan siasatan terhadap penceramah bebas itu kerana menggunakan tempat ibadat untuk menyampaikan ceramah politik. 

Sementara itu, Penolong Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Megat Firdouz Megat Junid, turut meminta Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyiasat perkara itu kerana tindakan seperti itu amat berbahaya dan boleh memecah-belah masyarakat. 

Sementara itu, Azmil ketika dihubungi berkata, beliau tidak berniat langsung untuk memberi ceramah politik kerana tidak pernah terbabit dengan mana-mana parti politik di negara ini. 

“Setiap kenyataan yang saya keluarkan disertakan dengan hadis dan semua yang dibangkitkan itu terkandung dalam al-Quran. Malah, saya dibenarkan JAIS untuk mengadakan ceramah sepanjang Ramadan,” katanya sambil menyifatkan laporan polis dibuat Pemuda UMNO dan penduduk kampung yang mendakwa beliau menghasut itu tidak berasas sama sekali. -bharian

Johor dibanjiri ayam disembelih tak sempurna




KEADAAN pusat penyembelihan ayam di Pekan Nanas, Pontian, Johor yang menjijikkan.


JOHOR BAHRU - Percaya atau tidak, beratus-ratus peniaga di negeri ini kini menjual kira-kira 60,000 ekor ayam segar yang amat diragui status halal dan kesuciannya setiap hari.
Jumlah tersebut meliputi 30 peratus daripada bekalan ayam di negeri itu setiap hari yang berjumlah 200,000 ekor.
Masalah tersebut berpunca daripada sikap segelintir pengusaha pusat penyembelihan yang menjalankan kerja-kerja penyembelihan tanpa mengikut prosedur ditetapkan.
Penolong Pengarah Penyelidikan Unit Halal, Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ), Samsudin Paimi berkata, pihaknya bimbang pengusaha kecil kini semakin berani untuk mengaut keuntungan berikutan permintaan yang tinggi daripada umat Islam berikutan sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
"Pengusaha kecil seperti itu semakin berani untuk mengaut keuntungan dengan berselindung di sebalik logo halal tamat tempoh selain tidak mengikut piawaian JAIJ,'' katanya.
Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas serbuan terhadap dua premis penyembelihan dan pemprosesan di Jalan Kampung Sawah dan Jalan Pontian-Johor Bahru di Pontian awal pagi semalam.
Dalam serbuan dari pukul 12 tengah malam sehingga pukul 4 pagi itu, JAIJ mendapati premis terbabit tidak melakukan proses penyembelihan dengan kaedah ditetapkan manakala logo halal sudah tamat tempoh sejak empat tahun lepas.

KEADAAN pusat penyembelihan ayam di Pekan Nanas, Pontian, Johor yang menjijikkan.


Turut membimbangkan JAIJ, katanya, ialah ramai pengusaha tidak memiliki tauliah penyembelihan selain mempraktikkan kaedah penyembelihan dan pemprosesan ayam sambil lewa.
Menurutnya, JAIJ sudah mewajibkan penggunaan label pada bahagian kepak ayam yang mengandungi maklumat penyembelihan dan status halal namun mereka tidak mematuhinya.
"Kita tidak mahu pengguna terus tertipu dan mereka seharusnya diberi kesedaran untuk hanya memilih ayam yang disahkan halal dan suci," kata Samsudin.
Beliau berkata, pemeriksaan akan terus dilakukan bagi melindungi kepentingan pengguna.
Samsudin berkata, JAIJ sudah mewajibkan pengusaha ayam di Johor membuat label yang akan diletakkan di kepak ayam yang mengandungi maklumat mengenai penyembelihan serta status halalnya.
Mengikut Undang-undang Perlindungan Pengguna (Pindaan) 2010 yang akan dikuatkuasakan bermula tahun depan, syarikat yang didapati bersalah menipu sijil halal boleh dikenakan denda sehingga RM5 juta bagi kesalahan pertama dan denda sehingga RM10 juta bagi kesalahan kedua.-kosmo

Leonardo DiCaprio dapat kereta baharu



LEONARDO DICAPRIO berdiri di tepi sebuah kereta hibrid miliknya yang baru dibelinya baru-baru ini di Los Angeles.


LOS ANGELES - Aktor filem The Inception, Leonardo Dicaprio telah menerima penghantaran kereta berkuasa hibrid iaitu 2012 Fisker Karma yang bernilai AS$100,000 (RM298,749), lapor sebuah akhbar semalam.
Kenderaan mewah berteknologi hijau itu memggunakan enjin dua liter enjin hibrid.
Ia membolehkan pengguna memasuki kereta itu tanpa menggunakan kunci, kerusi selesa dan salah satu ciri-ciri yang menakjubkan ialah bumbung kaca berteknologi solar.
Kereta tersebut sebenarnya boleh menggunakan tenaga dari bumbung untuk membantu bateri lithium menjanakan dua motor elektrik. - Agensi, kosmo

Radcliffe berjalan dengan kekasih



DANIEL RADCLIFFE berjalan bersama kekasihnya di New York pada Selasa lalu.


NEW YORK - Hero filem Harry Potter, Daniel Radcliffe keluar berjalan-jalan bersama dengan kekasihnya, lapor sebuah akhbar semalam.
Dia yang berusia 22 tahun keluar berjalan di sini pada Selasa lalu.
Baru-baru ini, dia mendedahkan sedang menjalin hubungan dengan seorang wanita semasa menjadi tetamu dalam program bual bicara bersama Larry King.
"Saya kini mempunyai seorang kekasih yang saya amat cintakannya," kata Radcliffe ketika itu.
Namun, identiti kekasih Radcliffe itu sehingga kini masih menjadi misteri. - Agensi, kosmo

Taliban mengaku lakukan serangan terbaru di Kabul

KABUL: Taliban mengaku bertanggungjawab terhadap serangan berani mati di Kabul hari ini dengan mensasarkan beberapa kepentingan British sebagai tanda cuti umum Hari Kemerdekaan Afghanistan. Jurucakap Taliban, Zabihulaah Mujahid berkata sasaran penyerang adalah Pusat Budaya Britain dan rumah tetamu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). "Taliban Mujahidin menyerbu dua lokai ini dan pertempuran besar berlaku dengan polis Afghanistan," katanya. - AFP -bharian

Pesawat Israel lancar serang balas

GAZA CITY: Pesawat juang Israel menyerang Semenanjung Gaza dan menyerbu sempadan Mesir dengan membunuh militan yang bersalah terhadap serangan senjata api dan bom tangan yang menyebabkan lapan warga Israel maut.

Enam orang awam Israel termasuk dua wanita serta seorang askar dan seorang pegawai polis maut manakala 26 lagi parah selepas serangan di padang pasir semalam berhampiran Resort Eilat berhampiran Laut Merah.
Dalam masa beberapa jam serangan, Israel mensasarkan serangan balas terhadap kumpulan militan yang berpusat di Gaza yang dituduh bertangungjawab terhadap serangan semalam. Pesawat pejuang Israel melancarkan serangan udara yang membunuh sekurang-kurangnya enam orang di selatan bandar Arafah, lapor pasukan perubatan. - AFP , bharian