Showing posts with label roslin. Show all posts
Showing posts with label roslin. Show all posts

Tuesday, April 10, 2012

Roslin, Faizah gagal selesai cara baik



KUALA LUMPUR 9 April - Kes tuntutan ganti rugi perkahwinan oleh bekas pemain badminton kebangsaan, Roslin Hashim terhadap bekas isterinya, Faizah Mohamad akan diteruskan dengan perbicaraan setelah rundingan penyelesaian secara baik antara kedua-dua pihak menemui jalan buntu.
Peguam syarie yang mewakili Roslin, Roslizam Rahim ketika ditemui di Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini menyatakan, ekoran kegagalan kedua-dua pihak mencapai persetujuan, mahkamah memerintahkan kes itu diteruskan dengan semua isu dan tuntutan asal.
Menurut beliau, Hakim Syarie, Abdul Walid Abu Hassan menetapkan 25 dan 26 Jun ini untuk sambung bicara tuntutan tersebut secara tertutup.
Faizah, 35, selaku defendan yang diwakili oleh peguam syarie, Mohammad Amir Nazli Hussin hadir ke mahkamah memakai baju kurung dan tudung berwarna oren.
Roslin, 36, yang merupakan plaintif dalam tuntutan itu turut hadir.
Mereka bernikah di rumah Faizah di Puchong pada 30 Januari 2009 namun selepas 12 hari berumah tangga, Roslin didakwa telah menceraikan Faizah.
Pasangan itu disahkan bercerai pada 12 Mei tahun tersebut oleh Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya menerusi talak yang jatuh dalam kategori bain sughro (talak yang tidak boleh rujuk kembali kepada perkahwinan asal).
Pada 12 Ogos 2009, Roslin memfailkan tuntutan ganti rugi perkahwinan berjumlah RM53,460 yang merangkumi perbelanjaan yang dikeluarkan ketika merisik dan berkahwin dengan wanita yang pertama dinikahinya itu.
Roslin antara lain menuntut semua perbelanjaan yang dikeluarkan semasa merisik, bertunang dan berkahwin termasuk cincin risik bernilai RM1,900, kos pengangkutan (RM200) dan barangan pertunangan (RM2,915).
Bagi perbelanjaan sewaktu perkahwinan pula, Roslin menuntut duit hantaran dan mas kahwin (RM15,080), bayaran juru nikah (RM150), upah solekan pengantin dan sewa barang kemas (RM500), barang hantaran (RM11,465), baju dan kasut pengantin perempuan (RM6,750).
Turut dituntut adalah khidmat video (RM2,000), kad jemputan kahwin (RM700), pengangkutan dan penginapan (RM1,300), perbelanjaan kenduri di Kelantan (RM10,000) serta tiket kapal terbang pengantin (RM500).

Thursday, January 19, 2012

Roslin sudah kahwin lain

KUALA LUMPUR: “Ya, saya sudah kahwin baru...akhir tahun lalu,” demikian secara ringkas pengakuan bekas pemain badminton negara, Muhammad Roslin Hashim.
Selepas sekian lama ‘mengunci mulut’, Roslin ketika ditemui wartawan, semalam akhirnya akur dengan pertanyaan dan mengesahkan sudah berkahwin kali ketiga dengan seorang wanita yang enggan didedahkan identitinya.

“Saya tak boleh cakap siapa isteri saya demi menghormati keluarga orang rumah (isteri) saya,” kata Roslin yang pernah menjadi pemain badminton nombor satu dunia itu.

Dia juga berharap perkahwinannya kali ini adalah yang terakhir. Pengakuan itu sekali gus melenyapkan teka-teki dan spekulasi berita perkahwinannya yang tersebar luas sejak kebelakangan ini.

Dia berkata demikian selepas selesai prosiding perbicaraan secara tertutup kes tuntutan ganti rugi perkahwinan sebanyak RM53,460 yang dikemukakannya terhadap bekas isteri daripada perkahwinan pertama, Faizah Mohamad, 34, di Mahkamah Tinggi Syariah, semalam.

Faizah selaku defendan yang diwakili peguam syarie, Mohammad Amir Nazli Hussin hadir ke mahkamah dengan berbaju kurung dan bertudung biru ditemani dua saudaranya.


Roslin, 37, sebelum ini pernah berkahwin buat kali kedua dengan Pengarah Pemasaran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Nurhayati Othman, 39, pada 9 Julai 2010 sebelum menceraikan isterinya itu 28 hari kemudian.

Terdahulu, pada perbicaraan di hadapan Hakim Syarie Abdul Walid Abu Hassan, Roslin memberi keterangan utama kira-kira 20 minit prosiding berjalan.

Peguam syarie yang mewakili Roslin, Roslizam Rahim memberitahu, hakim menetapkan 22 Mac ini tarikh menyambung perbicaraan termasuk tambahan empat saksi.

Menurutnya, pihaknya akan memanggil beberapa saksi dan antaranya termasuk penerbit filem...Dalam Botol, Raja Azmi Raja Sulaiman. Roslin menceraikan Faizah selepas 12 hari mereka melangsungkan perkahwinan.

Pasangan itu bernikah di rumah Faizah di Puchong pada 30 Januari 2009 dan disahkan bercerai pada 12 Mei tahun sama oleh Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya menerusi talak bain sughro.

Pada 21 Oktober 2009, Roslin mengemukakan tuntutan perbelanjaan terhadap Faizah ketika merisik, antaranya cincin bernilai RM1,900, kos pengangkutan (RM200) dan barangan pertunangan (RM2,915).

Bagi perbelanjaan ketika perkahwinan pula, Roslin menuntut duit hantaran dan mas kahwin (RM15,080), bayaran jurunikah (RM150), upah solekan pengantin dan sewa barang kemas (RM500), barang hantaran (RM11,465), baju serta kasut pengantin perempuan (RM6,750).

Turut dituntut, khidmat video (RM2,000), kad jemputan kahwin (RM700), pengangkutan dan penginapan (RM1,300), perbelanjaan kenduri di Kelantan (RM10,000) serta tiket kapal terbang (RM500).