Tuesday, January 19, 2016

'Saya kena kuat...' [METROTV]

Klang: "Saya kena kuat untuk teruskan hidup dan saya mahu kaki palsu supaya senang nak berjalan nanti," kata Siti Nuraisyah Sahrin, 13, yang putus kedua-dua kakinya selepas digilis lori dalam kejadian di Parit 16, Sungai Panjang, Sabak Bernam, semalam.
Menceritakan kejadian itu, Siti Nuraisyah yang juga anak keempat daripada tujuh beradik berkata, dia membonceng motosikal Honda EX5 yang ditunggang kakak tirinya sebelum dilanggar kereta dari arah belakang.
Katanya, kakak tirinya, Shamin Amirah Roslan, 14, cedera pada badan serta terseliuh kaki kanan dan kiri.
"Saya terjatuh di tengah jalan dan tak perasan ada lori. Kenderaan itu menggilis kaki saya dan terus beredar dari tempat kejadian.
"Waktu itu, saya macam nak pengsan sebab banyak darah keluar. Saya menjerit sekuat hati kerana saya memang takut dengan darah.
"Saya masih terkejut dan trauma dengan apa yang berlaku. Saya kena cekal dan tabah terutama untuk dapat berjalan semula seperti biasa," katanya ketika ditemui Harian Metro di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini, pagi tadi.
Ibu Siti Nuraisyah, Maimunah Md Razali, 48, berkata dia mengetahui anaknya terbabit kemalangan selepas dihubungi orang awam memaklumkan anaknya kemalangan pada 3 petang, semalam.
"Saya terus ke lokasi kejadian yang terletak berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), Bagan Terap. Sedih melihat keadaannya ketika itu kerana banyak darah di kakinya.
"Sebagai ibu, saya tidak dapat gambarkan betapa sedihnya saya. Saya tidak dapat menerima hakikat dia (Siti Nuraisyah) terbabit kemalangan sehingga menyebabkan dua kakinya putus," katanya yang menangis.
Katanya, dia sedih melihat Siti Nuraisyah tidak dapat berjalan seperti biasa.
"Sebelum ini, dia (Siti Nuraisyah) akan menangis kalau terjatuh dan cedera sebab dia takut darah tapi masa hari kejadian, dia kuat semangat... langsung tak menitiskan air mata.
"Tapi hati ibu mana yang tidak pilu melihat anak perempuan kesayangannya tiada kaki, sebak melihat keadaannya," katanya.
Menurutnya, dia berharap akan ada pihak tampil membantu bagi meringankan beban ditanggungnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Nor Azmi Isa berkata,pemandu kereta dan lori yang terbabit dalam kemalangan berkenaan sudah membuat laporan polis kira-kira 12.45 hingga 1.30 pagi tadi.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Kami kini dalam proses memanggil saksi kejadian dan siasatan lanjut sedang giat dijalankan," katanya ketika dihubungi Harian Metro, petang tadi.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 January 2016 @ 6:20 PM


Siti Nuraisyah yang kehilangan kedua-kedua kaki ditemani Maimunah di HTAR, Klang. FOTO Roslin Mat Tahir

Harga minyak merudum lagi


LAMBAKAN minyak mentah dunia terutama selepas penarikan sekatan ekonomi ke atas Iran dijangka menyebabkan harga minyak jatuh ke paras AS$25 (RM110) setong.


SINGAPURA – Pakar dan penganalisis ekonomi meluahkan kebimbangan mengenai trend penurunan harga minyak mentah dunia yang kini menuju ke paras AS$25 (RM110) setong apabila dikhuatiri boleh mencetuskan krisis ekonomi global.
Harga minyak mentah Brent semalam jatuh di bawah AS$28 (RM123.90) setong di Asia berikutan kebimbangan mengenai krisis lambakan bekalan selepas Barat menamatkan sekatan ke atas Iran.
Penamatan sekatan itu membolehkan Teheran menyambung eksport minyaknya.
“Sasaran Iran adalah untuk meningkatkan pengeluaran minyak mentah sehingga 1.5 bilion tong menjelang akhir 2016,” kata Menteri Minyak Iran, Bijan Zanganeh, ketika ditemu bual CNN baru-baru ini.
Sehingga 500,000 tong minyak mentah Iran memasuki pasaran yang kini tepu pada setiap hari selepas Amerika Syarikat (AS) dan Eropah menamatkan sekatan yang dilaksanakan bagi mengekang program nuklear Teheran.
Harga minyak mentah merosot 75 peratus sejak awal 2014 disebabkan oleh lebihan bekalan, pengeluaran paling tinggi, permintaan lemah dan keadaan ekonomi dunia yang suram.
Kejatuhan teruk itu adalah yang pertama dalam tempoh lebih 13 tahun sejak Februari 2003.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0119&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz3xguaEV48 
Hakcipta terpelihara 

Cameron tegur wanita Islam




LONDON – Perdana Menteri Britain, David Cameron (gambar) mahu lebih banyak usaha dilakukan untuk membantu wanita Islam di negara itu mempelajari Bahasa Inggeris bagi menangani diskriminasi dan pengasingan jantina dalam komuniti mereka.
Dalam komentar yang disiarkan akhbar The Times kelmarin, Cameron berkata, masanya sudah tiba untuk menangani sikap mundur sebilangan kecil lelaki Islam yang melaksanakan kawalan negatif sehingga merosakkan wanita yang berada dalam kehidupan mereka.
Sikap toleransi secara pasif, kata Cameron, menyebabkan kelompok tersebut percaya bahawa kemajuan untuk lelaki dan wanita adalah berbeza.
Pemimpin Parti Konservatif itu melancarkan dana pembelajaran bahasa berjumlah AS$28.5 juta (RM125 juta) untuk wanita yang tinggal dalam komuniti terpencil sebagai sebahagian daripada usaha memupuk integrasi masyarakat.
Menurutnya, golongan imigran perlu meningkatkan kefasihan Bahasa Inggeris atau berdepan risiko sukar untuk tinggal di Britain.
Cameron berkata, perangkaan baharu mendapati kira-kira 190,000 wanita Islam atau 22 peratus daripada mereka bertutur sedikit atau langsung tidak memahami Bahasa Inggeris walaupun telah menetap di Britain selama beberapa dekad.
“Kira-kira 40,000 wanita ini langsung tidak faham Bahasa Inggeris.
“Justeru, tidak hairanlah jika 60 peratus wanita ini yang berketurunan Pakistan atau Bangladesh tidak aktif dari segi ekonomi,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan akan bertindak terhadap minoriti lelaki yang mengekalkan sikap mundur dan mengenakan kawalan sedemikian terhadap isteri, adik-beradik dan anak perempuan mereka.
Menurutnya lagi, terpulang kepada golongan imigran itu untuk meningkatkan kemahiran Bahasa Inggeris jika mahu terus tinggal di Britain atau memohon kewarganegaraan.
“Kami menyatakan, sekiranya kamu tidak meningkatkan kefasihan Bahasa Inggeris, peluang kamu tinggal di Britain terjejas.
“Ketegasan ini dapat membantu menjelaskan kepada lelaki-lelaki berkenaan bahawa tindakan menghalang pasangan daripada bergaul dengan masyarakat akan membawa padah kepada mereka,” kata Cameron. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0119&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3xgtyZatG 
Hakcipta terpelihara 

Korea Utara gugur sejuta risalah propaganda


SEOUL – Korea Utara menggugurkan hampir sejuta risalah propaganda di Korea Selatan sejak seminggu lalu, kata Seoul semalam berhubung perang propaganda yang kian rancak dan tercetus selepas Pyongyang melakukan ujian nuklear terbarunya.
Risalah itu yang dihantar dengan belon-belon helium, merupakan tindak balas Korea Utara selepas Korea Selatan menyiarkan siaran propaganda menggunakan rangkaian pembesar suara gergasi di sempadan kedua-dua negara.
Korea Utara turut menyiarkan siaran propagandanya dan menyebarkan risalah mengecam Presiden Korea Selatan, Park Geun-hye.
Perang propaganda itu berlaku selepas Korea Utara mengadakan ujian bom nuklear kali keempat yang menerima kecaman dunia pada 6 Januari lalu.
Kementerian Pertahanan Korea Selatan berkata, risalah Pyongyang itu digugurkan hampir setiap hari dengan kebanyakannya jatuh dekat kawasan sempadan di wilayah Gyeonggi, manakala sebahagian lagi sampai ke Seoul.
Menurutnya, Korea Utara menggunakan belon-belon helium yang dipasang bom jangka. Belon-belon itu meletup dan menyebarkan risalah itu. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0119&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3xgszjh00 
Hakcipta terpelihara 

Hadi Dibidas Kerana Didakwa Serang Mubaligh Kristian


Diterbitkan: Selasa, 19 Januari 2016 5:51 PM
Datuk Seri Abdul Hadi Awang

PETALING JAYA: MCA menyelar Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyatakan bahawa mubaligh Kristian telah menggunakan wang dan bantuan untuk menukar agama masyarakat di Sabah dan Sarawak.

Pengerusi Biro Keharmonian Agama Datuk Seri Ti Lian Ker berkata mengaitkan Kristian dengan rakyat Sabah dan Sarawak secara khusus adalah tidak wajar, terutama daripada seorang Presiden PAS.

"Kenyataan beliau bukan sahaja menghasut tetapi juga ringkas dan terlalu umum yang mempunyai kecenderungan untuk meresap masuk dan mencemarkan minda yang lebih kecil dengan prejudis dan penipuan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Lian Ker mempersoalkan jika Hadi membuat kenyataan itu untuk mengalihkan perhatian daripada hakikat bahawa ramai pemimpin PAS dan pengikutnya telah meninggalkan parti itu kerana ia memegang dasar kuno dan regresif tanpa mengambil kira keadilan atau keadilan sosial.

Beliau juga mempersoalkan mengapa PAS berdiam diri tentang ketidakadilan sosial, seperti dalam kes penukaran agama anak kepada Indira Gandhi.

"PAS senyap tentang ketidakadilan sosial dan implikasi penghakiman terhadap kes Indira walaupun menganjurkan bahawa 'keadilan' adalah prinsip utama dan asas yang dianjurkan oleh Islam.

"Ini menunjukkan PAS menggunakan dan masih bertahan pada sentimen Islam sebagai sebuah parti politik dan tidak kepada teras prinsip Islam," katanya.

Hadi dilaporkan berkata bahawa mubaligh Kristian menyebarkan ajaran mereka di Afrika dan kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak setelah ia ditolak oleh pendidikan di negara-negara Barat.

Beliau juga berkata bahawa mereka telah memerangkap sasaran dengan wang dan lain-lain bentuk bantuan.

Sudah Tiba Masa Tangani Isu Lain Sebaik Siasatan 1MDB Berakhir - Zeti


Diterbitkan: Selasa, 19 Januari 2016 3:39 PM
Zeti Akhtar Aziz.

PETALING JAYA: Rakyat Malaysia mahu melihat penamat kepada siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) supaya negara boleh menangani beberapa isu ekonomi yang lain, kata Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.
Zeti yang akan bersara pada April ini berkata pihak berkuasa sedang menyiasat syarikat pelaburan strategik milik kerajaan itu dari pelbagai aspek.
"Semua orang mahukan penamatnya supaya kita boleh meneruskan langkah, nilai mata wang kita terus pulih dan kita boleh berurusan dengan isu ekonomi lain yang dihadapi negara ini," katanya dalam temubual eksklusif bersama CNBC.
Zeti berkata Bank Negara sudah melengkapkan siasatan terhadap 1MDB dan beberapa tindakan penguatkuasaan telah diambil walaupun keputusan itu hanya akan diketahui apabila ia dimuktamadkan dan diumum kepada rakyat.