Saturday, April 11, 2015

Main kotor tunduk suami


Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

hafizee@hmetro.com.my
Ipoh: “Hampir 20 tahun saya terseksa apabila sering dipukul serta dianggap bagaikan hamba di dalam rumah oleh suami sehingga menyebabkan saya tidak tahan dan nekad untuk membalas dendam terhadap suami.
“Saya berjumpa dengan seorang bomoh di Gerik selepas diperkenalkan rakan dan bomoh berkenaan melakukan upacara menggunakan darah haid serta air mani gajah bertujuan menjadikan suami mengikut arahan saya seperti budak sekolah,” kata seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Rahimah, 44.
Menceritakan kembali upacara dilakukan bomoh berkenaan, Rahimah yang berasal dari Semenyih, Selangor berkata, dia yang dibawa kenalannya ke rumah bomoh berkenaan pada awalnya terpaksa pulang selepas upacara itu tidak dapat dilakukan berikutan dia tidak datang haid.
Katanya, beberapa hari selepas itu, dia kembali berjumpa dengan bomoh berkenaan yang memintanya menitiskan darah haidnya ke dalam botol dan kemudiannya dicampur air mani gajah.
Menurutnya, air mani gajah disediakan bomoh itu sebelum beberapa mantera dibaca dalam keadaannya terpaksa berbaring separuh bogel di hadapan bomoh itu dan upacara berkenaan tamat hampir sejam.
“Bomoh berkenaan hanya meminta saya menitiskan setitis gabungan air mani gajah dan darah haid itu di dalam makanan suami serta perlu dilakukan sehingga semua ramuan terbabit habis bagi memastikan ia mujarab.
“Selepas hampir seminggu memberikan suami saya makan makanan dicampur dengan ramuan itu, suami mula berubah dan bersifat seperti keanak-anakan termasuk menuruti segala arahan saya,” katanya.
Ibu kepada empat anak itu berkata, dia tidak memikirkan dosa disebabkan tidak tahan dengan sikap suaminya yang panas baran dan sering memukulnya sehingga menyebabkan anggota badannya lebam.
Katanya, pada waktu itu, dia sangat berpuas hati apabila berjaya menundukkan suaminya dengan semua arahan diberikannya dituruti sehinggakan semua kerja rumah dilakukan suami selepas pulang dari kerja.
Menurutnya, perlakuan suaminya yang sentiasa menuruti arahannya hanya berlaku di rumah dan suaminya akan kembali normal apabila berada di tempat kerja menyebabkan tiada sesiapa mengesyaki tindakannya itu.
Rahimah berkata, kegembirannya selama dua tahun menundukkan suaminya bertukar menjadi duka apabila tindakannya disedari ibu mentuanya yang datang ke rumah dan pelik dengan tingkah laku anaknya itu.
“Dalam diam ibu mentua membawa suami saya berubat dan selepas pulih, suami menceraikan saya dengan talak tiga manakala keempat-empat anak diletakkan di bawah jagaannya disebabkan dia bekerja,” katanya.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/42786#sthash.JD5R588N.dpuf

Menantu Jokowi bekas ratu

Solo, Indonesia: Anak lelaki sulung Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) dilapor bakal berkahwin dengan kekasihnya yang juga bekas ratu cantik Solo pada Jun ini.
Portal berita Detik.com yang memetik Datuk Bandar Solo, Hadi Rudyatmo mengesahkan bahawa beliau dimaklumkan mengenai rancangan perkahwinan anak lelaki Jokowi, Gibran Rakabuming dengan bekas pemenang Ratu Cantik Solo 2009, Selvi Ananda.
Sehingga kini, Jokowi dan keluarganya tidak memberi sebarang kenyataan berhubung perkahwinan itu.
Jokowi dan isterinya, Iriana mempunyai dua anak lelaki iaitu Gibran dan Kaesang Pangarep serta seorang anak perempuan, Kahiyang Ayu.
Gibran, 28, berkelulusan Universiti Teknologi di Sydney, Australia dan kini menguruskan perniagaan makanan di Solo.
Akhbar Solo Pos pada awal bulan ini melaporkan bahawa Gibran telah melamar Selvi.
Jokowi dan Iriana dilaporkan berada di Solo pada hujung minggu lalu tetapi aktiviti mereka dirahsiakan daripada media.
Beberapa jiran Selvi berkata, gadis itu berasal dari keluarga yang sederhana dan tinggal di Jalan Kutai VII di sini.
Seorang jiran, Esti berkata, Selvi, 26, bekerja di sebuah bank manakala bapanya bekerja di sebuah syarikat swasta dan ibunya berniaga makanan.
Ujarnya, dia sering melihat Gibran datang ke rumah Selvi untuk menjemput atau menghantar kekasihnya itu pulang.
“Selvi gadis yang pendiam dan dia jarang bersosial serta bergaul dengan jiran yang lain.
“Hanya ibu dan abangnya yang sering keluar dan berbual dengan jiran,” katanya.
Tambahnya, tiada tanda-tanda sebarang majlis berlaku di rumah Selvi walaupun terdapat khabar angin Jokowi pulang ke Solo untuk majlis melamar gadis berkenaan.
“Rumah itu sepi seperti biasa dan mungkin majlis itu berlangsung di tempat lain,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 April 2015 @ 10:20 AM


GIBRAN bersama Selvi.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/42768#sthash.AdhsFfJV.dpuf

Saran penjawat awam wajib pakai batu akik

Palembang: Gabenor Sumatera Selatan, Alex Noerdin menggesa semua penjawat awam di wilayah itu mematuhi satu peraturan baru yang mewajibkan mereka memakai sejenis batu permata yang dikenali sebagai batu akik.
“Peraturan baru itu sudah dikuatkuasakan. Semua penjawat awam diwajibkan memakai batu akik sama ada sebagai cincin atau rantai,” kata Alex yang dipetik portal Kompas.com.
Undang-undang itu turut menyatakan bahawa penjawat awam perlu memakai batu akik yang berasal dari wilayah Baturaja di Sumatera Selatan.
Menurutnya, undang-undang baru itu perlu dipatuhi oleh semua pihak supaya ia boleh dilaksana dengan lancar.
Media melaporkan bahawa peraturan baru itu dicadang bagi menyokong industri batu permata di Sumatera Selatan yang dipercayai mampu bersaing dengan pengeluar batu akik lain di Indonesia.
Beberapa lokasi pengeluar batu akik popular di Sumatera Selatan termasuklah Baturaja, Lubuklinggau dan Muratara.
Sejak beberapa bulan lalu, batu akik semakin popular di Indonesia.
Beberapa pihak percaya batu akik menjadi popular selepas bekas Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono turut memakai cincin batu permata berkenaan. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 April 2015 @ 10:19 AM


ALEX ketika melancarkan kedai batu akik, di Palembang, baru-baru ini.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/42766#sthash.4cwPWx9S.dpuf

Kedai diarah tutup awal


Islamabad: Selepas mengeluarkan undang-undang kod pakaian musim panas dan mengarahkan pendingin udara di pejabat ditutup, kerajaan Pakistan memperkenalkan langkah baru menangani krisis tenaga di Islamabad dengan memendekkan waktu operasi kedai serta restoran.
Menurut Pejabat Perdana Menteri, kedai harus ditutup pada jam 8 malam manakala restoran jam 10 malam. Dewan bagi majlis perkahwinan pula hanya boleh dibuka sehingga 11 malam.
Dua tahun lalu, warga Pakistan disuruh berhenti pakai stokin jika tidak tahan panas.
Sebelum ini, waktu operasi dipendekkan tetapi tidak diendahkan.
Ketika musim panas, Pakistan mengalami kekurangan tenaga yang dahsyat kerana bekalan elektrik terputus 12 jam di bandar utama dan 20 jam sehari di luar bandar.
Keputusan terbaru itu tidak diterima baik peniaga dan pemilik kedai di Islamabad.
Pegawai Pentadbir Perniagaan dan Industri Kecil Islamabad Raheel Ahmad Awan berkata: “Semua peniaga dan pekedai tidak berpuas hati dan mengadakan mesyuarat membabitkan semua peniaga di bandar ini”. - Reuters
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/42757#sthash.VPXkKscM.dpuf

Asean mesti tegas hadapi anjakan kuasa global


Susilo Bambang Yudhoyono
Susilo
SINGAPURA - Bekas Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono menyeru negara anggota Asean agar lebih tegas bagi menjadikan kumpulan itu lebih berdaya tahan untuk menghadapi anjakan kuasa global.
  
"Asean mesti perlu menjadi lebih tegas sebagai entiti geopolitik dan geoekonomi. Bagi setiap negara anggota Asean, Asean perlu menjadi bulatan dalaman pertama pada polisi luarnya.
  
"Keupayaan kita untuk mengekal ketegasan akan menjadikan Asean lebih berdaya tahan dalam menghadapi anjakan kuasa global, yang kita berharap akan lancar dan aman tetapi pada realitinya mungkin bergelora," katanya dalam ucapan penerimaan selepas dianugerah Anugerah Felo Kehormat Ulung oleh Institut Pengajian Asia Tenggara (ISEAS).
  
Upacara diadakan di institut berkenaan di sini yang dihadiri lebih 150 tetamu termasuk Menteri Komunikasi dan Maklumat serta Menteri Hal Ehwal Agama Islam Singapura, Prof Madya Dr Yaacob Ibrahim.  
  
Semasa menyampaikan anugerah itu, Pengerusi Lembaga Amanah ISEAS, Prof Wang Gungwu berkata: "Kita semua menyedari mengenai apa yang beliau capai semasa menjadi presiden Republik Indonesia, terutamanya kita berkongsi kebanggaan rakyat Indonesia dalam kejayaannya membina kedudukan antarabangsa Indonesia".
  
Susilo yang merupakan penerima kedua Anugerah Felo Kehormat Ulung institut itu menilai anjakan kuasa global antara Amerika Syarikat dan China serta peningkatan kemunculan kuasa ekonomi lain.
  
Melihat bahawa Masyarakat Asean bakal muncul selepas Disember tahun ini, beliau berkata kerja keras adalah perlu bagi memastikan Asean 'kuat di puncaknya dan padu di bawahnya'. - Bernama

Timor Leste sudah sedia sertai Asean


Timor Leste
KUALA LUMPUR - Timor Leste sudah bersedia untuk menyertai Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (Asean) pada bila-bila masa, kata Dutanya di Malaysia, Jose Antonio Amorim Dias.
  
Beliau berkata selepas mencapai kemerdekaan 13 tahun lepas, Timor Leste  yakin dapat memenuhi kriteria sebagai anggota Asean, termasuk menyediakan sumber manusia mencukupi untuk menghadiri banyak mesyuarat Asean sepanjang tahun.
  
"Kami tidak mempunyai sebarang sasaran spesifik (bagi tahun mana), dengan memahami ia bukan proses mudah tetapi mesej daripada rakyat Timor Leste ialah, diharapkan negara anggota Asean dapat menerima permohonan kami secepat mungkin," katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif di kedutaan itu di sini dua hari lepas.
  
Beliau berkata Timor Leste setakat ini telah sekurang-kurangnya memenuhi dua syarat utama bagi keanggotaan Asean iaitu negara terletak dalam kawasan rantau ini dan ia telah membuka kedutaan di negara-negara anggota Asean.
  
Buat masa ini, Timor Leste telah membuka 22 kedutaan. Selain daripada negara anggota Asean, kedutaan telah dibuka di Eropah, Afrika, Amerika Utara dan juga Amerika Latin.

"Bagaimanapun, menyertai Asean bukan bermakna kami meminta bantuan kewangan daripada negara anggota ASEAN kerana kami mempunyai sumber kewangan kami sendiri.
 
"Malah, kami perlu bayar bagi keanggotaan Asean dan pastinya, kami perlu menjalankan semua kewajipan  dan tanggungjawab kami sebaik sahaja kami menjadi anggota."
  
Amorim Dias berharap Sidang Kemuncak ke-26 Asean di sini bulan ini, negara anggota akan mengambil langkah proaktif untuk memperlihatkan komitmen bagi menjadikan Timor Leste sebagai anggota Asean.
  
Timor Leste juga mahu melihat pegawainya dilatih di Sekretariat Asean (di Jakarta), katanya dan menambah kata beliau berharap pegawai Sekretariat Asean akan pergi di Timor Leste untuk memberikan latihan intensif kepada pegawainya.
  
"Dengan ini, ia akan menunjukkan keseriusan kedua-dua pihak (Timor Leste dan negara anggota Asean), susulan kami sedang berusaha untuk mewujudkan sekretariat kebangsaan kami bagi Asean.

"Pegawai daripada Sekretariat Asean di Jakarta atau negara Asean yang lain boleh melawat Timor Leste untuk melihat perkembangan dan usaha kami untuk menyertai Asean," kata Amorim Dias.
 
Asean dianggotai Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.
  
Bekas Perdana Menteri Timor Leste, Xanana Gusmao, semasa melawat Malaysia pada Mac tahun lepas, berkata Kuala Lumpur menyokong permohonan Dili (ibu negara Timor Leste) untuk menjadi anggota Asean.
 
Amorim Dias berkata, walaupun beberapa negara anggota berpendapat usaha Timor Leste untuk menyertai Asean masih kurang, beliau menegaskan negaranya telah mencapai kemajuan memberangsangkan sejak merdeka.
 
Berhubung pembangunan Timor Leste, beliau berkata kerajaan telah membina lebih banyak sekolah dan menyediakan biasiswa untuk pelajar melanjutkan pelajaran di luar negara, sebagai satu aspek pelaburan sumber manusia.

Sektor minyak dan gas Timor Leste berjaya meningkatkan ekonomi negara dengan menjana pendapatan antara US$200 dan US$300 juta sebulan, yang memberi manfaat kepada 1.2 juta penduduk, kata Amorim Dias.
  
"Ya, kami masih perlukan masa untuk membangunkan rakyat dan infrastruktur kami tetapi bayangkan lah, kami membina negara kami daripada kosong ... anda tidak dapat membina sebuah negara yang kuat, negara sempurna dalam masa 13 tahun.
 
 "Anda perlukan kira-kira 30 hingga 50 tahun," katanya tentang negaranya itu yang sebelum ini dikenali sebagai Timor Timur. - Bernama

Eksport beras: India atasi Thailand


beras
BANGKOK - THAILAND. India mengekalkan kedudukannya sebagai pengeksport utama beras pada 2014 dan mengatasi Thailand yang sebelum ini dijangka mendahului berdasarkan data awal bagi suku terakhir tahun lepas.
 
Menurut laporan pertama pasaran beras 2015 Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO), pengeksportan beras oleh India dan Thailand ternyata melonjak pada akhir 2014 dan berdasarkan kajian semula eksport itu menunjukkan India mengatasi Thailand.
 
India mencatatkan eksport beras sebanyak 11.3 juta tan metrik - satu angka yang tidak dijangka dan terbukti mengatasi tipis Thailand sebanyak 11.0 juta tan metrik (beras kilang).
  
Bagaimanapun, laporan FAO itu mengunjurkan Thailand akan merampas semula kedudukan sebagai pengeksport utama makanan itu pada 2015 kerana dijangka mengeksport 11.2 juta tan berbanding India sebanyak 9.3 juta tan.
  
Mengulas keadaan secara keseluruhannya, FAO berkata selepas menikmati limpahan hasil tuaian sejak beberapa tahun ini, pengeluaran beras akan berdepan pengurangan tahunan pertamanya sejak 2009 manakala harga globalnya juga kekal lemah.
  
FAO turut menurunkan unjuran pengeluaran padi globalnya sebanyak 3.3 juta tan sejak Disember kepada 741.3 juta tan (494.4 juta tan beras kilang) dan hanya 0.5 peratus di bawah rekod prestasi bagi 2013.
  
"Pengeluaran padi Thailand merosot sebanyak 2.7 peratus pada 2014 kepada 34.3 juta tan (22.7 juta tan beras kilang) disebabkan kesan pengurangan tanaman dan kawasan penanaman.
  
"Namun bagi tahun ini, Thailand dijangka meningkatkan pengeluarannya sebanyak 2.1 peratus," kata Timbalan Pengarah dan Wakil Serantau FAO bagi kawasan Asia dan Pasifik, Hiroyuki Konuma, pada satu taklimat media, di sini.
  
FAO turut mengunjurkan, berdasarkan persekitaran cuaca normal, tahun ini akan menyaksikan pemulihan pengeluaran padi dunia yang menyederhana sekitar satu peratus kepada 750 juta tan metrik.
  
Seiring kejatuhan harga di peringkat global, banyak negara pengimport beras akan meneruskan dasar pengeluaran beras menumpukan keupayaan pengeluaran sendiri.
  
Indonesia turut diunjur mengurangkan importnya sebanyak 25 peratus pada 2015, Filipina 21 peratus dan Bangladesh sebanyak 36 peratus.
  
Menurut FAO, persaingan pengeksport juga dijangka sengit tahun ini. - Bernama

Temui lubang berapi dari dalam tanah


SEORANG penduduk melihat sebuah lubang yang mengeluarkan api di kawasan bukit di Urumqi, wilayah Xinjiang Ughur baru-baru ini.


BEIJING – Penduduk di sini gempar apabila menemui sebuah lubang selebar 0.91 meter yang mengeluarkan api di sebuah lereng bukit baru-baru ini.
Kejadian luar biasa itu berlaku di Urumqi, wilayah Xinjiang Ughur yang terletak di bahagian barat laut China sejak dua minggu lalu.
Bagaimanapun, bahang api yang terlalu panas dengan suhu 792 darjah Celsius itu menyebabkan sekumpulan pakar geologi tidak dapat menghampiri lubang berkenaan untuk mendapatkan ukuran kedalamannya.
Menurut penduduk, sebelum ini mereka cuma mendapati tanah di kawasan itu panas apabila dipijak.
“Perkara ini berlaku sejak dahulu lagi, tetapi kami tidak sangka terdapat api di bawah tanah ini memandangkan bukit ini bukan lokasi gunung berapi,” kata seorang penduduk yang enggan dikenali.
Sementara itu, Biro Geologi Xinjiang tidak menolak kemungkinan api di lubang itu terjadi akibat arang batu yang terdapat di kawasan berkenaan terbakar secara sendiri menyebabkan permukaan tanah runtuh.
Sebilangan pengguna internet di China yang melihat gambar berkenaan di media sosial pula menyifatkan lubang berkenaan sebagai ‘pintu ke neraka’. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0411&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3WxGleFdR 
Hakcipta terpelihara