Tuesday, September 6, 2011

Mat Indera murid bapa Muhyiddin, dakwa PAS

Di sebalik serangan bertubi-tubi terhadap Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dalam isu Muhammad Indera, lelaki itu didakwa pernah menjadi anak murid kepada bapa Tan Sri Muhyiddin Yassin.

johor pas youth visit mat indera brother johan shah 060911 suhaizan kait johan shahMalah, kata Ketua Pemuda PAS Johor Suhaizan Kaiat (gambar sebelah, kanan), pemimpin Kesatuan Melayu Muda (KMM) itu didakwa hampir menikah dengan kakak timbalan perdana menteri.

"Mat Indera mahu berkahwin dengan kakak TPM Muhyuddin Yassin tapi tidak dipersetujui oleh bapa Mat Indera," kata Suhaizan selepas menziarahi adik Muhammad - Johan Shah (gambar atas, kiri) - semalam.

Menurut Suhaizan, Mohamad dan Pesuruhjaya PAS Johor Datuk Dr Mahfodz Mohamed turut serta dalam pertemuan itu.

Menulis di laman Facebook, Suhaizan berkata, Mat Indera pernah menegaskan bahawa beliau bukan komunis dalam pertemuan terakhir dengan Johan di Penjara Air Molek, Johor Bahru.

"(Sebaliknya) British (yang) tuduh Mat Indera Komunis," tulisnya yang diberi tanggungjawab berdebat dengan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dalam isu sejarah itu.

Dibuang daerah, diseksa British
Justeru, Suhaizan menyifatkan tiada pembelaan terhadap kematian Muhammad Indera sebelum ini disebabkan "orang takut dengan British".

Suhaizan turut menyenaraikan beberapa fakta yang kurang diketahui tentang Mat Indera, antaranya:

- Mat Indera anak kedua daripada lapan adik beradik. Ibunya meninggal ketika Johan (bongsu) berusia dua tahun.

johor pas youth visit mat indera brother johan shah 060911 suhaizan kaiat- Johan, bapa Mat Indera, ibu tiri dan neneknya diseksa British dan dibuang daerah ke Singapura selama 5 tahun daripada tahun 1950 hingga 1954.

- British tawar $25,000 sebelum Peristiwa Bukit Kepong untuk tangkap Mat Indera. Selepas peristiwa itu, tawaran dinaikkan kepada $75,000.

- Mat Indera datang ke Bukit Kepong di saat akhir peristiwa tersebut dan tidak terlibat dalam serangan tersebut.

- Mat Indera pernah menyelamatkan anggota polis pada masa itu Yusof Rono.

- Mat Indera dilantik oleh kerajaan Johor sebagai guru agama. Beliau diberikan baju dan songkok rasmi. Beliau pernah belajar dengan ulama dikenali senagai Tuan Guru Fadil.

- Beliau digantung di Kampung Jambu Air, Taiping pada tahun 1953 dan kuburnya diasingkan daripada kubur utama.

- Mat Indera tidak pernah berkahwin.

Jais dakwa Khalid Samad kerana tazkirah tanpa tauliah

Harakahdaily
SHAH ALAM, 6 Sept: Belum selesai isu memeriksa gereja, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) membuka medan tempur baru apabila mendakwa anggota Parlimen Shah Alam, Khalid Samad kerana memberikan tazkirah tanpa kuliah.

(Khalid dan Dr Rani yang kini menjadi mangsa terbaru Jais)

Khalid dipanggil ke pejabat Jais Shah Alam hari ini dan dinyatakan pendakwaan ke atas beliau dan ditetapkan perbicaraannya pada 24 November depan di Mahkamah Syariah Klang.

Beliau dibebaskan dengan jaminan mulut oleh pembantunya sementara menunggu tarikh perbicaraan 24 November ini.

Turut menerima tindakan dari Jais adalah Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Rani Othman apabila tauliah beliau ditarik pada bulan Ramadhan baru-baru ini.

"Tauliah saya tamat Ramadhan lalu selepas menerimanya tahun lepas dan saya telah memohon untuk menyambungnya. Namun saya menerima surat dari Jais permohonan saya ditolak dan tauliah saya ditarik balik oleh Jais," kata Dr Rani kepada Harakahdaily.

Khalid didakwa di bawah Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor. Jika sabit kesalahan beliau boleh didenda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Khalid didakwa memberikan kuliah agama Islam tanpa permit ketika memberikan tazkirah Ramadhan pada 16 Ogos lepas di surau Taman Seri Sementa, Kapar, Klang.

Sebelum ini, Jais mendapat kritikan pelbagai pihak apabila didakwa membuat serbuan ke atas Gereja Methodist Damansara Utama di Petaling Jaya.

Jais pula berkata, pihaknya membuat pemeriksaan dan bukannya serbuan di gereja itu atas dakwaan dan maklumat ada usaha mengkristiankan umat Islam.

Ekoran itu, 12 orang Islam yang berada dimajlis itu sedang disiasat oleh Jais.

PAS pula mendesak Jais mendakwa mana-mana pihak yang didapati bersalah melanggar mana-mana peraturan ekoran dakwaan Jais itu.

Sebelum itu, usaha PAS untuk berbincang dengan Jais dan Gereja gagal apabila kedua-dua pihak tidak bersedia berbuat demikian.
Setiausaha Agung PAS. Datuk Mustafa Ali pula mendakwa, ada tangan-tangan Umno di belakang tindakan Jais ini. Ekoran itu, Umno Selangor berkata Mustafa akan disaman. Mustafa pula menjawab pihaknya sedia bertemu Umno di mahkamah dan akan memberikan bukti dakwaan beliau di mahkamah.

Dalam pada itu, Khalid ketika dihubungi Harakahdaily berkata, semasa tazkirah Ramadhan itu beliau memang menyentuh peranan umat Islam dalam menguruskan hal ehwal agama di negeri ini.

"Saya memberikan tazkirah tentang cerita yang berlaku di zaman Saidina Ali menjadi khalifah Islam di mana semasa peperangan Sifin baginda dapati baju besi baginda hilang.

"Apabila pulang baginda dapati seorang Yahudi sedang menjual baju besi itu di pasar lalu baginda berkata itu baju besinya. Yahudi itu pula berkata, ini aku punya.

"Lalu kes ini dibawa ke mahkamah Islam ketika itu iaitu Qadhi. Qadhi bertanya Saidina Ali, apa bukti dan saksi bahawa baju besi itu baginda yang punya.

"Saidina Ali berkata, bukti tidak ada tetapi saksi ada iaitu Hassan dan Husein. Qadhi kata, kedua-duanya tidak boleh jadi saksi yang adil kerana mereka berdua anak baginda. Jadi kes ini ditolak oleh Qadhi dan jadilah baju besi itu milik Yahudi itu.

"Saya ingin beritahu kepada hadhirin keadilan Islam ini bukan kepada Islam sahaja bahkan kepada Yahudi pun hatta berlawan dengan Khalifah Islam sendiri.

"Saya nak kaitkan, kita umat Islam kena dengar kedua-dua belah pihak dalam kes Jais siasat gereja ini bukan dari sebelah pihak dan membuat keputusan," cerita Khalid tentang tazkirah yang diberikannya.

XPDC Menjejak MAT INDERA - Siri 2 : Perbezaan MAT INDERA Dan Hj Mohd Yassin




Haji Mohd Yassin Muhammad


Mat Indera, Haji Mohd Yassin Muhammad (Bapa Muhyiddin) dan Sheikh Fadhil Banten

Ada baiknya kita memahami susur galur aliran pendidikan ketiga-tiga tokoh ini sebelum melihat permulaan tercetusnya semangat perjuangan di dalam diri Mat Indera. Mat Indera pernah berguru dengan Sheikh Fadhil Banten. Sheikh Fadhil Banten adalah seorang ulama terkenal di Muar. Haji Mohd Yassin Muhammad pula mula berdamping dengan Sheikh Fadhil Banten selepas gurunya Kadi Abu Bakar Alam meninggal dunia pada 1938. Mat Indera sudah berguru dengan Sheikh Fadhil Banten sejak 1937. Hubungan Haji Mohd Yassin dan Sheikh Fadhil Banten amat rapat, mereka bersama-sama mendalami ilmu agama di pondok Bunut Payong, Kelantan. Mereka juga pernah ke Banten, Jawa Barat menziarahi ulama-ulama tersohor di sana.

Ketika Jepun memasuki Tanah Melayu, Sheikh Fadhil Banten dititah untuk berkampung bersama-sama dengan SultanJohor dan kerabat lain di Istana Pasir Pelangi, Stulang Johor Bahru. Haji Mohd. Yassin pula diarah memasuki kampung dan menenangkan rakyat yang benci dan takut kepada Jepun. Atas arahan gurunya, Haji Mohd Yassin berdakwah disamping mengawal kawasan-kawasan dan kampung Sheikh Fadhil Banten iaitu di Bakri, Serom, Bukit Gambir, Lenga, Bukit Kepong, Gersik dan Panchor.

Bagaimanapun sebenarnya Jepun telah diarahkan agar tidak membuat kerosakan dan kesusahan yang besar di Johor kecuali jika terpaksa. Ini adalah sebagai tanda hormat Jepun kepada Sultan Johor, penerima Pingat Bintang Matahari Terbit Maharaja Jepun Kelas I yang bertaraf kerabat DiRaja Matahari Jepun. Perkara ini tidak diketahui ramai rakyat Johor dan Haji Mohd Yassin mengetahui hal ini daripada gurunya, Sheikh Fadhil Banten. Ketika zaman pemerintahan Jepun inilah Mat Indera mula berguru dengan Haji Mohd Yassin kerana Sheikh Fadhil Banten berada di istana bersama Sultan Johor. Saat-saat Mat Indera berguru bersama Haji Mohd Yassin ini yang menjadikan hubungan mereka akrab bagaikan sahabat.

Askar Fiji di Tanah Melayu

Secara sedar atau tidak, sebenarnya dalam keghairahan British untuk mempertahankan Tanah Melayu daripada jatuh ke tangan Jepun, mereka telah membawa begitu ramai Tentera Gurkha dan Tentera Fiji ke Tanah Melayu bagi menguatkan barisan tentera mereka. Berbalik kepada isu Bukit Kepong yang dihangatkan oleh media utama ketika ini, tindakan membawa masuk Askar Gurkha dan Fiji inilah yang menjadi punca serangan di Bukti Kepong. Saya akan ulas lebih lanjut di dalamsiri selanjutnya.


Perbezaan Haluan Mat Indera dan Haji Mohd Yassin - Kaum Muda VS Kaum Tua

Pada tahun 1945, setelah tamat Perang Dunia Kedua, Mat Indera mula bekerja sebagai buruh lembaga pelabuhan Muar. Kerana keberanian, ketokohan dan kebolehannya itu yang telah berjaya menyatukan kaum buruh dan memimpin perjuangan mereka. Beliau telah dilantik sebagai Ketua Kesatuan Buruh Pelabuhan serta melancarkan berbagai bentuk perjuangan untuk membela kepentingan kaum buruh yang tertindas. Semangat perjuangan yang tinggi telah mendorongnya bekerja keras, di samping menjadi buruh untuk mendapatkan nafkah sara hidup dan aktif dalam gerakan kemerdekaan.

Pada waktu siang, beliau mengembangkan pekerjaan di kalangan buruh dan lain-lain lapisan masyarakat yang progresif serta membakar semangat mereka untuk melawan penjajah demi kemerdekaan tanah air. Pada waktu malam pula, beliau bersama rombongannya menjelajah ke kampung-kampung mengumpulkan orang ramai mengadakan rapat-rapat umum dan berpidato untuk membangkitkan semangat orang rami. Orang ramai sangat tertarik dengan pidatonya serta memberikan sokongan yang kuat kepadanya. Di sinilah beliau mencipta nama yang harum di kalangan massa rakyat di Muar dan kawasan sekitarnya.

Ketika itu Mat Indera bukan saja menjadi seorang guru agama yang terkenal, malah juga seorang pemimpin buruh yang hebat. Pernah berlaku peristiwa kaum buruh pelabuhan Muar mengemukakan tuntutan kenaikan upah dan layanan kerja yang baik daripada pihak majikan. Akan tetapi, pihak majikan yang hanya tahu mengaut untung telah menolak tuntutan mereka. Kaum buruh yang marah telah mengadakan mogok besar-besaran menuntut kenaikan upah dan perbaikan syarat kerja. Pihak majikan telah menekan mogok besar-besaran itu dengan memerintahkan polis menyerbu pemogokan dan menangkap Mat Indera dan menghumbannya ke penjara.

Beliau akhirnya dipenjarakan beberapa bulan. Walaupun dipenjara Mat Indera menyemai semangat juangnya dengan meremehkan polis penjajah. Mat Indera sentiasa memberi penerangan dan pendidikan kepada rakan-rakan sepenjara dan mendapat sambutan yang baik daripada mereka. Ada beratus-ratus buruh pelabuhan yang sanggup tampil untuk menjaminnya keluar dari penjara, tetapi sebagai memprotes tindakan memenjarakannya yang tidak adil ini beliau menasihati kaum buruh agar tidak berbuat demikian. Sebaliknya beliau meniupkan semangat para buruh supaya meneruskan perjuangan dengan gigih di luar ketika beliau berjuang dari dalam penjara.

Mat Indera diarak oleh buruh-buruh pelabuhan dari Jalan Maharani ke Jalan Abdullah - Johan bin Indera


Ketika Mat Indera dibebaskan, Pak Johan sendiri menyaksikan abangnya Mat Indera telah diarak bagaikan pembesar layaknya oleh kaum buruh dari Jalan Maharani ke Jalan Abdullah di Muar menurut Pak Johan.

Dalam masa yang sama, Haji Mohd Yassin bersama 24 orang sahabat telah menubuhkan Persatuan Lujnah Pengembangan Pelajaran Igama Islam Muar. Haji Mohd Yassin lebih menumpukan kepada keperluan pendidikan agama dalam masyarakat Melayu di Muar. Haji Mohd Yassin melihat keadaan ketika perang dan selepas perang memperlihatkan bahawa pemuda yang berpendidikan agama lebih cepat menyesuaikan diri. Mereka yang kurang berpendidikan agama berhadapan masalah kekalutan dan kekacauan. Mereka perlu bergerak kerana masalah sosial yang teruk seperti pemuda yang berpeleseran, kaum wanita yang kerap ke bandar. Ramai orang melayu yang menghabiskan masa dengan berjudi dan meminum arak, tidak solat dan menjauhi masjid.

Permasalahan ini timbul kerana sistem pendidikan ketika itu, pastinya dari penjajah British yang mengutamakan peluang pekerjaan kepada lepasan berpendidikan Inggeris dan Melayu. Bekas pelajar berpendidikan agama tidak dilayan dengan baik.

Haji Mohd Yassin meneruskan perjuangan mengembangkan dakwah Islamiah mengikut fahaman Kaum Tua yang berpegang kepada amalan tasauf seperti Khaujakan dan kesufian yang lemah lembut melalui ceramah umum dan pendidikan. Beliau turut cuba menarik beberapa sahabat dan kenalannya yang berjuang mengikut fahaman Kaum Muda bersama Mat Indera.

Sebenarnya ketika usianya belasan tahun, Haji Mohd Yassin juga seorang yang amat berminat mengikuti perkembangan dakwah Kaum Muda. Pendekatan Kaum Muda adalah dengan menggunakan pendidikan moden dan sastera serta bermotif anti penjajah di dalam objektif dan misi mereka. Haji Mohd Yassin sendiri pernah meminta izin daripada gurunya ketika itu Kadi Abu Bakar untuk menuntut ilmu di Siak, Sumatera. Bagaimanapun ia dihalang oleh gurunya kerana berdasarkan fahamannya, fahaman Kaum Muda yang dipelopori oleh Sheikh Tahir Jalaluddin dianggapnya terlalu agresif dan banyak mendatangkan salah faham ilmu dan mudarat. Bagi mengelakkan Haji Mohd Yassin terus belajar di sisinya tanpa memikirkan hal-hal lain dan terpengaruh dengan Angkatan Muda, Mohd Yassin telah dinikahkan gurunya dengan Cik Maznah binti Daud pada usianya 16 tahun. Akhirnya Haji Mohd Yassin ini menjadi anak murid kesayangan gurunya, Kadi Abu Bakar Alim.



Masuk Hutan Berbaju Kuning Berseluar Pendek


Ahmad bin Indera kemudiannya terbabit dalam politik apabila menyertai ahli sayap pemuda Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dengan matlamat membebaskan tanah air daripada penjajahan Inggeris. Mat Indera juga aktif didalam pergerakkan yang dikenali sebagai Angkatan Pemuda Insaf (API).

Apabila Parti Kebangsaan Melayu Malaya diharamkan, Mat Indera telah mengambil langkah untuk masuk ke hutan. Tindakan Mat Indera ini tidak diketahui oleh seorang pun ahli keluarganya ketika itu. Menurut Pak Johan, pada hari Mat Indera keluar diri dari rumah dan masuk ke dalam hutan hanya dengan berpakaian baju kuning dan berseluar pendek. Pada ketika itu usia Pak Johan baru mencecah 8 tahun. Pada sangkaan awal ayahnya-Indera bahawa anaknya itu sudah hilang dan dibunuh komunis. Kerana sebelum itu ada seorang ahli keluarga Mat Indera iaitu bapa saudaranya, Yahya telah dibunuh komunis.

Setelah lama tidak berhubung dari pihak keluarga, akhirnya mereka menerima perutusan dari Mat Indera melalui surat. Di sinilah bermulanya cara Mat Indera berhubung dengan ahli keluarganya, di dalam surat itu hanya dinyatakan pesanan ringkas seperti 'Jumpa aku Pagoh', dan apabila bapanya berada di Pagoh barulah Mat Indera muncul menemui bapanya.


Bersambung : Nantikan Siri seterusnya, 1. Punca Serangan Bukit Kepong
                                                                    2. Keluarga Mat Indera dibuang daerah
                                                                    3. Misteri WASIAT Mat Indera


Siri 4 akan menyusul jika Siri 3 tidak cukup untuk menamatkan keseluruhan kisah Mat Indera -Author Faethal
http://pulakdah.blogspot.com

XPDC Menjejak MAT INDERA - Siri 1 : Kakak MUHYIDDIN Kekasih MAT INDERA



Jika tidak kerana isu MAT INDERA yang digembar-gemburkan oleh media mutakhir ini,mungkin ekspedisi seperti ini tidak pernah ada di dalam perancangan SAMM dan Author Faethal sebelum ini. Oleh itu setinggi-tinggi pengucapan terima kasih kepada Media Utama yang tela mempopularkan ucapan Mat Sabu tentang Mat Indera ini. Tanpa kalobrasi ucapan Mat Sabu dan 'dihangatkan' lagi oleh Utusan, tidak mungkin menyebabkan kami mengambil inisiatif untuk menjejaki MAT INDERA ini dan mencari jawapan persoalan utama yang bermain di benak masyarakat  Malaysia umunya dan Melayu khususnya iaitu'Benarkah MAT INDERA Pengkhianat?'.

Bagi menjawab persoalan ini satu ekspedisi yang bermula dari jam 10.00 pagi hingga 7.30 malam membawa kami merentasi bumi Johor dari Bukit Kepong sehinggalah ke Yong Peng. Bermula dari bertemu seorang penduduk di Bukit Kepong, dimana ibunya bersahabat kepada ibu MAT INDERA sehinggalah kepada kejayaan kami menjejaki adik MAT INDERA - Johan bin Indera di Yong Peng.

Rumah Johan bin Indera - adik bongsu Mat Indera

Selepas menempuh 7 jam perjalanan akhirnya kami berjaya menjejaki adik Mat Indera iaitu Pakcik Johan atau nama penuhnya Johan bin Indera. Pakcik Johan kini menetap di Yong Peng, Johor. Sebaik kami tiba di hadapan rumahnya, sebatang bendera Malaysia yang diikat pada tiang rumahnya berkibar megah. Begitu tinggi sekali semangat cintakan negara di dalam diri adik Mat Indera ini, walaupun abangnya ketika ini sedang dihamun sebagai pengkhianat negara dan komunis namun ia tidak memudarkan semangat kecintaan beliau terhadap perayaan Hari Kemerdekaan. Belum tentu rumah anak-anak kepada Bapa Kemerdekaan sendiri ada memasang Bendera Malaysia ketika ini. Belum lagi rumah pak menteri!.



Mat Indera BUKAN KOMUNIS
Persoalan awal kami sebaik memulakan bicara ialah 'Betulkah Mat Indera adalah pengkhianat kepada negara seperti dakwaan sesetangah piak?'.


'TIDAK. Dan saya tidak percaya Mat Indera komunis. Mustahil Mat Indera komunis kerana bapa saudara kami, Yahya sendiri dibunuh oleh komunis.' penafian yang tegas dari Pak Johan.

Johan bin Indera - adik bongsu Mat Indera

Dek kerana terlalu ghairah untuk mendapatkan jawapan kepada 'persoalan utama' itu, sehingga kami terlupa untuk mengenali Mat Indera lebih dekat. Menurut Pak Johan, mereka mempunyai 8 orang adik-beradik. Mat Indera, atau nama penuhnya Ahmad bin Indera merupakan anak kedua dan Pak Johan adalah anak yang bongsu. Salasilah keluarganya ialah Ahmad bin Indera bin Salleh bin Husin. Husin inilah yang dikatakan dari keturunan Datuk Bentara Husin Lela, Pahlawan Siak Seri Inderapura yang pernah menjadi panglima kanan Sultan Sharif di Siak. Beliau dilahirkan pada tahun 1920 di Kampung Gombak, Peserai, Batu Pahat, Johor.

Bagaimanapun kerana anak yang pertama sudah meninggal dunia ketika masih kecil, Mat Indera seolah-olah sudah menjadi anak sulung dan memegang tanggung jawab menjaga 6 adik-beradiknya yang masih kecil. Ibu mereka meninggal dunia ketika Mat Indera berusia 18 tahun, Pak Johan pula baru berusia 2 tahun.

Mat Indera pernah berguru kepada Kiyai Haji Sheikh Fadhil Banten yang menjadi salah seorang guru dan penasihat Sultan Johor, DYMM Sultan Ibrahim. Menurut Pak Johan, disebabkan Mat Indera pernah menjadi anak murid kepada Kiyai Haji Sheikh Fadhil Banten inilah yang menjadikan faktor mengapa Sultan Ibrahim enggan menandatangani surat hukuman gantungnya selepas Mat Indera dituduh bersalah.


Kekasih MAT INDERA

Masjid Parit Setongkat, Muar

Permulaan kehidupan beliau sebagai guru agama, adalah dengan mula mengajar di Sekolah Agama Bandar Pontian sebelum berkhidmat sebagai seorang guru agama di Sekolah Agama Parit Setongkat, Muar. Ketika berpindah di Muar, keluarga Mat Indera tinggal di Bakri,Muar beralamat di No. 56-1. Mat Indera juga pernah berguru dengan Haji Yassin, ayah kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin. Haji Yassin. Haji Yassin juga dikenali sebagai Tok Guru Haji Yassin amat terkenal di Bakri dan Pancor, Muar.

Pak Johan telah berkongsi satu rahsia bersama kami, walaupun Mat Indera tidak berkahwin dan mempunyai waris. Namun Mat Indera pernah berkawan dengan anak Tok Guru Haji Yassin, Noraini Yassin yang juga kakak kepada TPM Muhyiddin Yassin. Perhubungan mereka membawa kepada usaha Mat Indera untuk masuk meminang, bagaimanapun ditolak oleh ayahnya kerana merasakan perbezaan taraf mereka. Masakan seorang guru agama biasa mahu dipadankan dengan anak seorang Tok Guru yang tersohor. Selepas perhubungan mereka tidak direstui oleh bapanya, Mat Indera berkawan pula dengan seorang gadis bernama Azizah Daud. Namun perhubungan mereka juga tidak berpanjangan.


Bersambung..nantikan SIRI 2 -  1. Permulaan masuk hutan
                                                      2. Misteri WASIAT Mat Indera
http://pulakdah.blogspot.com

Gempa bumi di Sumatera, gegaran turut dirasai di Malaysia

KUALA LUMPUR: Gempa bumi kuat berukuran 6.7 magnitud dikesan di Sumatera utara awal pagi ini dan gegarannya turut dirasai di beberapa tempat di Selangor, Kuala Lumpur, Perak, Kedah dan Pulau Pinang.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan berkata, gempa yang berlaku pada jam 1.55 pagi itu berpusat di 127 kilometer (km) barat daya Binjai di Sumatera utara dan 363 km barat daya Pulau Pangkor, Perak.
Bagaimanapun, tiada ancaman tsunami dikeluarkan terhadap Malaysia. - BERNAMA

18 terbunuh pertempuran etnik, agama di Nigeria

JOS(Nigeria): Lapan belas individu dilaporkan terbunuh di sebuah kawasan yang dilanda pertempuran etnik dan agama, dekat Nigeria, kata seorang pegawai hari ini.

Penasihat kepada Gabenor negeri Plateau, Pam Ayuba, berkata 18 terbunuh malam semalam manakala 10 lagi cedera berhampiran ibu negeri Plateau.
Beliau berkata, kerajaan sedang berusaha untuk menguatkuasakan undang-undang dan mengembalikan ketenteraman.
Pesuruhjaya Polis, Komisioner Emmanuel Dipo Ayeni mengesahkan serangan itu, tetapi tidak mengenal pasti angka mangsa.

Nigeria adalah sebuah negara yang kaya dengan minyak dan mempunyai seramai 150 juta penduduk, berpecah antara orang Islam di utara manakala majoriti Kristian di kawasan selatan. - AP

Negeri Plateau dalam ketegangan di mana berpuluh-puluh kumpulan etnik bersaing untuk mengawal kawasan subur dan kuasa politik serta ekonomi. 

Jessica Simpson mahu kecilkan payu dara

Jessica Simpson
Jessica Simpson


Penyanyi rancang pembedahan sebelum berkahwin 

LOS ANGELES: Bintang televisyen dan penyanyi Amerika Syarikat, Jessica Simpson bercadang membuat pembedahan mengecilkan payu daranya, lapor majalah hiburan Amerika Syarikat yang dipetik akhbar Korean Herald.
Menurut majalah itu, penyanyi berkenaan tidak mahu lagi payu dara bersaiz D dan dilaporkan mengadu kepada rakannya yang ia menampakkan beliau kelihatan lebih besar berbanding tubuh yang sebenar.
Selebriti berusia 31 tahun itu dilaporkan mahu kelihatan langsing semula menjelang perkahwinannya dengan pemain bola Amerika, Eric Johnson. Pasangan itu sudah menetapkan tarikh perkahwinan pada 11 November depan.

Bagaimanapun, laporan juga menyatakan, Simpson mungkin terpaksa menangguhkan tarikh perkahwinannya untuk melakukan pembedahan sebelum perkahwinannya.

Simpson sebelum ini mengakui menghadapi masalah itu ketika muda kerana tidak suka dia menjadi tumpuan kerana saiz payu daranya.

“Buah dada saya agak ketara ketika berada di sekolah lagi. Tidak ada cara untuk menyembunyikannya sekalipun membalutnya.
“Saya orang pertama dalam kelas memakai coli. Saya masih ingat saya menangis di bilik mandi kerana perkara ini. Semua rakan saya kurus,” katanya.

Simpson yang sebelum ini pernah berkahwin dengan Nick Lachey, bagaimanapun, tetap berazam untuk mengecilkannya.

“Saya akan menari di bilik tidur dengan harapan dapat mengurangkan berat badan selain mengangkat berat serta senaman lain.

“Saya perlu lakukan senaman sendiri. Saya tidak perlu ikut mana-mana teknik senaman. Saya juga tidak perlu diet. Saya perlu lakukannya untuk diri saya dan itu akan buat saya gembira,” katanya.

Selepas bercerai dengan Lachey, Simpson semakin mendapat publisiti dan dilaporkan intim dengan aktor Dane Cook dan penyanyi Maroon 5, Adam Levine.
Simpson juga pernah menjalin hubungan dengan pemuzik John Mayer pada Ogos 2006 sebelum berpisah setahun kemudian.

Aktres itu kemudian mula keluar dengan pemain bola sepak Dallas Cowboys, Tony Romo pada November 2007. Ada peminat menyalahkan Simpson atas persembahan buruk Romo hingga dia digelar ‘Yoko Romo’.

Ia merujuk kepada Yoko Ono yang dipersalahkan peminat Beatles kerana ‘memusnahkan’ kerjaya John Lennon. Hubungannya dengan Johnson bermula pada 2010. – Agensi 

Pil tidur bukan cara ‘tutup mata’


PENDUDUK UAE menghabiskan masa awal pagi di kompleks beli-belah pada hari  raya kedua, 1 September lalu.
PENDUDUK UAE menghabiskan masa awal pagi
 di kompleks beli-belah pada hari raya kedua, 1 September lalu.


Doktor gusar ramai sukar lelap selepas Ramadan ambil ubat berlebihan

JEDDAH: Beberapa doktor pakar memberi amaran terhadap pengambilan pil tidur untuk mengatasi masalah sukar untuk tidur atau insomnia selepas bulan Ramadan.
Mereka berkata, kesukaran untuk tidur adalah disebabkan pertukaran tabiat tidur sepanjang Ramadan kerana ramai yang berjaga sepanjang malam dan tidur sepanjang siang.
Akhbar Arabnews melaporkan, doktor memberi amaran terutama kepada pelajar dan pekerja terhadap bahaya mengambil pil tidur hingga biasa mengambilnya untuk tidur.

Mereka berkata, pil tidur dan sedatif tidak boleh diambil tanpa arahan pakar perubatan kerana mempunyai kesan sampingan yang berbahaya.

Perunding perubatan keluarga Arab Saudi, Dr Nahla Ismail berkata pil tidur sangat berbahaya kepada lelaki dan dan wanita muda begitu juga ibu yang bekerja.

“Pengambilan pil tidur secara berlebihan akan menyebabkan seseorang ada masalah hati selain memberi kesan buruk kepada saraf,” katanya.
Beliau turut memberi amaran bahawa penggunaan pil tidur juga boleh membawa kepada gangguan mental dan menjurus kepada ketagihan.

Pakar perubatan dalaman, Dr Abdul Aziz Abdullah pula memberitahu, ada peraturan dan undang-undang yang menghalang pembelian pil tidur tanpa arahan doktor.

Bagaimanapun, ada di kalangan orang ramai yang cuba menggunakan ubat lain kerana ia juga memberi kesan mengantuk seperti ubat batuk, alahan atau selesema.

Berikutan itu, beliau menyelar farmasi yang menjual ubat itu tanpa sebarang arahan doktor dan berpendapat cara terbaik membantu mereka kembali kepada tabiat tidur yang normal secara berterusan dan tidak bimbang mengenai berjaga lebih lama di waktu malam.

Bercakap kepada Arabnews, sejumlah ahli farmasi menafikan mereka menjual pil tidur tanpa arahan doktor tetapi mengakui permintaan untuk ubat batuk meningkat sejak beberapa hari lalu.

Pakar psikiatri, Youssef Ibrahim, berkata banyak pendekatan yang boleh digunakan oleh orang ramai untuk memulihkan tabiat tidur yang normal.

“Makan salad, aprikot dan susu akan mengurangkan tekanan dan membantu mereka yang mengalami masalah tidur,” tambah Ibrahim. Beliau menasihatkan orang ramai untuk merebus dan minum air pudina sebelum tidur. – Agensi 

Manila larang bekerja di negara anggota GCC

MANAMA: Filipina dilaporkan merancang untuk melaksanakan larangan menghantar pembantu rumah ke Qatar dan dua lagi negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) kerana menuduh negara terbabit tidak mempunyai undang-undang sewajarnya untuk melindungi hak pekerja terbabit.

Kelulusan daripada lembaga pentadbir Pentadbiran Pengambilan Pekerja Luar Negara Filipina (POEA) dinanti untuk membolehkan larangan terbabit dilaksanakan, lapor akhbar harian Qatar, The Peninsula, kelmarin.
Qatar memiliki 26,000 pekerja pembantu rumah Filipina. Permintaan mendapat lebih ramai pembantu rumah Filipina adalah disebabkan tingkah laku mereka, tahap celik huruf dan standard latihan yang baik.
The Peninsula melaporkan, kedutaan Filipina di Doha memutuskan untuk tidak memberi sebarang ulasan mengenai kemungkinan larangan itu sehingga resolusi diluluskan.

Bagaimanapun, laporan media dari Manila menyebut bahawa kerajaan Filipina akan meluluskan resolusi terbabit untuk melarang penghantaran pembantu rumah ke Qatar, Emiriah Arab Bersatu dan Kuwait.

Manila mengemukakan bantahan serius kerana Qatar tidak mempunyai undang-undang buruh melindungi pembantu rumah dan ketiadaan undang-undang seperti itu menyebabkan pekerja terbabit tidak mempunyai hak perlindungan asas, seperti cuti sehari seminggu dan waktu kerja yang ditetapkan.

Setiausaha Buruh Filipina, Rosalinda Baldoz dipetik berkata Jabatan Hal Ehwal Luar (DFA) sudah membuat cadangan itu yang mendapati tiga negara Teluk berkenaan tidak beri jaminan perlindungan kepada pekerja pembantu rumah terbabit.
POEA dilaporkan belum membuat sebarang keputusan.

Menurut Pejabat Buruh Luar Negara Filipina di Doha, Qatar adalah negara ketiga terbesar memiliki pembantu rumah Filipina selepas Arab Saudi dan Hong Kong yang masing-masing menduduki tempat pertama dan kedua.

Qatar baru-baru ini mengumumkan merancang untuk membenarkan agensi buruh tempatan merekrut pembantu rumah dari negara baru termasuk Myanmar, Nepal, Kenya dan Tanzania.

Agensi buruh di Doha menyalahkan kerajaan Filipina kerana mengenakan syarat ketat termasuk menetapkan gaji yang tinggi kepada pembantu rumah terbabit.
Berikutan itu sesebuah agensi mengenakan bayaran sehingga QR10,000 (RM8,176) untuk membekalkan pembantu rumah kepada sesebuah isi rumah. – Agensi 

140 negara sokong Palestin merdeka



RAMALLAH - Sebanyak 140 negara dijangka menyokong resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara bebas dan merdeka, menurut pegawai kanan Palestin, kelmarin.

Dalam satu sidang media, perunding kanan, Nabil Shaath berkata, kira-kira 140 negara yang dijadual menyertai Mesyuarat Agung PBB pada 23 September depan akan mengundi dan berpihak kepada Palestin.

Jangkaan itu dibuat berdasarkan lawatan pemimpin Palestin ke negara luar sejak beberapa bulan lalu.

“Ramai pemimpin Palestin termasuk saya melakukan banyak lawatan bagi meyakinkan dunia supaya mengiktiraf tanah Palestin yang dirampas Israel sejak 1967 sebagai sebuah negara merdeka,” menurutnya lagi.

Kerajaan Palestin di Tebing Barat berazam menuntut keahlian penuh di PBB dan mendapatkan pengiktirafan sebagai negara merdeka.

Keputusan itu diambil selepas rundingan damai secara langsung bersama Israel tertangguh lagi selama hampir setahun disebabkan kedegilan rejim Zionis enggan memulangkan tanah rampasan serta berterusan membina penempatan haram Yahudi di Palestin.

Mat Sabu tunjuk bukti



JOHOR BAHRU - “Jangan gali kubur sendiri!” Itulah peringatan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu kepada mana-mana pihak terutama pemimpin Umno yang terus menyerangnya berhubung isu dakwaan Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan.

Mat Sabu berkata, beliau bukan bercakap kosong menge­nai perkara itu, sebaliknya mem­­punyai bukti mengang­kat Mat Indera sebagai hero.

Menariknya, kata Mat Sabu, buku yang dirujuknya, ‘Pengukir Nama Johor’ diterbitkan Yayasan Warisan Johor (YWJ) yang dinaungi sendiri oleh Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman.

Malah Abdul Ghani turut memberi kata-kata aluan pada buku terbitan 2004 itu sekali gus, katanya, membuktikan penerbitan buku yang mengiktiraf Mat Indera itu direstui Kerajaan Negeri.

“Jadi, saya nak nasihatkan Umno supaya jangan gali kubur sendiri; (kepada ahli sejarah) jangan jadi pengampu yang cuba gelapkan sejarah. Rakyat Johor seharusnya berbangga kerana Mat Indera adalah pejuang sebenar menentang penjajah, walaupun akhirnya mati di tali gantung,” katanya semalam.

Buku ‘Pengukir Nama Johor’ yang antara lain, mempunyai potret Mat Indera turut menghiasi kulit depannya, menghimpunkan biografi tokoh-tokoh kelahiran Johor yang ditulis oleh beberapa penulis, manakala kisah Mat Indera dihasilkan Ismail Adnan, bekas guru kanan yang pernah menjadi Timbalan Pengarah Institut Kepimpinan dan Latihan Semangat Datuk Onn.

Selain Mat Indera, turut dikisahkan riwayat mereka dalam buku itu ialah Almarhum Sultan Ismail dan bekas Pengerusi Tetap Umno, Tun Sulaiman Ninam Shah.

Buku itu disunting oleh Profesor Emeritus Datuk Abu Bakar A Hamid, bekas profesor di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya dan Md Ismail Zamzam, Tokoh Guru Berjasa Johor 2002.

Pada sidang media itu, Mat Sabu membaca sebahagian daripada tulisan Ismail mengenai Mat Indera, yang menurutnya, meyakinkannya bahawa Mat Indera bukan petualang tetapi pejuang:

“Walaupun ketokohan Mat Indera masih menjadi kontroversi namun ada satu persoalan besar perlu diberi jawapan sewajarnya. Persoalan kini adakah Mat Indera seorang petualang atau pejuang? Huraian di atas cukup jelas memberikan jawapan tepat.

“Seperti Datuk Mahara­jalela, Tok Janggut, Mat Salleh, Datuk Dol Said, Rosly Dhoby dan lain-lain, Mat Indera adalah seorang berani berjuang seca­ra terbuka melibatkan jasmani, rohani, intelek dan emo­sinya demi bangsa dan negara. Dia tidak mempunyai kepentingan peribadi. Dia juga tidak mempunyai niat jahat terhadap bangsa dan negaranya.

“Dia rela mempertaruhkan nyawanya demi memperjuangkan hak kedaulatan sebuah negara yang terbelenggu oleh rantai penjajahan. Justeru Mat Indera sewajarnya diabadikan namanya sebagai seorang pejuang dan bukan seorang petualang.”

Mat Sabu berkata, Pas menawarkan khidmat peguam kepada waris peristiwa Bukit Kepong yang ingin menuntut pampasan atas penderitaan kehilangan anggota mereka dalam peristiwa itu.

“Ada peguam, yang juga ahli Pas dan anak Johor, menawarkan diri mahu membantu waris mereka yang terlibat dengan peristiwa Bukit Kepong untuk menuntut pampasan daripada Kerajaan British. Dia sedia bantu. British bertanggungjawab ke atas pasukan mata-mata yang berkhidmat di rumah pasung (balai polis) itu. Kita sedia membawa kes supaya dipertimbangkan pampasan kepada mereka,” katanya.

Mat Indera, gerila Melayu yang berpendidikan agama dan disifatkan sebagai individu warak, mengetuai serangan bersama anggota komunis ke atas Balai Polis Bukit Kepong.

Derita warga tua di teratak usang


DAUD Salleh merenung sayu nasibnya sambil diperhatikan cucunya, Farah Natasha Halim (kanan) di rumah daif mereka di Kampung Gong Pak Jing, Kuala Terengganu, baru-baru ini. – UTUSAN/ Azlan Bahrum




KUALA TERENGGANU 5 Sept. – Sudah setahun, Daud Salleh, 77, kematian isteri, Salamah Ibrahim, 77, akibat sakit tua.
Ketika kesedihan dek kehilangan isteri belum reda, Daud terus dirundung malang bertimpa apabila terpaksa menjaga cucu-cucunya yang terdiri daripada empat beradik.
Empat beradik itu ialah Solehah Razali, 19; Normala, 17; Mohd. Mazlan, 15; serta seorang adik berlainan bapa, Farah Natasya Abdul Halim, 11.
Pada masa ini, hanya Farah Natasha yang ‘setia’ tinggal di teratak usang milik Daud di Kampung Gong Pak Jing dekat sini sedangkan Solehah, Normala dan Mohd. Mazlan sering keluar rumah.
Malah, ketika ini juga Farah Natasya yang masih bersekolah di tahun lima di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Gelang dekat sini manakala dua kakak serta seorang abangnya terpaksa berhenti sekolah kerana kesempitan hidup.
Menurut Daud, kebanyakan masa, hanya dia dan Farah Natasya yang tinggal di rumah itu manakala tiga yang lain dengan urusan masing-masing.
Dia memberitahu, cucu sulungnya, Solehah sudah lebih tiga bulan keluar dari rumah dan sehingga sekarang tidak pulang-pulang.
“Begitu juga dengan Normala, dia mungkin tinggal menumpang di rumah keluarga angkatnya manakala Mohd. Mazlan pula, kalau dia rasa nak pulang, dia pulang,” katanya ketika ditemui di rumahnya dekat sini, baru-baru ini.
Daud mengakui kehidupannya bersama cucu umpama ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’ dan atas kesulitan itu, dia amat mengharapkan bantuan ikhlas daripada mana-mana pihak yang prihatin.
Katanya, biarpun mendapat bantuan RM200 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), ia tidak cukup untuk menampung segala keperluannya sekeluarga.
Ditanya mengenai sambutan Aidilfitri lalu, Daud berkata, dia tidak membuat sebarang persediaan apatah lagi pertama kali dia menyambut hari raya tanpa isteri.
“Sebenarnya, saya dan cucu dah biasa dengan keadaan ini, raya atau tak raya sama sahaja,” katanya.
Daud yang sudah 30 tahun tinggal di situ bagaimanapun tetap mengharapkan keprihatinan pihak kerajaan agar membantu meringankan nasibnya sekeluarga termasuk menyediakan kediaman di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

OIC kutuk inkuiri PBB

JEDDAH 5 Sept. - Persidangan Pertubuhan Islam (OIC) mengutuk satu laporan inkuiri Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana 'menyembunyikan' serangan maut Israel ke atas flotila kapal bantuan ke Genting Gaza yang diketuai oleh Turki pada Mei tahun lepas.
Setiausaha Agung OIC, Ekmeleddin Ihsanoglu (gambar) dalam satu kenyataan semalam berkata, Laporan Panel Inkuiri PBB itu gagal mencerminkan pendirian yang objektif dan tidak berat sebelah.
"OIC tidak boleh menerima sebarang laporan yang menyembunyikan serangan Israel ke atas flotila kemanusiaan itu dan menghalalkan sekatan haram Israel ke atas penduduk awam Palestin di Gaza," katanya.
Ihsanoglu melahirkan sokongan terhadap rancangan Turki yang diumumkan baru-baru ini untuk mengheret Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di The Hague berhubung serangan itu.
Lapan rakyat Turki dan seorang warga Amerika Syarikat (AS) keturunan Turki terbunuh apabila komando Israel menggempur flotila terdiri daripada enam kapal itu pada 31 Mei tahun lepas, dalam usaha untuk menghalangnya daripada melanggar sekatan maritim rejim Zionis Israel ke atas Gaza.
Laporan PBB yang disiarkan pada Khamis lalu menuduh Israel bertindak dengan 'kekerasan keterlaluan' dalam operasi tersebut.
Namun inkuiri itu juga menyifatkan sekatan Israel ke atas Gaza sebagai langkah keselamatan yang sah di sisi undang-undang.
Ankara menuntut Israel memohon maaf atas kematian rakyat Turki tetapi Israel enggan berbuat demikian.
OIC juga meminta satu lagi inkuiri bebas dilancarkan berhubung serangan ke atas flotila itu dan menyeru masyarakat antarabangsa supaya mengenakan 'seberapa banyak tekanan' ke atas Israel untuk memaksanya menamatkan sekatan ke atas Gaza.
Kata OIC, Israel sebagai 'kuasa yang menduduki wilayah Palestin mesti memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan tanpa halangan' kepada rakyat Palestin. - AFP

Ahli kanan Al-Qaeda ditahan

ISLAMABAD 6 Sept. - Seorang ketua kanan Al-Qaeda yang dipercayai bertanggungjawab merancang serangan di Amerika Syarikat (AS), eropag dan Australia ditangkap di Pakistan, kata tentera semalam.
Younis al-Mauritani ditahan di pinggir bandar Quetta bersama-sama dua orang lagi yang berpangkat tinggi dalam kumpulan militan itu selepas agensi perisik AS dan Pakistan bekerjasama menjejaki mereka.
Penahanan mereka merupakan satu lagi tamparan hebat kepada rangkaian pengganas global, empat bulan selepas ketua Al-Qeda, Osama Laden dibunuh di Pakistan oleh tentera AS. - AFP

1.3 juta haram!

PUTRAJAYA: Jumlah pekerja asing sah dan pendatang asing tanpa izin di negara ini yang mendaftarkan diri secara sukarela menerusi Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja/Pati (Program 6P) disifatkan amat besar dan membimbangkan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, sehingga proses pendaftaran tamat 31 Ogos lalu, seramai 2,320,034 pekerja asing didaftarkan membabitkan 1,016,908 pekerja asing sah dan 1,303,126 pendatang asing tanpa izin.

Katanya, jumlah itu tidak termasuk pekerja asing yang enggan mendaftarkan diri, pelarian, pembantu rumah dan pekerja asing di Sabah serta Sarawak.

“Jumlah didaftarkan ini amat besar dan tidak dijangka pegawai kami, malah angka ini amat membimbangkan.

“Ini menunjukkan satu keadaan yang begitu serius dan jika program ini tidak dilaksanakan, sampai kiamat pun tidak tahu jumlah sebenar pekerja asing sah dan pendatang asing tanpa izin yang berada di negara ini.

“Kami juga menjangkakan jumlah pekerja asing di negara ini lebih besar selepas lima lagi proses iaitu pemutihan, pengampunan, pemantauan, penguatkuasaan dan pengusiran tamat hujung tahun ini,”katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat bersama Pengarah Imigresen Negeri di sini, semalam.


Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Kanan) Dasar dan Imigresen KDN, Datuk Alwi Ibrahim dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Alias Ahmad.

Hishammuddin berkata, jumlah pendatang asing tanpa izin dari Indonesia adalah tertinggi iaitu 640,609 berbanding pekerja sah, 405,312; diikuti Bangladesh, 267,803 (pendatang asing) dan 132,897 (pekerja sah); Nepal seramai 33,437 (Pati) dan 221,617 (pekerja sah) manakala Myanmar adalah 144,098 (pendatang asing) dan 113,485 (pekerja sah).
Katanya, sepanjang tempoh pendaftaran bermula 1 Ogos lalu, 78 peratus pendatang asing tanpa izin memilih mendaftar dengan syarikat pengurus yang dilantik, manakala 22 peratus lagi menerusi pejabat imigresen seluruh negara.

Beliau berkata, kementerian akan mengadakan ‘post mortem’ dan menyiapkan laporan lengkap berhubung fasa pertama Program 6P sebelum dikemukakan kepada mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin (JKKPA-pendatang asing tanpa izin) minggu depan.

Katanya, jawatankuasa itu juga akan menentukan tarikh pelaksanaan fasa seterusnya iaitu pemutihan akan dimulakan.

“Selain itu, penetapan mengenai dasar berhubung beberapa perkara penting untuk pelaksanaan proses pemutihan seperti definisi kadar keperluan sesuatu syarikat, jenis pekerjaan, majikan yang dibenarkan menggunapakai pekerja asing dan kesesuaian negara asal pekerja asing untuk diambil bekerja dalam sesuatu sub sektor.

“Malah, tindakan terhadap pekerja asing sah dan pendatang asing tanpa izin yang belum mendaftar dalam tempoh yang ditetapkan juga akan ditentukan pada mesyuarat berkenaan,” katanya.

Anak Krisdayanti mirip Raul Lemos


ARYANA  Amora dilahirkan secara Caesarean.
ARYANA Amora dilahirkan secara Caesarean.
JAKARTA: Penyanyi, Kris- dayanti semalam selamat melahirkan anak pertama hasil perkahwinannya dengan usahawan dari Timor Leste, Raul Lemos.
Kakak Krisdayanti, Yuni Shara, ketika bercakap kepada wartawan mengenainya berkata, bayi perempuan itu yang diberi nama Aryana Amora Lemos, dilahirkan menerusi pembedahan Caesarean dengan berat 2.9 kilogram dan panjang 48 sentimeter.

“Wajahnya mirip bapanya, Raul. Bibirnya juga seksi seperti Raul,” kata Yuni pada sidang akhbar di Hospital Mitra Kemayoran, Jakarta.

Krisdayanti melahirkan anaknya di hospital itu pada jam 1.45 petang.

Ia adalah anak ketiga yang dilahirkannya. Dua anaknya sebelum ini adalah hasil perkahwinannya dengan penggubah dan penyanyi, Anang Hermansyah.

Nama Aryana Amora Lemos begitu istimewa kepada Raul dan KD. Raul, dalam kenyataannya pada sidang akhbar berkenaan berkata, nama itu adalah gabungan perkataan Latin dan Portugis.


“Aryana bermaksud intan dan Amora pula cinta. Jadi nama itu bererti intan yang penuh cinta,” kata Raul.

Sebelum itu, Raul sempat mengucapkan syukur dan terima kasih kepada peminat Krisdayanti yang selama ini mendoakan keselamatan penyanyi itu.
Pasangan itu berkahwin 20 Mac lalu.

Krisdayanti dikatakan memilih pembedahan Caesarean kerana usianya yang sudah meningkat. - Agensi

Kawasan kubur jadi tapak apartmen di Singapura



GAMBAR bertarikh 16 Ogos lalu menunjukkan seorang lelaki berjalan melintasi Bukit Brown di Singapura.


SINGAPURA - Kawasan perkuburan Bukit Brown seluas 86 hektar di sini akan dibangunkan untuk didirikan apartmen.
Ia dianggap sebagai kawasan perkuburan paling tua yang dipercayai menempatkan kubu penduduk Cina yang tertua di Singapura.
Bukit Brown dibuka pada 1922 dan dinamakan sempena seorang pemilik kapal, George Henry Brown yang tiba di Singapura pada 1840.
Bagaimanapun, para penyokong pemuliharaan warisan meminta ia dipulihara daripada sebarang kegiatan pembangunan.
"Bagi saya, Bukit Brown merupakan salah satu daripada aspek warisan Singapura yang patut diberikan peluang kedua," kata Irving Johnson yang bertugas sebagai penolong profesor Kajian Asia Tenggara di Universiti National Singapura. - AFP

Balu polis mohon pencen suami



SHARIFAH Aminah menunjukkan gambar arwah suaminya, Syed Omar (kanan) yang pernah berkhidmat di Balai Polis Bukit Kepong ketika ditemui di Alor Setar semalam.


ALOR SETAR - Sharifah Aminah Syed Ali, 83, balu kepada seorang anggota polis yang pernah berkhidmat di Balai Polis Bukit Kepong selepas berlakunya tragedi serangan komunis, memohon supaya dipertimbangkan untuk menerima pencen suaminya yang meninggal dunia semasa bertugas di Balai Polis Kulim pada 1962.
Sharifah Aminah yang kematian suami Syed Omar Syed Yasin hampir 50 tahun lepas, memohon agar dipertimbangkan bayaran pencen kerana sepanjang kematian suaminya, dia tidak pernah menerima imbuhan itu.
"Selepas kematian suami, saya hanya menerima duit sagu hati sebanyak RM1,800 dan selepas itu sudah tidak dapat apa-apa duit. Duit pencen pun tidak dapat juga sampai hari ini," katanya kepada pemberita di sini semalam.
Katanya, selepas berkahwin dengan Syed Omar, mereka menetap di Kota Tinggi, Johor sebelum berhijrah ke Johor Bahru dan kemudiannya ditukarkan ke Bukit Kepong.
"Masa mula-mula sampai di Bukit Kepong, rusuhan memang sudah reda tetapi keadaan ketika itu sangat menakutkan. Selepas pukul 6 petang, kami kena tutup semua pintu dan tingkap dan tidak boleh keluar rumah. Hendak ambil air daripada telaga pun tidak boleh sebab komunis humban mayat-mayat dalam telaga.
"Kami terpaksa menggunakan air Sungai Bukit Kepong untuk kegunaan seharian," katanya.

Krisdayanti lahir anak perempuan



GAMBAR yang disiarkan akhbar dalam talian Kompas.com menunjukkan anak Krisdayanti.


JAKARTA - Penyanyi terkenal, Krisdayanti melahirkan seorang anak perempuan di Rumah Sakit Mitra Kemayoran, Jakarta menerusi pembedahan, lapor akhbar dalam talianKompas.com semalam.
Krisdayanti, 36, melahirkan anak itu semalam dengan berat sebanyak 2.95 kilogram (kg).
Suami Krisdayanti, Raul Lemos yang merupakan seorang ahli perniagaan mengesahkan berita kelahiran itu kepada pihak media.
"Alhamdulillah, anak kami sudah lahir dengan selamat. Perempuan (anaknya) dengan berat badan 2.95kg," kata Lemos.
Anak itu diberi nama Aryana Amora Lemos.
Krisdayanti dan Lemos bernikah pada 20 Mac lalu di sini.
Sebelum ini, penyanyi yang juga pelakon itu menggemparkan industri hiburan apabila dia mengaku sudah hamil empat bulan semasa bernikah dengan Lemos. - Agensi