Thursday, April 12, 2012

CEO TNB: Masa sesuai untuk saya undur

Che Khalib Mohamad NohKUALA LUMPUR - Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Bhd (TNB), Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh yang kontraknya bakal berakhir tidak lama lagi merasakan sekarang adalah masa yang sesuai bagi beliau untuk berundur kerana sya rikat itu kini sedang mencatatkan prestasi yang baik.
"Saya merasakan syarikat berada dalam keadaan baik sekarang walaupun tiga suku lepas kami mencatatkan kerugian yang pada asasnya disebabkan kos tambahan yang ditanggung akibat kami terpaksa menggunakan sulingan dan minyak.
"Alhamdulillah, kami berjaya memulihkannya (TNB). Keadaan kembali seperti biasa. Oleh itu, ia masa yang sesuai untuk berundur," katanya kepada pemberita selepas mengumumkan prestasi kewangan syarikat utiliti itu bagi prestasi kewangan suku kedua/separuh pertama yang berakhir pada 29 Februari 2012.
TNB mencatatkan keuntungan bersih RM2.81 bilion dalam suku kedua selepas mencatatkan kerugian berturut-turut dalam tiga suku lepas.
"Saya gembira melihat perubahan positif dalam TNB. Syarikat mencatatkan prestasi baik sekarang, jadi ia masa yang baik bagi saya untuk berundur. Saya gembira melaksanakan tugas saya dengan Tenaga dalam tempoh lapan tahun lepas," katanya.
Che Khalib, yang kontraknya dengan TNB berakhir pada 30 Jun, berkata TNB sedang mengenal pasti calon bagi jawatan Ketua Pegawai Kewangan (CFO) yang kosong selepas peletakan jawatan Mohd Rafique Merican Mohd Wahiduddin Merican.
"Beberapa nama telah dicadangkan kepada kami oleh sebuah syarikat penyelidikan. Kami sedang mencari calon yang sesuai," katanya sambil menambah, CFO baharu itu akan menyertai syarikat pada akhir Mei. - Bernama

Adun fail permohonan ketepi pengistiharan muflis

KUALA NERANG — Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Kuala Nerang, Datuk Syed Sobri Syed Hashim berkata, beliau telah mengarahkan peguamnya memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bagi mengenepikan keputusan mahkamah itu yang mengistiharkan beliau muflis.
Katanya, beliau menjangkakan keputusan mengenai permohonannya itu akan diketahui dalam masa tiga empat hari lagi.
Selain itu katanya, beliau juga telah menghubungi semua pemberi hutang supaya memberikan masa kepadanya untuk membayar balik hutang berkenaan.
"Saya positif dapat selesai masalah ini dan kekal sebagai Adun,” kata Syed Sobri semasa melawat mangsa ribut di pekan Kuala Nerang di sini, hari ini.
Pada 3 April lepas, Syed Sobri mengumumkan beliau diisytiharkan muflis oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Disember lepas kerana gagal membayar baki hutangnya berjumlah RM8 juta dengan beberapa bank tempatan dan agensi kerajaan.— BERNAMA

Aceh terus dilanda gempa 5.3 skala richter

Selepas digegarkan gempa kuat berukuran 8.5 pada skala Richter petang semalam dan sejumlah gempa susulan sehingga Rabu malam, Aceh terus dilanda gempa tektonik berkekuatan 5.3 pada skala Richter pada Khamis.

Kejadian hari ini berlaku di 442km ke Barat Daya bandar Sabang, Aceh, pada pukul 7.29 pagi, dengan kedalaman gempa 124km.

Ketua Stesen Geofisika Badan Meteorologi, Klimatologi, dan Geofisika (BMKG) Kepahaing, Bengkulu, Dadang Permana berkata sehingga kini sejumlah 25 gempa susulan berkekuatan lebih 5 pada skala Richter berlaku sejak kejadian gempa bumi kuat petang semalam.

Gempa susulan terkuat pada Rabu berlaku pada pukul 5.45 petang atau dua jam selepas gempa pertama, dengan kekuatan 8.3 skala Richter, yang juga berpotensi menimbulkan tsunami.

Gempa kuat yang menggegar Simeulue itu dikhuatirkan akan mencetus gempa lain yang diakibatkan oleh gesekan lempeng Indo-Australia yang terdapat di sepanjang perairan Barat Sumatera, dan penduduk di pesisir pantai telah diminta berwaspada terhadap kemungkinan itu.

Kawasan pesisir pantai itu membabitkan provinsi Aceh, Sumatra Utara, Sumatra Barat, Bengkulu dan Lampung.

- Bernama

Trauma tsunami '04: Penduduk enggan pulang

Trauma dengan kejadian tsunami yang berlaku lapan tahun lepas menyebabkan penduduk di Kota Kuala Muda dekat Sungai Petani mengambil keputusan sendiri untuk berpindah setelah merasai gegaran yang kuat petang Rabu walaupun tiada arahan berbuat demikian oleh pihak berkuasa.

Kesan gempa bumi sekuat 8.9 pada skala Richter di Aceh petang Rabu, lebih 500 orang dari beberapa kampung di Kota Kuala Muda nekad berpindah.

Antara kampung yang berisiko tinggi terhadap ancaman tsunami di Kota Kuala Muda ialah Kampung Kuala Tepi Sungai, Kampung Kepala Jalan, Kampung Padang Salim, Kampung Keda dan Kampung Hujong Matang.

Tinjauan Bernama mendapati keadaan di sekitar Kota Kuala Muda malam Rabu terkawal dan penduduk berpindah beramai-ramai ke Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Kuala Muda iaitu kira-kira 2.5km jauh dari kawasan pantai.

Walaupun nasihat tsunami ditarik balik di Malaysia pada pukul 10 malam oleh Jabatan Mateorologi Malaysia, penduduk tetap tidak mahu pulang ke rumah masing-masing kerana tidak yakin terhadap perkara itu.

- Bernama

Pegawai kerajaan jangan termakan ‘umpan’ bantu sindiket buat IC, kata Abdul Hadi

Datuk Seri Abdul Hadi Awang 

KUALA LUMPUR, 11 April — Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menasihatkan pegawai kerajaan agar tidak termakan “umpan” yang ditawarkan pihak tertentu untuk membantu mendaftarkan warga asing sebagai rakyat negara ini bagi membolehkan mengundi pada pilihan raya nanti.
Dalam tulisan di laman Facebook, Abdul Hadi (gambar) berkata mana-mana pegawai kerajaan yang bersubahat dalam perkara tidak elok akan memberikan kesan buruk kepada diri sendiri pada masa depan.
“Jangan jadi umpan untuk pegawai kerajaan dapat duit dan pangkat kerana ia hanya sembelih mereka sendiri.
“Bila bersara nanti, tidak dihormati masyarakat, bila mati akan dikutuk oleh masyarakat, itu nasihat saya,” kata Ahli Parlimen Marang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rhu Rendang ini.
Sebelum ini, PAS mendesak Putrajaya membentuk suruhanjaya diraja siasatan (RCI) menyiasat kewujudan sindiket dianggotai pegawai kerajaan yang memberi taraf kerakyatan kepada warga asing untuk menjadi pengundi.
Menurut Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, pemberian taraf kerakyatan kepada warga asing semakin berleluasa dan ia akan memberi kesan yang buruk kepada masa depan negara.
Perkara itu terlebih dahulu didedahkan Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar yang mengatakan wujud “task force” yang bertanggungjawab memberi taraf kerakyatan kepada warga asing untuk membolehkan mengundi pada pilihan raya nanti.
Mahfuz mendakwa “task force” itu diketuai Penasihat Khas Perdana Menteri Datuk Osman Razak, Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Datuk Tajuddin Wahab, dan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar serta beberapa pegawai lain di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Bagaimanapun Wan Ahmad menafikan dakwaan itu.
Jelas Abdul Hadi, sekiranya Umno serius untuk mempertahankan hak Melayu dan agama Islam ia perlu dilakukan mengikut saluran sepatutnya bukan melakukan penyelewengan untuk menang pilihan raya.
Kewujudan “task force” itu dipercayai sebagai langkah untuk membantu kemenangan Umno-Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya ke-13 tidak lama lagi.
“Pertahankan Melayu dan Islam bukan cara tipu, kena guna jati diri Islam. Yang hakis Melayu adalah kerana kerja-kerja penyelewengan yang dibuat Umno sebelum, semasa dan selepas pilihan raya,” kata Abdul Hadi.

Ku Li nyata sokongan perhimpunan Bersih 3.0



April 11, 2012
KOTA BHARU, 11 April — Pengerusi Angkatan Amanah Merdeka, (Amanah) Tengku Razaleigh Hamzah menyatakan sokongan terhadap perhimpunan menuntut pilihan raya yang adil dan bersih, Bersih 3.0.
Veteran Umno itu menjelaskan, pihaknya menyerahkan kepada ahli Amanah untuk membuat penilaian dan memilih sama ada akan turut serta dalam perhimpunan yang bakal berlangsung di Dataran Merdeka 28 April depan.
“Saya serah kepada ahli-ahli Amanah untuk hadir pada perhimpunan tersebut pada 28 April ini,” kata Tengku Razaleigh, atau lebih dikenali sebagai Ku Li (gambar) ketika menjawab soalan penonton pada Bicara UT6 – PRU-13 Perjuangan dan Amanah di Kelantan Trade Centre malam tadi.
“Kita mahu peranan media lebih adil dan bebas. Begitu juga dengan penggunaan jentera dan kakitangan kerajaan ketika pilihan raya tidak boleh disalahgunakan. Kita mahu pilihan raya benar-benar adil dan bebas.
“Malah ia selaras dengan tuntutan Angkatan Amanah Merdeka,” tegasnya di petik Harakah Online.
Sementara itu bekas Ketua Pemuda Umno Kelantan, Dr Zayadi Awang Noh yang turut hadir program berkenaan secara terbuka turut menyatakan sokongan terhadap perhimpunan Bersih 3.0 berkenaan.
Beliau yang juga merupakan Pengerusi Amanah Kelantan berkata, mana-mana pihak yang takutkan Bersih adalah kotor, sepertimana mereka yang takut kepada Amanah adalah kerana sikap khianat mereka.
“Siapa yang takut kepada Bersih bermakna dia itu kotor. Begitu juga kalau ada orang takut kepada Amanah dia itu khianat. Jadi tidak ada sebab untuk tidak menyokong Bersih 3.0,” katanya yang pernah dilucut jawatan sebagai Exco Umno Malaysia selepas penyingkiran Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bersih dijangka akan melakukan perhimpunan aman di Dataran Merdeka 28 April ini menuntut pilihan raya bebas dan adil.
Selain itu, perhimpunan berkenaan turut dilaksanakan setelah mereka tidak berpuas hati dengan laporan akhir Jawatankuasa Khas Pilihan Raya (PSC) berkenaan penambah baikan pilihan raya yang mana menurut mereka tidak menepati kehendak Bersih.
Pengerusi Bersama Bersih, Datuk Ambiga Sreenavesan sebelum ini berkata, pihaknya akan menerima nasihat Putrajaya supaya mendapatkan kebenaran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkenaan penganjuran perhimpunannya yang dijadualkan 28 April ini.
Namun begitu, pengerusi pemerhati pilihan raya itu, Datuk Ambiga Sreenavasan menegaskan kepada The Malaysian Insider, permohonan permit berkenaan perhimpunan itu hanyalah formaliti kerana Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hisahmuddin Hussein semalam sudah berkata perhimpunan itu boleh dilaksanakan.
“Pada saya, kami sebenarnya sudahpun mendapat kebenara. Sepanjang pengetahuan kami, kami sudah mendapat lampu hijau daripada kerajaan dan persutujuan DBKL hanyalah sebagai formaliti,” katanya yang dihubungi hari ini.
Ambiga, yang ditahan tahun lalu ketika perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai menambah, apabila kerajaan sudah memberikan kebenaran, pihak berkuasa tempatan sepatutnya secara automatik turut memberikan kebenaran.
“Bagaimanapun, kami akan menghubungi DBKL seperti yang diarahkan,” katanya.
Namun, bekas Pengerusi Majlis Peguam itu turut meletakkan harapan cadangan bertemu dengan DBKL sepertimana arahan daripada Datuk Seri Mohd Nazri Aziz semalam, bukanlah cubaan kerajaan untuk menyelesaikan isu itu.
Sekiranya pentadbiran Najib ikhlas dan tidak membantah perhimpunan itu, perhimpunan ketiga Bersih menuntut pilihan raya adil dan bersih, seharusnya tidak mendapat bantahan daripada mana-mana pihak, termasuk DBKL, katanya.
“Kami tidak mahu sejarah kembali berulang seperti masa lalu,” katanya.
Tambah Ambiga Bersih 2.0 sudah menyemak jadual Dataran Merdeka dan pada tarikh 28 April tersebut tiada sebarang aktiviti melibatkan penggunaan dataran berkenaan.
“Dataran Merdeka kosong pada hari dan masa itu,” katanya.
Dalam kenyataan berasingan kepada media semalam. Hishammuddin dan Nazri telah memberikan kebenaran kepada “Bersih 3.0”, sekiranya mereka memilih Dataran Merdeka sebagai tempat perhimpunan itu selesai.
Hishammuddin menggesa kumpulan berkenaan berbincang dengan pihak polis berkenaan lokasi yang sesuai, dan Nazri pula perhimpunan itu boleh berlangsung di Dataran Merdeka asalkan mereka mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan.
Selain itu, Nazri turut menambah Bersih 2.0 tidak perlu untuk memohon permit daripada polis atas semangat Akta Perhimpunan Aman 2011 (PAA).
Dataran Merdeka adalah lokasi di mana bendera Malaysia berkibar buat kali pertama selepas kemerdekaan, sebelum ini milik Kelab Diraja Selangor sebelum diambil alih oleh DBKL pada 1987.
Menurut laman web DBKL, mereka adalah pihak yang bertanggungjawab mengurus dan menjaga dataran terbabit.
PAA telah dicadangkan dan diluluskan tahun lalu selepas timbulnya bantahan berkenaan tindakan pihak polis menyuraikan peserta perhimpunan Bersih 2.0.
Dalam kenyataan media hari ini, jawatankuasa pemandu pertubuhan itu enggan melakukan perhimpunan tersebut di lokasi alternatif, memandangkan dalam PAA tidak menyebut Dataran Merdeka sebagai lokasi yang tidak dibenarkan untuk menganjurkan perhimpunan.
“Bersih 2.0 telah memilih Dataran Merdeka sebagai lokasi Bersih 3.0 atas faktor nilai sejarahnya dan selari dengan perjuangan rakyat menuntut kemerdekaan dan demokrasi Malaysia.
Kami tidak melihat sebarang alasan kenapa Dataran Merdeka tidak sesuai sedangkan banyak acara telah dilakukan di sini, termasuk sambutan ke 250 tahun Polis Diraja Malaysia,” kata kumpulan terbabit.
Mereka turut menambah mereka akan berbincang dengan polis untuk menyelesaikan isu itu dan berharap pihak berkuasa akan membantu untuk menjaga lalu lintas dan keselamatan peserta perhimpunan.
Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu menyaksikan ribuan peserta perhimpunan ditahan kerana perhimpunan itu tidak mendapat permit daripada pihak berkuasa.
Tindakan pihak polis menggunakan gas pemedih mata dan meriam air telah menerima kritikan antarabangsa dan dipercayai zmenjadi kunci kepada wujudnya PAA.

Berjiwa besarlah seperti Salahuddin Ayub

Salahuddin Ayub

Saat Aceh dilantun gempa bumi dengan kekuatan 8.6 skala ritcher saya sedang minum kopi dengan Naib Presiden Pas Salahuddin Ayub di sebuah kopitiam di Taman Melati Kuala Lumpur. Agak lama saya tidak bersembang dengan Salahuddin. Sejak beliau 'bertukar paksa' kawasan dari Kubang Kerian (Kelantan) ke Johor (belum tentu kerusi mana), jarang-jarang kami dapat bersembang kerana masing-masing kesibukan.

Saat saya di Kuala Lumpur dia ke Johor Bharu. Nampaknya Salahuddin terpaksa membuka 'huma' baru sekali lagi selepas berjaya membuka tanah hutan di Kubang Kerian. Tentulah berbeza sekali membuka tanah hutan di Johor dengan mendiami kawasan sudah kerja (KSK) di Kelantan. Apa yang diduduki atau diusahakan oleh Salahuddin di Kubang Kerian boleh dianggap sebagai, dia mengusahakan kawasan sudah kerja (KSK).

Berada di KSK lebih mudah dari membuka huma baru yang masih penuh dengan onak dan duri serta gaung yang curam dan dalam. Di KSK kemudahan asas seperti jalan, eletrik dan air sudah tersedia. Tunggu lagi untuk mengindah dan mencantikkan memerlukan daya kreativiti yang tinggi. Alhamdulilah selepas sembilan tahun (dua penggal) di Kubang Kerian Salahuddin berjaya memberi sesuatu kepada rakyat Kubang Kerian dan beliau sendiri berjaya mencatat nama sebagai seorang wakil rakyat berkualiti.

Menyebut jasa besar beliau di Kubang Kerian bagi saya ialah bagaimana usaha beliau membangunkan rumah untuk anak-anak yatim. Mengkagumi peruntukan dicari sendiri dan tidak bergantung kepada bantuan kewangan kerajaan. Sokongan orang ramai membantu anak yatim dari seruan ikhlas Salahuddin menjelaskan bahawa beliau mempunyai pengaruh dan disayangi oleh orang ramai.

Selain itu beliau berjaya memainkan peranan di parlimen dengan jayanya. Perbahasan atau isu-isu serta kerajinan ditunjukkan meletakkan Salahuddin sebagai ahli Parlimen dikenali dan dikagumi. Ini ditokok pula dengan cara dia berbahas dan berhujah penuh sentimental dan tidak dibuaki emosi. Tentulah kejayaan itu didokongi keberhasilan beliau sebagai wakil rakyat di Kubang Kerian.

Perpindahan beliau ke Johor saya ibaratkan sebagai pulangnya perantau ke negeri sendiri setelah lama berpergian menuntut ilmu. Ketiadaanya selama ini bolehlah dianggap beliau pergi bertapa mempelajari ilmu dan menuntut rukun-rukun dan peradaban politik di Kelantan. Al maklumlah Kelantan adalah universiti politik terbuka di negara ini.

Apabila Salahuddin diminta untuk pulang dan dia sendiri rela, ini menunjukkan ilmu yang dipelajarinya sudah sarat dalam dada. Dia sudah bersedia untuk berbakti di watan sendiri. Apa yang diperolehi dan dialami selama sembilan tahun di Kelantan akan dicurah ataupun dimanfaatkan di negeri kelahirannya pulak.

Membuka tanah baru atau pulang untuk berhadapan dengan petulangan, bukan mudah. Johor adalah kubu kuat Umno yang penuh dengan pahlawan yang tikam tidak lut selam tidak lemas bakar tidak mudah hangus. Ia akan menguji Salahuddin sebagai pejuang dan pemimpin. Di Johor nanti daya kepimpinannya akan dituji. Intelektualiti kepimpinanya juga akan diperiksa. Begitu juga dengan ilmu hakikat siasah yang diperolehi akan dicabar di Johor kelak.

Di sini saya tidak mahu memperkatakan apakah beliau berjaya atau tidak. Berjaya dalam perjuangan adalah subjektif. Kejayaan bukan bermakna menang kerusi yang ditandingi, tetapi berjaya mengharungi perjuangan, pembukaan tanah human baru dan ikhlas meninggalkan tanah lama juga, itulah kejayaan sejati. Dalam perjuangan kalah dalam pertarungan bukan kalah. Istiqamah dalam perjuangan itulah kemenangan mutlak yang dicari.

Mengenang pengembalian Salahuddin ke Johor sesuatu yang menarik buat saya. Perpindahan tanpa bantah zahir itu menunjukkan beliau ada nilai-nilai tawaduk dan taat kepada pucuk pimpinan. Apabila timbul cakap-cakap mengatakan Pas Kelantan tidak mahukan orang luar, atau orang luar setakat dua penggal sahaja, Salahuddin sudah membuat persediaan disegi mental. Dia memahami mesej itu dan bertindak sebelum orang mengunci pagar.

Beliau tidak memberi apa-apa komen dan pasrah dengan kehendak dan keputusan itu. Syarat yang ditetapkan oleh Kelantan yang memberi pinjaman dan gelanggang untuk beliau berlajar mengenali rakyat dengan title wakil rakyat diterima dengan penuh terima kasih. Maka beliau terus membuat persiapan untuk berpindah rumah dan membuka huma baru.

Tidak ada apa-apa protes baginya. Saya pernah menyatakan sesuatu kepadanya untuk mengenali hati budinya dalam politik dengan perpindahan itu. Namun beliau tenang menjawab; "kita sebagai pejuang dan orang parti kena ikut arahan pemimpin, T" begitulah katanya lembut dan penuh sopan. Nada cakapnya yang selalu bebunga sedih menyebabkan hati jadi terkedu.

Tidak nampak yang beliau ralat dengan cadangan itu. Walaupun beliau tahu kehidupan di lokasi baru - tanah huma tidak semudah yang dilalui di tanah KSK, tetapi ia bukan sebab untuk beliau menolak atau berdalih, jauh sekali merajuk sebaliknya itu dijadikan cabaran dalam dia berpolitik.
Baginya dia telah menjadikan dirinya sebagai panglima yang sedia menurut arahan demi perjuangan.

Saya yakin dan percaya juga dengan perwatakan dan sejuring hatinya yang saya kenali beliau bukan seorang yang tahu mendesak dan berhajat menyusahkan parti. Ketulusan Salahuddin dalam perjuangan tercermin pada raut wajahnya yang jernih dan tenang.

Ini terbukti sebagai Naib Presiden beliau berhak untuk memperjuangkan dirinya untuk bertanding di mana-mana sahaja. Namun itu nampak tidak pernah digunakan untuk kepentingan peribadi. Sebaliknya kedudukan sebagai Naib Presiden banyak digunakan untuk memperjuangkan nasib kawan-kawannya atau menjadi jambatan mengharmonikan keadaan dalam parti.

Apa yang berlaku di Kedah - pergelutan di antara Pahkrorazi Zawawi dengan Azizan Razak adalah bukti macam mana komitmen dan peranan diaminakn oleh Salahuddin. Apabila menyedari pergelutan semakin panas dan tiada usaha menanganinya maka beliau telah mengambil inisiatif menjadi orang tua memperjudikan dirinya demi kebaikan parti menangani isu itu.

Dalam hal ini Salahuddin telah menguji dirinya sendiri. Cuba kalau inisiatif itu tidak menjadi ia boleh dianggap beliau mencari fasal dan akan meletakkan dirinya sebagai pemimpin yang gagal. Namun tanggungjawab itu diambil menunjukkan Salahuddin seorang yang memiliki iltizam yang kuat dan meletakkan kepentingan parti mendahului kepentingan dirinya. Alhamdulilahpergelutan di Kedah itu selesai dengan jaya.

Apa yang berlaku dan dilakukan Salahuddin sewajarnya diteladani oleh individu tertentu terutamanya oleh mereka yang merasakan diri mereka tidak dilayan dengan adil menjelang pilihan raya ini. Mereka yang akan tidak diletakkan bertanding kerana sebab-sebab tertentu ataupun dipindah kawasan kerana sebab-sebab tertentu juga perlu malu dengan Salahuddin.

Akurlah taatilah keputusan parti. Kenapa kita begitu sukar untuk menerima pandangan parti? Kalau Salahuddin boleh dengan senang berangkat ke Johor meninggalkan tanah KSK yang sudah dimajui, pokok sudah berbuah dan rakyat sudah sebati dengannya, kenapa tidak dengan kita? Seorang pejuang tidak boleh penakut dan terlalu hipokrasi.

Berjiwa besarlah seperti Salalhuddin. Kenapa kita merasa susah untuk akur dengan keputusan parti sebab kita merasakan apa yang menjadi milik kita itu adalah hak kita. Sedangkan apa-apa yang kita rasai itu dan nikmati itu hanya pinjaman sahaja. Hakikatnya kuasa, jawatan yang dipikul oleh seseorang wakil rakyat itu bukan hak mereka tetapi hak rakyat. Jadi kenapa harus gentar dan merasa sedih atas pertukaran atau pengunduran kita.

Jika kita benar-benar hebat letaklah di mana-mana pun kita tetap hebat, bak kata pepatah kalau benih yang baik lempar ke laut menjadi pulau lempar ke lembah menjadi gunung.http://www.msomelayu.blogspot.com/

Kekayaan negara mampu tanggung kos pengajian


Dr Khairuddin Aman Razali 
KUALA LUMPUR, 12 April: Dengan limpahan kekayaan negara Malaysia, sebuah kerajaan yang beramanah, adil lagi telus pasti mampu menjana pendapatan yang baik yang memungkinkan kos yuran pengajian ditanggung oleh perbelanjaan rasmi kerajaan.

Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Dr Khairuddin Aman Razali (gambar) berkata, ini kerana Malaysia merupakan negara yang dianugerahkan oleh Allah sumber kekayaan yang sangat banyak bermula dengan minyak sebagai antara sumber pendapatan terbesar dan hasil mahsul yang lain.

“Namun, rakyat gagal menikmati sepenuhnya kekayaan tersebut termasuklah untuk menikmati pendidikan tinggi secara percuma disebabkan salah urus kewangan yang berlaku di pihak pemerintah Barisan Nasional,” katannya dipetik daripada web malaysiatransform.com.

Katanya, kegagalan kerajaan BN menanggung sepenuhnya kos pendidikan di peringkat tinggi berpunca sekurang-kurangnya daripada tiga sebab.

Pertamanya, kata beliau kegagalan menjana pendapatan sebenar negara kerana rasuah dalam pentadbiran negara.

Keduanya, ujarnya ketirisan yang sangat banyak dalam pengurusan perbelanjaan harta negara.

“Ketiganya, pemborosan perbelanjaan dalam perkara yang tidak utama dan penting,” katanya lagi.

Oleh itu, ujarnya sebuah kerajaan yang bersifat amanah, adil, telus lagi bersederhana dan tidak boros amat diperlukan oleh rakyat Malaysia selepas PRU13 nanti.

“Kos pendidikan melibatkan sekurang-kurangnya dua perkara. Pertamanya kos yuran pengajian. Keduanya kos sara hidup pelajar sepanjang pengajian,” katanya lagi.

Sementara itu, beliau menambah kos sara hidup pelajar boleh disediakan atas nama pembiayaan bukannya pinjaman dengan peruntukan rasmi kerajaan pusat menerusi penubuhan Tabung Amanah Pendidikan Tinggi dengan bersumberkan tiga perkara.

“Pertamanya, dana kerajaan pusat. Keduanya, sumbangan tunai badan-badan korporat yang sangat banyak di Malaysia atas nama tanggungjawab sosial korporat yang diberikan pelepasan cukai,” ujarnya.

Ketiga, tambah beliau sumbangan harta kekal yang boleh dikembangkan hasilnya seumpama system wakaf dalam Islam.

Sementara itu, kata Khairuddin sebagai tambahan, kerajaan pusat dengan kerjasama kerajaan negeri dengan mekanisama tertentu yang boleh difikirkan boleh bekerjasama mengukuhkan dana Tabung Amanah tersebut dengan memanfaatkan yayasan-yayasan pendidikan negeri sedia ada.

Kontroversi PM, Altantuya, Scorpene belum berakhir



Anis Nazri,12 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 12 April: Kontroversi membabitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan peranan penterjemah Mongolia, Altantuya Shariibuu dalam pembelian kapal selam Scorpene belum berakhir.

Kini, satu artikel tulisan John Berthelsen, Gun Begins to Smoke in Malaysian Sub Scandal mendedahkan beberapa fakta kontroversial di sebalik transaksi pembelian kapal selam Scorpene.

Antara lain artikel tersebut turut melontarkan beberapa fakta melibatkan salah laku dan penyelewengan yang ketara dalam transaksi berkenaan, sekaligus memalitkan imej Najib yang menjawat jawatan Menteri Pertahanan pada ketika itu.

Menurut Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin(gambar), dalam tulisan yang disiarkan di laman web Asia Sentinel, 5 April lalu, mendedahkan dalam transaksi yang bernilai US$1.2 billion tersebut, fakta didedahkan melalui proses penyiasatan percaya bahawa sekurang-kurangnya sejumlah €36 juta (RM144 juta) yang disalurkan melalui sebuah syarikat yang berpusat di Hong Kong, Terasasi (HK) Ltd yang dikendalikan oleh orang kanan Najib iaitu Abdul Razak Baginda, berakhir di 'poket Najib'.

Syarikat Terasasi itu yang bertempat di daerah Wan Chai, Hong Kong, tambah Shamsul turut dikendalikan oleh bapa kepada Razak Baginda iaitu Abdul Malim Baginda.

"Pendedahan ini jelas menggemparkan, di saat fakta-fakta seumpama ini digelapkan di dalam media Malaysia dan hanya diperoleh melalui siasatan media antarabangsa yang mempunyai akses siasatan yang kredibel," tegas beliau dalam kenyataannya kepada Harakahdaily, hari ini.

Ditambah dengan pengakuan bapa kepada mendiang Altantuya, Dr. Shaaribuu Setev bahawa beliau pernah melihat gambar di antara mendiang Altantuya, Razak Baginda dan Najib, Shamsul menegaskan ia seolah-olah menggambarkan bahawa keterlibatan Najib di dalam skandal itu sudah tidak boleh diragui lagi.

Malah, AMK melihat ini merupakan satu tamparan kepada Najib dalam keadaan beliau telahpun bersumpah di Masjid Jamek Guar Perahu pada Ogos 2008 sewaktu kempen Pilihanraya Kecil Parlimen Permatang Pauh sedang dijalankan.

"Fakta-fakta yang diperincikan oleh Asia Sentinel ini mempunyai kredibiliti dan harus dinafikan oleh Najib secara berfakta untuk membersihkan nama beliau selaku Perdana Menteri Malaysia," tegas beliau lagi.

Justeru, AMK mencabar Najib untuk membuat penafian terbuka secara spesifik dan menyaman John Berthesen serta Asia Sentinel sekiranya ia jelas merupakan satu fitnah semata-mata.

AMK berkata, sebarang dolak dalih yang bakal beliau berikan bersabit hal ini, hanya memburukkan lagi imej beliau di sebalik penafian dan sumpah yang telah beliau lakukan sebelum ini.

"Dan adalah malang bagi Malaysia untuk dipimpin oleh pemimpin yang hanya mampu membuat penafian tanpa sebarang susulan fakta," tegas Shamsul.

Najib diminta selesai pembeli rumah teraniaya



Khairil Abdul Rahim,12 Apr 2012
PEKAN, 12 April: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak diminta menyelesaikan segera masalah pembinaan  perumahan Taman Rendang Azalea Fasa Dua di sini yang terbengkalai sejak tiga tahun lalu mengakibatkan 22 orang pembelinya yang rata-rata pengundi di parlimen ini, teraniaya.

Pengerusi NGO Majlis Tindakan Rakyat Pahang (MTRP) Syed Ali Badarudddin berkata, perumahan  yang terletak hanya 150 meter daripada kediaman rasmi Najib itu di sini, patut mendapat campur tangan Najib selaku Ahli Parlimen Pekan kerana pembeli sudah menyelesaikan 80 % bayaran.

"Masalah ini perlu di selesaikan Najib tak kiralah dengan apa cara walaupun sesetengah pihak melihatnya masalah kecil tetapi sangat besar kepada penduduk.

"Jika Najib boleh selesaikan pelbagai masalah di tempat-tempat lain serata Malaysia, takkan tak boleh selesaikan masalah perumahan terbengkalai yang hanya beberapa meter dari rumahnya.

"Dengan slogan rakyat didahulukan apa lagi menghampiri pilihan raya sekarang, saya rasa inilah waktu yang sesuai untuk Najib selesaikan masalah mereka," katanya.

Syed Ali yang baru mengadakan dialog dengan penduduk berkata, pembeli-pembeli  rumah berkenaan begitu kecewa dengan tindakan pemaju yang mula lepas tangan selepas gagal menyiapkan 22 rumah mengikut waktu dijanjikan iaitu pada tahun 2009 sedangkan pembayaran sudah lama dilakukan setiap bulan.

Tambahnya, pernah wakil pembeli bertemu dengan pemaju (Exact Management Sdn Bhd) dan mereka berdolak-dalik untuk menyempurnakan pembinaan rumah berharga RM178,000 hingga RM250,000 itu pada Disember lepas sebelum dilanjutkan sehingga Januari kemudian selewatnya Mei ini.

“Namun penduduk mengadu tiada sebarang tindakan susulan sedangkan bayaran secara potongan gaji mengikut persetujuan ketika proses jual beli terus berjalan dan sudah menjangkau 82%.

“Ketika lawatan ke perumahan terbengkalai itu mendapati sudah dijadikan tempat menjalankan aktiviti tidak sihat seperti melepaskan keketagihan dadah tempat maksiat dan pemujaan nombor ekor. Selain itu, banyak penutup besi telah dicabut dan dicuri,” jelasnya.

Tambahnya, kebanyakan pembeli perumahan yang terletak di GM 1401 Lot PT12888 – 12689 itu ialah pensyarah universiti, guru dan kakitangan kerajaan daerah itu yang semuanya Melayu.

Syed Ali berkata, pembeli memberitahu sudah mengadukan masalah yang mereka hadapi itu kepada Najib melalui Setiausaha Politiknya juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di situ namun tidak ada respons positif yang diberikan setakat ini.

“Ada pembeli berkata pejabat pemaju di Kuantan sudah ditutup. Jadi jika Najib sendiri yang campur tangan mungkin boleh selesai tak kiralah melalui Syarikat Perumahan Negara atau lain-lain cara.

“Yang penting pengundi Pekan yang menjadi mangsa itu perlu diselesaikan. Bayangkan wang beli rumah sudah dibayar tetapi tak boleh duduk tapi sewa rumah kena bayar lagi, teruk dalam keadaan kos kehidupan dan barang yang tinggi melambung sekarang.

“Takkan Najib rela melihat nasib perumahan terbengkalai yang mencacatkan pemandangan itu, apa lagi berada tidak berapa jauh dari istana Sultan Pahang,” katanya.

Tegasnya, jika Najib boleh berjanji dan menyelesaikan banyak masalah di negeri-negeri Pakatan Rakyat, apa salahnya berusaha menyelesaikan masalah pengundi-pengundi berhampiran rumahnya sendiri.

Nizar: Ku Li usul PR Perak bersedia untuk peralihan kuasa



April 12, 2012
SHAH ALAM, 12 April — Bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini berkata, pihaknya telah disarankan oleh Tengku Razaleigh Hamzah(gambar) untuk bersiap sedia untuk kembali mengambil alih Perak memandangkan Umno di negeri itu berkemungkinan tewas ketika pilihan raya umum akan datang.
Adun Pasir Panjang itu menjelaskan, dalam pertemuan dengan Pengerusi Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) itu di Hotel Syuen di Ipoh pada 1 April lalu, veteran Umno itu menasihatkan Pakatan Rakyat (PR) Perak supaya bersedia untuk perubahan kuasa di negeri tersebut.
“Terdapat khabar angin Umno Barisan Nasional (BN) mungkin hanya mampu mengekalkan tiga negeri sahaja dalam pilihan raya kali ini,” katanya merujuk kepada Tengku Razaleigh Hamzah.
“Ku Li pernah memberitahu saya untuk bersiap sedia menghadapi kemungkinan berlakunya peralihan kuasa di Perak dalam perjumpaan kami pada 1 April di Ipoh.”
Jelas Nizar, situasi itu dibuktikan dengan kekerapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke Perak berbanding negeri-negeri lain.
Menurutnya, masyarakat di kawasan pedalaman sudah menolak Umno BN kerana mereka melihat Umno BN sudah tidak lagi mampu membawa suara mereka berhubung skandal Pusat Fidlot Nasional dan juga isu pembelian cincin isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor.
“Masyarakat di kawasan pedalaman sudah menolak Umno. Mereka terkesan dengan isu penternakan lembu Pusat Fidlot Nasional (NFC), dan juga cincin (Datin Seri) Rosmah Mansor,” katanya ketika memberikan ucapan sewaktu pidato bertajuk “Pendidikan Percuma: Apakan Sekadar Mimpi” anjuran Malaysia Bangkit di sini.
“Kita dapat lihat perdana menteri lebih kerap berjunjung ke Perak berbanding negeri lain.”
Jelas pemimpin PAS ini, kedua-dua isu tersebut bakal mengalih undi masyarakat pedalaman dan PR berkemungkinan bakal mengambil alih Perak.
“Kita akan terus gunakan isu-isu tersebut sebagai kempen pilihan raya. Rakyat peka dengan isu-isu seperti ini.
“Mungkin kita akan buat dua poster berkenaan isu-isu itu dan edarkan di Perak sebagai salah satu strategi kempen kami,” katanya lagi.

KM Sabah nafi terlibat dalam skandal balak RM400j



April 12, 2012
KUALA LUMPUR, 12 April — Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman hari ini menafikan dakwaan rasuah yang mengaitkan dirinya dengan skandal rasuah pembalakan bernilai RM400 juta seperti mana yang didedahkan dalam Sarawak Report baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan ringkas yang dikeluarkan, pemimpin Umno ini juga menafikan mempunyai apa-apa kaitan dengan pengusaha balak Sabah Michael Chia, individu yang telah ditahan dan didakwa mengubah wang haram selepas cuba menyeludup masuk SGD16 juta (RM40 juta) ke Malaysia pada 2008.
Menurut laporan media, Chia dikatakan memberitahu pihak berkuasa Hong Kong bahawa wang itu adalah kepunyaan Musa.
“Saya nafikan semua tuduhan ini. Saya mahu katakan sekali lagi yang saya tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan individu bernama Michael Chia,” kata Musa (gambar)dalam kenyataan hari ini.
Musa sebaliknya menuduh Sarawak Report berniat jahat, mendakwa tuduhan rasuah itu mungkin sebahagian daripada konspirasi yang mahu menjatuhkan Barisan Nasional (BN) di negeri itu.
“Malangnya terdapat pihak di luar sana yang akan terus mengitar semula tuduhan-tuduhan seperti ini apabila pilihan raya semakin dekat.
“Rakyat Sabah boleh buat keputusan berdasarkan rekod prestasi saya. Bukan mereka yang tidak dikenali dan tidak bernama yang menggunakan blog untuk berkhidmat demi kepentingan politik mereka,” katanya.
Bagaimanapun Musa menambah bersedia memberikan kerjasama penuh dengan pihak berkuasa jika perlu namun menegaskan pada masa sama mahu memberikan fokus kepada negeri pimpinannya.
Sarawak Report minggu lalu mendakwa mempunyai dokumen penglibatan Musa dan adiknya Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dalam skandal balak bernilai jutaan ringgit.
Awal minggu ini, pemimpin PKR mendakwa perkara yang sama, berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengesyorkan pendakwaan ke atas kedua-dua adik-beradik itu namun ia dihalang Jabatan Peguam Negara.
Pengarah Strategik PKR Rafizi Ramli dan Timbalan Setiausaha Agung PKR Darell Leiking turut memberikan tempoh selama seminggu kepada kerajaan BN untuk mengarahkan Musa dan Anifah mengambil cuti sementara daripad tugas mereka dan menggantung Peguam Negara Tan Seri Abdul Gani Patail, yang juga dikatakan turut terlibat dalam skandal itu.

Rasuah: Bekas pengurus besar didenda RM894,400

Bekas Pengurus Besar Kanan Sime Darby Engineering Sdn Bhd di Pasir Gudang, Johor hari ini dihukum penjara 27 tahun dan denda RM894,400 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah terhadap lima tuduhan rasuah melibatkan lebih RM180,000.

Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah bagi semua pertuduhan terhadap Md Zaki Othman di akhir kes pembelaan.

Md Zaki, 50, yang kelihatan tenang ketika dijatuhi hukuman itu, turut diperintahkan menjalani hukuman penjara 112 bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Ahmad Zamzani ketika menyampaikan keputusan itu berkata keterangan pembelaan tertuduh adalah bersifat penafian semata-mata dan penjelasan olehnya adalah secara tidak jujur dan tidak munasabah.

"Keterangan alibi yang diberikan oleh saksi pembelaan adalah tidak berasas dan tidak munasabah dan ianya telah gagal mematahkan anggapan bahawa suapan berbentuk jam tangan dan perabot diterima secara rasuah," kata hakim itu.

- Bernama

Isa Samad sedang monopoli Felda - Mazlan



Nazri Abdullah,12 Apr 2012
PUTRAJAYA, 12 April:Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman tidak menolak kemungkinan Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad sedang merancang untuk memonopoli Felda.
[Gambar: Mazlan (tengah) dan rombongan menunjukkan memorandum yang diserahkan kepada SPRM, di Putrajaya pagi tadi.]
Menurutnya, ianya dapat dilihat dengan jelas ekoran beberapa tindakan Isa bermula dengan perlantikan Isa sebagai ahli Koperasi Permodalan Felda (KPF) seterusnya menjadi pengerusi KPF yang didakwa secara 'rampasan kuasa' pada 25 Ogos tahun lalu menggantikan Datuk Dzulkifli Abd Wahab.

Selepas itu, dengan kuasanya Isa dakwa Mazlan telah bertindak  menulis surat kepada Perdana Menteri agar mengrahkan Dzulkifli cuti belajar sembilan bulan.

Selain Dzulkifli, Timbalan Pengarah Besar KPF Abidin Abdul Rahman pula turut ditukar menjadi pengumpul keratan akhbar di Perpustakaan di Jabatan Perdana Menteri.

Terbaru pula dedah Mazlan, Isa menggunakan kuasanya menamatkan tiga wakil Lembaga Pengarah KPF dalam Felda Holding menerusi sepucuk surat bertarikh 22 Mac 2012.

Mereka adalah Datuk Zainal Hassan, Datuk Dzulkifli Abd Wahab dan Raja Sharifudin.
Manakala pada mesyuarat antara Menteri di JPM Datuk Ahmad Maslan pada 14 Disember 2011, Isa telah dilantik mewakili KPF dalam Invesment Holding Company (IHC) iaitu syarikat pegangan pelaburan selepas penyenaraian FGVH.

Maklumat terbaru juga kata Mazlan, beliau mendapat maklumat bahawa Isa secara senyap-senyap telah menubuhkan syarikat Felda Global Ventures Plantations (Malaysia) Sdn Bhd bagi menggantikan Felda Plantations Sdn Bhd.

Lebih memeranjatkan, 12 orang pengarah dalam Felda Plantations sebelum ini hanya tingal dua orang dalam syarikat baru itu iaitu Isa dan Datuk Sabri Ahmad.

"Bayangkan sekarang ini kuasa mutlak sedang berada di tangan Isa Samad dan Sabri Ahmad.

"Ini baru sebelum penyenaraian, bayangkan selepas penyenaraian, apa mereka akan buat nanti," kata Mazlan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sebelum menyerahkan laporan dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa oleh Isa kepada SPRM.

Antara penyelewengan yang didakwa Mazlan termasuk memberi pojek secara runding terus 'Ceria ke Sekolah' bernilai RM2,750 000 dan projek membekal multivitamin 'Proviton dan Vitamin C Flavettes Sugar' bernilai RM1,590,000.

Selain itu, kos membeli buku coffee table 'Najib PM Malaysia ke 6' sebanyak tiga kali dengan nilai masing-masing RM118,750, RM142,500 dan RM91,437.50.

Yang terakhir berkaitan kos jamuan hari raya di kediaman Isa di Port Dickson berjumlah RM353,375 dan isterinya datin Sri Bibi Sharliza RM17,875 yang didakwa lebih mahal dari biasa yang dibuat di ibu pejabat Felda sekitar RM30,000.

Nedim, anak menteri yang tidak peduli publisiti negatif



Harakahdaily,12 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 12 April:Kehidupan para menteri dan ahli keluarga mereka kini kembali mendapat perhatian awam apabila tertimbulnya kes yang melibatkan Mohamad Nedim (gambar), anak kepada Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz.

Reaksi alam maya terhadap laporan berita mengenai insiden tersebut, berdasarkan satu laporan polis daripada seorang pengawal yang mendakwa Nedim dan pengawal peribadi beliau telah mengasari beliau, telah menaikkan tahap kemarahan rakyat biasa terhadap sikap yang ditunjukkan di tempat awam oleh manusia yang bersikap seperti Nedim.

Dulu, berita yang mendapat kutukan awam begini sudah pasti memenuhi ruang utama akhbar-akhbar tempatan, seperti krisis perlembagaan pada tahun 1993, yang timbul akibat kes Sultan Johor dengan seorang jurulatih hoki, yang kedua-duanya sudah meninggal kini.

Kisah tersebut adalah pembuka kepada pindaan kontroversi mengurangkan immuniti raja-raja yang dinikmati dulu sehingga kini apabila berdepan dengan kes jenayah.

Dalam kes Nedim, kutukan awam terhadapnya yang boleh diperhatikan di alam maya bukan sahaja terhadap tingkah-lakunya.

Fokus insiden tersebut telah berubah daripada fakta kes mengasari pengawal kepada fakta Nedin pada usia yang begitu muda kini sudah memandu Porsche and mempunyai pengawal peribadi untuk mengawal beliau dalam MPV mewah.

Seseorang kini boleh memahami apa maksud kata-kata Ketua Umum PKR Datuk Anwar Ibrahim semasa beliau berkata bahawa PRU13 ialah perang antara kelas kaya dan miskin.

Nedim dan jadual padatnya
Harakahdaily telah menemui gambar-gambar Nedim dan rakan-rakannya di dalam laman web perkongsian gambar Lockerz, di mana orang awam boleh melihat personaliti beliau, dan lebih penting lagi, ia memberikan satu penjelasan bergambar terhadap jurang antara miskin-kaya yang kini sedang melanda rakyat Malaysia.

Daripada gambar “menyejukkan badan di tepi kolam renang”, melibatkan diri dalam konvoi kereta mewah, bercuti di Eropah dan makan mewah di restoran berbintang, Nedin ialah contoh paling sempurna kategori 1% rakyat Malaysia yang memiliki jumlah kekayaan 99% rakyat negara ini.
Sudah pasti, seseorang tidak akan melihat orang sedemikian mempunyai rungutan terhadap kenaikan kos kehidupan yang kini mewarnai debat politik di seluruh dunia.

Sudah pasti, seperti anak-anak kaya daripada pemimpin-pemimpin di Timur Tengah yang kecundang, dalam gambarnya juga menunjukkan sifat belas kasihan daripada orang kaya, di mana dalam kes Nedim, sekeping gambar beliau bersahur dengan anak yatim.

Pandangan politik beliau, rasanya tidak perlu dihuraikan kerana ia adalah secebis kain daripada baju yang sama.

Dalam satu mesej di Lockers, beliau memaparkan satu mesej Twitter, yang mengandungi nada Umno dalam mengejek nama Bersih: “Kepala hotak PKR,DAP and ambiga babi!”, dengan satu poster yang menyatakan perhimpunan Bersih adalah untuk kepentingan seorang peliwat.

Selain itu, beliau turut mempunyai bukti bergambar bahawa beliau ada menghadiri solat Tarawih ketika Ramadan, dan juga makanan kegemaran beliau, bubur ayam di dalam satu pinggang bersalut emas untuk sahur.

Pengerusi muda


Nedim, berdasarkan akaun Twitternya, ialah pengerusi syarikat Harrison (M) Berhad, selain seorang pengarah Charisma Positief, sebuah syarikat yang menjual kereta mewah terpakai.

(Nedim memperkenalkan dirinya dalam Twitter)

Jika tidak silap, Harrison yang dimaksudkan ialah syarikat yang laman webnya www.harrisons.com.my, syarikat yang bertapak di Sabah yang fokus perniagaannya di Timur Malaysia membuat “pemasaran, jualan, pergudangan dan pengedaran barangan pengguna bergerak pantas, bahan binaan, produk kejuruteraan dan bahan kimia pertanian; penghantaran dan pelancongan.”

Salah satu pelanggan Harrisons di bawah kategori barangan pengguna bergerak pantas (fast-moving consumer goods) ialah Asia Pacific Brewery yang membekalkan jenama minuman seperti Tiger Beer, Heineken, Anchor,Guinness, Anglia and Malta.

Selain itu, salah satu anak syarikat Harrison, Harrisons Marketing and Services Sdn Bhd telah ditubuhkan untuk bisnes khusus wine (arak) bertempat di Jalan 222, Petaling Jaya.

Jika situasi di mana para menteri terpaksa membuat pengistiharan harta, maklumat sebegini, sekiranya benar, akan membawa implikasi negatif pada Nazri daripada anaknya.

Ini jelas, kerana Nedim sememangnya tidak kisah dengan publisiti negatif yang diterimanya.

“Saya rasanya mudah menarik pembenci/media dan saya menikmati setiap saatnya,” tulis Nedim ketika memperkenalkan dirinya dalam Twitter.