Friday, July 30, 2010

Tidak perlu mansuh peperiksaan - Dr. M


KUALA LUMPUR 29 Julai - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (gambar) berkata, sistem peperiksaan yang diamalkan di sekolah-sekolah di negara ini tidak perlu dihapuskan sebaliknya perlu dikaji dan diperbaiki sepanjang masa.
Beliau berkata, adalah tidak salah untuk melaksanakan sistem peperiksaan di sekolah seperti yang telah diamalkan sebelum ini.
"Tetapi jenis sistem peperiksaan yang ada ini sebenarnya adalah salah. Kita perlu mengkaji semula dan memperbaikinya daripada memansuhkan sistem yang ada," katanya di dalam blog http://chedet.co.cc.
Dr. Mahathir mengulas cadangan kerajaan sebelum ini untuk memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada masa depan.
Ia kerana aspek pembelajaran ketika ini dilihat lebih berorientasikan peperiksaan sehingga tujuan utama untuk memberikan pendidikan holistik tidak dapat dilakukan sepenuhnya.
Cadangan tersebut mendapat pelbagai reaksi daripada banyak pihak yang tampil dengan pelbagai pandangan mengenainya.
Dr. Mahathir berkata, dalam usaha kerajaan memastikan setiap rakyatnya mendapat pendidikan, kualiti pendidikan sedia ada juga perlu terus diperbaiki.

10 ciri skim piramid


KUALA LUMPUR 29 Julai - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan menyiarkan di akhbar 10 ciri perniagaan skim piramid yang tidak mengikut peraturan, bagi mengelakkan masyarakat terus tertipu.
Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, masih ramai rakyat di negara ini yang terpedaya dengan skim tersebut, walaupun kerajaan menasihatkan mereka supaya sentiasa berhati-hati ketika membuat pelaburan.
Antara ciri skim piramid itu ialah anggotanya perlu merekrut ahli baru, menjual produk dengan harga yang tidak bersesuaian dengan barangan dan perlu membayar sejumlah wang yang tinggi seperti ditetapkan syarikat.
"Saya berharap orang ramai dan pelbagai pihak perlu melindungi diri sendiri dan tidak tertipu dengan skim ini, yang dari awalnya berniat menipu peserta," katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan baru Suruhanjaya Syarikat Malaysia di Kuala Lumpur Sentral di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan akhbar mengenai kejayaan polis membongkar kegiatan satu sindiket penipuan skim cepat kaya selepas menahan 59 orang dan merampas 18 kereta mewah dalam satu serbuan di Petaling Jaya.
Ismail Sabri berkata, kerajaan memandang serius skim itu dan melakukan pemantauan berterusan, selain mengambil tindakan tegas terhadap pengusaha skim tersebut.
Selain berdepan tindakan digantung atau dibatalkan lesen serta didenda, mereka juga akan dihadapkan ke mahkamah jika ramai yang tertipu dengan skim itu, katanya.
Beliau berkata, penguatkuasaan Akta Jualan Langsung (Pindaan 2010) akan menggalakkan pertumbuhan serta perkembangan aktiviti jualan langsung beretika, selain melarang segala kegiatan berbentuk Skim Piramid dan Skim Cepat Kaya bagi melindungi hak dan kepentingan pengguna. - BERNAMA

Nasib Yusuf sekeluarga terbela


Yusuf Wahab bersama isteri, Butima Jalim dan anak-anak berehat di rumah kolongnya di Kampung Pauh, Badang, Kota Bharu, semalam.


KOTA BHARU 29 Julai – Kisah sedih penghuni ‘reban ayam’ yang mendapat perhatian Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil akan berakhir tidak lama lagi apabila rumah baru mereka dijangka siap sebelum Hari Raya Aidilfiri.
Yusuf Wahab, 35, dari Kampung Pauh, Badang, dekat sini bersama isteri, Butima Jalim, 36, dan tiga anaknya bakal memiliki rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) bernilai RM33,000 tidak jauh dari tapak berhampiran rumah lamanya.
Yusuf yang ditemui Utusan Malaysia semasa kerja pembersihan tapak itu hari ini berkata, dengan terdirinya rumah itu nanti, dia berharap anak-anaknya berpeluang membesar secara normal seperti kanak-kanak sebaya mereka.
Dua daripada anaknya, Nor Atikah, 6, dan Muhamad Haikal, 5, sudah bersekolah di Tadika Kemas Sri Pauh dekat sini manakala seorang lagi anak lelaki bongsunya, Muhammad Aiman, berusia tiga tahun.
“Anak-anak saya akan dapat bermain dan belajar dengan lebih baik dan tidak berasa panas seperti keadaan di bawah rumah dulu.
“Walaupun bukan niat saya untuk menyusahkan sesiapa, saya amat berterima kasih kepada semua yang memberi perhatian dengan masalah yang kami hadapi selama ini.
“Saya anggap ini satu rezeki dan rahmat kerana ramai lagi sebenarnya yang mengalami nasib lebih teruk daripada saya sekeluarga,” katanya.
Kisah keluarga itu mendapat perhatian secara meluas apabila Shahrizat turun sendiri melawat mereka awal bulan ini.
Semasa lawatannya itu, Shahrizat yang juga Ketua Pergerakan Wanita UMNO begitu terkejut dengan suasana yang dilihatnya sehingga menyatakan tidak menyangka adegan seperti dalam filem P. Ramlee itu dapat dilihat dengan mata kepala sendiri.
Yusuf yang tidak mempunyai pekerjaan tetap, memilih untuk tinggal di kolong bawah rumah pusaka arwah ayah tirinya itu setelah adik perempuannya yang mendapat hak rumah tersebut pulang ke Kelantan.
Dia yang pernah bekerja di Kuala Lumpur sebagai pengawal keselamatan sebelum ini, kembali tinggal bersama ibunya, Saudah Awang, 66, di kampung itu pada 2005 selepas kelahiran anak pertamanya.
“Rumah asal ini pun sudah banyak dimakan anai-anai dan tidak berapa kukuh, jadi daripada saya menyusahkan adik dan ibu, lebih baik kami turun ke bawah.
“Lagipun anak-anak saya ini lebih bebas untuk berlari ke sana ke mari,” katanya yang mendapat pendapatan antara RM300 hingga RM500 sebulan hasil usahanya memelihara burung dan ayam secara sambilan untuk dijual selain sekali sekala mendapat upah memandu lori,” katanya.

RON95 bukan penyebab kebakaran


KUALA LUMPUR 29 Julai - Penggunaan bahan benzene dalam minyak petrol RON95 bukan penyebab kebakaran kenderaan dan petrol jenis itu juga tidak memberi kesan negatif berbanding RON97.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Rohani Abdul Karim berkata, minyak petrol RON95 adalah bahan bakar yang mematuhi spesifikasi EURO2M yang mana ia mengurangkan pencemaran udara akibat pelepasan sulfur.
"Dahulu, kita gunakan minyak berplumbum tetapi kemudian dihentikan kerana plumbum didapati boleh menyebabkan kanser (karsinogenik) dan mencemar alam.
"Kemudian kita gunakan minyak RON92 yang menggantikan plumbum dengan heptana (octane booster) tetapi didapati kurang memberi kuasa. Kini kita menggunakan RON95 dan RON97 yang bezanya cuma kandungan heptana sahaja.
"Angka 95 dan 97 itu cuma menunjukkan peratusan campuran oktana (95 peratus) dan heptana (lima peratus). Dakwaan benzene yang menjadi komponen heptana (lima peratus) sebagai punca kebakaran juga tidak benar," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Ahmad Husin yang mahukan penjelasan mengenai dakwaan penggunaan benzene terlalu tinggi menjadi punca kebakaran kenderaan dalam kemalangan pada sidang Dewan Negara hari ini.

Usaha tolak hak Melayu


KUALA LUMPUR 29 Julai – Pergerakan Pemuda UMNO menyifatkan cadangan DAP supaya kerajaan Selangor memansuhkan pemberian diskaun kepada bumiputera bagi pemilikan hartanah komersial dan mewah di negeri itu merupakan satu lagi usaha untuk menolak kepentingan orang Melayu di negara ini.
Ketuanya, Khairy Jamaluddin dalam entri terbaru dalam blog Rembau.net hari ini kesal dengan saranan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua.
‘‘Statistik pada 2007 menunjukkan pemilikan bangunan oleh orang Melayu masih rendah iaitu cuma 15.7 peratus dan hartanah komersial pula hanya sekitar 29.2 peratus.
“Bagi kompleks perniagaan dan serendah 3.5 peratus untuk premis perindustrian dan ini menggambarkan ketidakseimbangan yang ketara.
‘‘Saya kesal dengan saranan Tony kerana beliau langsung tidak mencadangkan sebarang dasar lain untuk memperbetul ketidakseimbangan yang berlaku ini, jika sekalipun tidak bersetuju dengan diskaun 7 peratus yang diberikan,” katanya.
Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau menegaskan, hujah Tony bahawa hartanah yang dibeli dengan harga diskaun itu akan dijual semula oleh broker atau orang tengah dengan harga yang lebih mahal tidak boleh diterima.
“Alasan itu tidak boleh diterima kerana jika pelaksanaan menjadi masalah, maka wajarlah kita menangani kelemahan tersebut dan bukannya memansuhkan terus dasar diskaun bumiputera ini,” katanya.
Sehubungan itu, Khairy menyifatkan saranan Tony itu turut menggambarkan prinsip sebenar DAP yang tidak ikhlas untuk membantu orang Melayu walaupun tidak henti-henti menjaja persepsi kononnya DAP adalah parti untuk seluruh rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum,” katanya.
Menurut Khairy, walaupun orang Melayu perlu bersaing secara terbuka berdasarkan merit, namun kerajaan perlu membantu bumiputera yang benar-benar layak sama ada dari segi keperluan atau merit.

DAP perlu lebih realistik


PETALING JAYA 29 Julai - DAP perlu bersikap lebih realistik apabila mencadangkan Kerajaan Negeri Selangor memansuhkan dasar pemberian diskaun kepada bumiputera bagi pemilikan hartanah di negeri itu.
Naib Presiden MCA, Datuk Chor Chee Heung berkata, pihak berkenaan juga perlu mengetahui fakta dan statistik yang tepat sebelum membuat kenyataan seperti itu.
"Kita tidak boleh terus berkata diskaun bumiputera itu perlu dimansuhkan bagi memberi keadilan kepada semua orang.
"Kita perlu realistik kerana masih ramai bumiputera perlukan dasar itu untuk memiliki rumah sendiri," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Hartanah dan Perumahan Kebangsaan ke-13 di sini hari ini.
Beliau yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan diminta mengulas cadangan yang dikemukakan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua itu yang turut mendakwa penghapusan pemberian diskaun itu mampu memberi kesan lebih baik kepada ekonomi negeri itu.
Chee Heung berkata, MCA sebenarnya sudah berbincang bagi mencari mekanisme yang lebih baik bagi membantu bukan saja bumiputera malah semua rakyat di negara ini untuk memiliki rumah dan hartanah sendiri.
"Sebenarnya MCA sudah bincang sebelum Tony mencadangkan demikian lagi. Kita sedang mengumpulkan fakta dan statistik yang tepat sebab kita tidak boleh menganggap semua rakyat berkemampuan beli hartanah.
"Mungkin salah satu idea adalah untuk tidak menawarkan diskaun kepada bumiputera yang kaya dan memberikannya kepada yang tidak mampu saja," katanya.
Menurutnya, usaha mengumpulkan data mengenai situasi pengguna dalam sektor hartanah terutama mendapatkan pandangan daripada golongan bumiputera sendiri mengenai bagaimana kerajaan boleh membantu mereka.

Jangan sampai cetus keharmonian kaum


KUALA LUMPUR 29 Julai - DAP terus dikecam dan diingatkan tidak rakus mencabar ketuanan Melayu sehingga boleh menimbulkan suasana tegang di dalam negara.
Sehubungan itu, kalangan pemimpin UMNO dan Parti Progresif Penduduk (PPP) mengingatkan DAP jangan mempersoalkan lagi perkara itu jika mahukan perpaduan kaum di negara ini tidak tercalar.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi (gambar) memberi amaran kepada DAP supaya menghentikan tindakan yang dianggap sebagai usaha untuk mencetus keharmonian kaum di negara ini.
''Sebenarnya isu supaya dibatalkan kuota orang Melayu dalam pembelian rumah adalah propaganda semata-mata kerana agenda sebenar untuk menghapuskan hak dan keistimewaan orang Melayu,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mohd. Puad juga mengingatkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berhenti dari terus menjadi alat DAP.
''Kini apa yang jelas, DAP semakin berkuasa, itu juga menunjukkan bukti kelemahan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang hanya menjadi 'pak turut' dan mengikut telunjuk mereka tanpa banyak soal,'' katanya.
Beliau berkata, isu ini juga menunjukkan bukti Khalid bersekongkol dengan DAP di mana Melayu di Selangor akan dipinggirkan dan teraniaya di bawah kepimpinannya.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Noh Omar menggelar DAP sebagai 'cauvinis' apabila tidak jemu-jemu membangkitkan isu yang menyentuh ketuanan Melayu.
''Lebih menyedihkan apabila orang Melayu sanggup bersekongkol untuk menjatuhkan kaum sendiri,'' katanya.
Noh berkata, sokongan daripada Khalid telah menambahkan keberanian DAP untuk terus mempersoalkan hak Melayu.
Sementara itu, Ketua Penerangan PPP, Datuk A. Chandrakumanan berkata, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua tidak harus menyentuh hak istimewa Melayu yang sememangnya telah terlindung di dalam Perlembagaan Persekutuan.
''DAP sepatutnya sensitif dan sedar bahawa hak orang Melayu tidak boleh dipertikaikan,'' katanya.
Chandrakumanan melahirkan rasa kesal kerana Khalid pula menyokong cadangan Tony Pua semata-mata kerana agenda politiknya.
Sehubungan itu, katanya, kaum Melayu di Selangor dinasihatkan mengambil pengajaran di atas perkara ini di mana mereka akan kehilangan hak jika pembangkang masih diberikan peluang untuk memerintah negeri tersebut.

Politik ada batasnya– Hisham


TUMPAT 29 Julai _ Parti-parti politik di negara ini diingatkan agar tidak melampaui batas ketika berpolitik sehingga boleh menimbulkan kesan buruk kepada keharmonian kaum dan agama di negara ini.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, parti politik terbabit tidak bertanggungjawab kepada masa depan negara sekiranya mereka tidak memberikan perhatian terhadap perkara tersebut.
Beliau turut bimbang jika cara politik melampaui batas itu diteruskan parti-parti terbabit kerana ia akan menghancurkan keharmonian dan pembangunan yang dicipta sejak berpuluh tahun lalu.
“Sebab itu saya tekankan ada batasan dalam politik kerana semuanya dilihat dalam konteks perkauman dan keagamaan. Ada had dan batasan untuk berpolitik dan bukan semuanya boleh dipolitikkan dan jika ia berlaku ia satu tindakan tidak bertanggungjawab kepada masa depan rakyat dalam negara ini.
“Saya bimbang jika permainan itu diteruskan ia cukup bahaya untuk pembangunan negara dan menyebabkan maruah negara kita juga hancur,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Ucapan Tahniah dan Penganugerahan Taraf Kewarganegaraan Malaysia di Wat Pikunthong Wawaran di sini hari ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai ingatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada DAP supaya tidak terlalu menekankan soal hak istimewa orang Melayu dan bumiputera sehingga menimbulkan kemarahan dan rasa tidak puas hati di kalangan kaum tersebut.
Perdana Menteri menegaskan, kerajaan cuba menentukan dasar-dasar yang adil dan saksama tetapi orang Melayu dan bumiputera akan merasa marah jika parti itu asyik menekankan tentang soal penghapusan dasar membabitkan kepentingan orang Melayu di negara ini.

Kalimullah diminta jelas 'pertemuan sulit'


KUALA LUMPUR 29 Julai - Ahli perniagaan, Datuk Seri Kalimullah Hassan diminta menjelaskan kepada umum agenda pertemuan sulit beliau dengan Penasihat DAP, Lim Kit Siang pada November lalu.
Yang Dipertua Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah yang mendakwa berlakunya pertemuan itu berkata, penjelasan Kalimullah sangat penting kerana beberapa pihak yang menghubungi beliau tertanya-tanya mengenai kebenaran pertemuan tersebut.
Beliau mendakwa, pertemuan Kalimullah dan Kit Siang turut dihadiri Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua.
''Persoalan saya, apakah motif sebenar perjumpaan berkenaan pada hari itu.
''Dan saya juga ingin meminta penjelasan daripada Tony apakah agenda perbincangan dengan Kalimullah tersebut?" katanya dalam satu kenyataan yang dihantar kepada Utusan Malaysia hari ini.
Azwandin mendakwa, Kalimullah telah menggunakan kedudukan beliau dan kekayaan yang diperolehinya untuk menjadi pengatur agenda yang dilihat boleh merosakkan keharmonian serta perpaduan rakyat.
"Segala pendedahan melalui bukti-bukti dokumen terdahulu oleh JMM, memperlihat dan menggambarkan Kalimullah juga adalah perancang mengatur agenda besar yang boleh menggugat keselamatan negara," dakwanya.
Sebelum ini, JMM turut mendakwa, Kalimullah terlibat dalam melindungi pengendali portalMalaysia Today, Raja Petra Kamaruddin, yang sering memburukkan kepimpinan negara dan kini melarikan diri ke London, United Kingdom.
JMM dalam kenyataan sebelum ini memberitahu, Kalimullah melindungi Raja Petra dengan menyediakan penginapan buat pengendali portal itu di London, di rumah yang didaftarkan di atas nama isteri Kalimullah iaitu Helinna Hanum Dadameah.
JMM juga pernah mengaitkan Kalimullah mempunyai kepentingan dalam syarikat Efficient E-Solutions Bhd. dan Regalia Records Management Sdn. Bhd yang didakwa menaja portal beritaThe Malaysian Insider.
Kesemua tuduhan itu bagaimanapun telah dinafikan oleh Kalimullah.

Malaysia pangkalan militan

Dakwaan Polis Punjab serius

TUMPAT 29 Julai - Kerajaan me mandang serius dakwaan Polis Punjab berhubung kumpulan puak pemisah Sikh yang kejam, Khalistan Liberation Force (KLF), telah menubuhkan pangkalan di luar Kuala Lumpur dengan sekurang- kurangnya empat daripada anggota militannya masih bersembunyi di negara ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ) berkata, pada masa kini, pihaknya sedang memantau dan menyiasat dakwaan tersebut dengan bantuan Interpol serta agensi perisikan India.
Beliau berkata, isu keselamatan termasuk ancaman pengganas hari ini menjadi satu perkara yang amat kompleks dalam dunia tanpa sempadan.
"Kita sedang memantau gerakan militan di Malaysia dan dalam konteks ini kita juga sedang menunggu butiran lanjut daripada pihak perisikan India sebelum sebarang tindakan diambil.
"Kita bekerjasama dengan semua pihak seperti Interpol dan negara India (bagi menyiasat kebenaran laporan itu). Hubungan kita sangat baik dengan semua pihak dan usaha pembanterasan militan merupakan usaha yang sangat serius," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Ucapan Tahniah dan Penyampaian Taraf Kewarganegaraan Malaysia di Wat Pikunthong Wawaran di sini hari ini.
Pada majlis tersebut, beliau menyampaikan taraf kewarganegaraan kepada seramai 89 rakyat berketurunan Siam dari seluruh negeri ini seperti yang dijanjikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kepada masyarakat itu pada 15 Julai lalu.
Hari ini, akhbar melaporkan Polis Punjab mendakwa satu kumpulan puak pemisah Sikh yang kejam telah menubuhkan pangkalan di luar Kuala Lumpur dengan sekurang-kurangnya empat daripada anggota militannya masih bersembunyi di Malaysia.
Bukti penting itu muncul selepas polis di daerah Patiala di Punjab menangkap seorang yang disyaki militan, Pargat Singh berumur 22 tahun Isnin lepas di sebuah rumah tetamu yang dituduh dalam satu siri pengeboman di negeri itu awal tahun ini.
Hishammuddin berkata, Malaysia mempunyai cara yang tersendiri untuk mengatasi masalah militan dan sehingga kini ia dapat dikawal sepenuhnya.
"Perkara yang selama ini patut kita bangga kerana ramai yang datang belajar mengenai cara yang kita gunakan tetapi ia tidak digembar gemburkan. Kita mungkin hanya negara transit atau destinasi kumpulan ini sahaja.
"Ancaman itu wujud tetapi tidak semestinya di Malaysia sahaja dan apa yang berlaku hari ini membuktikan bahawa pengganas bukan hanya orang Islam sahaja," katanya.

Kadar jenayah negara turun 14.2%


KOTA BHARU 29 Julai - Inisiatif di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Mengurangkan Jenayah berjaya menurunkan 14.2 peratus kadar jenayah dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ia turut menurunkan 36.6 peratus kadar jenayah jalanan untuk tempoh yang sama berbanding tahun lalu.
Katanya, kerajaan berpuas hati dengan kejayaan tersebut dan percaya jika trend sama dikekalkan, ia bukan sekadar laporan tetapi jaminan keselamatan kepada rakyat di negara ini.
"Kadar jenayah jalanan menurun 36.6 peratus atau 7,073 kes kepada 12,273 kes pada tahun ini. Jenayah keseluruhan menurun 14.2 peratus atau 14,634 kes kepada 88,785 kes tahun ini.
"Ini dicapai hasil pengemblengan semua pihak yang berfikir di luar kotak. Saya cukup puas hati kerana pencapaian ini memberi jaminan kepada orang ramai bahawa diri mereka selamat," katanya.
Beliau ditemui selepas Majlis Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bersama Masyarakat di pekarangan Pelangi Mall di sini hari ini.
Hampir 2,000 pegawai, kakitangan polis dan masyarakat setempat hadir memberi sokongan dan beramah mesra dengan Hishammuddin yang mengambil kesempatan untuk menemui rakyat secara terbuka.
Pada majlis tersebut, beliau menyampaikan sumbangan kepada 33 pesara polis serta melancarkan bit Polis Pelangi Mall dan papan iklan PDRM membanteras jenayah jalanan di sini.
Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, kejayaan itu hasil pelbagai program khas oleh kementerian di bawah NKRA Mengurangkan Jenayah khususnya melalui fasa pencegahan dan penguatkuasaan.

Malaysia maju setapak lagi

Sindiket curi kereta ke pasaran antarabangsa

IPOH 29 Julai – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengenal pasti sindiket yang terlibat dalam kegiatan mencuri kereta di negara ini untuk dijual di pasaran antarabangsa.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, tindakan ini berikutan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman menyedari wujudnya kegiatan tersebut yang kini bergerak aktif di seluruh negara.
Menurutnya, PDRM juga sedang meningkatkan kerjasama dengan polis di negara-negara ASEAN dan negara lain bagi mengenal pasti sindiket terbabit.
Katanya, Bahagian Risikan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman sedang mengumpul maklumat terkini modus operandi sindiket itu yang mempunyai rangkaian di seluruh negara sebelum mengambil tindakan selanjutnya.
Menurut beliau, pihaknya sedang memantau keadaan itu dan tindakan akan diambil sebaik sahaja maklumat terperinci mengenainya di perolehi dari sumber risikan polis.
“Sejak enam bulan pertama tahun ini, Bukit Aman berjaya menemui semula 46 buah kenderaan curi di beberapa negara ASEAN manakala 36 lagi di beberapa negara di luar rantau Asia.
“Kita ada lakukan tangkapan tetapi tidak ada bukti untuk mendakwa mereka dan oleh itu kita perlu kumpulkan bukti yang kukuh sebelum mendakwa mereka yang terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Persidangan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) seluruh Malaysia di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.
Ismail diminta mengulas laporan yang mendakwa syarikat insurans di negara ini membayar tuntutan hampir RM400 juta akibat kegiatan curi kereta oleh sebuah sindiket antarabangsa tahun lalu.
Menurut laporan Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM), 8,673 buah kenderaan persendirian kebanyakannya buatan Jepun dilaporkan dicuri tahun lalu oleh sindiket yang menjualnya di China, Kemboja, Sierra Leone dan Afrika Selatan.
Tambah Ismail, polis negara terbabit juga sedang memantau kegiatan sindiket itu dan sedang mengkaji langkah susulan yang perlu diambil bagi membanteras kegiatan tersebut daripada berulang.
“Kita mempunyai pakar risikan selain menjalinkan kerjasama dengan rakan sejawat kita di negara berkenaan dan saya yakin kita akan dapat mengesan modus operandi sindiket itu.
“Polis juga kini hanya menunggu masa untuk melaksanakan tindakan susulan bagi melumpuhkan sindiket tersebut,” katanya.

Presiden MCA terkejut


IPOH 29 Julai - Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek terkejut apabila dimaklumkan pendakwaan terhadap bekas Menteri Pengangkutan dan bekas presiden parti itu, Tun Dr. Ling Liong Sik di Mahkamah Sesyen Putrajaya hari ini.
Bagaimanapun, Soi Lek berkata, beliau dan pemimpin MCA yang lain yakin Liong Sik akan mendapat perbicaraan yang adil mengikut sistem perundangan di negara ini.
Soi Lek hanya mengetahui berita itu ketika pemberita memintanya mengulas mengenai perkara berkenaan.
"Bila?... selain daripada beliau (Liong Sik), siapa lagi (yang didakwa)?" tanya Soi Lek kepada pemberita yang menemuinya selepas beliau melawat Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Poi Lam di sini hari ini.
Sementara itu di Kuala Lumpur, bekas Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Kiat berkata, kes pendakwaan Liong Sik tidak akan menjejaskan proses pemulihan dalam parti MCA.
Tee Kiat yang juga bekas Menteri Pengangkutan berkata, adalah tidak adil untuk mengaitkan apa yang berlaku ke atas Liong Sik, yang menjadi Presiden MCA sejak 1986 hingga 2003, dengan parti itu sekarang.
"Rakyat ingin tahu hasil penyiasatan pihak SPRM dan polis. Ini adalah kepentingan umum," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan Undang-Undang Malaysia Ke-15 anjuran Majlis Peguam hari ini. - BERNAMA.

Makmal khas disyor khusus tangani gejala buang bayi


29/07/2010 9:43pm

KUALA LUMPUR, 29 Julai - Sebuah makmal perlu diwujudkan di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk menangani isu pembuangan bayi dengan lebih berkesan, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Beliau berkata, cadangan itu dibuat dalam usaha mencari jalan penyelesaian kepada gejala pembuangan bayi dalam negara, dan yang merupakan tanggungjawab bersama semua pihak.
Katanya, perkara itu dibangkitkan pada satu mesyuarat hari ini yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia Datuk Acryl Sani Abdullah Sani, wakil Pejabat Peguam Negara, wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta agensi-agensi kementerian.
Bercakap pada satu persidangan media selepas mesyuarat itu, Jamil Khir berkata perkara itu perlu bagi membolehkan isu pembuangan bayi ditangani secara bersama, dan bukan hanya dibebankan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
"Isu ini seolah-olah terbeban kepada wanita, dan kementerian ini dilihat seolah-olah bertanggungjawab penuh, sedangkan isu itu lahir daripada dua pihak, lelaki dan perempuan. Kes ini serius, penyelesaian juga mesti serius,” katanya. - Bernama