Monday, September 29, 2014

Cermin Gelap: Peraturan baru mulai 1 Nov


HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Peraturan baharu bagi penggunaan cermin gelap kenderaan akan mula dikuatkuasakan pada 1 November ini.

Peraturan baru ini mensyaratkan kadar ketelusan cahaya  bagi cermin hadapan sebanyak 70 peratus; sisi pemandu (50 peratus) dan masing-masing 30 peratus untuk sisi penumpang belakang dan bahagian belakang.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Ismail Ahmad berkata, peraturan baru tersebut adalah mengikut piawaian antarabangsa.

Menurut beliau, kesemua rakyat Malaysia tertakluk kepada peraturan baharu tersebut kecuali beberapa pihak yang diberi pengecualian atas alasan kukuh.

"Pengecualian diberikan kepada Yang diPertuan Agong, Perdana Menteri dan Timbalannya, Ketua Menteri, Menteri Besar, Ketua Hakim dan Menteri.

"Begitu juga dengan jabatan berisiko tinggi seperti Polis DiRaja Malaysia dan Kastam DiRaja Malaysia yang melakukan operasi berbahaya," katanya.

- HARAKAHDAILY 29/9/2014

Pengkalan Kubor: Nilai apakah yang BN lakukan


HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Jabatan Pilihanraya Pemuda PAS Perak merakamkan jutaan tahniah kepada seluruh jentera yang bertungkus lumus berusaha merebut kerusi Dun Pengkalan Kubor dalam pilihan raya kecil tempoh hari.

Khasnya kepada jentera daripada negeri Perak dari semua kawasan yang telah turun secara berperingkat mengikut jadual yang telah diberikan.

Walaupun tidak memperoleh kemenangan, namun ianya adalah permulaan baik bagi PAS untuk mengorak langkah dan memandang ke hadapan terhadap masa depan PAS di Pengkalan Kubor, kata Pengarah Jabatan Pilihan raya Pemuda PAS Perak, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar.

"Walaupun kita dibahangi dengan suasana muktamar namun jentera PAS tidak dilihat pincang apabila seluruh tenaga di semua peringkat sama ada ulamak, pemuda, muslimat termasuklah dewan himpunan turun membantu kempen," ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, mereka mengerah seluruh jentera dari seluruh negara menggerakkan gerak kerja pilihan raya sejak awal lagi hingga ke hari pembuangan undi.

Baginya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah memilih tarikh yang tidak sesuai atau sengaja apabila dalam masa yang sama muktamar PAS sedang bersidang yang melibatkan semua jentera di seluruh negara.

"Namun begitu, kami menggesa PAS membuat 'post-moterm' bagi menilai keputusan yang telah diperoleh seterus melihat, menilai serta mengenal pasti kekurangan yang ada," katanya.

Beliau berkata, PAS perlu kenal pasti punca kenapa majoriti yang diperoleh oleh BN meningkat sedangkan kali ini PAS yang bertanding oleh kerana sebelum ini 'alasan' kekalahan yang kedengaran adalah kerusi tersebut ditandingi oleh PKR.

"PAS juga perlu memastikan apakah strategi yang diguna pakai dalam pilihan raya tersebut berkesan di samping menilai apa yang dilakukan oleh BN untuk kita aplikasikan serta tambah baik selepas ini," ujarnya lagi.

Pihaknya yakin, Jabatan Pilihanraya PAS Pusat mengambil serius dengan keputusan yang ada bagi menilai prestasi jentera parti serta penerimaan rakyat terhadap gerak kerja yang jentera lakukan. -HARAKAHDAILY 29/9/2014

Kisah Balu Anak 4 Abiskan RM3 Juta Duit Pampasan Kematian Suami Dalam Tempoh 2 Tahun!


Berikutan kematian suaminya ketika sedang bekerja dua tahun lalu, seorang wanita, Pusparani Mohan, 34, telah menerima pampasan daripada majikan suaminya SERTA wang insurans yang secara keseluruhannya berjumlah hampir USD 1 juta (RM3.2 juta). Namun, apa yang dikesalkannya kini wang pampasan tersebut sudah habis dibelanjakan hanya dalam tempoh masa selama dua tahun sahaja.
puspa-700x397 (1)

Sehubungan itu, Pusparani kini sedang dalam usaha untuk mencari pekerjaan semula demi menyara kehidupannya dan empat cahaya mata yang kini menetap di Skudai, Johor. Selepas mendapat pampasan tersebut, Pusparani telah berhenti kerja sebagai tukang cuci di Lapangan Terbang Changi, Singapura, di mana mendiang suaminya, Chandra Mogan Panjanathan juga bekerja di situ sebelum ini.
“Saya telah melakukan kesilapan. Orang tahu saya banyak duit ketika itu dan ramai datang kepada saya pada masa itu. Sepanjang masa itu, saya tidak membeli rumah dan menghabiskan wang untuk kegunaan anak saya dan ianya merupakan satu tindakan yang kurang bijak,” katanya memetik The Sunday Times.
Menurut Pusparani, dia memberikan sedikit wang pampasan tersebut kepada keluarga terdekatnya yang tinggal di Kedah dan selebihnya menggunakannya dengan bercuti di Genting Highlands bersama keluarga.
Selain itu, dia juga mengeluarkan USD400 ribu (RM1.2 juta) untuk membantu perniagaan pengangkutan yang dijalankan oleh abangnya. Namun perniagaan tersebut akhirnya melingkup dalam masa empat bulan.
Demi menampung kehidupan mereka sekeluarga, Pusparani kini bekerja sebagai kerani akaun di Johor Bahru dengan pendapatan sebanyak RM2,000 sebulan. Pusparani juga menyewa sebuah rumah teres dua tingkat yang mana sewanya dibayar oleh majikannya yang bersimpati dengan nasibnya.
Mereka lima sekeluarga tidur di atas dua tilam lama sementara dilonggokan di lantai bilik kerana tidak mampu membeli almari untuk menyimpan kesemua pakaian-pakaian tersebut. Pusparani juga terfikir untuk kembali bekerja di Singapura kerana berasakan gajinya tidak mencukupi untuk menampung kehidupan mereka anak beranak.

Sumber: Aans1

12 Terbunuh Sejak Gencatan Senjata Dicabuli Di Timur Ukraine


Diterbitkan: Isnin, 29 September 2014 5:52 PM
Tentera Ukraine ketika membuat pemantauan menggunakan kereta kebal. Foto EPA

KIEV: Sembilan tentera Ukraine dan sekurang-kurangnya tiga orang awam terbunuh di timur Ukraine apabila gencatan senjata yang dipersetujui dicabuli.
Persetujuan gencatan senjata itu antara tentera Ukraine dan puak pemberontak pro-Rusia pada awal bulan ini.
"Sembilan tentera terbunuh dan 27 lagi cedera," kata jurucakap Majlis Pertahanan dan Keselamatan Kebangsaan Ukraine, Andriy Lysenko.
Beliau menambah, anggota tentera Ukraine terbunuh apabila pemberontak memusnahkan kenderaan berperisai mereka. - AFP

Umno kepada Alvin: Jangan terlalu kurang ajar


Alvin Tan
Alvin Tan
KUALA LUMPUR -  Pemuda Umno mengecam perbuatan biadab blogger kontroversi, Alvin Tan menghina pemimpin negara termasuk Perdana Menteri dengan kata-kata kesat dan memaki Umno dalam laman sosial Facebook.

Exco Pemuda Umno, Nazir Hussin Akhtar Husin berkata, perbuatan lelaki itu bukan sahaja sangat keji dan tidak bermoral, malah boleh memudaratkan rakyat di negara ini.

“Ini antara sebab utama mengapa kerajaan tidak perlu memansuhkan Akta Hasutan atau perlu menggubal akta yang sesuai bagi menangani perilaku manusia biadab seperti Alvin Tan ini,” katanya.

Nazir yang juga Ketua Pemuda Umno Titiwangsa berkata, perilaku manusia keji ini mungkin kerana tiada didikan sempurna di rumah terutama tentang tanggungjawab dan semangat cintakan negara.

“Ini amaran keras dari Pemuda Umno kepada Alvin, berani buat berani tanggung. Jangan melarikan diri dan menyorok di luar negara. Kalau berani, balik semula ke Malaysia dan ulangi balik kata-kata itu,” katanya.

Beliau berkata, perbuatan Alvin ini adalah contoh kejayaan parti pembangkang khususnya DAP dalam memupuk kebencian terhadap pemimpin negara dan menyemai benih perkauman.

“Mereka (DAP)  sering membuat provokasi sehingga menyebabkan ada generasi muda yang tidak lagi hormatkan pemimpin, malah melahirkan generasi yang kurang ajar seperti Alvin,” katanya.

Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee memberi amaran kepada Alvin supaya jangan bersikap terlalu kurang ajar.

Beliau berkata, mana-mana pihak yang tidak bersetuju dengan undang-undang dan peraturan negara, ada hak untuk meninggalkan negara ini.

“Jangan biadab dan tolong hormat kontrak sosial yang telah dimeterai dalam Perlembagaan Persekutuan 1957 yang dirangka untuk tujuan menyelesaikan kepentingan semua kaum di negara ini,” katanya.

Menurut Syed Ali, tindakan Alvin itu jelas menghina institusi Umno dan sememangnya satu tindakan yang biadab.

Katanya menghina pemimpin yang merupakan Perdana Menteri memang tidak boleh dibiarkan.

Beliau meminta  Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil tindakan paling tegas termasuk melucutkan kerakyatan mana-mana pihak yang tidak menghormati undang-undang negara ini.

“Sebagai rakyat Malaysia memang kita ada hak untuk menyuarakan pandangan. Tapi kalau pandangan yang diberikan jelas menghina, menghasut atau tidak menghormati kontrak sosial negara ini, memang tidak boleh dimaafkan.

“KDN kena bertindak segera dan hadapkan Alvin Tan ke muka pengadilan. Ini bagi mengelakkan perkara yang sama berulang pada masa depan,” kata Syed Ali.

Dua Adun Pas berdepan Lembaga Disiplin esok


Dua Adun Pas berdepan Lembaga Disiplin esokSHAH ALAM – Dua Adun Pas, Adun Morib, Hasnul Baharuddin dan Adun Hulu Kelang, Saari Sungib akan dihadapkan ke Lembaga Disiplin Pas esok.

Memetik laporan sebuah portal, Saari menjelaskan, beliau dan Hasnul telah dipanggil oleh Lembaga Disiplin untuk menjelaskan tindakan mereka yang didakwa telah membelakangkan parti.

Saari bagaimanapun bertegas, tidak akan meninggalkan Pas meskipun tindakannya yang menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor dianggap wira oleh DAP.

“Kalau jawatankuasa (disiplin) itu adil, berilmu dan objektif, tidak dipengaruhi selain daripada untuk menegakkan keadilan dan kebenaran, saya akan tetap jadi ahli (Pas),” katanya.

Semalam, Hasnul menyatakan kesediaannya untuk bertanding pada PRU akan datang atas tiket DAP, manakala Saari pula mengeluarkan kenyataan untuk bertanding sebagai calon Bebas sekiranya disingkir Pas.

Hasnul menegaskan bahawa beliau sudah bersedia untuk menerima apa sahaja keputusan dan tindakan tatatertib yang bakal dikenakan oleh pimpinan Pas Pusat.

[ARTIKEL BERKAITAN: Isu Adun Pas: Tindakan tatatertib dalam masa terdekat]

Alvin dicabar pulang segera jika benar anak jantan


Alvin Tan
Alvin Tan
JOHOR BAHRU - Pemuda Umno Bahagian Pulai bersama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis terhadap Alvin Tan yang secara terang-terangan mengutuk dan mengaibkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar di akaun Facebook miliknya.

Exco Pemuda Umno, Sheikh Nafiq Alfirdaous Sheikh Abd Rahman berkata, tindakan blogger yang pernah mencetuskan beberapa isu sensitif dilihat semakin melampau dan biadab.

Beliau berkata, polis dan Pejabat Peguam Negara perlu segera menyiasat tindakan tidak bertamadun itu dan membawa Alvin yang kini melarikan diri ke Amerika Syarikat ke muka pengadilan.

"Pemuda Umno dan NGO belia di Parlimen Pulai mahu polis dan Peguam Negara mengambil tindakan serius dan segera bagi menangani gejala yang amat membahayakan itu.

“Perkara ini jika tidak dipandang serius, bakal mencetuskan satu budaya kotor yang boleh membangkitkan suasana haru- biru di negara ini,” katanya ketika membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara, semalam.

Sheikh Nafiq, yang juga Ketua Pemuda Umno Bahagian Pulai, turut mencabar Alvin pulang ke Malaysia dan bersemuka dengan Pemuda Umno daripada menjadi pengecut dan hanya membuat tindakan keji melalui laman sosial di luar negara.

"Kalau dia anak jantan, balik segera ke negara ini dan kami (Pemuda Umno) sedia bersemuka serta tidak gentar mendengar cacian atau kutukan secara berdepan.

"Jangan jadi bacul dengan menjadikan laman maya sebagai medan untuk berlagak berani," katanya.

Bekas MB Selangor sedia disiasat

BEKAS Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. - Foto Fail NSTP/ Roslin Mat Tahir
SHAH ALAM: Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, beliau sedia disiasat mana-mana pihak seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung segala penjanjian yang ditandatangani ketika memegang jawatan itu.
Beliau berkata ini termasuk perjanjian berkaitan penstrukturan semula industri air Selangor dan pembangunan di Canal City.
"Saya mengalu-alukan semua pihak termasuk SPRM untuk menyemak dan menyiasat semua perjanjian yang ditandatangani semasa saya menjadi Dato' Menteri Besar Selangor," katanya dalam catatan di laman Facebook beliau hari ini.
Menurut Abdul Khalid, peguamnya akan mengeluarkan kenyataan penuh berhubung hal itu dalam masa terdekat.
Sebelum ini, Menteri Besar Selangor yang baharu Mohamed Azmin Ali berkata beliau akan mengkaji semula perjanjian-perjanjian kerajaan negeri yang diluluskan ketika pentadbiran Abdul Khalid termasuk berkaitan konsesi air, Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex) dan pemberian kenaikan elaun menteri besar. - BERNAMA

PAS jadi mangsa buli DAP - Nik Mohamad Abduh


KUALA LUMPUR : Seorang pemimpin PAS hari ini mendakwa partinya kini menjadi mangsa buli sekutunya, DAP dan terdapat usaha bagi membakar sentimen penyokong Pakatan Rakyat supaya membenci PAS.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz, berkata adalah menjadi satu kerugian besar kepada Pakatan Rakyat andai DAP yang menyokong PKR terus membuli PAS.
"Mungkin susah DAP nak terima. Tapi pada saya, bila PAS tukar angin, PAS marah pada DAP, saat itu DAP akan rugi. DAP akan rugi lama. Mungkin undi Cina dan India akan bertukar.
"Mereka jadi cuak dengan DAP. Mereka rakyat yang mahukan keamanan, kebenaran dan setia kawan dalam kehidupan. Itu pandangan saya. DAP akan rugi lama jika PAS marahkan DAP," katanya menerusi entri terbaru dalam laman Fecebooknya yang dimuat naik awal pagi ini.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz. - Foto Farizul Hafiz Awang
Nik Abduh mendakwa ada pemimpin DAP yang menyatakan bahawa PAS akan dihukum rakyat berikutan isu Selangor yang sehingga kini masih tidak menentu.
Malah, Ahli Parlimen Pasir Mas itu turut menempelak sekutunya yang seolah-olah terlalu gembira dan megah bila mendapat kuasa.
"Gembira dan megah sangat bila sudah ada kuasa. Maklumlah, lama jadi pembangkang bersama PAS, baru penggal lepas DAP mula dapat kuasa memerintah, sedangkan PAS yang hidupnya sering dibuli sudah lama berkuasa di Kelantan dan Terengganu," katanya.
Biarpun PAS sentiasa dibuli, katanya, parti itu tetap berjaya dalam hidupnya serta memenangi banyak pilihan raya dan memerintah beberapa negeri.
Beliau menjelaskan PAS juga parti yang tidak akan terkubur kerana nyawa dan ideologinya adalah Islam, malah sehingga kini masih belum kelihatan pengganti yang sesuai untuk meneruskan perjuangan PAS.
Kenyataan Nik Abduh itu merujuk kepada beberapa keadaan malang yang ditimpa PAS termasuk isu pengurangan jawatan EXCO Selangor yang diberi kepada PAS serta penggantungan tugas seorang Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) yang juga Bendahari PAS Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim.

Dua ADUN PAS yang didakwa sokong Wan Azizah akan temui pucuk pimpinan esok

AHAD, 28 SEPTEMBER 2014 @ 9:40 PM

 
KUALA LUMPUR: Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS yang didakwa membelakangi parti kerana menyokong pencalonan Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor akan menemui pucuk pimpinan parti itu esok.

ADUN Morib, Hasnul Baharuddin mengesahkan beliau dan ADUN Hulu Kelang, Saari Sungib dipanggil untuk menemui Setiausaha Agung parti, Datuk Mustafa Ali bertujuan menjelaskan tindakan yang diambil mereka termasuk menandatangani akuan bersumpah.

"Itu hanya pertemuan tidak rasmi dengan Setiausaha Agung," katanya ketika dihubungi.

Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan lokasi pertemuan itu.



Mustafa yang dihubungi mengesahkan pertemuan itu.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut, sekadar menyatakan pertemuan itu sebagai tertutup.

Bayi 10 bulan melecur di punggung dipercayai didera pengasuh

MELAKA: Seorang bayi perempuan berusia 10 bulan melecur di bahagian punggung dipercayai didera pengasuh di sebuah rumah di Bertam Hulu di sini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, kejadian itu disedari ibu bayi tersebut, berusia 30-an ketika menukar lampin pakai buangnya sebaik tiba di rumah mereka di kawasan perumahan berhampiran pada 8.30 malam, Selasa lepas.
Beliau berkata, bayi berkenaan tidak henti menangis ketika diambil dari rumah pengasuh tersebut bersama seorang lagi anak perempuannya berusia 10 tahun, sejam sebelumnya.
"Pada mulanya ibu dan bapa bayi tersebut tidak mengesyaki sebarang kejadian menimpa anaknya sehingga ibunya melihat kesan melecur teruk di kedua-dua belah punggung mangsa," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini, hari ini.
Katanya, bayi itu kemudian dibawa ke klinik berdekatan untuk mendapatkan rawatan sebelum dirujuk ke Hospital Melaka dan masih dirawat di hospital tersebut.
Raja Shahrom berkata, bapa bayi itu yang berusia 30-an membuat laporan di Balai Polis Tanjung Minyak pada Rabu lepas.
Katanya, polis menahan pengasuh berusia 30 tahun terbabit di rumahnya pada 2.40 petang hari sama bagi membantu siasatan dan dibebaskan dengan jaminan polis keesokan harinya.
Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Musim haji tiba lagi


Mulai 3 Oktober depan, hampir dua juta penganut Islam akan mula melaksanakan ibadah itu, mengikut jejak Rasulullah (SAW) yang mula dilakukan lebih 1,400 tahun lalu.
“Ini umpama mimpi yang indah.
Saya tidak akan dapat melupakannya,” kata jemaah dari Iraq, Kazim Ibrahim, 69, sebaik tiba di Makkah.
Musim haji tahun ini hadir dengan masyarakat Islam di seluruh dunia terpaksa berdepan dengan masalah besar yang dicetuskan oleh kumpulan yang menamakan diri mereka ‘Negara Islam’ (IS).
Arab Saudi dan empat negara Arab lain menyertai Washington melancarkan serangan udara di Syria, menyasarkan kumpulan itu yang beberapa bulan lalu mengisytiharkan pemerintahan khalifah di Iraq dan Syria dan melakukan keganasan melampau.
Menteri Luar Saudi, Saud al-Faisal mengecam IS kerana keganasan mereka dan menuduh kumpulan itu mencemarkan imej Islam dan penganutnya.
Dalam pada itu, Arab Saudi yang kaya dengan minyak dan memiliki dua tempat paling suci umat Islam, turut terbabit dalam ‘peperangan’ berbeza untuk melindungi jemaah haji daripada dua virus berbahaya, Ebola dan Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS).
Menurut rekod, lebih 6,200 orang di barat Afrika dijangkiti wabak Ebola dan hampir separuh daripada mereka sudah meninggal dunia.
Pada masa sama, Arab Saudi menjadi negara paling teruk berdepan dengan MERS.

Minggu lalu, seorang lelaki berusia 27 tahun mati kerana penyakit itu di Taif, 80 kilometer ke timur Makkah.
Dia mangsa ke 317 wabak itu sejak MERS mula dikesan pada September 2012.
Dengan sebegitu ramai orang berkumpul di kawasan terhad pada masa yang singkat, ia mencetuskan kebimbangan mengenai kemungkinan wabak itu akan merebak dengan lebih mudah.
Bagaimanapun, pihak berkuasa Arab Saudi sudah bersedia menanganinya.
Pemangku Menteri Kesihatan, Adel Fakieh, dalam satu kenyataan berkata, pihaknya sudah mewujudkan pusat kawalan dan pemantauan bagi menangani isu kesihatan yang mungkin timbul pada musim haji ini.
Pusat berkenaan menempatkan lapan pakar perubatan untuk merawat jemaah yang terkena serangan sakit jantung dan penyakit kritikal lain sebaik mereka mendarat di Lapangan Terbang King Abdul Aziz, Jeddah.
Foto
PEMANDANGAN berhampiran Kaabah ketika jemaah haji menunaikan Solat Jumaat baru-baru ini.
Foto
PASUKAN keselamatan Saudi mengawal keselamatan jemaah haji.

Pengarah perubatan di lapangan terbang itu, Fouad Hussain Sindi pula berkata, pusat berkenaan turut mewujudkan 15 bilik kuarantin untuk menempatkan mereka yang disyaki dijangkiti Ebola atau MERS.
Bagaimanapun, sehingga ini, tidak sampai 30 orang dimasukkan ke bilik itu sebagai langkah berjaga-jaga sebelum dibenar meneruskan perjalanan ke Tanah Suci.
“Belum ada jemaah yang disahkan menghidap Ebola atau MERS,” kata Fouad ketika dihubungi.
Sebagai langkah berjaga-jaga juga, Arab Saudi tidak mengeluarkan visa kepada rakyat tiga negara paling teruk dilanda Ebola - Guinea, Liberia and Sierra Leone.
Selain lapan pakar perubatan, 640 doktor, juruteknik perubatan dan kakitangan lain juga ditugaskan di lapangan terbang berkenaan.
Berbanding dengan kejadian buruk sepanjang musim haji lalu yang menyaksikan kematian akibat bersesak-sesak, kebakaran dan kejadian yang membawa maut, musim haji sejak beberapa tahun kebelakangan ini hampir bebas daripada insiden buruk - hasil daripada projek keselamatan bernilai berbilion ringgi yang dilaksanakan pihak berkuasa Saudi.
Tahun ini, 70,000 anggota keselamatan akan dikerah mengawal keselamatan sepanjang lima hari pelaksanaan ibadah itu.- AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/29

'Buru Alvin hingga ke lubang cacing'



DARI KIRI: Alvin Tan, Khalid Abu Bakar
KUALA LUMPUR 28 Sept.- "Kita akan cari dia hingga ke lubang cacing sekalipun."
Itu tegas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar ketika diminta mengulas mengenai tindakan yang sedang dilakukan pihak polis terhadap penulis blog kontroversi, Alvin Tan yang semakin biadab memuat naik status dan gambar di laman sosial Facebook miliknya yang dilihat cuba memalukan beberapa pemimpin negara.
Menurut Khalid, kenyataan berbaur menghina serta mencabar pihak berkuasa itu adalah suatu perbuatan yang tidak boleh dimaafkan.
"Dia (Alvin) ingat dia boleh lari. Bagaimanapun, setiap negara ada peraturan dan kita akan cari dia hingga ke lubang cacing," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Alvin atau nama sebenarnya Tan Jye Yee yang kini berada di Los Angeles, California berdasarkan lokasi terkini yang dikemas kini di laman Facebooknya menghilangkan diri selepas Mahkamah Sesyen membenarkan penyerahan sementara pasportnya atas alasan ingin pergi ke Singapura bagi tujuan penggambaran sebuah dokumentari.
Pada bulan lepas, sebahagian wang jaminannya turut dilucutkan berhubung tuduhan mempersendakan umat Islam dan bulan Ramadan bersama pasangannya Vivian Lee.
Dia turut menghadapi pertuduhan mengikut Subseksyen 5 (1) Akta Penapisan Filem 2002 iaitu mempamerkan gambar-gambar yang didapati lucah di laman blognya di http://alviviswingers.tumblr.com/ tahun lepas.
Tidak habis di situ, Alvin turut bertindak biadab dengan mengubah suai gambar hidung beberapa pemimpin negara dan Khalid sendiri dengan hidung seekor khinzir serta menuduhnya menyalahgunakan kuasa sebagai seorang pemimpin.
Menurut khalid. siasatan terhadap kes tersebut telah dimulakan dan beliau turut memberi amaran keras kepada mereka yang menyalahgunakan media sosial untuk mengaibkan para pemimpin.
"Tiada maaf lagi kepada sesiapa yang menggunakan rangkaian media bagi menghina dan menghasut," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140929/je_01/Buru-Alvin-hingga-ke-lubang-cacing#ixzz3EeLWZumr
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Menteri Britain letak jawatan


LONDON 28 Sept. - Menteri Hal Ehwal Masyarakat Awam Britain, Brooks Newmark meletakkan jawatan ekoran pendedahan akhbar Sunday Mirror berhubung tindakan beliau berkongsi gambar lucahnya dengan seorang wartawan melalui laman sosial, lapor stesen rangkaian berita BBC.
Peletakan jawatan Newmark, 56, yang juga anggota Parlimen Tory itu diumumkan hanya beberapa jam selepas seorang lagi anggota Parlimen yang juga ahli Parti Konservatif, Mark Reckless berpaling tadah untuk menyertai Parti UKIP.
Bagaimanapun, Newmark menegaskan beliau masih setia dengan Parti Konservatif pimpinan Perdana Menteri Britain, David Cameroon yang menerima peletakan jawatan beliau.
Anggota Parlimen Reading East, Rob Wilson dilantik oleh Cameroon untuk menggantikan tugas Newmark.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140929/lu_06/Menteri-Britain-letak-jawatan#ixzz3EeGw83Ux
© Utusan Melayu (M) Bhd