Showing posts with label turki. Show all posts
Showing posts with label turki. Show all posts

Tuesday, October 16, 2012

Turki tahan pesawat Armenia pula



Pesawat Armenia yang dipaksa mendarat di lapangan terbang Erzurum, timur Turki, semalam digeledah bagi memastikan ia tidak membawa senjata berbahaya ke Syria.
ANKARA 15 Okt. - Turki, hari ini mengarahkan sebuah pesawat Armenia yang dalam penerbangan ke bandar Aleppo, Syria, mendarat di timur negara ini dan menggeledahnya, ketika Ankara meningkatkan usaha menghalang ruang udaranya digunakan untuk membekalkan senjata kepada tentera Syria.
Turki telah dimaklumkan bahawa pesawat yang dipaksa mendarat di bandar Erzurum itu membawa bantuan kemanusiaan dan pegawai Armenia tahu ia akan digeledah, menurut seorang pegawai dari pejabat Perdana Menteri Turki.
Pegawai di pejabat Kementerian Luar pula berkata, pesawat kargo itu akan dibenarkan meneruskan penerbangan jika tidak ada barangan lain yang ditemui.
Menteri Luar Turki, Ahmet Davutoglu, semalam mengumumkan akan menghalang pesawat penumpang Syria menggunakan ruang udara negara ini selepas Damsyik mengambil langkah yang sama.
Davutoglu berkata, penutupan ruang udara Turki kepada penerbangan awam Syria itu dikuatkuasakan sejak Sabtu lalu selepas mengenakan sekatan sama ke atas pesawat tentera dari negara itu.
Tindakan Ankara itu dibuat selepas agensi berita Syria, SANA pada Sabtu lalu melaporkan semua pesawat Turki dilarang memasuki ruang udara Syria.
Sementara itu, jumlah pelarian Syria di khemah-khemah pelarian di selatan negara ini telah melebihi 100,000 orang, angka yang dikatakan Ankara sebelum ini tidak dapat ditampungnya, menurut Agensi Pengurusan Bencana Turki (AFAD).
AFAD dalam satu kenyataan berkata, kini terdapat 100,363 rakyat Syria di lebih 12 khemah pelarian di wilayah Turki di sepanjang sempadan negara ini dengan Damsyik.
Ketegangan antara Turki dan Syria memuncak sejak dua minggu lalu selepas insiden berbalas-balas bedilan merentasi sempadan antara kedua-dua negara diikuti tindakan Ankara memaksa sebuah pesawat Damsyik mendarat kerana didakwa membawa senjata dari Rusia pada 10 Oktober lalu. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121016/lu_05/Turki-tahan-pesawat-Armenia-pula#ixzz29Tzxmdoz
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Sunday, October 7, 2012

Turki lancar serang balas

ISTANBUL 6 Okt. - Turki kembali melancarkan serangan balas terhadap Syria, hari ini dan semalam, selepas tentera Syria didakwa membedil wilayahnya yang terletak terlalu hampir dengan wilayah sempadan Turki, Hatay, lapor agensi berita Anatolia.
Menurut Gabenor Hatay, Celalettin Lekesiz, serangan Syria berlaku 50 meter hampir mengenai sempadan kawasan terpencil berdekatan bandar Yayladagi, Turki, yang terletak dalam wilayah Hatay, mengundang tindakan balas daripada pasukan tentera Turki.
Bagaimanapun beliau berkata, tiada sesiapa yang cedera dalam serangan itu.
Serangan terbaru itu berlaku dua hari selepas Syria melakukan serangan di bandar sempadan Turki, Akcakale, sehingga mengorbankan lima sekeluarga, menyebabkan Turki bertindak membalas serangan, yang memburukkan lagi hubungan antara dua negara yang berjiran.
Pertempuran itu berlaku walaupun sebelum itu Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengutuk tindakan Syria yang menyerang sempadan Turki Rabu lalu dan juga serangan pengganas menggunakan bom kereta yang menyebabkan 50 orang terkorban di Aleppo, pada hari yang sama.
Dalam perkembangan lain di Syria, tentera Syria melancarkan serangan menerusi jet pejuang di kawasan kubu kuat pemberontak berdekatan Homs, semalam.
Pemantau Hak Asasi Manusia bagi Syria berkata, serangan di daerah Khaldiyeh itu merupakan yang paling buruk dalam tempoh lima bulan pertempuran di Homs dan kali pertama rejim menggunakan jet pejuang untuk menyerang pemberontak.
Pemberontak pula bertindak membalas serangan dengan melepaskan tembakan ke arah helikopter rejim di wilayah Damsyik serta menawan pusat pemeriksaan tentera di luar bandar timur, Deir Ezzor, menyebabkan 12 tentera terkorban. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121007/lu_01/Turki-lancar-serang-balas#ixzz28bdrVqsQ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Saturday, October 6, 2012

PBB kutuk Syria serang Turki



AKCAKALE, Turki 5 Okt. - Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Syria menyerang bandar sempadan Turki, Akcakale, yang mengorbankan lima sekeluarga, kelmarin.
Presiden badan itu, Gert Rosenthal berkata, insiden tersebut menunjukkan krisis di Syria memberi kesan serius kepada keselamatan negara-negara jiran dan keamanan serantau.
"Majlis ini meminta pencabulan undang-undang antarabangsa seperti itu dihentikan serta-merta dan tidak diulangi lagi," kata beliau yang juga merupakan Duta Guatemala ke PBB.
Majlis itu turut meminta kerajaan Syria menghormati kedaulatan dan integriti wilayah jiran-jirannya.
"Anggota Majlis Keselamatan juga meminta kedua-dua pihak agar tidak terus bertelagah," kata Rosenthal.
Dalam kejadian yang berlaku kelmarin, pasukan tentera Turki bertindak membalas serangan Syria dan dalam masa yang sama Parlimen Turki turut memberi lampu hijau berhubung serangan balas berkenaan.
Bagaimanapun, Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan berkata, pihaknya tidak merancang untuk berperang namun bertindak bagi melindungi negaranya.
Keadaan di sempadan itu hari ini kembali tenang tanpa ada tindakan balas dari Turki.
Dalam perkembangan berkaitan di Syria, pesawat tempur tentera hari ini membedil Homs, serangan kali pertama menyaksikan penggunaan jet pejuang di bandar berkenaan.
Pengarah Pertubuhan Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia, Rami Abdel Rahman berkata, serangan di daerah Khaldiyeh tersebut merupakan yang terburuk di Homs dalam tempoh lima bulan. - AFP/ DPA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121006/lu_01/PBB-kutuk-Syria-serang-Turki#ixzz28VaMieg7
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Wednesday, October 3, 2012

12 anggota PKK terbunuh di tenggara Turki

DIYARBAKIR, Turki 3 Okt. - Sekurang-kurangnya 12 anggota pemberontak Parti Pekerja Kurdistan (PKK) terbunuh dalam pertempuran dengan pasukan tentera, di tenggara Turki semalam.
Menurut sumber ketenteraan, kejadian itu berlaku ketika anggota PKK cuba menyusup masuk ke pondok keselamatan tentera daerah di Semdinli di wilayah Hakkari yang terletak di sempadan Iran dan Iraq.
"Sebanyak 12 anggota PKK terbunuh dalam pertempuran tersebut dan pasukan tentera mengawal ketat kawasan terbabit," katanya. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121003/lu_06/12-anggota-PKK-terbunuh-di-tenggara-Turki#ixzz28F8WxyIx
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tuesday, October 2, 2012

Apa cabaran seterusnya untuk Turki?




http://m.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/13588-apa-cabaran-seterusnya-untuk-turki

(Erdogan dan isteri dalam perhimpunan AKP baru-baru ini)

ANKARA: Dengan sambutan yang hebat, Parti Keadilan dan Pembangunan Turki, atau AKP, merasmikan kongres keempatnya di Ankara Ahad lalu.

Dalam arena sukan di ibu negara tersebut, di mana permaidani merahnya telah dinamakan semula dengan "Jalan Demokrasi", Recep Tayyip Erdogan, pemimpin AKP dan Perdana Menteri Turki, memberi ucapan kepada puluhan ribu penyokong dan orang kenamaan asing.

Acara ini meraikan kejayaan Turki - satu dekad kejayaan pilihan raya, pertumbuhan ekonomi yang kukuh dan kuasa serantau yang semakin mampan.

Ia adalah kongres terakhir Erdogan sebagai pengerusi AKP, dan rata-rata mempercayai beliau akan bertanding jawatan presiden pada tahun 2014.

Dalam ucapan selama dua jam setengah (gambar), Erdogan berkata era rampasan kuasa tentera telah berlalu dan Turki merupakan model untuk dicontohi oleh negara-negara Islam yang lain.

Namun Turki telah menangani beberapa isu.

Beberapa hari lalu, tiga jeneral tertinggi telah disabitkan kesalahan menjadi dalang untuk menggulingkan kerajaan. Lebih daripada 300 pegawai tentera Turki turut terlibat.

Dan Turki telah lama berperang dengan Parti Pekerja Kurdistan (PKK), yang telah meningkatkan serangan beberapa bulan kebelakangan ini dalam usaha mewujudkan sebuah negara Kurdish yang berasingan.

Turki juga menghadapi potensi ancaman dari Syria. Selain beban ekonominya sendiri, kem-kem pelarian di Turki kini menempatkan kira-kira 80,000 orang dari Syria.

Dengan AKP bersedia dengan rombakan besar-besaran, kita bertanya: Apakah perubahan yang akan kita lihat? 

Di manakah Turki selepas satu dekad di bawah kepimpinan yang sama? Dan apakah cabaran yang mendatang untuk parti tersebut?

"Sebelum kami memerintah pada tahun 2002, tiada kestabilan ekonomi, tiada keselamatan, tiada demokrasi di negara ini. 

"Kami telah bersendirian dalam perjuangan kami menentang keganasan, dalam proses pendemokrasian. 

"Kami berazam untuk menyelesaikan isu Kurdis walaupun wujudnya provokasi dan kempen melawan kerajaan. 

"Isu Kurdish tidak boleh diselesaikan oleh mereka yang memilih berbaik-baik dengan pengganas, tetapi oleh mereka yang memilih berbaik-baik dengan rakyat. 

"Kami mengambil alih lebih daripada $23.5 bilion hutang negara. Sehingga kini jumlah tersebut berkurangan kepada $1.3bn dan kita akan mengurangkan ia kepada sifar pada bulan April," kata Recep Tayyip Erdogan, Perdana Menteri Turki.

Wednesday, July 25, 2012

Turki kerahkan peluru berpandu ke sempadan Syria




Isnin, 23 Julai 2012 Syria - Turki telah mengerahkan peluru berpandu ke sempadan Syria, menurut laporan yang beredar. Pejabat berita Turki Anadolu menyatakan bahawa Turki juga telah mengerahkan pengangkut pasukan ke sepanjang perbatasangan dengan Syria.

Sejumlah konvoi tentera Turki, termasuk kenderaan yang membawa beberapa pelancar peluru berpandu dan pengangkut pasukan telah tiba di kota Mardin, dilansir Anatolia.

Pada bulan Jun lalu, Ankara telah mengerahkan sejumlah kereta kebal dan kenderaan tentera ke sempadan wilayah Diyarbakir, sementara pelancar peluru berpandu telah ditempatkan di wilayah Hatay di sebelah barat sempadan Syria.

Pengerahan kekuatan tentera ke sempadan Syria tersebut datang setelah ketegangan antara Syria-Turki terjadi, setelah jet pejuang yang didakwa milik Turki ditembak jatuh oleh Syria

Saturday, September 10, 2011

Kapal perang Turki akan iringi flotila



KAHERAH 9 Sept. - Turki akan menghantar kapal-kapal perangnya untuk mengiringi flotila kapal bantuan kemanusiaan dari negara ini ke Genting Gaza bagi mengelak insiden serangan Israel pada tahun lalu daripada berulang.
Perdana Menteri, Recep Tayyip Erdogan berkata, kapal perang Turki kelas pertama akan dikerah melindungi flotila kapal-kapal dari negara ini yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza.
"Mulai sekarang, kami tidak akan membiarkan kapal-kapal kami diserang oleh Israel seperti yang berlaku kepada Freedom Flotilla pada tahun lalu," katanya dalam satu wawancara yang disiarkan oleh Al Jazeera.
Edrogan turut memberitahu bahawa Turki telah mengambil langkah bagi menghentikan Israel daripada mengeksploitasi sumber di Mediterranean, selepas peningkatan ketegangan antara kedua-dua bekas sekutu itu, ekoran Israel enggan memohon maaf berhubung insiden serangan ke atas flotila bantuan kemanusiaan pada tahun lalu.
Beliau bagaimanapun berkata, hubungan negara ini dengan Israel boleh dipulihkan jika rejim Zionis itu memohon maaf atas insiden serbuan ke atas flotila bantuan ke Gaza pada tahun lalu yang mengorbankan sembilan aktivis Turki dan bersetuju untuk membayar pampasan.
Sementara itu, jurucakap Menteri Luar Israel, Yigal Palmor berkata, kenyataan ini tidak sesuai untuk diulas.
Hubungan antara Turki dan Israel menjadi tegang selepas komando rejim Zionis menyerang flotila kapal, Mavi Marmara yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza pada Mei tahun lalu.
Lapan rakyat Turki dan seorang warga Amerika Syarikat (AS) berketurunan Turki terbunuh dalam serangan itu.
Pada awal bulan ini,, Turki mengusir Duta Israel ke Ankara dan memutuskan hubungan ketenteraan dengan rejim Zionis itu selepas laporan inkuiri Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan Israel menggunakan kekerasan 'keterlaluan' terhadap flotila kapal bantuan Turki ke Genting Gaza pada Mei tahun lalu. - REUTERS

Friday, September 9, 2011

Kapal perang Turki akan lindung konvoi bantuan ke Gaza

DUBAI: Kapal perang Turki akan mengiringi konvoi bantuan kemanusiaan ke Tebing Gaza bagi melindungi daripada kapal Israel, kata Perdana Menteri, Recep Tayyip Erdogan.

"Kapal perang Turki akan ditugaskan melindungi bot yang membawa bantuan kemanusiaan Turki ke Tebing Gaza," katanya kepada televisyen Al Jazeera.
Beliau berkata, mulai sekarang pihaknya tidak akan membenarkan bot berkenaan menjadi mangsa serangan Israel seperti yang berlaku ke atas Freedom Flotilla dan memberi amaran tindakan sekiranya mereka diserang. - AFP

Tuesday, August 2, 2011

Ketuanan tentera di Turki berakhir


PELETAKAN jawatan secara serentak empat jeneral paling kanan tentera Turki menandakan berakhirnya era kekuasaan tentera yang sebelum ini terbabit menjatuhkan empat kerajaan negara itu menerusi rampasan kuasa.
Ia juga secara tidak langsung mungkin menamatkan peranan mereka dalam politik Turki, kata penganalisis.

“Golongan lama dalam tentera sudah menyerah kalah,” kata penganalisis, Ahmet Insel, pengarang bersama buku mengenai peranan tentera Turki dalam politik.

“Ia titik perubahan dalam hubungan antara tentera dan politik,” kata Ketua Pengarang akhbar Hurriyet, Murat Yetkin. Beliau bagaimanapun berkata, adalah terlalu awal untuk mengisytiharkan berakhirnya peranan tentera dalam politik.

Seluruh pegawai pemerintah tertinggi tentera Turki, negara anggota Nato, meletak jawatan Jumaat lalu kerana pertikaian dengan kerajaan berhubung pegawai yang dipenjara kerana dituduh terbabit dalam cubaan rampasan kuasa, episod terbaru dalam pergeseran antara tentera yang mahu mempertahankan dasar sekular dengan kerajaan yang berasaskan fahaman Islam.

Ketua Turus, Isik Kosaner dan panglima tentera darat, udara dan laut, berhenti serentak.


Kosaner meletak jawatan selepas beberapa kali mesyuarat dengan Perdana Menteri, Recep Tayyip Erdogan menjelang persidangan pegawai tertinggi tentera yang dijadual pada bulan ini untuk memutuskan kenaikan pangkat pegawai kanan.



Media melaporkan, ketegangan antara tentera dengan Erdogan berpunca daripada tuntutan pasukan itu untuk kenaikan pangkat puluhan pegawai yang ditahan dalam siasatan berhubung tuduhan cuba menggulingkan kerajaan yang diketuai Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP), kumpulan serpihan kecil daripada pergerakan Islam yang diharamkan.
Kira-kira sepersepuluh daripada keseluruhan jeneral dalam angkatan tentera Turki berada di penjara kerana didakwa terbabit dalam rancangan menggulingkan kerajaan pada 2003 yang digelar ‘Operasi Sledgehammer.’ Operasi berkenaan dirancang sejurus AKP mula berkuasa.


Suspek berdepan dengan hukuman penjara 15 hingga 20 tahun meskipun kes itu dicemari dengan kesangsian serius berhubung kesahihan beberapa dokumen yang berkait dengan kes itu.


Dengan meletak jawatan, keempat-empat jeneral itu secara tersirat menerima tuduhan itu berasas.


Ketegangan antara pemimpin politik dan tentera negara itu semakin meningkat sejak beberapa tahun dan penganalisis berkata, AKP, yang memerintah sejak 2002, mungkin bertambah berani dengan kemenangan pada pilihan raya Jun lalu yang menyaksikan parti itu mencapai kemenangan terbaiknya dalam sejarah.


“Peletakan jawatan secara beramai-ramai Jumaat lalu adalah kesan daripada pilihan raya Jun lalu terhadap hubungan antara kerajaan dengan tentera,” kata penulis pojok, DerJya Sazak, dalam akhbar Milliyet Sabtu lalu.


“Krisis itu adalah keputusan yang tidak boleh dielakkan mengenai perebutan kuasa antara tentera dan kerajaan yang berlarutan sejak 2007,” kata Sazak.


Undi Parlimen pada 2007 menyaksikan calon AKP, Abdullah Gul dipilih menjadi presiden meskipun mendapat bantahan keras daripada tentera yang melihat pejabat presiden sebagai jaminan utama terhadap fahaman sekular negara itu.


Sejarah politik Islam Gul dan keengganan isterinya menanggalkan tudung menyebabkan tentera menggunakan pengaruhnya untuk menyekat pemilihan Gul menjadi presiden.


Ia mendorong AKP mengadakan pilihan raya umum mengejut yang menyaksikannya menang dengan peratusan undi lebih banyak, sekali gus membuka jalan kepada kemenangan mudah Gul.


“Kerajaan tidak mahu bekerjasama dengan panglima yang cuba menggantung pemilihan presiden dan dengan mereka yang terbabit dalam cubaan rampasan kuasa. Ia mahu menyingkirkan mereka,” kata Sazak.


Beberapa penganalisis mengalu-alukan peletakan jawatan empat jeneral kanan itu dengan menyifatkannya sebagai pendemokrasian lebih luas negara itu.


“Kejadian rampasan kuasa di Turki sudah hampir berakhir. Turki kini menuju ke arah demokrasi dan hampir menamatkan ketuanan tentera,” kata Ahmet Altan, Ketua Pengarang akhbar Taraf. Akhbar itu yang bertanggungjawab menyiarkan cerita mengenai rancangan rampasan kuasa 2003.


Bagaimanapun, beberapa yang lain masih berhati-hati untuk mengesahkan ketegangan antara kerajaan dengan tentera sudah berakhir. Tentera Turki melakukan rampasan kuasa pada 1960, 1971 dan 1980. Pada 1997, ia mengetuai kempen yang memaksa peletakan jawatan kerajaan parti Islam pertama yang diketuai mentor Erdogan, Necmettin Erbakan.


“Sehingga kes ‘Sledgehammer’ ini yang sudah berlarutan selama beberapa tahun berakhir, hubungan kerajaan dengan tentera akan sentiasa tegang,” kata Sedat Ergin, penulis pojok akhbar Hurriyet.


“Yang menjadi masalah ialah jika pegawai itu didapati tidak bersalah dan dibebaskan,” katanya. - AFP
http://www.hmetro.com.my