Tuesday, June 14, 2011

Anwar No.1

KUALA LUMPUR – DAP memberi kepercayaan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri sekiranya Pakatan Rakyat berjaya membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum akan datang.

Setiausaha Agung Lim Guan Eng menegaskan di sebalik berbagai tuduhan yang dilemparkan terhadap ketua pembangkang itu, parti-parti komponen PR telah sepakat sejak awal untuk meletakkan pemimpin PKR itu sebagai orang No.1.

Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata demikian ketika menjawab soalan pada majlis dialog dan makan tengah hari anjuran Bankers Club di sini, semalam.

Pengerusi Bankers Club, Tunku Tan Sri Imran Tuanku Jaafar dan kolumnis Sinar Harian Tan Sri Abdullah Ahmad adalah antara kira-kira 100 tetamu yang hadir, termasuk tokoh korporat dan wakil-wakil kedutaan asing.

Lim telah ditanya apakah beliau akan melaksanakan formula kejayaan Kerajaan Negeri PR di Pulau Pinang, sekiranya diberi peluang untuk mentadbir di Putrajaya sebagai Perdana Menteri.

“Soal saya menjadi Perdana Menteri tidak timbul sama sekali, sebab jawatan tersebut telah kita untukkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, kita telah sepakat sejak awal mengenai perkara ini.

“Lagi pun saya tidak fikir saya layak memegang jawatan penting itu di peringkat Pusat, sebaliknya saya lebih selesa mengetuai pentadbiran negeri di Pulau Pinang seperti sekarang,” kata beliau.

Lim menjelaskan rakyat tidak perlu bimbang untuk memilih PR dalam pilihan raya umum akan datang, “sebab saya memberi jaminan sekiranya kita berjaya menguasai Putrajaya semuanya akan menjadi lebih baik untuk rakyat.”

Terdahulu dalam ucapannya beliau menarik perhatian bahawa semua negeri-negeri yang diperintah PR selepas PRU 2008 tidak menghadapi masalah untuk membawa pembangunan kepada rakyat.

“Di Pulau Pinang rakyat boleh lihat bagaimana kita membawa banyak perubahan sejak hari pertama kita mengambil alih pentadbiran negeri, menerusi pelaksanaan konsep ‘CAT’, atau ‘competency, accountability, transparency’ dalam setiap urusan.

“Dalam tempoh tiga tahun ini Pulau Pinang berjaya mengalahkan negeri-negeri lain di seluruh negara dari segi pertumbuhan ekonomi, peningkatan modal asing, peningkatan kedatangan pelancong, dan belanjawan ‘surplus’ yang tidak dicapai di negeri lain,” katanya.
SH

Gaddafi masih sempat main catur



Muammar Gaddafi bermain catur dengan Kirsan Ilyumzhinov dalam rakaman video di Tripoli, Libya, kelmarin. - REUTERS


TRIPOLI 13 Jun - Televisyen kerajaan menyiarkan rakaman Muammar Gaddafi bermain catur dengan Presiden Persekutuan Catur Sedunia (FIDE), sementara pertempuran antara tentera pemimpin Libya itu dengan pemberontak berlarutan di banyak lokasi hari ini.

Imej yang disiarkan malam tadi menunjukkan permainan catur antara Gaddafi dengan Presiden FIDE, Kirsan Ilyumzhinov disaksikan oleh anak lelaki sulungnya, Muhammad.

Gaddafi sebelum ini kelihatan di televisyen menyambut kedatangan Presiden Afrika Selatan, Jacob Zuma ke Tripoli pada 30 Mei lalu.

Ilyumzhinov memberitahu agensi berita Rusia, Interfax, beliau bermain catur dengan Gaddafi dan Muhammad di Tripoli semalam.

"Pertemuan itu berlangsung kira-kira dua jam, dan kami bermain catur dengan Gaddafi," kata Ilyumzhinov yang melawat Tripoli dalam kedudukannya sebagai Presiden FIDE.

Katanya, Gaddafi berikrar beliau tidak akan meninggalkan Libya kerana negara ini adalah tanah airnya dan di bumi ini juga anak-anak dan cucunya terkorban.

Gaddafi juga tidak faham jawatan mana yang perlu dilepaskannya, kata Presiden FIDE itu.

"Saya bukan Perdana Menteri, bukan Presiden dan bukan Raja.

"Saya tidak memegang sebarang jawatan di Libya dan dengan itu tidak perlu melepaskan apa-apa jawatan," kata Gaddafi yang dipetik oleh Ilyumzhinov. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Parti Erdogan menang besar



RECEP Tayyip Erdogan melambai tangan ke arah para penyokongnya di ibu pejabat AKP di Ankara, Turki, kelmarin. - REUTERS


ANKARA 13 Jun - Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) memperoleh kemenangan besar dalam pilihan raya Parlimen Turki semalam tetapi gagal mencapai majoriti dua pertiga kerusi yang diperlukannya untuk meminda Perlembagaan.

Setelah hampir 100 peratus undi dikira, AKP pimpinan Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan membolot 50 peratus undi untuk kemenangan ketiga berturut-turut, menurut keputusan yang disiarkan oleh stesen televisyen.

Peratusan undi itu adalah yang tertinggi dicapai oleh AKP sejak mula mengambil alih kuasa pada 2002 tetapi dipercayai tidak cukup untuk menduduki majoriti 367 kerusi yang diperlukan di dewan 550 anggota itu bagi meminda Perlembagaan tanpa sokongan parti lain.

"Hari ini, untuk satu lagi penggal, kemenangan memihak kepada demokrasi dan rakyat.

"Kemenangan ini juga untuk Gaza, Palestin dan Baitulmaqdis," kata Erdogan kepada beribu-ribu penyokong dari beranda ibu pejabat AKP di Ankara, malam tadi.

Misi Erdogan untuk membela nasib 'golongan tertindas', berlandaskan wawasan persaudaraan Islam, telah melewati batas sempadan dan menjadikan beliau wira di kalangan penduduk Arab.

Parti pembangkang utama, Parti Rakyat Republikan (CHP) menduduki tempat kedua dengan 25.9 peratus undi manakala Parti Tindakan Nasionalis (MHP) yang dicemari skandal video seks para pemimpinnya baru-baru ini memperoleh 13 peratus undi.

Populariti AKP yang berterusan banyak berpunca daripada kemakmuran ekonomi dan peningkatan perkhidmatan awam setelah bertahun-tahun Turki dihantui ketidakstabilan kewangan di bawah beberapa kerajaan campuran yang goyah pada masa lalu.

Di bawah kerajaan AKP, ekonomi berkembang 8.9 peratus pada 2010, mengatasi kadar pemulihan ekonomi dunia, manakala pendapatan per kapita meningkat sekali ganda kepada AS$10,079 (RM30,237).

Walaupun dipuji kerana membawa kejayaan ekonomi, Erdogan yang pernah menjadi tenaga penggerak bagi melaksanakan pembaharuan yang dituntut oleh Kesatuan Eropah (EU), juga dikecam hebat kerana cenderung bersikap autokratik dan semakin tidak bertolak ansur terhadap kritikan. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Gempa bumi 6.2 magnitud gegar kepulauan Sulawesi

JAKARTA 14 Jun – Satu gegaran kuat dengan kekuatan 6.2 pada skala Richter berlaku di kepulauan Sulawesi, Indonesia malam tadi namun tiada laporan kerosakan mahupun amaran tsunami dikeluarkan.

Gempa bumi di bawah laut pada kedalaman 13 kilometer dan 211 kilometer dari timur Manado, Sulawesi itu berlaku pada pukul 10.31 malam, lapor Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).

Tiada amaran atau makluman tsunami dikeluarkan di dalam laman web Pusat Amaran Tsunami setakat ini. - AFP

Utusan Malaysia Online - Terkini

Kes Nik Aziz saman Utusan RM20j selesai luar mahkamah

KOTA BHARU 13 Jun - Kes saman fitnah RM20 juta oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat terhadap Utusan Melayu (M) Bhd. (Utusan Melayu) dan dua yang lain berhubung penyiaran satu artikel, dua tahun lalu berjaya diselesaikan di luar mahkamah hari ini.

Penyelesaian secara baik itu dicapai di Mahkamah Tinggi di sini setelah Nik Abdul Aziz selaku plaintif menarik balik saman terhadap Utusan Melayu, Ketua Pengarang Kumpulannya, Datuk Abdul Aziz Ishak dan wartawan, Rodelio Junjun Taucan.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, Datuk Mohd. Yazid Mustafa yang mendengar kes itu kemudian merekodkan penyelesaian saman yang difailkan oleh Nik Abdul Aziz melalui firma guaman Tetuan C. Jegathesan.

Peguam yang mewakili ketiga-tiga defendan tersebut, Mohana Kumar memberitahu pemberita, pihak plaintif bersetuju menarik balik saman tanpa kebebasan untuk memfailkan semula saman tersebut dan tanpa kos.

"Selepas penyiaran artikel itu, pada 18 Jun 2009, Utusan Malaysia telah menyiarkan artikel penafian Nik Abdul Aziz mengenai kandungan artikel Nasihat saya mesti didengar di muka surat dua.

"Pada 29 Julai 2009, apabila dituntut oleh peguam plaintif, Utusan Malaysia telah menyiarkan permohonan maaf di muka hadapan Utusan Malaysia dan laman web Utusan Online namun demikian plaintif masih meneruskan tuntutan, akhirnya plaintif bersetuju untuk menarik balik saman ini," katanya.

Pada 8 Julai 2009, Nik Abdul Aziz telah menghantar notis tuntutan undang-undang bagi menuntut ganti rugi RM20 juta dan permohonan maaf daripada pihak defendan atas penerbitan, percetakan serta penyiaran artikel bertajuk Nasihat saya mesti didengar pada 15 Jun 2009.

Menurut notis tuntutan tersebut, penyiaran artikel itu ke seluruh negara dan antarabangsa melalui cetakan biasa serta Internet di alamat www.utusan.com.my telah mengakibatkan kesusahan dan kerugian kepada plaintif sama ada dari segi agama, moral, politik dan keluarga.

Dalam saman yang difailkan pada 17 September 2009, plaintif menamakan Rodelio defendan pertama, Abdul Aziz defendan kedua dan Utusan Melayu defendan ketiga.

habis

Utusan Malaysia Online - Mahkamah