Showing posts with label emas. Show all posts
Showing posts with label emas. Show all posts

Saturday, January 19, 2013

Pencari gali amatur Australia temui ketul emas 5.5kg

Pencari gali amatur Australia temui ketul emas 5.5kgPencari gali amatur menunjukkan ketul emas yang ditemui di Ballarat, selatan Australia Rabu lalu. - Foto ihsan Yahoo/AP
SYDNEY - Seorang pencari gali amatur Australia terkejut apabila menemui satu ketul emas seberat 5.5 kilogram di Ballarat, bandar yang dikenali sebagai "Perkampungan Emas".

Lelaki yang tidak mahu dikenali itu berkata, dengan hanya menggunakan pengesan logam tangan dia menemui ketul emas tertanam 60 sentimeter dalam tanah berhampiran bandar Ballarat, yang terletak di negeri selatan Victoria.

Nilai ketul emas itu dianggarkan AS$300,000 (hampir RM1 juta).

Pakar emas tempatan mengatakan emas mula digali di kawasan itu sejak beberapa dekat lalu tetapi tiada sebarang penemuan lagi sebelum ini.

“Saya sendiri pernah mencari dan berniaga emas selama dua dekad tetapi kali terakhir saya menemui bongkah emas hanya seberat 2.8 kilogram,” kata pemilik kedai emas di Ballarat, Cordell Kent.

Sebuah video mengenai penemuan bongkah emas itu telah dimuat naik di YouTube oleh seorang pengguna.

“Nilai emas kini diniagakan di Australia kira-kira A$1,600 (RM5,070) bagi setiap auns bermakna penemuan bongkah emas bernilai kira-kira A$283,200 (RM897,700),” kata Kent.

Dia menambah, jika pencari gali menggunakan pengesan logam bermakna mereka mampu mengesan kedudukan emas jauh di dalam tanah berbanding teknik cari gali yang digunakan sebelum ini.

Sunday, August 28, 2011

Gaddafi lari ke Algeria?




Seorang pemberontak Libya bergambar sambil tangannya menunjukkan isyarat 'V' (kemenangan) di kerusi berbentuk ikan duyung diperbuat daripada emas milik anak perempuan Muammar Gaddafi, Aisha di rumahnya di Tripoli, kelmarin. - AFP


TRIPOLI 27 Ogos - Satu konvoi enam buah kereta Mercedes yang mungkin membawa pemimpin Libya, Muammar Gaddafi dilihat menyeberangi Libya ke Algeria semalam, lapor agensi berita Mesir MENA yang memetik sumber pemberontak.

Laporan itu bagaimanapun masih belum disahkan Algeria atau Libya.
Menurut agensi berita MENA yang memetik sumber pemberontak, enam kereta Mercedes diiringi kereta perisai dan anggota tentera dilihat memasuki bandar Ghadames di Algeria semalam.
Sumber memberitahu, pemberontak tidak dapat mengejar konvoi tersebut kerana kekurangan senjata dan kelengkapan tempur.
"Kami rasa konvoi itu mungkin membawa pegawai tertinggi Libya iaitu Gaddafi serta anak-anaknya," lapor sumber terbabit.
Gaddafi terpaksa berundur dari kubu kuatnya, Bab al-Aziziya di Tripoli selepas ia ditawan pemberontak awal minggu ini.
Sehingga kini, lokasi sebenar pemimpin Libya itu bersama anak- anaknya masih menjadi tanda tanya dengan kumpulan pemberontak dilapor meneruskan pemburuannya dibantu kelengkapan serta perkhidmatan risikan Pakatan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Dalam perkembangan berkaitan, pemberontak Libya semalam menawan Ras Jdir di sempadan Tunisia selepas ia dipercayai merupakan satu daripada jalan alternatif kepada Gaddafi untuk melarikan diri, namun kini ia telah disekat.
Sementara itu, Kesatuan Afrika (AU) semalam menggesa pembentukan sebuah kerajaan menyeluruh di Libya dengan mengatakan ia tidak boleh mengiktiraf kumpulan pemberontak sebagai wakil sah negara tersebut ketika pertempuran terus berlaku.
Penolakan tersebut menunjukkan betapa kuatnya pengaruh Gaddafi kepada kesatuan tersebut memandangkan beliau merupakan antara pembiaya utama dan pernah memberi sejumlah besar wang kepada beberapa pemimpin Afrika. - AFP/Reuters

Saturday, July 24, 2010

Hutan Sokor 'lubuk' emas


Nik Abdul Aziz Nik Mat melihat jongkong emas pertama yang dihasilkan ketika melawat kilang memproses emas di Hutan Sokor, Tanah Merah, kelmarin.


TANAH MERAH 23 Julai - Perjalanan masuk ke dalam kawasan Hutan Sokor dekat sini agak memeritkan, terpaksa mendaki dan menuruni bukti, melintasi dua batang anak sungai tetapi sebelum ini tiada siapa yang tahu di dalamnya terdapat sebuah kilang memproses jongkong emas.
Bagi rakyat Kelantan khususnya golongan yang berusia, kebanyakan mengetahui bahawa perut bumi belantara tersebut tersimpan sumber alam yang tinggi nilainya bahkan ia dikatakan antara gred yang terbaik di negara ini.
Usaha untuk mengeluarkan emas terutama jenis aluvial di kawasan Hutan Sokor dikatakan bermula sejak 400 tahun lalu, malah ia turut melibatkan pedagang-pedagang dari China.
Dan hari ini, kerjasama di antara Kelantan dan China untuk melombong emas kembali bertaut malah usaha tersebut meningkat setapak lagi dengan turut terbinanya sebuah kilang memproses jongkong emas di tengah-tengah hutan itu.
Pun begitu, usaha tersebut bukanlah senang kerana, selepas enam tahun bertapak di kawasan tersebut, CNMC Goldmine Limited dengan kerjasama kerajaan negeri dan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), maka jongkong emas pertama bernilai RM400,000 seberat 2.975 kilogram barulah dapat dihasilkan.
CNMC merupakan sebuah syarikat perlombongan emas yang berpangkalan di China dan turut mempunyai perniagaan di Singapura serta Hong Kong.
Malah, sebaik sahaja jongkong itu siap dan dipamerkan kepada orang ramai untuk seketika, ia terus dijual kepada peniaga emas mentah yang berdaftar dengan kerajaan.
Majlis bersejarah itu disaksikan oleh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat; Ketua Pegawai Eksekutif PKINK, Mohd. Sabri Abdullah dan Pengerusi Eksekutif CNMC, Profesor Lin Xiang Xiong.
Xiang Xiong berkata, pihaknya telah memulakan operasi untuk mencari dan melombong emas di kawasan seluas 975 hektar itu sejak enam tahun lalu.
"Negeri ini telah mengeluarkan emas sejak berpuluh tahun lalu tetapi ini kali pertama emas tersebut diproses dalam bentuk jongkong untuk dipasarkan.
"Kawasan ini telah dipajak daripada kerajaan negeri dan kita perlu membayar royalti sebanyak lima peratus kepada kerajaan negeri dan tiga peratus kepada PKINK untuk setiap pengeluaran," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian lombong dan kilang memproses emas CNMC di Sokor dekat sini semalam.
Majlis perasmian kilang itu disempurnakan sendiri oleh Nik Abdul Aziz.
Mengulas lanjut, Xiang Xiong berkata, syarikat tersebut menyasarkan pengeluaran 300 sehingga 500 kilogram emas setahun dari lombong di kawasan terbabit berdasarkan potensinya.
Katanya lagi, pihaknya telah membuat kajian di kawasan berkenaan selama tiga tahun dan membuat pelaburan yang agak besar sebelum mengeluarkan hasil seperti mana yang ada pada hari ini.
"Sebelum ini rata-rata pelombong atau orang persendirian hanya mencari emas jenis aluvial atau daripada pasir tetapi hari ini kita menggunakan teknologi yang berbeza kerana percaya di perut bumi Sokor mempunyai simpanan hasil bumi ini yang banyak.
"Kita berharap akan menemui lebih banyak emas selepas ini dan ia akan digunakan sebaik mungkin untuk membantu rakyat negeri ini," katanya.
Sementara itu, Mohd. Sabri berkata, pihaknya telah dilantik oleh kerajaan negeri untuk menguruskan kawasan tersebut bersama CNMC.
"Kita yakin dengan usaha yang dijalankan syarikat ini untuk mengeluarkan dan memproses hasil bumi ini untuk dimanfaatkan oleh semua rakyat.
"Bagi memastikan pengeluarannya berjalan lancar, kita akan menempatkan pegawai di kilang ini untuk memantau setiap keluaran dan jumlahnya," katanya.