Dua pesawat pengebom Amerika Syarikat (AS) B-52 terbang berhampiran pulau-pulau yang menjadi pertikaian beberapa buah negara di Laut China Selatan pada minggu lalu sebagai satu provokasi ketenteraan yang serius. Agensi
BEIJING 19 Dis. – Beijing hari ini menyifatkan tindakan dua pesawat pengebom Amerika Syarikat (AS) B-52 terbang berhampiran pulau-pulau yang menjadi pertikaian beberapa buah negara di Laut China Selatan pada minggu lalu sebagai satu ‘provokasi ketenteraan yang serius’.
Kementerian Pertahanan China dalam satu kenyataan berkata, dalam kejadian pada pagi 10 Disember lalu itu, dua pesawat B-52 milik tentera AS memasuki ruang udaranya di Kepulauan Nasha (Spratly) dan kawasan berhampiran tanpa kebenaran.
“Tindakan itu merupakan satu provokasi ketenteraan yang serius yang menyukarkan lagi keadaan semasa di Laut China Selatan, (menyumbang) kepada penempatan ketenteraan di rantau itu,’’ kata kenyataan itu.
Dalam kejadian itu, dua pesawat B-52 milik AS, satu daripadanya secara tidak sengaja terbang dalam jarak dua batu nautika dari pulau buatan China tersebut, lapor Wall Street Journal yang memetik kenyataan jurucakap Pentagon.
Menurut pegawai itu, perkara berkenaan mungkin berlaku akibat cuaca buruk.
Kementerian Pertahanan China berkata, AS berterusan menghantar kapal tentera laut dan pesawatnya bagi menunjukkan kehadiran tenteranya dan mewujudkan ketegangan di perairan serta ruang udara di Laut China Selatan.
“Tentera China akan mengambil langkah perlu bagi mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara ini,’’ kata kenyataan itu.
Amerika amat lantang mengkritik tindakan China membina pulau-pulau buatan di perairan yang menjadi pertikaian beberapa negara itu, termasuk Malaysia dengan menghantar pesawat B-52 dan sebuah kapal perang pemusnah berhampiran lokasi itu sejak beberapa pulan lalu. – AFP