Monday, June 30, 2014

Saifuddin letak jawatan, protes penyingkiran Prof Redzuan

HARAKAHDAILY |
KUALA LUMPUR: Bagi menunjukkan solidariti dan simpati terhadap tindakan pentadbir Universiti Malaya 'menyingkirkan' Profesor Datuk Dr Mohamad Redzuan Othman sebagai Pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya (UMcedel) dan Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial, bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah meletakkan jawatan sebagai Felo Penyelidik Kanan Universiti Malaya (UM) hari ini.

Pengumuman itu dibuat Saifuddin (gambar, kanan) di laman facebook beliau sebentar tadi.

Berita mengenai perletakan jawatan Dr Mohamad Redzuan disiarkan The Malaysian Insider (TMI) pagi tadi yang mendakwa tindakan UM itu dibuat atas tekanan pihak Kementerian Pelajaran ekoran rasa tidak puas hati Putrajaya terhadap beberapa tinjauan politik yang dijalankan UMCEDEL.

Berita mengenai penyingkiran Dr Redzuan diketahui apabila UM mengeluarkan senarai dekan baru universiti Khamis lalu dan nama Redzuan tiada dalam senarai itu.

Saifuddin dalam entrinya di laman facebook mengakui mengetahui berhubung perkara tersebut setelah dimaklumkan sendiri oleh Dr Redzuan.

"Prof Datuk Dr Redzuan Othman adalah Pengarah-Pengasas UMCEDEL & Dekan FSSS UM. Oleh kerana arahan daripada pihak tertentu d KPM, baru-baru ini beliau diarah meletak jawatan sebagai Pengarah UMCEDEL.

"Tapi beliau tidak menghebohkan cerita ini. Hari ini, beliau tidak disambung sebagai Dekan (walaupun dicalon oleh pensyarah-pensyarah FSSS). Cerita ini disiarkan The Malaysian Insider hari ini.

"Saya tahu akan cerita ini sejak awal (melalui beliau dan VC UM). Prof Redzuan terima kedua-dua keputusan ini dengan berapang dada. Atas prinsip kebebasan akademik dan solidariti dengan beliau, saya meletak jawatan sebagai Felo Penyelidik Kanan Universiti Malaya (UM) hari ini," tulisan beliau dipetik.

Sumber memberitahu TMI, tindakan menyingkirkan Dr Redzuan dibuat atas alasan beliau akan bersara tahun depan.

Menurut sumber, penyingkiran Dr Redzuan juga dibuat atas tekanan Ketua Setiausaha II Kementerian Pendidikan, Datuk Dr Zaini Ujang, rakan beliau ketika aktif di dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim). - HARAKAHDAILY, 30/6/2014

Prof Redzuan mangsa penguasa angkuh - Anwar

HARAKAHDAILY |
 KUALA LUMPUR: Berita pemecatan serta merta Prof Datuk Dr Mohamad Redzuan (gambar) sebagai Pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya (UMcedel) tidak mengejutkan tetapi tetap mengecewakan dan tidak wajar.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penyingkiran secara melulu bertujuan memberi amaran kepada semua ahli akademik bahawa kebebasan mereka akan berakhir semata untuk mempertahankan kepentingan Umno.

"Dalam pentadbiran yang rakus ini, kebebasan mengkritik adalah hak mutlak kepada mereka sasarannya adalah pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat atau mereka yang kritikal terhadap Umno BN," ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, penghukuman yang cukup pantas ini akan menimpa mereka yang menyokong apa-apa pandangan atau pendapat yang kelihatan kritikal terhadap Umno apatah lagi yang memihak kepada pembangkang.

Beliau berkata, nasib yang sama juga telah menimpa pakar ekonomi terkenal Prof Jomo KS, profesor sains politik Prof Dr P. Ramasamy dan pakar perlembagaan dan undang-undang Dr Aziz Bari tidak lama dahulu.

"Dan hari ini kita lihat ia menimpa Prof Redzuan yang telah terbukti menunjukkan prestasi akademik dengan profesional dalam bidang penyelidikan yang menuntut objektiviti lengkap dan kebebasan," ujarnya lagi.

Ketua Umum PKR itu menambah, amat jelas bahawa keputusan untuk tidak menyambung tempoh Profesor Redzuan sebagai Pengarah UMCedel amat tidak wajar.

"Beliau sekali lagi menjadi mangsa penguasa angkuh yang enggan melihat sarjana bersikap bebas dan berani," katanya.

Sehubungan itu, beliau ingin mengingatkan Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Idris Jusoh bahawa kuasa pelantikan dan pemecatan bukannya mutlak dan tindakan terbaru itu bukan sahaja melanggar kebebasan akademik malah pengkhianatan terhadap harapan rakyat terhadap peningkatan mutu dan kedudukan institusi pengajian tinggi. - HARAKAHDAILY 30/6/2014

BN jual tanah 35 kali lebih banyak, tapi hasil kecil

HARAKAHDAILY | KUALA LUMPUR:Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang berjaya mendapat pulangan yang lebih besar daripada penjualan tanah negeri, walaupun jumlah keluasannya jauh lebih kecil berbanding kerajaan BN sebelum ini melalui sistem tender terbuka yang berdaya saing.

Malah, kata Ketua Menteri Lim Guan Eng, hampir separuh daripada hasil tersebut pula disalurkan bagi membina 20,000 unit rumah mampu milik untuk rakyat.

Tambahnya, kepada pihak yang mendakwa kerajaan negeri bergantung sepenuhnya kepada penjualan tanah bagi mendapatkan hasil, ia tidak benar memandangkan kerajaan BN telah menjual tanah dengan keluasan 35 kali ganda namun mendapat pulangan lebih kecil.

“BN sebelum ini menjual sekurang-kurangnya 3,661 ekar tanah dan mendapat RM1.0586 bilion. Manakala kami menjual hanya 106.1 ekar dengan hasil RM1.1102 bilion,” ujarnya dalam satu kenyataan dipetikRoketkini.

Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, perbezaan itu adalah kerana kerajaan Pakatan sentiasa mengamalkan sistem tender terbuka bagi mendapatkan hasil yang lebih banyak untuk dipulangkan kepada rakyat.

“Isu ini sering dimainkan BN melalui media kawalan mereka. Mujurlah rakyat Pulau Pinang tidak mudah ditipu. Malah Pakatan mendapat mandat terbesar dalam sejarah negeri pada Pilihanraya Umum lalu dengan 68% undi popular,” katanya lagi.

Dengan hasil yang diperolehi itu, katanya lagi, kerajaan negeri memperuntukkan RM500 juta untuk Skim Perumahan Awam Mampu Milik bagi membina 20,000 unit rumah di lima daerah di Pulau Pinang.

“Jumlah ini adalah yang terbesar yang disalurkan kerajaan negeri di Malaysia, dan kami sanggup menambahkan lagi peruntukan jika perlu," katanya.

Menurutnya lagi, kerajaan negeri juga menjadi perintis Skim Pemilikan Bersama untuk membantu golongan berpendapatan rendah yang sukar mendapat pinjaman bank memiliki rumah, dengan memberikan pinjaman tanpa faedah sebanyak 30 peratus bagi membayar harga belian rumah tersebut.

Pilih Islam kerana agama mendamaikan

Felixia (dua kiri) bergambar bersama Zaidy (kiri).
Felixia (dua kiri) bergambar bersama Zaidy (kiri).
SELAYANG - “Jika memakai tudung sudah merasakan kedamaian dan ketenangan apatah lagi jika mendalami ilmu agama Islam,” luah bekas model, Felixia Yeap, 28, dalam satu program Kuliah Dhuha dan sembang santai anjuran Pusat Khidmat Masyarakat Dun Taman Templer, kelmarin.

Itu antara sebab model tersebut terus memakai tudung dan baru-baru ini mengumumkan akan mengucap kalimah syahadah pada 5 Ramadan ini yang juga merupakan tarikh lahirnya.

Katanya, dia juga sudah mempunyai nama baharu yang mempunyai maksud yang baik.

“Mula-mula runsing juga sebab tidak jumpa nama yang sesuai sehinggalah bermimpi dan selepas disemak didapati maksud nama tersebut baik.

“Nama itu akan saya umumkan selepas saya masuk Islam nanti,” katanya kepada Sinar Harian.

Felixia berkata, niat baiknya disokong keluarga terutama ibunya yang turut nampak perubahan dalam dirinya selepas mendalami Islam.

“Boleh dikatakan dulu saya seorang yang panas baran tetapi kini menjadi seorang lebih penyabar dan tenang.

“Meskipun ibu adalah Cina tapi cara hidupnya tidak terlalu bebas malahan menjaga adap termasuk aspek pakaian yang tertutup dan sopan,” katanya yang mengakui jiwa lebih tenang dan selamat selepas memakai tudung.

Berkongsi pengalaman pertama berpuasa Ramadan kali ini dia nyata  tidak sabar menjadi seorang Muslim.

“Dua tahun lepas saya pernah berpuasa sehari selepas diajak rakan dan kali ini akan berpuasa lagi.

“Kehidupan sebagai Muslim ada matlamat dan jika boleh mahu seimbangkan kehidupan di dunia dan di akhirat nanti,” katanya.

Sementara itu Adun Taman Templer, Zaidy Abdul Talib berkata, program Dhuha adalah salah satu aktiviti ke arah menjadikan dataran stadium sebagai dataran ilmu.

“Program hari ini (kelmarin) adalah kali kedua dan diteruskan dijadualkan 20 Julai ini dengan mengundang panel untuk berkongsi ilmu dan pengetahuan.

“Pengisiannya tidak terlalu formal sebaliknya lebih kepada bual bicara santai untuk disesuaikan dengan semua lapisan umur,” katanya.

Saudi keluarkan amaran Ramadan

Penduduk Saudi sibuk membeli barangan keperluan sebelum Ramadan.
Penduduk Saudi sibuk membeli barangan keperluan sebelum Ramadan.
RIYADH - ARAB SAUDI. Kementerian Dalam Negeri tidak teragak-agak mengusir mana-mana ekspatriat didapati makan atau minum pada waktu siang di khalayak ramai sepanjang Ramadan.

Kementerian dalam satu kenyataan berkata, ekspatriat bukan beragama Islam perlu menghormati sensitiviti umat Islam sepanjang bulan ini.

“Majikan perlu memaklumkan perkara ini kepada pekerja masing-masing kerana ianya sudah tertakluk seperti dalam syarat kontrak ketika pengambilan pekerja,” katanya dipetik Arab News

Sementara itu, penjara di Jeddah membebaskan lebih 500 banduan sebagai pengampunan sempena kehadiran Ramadan.

Pengarah Lembaga Penjara Jeddah, Ahmad Al-Shahrani berkata, syarat pengampunan itu selaras dengan persetujuan Raja Abdullah.

"Pembebasan itu sebagai tanda pengampunan kerajaan terhadap mereka sekali gus memberi mereka peluang untuk beribadah sepanjang bulan ini," katanya.

Kesan babi dalam 1 minit


  •  PROF DR ANUAR AHMAD PROF DR ANUAR AHMAD

SETIAP kali ke pasar, perkara utama yang selalu kita fikirkan ialah mahu membeli barangan yang baik sebagai santapan keluarga. Dan sebagai orang Islam, makanan itu seharusnyalah halal.

Namun dalam keadaan di sebuah negara yang lebih 70 peratus produk makanan dikeluarkan oleh pengusaha bukan Islam, tidak dapat tidak, pasti timbul keraguan dari segi status halalnya. Akan tetapi, kita memang tidak ada pilihan. Biarpun sangsi, perut perlu juga diisi.

Dalam keadaan ini, apa yang paling kita boleh harapkan ialah adanya logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Namun timbul pula isu-isu berkaitan logo halal Jakim.

Sudahlah jenuh dengan cerita logo halal palsu, kontroversi demi kontroversi turut mencarikkan keyakinan. Lalu ke mana lagi mahu disandarkan pergantungan?

Langkah Universiti Selangor (Unisel) membangunkan produk kit halal yang berfungsi untuk mengenal pasti bahan tidak halal dan berupaya memberikan keputusan dalam tempoh sesingkat seminit diharap akan membawa kelegaan dan menyelesaikan masalah umat Islam di negara ini, dan mungkin juga di seluruh dunia suatu hari nanti.

Ikuti kupasan lanjut berkaitan alat canggih ini daripada Naib Canselor Unisel, PROF DR ANUAR AHMAD yang disediakan wartawan Sinar Harian, Robiatuladawiyah Abd Rashad, Noor Ainulyakin Mohamad Ishak & Siti Nursyahidah Abu Bakar.

Anda sedang membeli-belah di pasar raya dan terpandang satu produk makanan yang begitu anda inginkan. Namun, mungkin akibat terpengaruh dengan penyebaran maklumat dalam media sosial kononnya produk berkenaan mengandungi unsur haram, anda dibelenggu rasa was-was.

Mengikut nasihat agamawan, apabila timbul rasa was-was, anda perlu jauhi makanan itu.

Akan tetapi dengan adanya teknologi halal kit, situasi anda tidak perlu sampai ke tahap itu.

Ini kerana teknologi yang sedang dibangunkan Universiti Selangor (Unisel) mampu memberikan anda jawapan halal atau tidak sesuatu makanan hanya dalam tempoh seminit.


Sangat cepat dan sangat mudah, bukan?

Dengan adanya teknologi ini, anda juga tidak perlu membawa senarai panjang logo halal yang diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk disemak setiap kali mahu membeli sesuatu produk yang mungkin logo-logo itu juga belum sahih keasliannya disebabkan peniruan pada zaman serba canggih ini sangat licik.

Sama ada terdapat logo halal Jakim ataupun tidak, anda boleh periksa sendiri untuk memastikan sesuatu produk itu mengandungi unsur babi ataupun tidak. Malah produk yang tidak ada logo halal sekalipun anda boleh kunyah dan telan tanpa was-was jika mendapati ia bebas daripada unsur haiwan itu.

"Inilah gunanya kit halal yang sedang kita usahakan," kata Naib Canselor Unisel, Prof Dr Anuar Ahmad ketika ditemui di kampus universiti itu di Shah Alam.
 
Mengenai projek kit halal itu, Anuar menjelaskan bahawa Unisel diberi peruntukan RM1.3 juta untuk membangunkan alat itu dalam tempoh 18 bulan dan dijangka siap pada Disember 2015.

"Alat ini bukan untuk makanan saja tetapi juga kosmetik dan ubat-ubatan," katanya.
 

Kesan zat babi serendah 0.001 peratus

Kit halal bukan perkara baharu. Sebelum ini, di negara kita sahaja sudah ada beberapa pihak terutama universiti yang cuba memajukan kit halal.

Namun setakat ini, teknologi yang akan dibangunkan Unisel dikenal pasti sebagai yang termaju.

"Kit halal yang ada sebelum ini berfungsi untuk mengesan kandungan DNA babi saja. Ini berbeza dengan apa yang kita akan keluarkan yang mana kit halal Unisel menggunakan teknologi pengesan nano bagi mengetahui kandungan zat babi sekecil 0.001 peratus," kata Anuar.

Sebagai contoh, kandungan perisa dalam makanan atau gelatin yang digunakan pada kapsul, zatnya memang terlalu rendah.  Apabila alat pengesan konvensional yang kemampuannya untuk mengesan hanya sekadar lingkungan 20 peratus, ia tidakakan dapat memberi bacaan tepat mengenai kandungan sebenar bahan terlarang dalam produk itu.

Itulah kelebihan kit halal Unisel yang mampu mengesan zat serendah 0.001 peratus iaitu zat paling rendah yang kebiasaannya terkandung dalam makanan,  kosmetik atau ubatan dalam pasaran
.

Bagaimana menggunakannya?

Mudah, sangat mudah! Hanya masukkan sampel ke dalam pengesan, kemudian goncang hingga larut dalam masa 10 saat. Seterusnya uji bahan yang sudah larut itu dengan alat pengesan elektronik pada kit.

Secara automatik, kit akan mengeluarkan cahaya floresen yang akan menentukan kandungan zat babi dalam tempoh seminit!


Siapa yang akan gunakan kit itu?

Kumpulan utama sasaran menggunakan kit halal Unisel ialah penguat kuasa. Selepas itu, baharulah ia diperluaskan kepada orang ramai. Namun alat berkenaan mungkin dikeluarkan dalam versi berbeza antara penguat kuasa dan pengguna.


Berkesankah?

Walaupun kecil bentuknya, kata Anuar, kit halal itu tidak perlu diragui kerana pihaknya melaksanakan mandat Kerajaan Selangor untuk membangunkan teknologi itu dengan penuh amanah dan tanggung jawab.

"Walaupun kecil ia dapat menjimatkan kos berbanding ujian makmal. Oleh itu, jangan ragu-ragu menggunakan alat ini, kerana hasil ujiannya diyakini tepat, setanding dengan hasil ujian makmal yang menelan belanja ribuan ringgit,” katanya penuh yakin.


Cabaran mendapatkan komponen

Namun  dalam setiap penciptaan, pasti halangan dan cabaran tidak dapat dielakkan. Ia diakui sendiri oleh Anuar yang mana katanya, proses mendapatkan komponen elektronik kit mungkin agak sukar kerana kini ia lebih kecil dan teknologinya berbeza.

"Teori tentang kit ini, memang tidak ada masalah kerana telah selesai, hanya menunggu bajet diumumkan kerajaan negeri untuk membeli komponen elektronik dan pengesan yang dijangka diperoleh Julai ini.

“Saya pernah menghasilkan alat yang hampir serupa sebelum ini. Namun, kebanyakan komponen digunakan ketika itu sudah tidak ada dalam pasaran. Jadi, kita perlu mendapatkan komponen baru yang lebih canggih. Kita juga akan menggunakan teknologi dan kepakaran dari Amerika Syarikat bagi memastikan alat ini mengikut piawaian sebelum dipasarkan,” katanya.


Hilangkan rasa was-was

Sebagai pengguna apabila ada alat yang boleh mengesan status halal dengan kadar segera, pastinya sesiapa juga mahu memilikinya bagi mengelak perasaan was-was yang membelenggu diri sebelum ini.

“Walaupun ada logo halal Jakim, ia masih dilihat kurang memberi keyakinan kepada pengguna berikutan banyaknya lambakan logo halal palsu di pasaran. Jadi, jika tidak mahu timbul rasa ragu-ragu, penggunaan kit halal seperti yang dinyatakan sedikit sebanyak dapat mengatasi masalah itu,” katanya.

Oleh itu, harapannya, sekiranya kit ini siap kelak, ia bukan saja akan dipasarkan di Selangor dan negeri lain, malah di seluruh dunia agar kelebihannya dapat digunakan sebaiknya oleh umat Islam di mana-mana sahaja.

Bagi Unisel, penghasilan kit itu lebih kepada niat fardu kifayah kepada pengguna Muslim, bukan untuk mengaut keuntungan dan secara tidak langsung, ia juga boleh menjadi nilai tambah kepada kredibiliti Unisel.

Masjid di Patanni diserang, seorang jemaah mati


PATTANI 30 Jun - Beberapa lelaki bersenjata menyerang sebuah masjid di Pattani pada awal pagi hari kedua Ramadan, mengorbankan seorang jemaah.
Mereka melepaskan tembakan rambang ke arah Masjid Nuruddin, Kampung Thamuang, Daerah Panarek, Pattani, ketika umat Islam sedang menuju ke masjid untuk menunaikan solat Subuh.
Menurut saksi, Umar Salaemae, 66, iaitu bapa imam masjid tersebut, meninggal dunia di tempat mengambil wuduk manakala seorang lelaki dikenali sebagai Raning Tokhuamuang, 47, cedera parah.
Mereka berkata beberapa suspek yang bersembunyi dalam hutan di sebelah jalan berhadapan masjid melepaskan tembakan bertubi-tubi ke arah orang ramai yang hendak menunaikan solat menyebabkan keadaan kelam-kabut dengan orang ramai lari menyelamatkan diri.
Jurucakap tentera, Kolonel Pramoth Prom-in, berkata pihak tentera mengucapkan takziah kepada mangsa kejadian. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140630/lu_11/Masjid-di-Patanni-diserang-seorang-jemaah-mati#ixzz3679mFT4F
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Negara huru-hara jika Akta Hasutan dimansuhkan - Dr. Mahathir


KUALA LUMPUR 30 Jun - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Malaysia boleh menjadi huru-hara sekiranya kerajaan meneruskan cadangan untuk menghapuskan Akta Hasutan 1948.
Beliau berkata, ini kerana undang-undang baharu yang dicadang untuk menggantikan akta berkenaan tidak mampu untuk menghalang berbagai-bagai hasutan yang akan berlaku.
"Rakyat akan menerima berbagai-bagai hasutan, termasuk hasutan untuk meminda Perlembagaan Malaysia. Tidaklah mustahil mereka akan menghasut supaya institusi raja juga dihapuskan," katanya dalam entri terbaharu blog beliau http://chedet.cc, hari ini.
Dr. Mahathir turut menyifatkan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Buang Negeri telah menyebabkan peningkatan pelbagai jenis jenayah di negara ini.
"Tetapi hasutan walaupun ada dilakukan (sekarang) tetapi tidak melampaui batas," katanya. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140630/po_05/Negara-huru-hara-jika-Akta-Hasutan-dimansuhkan---Dr-Mahathir#ixzz3678wq3aS
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Peniaga bazar Ramadan gagal pamer tanda harga akan dikenakan tindakan


30/06/2014 3:02pm

RAUB - Semua peniaga di bazar Ramadan wajib mempamerkan tanda harga untuk mengelak pembeli keliru dengan harga barangan yang dijual.
Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Usahawan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Shahiruddin Ab Moin berkata, lebih 200 anggota penguat kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Pahang bersama 2,000 anggota skuad pemantau akan turun padang untuk meninjau perkara tersebut.
"Mereka yang gagal berbuat demikian boleh dikenakan tindakan tegas mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
"Jika sabit kesalahan, peniaga yang gagal mempamerkan tanda harga boleh di denda sehingga RM5,000 bagi perseorangan dan maksimum RM100,00 kepada syarikat,” katanya di sini.
Menurutnya, langkah meletakkan tanda harga pada setiap barangan yang dijual, akan lebih memudahkan orang ramai dan peniaga dalam urusan perniagaan.
Dalam masa yang sama, Shahiruddin turut memberi amaran kepada penjaja agar tidak menjual barangan dan makanan yang telah tamat tarikh lupus kepada pembeli untuk mengelakkan kejadian seperti keracunan makanan.
"Peniaga sepatutnya bertimbang rasa, jujur dan jangan mementingkan keuntungan semata mata, sebaliknya perlu lebih bertimbang rasa,” katanya. - Bernama


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0630&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_11.htm#ixzz3677VkO6V 
Hakcipta terpelihara 

Pyongyang lancar peluru balistik

Pyongyang lancar peluru balistik
Orang ramai menonton siaran berita televisyen di Seoul semalam, menunjukkan peluru balistik yang dilancarkan Korea Utara. 
SEOUL: Korea Utara melancarkan dua peluru balistik ke laut, kata pihak tentera Seoul, yang dilihat untuk menunjukkan tentangan menjelang lawatan Presiden China Xi Jinping ke Korea Selatan. Korea Utara melancarkan peluru ke Laut Timur (Luat Jepun) pada Ahad pagi, kata jurucakap kementerian pertahanan kepada AFP.

 “Kedua-duanya jatuh ke perairan antarabangsa, melepasi sempadan lautnya,” kata pegawai itu. Beliau tidak menjelaskan jenis peluru itu. Tetapi agensi berita Yonhap yang memetik pegawai tentera berkata, ia adalah peluru Scud jarak dekat yang berupaya mencapai jarak kira-kira 500 kilometer. Ia dilakukan tiga hari selepas Pyongyang melancarkan apa yang dipercayai peluru jarak dekat ke laut pada Khamis lalu.

Korea Utara tidak mengesahkan secara rasmi pelancaran peluru pada Khamis itu tetapi sehari kemudian Agensi Berita Pusat Korea memuji apa yang dipanggil sebagai kejayaan ujian dan peluru berprestasi tinggi, yang disaksikan oleh pemimpin Kim Jong-Un. Ia dilakukan beberapa hari sebelum lawatan negara oleh Xi ke Seoul untuk membincangkan isu termasuk program senjata nuklear Korea Utara yang dipertikaikan.

 Lawatan pada 3 dan 4 Julai ini — kunjungan pertama Xi ke Semenanjung Korea — juga adalah yang pertama dalam masa dua dekad bagi seorang pemimpin China melawat Korea Selatan, kerana sebelum lebih banyak ke Korea Utara. - AFP

Filipina berjaga-jaga


2014/06/30 - 04:25:07
gambar sebelum  gambar berikut
Foto
Pegawai polis Filipina mengiringi Mundos (kanan) ketika dibawa keluar daripada mahkamah di kem polis di Taguig, selatan Manila, Jumaat lalu.
Foto
Maklumat risikan dapati kumpulan militan rancang letup bom kereta



MANILA: Pasukan keselamatan diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga di selatan Filipina semalam, kata polis selepas perisik tentera melaporkan kelibat militan Islam di wilayah berkenaan selepas penahanan pemimpin tertinggi kumpulan itu yang dikaitkan dengan al-Qaeda.

Minggu lalu, sepasukan tentera dan pegawai polis menahan, Khair Mundos, pakar membuat bom dan pemimpin Abu Sayyaf, yang menjadi terkenal awal dekad lalu dengan menculik warga asing. Mundos dikehendaki Amerika Syarikat, yang menawarkan ganjaran AS$500,000 (RM1.6 juta) bagi penangkapannya.

“Maklumat kukuh diterima, mendedahkan kemungkinan ancaman kepada keamanan dan keselamatan Wilayah 11, terutama di Bandaraya Davao.

Premis tiada Sijil Halal boleh didenda RM5j


2014/06/30 - 05:32:14
Kuala Lumpur: Premis perniagaan makanan yang tiada Sijil Halal tetapi menggunakan istilah bufet Ramadan untuk mempromosi jualan, boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Perihal Dagangan.

Mengikut Akta Perihal Dagangan, Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011, pemilik perniagaan itu yang disabit kesalahan boleh didenda sehingga RM5 juta bagi pertubuhan perbadanan dan denda maksimum RM1 juta bagi individu.

Pesalah juga boleh disabitkan kesalahan mengikut Perakuan dan Penandaan Halal akta sama, denda maksimum RM200,000 bagi pertubuhan perbadanan, manakala denda maksimum RM100,000 bagi individu.

JAKIM pantau lebih kerap

Pengarah Bahagian Hab Halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Hakimah Mohd Yusoff, berkata pihaknya akan membuat pemantauan lebih kerap dan terperinci bagi memastikan semua pihak mematuhi undang-undang.

Katanya, walaupun pemantauan dijalankan di premis yang mempunyai Sijil Halal, penguatkuasaan berdasarkan aduan boleh diambil ke atas mana-mana premis yang melanggar akta itu.

“JAKIM dilantik sebagai Penolong Pengawal Perihal Dagangan mengikut akta itu dan boleh mengambil tindakan kepada mana-mana individu yang melanggar akta ini,” katanya kepada BH ketika dihubngi, semalam.
Beliau diminta mengulas penggunaan istilah bufet Ramadan yang digunakan sewenang-wenangnya sehingga mengelirukan umat Islam yang ingin berbuka puasa di premis perniagaan.

Kelmarin, Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Othman Mustapha, meminta pengusaha premis makanan dan hotel mendapatkan Sijil Halal daripada pihaknya atau Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) sebelum mempromosi juadah Ramadan.

Gantung Sijil Halal

Tahun lalu, lapan premis dikenakan tindakan penggantungan Sijil Halal dan tindakan mengikut akta itu, manakala tujuh premis diberikan amaran.

Mengulas lanjut, Hakimah berkata, kesedaran pengguna semakin meningkat berdasarkan kekerapan orang ramai merujuk kepada JAKIM berhubung status halal premis yang menawarkan promosi sedemikian.

Arab Saudi taja 35 imam


2014/06/30 - 05:41:35
Arab Saudi  taja   35 imam
Umat Islam di ibu kota menunaikan solat sunat tarawih yang diimamkan oleh Syeikh Abdurrahman el-Dousuky Taha Radwan dari Mesir di Masjid Negara. - Foto Effendy Rashid

Imamkan solat sunat tarawih di seluruh negara sempena Ramadan 

Kuala Lumpur: Seramai 35 imam hafiz ditaja oleh Kerajaan Arab Saudi untuk mengimamkan solat sunat tarawih di masjid terpilih di seluruh negara sepanjang Ramadan ini.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Othman Mustapha, berkata setiap negeri mendapat dua imam yang akan mengimamkan solat tarawih kecuali tiga imam di Sarawak dan masing-masing lima di Selangor dan Wilayah Persekutuan.

“Kerajaan mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan Arab Saudi; Menteri Hal Ehwal Islam Saudi, Syeikh Soleh Ala Syeikh; Duta Arab Saudi ke Malaysia, Fahad Abdullah Al Rasyed.

Jemput imam luar negara

“Selain itu, kita sudah menjemput imam tarawih dari dalam dan luar negara yang akan ditempatkan di empat masjid di bawah seliaan JAKIM dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) iaitu Masjid Negara dan Masjid Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur serta Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Othman berkata bagi Masjid Negara, imamnya adalah Syeikh Abdurrahman el-Dousuky Taha Radwan dari Mesir yang sudah menjadi imam jemputan tarawih di masjid itu sejak tahun 2010.
Sementara itu, imam jemputan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin pula adalah Syeikh Dr Samy Abdul Rahman Al-Fakky dari Mesir dan Mufti Zimbabwe, Syeikh Ismail Musa Menk.