Wednesday, December 14, 2011

Utusan diarah bayar RM200,000 kepada Lim Guan Eng


KUALA LUMPUR, 14 Dis – Mahkamah Tinggi Pulau Pinang mendapati Utusan Malaysia bersalah membuat laporan berniat jahat, fitnah dan tidak benar mengenai Ketua Menteri Lim Guan Eng dan mengarahkan agar akhbar milik Umno itu membayar beliau RM200,000 dalam bentuk ganti rugi dan kos sebanyak RM25,000 .
Dalam keputusannya Hakim G.V Varughese mendapati tujuh perenggan dalam laporan Utusan yang bertajuk “Kebiadapan Guan Eng” telah memfitnah Lim, sekali gus menggambarkan beliau dan DAP sebagai parti anti-Malay dan anti-Islam.
“Hakim memutuskan bahawa defendan telah memperlihatkan vendeta selektif terhadap DAP dan plantif,” kata peguam Lim Jagdeep Singh Deo kepada The Malaysian Insider.
Awal Januari lalu, Lim mengemukakan saman di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang ke atas Utusan Malaysia atas dakwaan sebuah artikelnya memfitnah DAP.
Lim yang juga Setiausaha Agung DAP memutuskan untuk menyaman Utusan setelah akhbar harian itu menyiarkan sebuah artikel pada Disember 2010 yang mendakwa DAP adalah alat kerajaan asing dan mahu parti berkenaan diharamkan.
Sebelum itu, Lim mengutuskan sepucuk surat tuntutan meminta Utusan menarik balik beberapa perkataan yang didakwa memfitnahnya dalam beritanya.
Utusan telah menuduh Lim sebagai seorang rasis dan anti-Melayu dalam artikel yang disiarkan sehari selepas konvensyen Pakatan Rakyat 2010.
Lim dalam notis tuntutanya menafikan dakwaan berkenaan dan memohon akhbar itu menyiarkan permohonan maaf dan pampasan daripada Utusan kerana memfitnahnya. Utusan diarah bayar RM200,000 kepada Lim Guan Eng ~ Kembara Jr @Blogspot:

'via Blog this'

Kecewa dengan BN, ahli Umno Terengganu sertai PAS



KUALA LUMPUR, 13 Dis: Umno di Terengganu diakui berada dalam keadaan semakin lemah sekarang oleh ahli-ahli parti itu sendiri, sehingga menyebabkan orang ramai semakin hilang keyakinan terhadap Umno BN untuk terus memerintah di negeri itu.

Realiti itu terserlah apabila ahli-ahli Umno di Terengganu kini semakin ramai yang mengambil keputusan keluar dari parti itu dan menyertai PAS, bagi bersama-sama merealisasikan harapan "PAS Ganti Umno" di negeri itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 tidak lama lagi.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, perbezaan sikap dan tindakan para pemimpin Umno BN dan PAS dapat dinilai sendiri oleh rakyat Terengganu hasil dari pemerintahan PAS di negeri itu pada tahun 1989 lalu, walaupun hanya untuk tempoh sepenggal.

Menurutnya, sepanjang PAS memerintah, seluruh rakyat Terengganu sendiri dapat merasakan betapa mudahnya urusan antara kerajaan dan rakyat dalam pelbagai perkara termasuk berkaitan pengurniaan tanah kepada rakyat.

Katanya, selain itu, rakyat Terengganu sendiri mengetahui sejak PAS memerintah tidak lagi dikenakan cukai pintu di kawasan-kawasan perbandaran, di samping tidak mengalami kesukaran dari segi karenah birokrasi.

"Sepanjang PAS memerintah, rakyat Terengganu juga tahu tidak terdapat penyelewengan dan salahguna kuasa dan rasuah di kalangan para pemimpin PAS sehingga tak ada seorang pun pemimpin PAS yang boleh diheret ke mahkamah," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, di sini, hari ini.

9 Disember 2011 lalu, 80 orang ahli Umno dari cawangan Kampung Banggol Donas yang terletak dalam kawasan Dun Teluk Pasu, Parlimen Kuala Nerus, Kuala Terengganu telah mengambil keputusan keluar dari parti itu dan menyerahkan borang keahlian PAS kepada Salahuddin.

40 orang daripada mereka terdiri daripada bekas Pergerakan Pemuda dan Puteri Umno cawangan kampung tersebut, dengan diketuai bekas Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Kuala Nerus, Salleh Embong, sempena Majlis Ceramah Isu-Isu Semasa di Markaz PAS yang baru ditubuhkan di kawasan itu.

Penyerahan borang keahlian PAS daripada bekas Puteri diketuai oleh bekas Ketua Puteri Umno Cawangan Kampung itu, Rosni Hassan, 37, atas kerelaan mereka sendiri tanpa paksaaan mana-mana pihak.

Bercakap kepada media pada majlis itu, Salleh dan Rosni mengakui tindakan mereka keluar Umno dan menyertai PAS berpunca dari kehilangan keyakinan mereka sendiri dengan sikap para pemimpin Umno BN di Terengganu yang kini semakin mengabaikan tanggungjawabnya kepada orang ramai, melainkan hanya kepada kroni-kroni mereka sendiri dalam parti itu.

Mereka turut mengakui tindakan mereka itu pasti memberi tamparan hebat kepada Umno Dun Teluk Pasu khususnya dan Umno Kuala Nerus serta negeri amnya, lantaran kekecewaan ahli-ahli parti itu sendiri terhadap para pemimpin mereka.

Antara contoh yang diberikan oleh kedua-dua mereka berhubung perkara itu termasuklah hal-hal yang berkaitan projek pembinaan jalan yang melibatkan tanah serta rumah penduduk di kampung tersebut yang jelas terdapat unsur salahguna kuasa.

Hadir sama pada majlis bersejarah itu, Yang Dipertua (YDP) PAS Kuala Nerus, M Sukrimun Shamsuddin; Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli; Naib YDP Kuala Nerus, Ustaz Ismail Mamat; Timbalan Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Ridzuan Hashim dan Setiausaha PAS Kuala Nerus, Zakaria Dagang.

Menurut Salahuddin, kemasukan 80 orang ahli Umno ke dalam PAS itu sememangnya mencipta sejarah yang amat membanggakan PAS, memandangkan sebelum ini amat jarang ahli-ahli parti itu di Terengganu menyertai PAS secara serentak sebanyak itu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian yakin tindakan 80 bekas ahli Umno itu merupakan sebahagian dari lambang kebangkitan golongan muda untuk bersama-sama melakukan perubahan politik di negeri itu.

"Banyak faktor yang dilihat oleh ahli-ahli Umno sendiri dan genarasi muda sekarang yang mendorong mereka menyertai PAS. Antaranya termasuklah perpaduan utuh di kalangan para pemimpin dan ahli-ahli PAS sendiri berbanding Umno BN, sehingga tidak berlaku kem-kem dalam PAS.

"Keadaan itu berbeza dengan Umno khususnya di Terengganu sehingga berlakunya kem Datuk Seri Ahmad Said dan Datuk Idris Jusoh ekoran perebutan jawatan dan kuasa, sehingga akhirnya rakyat sendiri yang mengakui mereka terabai," katanya.

Beliau berharap agar penyertaan 80 orang bekas ahli Umno itu ke dalam PAS akan dijadikan titik renungan oleh ahli-ahli Umno BN lain di Terengganu untuk bersama-sama berhijrah ke dalam PAS.

Tindakan itu, tegasnya, amat penting untuk membolehkan PAS merampas Terengganu dari Umno BN pada PRU Ke-13 akan datang, bagi membolehkan PAS melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik terhadap rakyat seperti yang diharapkan oleh orang ramai sendiri. Kecewa dengan BN, ahli Umno Terengganu sertai PAS:

'via Blog this'

Tak benar Hasan Ali digugurkan: Ketua Penerangan PAS

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata adalah tidak benar bahawa Ahli Exco Kerajaan Selangor, Datuk Dr Hasan Ali telah digugurkan sebagai calon parti itu bagi pilihan raya umum akan datang.

"Kita baru sahaja di peringkat menerima cadangan dari negeri mengenai siapa yang akan menjadi calon, bagaimana pula Dr Hasan boleh digugurkan?. Ia tidak benar," katanya hari ini.
Sambil menyifatkan sebarang kenyataan sebelum ini mengenai Hasan sebagai pandangan peribadi pihak tertentu, Tuan Ibrahim berkata pemilihan calon parti itu belum muktamad.
Beliau juga berkata Pas setakat ini telah menerima nama-nama yang dicadangkan sebagai calon dari beberapa negeri.

"Semua negeri pun belum sahkan lagi (calon mereka)...nak dekat Parlimen dibubarkan, barulah kita muktamadkan siapa yang akan bertanding.

"Setiap negeri biasanya akan menghantar dua atau tiga nama calon di peringkat Parlimen dan dua atau tiga nama calon di peringkat Dewan Undangan Negeri," katanya.

Mengenai hasrat PAS Kelantan untuk mengurangkan calon luar bertanding di negeri itu, Tuan Ibrahim berkata ia adalah sekadar cadangan.
"Kalau di negeri itu ada beberapa nama yang dia rasa baik, maka dia boleh mencadangkan nama orang itu sebagai calon kepada PAS Pusat. Kita tidak ada masalah untuk menerimanya," katanya. - BERNAMA
Berita Harian Online | Tak benar Hasan Ali digugurkan: Ketua Penerangan PAS:

'via Blog this'

MB Kedah kini bergelar Datuk Seri Diraja


(Azizan dan isteri bergambar dengan Yang Dipertuan Agung dan Raja Permaisuri Agung)
ALOR SETAR, 14 Dis: Menteri Besar Kedah kini bergelar Datuk Seri Diraja Azizan Abdul Razak ekoran dianugerahkan Darjah Seri Setia Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah Yang Dihormati.

Gelaran itu dianugerahkan kepada Azizan sempena pertabalan Tuanku Sultan Kedah sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Tunku Sultanah sebagai Seri Paduka Baginda Raja Pemaisuri Agong ke-14, 12 Disember lepas.

Azizan adalah menteri besar dan juga Pesuruhjaya PAS Kedah. Sebelum ini beliau menerima anugerah yang membawa gelaran Datuk Seri.

Tuanku Abdul Halim mencatat sejarah pribadi apabila dilantik menjadi Yang Dipertuan Agung untuk kali keduanya 13 Disember semalam.

Sultan Muhmammad ke v, Sultan Kelantan pula telah dilantik menjadi Timbalan Yang Dipertuan Agung.

Azizan ketika mengulas perlantikan itu berkata, beliau yakin hubungan antara kerajaan pusat yang diperintah BN akan lebih rapat dengan kerajaan negeri Kedah yang ditadbir Pakatan Rakyat selepas perlantikan ini.

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa pula melahirkan rasa gembira beliau dan rakyat Kelantan dengan kepercayaan Majlis Raja-raja untuk memilih Sultan Kelantan sebagai Timbalan Yang Dipertua Agung walaupun baru sahaja dilantik sebagai Sultan Kelantan.
MB Kedah kini bergelar Datuk Seri Diraja:

'via Blog this'

Haramkan Paraquat, kawal penyeludupannya

haramkan Paraquat, kawal penyeludupannya
SHAH ALAM - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan mengharamkan paraquat, racun rumpai toksik yang boleh membunuh serta mengawal penyeludupannya ke negara ini memandangkan kesan serius bahan itu ke atas kesihatan dan alam sekitar.
Presidennya, S. M. Mohamed Idris berkata, Paraquat bukan sahaja beracun apabila disedut tetapi juga apabila bersentuh dengan kulit dan jika ditelan.
Beliau berkata, kesan keracunan ini amat tinggi dan boleh menyebabkan kekurangan antidot yang boleh membawa kepada masalah kesihatan serius dan kematian akibat daripada pendedahannya.
“Paraquat dikatakan sebagai racun pilihan bagi membunuh diri di negara ini dan menjadi penyebab masalah kesihatan yang akut.”
“Ia turut memberi kesan dalam jangka panjang seperti dermatitis teruk, kegagalan buah pinggang, kegagalan pernafasan, denyutan jantung menjadi cepat, melecur darjah kedua, kanser kulit dan penyakit Parkinson,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, Paraquat juga kekal dalam tanah dan sisanya dibawa dalam larian air bersama mendapan, yang menjadikan bahan itu berpotensi mencemarkan air bawah tanah.
Katanya, Jawatankuasa Kesihatan Perak yang membuat rumusan dalam satu seminar mengenai paraquat baru-baru ini menggesa satu panel ditubuhkan untuk menangani isu penggunaan pendekatan holistik.
Pada Ogos 2002, Kerajaan Malaysia mengumumkan niatnya untuk mengharamkan Paraquat melalui proses menghapuskannya dalam tempoh dua tahun dan bagaimanapun pengharaman itu kemudiannya ditarik balik akibat tekanan pasaran.
“Kenapa pekerja pertanian yang terdedah kepada racun rumpai bertoksik ini yang terpaksa menanggung penderitaan akibat kesan buruknya manakala syarikat kimia pertanian dan industri pertanian terus mendapat keuntungan?”
“Banyak negara termasuk Kesatuan Eropah sudah pun mengharamkan paraquat kerana bahayanya kepada kesihatan meskipun digunakan mengikut arahan. Penghapusannya diperingkat global mungkin berlaku jika ia disenaraikan di bawah Rotterdam Convention on Prior Informed Consent (PIC),” katanya.
Bagaimanapun katanya, pihaknya menjangkakan lobi yang lebih besar oleh industri bagi memastikan racun rumpai itu tidak termasuk di bawah perjanjian itu.
Mohamed berkata, buat masa sekarang petani Malaysia, pekebun kecil dan syarikat perladangan Malaysia perlu dididik mengenai bahaya Paraquat dan bahan kimia pertanian yang lain.
“Kita perlu mempercepatkan ke arah amalan pertanian ekologi menggunakan kaedah pertanian asli dan kawalan serangga biologi serta menternak lembu di dalam ladang boleh membantu kawalan rumpai,” katanya.
Haramkan Paraquat, kawal penyeludupannya - Nasional - Sinar Harian:

'via Blog this'

Gerakan murtad wujud

Gerakan murtad wujud
NUSAJAYA - Gerakan memurtadkan masyarakat Islam tidak dinafikan wujud di negeri ini berikutan hasil aduan yang diterima oleh Jabatan Agama Islam negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, bagaimanapun gerakan tersebut sukar dikesan kerana membabitkan kumpulan kecil.

“Surat layang yang diterima mengatakan gerakan berkenaan dijalankan di hotel-hotel tertentu, namun apabila disiasat hotel yang dikatakan tidak wujud sama sekali.

“Justeru, sukar untuk kita mengambil tindakan kerana tidak mempunyai bukti kukuh, namun sekiranya terdapat bukti kukuh, kita akan siasat supaya memberi keadilan kepada semua,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Maharani-Pas, Dr Mohamad Taslim di Persidangan Dewan Negeri Johor di sini, semalam.

Terdahulu, menjawab soalan dikemukakan Adun sama, Zainal Abidin berkata, sebanyak 41 aduan berkaitan permohonan murtad di seluruh negeri ini diterima sehingga kini sejak 1998 dan daripada jumlah itu, 10 kes dibawa ke Mahkamah Syariah, manakala 31 kes lagi diberikan bimbingan dan kaunseling.

Menurutnya, empat daripada 10 kes yang dibawa ke Mahkamah Syariah ditolak dan enam lagi masih dalam perbicaraan.

“Bagi 31 aduan diterima, 21 kes adalah di Johor Bahru; empat kes masing-masing di Muar dan Batu Pahat serta dua kes di Segamat.

“Antara sebab mereka membuat permohonan untuk murtad termasuk kegagalan dalam percintaan atau perkahwinan iaitu ingin kembali kepada agama asal, selain alasan dipelihara keluarga bukan beragama Islam sejak kecil,” katanya.

Tambahnya, terdapat 41 aduan berkaitan permohonan murtad di negeri ini, daripada jumlah tersebut, hanya 10 kes dibawa ke Mahkamah Syariah manakala selebihnya diberikan bimbingan dan kaunseling oleh Jabatan Agama Islam Johor (Jaij). Gerakan murtad wujud - Johor - Sinar Harian:

'via Blog this'

‘Pengundi hantu penentu kemenangan PRU13’

Lim Guan Eng
SHAH ALAM – Dalam nada bersahaja, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, pengundi hantu menjadi penentu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) ini.
Beliau berkata, tidak mustahil perkara itu berlaku sekiranya sistem pilihan raya masih tidak bersih, telus dan adil.
Selain pengundi hantu, katanya, undi rakyat Sabah dan Sarawak adalah kunci sebenar jika mahu menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN).
“Pakatan Rakyat (PR) berpeluang cerah untuk menjadi Kerajaan Pusat jika memperolehi satu per tiga kerusi Parlimen di dua negeri itu yang berjumlah 56 kerusi keseluruhan,” katanya pada Wacana Sinar Harian di sini semalam.
Menurutnya, mengikut kiraan bilangan kerusi PR di Semenanjung dan keyakinan berjaya memperoleh beberapa lagi kerusi Parlimen, me­dan sebenar adalah di negeri berkenaan yang sering dianggap sebagai ‘deposit tetap BN’.
“Memang diakui undi dari Sabah dan Sarawak amat penting sekali bagi PR, memang untuk mendapatkan satu pertiga sukar tetapi kita boleh cuba. Ini hakikatnya. Oleh itu, saya berharap pe­ngundi di dua negeri berkenaan cukup berani dan bersedia menghadapi gelombang perubahan,” katanya.
Guan Eng berkata, selain dua negeri itu, PR turut menye­dari undi golo­ngan belia begitu penting sehingga­kan kesemua pihak bertanding sanggup melakukan apa sahaja bagi menarik golongan ini.
“PRU13 sebenarnya adalah masa depan golongan belia. Mereka yang menentukan sama ada mahu hidup di negara yang bebas, bersih dan adil atau sebaliknya,” katanya.
Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang turut menegaskan bahawa rak­yat negara ini sudah cukup matang bagi memilih kerajaan yang terbaik buat mereka dan menyaran segala sekatan terutama terhadap media dihentikan.
“Apa yang paling penting bagi orang muda adalah aspek kebebasan, bukannya membuatkan mereka takut seperti Akta Universiti Kolej Universiti (Auku). Ini memainkan peranan pada PRU13.
“Di Pulau Pinang, Kerajaan Negeri menyediakan sudut pidato dan tiap-tiap minggu ada demonstrasi, ini hak mereka dan kami hormatinya,” katanya.
Pada PRU lalu, PR memperoleh 83 kerusi manakala BN, 139 kerusi daripada kese­luruhan 222 kerusi Parlimen.
‘Pengundi hantu penentu kemenangan PRU13’ - Politik - Sinar Harian:

'via Blog this'

Nurul Izzah sedia lawan Najib

Nurul Izzah Anwar
SHAH ALAM - Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar mencadangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak bertanding di kawasan pengundi majoriti majmuk seperti di Lembah Pantai.
Katanya, cadangan itu seiring dengan konsep 1Malaysia yang membawa imej pelbagai lapisan kaum yang diperkenalkan sendiri oleh beliau sebaik menerajui kerajaan pemerintah kini.
“Saya cadangkan agar perdana menteri ambil kerusi majmuk, kerusi 1Malaysia kerana di kerusi Pekan, 93 peratus pengundinya adalah Melayu," katanya.
Beliau memberitahu, dirinya terbuka dan bersedia untuk bertanding dengan Najib di kerusi Lembah Pantai pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan datang seandainya perdana menteri berhasrat untuk berbuat demikian.
Nurul Izzah memenangi kerusi Parlimen Lembah Pantai pada Pilihan Raya Umum ke-12 tahun 2008.
Terdahulu, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu turut memberitahu, bahawa PKR akan akur sekiranya kalah pada Pilihan Raya ini dengan syarat ia dijalankan dengan telus dan bersih.
"Sekiranya Pilihan Raya kali ini dijalankan dengan sistem yang telus, bersih dan adil, kami akur dan reda jika kalah. Saya juga berharap agar tiada lagi lanun-lanun politik yang membawa lari tong-tong undi pada Pilihan Raya kali ini," katanya.
Nurul Izzah berkata, sebagai rakyat Malaysia, dirinya mempunyai harapan besar agar PRU13 dilaksanakan dengan telus.
"Saya memanggil dan menggesa perdana menteri melaksanakan transformasi pada Pilihan Raya kali ini. Sebagai rakyat Malaysia, saya, kami sayang kepada perdana menteri negara kami. Walaupun, perdana menteri tak sayang kami macam rakyat yang lain, saya masih sayang dia sebagai Perdana Menteri Malaysia.
"Oleh itu, saya mohon dengan penuh harapan agar realisasikan aspirasi rakyat. Sikap yang saya anggap sebagai lanun-lanun politik tidak seharusnya ada. Soal siapa menang pada PRU13 ia terpulang kepada rakyat untuk memilih," katanya.
Sebelum itu, menjawab pertanyaan moderator Dr. Maszlee Malik mengenai siapa akan menjadi pilihan rakyat pada PRU13, Nurul Izzah menegaskan ia bergantung kepada kesediaan Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam menyediakan semua dokumentasi berkaitan dengan Pilihan Raya kali ini.
Katanya, kesediaan tersebut merangkumi aspek penambahbaikan sistem Pilihan Raya yang dilihat terdapat banyak kelemahan.
"Jika pada era 1998 dan 1999 ia (pilihan raya) didorong oleh gelombang reformasi. Namun, kini ia didorong oleh kesediaan Umno/BN dalam melaksanakan seperti mana yang terdapat dalam lapan tuntutan Bersih 2.0," katanya.
Nurul Izzah sedia lawan Najib - Politik - Sinar Harian:

'via Blog this'

1,900 rakyat Malaysia dijel

Oleh UMAVATHI RAMAYAH

KUALA LUMPUR 13 Dis. - Kira-kira 1,900 rakyat Malaysia meringkuk dalam penjara di luar negara akibat dijadikan keldai dadah.

Timbalan Menteri Luar, A. Kohilan Pillay berkata, daripada jumlah itu, kira-kira 270 mangsa ditahan di Thailand dan 200 (Singapura).

Menurutnya, hampir 25 peratus daripada mereka yang terpedaya dalam sindiket itu adalah golongan wanita.

"Perkara ini cukup merisaukan kita kerana kebanyakan mereka yang menjadi mangsa adalah daripada kalangan terpelajar dan tidak kurang juga graduan dari institusi pengajian tinggi awam (IPTA)," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan pendidikan kepada 100 murid dan pelajar kurang berkemampuan Bahagian Gombak anjuran bersama Parti Gerakan, Kelab Anak Malaysia dan Magnum Corporation.

Tambah Kohilan, berdasarkan data yang dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri mendapati sebahagian besar mangsa yang dijadikan keldai dadah itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

"Ini bermakna sindiket yang berkaitan bergerak secara profesional dan bijak bagi mengelakkan pergerakan mereka dihidu oleh pihak penguat kuasa," ujarnya.

Mereka yang menjadi mangsa pula, katanya, adalah dalam kategori usia antara 20 hingga 35 tahun. Kebanyakan mereka tidak mempunyai pekerjaan tetap atau berpendapatan rendah.

Beliau juga menyatakan kebimbangan kerana dengan adanya rangkaian laman sosial Facebook pergerakan sindiket itu menjadi lebih rancak kerana Malaysia mempunyai antara jumlah pengguna Internet yang tertinggi.

Utusan Malaysia Online - Jenayah:

'via Blog this'

Satu keluarga nyaris maut

Oleh Mohd. Fairuz Yusof


Penduduk kampung melihat keadaan rumah Wan Mah Wan Ali yang runtuh dalam kejadian yang berlaku di Kampung Sungai Charu, Jalan Sungai Lembing, Kuantan, semalam.


KUANTAN 13 Dis. - Sebuah keluarga termasuk seorang warga emas nyaris maut apabila sebahagian ruang tamu, bilik tidur dan tandas tiba-tiba runtuh dalam kejadian yang berlaku di Kampung Sungai Charu, Jalan Sungai Lembing di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 10 pagi itu, antara penghuni yang masih berada di dalam rumah itu ialah dua kanak-kanak bersama seorang dewasa manakala warga emas terbabit, Wan Mah Wan Ali, 70, tiada di rumah kerana mempunyai urusan di Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

Menurut Taufik Mohd. Shafie, 11, dia pergi ke tandas pada pukul 9 pagi untuk membuang air kecil sebelum berasa sesuatu yang tidak kena dirumah tersebut.

Katanya, dia tidak mempedulikan telahan itu dan keluar bermain dengan adiknya, Nor Shafikah Hafizah sebelum menyedari hakisan tanah bermula di bilik tidur utama.

Tambahnya, dia kemudian bergegas berlari ke arah nenek yang baru tiba di rumah dan memaklumkan mengenai hakisan tanah sebelum warga emas itu mengejutkan bapanya, Mohd. Shafie Adam, 30, sedang tidur dalam bilik tersebut.

"Saya pergi ke belakang untuk melihat keadaan hakisan itu namun terkejut apabila melihat tandas bersama dua katil, televisyen serta perabot lain tiba-tiba hilang akibat tanah runtuh di belakang rumah ini," katanya ketika ditemui di Dewan Komuniti, Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR), di Kampung Panching di sini, hari ini.

Turut hadir melawat dan menghulurkan bantuan ihsan Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panching Mohd. Zaili Besar.

Sementara itu Wan Mah berkata, akibat kejadian tersebut, dia berasa sedih kerana rumah yang didiami sejak 30 tahun lalu musnah sekelip mata.

Bagaimanapun, katanya, dia bersyukur kerana diberi tempat perlindungan sementara di dewan tersebut sebelum bercadang mencari rumah sewa lain.

Utusan Malaysia Online - Jenayah:

'via Blog this'

Anggota polis, buruh didakwa lakukan rompakan bersenjata

MARANG 13 Dis. - Dua lelaki termasuk seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas tuduhan melakukan rompakan bersenjata terhadap sebuah kedai emas pada hujung bulan lalu.

Azizan Shaari, 28, yang bertugas di Cawangan Pengangkutan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu dan buruh, Jeffridin Manan, 31, didakwa melakukan rompakan tersebut di Kedai Emas Swee Heng, Lot 9160 Wakaf Tapai di sini, kira-kira pukul 11.30 pagi, 28 November lalu.

Mengikut kertas pertuduhan, semasa melakukan rompakan, Azizan didakwa melepaskan tembakan dengan menggunakan senjata jenis revolver dengan niat menyebabkan kematian atau kecederaan ke atas pemilik kedai tersebut, Fong Swee Heng, 48.

Jeffridin pula didakwa bersama-sama Azizan melakukan rompakan tersebut dengan mempunyai pengetahuan bahawa Azizan mempunyai sepucuk pistol revolver dan telah melepaskan tembakan dengan niat menyebabkan kematian atau kecederaan ke atas pemilik kedai emas berkenaan.

Azizan didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 manakala Jeffridin didakwa di bawah Seksyen 3A akta sama, masing-masing dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh-tertuduh boleh dihukum mati.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh yang tidak dibenarkan diikat jamin.

Majistret Nor Azizah Yusof kemudian menetapkan 12 Februari tahun depan sebutan semula kes itu untuk dipindahkan ke Mahkamah Tinggi sementara menunggu laporan balistik.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Nazlyza Nazri dan Masriwani Mahmud.

Utusan Malaysia Online - Mahkamah:

'via Blog this'

Pembeli buat laporan polis

Oleh ABDUL YAZID ALIAS


Mohamed Durrani Izam (kanan) bersama pembeli lain menunjukkan dokumen yang digunakan seorang lelaki untuk menipu mereka berhubung pembelian rumah kos rendah di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan, Klang, semalam.


KLANG 13 Dis. – Setelah tidak mendapat perhatian daripada kerajaan negeri, lapan pembeli pangsapuri kos rendah Taman Botanic di sini yang didakwa ditipu oleh individu yang mengaku Pegawai Tugas-tugas Khas Menteri Besar tampil membuat laporan polis hari ini.

Laporan tersebut dibuat kira-kira pukul 1 tengah hari di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di sini bagi meminta pihak berkuasa itu menyiasat serta mengambil tindakan terhadap individu berkenan yang dikenali sebagai Haji Mohd. Yatim Abu Bakar.

Pengerusi jawatankuasa bertindak pembeli berkenaan, Mohamed Durrani Izam berkata, laporan polis itu diharap dapat memberikan keadilan yang sewajarnya kepada pembeli berkenaan.

“Tidak ada cara lain lagi bagi pembeli mendapat keadilan mereka dalam soal ini. Kami mahu polis menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap individu berkenaan.

“Sebelum ini, kerajaan negeri ada menyatakan untuk membantu menyelesaikan masalah ini tetapi sampai ke hari ini tiada maklum balas,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu di sini, hari ini.

Mohamed Durrani berkata, bulan lalu pihaknya mendapat jaminan daripada Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Faekah Husin bahawa kerajaan negeri akan menyelesaikan masalah tersebut.

Bagaimanapun, katanya, sehingga kini kerajaan negeri belum melakukan apa-apa tindakan bagi membantu pembeli terlibat.

Pada 8 November lalu, Utusan Malaysia melaporkan sebanyak 650 pembeli projek pangsapuri kos rendah di beberapa daerah di negeri ini terpaksa berputih mata apabila orang tengah bergelar Haji Mohd. Yatim yang menguruskan urusan jual beli kediaman itu menghilangkan diri tanpa dapat dikesan sehingga kini.

Apa yang menyedihkan pembeli malang terlibat, pangsapuri kos rendah tersebut sudah siap, tetapi sehingga kini proses penyerahan kunci kediaman tersebut gagal dilakukan.

Berdasarkan surat tawaran yang diberikan kepada mereka, pembelian pangsapuri kos rendah itu melibatkan projek rumah kos rendah di Selayang Mulia di Selayang, Taman Botanic, Taman Harmoni di Balakong dan Taman Cheras Intan di Cheras, kesemuanya telah sah diperuntukkan kepada mereka.

Malah, kesemua pembeli turut membayar wang pendahuluan sebanyak RM2,100 kepada Haji Mohd. Yatim dan mereka tidak meragui kesahihan transaksi jual beli rumah tersebut kerana individu itu telah memberi resit bukti pembayaran dan surat-menyurat menggunakan kepala surat Permodalan Negeri Selangor Bhd. (PNSB) dan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).

Utusan Malaysia Online - Kota:

'via Blog this'

Ibu tunggal hidup daif

Oleh ASMA HANIM MAHMOOD


Beginilah keadaan dapur rumah Maryam Mat Deris yang hidup dalam serba kedaifan bersama dua anaknya di Kampung Pulau Gajah, Kota Bharu.


KOTA BHARU 13 Dis. - Bayangkan jika anda tinggal di rumah tanpa bekalan elektrik yang dibina di kawasan berpaya dan sentiasa bergoyang apabila angin bertiup kencang.

Lebih parah jika anda seorang wanita dan terpaksa menghadapinya seorang diri bersama dua anak yang masih kecil.

Itulah yang terpaksa ditempuhi Maryam Mat Deris, 45, bersama anaknya, Mohd. Suhaimi Napi, 15, dan Nordiana Husin, 2, dari Kampung Pulau Gajah di sini apabila terpaksa menahan takut tinggal di rumah berusia lebih 20 tahun itu.

Menurut Maryam, tanah di sekeliling rumahnya sentiasa menakung air dan apabila hujan lebat ia boleh naik sehingga ke paras pinggang dan mengambil masa beberapa hari untuk surut.

"Arwah ibu yang bina pondok ini untuk saya dan keluarga selepas tempat tinggal kami di Pantai Sabak Tengah dihakis ombak. Ia pernah roboh sebelum didirikan semula dan sejak itu apabila angin kencang saya akan ketakutan kerana bimbang ia roboh semula.

"Seekor ular besar juga pernah masuk melalui lubang lantai dan tidur bersama Mohd. Suhaimi. Kami hanya sedar pada waktu pagi ketika hari sudah cerah, mujurlah ia keluar sendiri tanpa mengapa-apakan kami," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Maryam berkata, dia hanya menggunakan lilin untuk menerangi rumah itu pada waktu malam dan menumpang paip jiran yang disambung ke rumahnya untuk bekalan air.

Dia yang menghidap penyakit batuk kering ditinggalkan tanpa khabar berita oleh suami keduanya, Husin Othman hampir dua tahun lalu dan sejak itu terpaksa bergantung kepada belas ihsan kakaknya untuk makan dan minum.

"Kami makan seadanya, kalau ada beras yang dihantar kakak, maka adalah, dapat makan sekali sehari pun saya amat bersyukur kerana saya sendiri tak mampu bekerja," katanya.

Tidak hairanlah Mohd. Suhaimi kelihatan sangat kecil berbanding usianya dengan mata kekuningan dan tubuh cengkung.

Dia hanya belajar setakat darjah dua dan tidak pandai membaca, sama seperti ibunya.

Maryam sebenarnya mempunyai sembilan lagi anak dengan arwah suami pertamanya.

Namun akibat kemiskinan, lima daripadanya telah diserahkan kepada keluarga angkat tanpa sempat dibawa pulang ke rumah selepas bersalin di hospital.

"Usia mereka sekarang antara lapan hingga 13 tahun. Pernah dua daripada mereka dibawa pulang berjumpa saya dahulu, namun saya sudah tidak ingat yang mana satu. Nama pun saya tidak tahu. Biarlah mereka hidup bahagia dengan keluarga angkat," luah wanita malang ini.

Katanya, kesemua anak yang dipeliharanya sendiri hanya mampu belajar setakat sekolah rendah sahaja.

Dua anak perempuannya berusia 18 dan 19 tahun sudah berkahwin manakala dua anak lelakinya yang berusia 17 dan 24 tahun pula bekerja sebagai buruh.

"Tetapi mereka sudah lama tidak pulang atau menghantar duit, sebab itu saya amat berharap ada pihak yang sudi membantu saya membina rumah di tempat lain dan menyekolahkan semula Mohd. Suhaimi agar nasib malang kami ini akan berakhir,"katanya.

Utusan Malaysia Online - Timur:

'via Blog this'

Musa lapor polis demi maruah


KUALA LUMPUR 13 Dis. - "Laporan polis yang saya buat baru-baru ini untuk memulihkan imej dan maruah saya dan ahli keluarga yang terjejas," kata bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Beliau yang difitnah berkahwin dengan seorang penyanyi, Syella Kamaruddin pertengahan bulan lalu meminta penulis-penulis blog yang memfitnahnya agar menghentikan perbuatan mereka.

Musa membuat laporan di Balai Polis Petaling Jaya pada 8 Disember lalu setelah mendawa dia difitnah beberapa penulis blog kononnya berkahwin dengan penyanyi tersebut.

"Ini semua (fitnah yang mengaitkan dirinya) adalah cerita palsu. Ia turut memberi kesan dan menjatuhkan maruah keluarga saya.

"Saya harap pihak bertanggungjawab akan menyiasat penyebaran blog berunsur fitnah ini termasuk beberapa lagi blog yang saya tidak namakan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Musa, 60, baru-baru ini menafikan tohmahan yang dilemparkan terhadapnya dalam beberapa blog bahawa beliau mendirikan rumahtangga dengan Syella atau Nurshid'la Ahmad Kamaruddin, 26.

Menurutnya, apa yang disiarkan dalam beberapa laman blog termasuk dakwaan beliau membelanjakan sejumlah RM15 juta untuk majlis perkahwinan itu sama sekali tidak mempunyai kaitan dengan dirinya.

Beberapa keping gambar perkahwinan Syella dengan pasangannya tersiar dalam beberapa laman blog.

Antara maklumat yang disiarkan dalam blog itu adalah belanja majlis perkahwinan tersebut dianggarkan sebanyak RM15 juta, selain Syella menerima hadiah banglo bernilai RM5 juta, kereta Audi R8 berharga RM800,000, wang hantaran RM111,111, mas kahwin RM1,000, telefon bimbit, set mandian, alat solek, al-Quran, sejadah, telekung dan tasbih.

Berikutan tersiarnya gambar majlis persandingan itu, beberapa komen antara lain turut menghina bekas Ketua Polis Negara itu.

Musa dalam pada itu berkata, beliau turut menamakan tiga laman blog dalam laporan polis yang dibuatnya.

Tiga laman blog itu adalah free malays.blogpot.com, pulakdah.blogspot.com danabushahid.wordpress.com.

Utusan Malaysia Online - Berita Utama:

'via Blog this'

Penghina hudud jangan kurang ajar - Ridhuan Tee

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 13 Dis: Kolumnis media Prof Madya Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah baru-baru ini menyelar pihak yang lantang menghina Islam khususnya hudud dan memberikan amaran kepada mereka.

Tanpa menamakan secara jelas, Mohd Ridhuan dalam tulisan yang disiar akhbar Sinar Harian kelmarin menggambarkan pihak yang dimaksudkannya adalah 'penzina' dan yang 'berlatar belakang menjijikkan'.

Katanya parti-parti politik atau orang bukan Islam boleh memberikan teguran dalam perkara lain seperti salah tadbir urus, salah laku peribadi, rasuah dan sebagainya yang dilakukan oleh sesiapa sahaja, tetapi bila tiba kepada perkara berkaitan agama Islam, 'jangan terlalu kurang ajar'.

"Apatah lagi jika yang menegur itu, latar belakangnya amat menjijikkan. Seks rambang dan perzinaan sudah menjadi budaya hidupnya.

"Saya masih lagi boleh bersabar jika mereka tidak menerima ‘hudud Pas’. Tetapi cara mereka bercakap tidak menampakkan rujukan kepada ‘hudud PAS’, tetapi menghina Islam secara keseluruhan dan isi kandung al-Quran. Perbuatan ini amat melampau," tulisnya.

Biarpun tidak dinyata dengan jelas siapa sasaran tulisannya, namun ianya dipercayai ditujukan kepada Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Ini kerana, dalam tulisannya itu beliau merujuk kepada kenyataan yang mendakwa pelaksanaan hukum hudud akan membawa kepada kemusnahan ekonomi negara dan binasa diri.

Ianya termasuk dakwaan bahawa pelabur-pelabur akan meninggalkan Malaysia manakala negara akan berhadapan dengan “binasa diri” jika hukum hudud dilaksanakan di Malaysia yang pernah diucap Soi Lek pada satu forum di Wisma MCA baru-baru ini.

"Jangan bermain dengan api wahai penzina. Ini bukan kali pertama beliau mengeluarkan kenyataan yang menghina Islam. Apakah kita boleh menerima kenyataan seperti pelabur-pelabur akan meninggalkan Malaysia manakala negara akan berhadapan dengan ‘binasa diri’ jika hukum hudud dilaksanakan di Malaysia.

"Persoalan saya, apakah Malaysia akan menjadi daya tarikan pelabur-pelabur dengan lambakan pelacur-pelacur yang datang daripada Cina dan Vietnam yang datang ‘memberi khidmat’?


"Apa matlamat sebenar membawa masuk mereka ini? Apakah mungkin beliau turut melanggan kerana memang menjadi kesukaannya menyimpan mistres?" soalnya lagi.

Dalam nada tegas, beliau yang juga penyarah di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia turut mengingatkan pihak tersebut tidak mencampuri urusan orang Islam khususnya berkaitan dengan soal hudud.

Apatah lagi katanya jika seseorang itu berlainan bidang kepakaran, maka sewajarnya tidak perlu banyak mengulas tentang bidang yang lain.

"Jika bidang beliau mengenai kesihatan seperti mana jawatan yang pernah dipegang sebelum ini, lebih baik dia bercakap mengenai keburukan yang dibawa hasil seks luar nikah atau seks rambang atau penzinaan," tegasnya.

Soi lek sebelum ini juga mendakwa sistem perundangan itu tidak adil kepada semua pihak khususnya ke atas kaum wanita selain mengenakan hukuman-hukuman kejam yang jelas bercanggah dengan konvensyen antarabangsa.

Selain itu beliau turut meramalkan bahawa pasaran saham akan jatuh antara 10 hingga 20 peratus jika hukum hudud digubal dan ia juga akan memberi kesan ke atas kewangan pelabur-pelabur tempatan.

"Wah! bukan main pandai lagi beliau meramal seperti nujum.

"Justeru, tunggu apa lagi, marilah kita bersama-sama tanpa mengira parti dan ideologi, mempertahankan Islam yang semakin lama semakin berani dimamah dan diratah oleh ultra kiasu yang wujud di mana-mana, termasuk dalam Barisan Nasional," kata Ridhuan.Penghina hudud jangan kurang ajar - Ridhuan Tee:

Tuanku Abdul Halim lafaz sumpah

Kosmo! Online - Negara:



TUANKU Abdul Halim menandatangani surat sumpah pelantikan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 ketika Istiadat Khas Mesyuarat Raja-Raja ke-227 sambil diperhatikan Najib (kiri) di Istana Negara, Jalan Duta semalam.


KUALA LUMPUR - Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'azam Shah melafaz sumpah memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-14 dalam upacara penuh adat istiadat di Istana Negara di sini semalam.

Ia merupakan kali kedua baginda dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Kali pertama dari 21 Januari 1970 hingga 20 September 1975 semasa berusia 43 tahun.

Tuanku Abdul Halim, 84, dipilih oleh Raja-raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang ke-226 (Khas) di Istana Negara pada 14 Oktober lepas untuk tempoh lima tahun berkuat kuasa semalam bagi menggantikan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 kelmarin.

Istiadat semalam merupakan istiadat seumpamanya yang pertama kali diadakan di Istana Negara yang baru dibina bercirikan binaan Islam dan tradisional Melayu di kawasan seluas 96.52 hektar yang mula beroperasi pada 15 November lepas.

Upacara bermula pada pukul 11.15 pagi dengan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-227 (Khas) sempena Istiadat Melafaz Sumpah Memegang Jawatan dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan oleh Seri Paduka di Balairong Seri.

Mesyuarat Majlis Raja-Raja itu dipengerusikan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Datuk Syed Danial Syed Ahmad kemudian menyembah surat sumpah jawatan kepada Tuanku Abdul Halim yang memakai pakaian Diraja Kedah yang dikenali sebagai "Sikap" yang terdiri daripada jaket pendek, berbelah di hadapan dan berkolar tinggi lengkap dengan tengkolok, seluar, sampin dan bengkung serta berkeris.

Baginda kemudian melafazkan sumpah jawatan dan menandatangani surat sumpah jawatan itu di hadapan Majlis Raja-Raja.