SHAH ALAM - Di sebalik polemik sama ada relevan atau tidak Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku), Pemangku Presiden dan Naib Censelor Universiti Industri Selangor (Unisel), Prof. Dr Anuar Ahmad (gambar) hari ini melahirkan pendirian tegas agar sekatan terhadap golongan pelajar universiti berpolitik harus dikaji semula.
Beliau berkata, sekatan tersebut secara tidak langsung menghalang negara melahirkan golongan mahasiswa yang berpotensi menjadi pemimpin pada masa akan datang.
"Adalah menjadi sesuatu yang pelik kerana pelajar yang tidak masuk universiti dibenarkan mendaftar dalam parti politik tetapi pelajar yang masuk universiti tidak dibenarkan berpolitik.
“Oleh itu, ini adalah sesuatu yang diminta agar dikaji semula kerana kumpulan yang cerdik ini tidak diberi (peluang) dan dihalang (berpolitik)," katanya pada Wacana Sinar Harian siri ke-10 hari ini.
Golongan pelajar adalah kumpulan graduan yang bakal menjadi pemimpin negara dan oleh itu, katanya, mereka seharusnya tidak disekat daripada berpolitik kerana jika ia berlaku, tidak mustahil negara akan melahirkan golongan graduan yang hanya tumpu pada satu kemahiran sahaja.
"Rasulullah SAW sendiri adalah seorang pemimpin berpolitik termasuk juga empat sahabat (Saidina Abu Bakar; Saidina Ali; Saidina Umar; dan Saidina Uthman). Kalau sekat pelajar kita berpolitik bagaimana hendak lahirkan pemimpin nanti," katanya.
Terdahulu Anuar berkata, perkara yang dinyatakan dalam Seksyen 15 Auku sebagai sesuatu yang membimbangkan.
"Bagi saya, perkara yang dinyatakan Seksyen 15 Auku iaitu tiada sesiapa semasa menjadi pelajar boleh melakukan sesuatu yang menyatakan seperti atau membayangkan sokongan kepada mana-mana parti politik atau mana-mana kesatuan pekerja sebagai sesuatu yang menyekat pelajar-pelajar meluahkan atau menyuarakan ideologi.
"Sebagai contoh, jika pelajar itu memperjuangkan isu berkaitan rasuah dan isu itu pula dibangkitkan pihak pembangkang, jadi dengan merujuk kepada Seksyen 15 Auku, ia secara tidak langsung menimbulkan punca ketakutan kepada mahasiswa yang ingin bangkit memperjuangkan kebenaran," katanya.
Beliau turut menegaskan, hal berkaitan politik seharusnya difahami.
"Memahami politik itu sebagai letak satu nilai pada tempatnya. Jika pelajar tidak diberi peluang menyuarakan pendapat ini adalah sesuatu yang bahaya," katanya sambil memberitahu, ia turut boleh menjadi salah satu yang mengekang rakyat Malaysia menjadi lebih kreatif.
Mengulas mengenai kebebasan bersuara di kalangan pelajar Unisel, Anuar menegaskan, universiti itu sentiasa memberi peluang dan ruang kepada pelajar-pelajarnya berdemonstrasi sekiranya ia dilaksanakan secara formal dan bertanggungjawab.
Beliau turut menjelaskan, sebagai sebuah institusi pengajian tinggi milik penuh kerajaan negeri Selangor, Unisel adalah sebuah universiti yang mengamalkan Auku.