Thursday, September 4, 2014

Mahkamah perintah kerajaan Malaysia bayar RM300,000 kepada Norizan, mangsa tembakan polis




Norizan Salleh
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan kerajaan Malaysia dan pegawai polis yang terlibat dalam kes tembakan Norizan Salleh pada 2009 membayar ganti rugi tauladan RM200,000 dan 2 ganti rugi lain berjumlah RM100,000.
Hakim Datuk Hue Siew Kheng berkata tuntutan ganti rugi yang dikenakan adalah sebagai pengajaran kepada penjawat awam terutamanya anggota polis supaya tidak sewenang-wenangnya dalam menjalankan tugas.
Peguam yang mewakili Norizan, N Surendran berkata, ini adalah kes pertama membabitkan pihak yang ditembak polis berjaya mendapat pembelaan di mahkamah.
"Mahkamah menganugerahkan RM50,000 untuk kerosakan umum, penderitaan kesakitan dan lain-lain. RM50,000 lagi untuk serangan dan keganasan.
"Biaya perubatan RM18,260 dan yang terpenting mahkamah menghantar mesej jelas kepada polis untuk tidak bertindak sewenang-wenangnya terhadap individu," katanya kepada media di luar kamar mahkamah.
Norizan, 34, memfailkan tuntutan saman pada Oktober 2012 dengan menamakan kerajaan Malaysia, ketua polis daerah Sentul, ketua polis negara dan seorang pegawai polis sebagai defendan selepas mangsa tembakan polis tersebut gagal mendapat pembelaan hampir 3 tahun.
Norizan mendakwa dia menerima lima tembakan dan dalam tuntutannya menuduh pihak polis melanggar garis panduan operasi (SOP) apabila menembak dari belakang kereta dalam kejadian pada 30 Oktober 2009.
Surendran berkata keputusan mahkamah hari ini perlu dijadikan pengajaran kepada pihak polis kerana kes seperti ini bukan hanya berlaku kepada Norizan di negara ini.
Katanya, pegawai polis yang terlibat kejadian tembak menembak dan melakukan keganasan dalam kes itu perlu dibawa ke muka pengadilan selain prosedur penggunaan senjata api polis perlu dikaji semula.
"Apa yang menarik, mahkamah berkata tindakan polis melepaskan tembakan berulang kali tidak munasabah. Kami berharap pihak polis mengamati keputusan kes ini dan perlu satu kajian kepada prosedur dalam penggunaan senjata api.
"Penghakiman ini menjadi rujukan kerana tiada keputusan seperti kes ini pernah dibuat dalam negara setakat ini. Ini kali pertama.
"Apa yang menjadi persoalan, tiada pegawai polis yang didakwa terhadap apa yang berlaku kepada Norizan. Kami mengulangi gesaan untuk terus diadakan siasatan jenayah terhadap polis terlibat," katanya.
Sementara itu, Norizan yang ditemui media sangat gembira dengan keputusan mahkamah hari ini sekaligus membersihkan namanya di kalangan masyarakat.
Katanya, walaupun tidak dapat mengheret anggota polis yang terlibat ke muka pengadilan, namun keputusan hari ini membuktikan anggota berkenaan bersalah.
"Saya sangat bersyukur sebab ia membuktikan selama ini yang saya tak bersalah. Selama ini banyak orang bercakap benda negatif yang salah tetapi hari ini saya dapat buktikan saya tak bersalah dalam kes ini.
"Ahli keluarga saya selalu mendoakan dan terima kasih kepada peguam saya yang banyak bekerja keras.
"Kalau boleh polis yang sepak dan tendang saya tu, saya nak dia ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan tetapi hari ini membuktikan mereka salah walaupun saya tak mampu menghukum perbuatan mereka kepada saya. Di mata orang ramai, saya tak bersalah," katanya.
Surendran berkata beliau gembira kerana selepas ditembak berulang kali oleh pihak polis, Norizan masih mampu berjuang menuntut keadilan bagi pihak dirinya.
Katanya, kes itu akan menjadi saksi perjuangan rakyat menuntut keadilan dan ia sebagai lambang kejayaan rakyat Malaysia.
"Ditembak lima kali, Norizan hampir mati pada hari itu. Saya gembira dia masih di sini dan mendapat kemenangan untuk semua rakyat Malaysia.
"Dia juga sudah mempunyai anak. Ini kisah rakyat Malaysia mendapat keadilan," katanya.
Menurut fakta kes, dalam kejadian sekitar jam 3 pagi, Norizan duduk di kerusi belakang kereta Proton Perdana bersama empat orang rakan dalam perjalanan pulang ke rumah di Segambut, Kuala Lumpur.
Ketika melalui lebuh raya MRR2, sebuah kereta MPV memintas dari sebelah kiri dan melepaskan tembakan dengan pistol ke arah keretanya.
Peluru menembusi kereta yang dinaiki dengan lima tembakan mengenai dirinya, salah satunya terkena pada dada sehingga darah mengalir tanpa henti.
Norizan cuba meminta tolong tetapi dibalas pula dengan tendangan polis dan kemudian belakangnya dipijak hingga mengakibatkan dua tulung rusuknya retak.
Norizan kemudian dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dirawat dan empat hari kemudian (4 November 2009) dihantar ke Institut Jantung Negara.
Selepas dibenar keluar, Norizan dikehendaki membayar RM20,000 kos rawatan dan bukannya pegawai polis yang mencederakannya atas alasan Norizan ditimpa kemalangan jalan raya.
Malangnya, Norizan tidak mendapat pengadilan malah Penolong Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Mohd Kamaruddin Md Din pada waktu itu dalam satu kenyataan memutuskan tiada sebarang pertuduhan terhadap pegawai polis yang terbabit dalam kejadian tersebut. – 4 September, 2014.

Ibu kandung dicari

Ibu kandung dicari
SHAH ALAM - Seorang warga Thailand, Miss Salma Yusoh dicari bagi menguruskan prosedur pengambilan anak angkat.

Difahamkan Miss Salma masih berada di Malaysia dan diharapkan dapat berjumpa dengan ibu angkat kepada anaknya, Syarifah Asriza Syed Alwi untuk menandatangani surat akuan berkanun keizinan dan pengangkatan bagi urusan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Menurut Syarifah Asriza, anak angkatnya, Muhammad Hazim, 3, kini masih memegang sijil lahir warga asing kerana ibu bapanya tidak mendaftarkan perkahwinan mereka di Malaysia walaupun bapa kepada anak angkatnya itu merupakan warganegara.

Syarifah Asriza boleh dihubungi di talian 011-28223459.

Lima wanita sertai Kabinet baharu Jepun

Abe (tengah) merombak Kabinet dan melantik lima wanita untuk menyandang jawatan kanan politik. - Foto: AFP
Abe (tengah) merombak Kabinet dan melantik lima wanita untuk menyandang jawatan kanan politik. - Foto: AFP
4 September 2014
TOKYO - JEPUN. Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe, semalam menamakan lima wanita ke dalam Kabinet baharu selepas melaksanakan rombakan pertama terhadap barisan kementerian sejak Disember 2012.

Lima wanita itu akan membentuk satu perempat daripada 18 Kabinet sedia ada dan ia dilihat bertepatan dengan misi beliau yang ingin 30 peratus daripada jawatan kanan politik dan perniagaan disandang oleh wanita menjelang 2020.

Menurut Abe, kerajaan perlu mempunyai lebih ramai wanita untuk berkecimpung dalam tenaga kerja bagi memenuhi jurang pasaran buruh yang semakin meningkat disebabkan peningkatan jumlah pesara lapor AFP.

"Kita perlu menyemak semula idea yang melihat segala-galanya dari sudut pandangan lelaki. Sumber paling kurang dimanfaatkan adalah kuasa wanita dan Jepun mesti menjadi tempat di mana wanita diberi peluang untuk bersinar," katanya.

Difahamkan, rombakan Kabinet itu adalah sebagai sebahagian daripada latihan dalam mengukuhkan lagi kuasanya selain bertujuan menghidupkan semula agenda ekonomi dan keselamatan. 

Putin, Poroshenko capai persetujuan

Putin (kiri) dan Poroshenko berjabat tangan ketika menyertai rundingan di Minsk, minggu lalu.
Putin (kiri) dan Poroshenko berjabat tangan ketika menyertai rundingan di Minsk, minggu lalu.
4 September 2014
KIEV - UKRAINE. Presiden Ukraine, Petro Poroshenko dan rakan sejawatannya dari Rusia, Vladimir Putin, semalam didakwa bersetuju melaksanakan 'gencatan senjata kekal' sebagai langkah menamatkan konflik di timur negara itu.

Menurut pejabat presiden, persetujuan untuk menguatkuasakan gencatan senjata di wilayah Donbass itu dicapai selepas rundingan di Minsk menemui jalan buntu pada minggu lalu.

Bagaimanapun, Kremlin memberi kenyataan berbeza dengan mendakwa kedua-dua pemimpin itu hanya bersetuju dengan langkah untuk membawa keamanan di wilayah bergolak tersebut.

"Rusia tidak boleh bersetuju dengan gencatan senjata tersebut kerana mereka bukan pihak yang terlibat dalam konflik itu," lapor agensi berita RIA.

Menurut AFP, sebelum ini, Kiev dan negara Barat pernah menuduh Moscow menghantar bantuan bekalan senjata kepada puak pemisah pro-Rusia, namun Putin menafikannya.

Al-Qaeda isytihar pembukaan cawangan di benua India

KHAMIS, 4 SEPTEMBER 2014 @ 8:10 AM

 
WASHINGTON: Ketua Al-Qaeda, Ayman al-Zawahiri har ini melancarkan pembukaan cawangan baharu pergerakan itu di benua India bagi meluaskan lagi perjuangannya di rantau berkenaan.

Dalam satu video yang dikesan dalam laman web forum jihad oleh pengganas SITE, Zawahiri berkata angkatan terbaharu itu akan 'menghapuskan sempadan buatan' yang membezakan penduduk Islam di rantau itu.

Al-Qaeda aktif di Afghanistan dan Pakistan, dengan pemimpinnya terus berjuang secara bersembunyi namun Zawahiri berkata pergerakan "Qaedat al-Jihad" akan berjuang di India, Myanmar dan Bangladesh.

"Entiti berkenaan tidak lagi rasmi hari ini namun bibit usaha selama lebih dua tahun untuk mengumpulkan pejuang Islam di rantau benua India ini akhirnya menjadi satu entiti," katanya.



Diasaskan oleh Osama bin Laden, yang terbunuh di Pakistan dalam satu serangan komando Amerika pada Mei 2011, al-Qaeda sekian lama mendakwa pergerakan itu berjuang untuk mewujudkan rantau Islam yang tunggal.

Gagal hadir ke mahkamah: Rozana diperintah bayar kos RM500






ROZANA Misbun (kanan) bersama peguamnya keluar daripada Mahkamah Tinggi Syariah, Jalan Duta selepas selesai perbicaraan hak penjagaan anak. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Syariah memerintahkan isteri Awie, Rozana Misbun, membayar kos sebanyak RM500 kepada penyanyi dan pelakon itu kerana gagal hadir ketika sebutan kes tuntutan jagaan sementara tiga anak mereka.
Hakim Syarie Mohd Amran Mat Zain membuat keputusan itu selepas Rozana, 36, dan peguamnya, Majdah Muda, tidak kelihatan ketika prosiding mahkamah bermula hari ini.
Mohd Amran berkata, mahkamah memandang serius perkara itu kerana boleh menjejaskan prosiding mahkamah dan keadilan mana-mana pihak.
Rozana muncul bersama-sama peguamnya 20 minit kemudian dan memberi alasan mereka lewat kerana berurusan di kaunter untuk menyerahkan beberapa dokumen permohonan lain berkaitan kes itu.
Bagaimanapun, mahkamah mengekalkan keputusan berhubung kos yang perlu Rozana bayar kepada Awie.
Pada prosiding hari ini, Majdah memaklumkan pihaknya memfailkan permohonan untuk membatalkan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Nassir Abdul Aziz, yang memberi hak jagaan sementara ketiga-tiga anak pasangan itu kepada Awie, 46, pada 21 Julai lalu.
Bagaimanapun, peguam Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain yang mewakili Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, membantah permohonan itu.
Mahkamah menetapkan 17 Sept ini untuk mendengar hujah kedua-dua pihak sebelum memutuskan perkara itu pada hari berikutnya.

PENYANYI dan pelakon terkenal, Awie bersama peguamnya ditemubual media ketika selesai perbicaraan hak penjagaan anak di Mahkamah Tinggi Syariah, Jalan Duta, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
Majdah turut memaklumkan pihaknya membuat permohonan untuk mengubah keputusan itu yang memberi Rozana hak melawat anaknya dua kali sebulan, iaitu pada minggu pertama dan ketiga selama dua jam bagi setiap sesi lawatan di rumah yang didiami Awie serta anak mereka.
Penyanyi rock terkenal Kumpulan Wings itu bernikah dengan Rozana di Songkhla, Thailand pada 20 Jun 2005 dan dikurniakan tiga anak iaitu Putra Ahmad Merrah, 7, Putra Ahmad Rezzki, 6, dan Puteri Qasseh Antasha, 4.
Pada 4 Julai lalu, Awie, pelakon utama filem 'Zombie Kampung Pisang' dan 'Hantu Kak Limah' dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang atas pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas Rozana di sebuah rumah di Taman Ukay Bistari.
Dia didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
- BERNAMA

Krisis Selangor: Sultan titah PKR kemuka lebih dua nama selain Wan Azizah

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail. - Foto Fail NSTP/Yazit Razali

KUALA LUMPUR: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini mengeluarkan surat kepada PKR menitahkan parti itu mengemukakan lebih dua nama bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar, selain Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Penerimaan surat terbabit disahkan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan penjelasan lanjut mengenainya akan dibuat hari ini, selepas ulasan awalnya malam tadi ditarik balik.

‘Gaji dia boleh tanggung semua tuntutan’

Foto

Kuala Lumpur: “Saya percaya bekas suami mampu untuk membayar semua tuntutan berkenaan kerana gajinya yang mahal dan cara hidupnya yang mewah juga dapat dilihat menerusi gambarnya yang dimuat naik di laman sosial Instagram,” kata pelakon terkenal Rita Rudaini Mokhtar, 38.
Menurutnya, dia bukannya mata duitan ataupun materialistik sebaliknya apa yang diperjuangkan adalah untuk menuntut hak demi masa depan anak.
“Jumlah tuntutan mutaah dan nafkah tertunggak mencecah setengah juta ringgit ini difailkan selepas saya berbincang lanjut dengan peguam.
“Bagaimanapun, jumlah itu tidak termasuk dengan tuntutan nafkah anak sebanyak RM5,392 sebulan dan untuk nafkah edah yang masih dalam perbincangan dengan peguam lagi,” katanya.
Rita berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tuntutan mutaah sebanyak RM300,000 dan nafkah tertunggak RM150,000 hingga menjadikan jumlah keseluruhan mencecah setengah juta ringgit terhadap bekas suaminya, Mohamad Aidil Zafuan Abd Razak.
Dalam laporan sebelum ini, pelakon itu memfailkan tuntutan mutaah di Mahkamah Tinggi Syariah dan sebutan semula kesnya akan berlangsung pada 11 September nanti.
Manakala, tuntutan nafkah tertunggak pula sudah difailkannya pada Mac lalu.

Rita ditemui di majlis pelancaran kempen dan lagu salute Malaysia yang disempurnakan Datuk Lee Chong Wei dan berlangsung di Universiti Kuala Lumpur di sini, semalam.


Acara ini dianjurkan Yayasan Perdana Ummah dengan kerjasama Universiti Kuala Lumpur dan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan.

Ditanya sama ada, Aidil mampu untuk membayar semua tuntutan berkenaan, Rita berkata, bekas suaminya itu memang berkemampuan kerana gajinya yang mahal sebagai ketua pasukan Harimau Malaya.

Rita bercerai talak satu dengan Aidil pada 5 September tahun lalu di Mahkamah Rendah Syariah Seremban.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua anak lelaki iaitu Airit Rayyan Rizqin, 5, dan Airit Qaqa Arjuna, 3.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/04

Gempar cahaya dari langit

Foto

Oleh Mohd Razlan Salleh dan Junaidi Ladjana
Kota Kinabalu: Kemunculan cahaya merah di langit yang jelas dilihat selama beberapa minit bukan saja menyebabkan orang ramai panik, malah ada antaranya pantas membuat pelbagai andaian termasuk mendakwa kejadian itu disebabkan oleh meteor atau tahi bintang.
Difahamkan, cahaya merah pegun itu mula jelas kelihatan sekitar Penampang dan Putatan bermula jam 7 malam semalam, sebelum mulai kabur dan akhirnya hilang begitu saja kira-kira jam 10 malam. 
Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Winnie, 22, berkata, dia menyedari fenomena itu ketika memandu kereta untuk pulang ke rumahnya, kira-kira jam 9 malam.

“Ketika itu, saya memandu ke Tanjung Aru dan orang ramai keluar dari rumah selain ada yang membanjiri kawasan pantai.

CAHAYA misteri yang menggemparkan orang ramai.

“Saya memberhentikan kenderaan dan melihat satu garisan terang di langit dan menyangkakan ia adalah tahi bintang,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Winnie berkata, keadaan itu agak berbeza kerana kebiasaannya cahaya dicetuskan tahi bintang akan bergerak, tetapi cahaya berkenaan kelihatan pegun.


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/04

Innalillahi wa'inna ilaihi rojiuunn

Innalillahi wa'inna ilaihi rojiuunn
INNALILLAHI WAINNALILLAHI ROZIUN.....
Hati - hati jumpa dengan jodoh penganut ini..!!
akhwat berjilbab dlm gereja....Islam kah ?
bukan ini kristen orthodoks suriah yg ada di indon

Sekte Kristen yg meniru Islam.
ya Allah wajib baca Agama baru kristian ortodok dr syria n lebanon.. Gereja spt masjid.. Bila dgr bacaan tu mcm alunan ayat quran.. Takut rasa utk anak2 kita generasi akan dtg kalau kurang tauhid INNALILLAHI WA INNA ILAIHI RAJI'UN... Musibah Besar Mengintai Umat Islam.

Ada agama baru yg masuk di Indonesia dari Syiria & Libanon, Agama Kristen yg menyerupai Islam. Namanya Kristen Ortodoks Syiria (KOS) Mereka sholat, puasa, zakat, Gerejanya berbentuk Masjid, dll.

Demi Islam & Kaum Muslimin, sebarkan ke yang lain Wajib di sebarkan. Agama baru KOS (Kristen Ortodoks Syria) Now sedang berleluasa di Indonesia.. Yg dibaca tu bukan Quran but injil dlm bahasa arab.

Sebarkan informasi ini ke umat nabi Muhammad Saw. jangan takut, kerana Allah akan mnggantinya brlipat ganda, tapi jika brhenti di tngan anda, brarti anda tdak peduli dgn islam. Yang muslim, teruskan copy/share. WallahualamEko Setianto

INNALILLAHI WAINNALILLAHI ROZIUN.....
Hati - hati jumpa dengan jodoh penganut ini..!!
akhwat berjilbab dlm gereja....Islam kah ?
bukan ini kristen orthodoks suriah yg ada di indon
Sekte Kristen yg meniru Islam.
ya Allah wajib baca Agama baru kristian ortodok dr syria n lebanon.. Gereja spt masjid.. Bila dgr bacaan tu mcm alunan ayat quran.. Takut rasa utk anak2 kita generasi akan dtg kalau kurang tauhid INNALILLAHI WA INNA ILAIHI RAJI'UN... Musibah Besar Mengintai Umat Islam.
Ada agama baru yg masuk di Indonesia dari Syiria & Libanon, Agama Kristen yg menyerupai Islam. Namanya Kristen Ortodoks Syiria (KOS) Mereka sholat, puasa, zakat, Gerejanya berbentuk Masjid, dll.
Demi Islam & Kaum Muslimin, sebarkan ke yang lain Wajib di sebarkan. Agama baru KOS (Kristen Ortodoks Syria) Now sedang berleluasa di Indonesia.. Yg dibaca tu bukan Quran but injil dlm bahasa arab.
Sebarkan informasi ini ke umat nabi Muhammad Saw. jangan takut, kerana Allah akan mnggantinya brlipat ganda, tapi jika brhenti di tngan anda, brarti anda tdak peduli dgn islam. Yang muslim, teruskan copy/share. Wallahualam

Orientasi kontroversi

Foto
Add caption
Jakarta: Pertubuhan radikal Barisan Pembela Islam (FPI) mengecam mahasiswa di sebuah universiti di Jawa Timur kerana menggunakan ungkapan mengelirukan ketika program orientasi.
Setiausaha Agung FPI Jawa Timur, Khoiruddin berkata, pelaku aksi itu tidak mencukupi jika dihukum penjara, sebaliknya mesti dikenakan tindakan bunuh.

“Jangan penjara mereka tiga hingga lima tahun, sebaliknya kenakan hukuman mati.
“Sudah terlalu banyak kes mahasiswa terbabit dalam kontroversi,” katanya.

Mahasiswa Fakulti Usuluddin dan Falsafah di Universiti Islam Negeri Sunan Ampel di Surabaya baru-baru ini mencetus kontroversi selepas membawa kain rentang bertulis “Tuhan Membusuk” ketika program orientasi mereka.

Selepas dikecam, jurucakap kumpulan mahasiswa itu kemudian tampil mempertahankan diri.

KAIN rentang pada program orientasi di Universiti Islam Negeri Sunan Ampel di Surabaya.
Kata pemimpin mereka, kalimah itu tidak boleh ditafsir secara polos, sebaliknya sebagai simbolik kepada sikap manusia yang gemar menghakimi seseorang atas dasar ‘kebenaran’ pada fahaman manusia. Program orientasi itu berlangsung pada 28 hingga 31 Ogos lalu.

Khoiruddin berkata, sikap ditunjuk mahasiswa itu jauh lebih melampau berbanding militan Negara Islam yang terkenal dengan kezaliman mereka. “Apa yang mereka lakukan melukai perasaan seluruh umat Islam.
“Kami yakin bukan FPI saja yang membantah mereka,” katanya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/04

Usaha hapus Islam


Beijing: Kerajaan tempatan Xinjiang menawarkan pakej insentif termasuk bonus tahunan untuk menggalakkan perkahwinan antara etnik dan fahaman agama berbeza di wilayah itu, kononya untuk menggalakkan ‘integrasi harmoni.

Dasar itu yang diumumkan di daerah Cherchen menawarkan pakej hadiah istimewa etnik Uighur yang beragama Islam yang berkahwin dengan kaum Han. Pakej itu merangkumi bayaran tahunan 10,000 yuan (RM5,200) untuk lima tahun pertama perkahwinan selain subsidi perumahan, kesihatan dan pendidikan, menurut satu kenyataan di laman web pihak berkuasa tempatan daerah berkenaan.


Akhbar New York Times turut melaporkan, pasangan terbabit akan diberi keutamaan dalam permohonan mendapat perumahan dan jawatan sebagai kakitangan kerajaan, manakala anak hasil perkahwinan seumpama itu juga mendapat keutamaan untuk memasuki sekolah vokasional serta kolej selain subsidi tuisyen.



Timbalan setiausaha jawatankuasa Parti Komunis di Xinjiang, Yasen Nasi’er menyokong langkah itu.


“Ia langkah ke arah memastikan integrasi harmoni dan pembangunan semua etnik,” katanya.


Bagaimanapun, cadangan berkenaan dikecam beberapa pihak yang menganggapnya sebahagian usaha China untuk menghapuskan agama Islam dalam kalangan penduduk Uighur. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/04

Russia setuju usaha damai Ukraine, bukan gencatan senjata - Kremlin

GAMBAR fail Presiden Russia, Vladimir Putin, pada sidang media selepas perbincangan dengan Presiden Ukraine, Petro Poroshenko di Minsk, Belarus pada 27 Ogos lalu. - Foto AFP
Pejabat media Poroshenko, dalam satu kenyataan hari ini, menyatakan Moscow dan Kiev sudah bersetuju dengan "gencatan senjata kekal" di wilayah Donbass di timur Ukraine.
Agensi berita Russian, RIA, memetik Setiausaha Akhbar Putin, Dmitry Peskov, sebagai berkata:
"Putin dan Poroshenko benar-benar membincangkan langkah yang akan menyumbang kepada gencatan senjata antara puak militia dan tentera Ukraine. Russia tidak boleh bersetuju kepada gencatan senjata kerana ia bukan pihak yang terbabit dalam konflik itu." - Reuters

11 kapal terbang hilang di Libya



GAMBAR yang dirakam pada 26 Ogos lalu ini menunjukkan sebuah pesawat milik Syarikat Penerbangan Libya rosak selepas Lapangan Terbang Antarabangsa Tripoli di Libya ditawan kumpulan pemberontak.


TRIPOLI, Libya - Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) bimbang kehilangan 11 buah pesawat komersial dari Lapangan Terbang Antarabangsa Tripoli yang dirampas oleh kumpulan militan mungkin digunakan untuk tujuan keganasan sempena ulang tahun ke-13 serangan terhadap AS pada 11 September 2001, lapor MailOnline kelmarin.
Sebanyak 11 buah pesawat milik dua syarikat penerbangan negara itu hilang pada bulan lalu selepas satu kumpulan pemberontak menawan lapangan terbang berkenaan.
Para pegawai AS tidak mengesahkan kehilangan pesawat berkenaan tetapi dilaporkan sedang berusaha mengesan lokasi ia disimpan.
Satu sumber memberitahu portal Washington Free Beacon, sejak dua minggu lalu kerajaan AS mengeluarkan amaran berhubung keadaan di Libya dan kehilangan pesawat itu yang mungkin digunakan dalam serangan bagi menyambut ulang tahun tragedi 11 September 2001.
"Sejumlah pesawat komersial di Libya dilaporkan hilang dan kita akan mengetahui apa yang terjadi kepada pesawat itu pada 11 September ini," kata sumber tersebut.
Tarikh 11 September bukan sahaja ulang tahun serangan kumpulan pengganas, al-Qaeda yang merampas pesawat dan menyerang bangunan Pusat Dagangan Dunia di New York dan Pentagon di Washington tetapi ia juga ulang tahun kedua serangan kumpulan militan terhadap kedutaan AS di Benghazi, Libya.
Serangan tersebut menyebabkan empat warga AS maut termasuk Duta AS, Christopher Stevens.
Kata sumber itu lagi, terdapat bukti perisikan yang dipercayai bahawa satu kumpulan militan merancang untuk menggunakan pesawat berkenaan bagi melancarkan serangan di negeri Maghreb pada 11 September nanti.
Terdapat juga kemungkinan kumpulan itu menggunakan pesawat berkenaan sebagai penyamaran di laluan udara yang terbuka kepada pesawat komersial yang lain bagi memindahkan anggota pengganas ke lokasi tertentu. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0904&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3CI4EjGTh 
Hakcipta terpelihara 

Saman polis: Peguam Tengku Fakhry tarik diri


KUALA LUMPUR 3 Sept. - Peguam yang mewakili adinda Sultan Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra mahu menarik diri daripada mewakilinya dalam kes samannya terhadap polis dan kerajaan atas dakwaan menangkapnya secara salah semasa keluar dari Istana Mahkota, Kubang Kerian menuju ke lapangan terbang.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Nor Bee Ariffin menetapkan 17 Sept. ini untuk mendengar permohonan peguam bela dan peguam cara Tetuan Nizam, Amer (amp) Sharizad untuk menarik diri daripada mewakili Tengku Muhammad Fakhry.
Peguam Kanan Persekutuan Azizan Md Arshad dan Andi Razalijaya A. Dadi memberitahu pemberita bahawa Tetuan Nizam, Amer (amp) Sharizad telah menyerahkan notis penarikan diri daripada mewakili plaintif itu kepada mahkamah semalam.
Oleh itu, katanya, mahkamah menetapkan 17 Sept ini untuk mendengar permohonan itu.
Pada 3 Mei tahun lalu, Tengku Muhammad Fakhry memfailkan saman itu terhadap Ketua Polis Negara pada ketika itu Tan Sri Musa Hassan, kerajaan dan 13 pegawai polis kerana mendakwa telah menangkapnya secara salah pada 4 Mei 2010 pukul 7.15 malam, ketika beliau berada dalam kereta di pintu pagar utama Istana Mahkota menuju ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Baharu, Kelantan.
Tengku Muhammad Fakhry mendakwa beberapa defendan telah mengacukan senjata, menjerit-jerit dan mengarahkannya supaya menyerah diri.
Adinda Sultan Kelantan itu mendakwa, beliau kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kota Baharu dan setibanya di sana beliau telah ditahan dalam sebuah bilik lebih kurang sejam.
Tengku Muhammad Fakhry mendakwa defendan telah memintanya menyerahkan senjata api tetapi beliau memaklumkan bahawa beliau tidak membawa senjata itu, tetapi berada di dalam biliknya di Istana Mahkota.
Katanya beliau diiringi beberapa anggota polis pulang ke Istana Mahkota untuk mengambil senjata api itu dan selepas itu balik semula ke IPK dan dibenarkan pulang ke Istana Mahkota pukul 12 malam.
Plaintif mendakwa beliau tidak diberikan makanan dan tidak dibenarkan berhubung dengan peguamnya sepanjang ditahan di IPK itu.
Sehubungan itu, Tengku Muhammad Fakhry mendakwa beliau telah ditangkap secara salah dan kehilangan kebebasan dan kesemua defendan perlu bertanggungjawab terhadap penangkapannya itu.
Plaintif memohon ganti rugi am, khas, teladan, teruk, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Kesemua defendan dalam pernyataan pembelaan yang difailkan pada 12 Julai, 2013 menegaskan hanya dua defendan sahaja berada di tepi plaintif dan mereka tidak pernah pada bila-bila masa mengacukan senjata api kepada plaintif.
Defendan-defendan juga berkata tangkapan itu sah di sisi undang-undang.
- BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140903/ma_07/Saman-polis-Peguam-Tengku-Fakhry-tarik-diri#ixzz3CI3fWeLw
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Bekas calon DUN Sulaman mengaku tidak bersalah hina Nabi Muhammad


KOTA KINABALU 3 Sept. - Seorang bekas calon Dewan Undangan Negeri (DUN) sebuah parti politik dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menghasut dengan mengeluarkan kenyataan menghina Nabi Muhammad SAW di laman sosial Facebook miliknya, Julai lalu.
David Orok, 65, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan tersebut dibacakan oleh jurubahasa kepadanya di hadapan Hakim Ummu Khaltom Abdul Samad.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu melalui akaun Facebook bernama David Orok di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Roun, Jalan Labuaya, Tompokan, Tuaran antara pukul 12 tengah hari dan 1.50 petang, 4 Julai lalu.
Ahli perniagaan yang juga bekas calon DUN Sulaman pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) itu didakwa mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan penjara maksimum tiga tahun dan denda tidak melebihi RM5,000.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Jamil Arifin manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Ummu Khaltom membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin selain mengarahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh melapor diri di balai polis berhampiran pada hari Isnin setiap minggu sementara menunggu sebutan kes itu pada 30 September ini.
Pada 5 Julai lalu, Gabungan Badan Bukan Kerajaan Islam Sabah (CONCERN) membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu selepas ada individu memuat naik kenyataan menghina Nabi Muhammad SAW menerusi Facebook.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140904/ma_09/Bekas-calon-DUN-Sulaman-mengaku-tidak-bersalah-hina-Nabi-Muhammad#ixzz3CI3XMNAf
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Wanita Cina Muslim gagal padam 'Islam' dalam kad pengenalan


PUTRAJAYA 3 Sept. - Seorang kerani wanita keturunan Cina Muslim hari ini gagal untuk meminda nama dan memadamkan perkataan 'Islam' dalam kad pengenalannya selepas Mahkamah Rayuan menolak rayuannya.
Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Linton Albert yang bersidang bersama Datuk Rohana Yusof dan Hakim Mahkamah Tinggi, Vernon Ong Lam Kiat tidak mengarahkan kos dibayar oleh perayu, Noraini Soon kerana kes itu melibatkan kepentingan awam.
Kuorum itu sebulat suara berpuas hati Noraini, 39, masih beragama Islam menjadikan mahkamah itu tidak mempunyai bidang kuasa untuk memutuskan isu dalam rayuannya.
Mahkamah berpendirian bahawa pihaknya terikat dengan keputusan kes Lina Joy berhubung isu serupa.
Berdasarkan kes Lina Joy, perayu kekal sebagai penganut Islam sehingga status agamanya ditentukan oleh Mahkamah Syariah.
Noraini merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan semakan kehakimannya pada 24 Julai tahun lalu bagi mendapatkan perintah memaksa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) meminda nama pada kad pengenalannya dan memadam perkataan 'Islam'.
Dia turut memohon perintah untuk membatalkan keputusan JPN bertarikh 15 Ogos 2012 yang menolak permohonannya untuk pindaan tersebut.
Mahkamah Tinggi memutuskan demikian setelah berpendapat tidak mempunyai bidang kuasa untuk menentukan isu agama dalam permohonan itu.
Mahkamah turut berpuas hati wanita itu seorang Islam berdasarkan pada sijil kelahiran yang dikeluarkan pada 3 Januari 1975 bahawa ibunya seorang Cina manakala bapanya, Mohamed Ivan Soon berketurunan Cina Muslim.
Panel itu turut menerima keputusan Mahkamah Tinggi yang berpuas hati bahawa dia beragama Islam berdasarkan permohonan pertama untuk membuat kad pengenalan pada 1987 serta permohonan untuk memperbaharuinya pada 1994.
Dalam afidavit bagi menyokong permohonannya, Noraini menyatakan bahawa agamanya telah secara salah dinyatakan sebagai Islam kerana dia tidak pernah menganut agama itu.
Perayu menyatakan, dia dan ibunya beragama Buddha dan dia tidak pernah mengamalkan kehidupan sebagai seorang Islam.
Berdasarkan Seksyen 2 Akta Pendaftaran Undang-Undang Islam (Wilayah- Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505), dia seorang Islam kerana sewaktu kelahiran sekurang-kurangnya salah seorang daripada ibu bapa adalah Islam.
Noraini diwakili oleh peguam Wong Poh Leng manakala responden oleh Peguam Kanan Persekutuan, Khairul Fazly Kamarudin.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140904/ma_08/Wanita-Cina-Muslim-gagal-padam-Islam-dalam-kad-pengenalan#ixzz3CI3Nzaae
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tidak sarapan undang diabetes


LONDON 3 Sept. - Tabiat tidak mengambil sarapan pagi secara sihat dalam kalangan kanak-kanak boleh mengundang risiko menghidap penyakit diabetes apabila usia mereka meningkat dewasa, lapor satu kajian oleh pakar pemakanan Britain.
Portal berita Mail Online yang memetik kajian pakar pemakanan tiga pusat pengajian, Universiti Oxford, Cambridge, Glasgow dan St George menunjukkan, risiko tersebut boleh berlaku disebabkan tahap insulin dalam badan kanak-kanak, sekali gus menjadi faktor utama penyakit tersebut.
Dalam jurnal sains, PLOS Medicine, pakar yang mengetuai kajian berkenaan, Dr. Angela Donin dari Universiti St George di London berkata, tahap insulin yang tinggi menyebabkan badan kanak-kanak kurang bertindak-balas terhadap perkembangan hormon yang kebiasaannya akan mengawal jumlah gula dalam aliran darah.
Jelas Angela, penyakit diabetes boleh berlaku apabila badan individu tidak bertindak balas ke atas kandungan gula dalam badan atau kurang menghasilkan hormon itu.
Tambahnya, kanak-kanak yang tidak mengambil sarapan secara sihat lebih cenderung untuk makan makanan yang mengundang kegemukan pada waktu tengah hari atau malam selepas kajian sebelum ini mendapati hampir tiga juta penduduk Britain menghidap penyakit diabetes yang dikaitkan dengan corak pemakanan dan gaya hidup.
"Cara yang terbaik untuk mengelakkan gejala ini berlaku, kanak-kanak digalakkan mengambil bijirin pada waktu sarapan yang merupakan juadah terbaik untuk menentang penyakit diabetes.
"Tabiat mengambil sarapan pagi pada setiap hari boleh mengurangkan gejala pengambilan makanan ringan yang mempunyai kandungan gula yang tinggi dan menyebabkan risiko penyakit diabetes," katanya.
Dalam pada itu, Pengarah pusat kajian penyakit diabetes, Diabetes UK yang membiayai kajian terbabit, Dr. Alasdair Rankin berkata, lebih banyak penyelidikan perlu dijalankan bagi mengaitkan penyakit tersebut dengan pengambilan sarapan.
"Amalan sarapan secara sihat dalam kalangan kanak-kanak sebagai diet seimbang boleh mendapat banyak manfaat bagi mengelakkan golongan itu terdedah kepada penyakit," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140904/lu_09/Tidak-sarapan-undang-diabetes#ixzz3CHzWVQ6e
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Dunia gagal kawal Ebola


NEW YORK 3 Sept. - Agensi perubatan antarabangsa, Medecins Sans Frontieres (MSF) semalam berkata, dunia gagal untuk mengawal penyebaran Ebola dan perlu menghantar pasukan tindak balas bencana biologi global ke Afrika Barat.
Menurut Presiden Antarabangsa MSF, Joanne Liu, usaha untuk mengawal penyebaran Ebola yang bermula sejak enam bulan lalu gagal.
"Pengumuman Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengkategorikan Ebola sebagai kebimbangan terhadap kesihatan awam antarabangsa gagal membawa kepada tindakan tegas dan semua pemimpin global tidak mengambil apa-apa tindakan,'' katanya ketika taklimat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di sini.
Liu menyeru masyarakat antarabangsa supaya menderma lebih banyak katil di beberapa hospital lapangan, menghantar kakitangan terlatih dan makmal bergerak di Guinea, Sierra Leone dan Liberia. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140904/lu_06/Dunia-gagal-kawal-Ebola#ixzz3CHyS5zIE
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Rusia, Ukraine capai gencatan senjata?


Pasukan keselamatan Ukraine melakukan rondaan di sekitar Kramatorsk kelmarin ketika tentera negara itu memperkukuhkan kedudukan pertahanan bagi menghadapi ancaman Rusia. - REUTERS
KIEV 3 Sept. - Presiden Rusia, Vladimir Putin dan rakan sejawatnya dari Ukraine, Petro Poroshenko bersetuju untuk menguatkuasakan gencatan senjata secara kekal di wilayah bergolak di timur Ukraine.
Pejabat Presiden Ukraine dalam kenyataannya berkata, persetujuan itu dicapai selepas Putin dan Poroshenko mengadakan perbincangan melalui panggilan telefon bagi melaksanakan gencatan senjata di Donbass, timur negara ini.
"Satu persefahaman dicapai antara kedua-dua Presiden bagi mengambil langkah memulihkan keamanan," jelas kenyataan terbabit.
Pengumuman tersebut dibuat selepas konflik yang berlanjutan lebih empat bulan bertukar menjadi perang sehingga mengakibatkan lebih 2,600 nyawa terbunuh dan menjejaskan hubungan Moscow dan sekutu Kiev pada tahap terburuk sejak Perang Dingin.
Bagaimanapun jurucakap Putin, Dmitry Peskov menafikan mencapai persetujuan gencatan senjata dengan Ukraine, sebaliknya pemimpin kedua-dua negara hanya bersetuju untuk bekerjasama mencapai keamanan dan menamatkan konflik.
"Rusia tidak boleh bersetuju dalam perjanjian gencatan senjata tersebut kerana Moscow tidak terlibat dalam konflik berkenaan," katanya.- AFP/REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140904/lu_04/Rusia-Ukraine-capai-gencatan-senjata#ixzz3CHy3gSWB
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Jemaah haji wajib ambil vaksin meningitis

Pegawai perubatan Arab Saudi memberikan suntikan kepada jemaah haji bagi mengelak mendapat penyakit berjangkit sepanjang mengerjakan ibat haji di tanah suci. - AGENSI 



 JEDDAH 3 Sept. - Kementerian Kesihatan Arab Saudi mewajibkan pengambilan vaksin meningitis ke atas semua jemaah haji tempatan dan asing.
Laman web Arab News melaporkan jurucakap Kementerian Kesihatan, Khaled Mirghalani berkata, jemaah juga dinasihatkan mengambil vaksin selesema.
"Vaksin itu perlu diambil sekurang-kurangnya 10 hari sebelum jemaah tiba di tanah suci.
"Vaksin terhadap meningitis tersebut hanya sah untuk tempoh tiga tahun,'' katanya.
Khaled berkata, meningitis boleh merebak ketika musim haji kerana jemaah datang dari negara-negara yang berlaku penyebaran penyakit itu.
"Keadaan yang padat dan sesak memudahkan penyebaran penyakit berlaku," katanya lagi sambil menambah suntikan itu diberikan kepada golongan dewasa dan kanak-kanak berusia dua tahun ke atas tetapi tidak diberikan kepada wanita mengandung.
Beliau berkata, Jawatankuasa Saintifik Nasional kementerian itu, akan memantau jemaah haji apabila mereka tiba di sini.
Katanya lagi, pihaknya memberi tumpuan kepada beberapa penyakit berjangkit seperti Ebola, virus coronavirus termasuk Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS-CoV), demam kuning, meningitis, polio dan virus influenza bermusim.
Khaled berkata, keperluan kuarantin untuk visa haji telah diedarkan kepada negara-negara luar menerusi Kementerian Luar di Riyadh.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140904/lu_02/Jemaah-haji-wajib-ambil-vaksin-meningitis#ixzz3CHxPZlDt
© Utusan Melayu (M) Bhd 

87 askar Ukraine terbunuh di Ilovaysk


KIEV 4 Sept. - Sekurang-kurangnya 87 askar Ukraine terbunuh selepas dikepung oleh pemberontak pro-Rusia di bandar Ilovaysk, kata seorang pegawai semalam.
Pegawai tentera Ukraine di bandar Zaporizhia berkata, mayat-mayat askar itu dihantar ke bilik mayat di bandar itu sejak dua hari lalu. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140904/lu_11/87-askar-Ukraine-terbunuh-di-Ilovaysk#ixzz3CHwez1Jx
© Utusan Melayu (M) Bhd