Monday, November 3, 2014

562 bilik kebal di seluruh negara dilengkapi CCTV elak kebocoran kertas peperiksaan



KETUA Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Khair Mohamad Yusof (tengah) melawat bilik kebal yang menempatkan kertas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2014 di Sekolah Menengah Kebangsaan Anderson, Ipoh, pagi ini. - Foto Supian Ahmad
IPOH: Semua 562 bilik kebal di seluruh negara sudah dilengkapi dengan kemudahan kamera litar tertutup (CCTV) sebagai langkah tambahan keselamatan bagi mengelak kebocoran kertas peperiksaan.
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Khair Mohamed Yusof berkata, bagaimanapun bukan hanya aspek simpanan kertas peperiksaan di bilik kebal sahaja dipertingkatkan, sebaliknya keseluruhan aspek dari peringkat awal juga dipertingkatkan bagi memastikan aspek keselamatan menjadi keutamaan.
"Proses lain juga diperlengkap dan dipertingkatkan termasuk penubuhan Jawatankuasa Bebas bagi menangani isu kebocoran kertas peperiksaan Oktober lalu dan laporan dijangka akan dapat diperoleh pertengahan Disember ini," katanya selepas mengadakan lawatan ke bilik kebal Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anderson dan meninjau persediaan hari pertama peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia di sini sebentar tadi.
Khair turut berpuas hati dengan proses dan aspek kawalan keselamatan ketika kertas peperiksaan diambil dan diagihkan ke pusat peperiksaan di bilik kebal berkenaan.
Seramai 455,839 calon akan mengambil peperiksaan SPM tahun ini membabitkan 3,655 pusat peperiksaan dengan 29,607 petugas ditempatkan di seluruh negara.

Russia iktiraf pilihan raya di timur Ukraine, EU tolak

MOSCOW: Russia mengiktiraf keputusan pilihan raya pemberontak yang menimbulkan kontroversi di timur Ukraine namun Kesatuan Eropah (EU) menganggapnya tidak sah dan menjadi halangan baharu kepada penyelesaian konflik di rantau berkenaan.
Russia sebaliknya menganggapnya sebagai perkembangan yang akan membantu mewujudkan semula 'kehidupan normal' di rantau itu.
"Kami menghormati kehendak penduduk di tenggara (Ukraine). Mereka yang dipilih memperoleh mandat untuk menyelesaikan isu bagi mewujudkan semula kehidupan normal di rantau berkenaan," kata Kementerian Luar Russia dalam satu kenyataan hari ini.
Di BRUSSELS, Kesatuan Eropah menyatakan pilihan raya yang diadakan semalam oleh pemberontak pro-Russia di timur Ukraine adalah tidak sah, justeru tidak akan diiktiraf kerana akan mewujudkan halangan baharu kepada resolusi konflik di kawasan berkenaan.
"Saya anggap pilihan raya hari ini sebagai halangan baharu dalam usaha mencari perdamaian di Ukraine," kata Ketua Hal Ehwal Luar EU, Federica Mogherini dalam satu kenyataan.
Mogherini berkata, pilihan raya itu bercanggah dengan semangat gencatan senjata seperti terkandung dalam perjanjian damai Kiev yang ditandatangani dengan pemberontak September lalu serta disokong oleh masyarakat antarabangsa dan Russia.
Protokol Minsk itu menetapkan bahawa pilihan raya di kawasan dikuasai pemberontak itu akan diadakan mengikut peruntukan undang-undang Ukraine pada Disember depan.
Namun pihak pemberontak menolak cadangan ini dan menganjurkan pilihan raya mereka sendiri selepas Ukraine mengadakan pilihan raya pada 26 Oktober lalu, yang dihalang oleh pemberontak berkenaan daripada diadakan di kawasan mereka.
Mogherini berkata, pilihan raya yang ditetapkan di bawah perjanjian Minsk adalah sah bagi memilih pihak berkuasa tempatan di bahagian berkenaan di Ukraine.
"Saya menggesa semua pihak supaya bekerja bagi memastikan pilihan raya itu berjalan lancar," katanya. - AFP

Obama terpaksa tukar pesawat selepas Air Force One alami masalah mekanikal

PHILADELPHIA: Presiden Barack Obama dan rombongannya terpaksa menukar pesawat bagi penerbangan balik ke Washington semalam berikutan masalah mekanikal pada pesawat Air Force One, kata seorang jurucakap.
"Ketika di Philadelphia, kami tukar ke pesawat gantian berikutan ada masalah kecil mekanikal pada satu daripada sayap pesawat berkenaan," kata jurucakap Rumah Putih, Eric Schultz.
Bagaimanapun, katanya, pertukaran ke pesawat C-32 tidak akan menjejaskan jadual Obama.
Katanya, mana-mana pesawat yang membawa presiden akan dinamakan sebagai Air Force One.
Terdahulu Obama ke Connecticut bagi menghadiri perhimpunan kempen sebelum terbang ke Pennsylvania bagi menghadiri satu lagi kempen menjelang pilihan raya pertengahan tempoh, esok. - REUTERS

PAS tanya status Kg Chubadak Tambahan di parlimen


HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Menteri Wilayah Persekutuan diminta menyatakan status Kg. Chubadak Tambahan serta kampung-kampung lain di Wilayah Persekutuan.  

Demikian pertanyaan bagi jawab lisan daripada Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud pada persidangan Dewan Rakyat yang bermula jam 10.00 pagi ini.

Soalan daripada ahli-ahli parlimen PAS yang disenaraikan pada hari ini seperti di bawah.

Mohamed Hanipa Maidin [Sepang] minta MENTERI KERJA RAYA menyatakan:-  
(a) apakah langkah-langkah yang telah dan akan diambil oleh Kementerian untuk menyelesaikan masalah kesesakan yang teruk di simpang empat Dengkil di Lebuh Raya Dengkil-Bangi; dan
(b) adakah Kementerian menimbangkan pembinaan 'flyover' di persimpangan tersebut dan akan membina hentian R&R di lebuh raya tersebut bagi kemudahan pengguna lebuh raya tersebut.  

Datuk Dr. Nik Mazian Nik Mohamad [Pasir Puteh] minta Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani menyatakan tentang pengeluaran buah-buahan tempatan yang berlebihan pada tahun ini sehingga petani menghadapi masalah tidak dapat memasarkannya. Apakah tindakan Kerajaan untuk mengatasi lambakan buah-buahan ini yang berlaku pada setiap tahun dan adakah tindakan yang diambil dapat menyelesaikan masalah ini.  

Khalid Abdul Samad [Shah Alam] minta Perdana Menteri menyatakan adakah benar Akta Hasutan akan dimansuhkan dan sekiranya benar, bila.  

Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa [Parit Buntar] minta Menteri Pelancongan Dan Kebudayaan menyatakan adakah Kementerian menyediakan penerangan atau syarat-syarat tertentu kepada pelancong asing agar mereka mesti menjaga ketenteraman dan kesopanan di dalam negara.  

Datuk Takiyuddin Hassan [Kota Bharu] minta Menteri Sumber Asli Dan Alam Sekitar menyatakan apakah langkah Kerajaan untuk mengawal kualiti udara di negara ini yang sering kali mengalami bacaan Indeks Pencemaran Udara yang kurang sihat. -HARAKAHDAILY 3/11/2014   

Ku Nan tuduh sesat, PAS rujuk undang-undang


MUHAMMAD FAIZAL | .
KUALA LUMPUR: PAS akan‎ mengambil tindakan undang-undang terhadap Setiasaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang menuduh PAS sebagai sebuah parti yang membawa ajaran sesat.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar ketika dihubungi memberitahu akan merujuk kepada Lajnah Undang-Undang PAS bagi tindakan susulan

"Kita mengecam kenyataan Tengku Adnan yang menuduh‎ PAS sebagai sebuah parti politik yang membawa jaran sesat dan memesongkan akidah umat Islam.

"Kita akan mendapatkan nasihat daripada Lajnah Undang-Undang bagi mempertimbangkan tindakan undang-undang kepada Setiausaha Agung Umno itu," jelasnya kepada Harakahdaily.

‎Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penutup Multaqa Kebangsaan, Biro Agama Umno di ibu negara.

Beliau turut mendakwa Umno merupakan parti Melayu yang dapat memastikan akidah umat Islam di Malaysia tetap terpelihara.‎ -HARAKAHDAILY 2/11/2014

Malaysia Mahu Bawa Balik Bangkai Pesawat MH17


Diterbitkan: Isnin, 3 November 2014 8:59 AM
Bangkai pesawat MH17

KOTA BHARU: Malaysia berharap dapat membawa balik bangkai pesawat MH17 untuk dijadikan sebagai tanda peringatan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, bangkai pesawat itu boleh dihantar kembali ke Malaysia selepas pihak berkuasa Belanda dan pasukan penyiasatan lain menyelesaikan siasatan mamsing-masing.

"Kami akan dapatkian kenali bangkai pesawat itu kerana ia milik Malaysia.

"Kalau boleh kami akan cuba memasangnya kembali dan mempamerkan di kawasan awam sebagai tanda ingatan atau peristiwa yang mengorbankan ramai nyawa rakyat Malaysia," jelas Liow selepas melancarkan mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Jalanraya Kelantan pada Ahad.

Tambah beliau, selepas mengenalpasti 44 orang mangsa tragedi MH17, pihak kerajaan kini memberi fokus dalam membawa pihak terlibat ke muka pengadilan.

"Kami berharap akan meneruskan komitmen kepada keluarga pemumpang dan anak kapal, dan keadilan perlu dilakukan terhadap penjenayah," jelasnya.

Merujuk kepada tragedi MH17 dan MH370, beliau menyeru (ICAO) Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa  dapat menerima cadangan bagi menggunakan prosedur wajib dan protokol yang akan meningkatkan standard keselamatan penerbangan awam antarabangsa.

Antara cadangan beliau ialah kewajiban melaporkan informasi yang relevan mengenai risiko penerbangan ke ICAO oleh negara-negara anggota dan menjadi protokol global untuk menyebarkan maklumat sebarang kepada ahli-ahli dan syarikat penerbangan.

Dalam pada itu, beliau berkata, laporan terkini mengenai keselamatan jalanraya menyaksikan 19 kematian sehari sangat membimbangkan dan perlu banyak usaha dilakukan untuk mengurangkannya.

"Buat masa ini, lebih daripada 81 peratus daripada kemalangan adalah disebabkan oleh kesilapan manusia," katanya, sambil menambah bahawa faktor-faktor lain adalah disebabkan oleh sebab-sebab seperti kenderaan rosak.

Liow berkata kesedaran keselamatan jalan raya secara berterusan harus diajarkan kepada semua pemilik kenderaan.

"Semua usaha akan menjadi sia-sia jika pengguna jalan raya memilih untuk tidak menghiraukannya itu," katanya.

"Dasarnya adalah sikap pengguna jalan raya. Jika mereka gagal untuk mengikuti arahan oleh pihak berkuasa, usaha kita akan sia-sia.

"Kami akan meneruskan usaha dengan mensasarkan guru-guru dan pelajar, dan menanamkan dalam diri mereka  mengenai kesedaran tentang keselamatan dan langkah berjaga-jaga yang harus diambil. 
"Kami berharap dapat melatih generasi baru agar menjadi  pemandu yang lebih bertanggungjawab dan berhati-hati,"jelasmya.

Penduduk Ukraine mengundi


Perdana Menteri Republik Rakyat Donetsk, Alexander Zakharchenko turut membuang undi, semalam.
Perdana Menteri Republik Rakyat Donetsk, Alexander Zakharchenko turut membuang undi, semalam.
DONETSK - UKRAINE. Penduduk di timur Ukraine, semalam tetap keluar mengundi dalam pilihan raya kontroversi di wilayah tersebut walaupun dicemari insiden keganasan menjelang proses pengundian .

Menurut laoran Press TV, pilihan raya tempatan yang diadakan di Donetsk dan Lugansk itu bertujuan untuk memilih pemimpin dan wakil Parlimen baharu.

Ketua Suruhanjaya Pilihan Raya Republik Rakyat Donetsk, Roman Lyagin memaklumkan pilihan raya tersebut amat penting kerana ia akan memberi kuasa yang sah kepada mereka.

Sementara itu, Kiev menegaskan siasatan terhadap proses pengundian telah dijalankan kerana ia didakwa sebagai cubaan kumpulan pemisah pro-Rusia untuk merampas kuasa secara tidak sah.

Liwat II: Rayuan masuk hari kelima


Anwar Ibrahim - Foto AFP
Anwar Ibrahim - Foto AFP
PUTRAJAYA - Pendengaran rayuan terakhir, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim  yang mencabar keputusan Mahkamah Rayuan mensabitkannya bersalah dan lima tahun penjara masuk hari kelima, hari ini.

Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah akan menyambung hujah mengapa sabitan bersalah selamat dan memohon hukuman penjara ditambah terhadap Anwar dalam pertuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, lapan tahun lalu.

Hujahan dibuat dihadapan panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang bersidang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria bermula jam 9.30 pagi.

Korum turut dianggotai Presiden Mahkamah Rayuan,  Tan Sri Raus Sharif; Hakim Mahkamah Persekutuan,  Tan Sri Abdul Hamid Embong; Tan Sri Suriyadi Halim Omar; Datuk Ramly Ali.‬

Galeri awam mahkamah dipenuhi media, kaum keluarga Anwar dan pemerhati antarabangsa.

Notis Kajian Semula Persempadanan Diwarta Bulan Depan - SPR


Diterbitkan: Ahad, 2 November 2014 1:26 PM
Abdul Aziz Mohd Yusof.

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka mewartakan notis Kajian Semula Persempadanan bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) penghujung tahun ini, kata pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Beliau berkata sebelum mewartakan notis tersebut, SPR perlu memaklumkan kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku ketua kerajaan, mengikut peraturan yang ditetapkan.

"Bila notis itu diumumkan, maka bermulalah tempoh persempadanan semula dan notis itu akan dipamer selama sebulan (untuk menerima bantahan dan cadangan) daripada kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan kumpulan pengundi berdaftar, sekurang-kurangnya 100 orang dalam bahagian pilihan raya terbabit," katanya.

Beliau berkata laporan akhir mengenai syor kajian semua persempadanan kawasan pilihan raya itu perlu diserahkan kepada Perdana Menteri dalam tempoh tidak lebih dua tahun daripada tarikh notis diumumkan, untuk dibentangkan di persidangan Dewan Rakyat untuk kelulusan selaras dengan Seksyen 8, Jadual ke-13 Perlembagaan Persekutuan.

Laporan yang diluluskan oleh sidang Dewan Rakyat akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Aging untuk ditandatangan sebelum diwartakan dan diguna pakai.

Abdul Aziz berkata persempadanan semula merupakan satu daripada tanggungjawab utama SPR di bawah Perlembagaan bagi memastikan pengundi mudah mendapat perkhidmatan wakil rakyat masing-masing apabila sesebuah kawasan pilihan raya yang luas dikecilkan atau dipecah dua, seperti kawasan yang mempunyai pengundi lebih daripada 100,000 orang.

"Kawasan mengundi yang luas perlu dikecilkan supaya jumlah pengundi yang terdapat di satu-satu kawasan pilihan raya adalah munasabah," jelasnya.

Katanya, sebagai contoh di Kuala Lumpur, keluasan kawasan Parlimen adalah kecil sahaja seperti kawasan Batu dan Segambut namun jumlah pengundinya besar, dan tanpa persempadanan semula, rakyat sukar untuk mendapat perkhidmatan yang baik daripada wakil rakyat.

"Persempadanan semula bukan untuk menentukan satu-satu parti memenangi pilihan raya," tegasnya dan menambah, prinsip yang digunakan SPR dalam membuat persempadanan semula ialah untuk menyenangkan pengundi.

Abdul Aziz berkata kajian semula Persempadanan dilakukan sekurang-kurangnya lapan tahun sekali dan kali terakhir dibuat pada 2003, dan mengikut peraturan, persempadanan semula sepatutnya dilaksanakan pada 2011.

"Pada masa itu, SPR takut ia bertembung dengan pilihan raya umum ke-13 (PRU-13). Jadi persempadanan semula ditangguhkan, dan hasil persempadanan semula kali ini hanya boleh digunakan untuk pilihan raya umum akan datang yang selewat-lewatnya diadakan pada 2018," katanya.

Abdul Aziz berkata setelah lebih lapan tahun sudah pasti bilangan pengundi bertambah berikutan pembangunan pesat seperti pembinaan bangunan baharu oleh kerajaan yang boleh dijadikan pusat mengundi selain lebih banyak jalan raya yang dibina, yang akan memudahkan usaha SPR untuk mengecilkan bilangan pengundi.

"Sekarang ada kawasan Parlimen yang mempunyai dua pejabat daerah dan dua pihak berkuasa tempatan (PBT), dan keadaan ini menyusahkan wakil rakyat selain menyusahkan penyelarasan semasa hari mengundi dan pendaftaran pengundi," katanya.

Beliau berkata apa yang dilalukan oleh SPR dalam persempadan semula adalah untuk mendekatkan tempat mengundi untuk para pengundi demi kemudahan mereka.

Yang kedua dalam setiap kawasan mengundi itu mesti ada kemudahan pentadbiran seperti pejabat daerah, pihak berkuasa tempatan, majlis daerah, majlis bandaran dan bandar raya.

"Seberapa daya yang boleh, jumlah pengundi itu mesti lebih kurang sama banyak. Tapi sama banyak pun, SPR tidak boleh samakan jumlah pengundi di bandar dengan luar bandar. Kawasan bandar kepadatan penduduknya tinggi, di kawasan luar bandar kepadatan penduduknya rendah," jelasnya. 

Khalid Tidak Akan Lepas Jawatan Wakil Rakyat - Faekah


Diterbitkan: Ahad, 2 November 2014 11:24 PM

KUALA LUMPUR: Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tetap komited meneruskan tugas dan peranan sebagai wakil rakyat Bebas walaupun menerima pelbagai tekanan daripada pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Pegawai Khasnya, Faekah Husin berkata tindakan PKR memecat Abdul Khalid daripada parti itu sebenarnya tidak menghalang bekas menteri besar Selangor itu daripada terus berkhidmat untuk rakyat.

Dalam kenyataan pada Ahad, beliau berkata kerajaan negeri juga telah menghentikan peruntukan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang serta memecat dua pegawai DUN yang masih mempunyai kontrak dengan kerajaan negeri.

Beliau berkata Abdul Khalid, yang juga ADUN Pelabuhan Klang dan Anggota Parlimen bagi kawasan Bandar Tun Razak itu, kini menjalankan aktiviti menerusi badan bukan kerajaan (NGO).

Mulai 15 November ini, Abdul Khalid bersama beberapa rakan akan memulakan aktiviti 'Sajian Rakyat', iaitu NGO yang menyediakan makanan kepada komuniti setempat sebagai platform bertemu rakyat, kata Faekah.

"Abdul Khalid komited meneruskan pelbagai inisiatif dan aktiviti sebagai wakil rakyat, dan PKR - parti yang kononnya memperjuang keadilan untuk semua perlu berhenti dari amalan politik kebudak-budakan, tamak dan melampaui batas," tegasnya.

Pasukan Penyiasat Tunggu Masa Ke Lokasi Nahas MH17


Diterbitkan: Ahad, 2 November 2014 11:28 PM

KOTA BAHARU: Pasukan penyiasat kini sedang menunggu masa yang sesuai untuk kembali ke lokasi nahas MH17 di Ukraine bagi meneruskan usaha mencari bahan bukti mengenai insiden berkenaan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata pasukan itu sedang menunggu lampu hijau daripada pihak berkuasa di negara itu untuk memasuki lokasi nahas.

"Kita sedang menunggu lampu hijau untuk masuk dalam tempoh seminggu dua ini dan pasukan itu akan mencari baki mayat dan juga barang-barang yang boleh dijadikan bahan bukti bagi melengkapkan siasatan," katanya kepada pemberita selepas Merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Keselamatan Jalan Raya Malaysia Ke-55 di sini, Ahad.

Turut hadir Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya Kelantan Datuk Abdul Fattah Mahmood dan Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia Datuk Dr Tam Weng Wah.

Beliau berkata kerajaan akan berusaha untuk membawa balik kesemua bahan bukti termasuk rangka pesawat jika dibenarkan untuk dibawa pulang bagi tujuan penyiasatan itu.

Di KUALA LUMPUR, Liow dalam kenyataan akhbar berkata beliau sukacita untuk menyatakan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) sebulat suara mengeluarkan resolusi mengutuk tindakan menembak jatuh pesawat MH17 di timur Ukraine.

Liow berkata Majlis juga telah mengkaji Laporan Pasukan Petugas yang ditubuhkan di bawah ICAO untuk mendedahkan Risiko ke atas Penerbangan Awam yang terbit dari Zon Konflik.

"Semasa sesi mesyuarat ke-203 Majlis ICAO di Montreal, Kanada pada 27 Oktober, saya mencadangkan di hadapan Majlis termasuk laporan tepat pada masanya berkaitan maklumat mengenai risiko penerbangan kepada negara anggota ICAO.

"Dunia harus melihat tragedi ini sebagai amaran, kita tidak lagi boleh leka dan mesti mengambil langkah-langkah pencegahan sekarang," katanya dalam kenyataan itu.

Pesawat MH17, membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal, terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai selepas ia ditembak jatuh semasa dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

Laporan awal Lembaga Keselamatan Belanda antara lain menyebut struktur pesawat MH17 berkecai di udara berkemungkinan akibat ditembusi objek bertenaga tinggi dari luar pesawat dan tiada petunjuk bahawa nahas disebabkan masalah teknikal atau perbuatan anak kapal, selain pesawat itu disahkan 'layak terbang'.

PAS Tutup Mulut Rayuan Gantung 2 Adun


Diterbitkan: Ahad, 2 November 2014 6:00 PM
Hasnul Baharuddin (kiri) dan Saari Sungib.

KUALA LUMPUR: Nasib dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS berhubung rayuan terhadap keputusan parti itu menggantung keahlian mereka daripada parti itu tidak akan didedahkan kepada umum.

Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh berkata, keputusan untuk merahsiakan hasil mesyuarat majlis itu dibuat bagi menghormati kedua-dua Adun berkenaan.

"Kita akan hantar surat keputusan kepada dua orang yang merayu, lepas itu baru kita beritahu.

"Kandungan surat itu hanya boleh diberitahu dua tiga hari selepas ini, ini sebagai penghormatan kepada mereka berdua," katanya kepada pemberita di Pejabat Agung PAS di sini, Ahad.

Hasnul dan Saari ketika hadir pada sidang media menyokong pencalonan Dr Wan Azizah sebagai menteri besar pada Ogos lalu.
Bagaimanapun Nik Muhammad Zawawi mengesahkan keputusan Majlis Syura Ulama terhadap rayuan Saari Sungib (Hulu Kelang) dan Hasnul Baharuddin (Morib) dicapai secara sebulat suara.

"Kita semua bersetuju dengan keputusan yang diambil, sebulat suara. Tak ada seorang pun yang bercanggah dengan keputusan itu," katanya.

Pada 11 Oktober lalu, Jawankuasa PAS pusat membuat keputusan menggantung keahliaan Saari dan Hasnul selama setahun berkuat kuasa serta merta.

Namun pada 27 Oktober lalu, kedua-dua mereka mengemukakan rayuan terhadap hukuman berkenaan.

Saari dan Hasnul sebelum ini menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar ketika Selangor dilanda krisis jawatan tersebut.

Kedua-dua Adun itu kemudiannya dipanggil oleh Jawatankuasa PAS Pusat bagi memberi penjelasan berhubung tindakan mereka menyokong pencalonan Dr Wan Azizah dan membuat kenyataan yang bercanggah dengan pendirian parti.

Hartawan media Bangladesh dihukum gantung

DHAKA : Seorang hartawan media yang juga tokoh utama sebuah parti politik Bangladesh dijatuhi hukuman gantung sampai mati hari ini selepas didapati bersalah melakukan jenayah perang, hanya beberapa hari selepas pemimpinnya digantung atas kesalahan sama.
Tribunal Jenayah Bangladesh mendapati, ahli perniagaan, Mir Quasem Ali yang juga pegawai dari parti Jamaat-e-Islami, bersalah atas 10 dakwaan termasuk membunuh dan culik semasa menuntut kemerdekaan daripada Pakistan pada 1971.
Ali, 63, berdiri dan membantah dengan keras ketika Ketua Hakim mengumumkan hukuman itu di mahkamah.
"Ia satu penghakiman yang didorong," kata beliau sambil mendakwa keputusan gantung itu diputuskan atas perintah kerajaan.
Ali yang memiliki sebuah stesen televisyen dan akhbar, didapati bersalah kerana melakukan penyeksaan serta pembunuhan termasuk ke atas seorang pejuang muda kemerdekaan.
"Negara dan rakyat yang terjejas akhirnya memperoleh keadilan. Mir Quasem Ali telah dijatuhi hukuman mati kerana membunuh seorang pejuang kebebasan remaja, Jashim," kata pendakwaraya, Ziad Al Malum kepada pemberita.
"Anak muda diculik dan mayatnya dibuang di sungai Karnaphuli," kata Al Malumi.
Rabu lalu, hukuman sama dijatuhkan ke atas pemimpin tertinggi parti itu, Mukhlesur Rahman Nizami kerana mengetuai militan pro-Pakistan pada tahun 1971, memaksa protes tercetus dalam kalangan penyokongnya.
Parti Jamaat telah mengerah mogok di seluruh negara berikutan keputusan terhadap Nizami itu, memaksa banyak sekolah dan premis perniagaan ditutup serta lalu lintas sesak.
Parti berkenaan juga sudah mengumumkan rancangan untuk melakukan serangan baru pada Khamis sebagai protes terhadap hukuman mati Ali. - AFP

MH17: Pasukan penyiasat tunggu masa ke lokasi nahas


KOTA BHARU: Pasukan penyiasat kini sedang menunggu masa yang sesuai untuk kembali ke lokasi nahas MH17 di Ukraine bagi meneruskan usaha mencari bahan bukti mengenai insiden berkenaan.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata pasukan itu sedang menunggu lampu hijau daripada pihak berkuasa di negara itu untuk memasuki lokasi nahas.
"Kita sedang menunggu lampu hijau untuk masuk dalam tempoh seminggu dua ini dan pasukan itu akan mencari baki mayat dan juga barang-barang yang boleh dijadikan bahan bukti bagi melengkapkan siasatan," katanya kepada pemberita selepas Merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Keselamatan Jalan Raya Malaysia Ke-55 di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya Kelantan, Datuk Abdul Fattah Mahmood dan Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia, Datuk Dr Tam Weng Wah.
Beliau berkata, kerajaan akan berusaha untuk membawa balik kesemua bahan bukti termasuk rangka pesawat jika dibenarkan untuk dibawa pulang bagi tujuan penyiasatan itu.
Di KUALA LUMPUR, Liow dalam kenyataan akhbar berkata beliau sukacita untuk menyatakan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) sebulat suara mengeluarkan resolusi mengutuk tindakan menembak jatuh pesawat MH17 di timur Ukraine.
Liow berkata, Majlis juga telah mengkaji Laporan Pasukan Petugas yang ditubuhkan di bawah ICAO untuk mendedahkan Risiko ke atas Penerbangan Awam yang terbit dari Zon Konflik.
"Semasa sesi mesyuarat ke-203 Majlis ICAO di Montreal, Kanada pada 27 Oktober, saya mencadangkan di hadapan Majlis termasuk laporan tepat pada masanya berkaitan maklumat mengenai risiko penerbangan kepada negara anggota ICAO.
"Dunia harus melihat tragedi ini sebagai amaran, kita tidak lagi boleh leka dan mesti mengambil langkah-langkah pencegahan sekarang," katanya dalam kenyataan itu.
Pesawat MH17 membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal, terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai selepas ia ditembak jatuh semasa dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.
Laporan awal Lembaga Keselamatan Belanda antara lain menyebut struktur pesawat MH17 berkecai di udara berkemungkinan akibat ditembusi objek bertenaga tinggi dari luar pesawat dan tiada petunjuk bahawa nahas disebabkan masalah teknikal atau perbuatan anak kapal, selain pesawat itu disahkan 'layak terbang'.
- BERNAMA

Kiev lapor pergerakan tentera dari Russia

AHAD, 2 NOVEMBER 2014 @ 8:46 PM

  
KIEV: Tentera Ukraine melaporkan pergerakan "intensif" anggota tentera dan peralatan dari Russia ke kawasan yang dikuasai puak pemisah di timur Ukraine.

"Terdapat pergerakan anggota dan peralatan tentera dari wilayah Persekutuan Russia ke wilayah yang dikuasai sementara puak pemberontak," kata jurucakap tentera, Andriy Lysenko, pada taklimat di Kiev. - AFP

Kahwin tanpa suami


Kyoto: Sebuah syarikat di Jepun menawarkan khidmat mengadakan ‘perkahwinan solo’ untuk wanita bujang.
Khidmat yang disediakan itu termasuk membolehkan wanita berkenaan melalui dua hari penuh seperti bakal pengantin perempuan lain, dari memilih pakaian pengantin, memilih bunga, mendandan rambut dan mekap hingga memilih lelaki yang akan menemaninya untuk bergambar.
Syarikat berkenaan, Cera Travel di Kyoto berkata, setakat ini 10 wanita bersetuju menjalani perkahwinan sedemikian yang dikhususkan kepada wanita yang obses untuk hidup berdikari dan tidak bercita-cita untuk mendirikan rumah tangga tetapi mempunyai impian untuk merasai pengalaman menjadi pengantin.
Bagaimanapun, kosnya tidaklah semurah yang disangka walaupun seorang pengantin saja yang terlibat.
Menurut jurucakap syarikat terbabit, ia mengenakan bayaran kira-kira RM8,900 untuk setiap peserta.
Seorang ahli perniagaan wanita dipetik sebagai berkata, dia menjalinkan hubungan dengan lelaki selama beberapa tahun tetapi belum ada lagi lamaran diterima.
Kerana teringin sangat untuk memakai baju pengantin, dia memilih ‘perkahwinan solo’ dan mendakwa, majlis yang diadakan cukup hebat.
Perkhidmatan itu juga menyasarkan wanita yang sudah bercerai yang mahu merasakan diri mereka masih istimewa.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 November 2014 @ 5:05 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/6097#sthash.9pvyyvXm.dpuf

Siti Amirah dikebumi di Belanda


KUALA LUMPUR – Jenazah mangsa terakhir tragedi nahas pesawat MH17 dari Malaysia, Puan Sri Siti Amirah Prawira Kusuma, 83, akan dikebumikan di Belanda atas permintaan ahli keluarganya.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, jenazah Allahyarham yang juga nenek tiri kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak akan diterbangkan ke Malaysia seperti jenazah lain selepas dikenal pasti dua hari lalu.
“Sehingga kini, semua 44 rakyat Malaysia yang berada dalam pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) sudah dikenal pasti,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Setakat ini, seramai 278 daripada 283 penumpang MH17 sudah dikenal pasti oleh pakar forensik di Pusat Perubatan Tentera di Hilversum, Belanda.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1103&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz3Hx5svIzQ 
Hakcipta terpelihara 

Lari maraton guna kasut tumit tinggi


ECKERT berlatih berlari menggunakan kasut tumit tinggi sebagai persediaan menyertai pertandingan Maraton London pada April tahun depan.


LONDON – Seorang wanita di sini berazam mencipta rekod dunia sebagai individu pertama menamatkan larian maraton dengan memakai kasut tumit tinggi.
Wanita itu, Natalie Eckert, 37, merancang menyertai larian Maraton London pada April tahun depan sejauh 42 kilometer dengan memakai sepasang kasut yang mempunyai tumit setinggi 12.7 sentimeter.
Ibu kepada dua orang anak itu berkata, dia menjalani latihan berlari dengan memakai kasut tumit tinggi selama dua hari seminggu sebagai persediaan menyertai pertandingan maraton tersebut.
Walaupun tidak pernah menyertai larian maraton sebelum ini, Eckert yakin dia mampu menamatkan larian tersebut dengan memakai kasut tumit tinggi dan berazam menamatkan larian dalam tempoh empat jam.
“Saya sangat menyukai kasut tumit tinggi dan ketika di sekolah rakan-rakan pernah mentertawakan saya kerana memakai kasut tumit tinggi ketika menyertai sukan di sekolah,” katanya.
Menurutnya, dia merancang untuk mengutip dana berjumlah £5,000 (RM26,437) ketika menyertai larian tersebut dan wang berkenaan akan didermakan kepada sebuah badan amal. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1103&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3Hx3agoG1 
Hakcipta terpelihara 

Jokowi maaf tukang sate


SAHARUDDIN MUSTHAFA MELAPORKAN DARI JAKARTA, INDONESIA  |  03 November 2014 12:44 AM
JAKARTA 2 Nov. – Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) memaafkan tukang cucuk sate, Muhammad Arsyad yang ditahan polis kerana menghina Presiden itu melalui akaun Facebooknya.
Jokowi juga meminta pihak berkuasa supaya membebaskan Muhammad Arsyad.
“Saya memaafkannya (Muhammad Arsyad) 100 peratus. Saya memaafkannya melalui orang tuanya yang bertemu saya,” kata Jokowi selepas mengadakan pertemuan dengan ibu bapa Muhammad Arsyad, di sini semalam.
Sebelum ini, ibu bapa pemuda berkenaan, Mursidah dan Syafrudin mengemukakan permohonan kepada Istana Presiden untuk bertemu Presiden Indonesia itu secara peribadi bagi menyampaikan permohonan maaf bagi pihak anak mereka.
Pasangan itu juga menyatakan kesediaan mereka untuk bersimpuh di kaki Presiden Jokowi untuk merayu dan memohon supaya anak mereka dibebaskan.
Muhammad Arsyad ditahan polis pada 23 Oktober lalu, selepas dia didakwa menghina Presiden Indonesia ketujuh itu akibat terpengaruh dengan kempen memburuk-burukkan calon-calon yang bertanding pada Pemilihan Umum Presiden (Pilpres) pada Julai lalu.
“Berhubung proses undang-undang (terhadap Muhammad Arsyad) saya perlu rujuk kepada pihak berkaitan, Tapi, yang penting saya sudah minta pihak polis membebaskannya,” kata Jokowi kepada wartawan.
Pada masa sama, Jokowi meminta seluruh rakyat Indonesia agar mengambil iktibar daripada kes Muhammad Arsyad, selain menggalakkan anggota masyarakat supaya menghormati sesama sendiri.
“Saya memberitahu Arsyad (melalui ibu bapanya) supaya lebih berhati-hati dengan setiap tindakannya,” ujar Jokowi.
Sementara itu, Mursidah melahirkan kesyukuran dan lega kerana Presiden Jokowi bersedia memaafkan anaknya.
Menurut Mursidah, pada pertemuan yang berlangsung selama 30 minit itu, tiada langsung perasaan marah kelihatan pada wajah Presiden Jokowi.
Mursidah berkata, Jokowi menasihatkannya supaya terus membimbing Muhammad Arsyad sebaik-baik dibebaskan daripada tahanan kelak.
Pada pertemuan itu juga, Mursidah berpeluang bertemu isteri Presiden Jokowi, Iriana yang turut memberikan sejumlah wang kepadanya.
“Alhamdulillah tadi sempat bertemu Ibu Iriana. Saya juga diberikan wang oleh beliau,’ ujar Mursidah. – UTUSAN
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/jokowi-maaf-tukang-sate-1.19933#sthash.dXi8SXkY.dpuf

Impian Richard Branson belum pudar


Richard Branson
MOJAVE, Amerika Syarikat 2 Nov. - Pemilik syarikat Virgin Galactic, jutawan Richard Branson berkata, impiannya untuk merealisasikan pelancongan angkasa lepas komersial belum pudar, walaupun pesawat angkasa lepas komersial yang dibangunkannya mengalami kemalangan, kelmarin.
Sebaliknya, katanya, dia akan memberi perhatian ke atas punca kemalangan pesawat penumpang ke angkasa lepas itu yang mengorbankan seorang juruterbangnya dan seorang lagi mengalami cedera parah.
Jutawan itu memaklumkan bahawa keselamatan merupakan perhatian utamanya dalam misi tersebut.
“Selepas kami menemui punca dan langkah untuk mengatasi kemalangan pesawat, kami akan menjadikan impian ini satu kenyataan.
“Kami memahami risiko misi ini, dan kami tidak akan meneruskan projek secara membabi-buta kerana ini akan menyakiti hati individu yang terlibat dalam tragedi itu,” katanya.
Sekumpulan penyiasat kebangsaan memulakan penyiasatan tentang punca nahas pesawat SpaceShipTwo milik Virgin Galactic kelmarin ketika pesawat berkenaan sedang mengadakan ujian penerbangan pada ketinggian 13,700 meter.
Pemangku Pengerusi Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB), Christopher Hard melaporkan, pasukan penyisasat diharap mampu menemui punca kemalangan berdasarkan data daripada Virgin Galactic.
“Ini merupakan kali pertama kami menyiasat tentang pelancaran pesawat angkasa lepas yang membabitkan beberapa individu dalam pesawat,” katanya.
Akhbar, The Los Angeles Times melaporkan, juruterbang yang maut dalam nahas itu dikenal pasti sebagai Michael Alsbury, 39 tahun.
Kemalangan itu merupakan nahas kedua yang menggegarkan industri angkasa lepas, tidak lama selepas roket Antares yang membawa bekalan ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa meletup di Virginia, AS pada Selasa lalu.
Virgin Galactic berharap untuk memulakan penerbangan ke angkasa lepas pada 2015 dengan bayaran tiket sebanyak AS$250,000 (RM822,312) untuk seorang penumpang, dan menurut laporan, aktor Hollywood, Leonardo DiCaprio merupakan antara individu yang telah menempah tiket penerbangan tersebut. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/impian-richard-branson-belum-pudar-1.19932#sthash.UdVOUnkI.dpuf