Friday, October 25, 2013

Jerman pula dakwa jadi mangsa intipan Washington

Jerman pula dakwa jadi mangsa intipan Washington
Angela Merkel 
Berlin: Jerman semalam memanggil Duta Amerika Syarikat ke ibu kota ini kerana mengesyaki Washington mengintip telefon bimbit Canselor Angela Merkel, kata jurucakap kementerian luar.

Menteri Luar Guido Westerwelle akan bertemu secara peribadi dengan wakil Amerika John B Emerson lewat semalam, kata jurucakap kepada AFP dalam satu tindakan luar biasa antara sekutu sejak berdekad lalu.
“Duta Amerika dipanggil untuk berbincang dengan Menteri Luar tengah hari ini,” kata seorang jurucakap.
“Kedudukan kerajaan Jerman akan diperjelaskan.”
Merkel menelefon Barack Obama kelmarin menuntut jawaban selepas mendapat tahu perisik Amerika mungkin memantau telefonnya, memberi amaran ia mungkin “pelanggaran kepercayaan” antara rakan kongsi antarabangsa itu.

Jurucakap Rumah Putih berkata ia tidak mengintip Merkel buat masa ini, namun tidak menafikan kemungkinan komunikasi pemimpin Jerman itu pernah dipintas pada masa lalu.

Dakwaan itu mencetuskan kemarahan di Jerman dan jurucakap Merkel, Steffen Seibert dalam satu kenyataan berkata beliau “memberi kata dua bahawa dirinya jelas tidak setuju dengan amalan sebegitu, jika ia disahkan dan menganggapnya sebagai tidak boleh diterima sepenuhnya.”
Merkel menuntut “satu penjelasan segera dan panjang lebar” daripada Washington, kata kenyataan itu. - AFP

AS belum bersedia henti serangan drone

AS belum bersedia henti serangan droneObama (kanan) melambai tangan selepas bermesyuarat dengan Nawaz Sharif di Rumah Putih, semalam. Membisu gesaan Pakistan tamat guna pesawat kawalan jauh 

Washington: Presiden Amerika Syarikat Barack Obama berjanji kelmarin untuk memberi perhatian terhadap kebimbangan Pakistan membabitkan tempoh selepas perang di Afghanistan, namun membisu terhadap gesaan Perdana Menteri Nawaz Sharif untuk menamatkan serangan pesawat kawalan jauh atau drone.

Obama mengalu-alukan kunjungan Sharif ke Rumah Putih selepas meluluskan bantuan bernilai AS$1.6 bilion (RM5.05 bilion), kebanyakannya untuk ketenteraan, yang disekat selepas ketegangan hubungan kedua-dua negara berhubung serbuan 2011 yang mengorbankan pemimpin al-Qaeda Osama bin Laden.
Obama berjanji memberi penjelasan penuh kepada Sharif dan bekerjasama menjadikan Afghanistan ‘stabil dan selamat, kedaulatannya dihormati’ Ketika tentera Amerika Syarikat bersiap sedia berundur dari Afghanistan tahun depan.


“Saya yakin dengan bekerja bersama, kami boleh mencapai sasaran lebih baik buat Afghanistan, namun turut membantu melindungi Pakistan dalam jangka panjang,” kata Obama kepada media di Pejabat Oval.


Curiga Pakistan

Ramai penduduk Afghanistan mencurigai Pakistan berikutan sokongan terhadap rejim Taliban pada masa lalu sebelum digulingkan dalam serangan diketuai Amerika selepas serangan 11 September 2011.
Dalam satu kenyataan bersama, Sharif dan Obama menggesa Taliban terbabit dalam rundingan perjanjian damai dengan kerajaan Afghanistan, satu inisiatif yang segera terhenti selepas langkah pertama Jun lalu.

Pada masa sama Sharif menggesa Amerika menamatkan kempen serangan hendap ke atas militan, yang mencetuskan kemarahan ramai penduduk Pakistan yang menganggapnya sebagai pelanggaran kedaulatan negara.

Sharif menggesa kerjasama antikeganasan lebih meluas dengan Washington namun berkata:

“Saya juga mengemukakan isu serangan pesawat kawalan jauh dalam pertemuan kami dan menggesa serangan seperti itu ditamatkan segera.”


Tak jawab soalan

Obama tidak menyebut serangan drone dan kedua-dua pemimpin tidak menjawab soalan.

Dalam kenyataan mereka, Obama dan Sharif menegaskan bahawa “perkongsian berkekalan kami adalah berasaskan prinsip menghormati kedaulatan dan integriti jajahan.”

Walaupun kenyataan terbuka itu, akhbar The Washington Post berkata ia memperoleh dokumen rahsia yang mengesahkan kecurigaan bahawa Pakistan meluluskan serangan Amerika dan kadang kala malah memilih sasaran. - AFP

Gadis 17 tahun dapat wajah baharu



Gambar Jianmei yang menunjukkan tisu kulit membesar di dadanya ditayangkan di sebuah hospital di Fuzhou pada 11 Oktober lalu.- Agensi


BEIJING - Seorang gadis berusia 17 tahun, Xu Jianmei telah menjalani pembedahan muka selepas dia kehilangan dagu, kelopak mata dan sebahagian telinganya dalam satu kebakaran semasa berusia lima tahun, lapor agensi berita Xinhua semalam.
Jianmei yang berasal dari sebuah kampung nelayan di wilayah Fuji menjalani pembedahan itu di sebuah hospital Fuzhou dalam wilayah tersebut.
Ketika kecil, dia tidak dapat menjalani pembedahan muka kerana keluarganya miskin.
Namun, pada tahun lalu, dia berpeluang menjalani pembedahan itu selepas doktor-doktor mencadangkan kulit muka baharunya diambil dari dadanya.
Sepasukan doktor menggunakan satu urat darah dari paha Jianmei dan menanam di dadanya dengan tujuan untuk menghasilkan tisu kulit.
Tisu kulit itu kemudian membesar di dada kirinya.
Justeru, tisu kulit itu akan digunakan untuk membetulkan semula muka gadis tersebut.
Beberapa peringkat pembedahan kemudian dilakukan ke atas gadis itu.
Peringkat akhir pembedahan itu berjaya dilakukan pada Isnin lalu.
Doktor-doktor percaya bahawa luka pada wajah gadis tersebut akibat pembedahan akan hilang dalam tempoh beberapa minggu lagi. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1025&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2ig9giVCa 
Hakcipta terpelihara