Wednesday, November 17, 2010

Saifuddin bohong: Zaid


Oleh Mohd Anwar Patho Rohman dan Syed Azwan Syed Ali

2010/11/17

KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim, berkata Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail melakukan pembohongan apabila mendakwa beliau menubuhkan parti baru sebelum memutuskan bertanding jawatan timbalan presiden parti. 

Zaid berkata, dakwaan Saifuddin kononnya beliau menjadi dalang utama atau menggunakan proksi bagi menubuhkan parti baru itu hanya cerita rekaan bertujuan memburukkan dirinya yang kebetulan akan keluar parti tidak lama lagi.Justeru, beliau menasihatkan semua pihak termasuk media tidak terpedaya dengan pembohongan Saifuddin kerana dakwaan itu tidak berasas dan tanpa disertakan bukti kukuh.
Nasihat saya kepada pemberita, jika budak (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) bercakap, pastikan (ada) maklumat lengkap kerana mereka dilatih berbohong. 

Apa nama parti itu dan siapa proksi saya pun tak tahu. Membuat tuduhan untuk memburukkan orang lain adalah kebiasaan Anwar. Saifuddin macam bos dia (Anwar), suka cakap bohong, katanya menerusi SMS kepada wartawan Berita Harian, semalam. 

Zaid mengulas dakwaan Saifuddin yang mendakwa beliau ialah individu dalam PKR yang bertanggungjawab terhadap rancangan menubuhkan parti baru serpihan PKR dan mengawalnya menerusi proksi. 

Saifuddin turut menyifatkan Zaid sebagai pemimpin PKR yang tidak konsisten dengan perjuangan untuk membawa perubahan dalam parti jika keluar PKR seperti dilaporkan media. 
Kelmarin, Zaid mengesahkan beliau akan keluar PKR tetapi belum menentukan waktu sesuai berbuat demikian, sebaliknya berjanji memberi penjelasan lanjut pada Jumaat ini. 

Mengulas lanjut kononnya menggunakan proksi bagi menubuhkan parti baru itu, Zaid berkata, beliau mempunyai hak untuk menentukan hala tuju perjuangan politiknya, termasuk dengan menubuhkan parti baru. 

Zaid bagaimanapun enggan mengulas berhubung kesediaan PAS menerima masuk sesiapa saja menjadi ahli parti itu termasuk beliau selepas keluar PKR. 

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM), Datuk Md Alias Kalil mengesahkan jabatan itu tidak menerima permohonan menubuhkan parti politik baru daripada mana-mana pihak mewakili Zaid. 

Beliau berkata, sehingga Oktober lalu ada 20 parti politik baru menunggu kelulusan untuk didaftarkan dan jumlah permohonan kekal sehingga semalam. 

Rumah Khir Toyo disita tak jelas penilaian




2010/11/17

SHAH ALAM: Banglo milik Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo di Sekysen 7 di sini, sekali lagi menjadi tumpuan semalam apabila Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyerahkan notis sita rumah selepas bekas Menteri Besar itu dikatakan tidak menjelaskan penilaian bagi rumahnya sejak tiga tahun lalu.

Bagaimanapun, Dr Mohamad Khir segera menjelaskan bayaran tertunggak itu kira-kira RM11,000 sebaik menerima notis berkenaan yang diserahkan kakitangan Unit Perolehan MBSA kepada seorang wanita di rumahnya kira-kira jam 10 pagi.Ketika dihubungi kemudian, Dr Mohamad Khir berkata, beliau tidak mene-rima sebarang notis daripada MBSA sejak kebelakangan ini, malah ketika notis sita rumah itu diserahkan, beliau tiada di rumah ketika itu.

"Saya sudah menyelesaikan bayaran ini. Ia hanya kes terlepas pandang dan saya harap ia tidak dijadikan isu," katanya.

Banglo milik Dr Mohamad Khir menjadi isu selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada DAP, Ng Suee Lim dilaporkan mendakwa kos pembinaan banglo termasuk pengambilan dua bidang tanah masing-masing berkeluasan 0.2 hektar dan 0.1 hektar bernilai kira-kira RM24 juta. 

Inap terbaring bersendirian


Oleh Muhammad Hatim Ab Manan

2010/11/16

INAP ditinggalkan bersendirian tanpa berpakaian menyuap sisa makanan di atas katil di rumahnya di Kampung Melekek Dalam, Alor Gajah, Melaka.
INAP ditinggalkan bersendirian tanpa berpakaian menyuap sisa makanan di atas katil di rumahnya di Kampung Melekek Dalam, Alor Gajah, Melaka.
Wanita 70 tahun ditinggalkan bogel di rumah usang

ALOR GAJAH: Seorang ibu berusia 70 tahun ditemui tinggal bersendirian dalam keadaan menyedihkan di sebuah rumah usang di Kampung Melekek Dalam, dekat sini, semalam, dipercayai ditinggalkan anaknya bagi tempoh agak lama. 

Warga tua malang ini didapati berbaring di atas sebuah katil daif tanpa dibaluti sebarang pakaian, manakala najisnya dilihat bertaburan di situ, selain keadaan persekitaran berbau busuk dan hancing serta sangat meloyakan.Seorang penduduk, Rahmat Sulong, 60, berkata wanita tua berkenaan yang dikenali sebagai Inap Aji, dibiarkan tinggal seorang diri dan hidup seperti itu oleh anaknya sejak kematian suami beliau beberapa tahun lalu.
"Beginilah keadaannya sepanjang masa dan beliau akan makan, minum dan buang air di tempat sama iaitu di katilnya. Sebab itu tempat ini berbau busuk dan hancing kerana wanita tua ini sudah tidak boleh bergerak lagi kerana terlalu uzur," katanya. 

Rahmat berkata, sebagai jiran dan penduduk kampung itu, beliau prihatin dengan nasib wanita tua berkenaan dan berharap satu tindakan segera diambil bagi membantunya supaya tidak terus menderita terbiar di situ dihurung lalat dan bau busuk. 

Katanya, wanita itu mempunyai seorang anak perempuan yang sudah berkeluarga dan melawatnya selang beberapa hari dengan membawa makanan. 

"Kami sebenarnya sudah bertemu wanita ini dan berbincang berhubung nasib ibunya tetapi tidak mendapat maklum balas positif, malah kami juga pernah mengajukan masalah ini kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi mendapat bantuan dan ia tetap tidak berhasil. 
"Mengikut JKM, wanita tua ini mempunyai pencen sebagai tukang sapu, manakala anak tunggalnya itu bekerja. Disebabkan itu, wanita berkenaan dikatakan tidak dapat dibantu walaupun Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sudah berusaha ke arah itu. 

"Jadi, sampai bila wanita tua ini terus hidup dalam berkeadaan seperti ini? JKM sepatutnya menghulur bantuan termasuk membawanya ke pusat jagaan sesuai supaya kehidupannya lebih terurus," katanya. 

Sementara itu, tinjauan lanjut mendapati bahagian dalam rumah kayu itu dibiarkan tidak berkunci, selain keadaan dalam rumah berselerak, manakala lampu bilik menyala sepanjang masa oleh anak warga tua berkenaan. 

Solat dekat sampah


Oleh Fazurawati Che Lah

2010/11/16

PENGGUNA tidak selesa melihat longgokan sampah di surau Pasar Segar Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Tumpat.
PENGGUNA tidak selesa melihat longgokan sampah di surau Pasar Segar Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Tumpat.
Surau di Pasar Segar KADA dipenuhi bahan buangan

TUMPAT: Busuk dan meloyakan. Itulah gambaran di sekitar surau di Pasar Segar Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), di sini yang kotor serta meloyakan jemaah ketika mahu mengambil wuduk dan menunaikan solat. 

Lebih menyedihkan apabila kawasan berhampiran surau berkenaan yang menjadi lokasi perniagaan ditimbuni sampah sarap, masalah longkang menjadi saluran sisa kumbahan dari restoran berdekatan.Tinjauan Berita Harian ke lokasi berkenaan mendapati keadaan surau itu begitu kotor dengan keadaan longkang busuk serta dipenuhi lalat sehingga mengganggu jemaah menunaikan solat dengan selesa.
Peniaga, Khairi Hassan, 40, berkata surau berkenaan penting kepada peniaga di Pasar Segar KADA untuk menunaikan solat Asar dan Maghrib berikutan kebanyakan peniaga di kawasan itu memulakan perniagaan pada jam 3 petang. 

“Setiap kali solat Asar dan Maghrib, kami terpaksa menggunakan surau ini kerana sukar untuk meninggalkan kedai dalam tempoh lama, hanya surau ini saja yang dekat dan disediakan KADA," katanya ketika ditemui baru-baru ini. 

Beliau berkata, terdapat juga pelanggan yang datang untuk menunaikan solat Asar terpaksa membatalkan hasrat masing-masing kerana tidak tahan dengan bau dan keadaan persekitaran surau yang terlalu kotor. 

Katanya, musim hujan yang berlaku ketika ini turut memburukkan keadaan kerana kawasan berdekatan pasar dan ditimbuni sampah sarap menjadi lembab sehingga mengundang bau busuk. 
“Setiap kali berwuduk, kami terpaksa menghidu bau yang meloyakan kerana paip air berdekatan dengan saluran longkang yang tersumbat, tetapi kami tidak mempunyai pilihan selain bersabar dan menahan nafas,” katanya. 

Peniaga, Abdul Aziz Omar, 49, berkata kesedaran terhadap kepentingan menjaga kebersihan terlampau rendah di kalangan peniaga di pasar berkenaan walaupun pihak berkuasa menyediakan tong sampah di luar pasar berkenaan. 

“Kebanyakan peniaga mengambil mudah dengan apa yang dilakukan seperti membuang sampah merata-rata, kita bimbang jika mereka tidak berubah sikap ia akan menyebabkan pelanggan lari disebabkan tidak tahan dengan bau busuk dan masalah kebersihan," katanya. 

Beliau berharap pengurusan pasar melantik pekerja untuk menjaga kawasan surau dan tandas agar kebersihan terjamin dan memberi keselesaan kepada jemaah. 

MB Kedah tarik balik larangan media cetak arus perdana





2010/11/17

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak semalam menarik semula larangan terhadap media cetak arus perdana untuk membuat liputan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dan aktiviti kerajaan negeri. 

Bagaimanapun, kerajaan negeri masih mengekalkan sekatan itu terhadap dua stesen media elektronik sehingga tempoh tertentu.Beliau berkata, penarikan semula larangan itu dibuat selepas pihaknya membuat penelitian dan mendapati laporan oleh akhbar arus perdana termasuk akhbar tidak keterlaluan dan masih bersifat mengkritik kerajaan yang ditadbirnya.
Bagaimanapun katanya, larangan terhadap dua stesen televisyen iaitu TV3 dan RTM masih dikekalkan berikutan beberapa laporan yang didakwanya lebih bersifat provokasi serta tidak tepat terhadap kerajaan negeri Kedah. 
Media cetak boleh buat liputan macam biasa seperti sebelum ini, tetapi untuk TV3 dan RTM ia (larangan) masih dikekalkan hingga tempoh tertentu. 

Kita lihat dulu keadaannya macam mana selepas itu kita akan buat keputusan bila kita rasa sesuai, katanya pada sidang media di Wisma Negeri di sini, petang semalam. 

Azizan berkata, sebagai Menteri Besar beliau sedia menerima kritikan mengenai pentadbirannya daripada media, asalkan ia berlandaskan asas berita tepat dan jelas. 

Putera William berkahwin dengan kekasih tahun depan


GAMBAR bertarikh 23 Oktober lalu menunjukkan Putera William dan kekasihnya, Kate Middleton meninggalkan majlis perkahwinan rakan mereka di Kampung Northleach, England.


LONDON - Pewaris kedua takhta Britain, Putera William yang bertunang dengan kekasihnya, Kate Middleton akan berkahwin pada musim panas tahun depan di London.
Perkahwinan diraja itu telah ditunggu-tunggu oleh rakyat Britain sejak bertahun-tahun lalu.
Pengumuman itu yang dibuat oleh beberapa pegawai istana semalam sekali gus menamatkan pelbagai spekulasi mengenai hubungan mereka.
Putera William dan Middleton berkenalan lebih lapan tahun lalu semasa mereka belajar di Universiti of St. Andrews di Scotland.
Menurut kenyataan pejabat bapa Putera William, Putera Charles, pewaris kedua takhta Britain itu bertunang dengan Midlleton pada bulan lalu semasa mereka bercuti di Kenya, Afrika.
Perdana Menteri, David Cameron berkata, beliau gembira dengan berita perkahwinan itu.
Putera William pernah memberitahu bahawa beliau tidak akan berkahwin sehingga umurnya mencecah 28 tahun atau 30 tahun.
Beliau berumur 28 tahun pada Jun lalu dan baru-baru ini cucu pemerintah Britain, Ratu Elizabeth II itu selesai menjalani latihan dengan pasukan penyelamat Tentera Udara Diraja sebagai juruterbang.
Putera William merupakan anak sulung daripada dua anak mendiang Puteri Diana dengan Putera Charles. Putera Charles merupakan pewaris pertama takhta Britain.
Keluarga diraja Britain dikatakan mengiktiraf hubungan antara Putera William dengan Middleton.
Middleton merupakan anak perempuan seorang jutawan.
Bapa gadis itu pernah bekerja dengan sebuah syarikat penerbangan manakala ibu Middleton menjadi seorang pramugari sebelum mereka memulakan perniagaan menghantar barang terutamanya untuk parti kanak-kanak.
Middleton kini bekerja menguruskan perniagaan ibu bapanya.
Beberapa penganalisis meramalkan bahawa perkahwinan diraja itu akan diadakan pada musim panas bagi mengelak bertembung dengan penganjuran Sukan Olimpik dan Jubli Intan Ratu Elizabeth II yang akan berlangsung pada 2012. - Agensi

Kucing hidup 13 hari di atas pokok kelapa


IBRAHIM menyerahkan 'Bong' kepada Zakri (kanan) selepas menyelamatkan kucing itu di Kangar semalam.


KANGAR – Seekor kucing betina yang masih hidup selepas 13 hari terperangkap di atas pokok kelapa setinggi 30 meter akhirnya diselamatkan oleh seorang pengutip buah kelapa di Kampung Alor Merus dekat sini semalam.
Sebelum ini, dua agensi penyelamat gagal menurunkan kucing putih yang diberi nama ‘Bong’ itu memandangkan tiada tangga yang dapat mencapai paras pokok setinggi bangunan sembilan tingkat itu.
Pemilik kucing, Zakri Mat, 36, berkata, ‘Bong’ cuba lari daripada arus deras banjir yang menenggelamkan kampung itu pada 3 November lalu dengan memanjat bumbung rumah.

Jemaah haji mula melontar jamrah



RIBUAN jemaah melontar batu di salah satu jamrah yang merupakan tugu batu di Mina semalam.


MINA, Arab Saudi - Hampir tiga juta jemaah haji semalam melontar batu di tiga tugu batu sebagai simbol merejam syaitan di sini.
Hari pertama melontar batu itu diadakan pada Hari Raya Aidiladha yang disambut di Arab Saudi semalam awal sehari dari Malaysia.
Selepas melontar batu, sebahagian jemaah membeli baucer untuk membolehkan seekor biri-biri disembelih dan dagingnya diedarkan kepada penduduk miskin.
Hari melontar di tiga jamrah itu diadakan selama tiga. musim haji berakhir pada Ahad ini.
Sementara itu, umat Islam di beberapa negara lain seperti di Greece, Belarus, Bosnia, Bangladesh, Palestin, Iraq, Pakistan selain beberapa tempat di Indonesia menyambut hari raya korban semalam.
Penganut Islam di negara-negara itu menyembelih kambing dan lembu bagi mengingati kisah Nabi Ibrahim yang akur dengan perintah Tuhan supaya menyembelih anaknya, Nabi Ismail.
Namun, semasa melakukan sembelihan Tuhan menggantikan tempat Nabi Ismail itu dengan seekor kibas. - Agensi