BREGA (Libya): Pesawat pemerintah telah menyerang bandar Brega yang ditawan pemberontak semalam, mencetuskan kebimbangan tentang kemungkinan penyokong rejim Encik Muammar Gaddafi akan meningkatkan serangan, sedang mahkamah dunia mengumumkan satu penyiasatan ke atas pemimpin Libya itu atas jenayah kemanusiaan.
Dengan ribuan orang melarikan diri daripada tindakan kejam ke atas pemberontakan, pemindahan pelarian telah dimulakan semalam bagi menyelamatkan lautan manusia yang terkandas di sempadan Tunisia-Libya, kata seorang koresponden.Sehari selepas Encik Gaddafi memberi amaran supaya pihak Barat tidak campur tangan, menteri pertahanan Belanda semalam mengumumkan bahawa tiga anggota marinnya telah ditawan askar Libya ketika cuba membantu memindahkan pelarian dari bandar Sirte.Sementara itu dunia menggesa agar tindakan segera diambil bagi menghalang Gaddafi daripada menggunakan pesawat perang ke atas rakyatnya sendiri dan para pelarian di sempadan.Di Caracas, para pegawai berkata Presiden Venezuela, Encik Hugo Chavez, dan Encik Gaddafi mengadakan rundingan mengenai rancangan bagi satu misi pengaman untuk menangani krisis di Libya. Namun tiada butir-butir diberi mengenai rundingan kedua-dua sekutu rapat itu.Di bandar perairan Brega, penduduk yang ketakutan melengkapkan diri dengan senapang-senapang antipesawat dan memasang mesingan pada pikap selepas satu pesawat Libya melepaskan dua butir bom semalam berhampiran sebuah pusat menapis minyak.Serangan bom itu mencetuskan kebimbangan bahawa pasukan prorejim Encik Gaddafi akan memperhebat serangan bagi menawan kembali pelabuhan minyak yang terletak 200 kilometer ke barat daya Benghazi.Di Benghazi pula, seorang jurucakap pemberontak berkata: 'Hari ini nampaknya Gaddafi memperkuat pasukannya dengan askar upahan. Para saksi telah melihat askar-askar (dan askar upahan Chad) bergerak ke arah Raslanuf. Kami hendak lihat sama ada mereka menyerang atau membuat barisan pengukuh sebelum sampai Sirte.'Raslanuf terletak kira-kira 100 kilometer ke barat Brega. Sirte pula lebih jauh di barat ke arah Tripoli, kubu kuat Encik Gaddafi.Sementara itu, pendakwa raya Mahkamah Jenayah Antarabangsa di Hague semalam berkata Encik Gaddafi dan para pembantu kanannya akan disiasat berhubung tuduhan mereka telah melakukan jenayah kemanusiaan ketika cuba menghapuskan pemberontakan di negaranya. -- AFP. Cyberita Online Luar Negara