Thursday, August 26, 2010

Woods gagal 'beli' Elin

LOS ANGELES: Elin Nordegren dilaporkan menolak mentah-mentah cadangan saat akhir dikemukakan peguam suaminya dalam usaha mereka mengelak model Sweden itu mendedahkan maklumat rumah tangganya kepada umum.

pix_middle
Walaupun keputusan itu bermakna Elin, 30, akan terlepas pampasan berpuluh juta ringgit daripada harta Tiger Woods, ia membuktikan wanita itu tidak mengejar wang apabila bercerai.
Malah, Elin turut menjemput jurukamera datang ke kediamannya di Florida minggu lalu untuk membincangkan perpisahannya dengan bekas jaguh golf itu.

Rakaman temu bual berkenaan kini disiapkan untuk ditayang kepada umum.

Seorang rakan berkata, Elin adalah wanita yang tabah, berdikari tetapi disalah anggap.

“Perceraiannya dengan Woods tidak dipengaruhi faktor wang.

“Elin menolak banyak tawaran sebelum ini dan saya pasti dia tidak akan mendedahkan semua rahsianya dengan Woods kepada umum.

“Apa yang penting, Elin mahu menyatakan, dia tidak boleh dibeli,” katanya, semalam.

Kata sumber itu, apabila Elin mengetepikan tawaran Woods, 34, dia mahu orang ramai tahu pasukan peguam bekas suaminya itu tidak boleh mempengaruhinya membuat keputusan.

Apabila bercerai, ibu kepada dua anak itu berharap memperoleh RM2.4 bilion daripada harta Woods selepas peguamnya mendapati, nilai harta sebenar atlit itu jauh lebih tinggi daripada RM3.2 bilion seperti didakwanya.

Sumber berkata, laporan kononnya Elin mendapat ‘hanya’ RM340 juta amat lucu kerana sebenarnya, bekas model itu boleh menerima jauh lebih besar daripada RM486 juta yang diberikan bintang bola keranjang, Michael Jordan, kepada isterinya, Juanita, ketika mereka bercerai pada 2007.
Jika ia menjadi kenyataan, perceraian Elin - Woods bakal mencatat rekod sebagai perpisahan paling mahal dalam sejarah.

Butiran perceraian itu dipersetujui pada Julai lalu dan hanya 15 minit untuk kedua-dua mereka menamatkan perkahwinan berusia enam tahun itu. - Agensi

Doa bukan Muslim


Olah - Dr Mohd Asri Zainul Abidin 


Saya rasa amat wajar mengulas sendiri tentang isu doa untuk bukan Muslim yang ‘dikecohkan’ sekarang. Ini memandangkan ada media telah memainkan perbezaan antara pendapat saya dan yang dihormati S.S Tan Sri Harussani Zakaria, Mufti Perak mengenai isu ini. Tujuan tulisan ini agar salah faham dapat dielakkan. 

Apabila seorang tokoh UMNO yang agak veteran menghubungi saya dan menyatakan beliau tidak puas hati (ayat asalnya ‘malu’) dengan fatwa S.S Tuan Mufti Perak yang mengharamkan doa kesejahteraan untuk bukan Muslim, saya jawab saya tidak pasti sebab saya sendiri belum membaca fatwa tersebut. SMS beliau kepada saya: “apakah saudara bersetuju dengan Mufti Perak bahawa hukumnya haram kita mendoakan kesejahteraan bukan Islam. Salahkah saya mendoakan kesejahteraan mak mertua saya yang bukan Islam? Atau mendoakan penyokong saya yang bukan Islam?”. Setelah mendapat SMS itu saya cuba mencari kenyataan S.S Tuan Mufti dalam media, saya dapati demikian yang dilaporkan oleh beberapa media. 

Sebagai husn al-zan (sangka baik) saya anggap mungkin laporan media kurang kemas, atau ada maksud di sebalik pandangan hukum yang dikeluarkan oleh S.S Tan Sri Harussani Zakaria itu. Ungkapan yang digunakan bahawa Islam mengharamkan doa kesejahteraan kepada orang bukan Islam itu mungkin mempunyai maksud lain di luar apa yang saya faham. Perkataan ‘sejahtera’ itu mungkin ada maksud tersendiri yang beliau ertikan. Cumanya, saya ingin mengulas kenyataan itu dari beberapa sudut. Pandangan saya dalam isu ini seperti berikut; 

Setiap orang yang mempunyai pengetahuan agama hendaklah sentiasa adil dengan pandangannya. Tidak boleh berpihak untuk kepentingan pembangkang ataupun kerajaan. Saya tujukan nasihat ini kepada mereka yang daif seperti saya ini agar berusaha mendisiplinkan diri dalam pandangan ilmu. Adapun S.S Tan Sri Harussani, Mufti Perak sudah pasti seorang yang teguh – bukan lemah seperti saya - dan saya doakan agar keteguhan itu menjadi contoh insan yang berdisiplin dalam ilmu. 

Pandangan agama yang membabitkan hal bukan Muslim di negara kita khususnya, dan dunia moden amnya, jika salah ditangani boleh memberikan kesan negatif kepada kefahaman masyarakat mengenai Islam. Kita memberitahu dunia ‘Islam adalah agama yang rahmat’, pasti mereka akan ragu jika kita mengeluarkan pandangan sebaliknya. Ketika dunia menuduh Islam pengganas, tiada nilai toleransi dan seumpamanya, pandangan-pandangan golongan agamawan janganlah membantu menyuburkan tuduhan palsu itu. 

Di Malaysia, secara praktiknya, ramai yang terbiasa memberi ucapan – terutama di media-media kerajaan- “assalamualaikum dan salam sejahtera kepada yang bukan beragama Islam”. Walaupun Nabi SAW –seperti riwayat al-Bukhari-dalam praktik Baginda, jika ada bukan Muslim bersama dengan Muslim, Baginda hanya memberikan ‘assalamualaikum’ sahaja. Perkataan ‘assalamualaikum’ itu memang bermaksud ‘kesejahteraan ke atas kamu’. Namun, diulangi oleh amalan media kerajaan dan majlis-majlis kerajaan dengan ungkapan ‘salam sejahtera kepada yang bukan beragama Islam’. Tidakkah ‘salam sejahtera kepada bukan beragama Islam itu satu doa untuk mereka. Mengapa tidak difatwakan ia haram selama ini? Demikian salam ciptaan baru ‘salam 1 Malaysia’ juga bermaksud kesejahteraan untuk semua termasuk bukan Muslim. Mengapa tidak diharamkan?. Saya sekali lagi berpesan kepada diri saya sendiri yang amat daif ini: janganlah bersifat terpilih dalam berfatwa. 

Para ulama berbeza pendapat tentang hukum mendoakan rahmat dan keampunan kepada bukan Muslim yang masih hidup. Mereka sepakat melarang doa tersebut kepada yang sudah mati dan menolak Islam secara jelas. Kesepakatan itu disebabkan ia disebut dalam al-Quran dalam Surah al-Taubah ayat 113. Adapun mendoakan untuk mendapat hidayah, adalah ijmak (sepakat tanpa kecuali) para ulama membolehkannya, bahkan menggalakkan. 

Kata Abdullah bin Mas’ud: “Aku seakan masih melihat Rasulullah SAW menceritakan tentang seorang dalam kalangan nabi a.s yang kaumnya memukulnya sehingga berdarah, sedangkan dia hanya menyapu darah di mukanya dan berdoa: “Ya Allah! Ampunkanlah kaumku kerana mereka itu tidak tahu”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Hadis ini menunjukkan berdoa agar Allah memaafkan atau jangan menurunkan bala kepada golongan kafir yang jahil adalah harus. Dalam erti kata lain diberi peluang untuk mereka. Ini sebenarnya, mendoakan agar mereka selamat dari bala yang Allah bakal turunkan. 

Dalam hadis yang sahih riwayat al-Nasai dan Abu Daud, sahabat Nabi SAW pernah menjampi untuk seorang gila yang bukan Muslim dengan Surah al-Fatihah sehingga sembuh. Ketua kabilah lelaki itu memberikan kepada sahabat berkenaan 100 ekor kambing. Nabi SAW bersabda kepada sahabat tersebut: “Makanlah, selama ini orang memakan dari jampi yang batil, engkau memakan dari jampi yang sebenar”. Jampi adalah sebahagian daripada doa kepada Allah. Hadis ini menunjukkan boleh mendoakan kesembuhan dan kesihatan kepada bukan Muslim. 

Bagi saya, doa kebaikan untuk bukan Muslim seperti agar memerintah dengan adil atau mendapat kesejahteraan kesihatan, keamanan, harta dan seumpamanya adalah dibolehkan. Dada Islam amat luas dalam hal ini. Syaratnya, doa kesejahteraan itu bukan untuk orang bukan Muslim yang bermusuh dengan Islam. Firman Allah: (maksudnya): “Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan memberikan sumbangan harta kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu, dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”. (Surah al-Mumtahanah ayat 7-8). 

Adapun berdoa agar diberikan kekuatan atau kekuasaan kepada mereka yang zalim adalah haram, sama ada yang didoakan itu Muslim atau bukan Muslim. Firman Allah: “Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang melakukan kezaliman nanti api neraka akan menyentuh kamu, sedangkan kamu tidak ada sebarang penolong pun selain daripada Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.” (Surah Hud: 113). 

Namun, saya akui bahawa permainan politik boleh berlaku dalam semua aliran kepartian. Doakan mungkin digunakan dengan tujuan baik, juga mungkin tujuan kempen politik. Sebab itu ‘Ali bin Abi Talib pernah menyebut kepada golongan Khawarij yang menggunakan slogan agama: “Perkataan yang benar, tetapi bertujuan batil” (Al-Khatib al-Baghdadi, Tarikh Baghdad, 304/10, Beirut: Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah). Saya tidak pasti doa dalam kes di Pulau Pinang tersebut dalam kategori mana. 

Pun begitu, golongan agama tidak boleh membuat fatwa untuk keredhaan sesuatu pihak semata. Hukum yang bersifat merentasi masa dan tempat seperti kenyataan mengharamkan doa untuk kesejahteraan orang bukan Muslim secara mutlak akan dipakai selamanya jika rakyat menerima sedemikian rupa tanpa penelitian atau pendetilan. 

Dalam sebuah negara yang berbilang agama, adakah kesejahteraan dan keamanan akan tercapai jika salah satu masyarakatnya porak-peranda. Jika masyarakat bukan Islam hidup dalam keadaan tidak aman dan bergolak sesama mereka, apakah negara akan aman? Jika seorang pemimpin Muslim dibolehkan berusaha secara pentadbiran memulihkan keamanan dalam komuniti bukan Muslim, apakah munasabah Islam mengharamkan pemimpin tersebut berdoa agar Allah memulihkan keamanan dan kesejahteraan dalam kalangan mereka? 

Tambahan lain, perlu kita di Malaysia mendoakan agar bukan Muslim menerima Islam ini. Orang Cina khusus mereka rajin dan kaya. Jika mereka menerima Islam, agama ini menjadi teguh. Jika Nabi SAW pernah berdoa: “Ya Allah! Engkau kuatkan Islam dengan salah seorang dari dua lelaki yang Engkau lebih sayang; Abu Jahl atau ‘Umar bin Al-Khattab”. (Riwayat al-Tarmizi dan al-Hakim, dinilai sahih oleh al-Zahabi). Alangkah perlunya kita juga berdoa agar tokoh-tokoh yang hebat di negara ini menerima Islam. 

Inilah pandangan ringkas saya. Saya percaya S.S Tan Sri Harussani Zakaria mempunyai tafsiran atau andaiannya yang tersendiri. Apa pun, kita harapkan andaian dan tafsiran itu sentiasa memberikan nilai yang positif untuk Islam dan bebas daripada belenggu kepentingan mana-mana pihak. 

Ini adalah pandangan saya.

Khatib mahu saman


SHAH ALAM – Khatib, Zakaria Ahmad memberi tempoh dua hari kepada beberapa individu, akhbar arus perdana dan sebuah stesen televisyen membuat permohonan maaf secara terbuka atau berhadapan tindakan saman berhubung kontroversi doa khutbah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng. 

Zakaria mendakwa, pihak :berkenaan telah memutar belitkan fakta berkaitan doa khutbah ke dua solat Jumaat yang dibacakannya di beberapa masjid sekitar Pulau Pinang. 

“Terdapat sebilangan pihak cuba menjatuhkan reputasi saya seolah-olah saya jahil di dalam agama Islam. Ini soal maruah. Mereka mengeluarkan kenyataan dan berita yang boleh menimbulkan salah faham orang ramai 

“Saya mengambil keputusan saman untuk menyedarkan pihak terlibat supaya tidak mengulangi kejadian sama (putar belit isu) kepada orang lain. Lebih-lebih lagi sekarang kita berada dalam bulan Ramadan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam. 

Zakaria berkata, beliau dan peguam sudah mengenal pasti dua akhbar arus perdana (bukan: Sinar Harian:), sebuah stesen televisyen dan beberapa individu berpotensi dikenakan tindakan undang-undang berhubung perkara itu. 

“Kalau dalam sehari dua ini mereka tidak meminta maaf, saya akan bertindak,” katanya. 

Zakaria sebelum ini mengaku menggunakan nama Guan Eng dalam bacaan doa itu sejak dua tahun lalu namun berpendapat ia baru sahaja diperbesarkan pihak tertentu dan dipolitikkan sehingga menjadi serius. 

Pada 19 Ogos lalu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memprotes penggunaan nama Guan Eng dalam doa khutbah kedua solat Jumaat menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin. 

Protes disokong Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Azhar Ibrahim yang menyatakan kesediaan untuk menampilkan saksi khatib yang membacakan doa tersebut. 

Zakaria kemudian tampil mengaku ada menyebut nama Guang Eng dalam doa khutbah Jumaat dan beliau dipanggil memberikan keterangan kepada Jawatankuasa Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP), kelmarin.

Sokong pembinaan masjid dekat WTC




NEW YORK - Datuk Bandar New York, Michael Bloomberg menyatakan pendiriannya tidak menghalang pembinaan masjid berhampiran tapak menara berkembar Pusat Dagangan Dunia (WTC) yang musnah dalam serangan pengganas pada 11 September 2001. 

"Tindakan tidak membenarkan pembinaan sebuah masjid di situ akan turut menimbulkan kecurigaan masyarakat dunia terhadap komitmen Amerika Syarikat (AS) untuk menentang keganasan dengan kebebasan," katanya pada majlis berbuka puasa di kediaman rasminya di Manhattan, kelmarin. 

Ketua paderi New York, Timothy Dolan turut berkongsi pendapat itu tetapi bimbang bahawa nilai-nilai toleransi dan perpaduan yang dikongsi penduduk kota itu akan terjejas jika isu pembinaan masjid itu terus diperbesarkan. 

Gabenor New York, David Paterson pula bertegas meminta lokasi pembinaan masjid itu ditukar ke tempat lain. 

Pengurus projek pembinaan masjid itu, Imam Feisal Abdul Rauf yang juga pengasas Cordoba Initiative berkata, dia terpaksa amat berwaspada kerana media sering menggambarkan imej negatif penganut Islam kepada negara Barat. 

Undian rambang yang dilakukan sebuah badan bebas, Pew Research Center, menunjukkan 62 peratus daripada 1,003 responden dewasa mengatakan umat Islam di AS berhak membina rumah ibadat di lokasi yang dipilih.

Rakyat tak mau hanya UMNO yang mau


BN Sarawak masih perlu khidmat Abdul Taib


2010/08/26

KUALA LUMPUR: Kesediaan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud untuk mengundurkan diri selepas hampir lima dekad aktif dalam politik dan 29 tahun menerajui negeri itu, mendapat reaksi berbelah-bahagi pelbagai pihak. 

Barisan Nasional (BN) Sarawak tidak setuju beliau berundur ketika ini, manakala penganalisis politik berpendapat sudah tiba masanya berbuat demikian untuk menyerahkan kuasa kepada muka baru.Di KUCHING, Setiausaha Agung BN Sarawak, Datuk Dr Stephen Rundi Utom, berkata semua parti komponen BN Sarawak Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) sependapat khidmat beliau masih diperlukan.Beliau berkata, pada retreat BN Sarawak yang diadakan di sini, pada 23 Jun lalu, semua parti komponen sebulat suara mahu Abdul Taib kekal menerajui BN pada Pilihan Raya Negeri Ke-10 dan selepas itu. 

Saya percaya kenyataan mengejutkan dibuat Ketua Menteri ekoran ada pihak yang dengki dengan kejayaan beliau membangunkan Sarawak dan mahu beliau berundur, katanya mengulas kenyataan Abdul Taib, kelmarin, beliau sedia melepaskan jawatannya jika khidmatnya tidak lagi diperlukan. 

Naib Presiden PBB, Datuk Daud Abdul Rahman, berkata PBB tetap dengan keputusannya sebelum ini, mahukan Abdul Taib menerajui Sarawak kerana banyak projek pembangunan yang dirancangnya menerusi konsep politik pembangunan dan sudah diluluskan namun belum direalisasikan lagi. 

Setiausaha Agung Parti Rakyat Sarawak (PRS), Wilfred Nissom, pula berkata Abdul Taib masih diperlukan untuk memimpin BN Sarawak dan beliau tidak perlu tunduk kepada desakan segelintir pihak yang mempunyai agenda politik tersendiri. 
PRS menyokong beliau terus memimpin kerajaan negeri dan mengetuai BN Sarawak. Mengapa perlu beliau berundur ketika khidmatnya masih diperlukan? 

Majoriti rakyat tahu prestasi cemerlang beliau selama ini tetapi yang menafikan kejayaan dibawa oleh Ketua Menteri ini hanya golongan kecil, katanya. 

Ahli Majlis Tertinggi Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), Sylvester Entri Muran, pula berkata Abdul Taib masih diperlukan bagi meneruskan pembangunan serta mengekalkan kestabilan politik negeri. 

Beliau berkata, kejayaan yang dicapai membawa perubahan sepanjang 29 tahun menjadi Ketua Menteri, membuktikan kemampuan sebenar Abdul Taib sebagai pemimpin ulung dan tiada alasan mengapa beliau harus berundur ketika ini. 

Sementara itu, penganalisis politik, Prof Madya Dr Muhammad Agus Yusoff, berkata kesediaan Abdul Taib untuk berundur adalah suatu keputusan yang tepat dan bijak bagi menjamin BN terus berkuasa di Sarawak. 

Beliau yang juga Ketua program Sains Politik, Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berkata, keputusan Abdul Taib itu akan dihormati rakyat dan akan menyatukan banyak pihak yang bertelagah di negeri itu. 

Syarikat saman UMNO gagal rayu keputusan


PUTRAJAYA 25 Ogos - Syarikat pembekal barangan pilihan raya, Elegant Advisory Sdn. Bhd. hari ini gagal memperoleh kebenaran untuk merayu ke atas keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan saman RM218 juta terhadap UMNO.
Syarikat tersebut mengemukakan tuntutan undang- undang ke atas UMNO kerana didakwa tidak menjelaskan bayaran bekalan barangan dan perkhidmatan semasa Pilihan Raya Umum ke-11 pada 2004.
Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum memutuskan demikian sebulat suara ketika menolak permohonan Elegant Advisory.
Beliau yang bersidang bersama Hakim Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin dan Hakim Datuk Seri Md. Raus Sharif turut memerintahkan syarikat itu selaku pemohon membayar kos guaman RM2,500 kepada UMNO.
Dalam penghakiman ringkasnya, Hakim Malanjum menyatakan, permohonan itu tidak dibenarkan kerana pemohon gagal mengemukakan isu-isu perundangan baharu seperti yang dikehendaki di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Beliau bagaimanapun sempat menasihati Elegant Advisory agar berurusan secara teratur pada masa hadapan seperti menandatangani perjanjian sebelum terlibat dalam sebarang projek.

UMNO sedia runding


BANTING 25 Ogos – UMNO akan berunding dengan Kementerian Sumber Manusia bagi membolehkan pelaksanaan dasar gaji minimum dilaksanakan segera khususnya di sektor perkilangan.
Ketua Penerangannya, Datuk Ahmad Maslan berkata, ia salah satu langkah bagi memastikan setiap pekerja swasta menerima gaji yang mencukupi selaras dengan taraf hidup semasa.
Ini kerana, katanya, berdasarkan maklumat, sebahagian besar pekerja sektor perkilangan di negara ini menerima gaji pokok RM500 sebulan yang ditetapkan oleh majikan sejak 35 tahun lalu.
Jelasnya, jumlah itu ternyata terlalu rendah dan berada di bawah paras pendapatan garis kemiskinan sebanyak RM700 sebulan.
“Kita faham keluhan pekerja tempatan dari pelbagai sektor termasuk perkilangan yang rata-rata mereka menerima gaji asas yang begitu rendah dan tidak setimpal dengan kos hidup masa kini.
“Kita mahu taraf pendapatan yang lebih baik. Sehubungan itu, kita akan sampaikan keluhan dan rungutan kepada Menteri Sumber Manusia (Datuk Dr. S. Subramaniam) supaya kebajikan para pekerja ini diberi perhatian sewajarnya,” katanya.
Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berucap pada majlis berbuka puasa dan ramah mesra bersama kira-kira 600 pekerja kilang di kawasan Kuala Langat dan Sepang di Bandar Sungai Emas di sini, malam tadi.
Turut hadir Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin serta Pengerusi Kesatuan Sekerja Industri Elektronik Wilayah Barat Semenanjung Malaysia (KSIEWBSM), Wan Noorul Azhar Mohd. Hanafiah.
Pada majlis itu, Ahmad menerima memorandum daripada KSIEWBSM yang menuntut kerajaan mengambil tindakan serta langkah-langkah yang perlu bagi memastikan kebajikan pekerja sektor berkenaan terbela.
Antara kandungan memorandum tersebut ialah meminta kerajaan melaksanakan segera gaji minimum kepada pekerja sektor berkenaan, kebajikan pekerja dari segi manfaat pekerjaan termasuk cuti, jam bekerja dan sebagainya.
Dalam pada itu, Wan Noorul Azhar ketika ditemui berkata, pihaknya meminta kerajaan Pusat agar mencari jalan membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi para pekerja termasuk meminta pihak majikan supaya mematuhi peraturan sedia ada.

'Saya maafkan suami'


Nik Suzila Nik Hashim bersama dua anaknya, Siti Aishah Muhaimin dan Shafiqah mencium baju raya milik Allahyarham Mohd. Adam Muszhaffar di rumahnya di Kampung Sungai Budor, Kota Bharu, semalam.


KOTA BHARU 25 Ogos - Ibu Mohd. Adam Muszhaffar, 3, budak yang mati disembelih oleh bapanya di Kampung Sungai Budor di sini semalam, hari ini memaafkan perbuatan suaminya itu kerana menyedari dia dalam keadaan sakit.
Nik Suzila Nik Hashim, 32, juga sanggup dan berusaha untuk melupakan kejadian itu demi membina semula hidup baru.
Namun dia yang masih trauma mengakui belum pasti untuk meneruskan hidup dengan suaminya itu sekiranya dibebaskan daripada tuduhan membunuh.
"Saya tidak fikir lagi untuk bersama dengan dia atau tidak selepas ini, lagi pun saya masih ada dua lagi anak.
"Rasa bimbang tentang keselamatan mereka tetap ada. Buat masa ini saya harungi apa yang sedang berlaku sekarang.
"Ia berlaku tanpa dijangka kerana Adam amat rapat, anak yang paling dia (suspek) sayang. Apa yang Adam nak, pasti dia tunaikan," katanya ketika ditemui di rumah ibu bapanya di sini hari ini.
Dalam kejadian menyayat hati kira-kira pukul 12 tengah hari semalam, suspek berusia 33 tahun itu hilang kewarasannya dan bertindak menyembelih anak keduanya, Mohd. Adam Muszhaffar dengan kejam menggunakan sebilah pisau.
Suspek kemudian cuba membunuh diri dengan mengelar lehernya, bagaimanapun dia yang turut mengalami kecederaan ditahan anggota polis dan dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini untuk rawatan.
Mayat Adam ditemui terbaring dalam keadaan berlumuran darah oleh Nik Suzila yang menyedari kejadian tersebut selepas mendengar jeritan kuat daripada mangsa.
Suspek yang sedang dirawat di hospital terbabit telah ditahan reman selama lima hari bermula hari ini.
Nik Suzila berkata, dia percaya sekiranya suaminya waras perkara tersebut tidak akan berlaku kerana lelaki itu amat menyayangi anaknya.
"Sebelum ini dia tidak pernah marah anak-anak terutama Adam kerana dia seorang bapa yang penyayang," katanya.
Dia yang tidak dapat menahan sebak berkata, mereka sekeluarga telah membuat persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri termasuk membeli baju baru.
"Adam sudah beli baju raya, dia sendiri pilih baju, seluar dan kasut ini. Saya tidak boleh tengok baju dan seluar ini, kami beli baju ini sebelum puasa lagi sebab tidak mahu suami saya tertekan.
"Kakak ipar saya, Marhaini, yang belikan baju raya ini kerana dia tahu suami saya sakit dan dia takut adiknya tertekan," katanya.

Suruh tarik pulak

Tarik balik tuduh UMNO P. Pinang terdesak

BAGAN DATOH 25 Ogos - Pihak yang menuduh UMNO Pulau Pinang sebagai terdesak hingga membangkitkan isu penggunaan nama Ketua Menteri, Lim Guan Eng dalam doa khutbah Jumaat, perlu menarik balik kenyataan mereka.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya tidak berniat untuk mempertikaikan hal ehwal agama di negeri itu sebaliknya hanya mahu memastikan kesucian agama Islam dan masjid tidak dicemari oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab.
''Saya tidak berhajat langsung untuk mempertikaikan usul-usul agama di Pulau Pinang walaupun saya Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu.
''Saya telah mengadakan perbincangan dengan mufti di negeri-negeri lain yang mengatakan bahawa ini (menyebut nama Guan Eng) adalah di luar kebiasaan," katanya di sini malam tadi.
Menurut Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan, tindakan khatib terbabit, Zakaria Ahmad boleh mengeliru dan mencalar imej agama Islam.
Dalam masa sama katanya, beliau berharap Majlis Fatwa Kebangsaan akan dapat membuat satu keputusan rasmi berkaitan perkara tersebut.
Sementara itu, Zahid pada satu majlis lain di Kuala Lumpur meminta khatib dikaitkan dengan isu itu supaya membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dengan segera.
Menurut beliau, perbuatan Zakaria Ahmad yang tidak menghormati Yang di-Pertuan Agong tidak boleh dimaafkan begitu sahaja hanya kerana beliau sudah memberi penjelasan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang.
"Apa yang dilakukan oleh Zakaria tidak boleh dibiar dan dimaafkan begitu sahaja. Dia harus memohon ampun secara terbuka kepada Yang di-Pertuan Agong kerana dengan sengaja tidak menyebut nama baginda yang menjadi ketua negara dan ketua agama Islam.
Dalam pada itu, beliau turut menyelar sikap Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sebelum ini menafikan terdapat bacaan doa untuk Guan Eng semasa khutbah Jumaat.
"Pengakuan Zakaria dan lebih lima laporan polis dibuat berhubung kejadian itu membuktikan segala-galanya. Kami jelas dalam isu ini dan UMNO tidak mahu soal agama Islam terus dipolitikkan oleh kerana ia boleh menimbulkan keresahan rakyat," jelasnya.

Perkauman UMNO

Pertahan khatib doakan Guan Eng pendirian kolot Pas

KUALA LUMPUR 25 Ogos - Tindakan Dewan Pemuda Pas Pusat yang mempertahan khatib jemputan, Zakaria Ahmad mengenai doa yang dibacakan dalam khutbah Jumaat di beberapa masjid di Pulau Pinang merupakan pendirian kolot parti itu.
Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, tindakan Pemuda Pas tersebut hanya akan menyebabkan agama Islam terus dipandang mudah dan diperlekeh oleh masyarakat luar.
Katanya, Pemuda Pas tidak sepatutnya menyokong atau mengizinkan perkara yang berbau politik mempengaruhi jemaah di dalam masjid.
"Mereka tidak layak menentukan halal haram doa yang dibacakan Zakaria.
"Sebaik-baiknya biar Majlis Fatwa Kebangsaan membuat keputusan mengenai isu berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Dewan Pemuda Pas Pusat yang mempertahan Zakaria ketika mendoakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam khutbah Jumaat di beberapa masjid di negeri itu.
Menurut Reezal, tindakan Pemuda Pas mempertahankan Zakaria hanya merupakan pendirian yang berunsur politik semata-mata dan bukannya melibatkan hukum agama.
"Jika doa seumpama itu boleh dilakukan, kenapa ahli Pas di Kelantan tidak mendoakan musuh mereka dalam pakatan pembangkang, Karpal Singh, dalam khutbah Jumaat di semua masjid di negeri itu supaya menerima hukum hudud.
"Kita akan dapat tengok bagaimana reaksi rakyat Kelantan selepas perkara itu dilaksanakan," katanya.
Selain itu, katanya, banyak lagi tempat selain masjid boleh dijadikan tempat berdoa jika betul doa yang dibacakan Zakaria semata-mata untuk memohon kepada Allah supaya Guan Eng diberikan hidayah.

Kedutaan Indonesia dipanggil


KEDIAMAN rasmi Duta Besar Malaysia ke Indonesia di Jakarta Selatan dikawal rapi oleh anggota polis, semalam.


PUTRAJAYA 25 Ogos – Wisma Putra hari ini memanggil pegawai Kedutaan Besar Indonesia bagi memberi penjelasan berhubung tindakan sekumpulan rakyat negara itu melemparkan najis manusia dan memijak Jalur Gemilang ketika berdemonstrasi di depan kedutaan Malaysia di Jakarta, Isnin lalu.
Berikutan itu, kedutaan tersebut yang diwakili Timbalan Dutanya, Tatang B. Razak telah menemui Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman di Wisma Putra hari ini.
Ketika ini, Duta Besar Indonesia, Tan Sri Da’i Bachtiar berada di Jakarta setelah dipanggil pulang bagi memberi penjelasan mengenai isu demonstrasi tersebut yang kini dibincangkan dalam sidang Parlimen republik itu.
Dalam pada itu, Anifah berkata, dalam pertemuan dengan Tatang, Malaysia melahirkan rasa kesal dan mengecam sekeras-kerasnya perbuatan tersebut yang dianggap satu penghinaan kepada seluruh rakyat dan mencabar kedaulatan negara.
Katanya, tindakan sesetengah pihak di republik itu sengaja ingin merosakkan perhubungan dua hala yang begitu baik para pemimpin dan rakyat kedua-dua negara secara keseluruhannya.
“Apa yang dilakukan itu tidak mencerminkan budaya, kesopanan dan tatasusila.
“Demonstrasi yang turut diadakan di depan Konsulat Malaysia di Medan dan Pekan Baru telah mengguris hati dan perasaan rakyat Malaysia,” katanya pada sidang akhbar selepas pertemuan dengan Tatang.
Isnin lalu, demonstrasi yang disertai anggota Benteng Demokrasi Rakyat Malaysia (Bendera) bagi membantah penahanan tiga anggota penguat kuasa Indonesia oleh Pasukan Gerakan Marin Malaysia yang diadakan di depan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta menjadi kecoh.
Ini berlaku apabila segelintir penunjuk perasaan melemparkan najis manusia ke dalam bangunan kedutaan Malaysia selain memijak Jalur Gemilang.
Beberapa hari sebelum itu, demonstrasi juga diadakan oleh kumpulan dari Lumbung Informasi Rakyat (LIRA) dan Laskar Merah Putih (LMP).
LMP bertindak merosakkan plak nama kedutaan itu selain peserta memanjat pintu pagar dan bumbung pondok pengawal keselamatan di itu.
Perbuatan kumpulan LSM itu memaksa Kedutaan Besar Malaysia menghantar nota protes kepada Kementerian Luar Negeri Indonesia dan Polis Republik Indonesia kerana pihak polis gagal melindungi harta benda kedutaan itu daripada dirosakkan, selaras dengan perlindungan yang dinyatakan di bawah Konvensyen Vienna.
Menurut Anifah, tindakan kumpulan Bendera yang membuat ugutan mengusir rakyat Malaysia menimbulkan rasa kemarahan dan keresahan rakyat negara ini di republik itu.
Justeru, beliau menggesa republik tersebut mengambil tindakan terhadap mereka yang melakukan tindakan mengancam rakyat negara ini.
“Tindakan itu bukan sahaja mencemarkan nama baik Malaysia malah mencemar nama baik Indonesia hasil perbuatan yang begitu keji oleh segelintir golongan,” katanya.
Dalam pada itu Anifah berkata, Kuala Lumpur juga telah meminta Jakarta agar dapat memastikan keselamatan rakyat Malaysia yang berada di republik itu demi memelihara hubungan dua hala.
“Saya telah berhubung dengan Menteri Luar Indonesia, Marty Natalegawa untuk memastikan demonstrasi menghina rakyat negara ini dihentikan.
“Setakat laporan yang diterima daripada kedutaan Malaysia di Jakarta, tiada sebarang demonstrasi diadakan sehingga tengah hari ini,” katanya.