Mohd Amar Abdullah |
Menurutnya, air di Gua Musang dan Kuala Krai mulai surut dan kini memberi kesan kepada kawasan di bahagian bawah termasuk Machang, Kota Bharu serta Tumpat.
“Banjir 1967 lebih teruk, tapi kita tak isytihar darurat, sebab itu kali ini pun kita belum isytihar darurat, cuma yang menjadi kelam-kabut apabila ada setengah kawasan tak pernah banjir tiba-tiba ditenggelami, ramai tidak jangka kerana ia datang secara mengejut, itu yang menjadi isu.
“Bagaimanapun air agak lambat surut di Kuala Krai berikutan kawasan yang terlalu besar, tetapi di Gua Musang sudah tidak banjir, perlahan-lahan berkurangan dan kini memenuhi daerah di bawahnya terutama Kota Bharu dan Tumpat yang berada di muka kuala,” katanya kepada media, semalam.
Mohd Amar berkata, kejadian itu mungkin berpunca daripada pembangunan yang giat dilakukan termasuk kegiatan menambak tanah untuk projek perumahan, sekolah dan bangunan sehingga menyebabkan air mengalir di luar saluran yang ada.
Mengulas lanjut, Mohd Amar berkata, gerakan menyelamat giat dijalankan dan terus ditingkatkan dengan bantuan tujuh helikopter selain tambahan petugas termasuk sukarelawan dari luar negeri ini.
“Peruntukan tambahan bekalan makanan sudah sampai, cuma di sesetengah lokasi, kita tak boleh masuk disebabkan arus terlalu deras dan ini yang menjadi isu apabila bantuan lambat sampai, bagaimanapun bukan di seluruh negeri ” katanya.
Mohd Amar berkata, kawasan yang gagal untuk sampai, bekalan makanan dijatuhkan menggunakan helikopter.
Menurutnya, berdasarkan pengalaman sebelum ini, air dijangka surut dalam masa dua hari sekiranya tidak ada hujan dan air pasang.