Showing posts with label radiasi. Show all posts
Showing posts with label radiasi. Show all posts

Wednesday, April 13, 2011

Filipina arah rakyat tinggalkan kawasan Fukushima

MANILA: Filipina mewajibkan kira-kira 2,000 warganya yang berada dalam lingkungan 50 kilometer dari loji nuklear Fukushima Daiichi supaya meninggalkan kawasan itu, semalam.
Arahan itu dikeluarkan selaras dengan amaran Agensi Nuklear dan Keselamatan Perindustrian Jepun yang dinaikkan kepada tahap tujuh.

Sebelum ini ancaman radiasi di situ berada pada tahap lima.

Tahap tujuh adalah peringkat tertinggi dan sama dengan bahaya disebabkan bencana loji nuklear Chernobyl pada 1986.

Setiausaha Luar Filipina, Albert del Rosario, berkata arahan itu tidak termasuk rakyat negara itu yang berkahwin dengan warga Jepun.

“Bagi rakyat Filipina yang berada dalam lingkungan 50 hingga 100 kilometer, Filipina menawarkan pengunduran sukarela,” katanya.

Del Rosario berkata, kumpulan pertama warga Filipina yang pulang akan berlepas dari Lapangan Terbang Niigata pada Ahad ini dan akan menjalani pemeriksaan kesihatan sewajarnya.

Pada Februari lalu, Filipina mula menguruskan kepulangan pekerjanya di Libya tetapi dianggarkan hanya separuh daripada 26,000 orang yang bekerja di situ kembali. - Reuters

Monday, April 4, 2011

Ada lagi yang bangang


Jangan tolak bina loji nuklear: Penyokong kerajaan


2011/04/04

KUALA LUMPUR: Seorang penyokong kerajaan memberitahu persidangan Dewan Rakyat hari ini bahawa cadangan untuk membina loji tenaga nuklear tidak boleh ditolak begitu sahaja tanpa menjalankan perbincangan dan penerangan yang betul mengenai kebaikan serta keburukan sumber tenaga itu.

Datuk Idris Haron (BN-Tangga Batu) berkata, pengetahuan masyarakat umum di Malaysia mengenai penjanaan tenaga nuklear masih rendah dan kerajaan perlu memberikan maklumat yang jelas mengenai pentingnya tenaga itu sebagai tenaga alternatif.
"Pendirian kita ialah sebelum kita laksanakan satu dasar itu, kita perlu wujudkan satu suasana di mana semua pihak mempunyai pengetahuan yang mendalam. Kalau semua pihak sudah ada pengetahuan ke arah kebaikan dan keburukan, barulah kita akan sampai ke peringkat membuat keputusan," katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Tenaga Boleh Baharu 2010 di Dewan Rakyat hari ini.
Idris berkata, walaupun Loji Nuklear Fukushima Daiichi di Jepun mengalami kebocoran akibat gempa bumi dan tsunami bulan lalu, kerajaan negara itu mempunyai langkah yang telah disediakan supaya tidak menjejaskan keamanan dunia.

Katanya, negara jiran seperti Indonesia, Thailand, Vietnam, Singapura dan Kemboja sudahpun menjalankan program kesedaran bagi memberi pengetahuan dan penerangan sedalam-dalamnya mengenai kebaikan penjanaan elektrik menerusi loji nuklear untuk kegunaan harian.

Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) menyokong cadangan Idris dan meminta supaya pihak yang terlibat dalam pelaksanaannya nanti memberi keutamaan kepada keselamatan rakyat.

"Agensi yang diberikan amanah memainkan peranan dalam menjaga keselamatan rakyat," katanya.
Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian) berkata, satu perbincangan secara intelektual perlu diadakan selain memberikan penerangan yang jelas supaya masyarakat di negara ini tidak terus dibelenggu perasaan takut terhadap tenaga nuklear.

"Jangan kita dibelenggu pemikiran seperti itu (takut). Sama ada kita hendak menolak atau menerimanya, perlulah dilakukan secara berilmu.

"Kita perlu ada segala pengetahuan berkaitan. Dan kalau habis bahan bakar fosil ini, apa alternatifnya nanti?" katanya.

Pada Disember 2010, kerajaan mengumumkan pelan untuk membina dua loji tenaga nuklear yang masing-masing mampu menjana 1,000 megawatt, dengan projek pertama sedia beroperasi pada 2021 dan loji kedua setahun kemudian, sebagai rancangan jangka panjang menyeluruh untuk bekalan tenaga yang seimbang.

Kerajaan berkata, tenaga nuklear adalah pilihan utama dalam mengimbangi sumber tenaga kerana kos penyelenggaraan dan tarif yang lebih rendah dalam jangka panjang.

Pada masa ini, gas menyumbang 64 peratus daripada tenaga di Malaysia manakala selebihnya daripada arang batu. - BERNAMA
Berita Harian Online | Jangan tolak bina loji nuklear: Penyokong kerajaan

Sunday, April 3, 2011

Kebocoran baru loji dikesan

TOKYO: Loji tenaga nuklear yang rosak teruk akibat tsunami 11 Mac lalu dikesan menumpahkan air radioaktif tinggi ke laut, kata pegawai keselamatan, semalam.
Kebocoran terbaru itu dikesan pada keretakan lubang penyelenggaraan loji nuklear Fukushima Daiici yang menganjur ke Lautan Pasifik.

Jurucakap Agensi Keselamatan Nuklear dan Perindustrian Jepun, Hidehiki Nishiyama, berkata Katanya, keretakan itu berlaku akibat gempa bumi dan sejak itu ia mula bocor.

Analisis menunjukkan tahap radiasi itu cepat larut dalam udara dan air.

Setakat ini, tidak dapat dipastikan sama ada petugas yang bertungkus-lumus mengawal keadaan reaktor itu terdedah kepada bahan berkenaan.


Kata Nishiyama, pegawai keselamatan akan memeriksa tahap radiasi sehingga 15 kilometer dari pantai.

“Ini mungkin satu daripada punca pencemaran air laut kami kerosakan sama mungkin berlaku di tempat lain.

“Kerosakan itu perlu dikesan secepat mungkin,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri Jepun, Naoto Kan, meluangkan masa meninjau kawasan bencana berhampiran loji berkenaan untuk kali pertama, semalam.

Sebelum ini lawatan Kan hanya membabitkan loji nuklear itu.


Dia meluangkan masa seketika di Rikuzentakata dan bertafakur seketika bagi memperingati mangsa bencana alam di situ.


Katanya, kerajaan akan memberi bantuan sepenuhnya kepada mangsa bencana sehingga keadaan pulih.


Bagaimanapun, penduduk setempat mengadu, Kan sepatutnya meluangkan masa bersama mereka.


Seorang daripada mereka berkata, setakat ini kerajaan nampaknya terlalu memberi perhatian kepada loji nuklear berbanding mangsa tsunami. - AP
myMetroKebocoran baru loji dikesan

Thursday, March 31, 2011

Masalah bertimpa di loji nuklear Fukushima


Radiasi meresap ke tanah dan air laut, presiden firma pengendali loji alami darah tinggi


TOKYO: Usaha mengatasi krisis loji nuklear yang rosak akibat tsunami di Jepun masih banyak halangan.
Ujian ke atas air laut di luar loji itu menunjukkan paras radiasi yang bertambah. Presiden firma pengendali loji itu pula dirawat di hospital kerana tekanan darah tinggi.Hampir tiga minggu selepas tsunami melanda loji Fukushima Dai-ichi itu hingga memutuskan bekalan tenaga ke sistem penyejukannya, Tokyo Electric Power Co (Tepco) masih bertungkus lumus mengawal loji di timur laut Jepun itu.Radiasi daripada loji itu telah meresap ke dalam tanah dan air laut dan ditemui dalam hasil pertanian, susu mentah, malahan air paip sejauh Tokyo, 220 kilometer ke selatan loji itu.Tekanan yang dihadapi itu telah menyebabkan Presiden Tepco, Encik Masataka Shimizu, terlantar di hospital sejak kelmarin.Encik Shimizu, 66 tahun, tidak kelihatan di khalayak ramai sejak sidang akhbar 13 Mac lalu di Tokyo, hingga menimbulkan khabar angin bahawa beliau mengalami gangguan jiwa.Seorang jurucakap, Encik Naoki Tsunoda, semalam berkata, Encik Shimizu dimasukkan ke sebuah hospital Tokyo kerana mengalami pening kepala dan tekanan darah tinggi.Kekosongan dalam kepimpinan itu berikutan kritikan meningkat terhadap Tepco kerana kegagalannya menghentikan kebocoran radiasi itu.Tepco membuat pengakuan secara umum buat kali pertama bahawa sekurang-kurangnya empat daripada enam reaktor di loji itu akan dihentikan penggunaannya sebaik sahaja krisis itu reda, merujuk kepada air laut yang digunakan bagi menyejukkan reaktor itu dan kolam simpanan api yang telah digunakan, yang mungkin menyebabkan hakisan.Sejak 20 Mac lalu, kerajaan Jepun telah berkata seluruh loji itu mesti dihentikan penggunaannya.Semalam, pegawai keselamatan nuklear berkata air laut hingga sekitar 274 meter dari loji itu mengandungi paras iodin beradioaktif 3,355 kali had dibenarkan undang-undang.Paras ini yang tinggi sejauh ini dan satu tanda bahawa air tercemar sedang melimpah ke dalam lautan.Paras iodin-131 yang ditemui di selatan loji itu tidak mendatangkan bahaya serta merta kepada kesihatan manusia tapi masih menjadi satu 'keprihatinan', kata pegawai Agensi Keselamatan Nuklear dan Industri, Encik Hidehiko Nishiyama.Bahan plutonium yang amat beracun juga telah dikesan dalam tanah di luar loji itu, kata Tepco.Minggu lalu, kakitangan loji itu berjaya menyambung semula beberapa bahagian loji itu ke grid kuasa.Namun apabila mereka mengepam air untuk menyejukkan reaktor dan bahan api nuklear itu, mereka menemui air beradioaktif terkumpul di besmen beberapa bangunan serta parit-parit di luar loji itu.Tepco merancang menyembur resin di tanah sekeliling loji itu bagi menghalang debu radioaktif daripada tersebar atau masuk ke laut.Syarikat itu akan menguji kaedah itu hari ini di satu bahagian loji itu dahulu, kata Encik Nishiyama.Pemerintah juga menimbangkan untuk menutup beberapa reaktor itu dengan kain, kata Tepco. Ini diharap membolehkan pekerja berada lebih lama di kawasan lain loji itu.Angka kematian rasmi bagi bencana berganda di Jepun itu mencapai 11,257 semalam. Angka akhirnya mungkin melebihi 18,000. -- AP.

Tuesday, March 29, 2011

Kesilapan bacaan radiasi dikecam





OSAKA - Jurucakap utama kerajaan Jepun menyelar pengendali di Loji Nuklear Fukushima Daiichi kerana memberikan maklumat bacaan radiasi yang salah dan menggelarnya sebagai kesilapan tidak sengaja yang tidak boleh diterima, semalam.

Terdahulu, Syarikat Bekalan Kuasa Elektrik Tokyo (Tepco) melaporkan kesan radioaktif di dalam air di Reaktor No.2 di loji itu mengandungi kadar radiasi 10 juta kali ganda lebih tinggi dari biasa sebelum bacaan sebenar, 100,000 kali ganda, dikeluarkan tidak lama selepas itu.

Yuki Edano berkata, memandangkan pemantauan kadar radiasi adalah perkara paling utam:a untuk memastikan tahap keselamatan orang ramai, kesalahan seperti itu sememangnya langsung tidak sepatutnya berlaku.

"Kerajaan telah memberi amaran kepada Tepco supaya tidak mengulangi kesilapan sama," menurutnya lagi.

Bagaimanapun, dia memahami pekerja di tapak loji itu mungkin keletihan kerana terus berusaha tanpa henti memastikan tidak berlaku kebocoran radiasi yang akan mencetuskan krisis nuklear di loji tersebut.

Kadar radiasi dalam air di Reaktor No.2 meningkat kepada 1,000 milisievert sejam, sehingga menyebabkan kumpulan pekerja yang bekerja keras memulihkan sistem penyejuk di reaktor itu terpaksa dipindahkan.

Sunday, March 27, 2011

Paras radiasi di laut sekitar loji nuklear Fukushima membimbangkan



SENDAI (Jepun): Paras radiasi dalam air laut di sekitar loji nuklear Fukushima naik sepuluh kali ganda dalam beberapa hari sahaja, sedang para pekerja bertungkus lumus cuba menstabilkan kemudahan nuklear yang rosak setelah dilanda tsunami itu.
Seseorang boleh terdedah kepada radiasi yang biasanya diperolehi dalam tempoh setahun, hanya dengan meminum cuma setengah liter air tawar yang dicemari paras radiasi sebanyak itu, kata seorang pegawai. Bagaimanapun, menurutnya, tiada ancaman segera ke atas hidup-hidupan laut dan keselamatan makanan laut.Paras iodin-131 di Lautan Pasifik berhampiran loji Fukushima itu semalam dikatakan 1,250 kali lebih tinggi daripada yang dibenarkan. Ini berbanding 126 kali lebih tinggi Selasa lalu, dan 145 kali lebih tinggi pada Khamis lalu.'Paras ini agak tinggi,' kata pegawai agensi keselamatan nuklear, Encik Hidehiko Nishiyama, dalam sidang akhbar mengenai hasil ujian ke atas air laut itu yang dikeluarkan kelmarin oleh Tokyo Electric Power Company (Tepco).Kata Encik Nishiyama: 'Secara umumnya, bahan beradioaktif yang mengalir ke laut akan tersebar dengan pasang surutnya air. Paras yang lebih tinggi daripada itu diperlukan untuk membolehkannya diserap rumpai laut dan hidupan laut lain.'Beliau juga berkata, oleh kerana iodin-131 ada setengah hayat (masa diperlukan untuk kepekatan bahan tindak balas menjadi setengah nilai asalnya) lapan hari, 'apabila makanan laut itu akhirnya dimakan manusia, paras kimia itu sudah pun berkurang.'Walau bagaimanapun, Tepco juga berkata paras sesium-137, yang setengah hayatnya sekitar 30 tahun, adalah 79.6 kali had dibenarkan.Jaminan-jaminan itu tidak dapat meredakan kemuraman yang menyelubungi Jepun sejak satu gempa bumi sekuat 9.0 di skala Richter melanda negara itu pada 11 Mac lalu yang menimbulkan satu tsunami yang meranapkan pantai timur laut negara tersebut.Gelombang raksasa itu telah melanggar benteng-benteng yang dibina sepanjang pantai dan menghanyutkan rumah-rumah, kenderaan laut dan darat serta ribuan penduduk.Semalam, angka korban yang disahkan mencecah 10,151. Harapan menemui semula 17,053 orang yang dianggap hilang semakin menipis.Gelombang besar itu juga telah merosakkan sistem penyejukan bagi keenam-enam reaktor di loji Fukushima. Tiga reaktor itu disyaki telah lebur sebahagiannya ekoran letupan gas hidrogen dan kebakaran lain.Kereta bomba telah menyiram beribu-ribu tan air laut ke atas kemudahan itu untuk menghalang batang bahan api di dalam teras reaktor itu serta kolam penyimpan bahan api yang telah digunakan, daripada menjadi kering dan menyebabkan peleburan sepenuhnya.Iodin, sesium dan kobalt beradioaktif di dalam air di bangunan turbin di reaktor No 1 dan No 3 kini 10,000 kali ganda di atas paras normal. Ini mencetuskan kebimbangan, bekas reaktor atau injap dan paipnya telah bocor. Oleh kerana bimbang garam dalam air laut boleh terkumpul dalam loji itu dan menyebabkan hakisan, air tawar pula mula digunakan.Dua baj tentera Amerika Syarikat kini menuju loji itu dari pangkalan tentera laut dekat Tokyo, bagi membantu membekalkan air tawar kepada loji itu. -- AFP.

Jepun kesan paras radioaktif iodin tertinggi



OSAKA 26 Mac - Operator loji nuklear Fukushima hari ini mengesan paras radioaktif iodin 1,250 kali lebih tinggi daripada had yang dibenarkan di perairan Lautan Pasifik berhampiran dengan loji tersebut.
Menurut Agensi Keselamatan Nuklear dan Industri Jepun (NISA), ujian yang dijalankan oleh Tokyo Electric Co. (TEPCO) itu menunjukkan paras radiasi iodin berhampiran reaktor No. 1 berada pada tahap 131 iaitu 1,250.8 lebih tinggi daripada paras yang dibenarkan.
Seorang jurucakap agensi, Hidehiko Nishiyama pada sidang akhbar yang disiarkan di televisyen menyatakan, paras itu secara relatifnya tinggi tetapi kesannya kepada kehidupan marin dan hidupan laut adalah kecil.
"Ia bermakna jika anda meminum 500 mililiter air yang mengandungi tahap radiasi iodin seperti ini, ia akan sampai ke tahap di mana seseorang boleh mengambilnya dalam tempoh satu tahun iaitu bersamaan satu millisievert.
"Jumlah itu secara relatifnya agak tinggi. Jadi kita perlukan lebih banyak rumpai laut dan hidupan marin untuk menyerap radioaktif ini," katanya.
Bercakap mengenai kesannya kepada hidupan laut Nishiyama berkata, secara umumnya bahan radioaktif yang dilepaskan ke laut akan tersebar akibat pasang surut air.
"Sejak berita mengenai peningkatan tahap radiasi dilaporkan lapan hari lalu, jumlah pengguna yang makan makanan laut turut berkurangan," katanya.
Paras itu merupakan yang tertinggi berbanding beberapa ujian yang diambil minggu lalu di kawasan sama iaitu kira-kira 300 meter ke luar pesisir pantai.
TEPCO pada Selasa lalu melaporkan paras radiasi iodin di laut berada pada paras 126 kali lebih tinggi daripada yang ditetapkandan pada Khamis lalu menyatakan paras iodin berada 145 kali lebih tinggi. - AFP

Wednesday, March 23, 2011

Radiasi masih mengancam




MASIH SIHAT: Hazuki Oka (kanan), dari Minamisoma di wilayah Fukushima, menanti giliran sementara abangnya, Yukinari, diperiksa bagi paras radiasi, semalam. Rumah dua beradik itu hanya sekitar 25 kilometer dari loji nuklear Fukushima namun mereka tidak menunjukkan paras radiasi berbahaya. -- Foto REUTERS




TOKYO: Asap dan wap kelihatan menjulang daripada dua reaktor di sebuah loji nuklear Jepun semalam, menandakan perjuangan menghalang satu peleburan dan penyebaran radiasi masih belum berakhir.
Para teknisyen yang bekerja di satu zon pengosongan di sekitar loji bermasalah di pantai timur laut Jepun itu telah memasang kabel tenaga di keenam-enam reaktor dan mula mengepam air di sebuah reaktor bagi menyejukkan batang bahan api nuklear yang terlalu panas itu.Agensi berita Kyodo berkata wap kelihatan naik daripada reaktor No 2 dan satu kabus putih kelihatan di atas reaktor No 3.Juga terdapat beberapa hembusan wap daripada reaktor-reaktor itu, yang menurut pakar-pakar, mungkin telah mengeluarkan sedikit habuk radioaktif.Pengendali loji itu, Tokyo Electric Power Co (Tepco), berkata selepas itu bahawa asap itu telah menjadi wap dan mereka menganggap keadaan sudah selamat bagi meneruskan kerja pembaikan itu.Agensi keselamatan nuklear Jepun berkata wap itu dipercayai daripada kolam bahan api nuklear yang telah digunakan di reaktor No 2.Reuters sebelum ini melaporkan bahawa loji di Fukushima itu menyimpan bahan uranium dalam jumlah lebih banyak daripada sepatutnya, berdasarkan reka bentuk loji itu.Loji itu juga telah beberapa kali terlepas ujian-ujian keselamatan wajib dalam sedekad lalu, menurut dokumen-dokumen syarikat dan pakar-pakar dari luar.Sementara itu, paras radiasi dalam sayur-sayuran, air dan susu telah mencetuskan kebimbangan di kalangan warga setempat dan luar Jepun, walaupun ada jaminan daripada para pegawai bahawa kadar radiasi itu tidak berbahaya.Tepco berkata radiasi itu hanya terdapat di Lautan Pasifik yang berdekatan kerana sedikit air dari pam-pam di loji itu mengalir ke laut.Bahan iodin beradioaktif dalam contoh-contoh air laut adalah 126.7 kali lebih tinggi daripada yang dibenarkan dan kadar bahan sesium 24.8 kali lebih tinggi, kata Kyodo.Namun masih tiada ancaman bahaya, kata Tepco.Jepun telah menggesa para penduduk berhampiran loji itu supaya jangan minum air paip setelah paras iodin beradioaktif yang tinggi dikesan.Negara itu juga telah menghentikan eksport susu, bayam dan sejenis sayur 'kakina' dari kawasan itu.Lebih 170,000 orang telah dipindahkan dari zon di sekitar loji nuklear itu sejak gempa 9.0 di skala Richter dan tsunami turut merosakkan kompleks nuklear itu yang terletak 240 kilometer ke utara Tokyo.Kerosakan daripada bencana itu dianggarkan AS$250 bilion (kira-kira $317 bilion), menjadikannya bencana alam yang mengakibatkan kerugian paling besar di dunia.Angka rasmi kematian telah melebihi 9,000 orang tetapi dijangka naik kerana 12,654 masih hilang.Bencana itu telah memusnahkan banyak pekan dan bandar, yang kini tinggal dataran lumpur dan serpihan bangunan. 350,000 orang kini tiada tempat tinggal. -- Reuters.

Tuesday, March 22, 2011

Makanan Jepun dikhuatiri tidak selamat



BEIJING - Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) semalam mengumumkan masalah pencemaran radiasi dalam makanan di Jepun adalah lebih serius daripada jangkaan awal.

Menurut WHO, keadaan sebenar adalah lebih buruk dan radiasi tidak hanya mencemarkan kawasan 20 hingga 30 kilometer dari loji seperti yang disangka, beberapa hari selepas gempa kuat merosakkan loji nuklear di Fukushima.

Kes seperti sayuran, susu dan air yang tercemar akibat radiasi mula mencetuskan kebimbangan serantau di sebalik jaminan Jepun bahawa tahap radiasi itu tidak berbahaya kepada kesihatan manusia.

WHO mengesahkan tidak mempunyai sebarang bukti bahawa makanan tercemar di wilayah Fukushima telah tersebar ke negara lain.

"Tetapi adalah lebih baik langkah berjaga-jaga diambil terutama dalam mengesan tahap pencemaran dalam produk dari Fukushima," menurut badan dunia itu.

Pertaruh nyawa demi jutaan rakyat


OSAKA: Dalam usaha menghindari krisis di loji nuklear Fukushima, sekumpulan petugas rela menghadapi radiasi tahap tinggi demi keselamatan jutaan orang ramai.
Sekali pun kumpulan jurutera terbabit berjaya mengembalikan bekalan tenaga di loji itu yang lumpuh akibat gempa dan tsunami, mereka tetap berdepan risiko terhadap kesihatan.

Bagaimanapun, mereka dengan sukarela ingin kembali ke kawasan dipenuhi toksik itu bagi memulihkan semula kabel tenaga, memeriksa jentera dan mengenal pasti di mana pasukan bomba perlu menyemburkan air bagi menyejukkan reaktor yang mengalami pemanasan.

“Saya akan bekerja sepenuh kemampuan saya supaya keadaan di sini pulih semula,” kata seorang juruteknik yang berusia 30-an kepada majikannya, pengendali loji Syarikat Bekalan Elektrik Tokyo. - AFP

metro

Monday, March 21, 2011

Loji nuklear akan ditutup

OSAKA: Jurucakap kanan kerajaan Jepun berkata loji nuklear yang terjejas teruk akibat gempa bumi dan tsunami negara itu akan ditutup.
Kenyataan Ketua Setiausaha Kabinet, Yukio Edano itu adalah yang pertama daripada pegawai kerajaan mengenai penutupan loji nuklear Dai-ichi Fukushima sebaik pemanasan reaktornya berjaya dikawal.

Langkah menutupnya tidak boleh dielakkan memandang air laut yang digunakan untuk menyejukkan reaktor itu boleh menyebabkan karat sekali gus menjadikan bahagian pentingnya tidak boleh digunakan. Menurut Edano, keadaan loji itu kemungkinannya tidak boleh dibuka semula. - AP

Krisis nuklear Jepun pengaruhi pembinaan loji AS





2011/03/21

WASHINGTON: Krisis nuklear Jepun dijangka mempengaruhi pemilihan tapak pembinaan loji nuklear dirancang di Amerika Syarikat dan operasi sedia ada di loji di New York akan disemak semula. 

“Sudah tentu proses pemilihan tapak loji nuklear akan jauh berbeza berbanding kaedah yang digunakan sebelum ini,” Setiausaha Tenaga Amerika Syarikat, Steven Chu memberitahu rancangan televisyen Fox News Sunday, semalam.
Jepun berupaya memulihkan kuasa elektrik di loji nuklear di Fukushima Daiichi yang terputus akibat gempa bumi dan tsunami sembilan hari lalu, perkembangan yang dilihat mampu membantu menyejukkan reaktor yang semakin panas sehingga mengancam menyebabkan kebocoran radiasi.
Selain di Amerika, krisis di Jepun itu turut menyebabkan banyak negara lain menyemak rancangan masing-masing untuk membina loji nuklear. 

Presiden Barack Obama berkata Khamis lalu pentadbiran beliau sudah mengarahkan semakan menyeluruh terhadap kemudahan nuklear di AS, tetapi menegaskan pihaknya tetap menggalakkan penggunaan kuasa nuklear. 

Ditanya sama ada loji nuklear di Indian Point, terletak kira-kira 64 km di utara bandar raya New York patut terus beroperasi, Chu berkata: “Kita perlu menyemak semula sama ada reaktor ini harus kekal di situ.” 

Beliau berkata keputusan mengenai perkara itu akan dibuat oleh Suruhanjaya Pengawalseliaan Nuklear tetapi beliau yakin loji terbabit adalah selamat. 
Loji Indian Point di New York, di tebing sungai Hudson River jika berdepan dengan krisis seperti di Fukushima boleh mengancam 20 juta penduduk yang berada dalam lingkungan 80 kilometer dari loji itu. 

Loji itu terletak di atas dua garisan rekahan bumi tetapi syarikat pengendalinya Entergy berkata loji itu boleh bertahan sehingga gempa bumi magnitud 6.0. – Reuters 

Sunday, March 20, 2011

Rancang timbus pasir henti krisis





TOKYO - Kerajaan Jepun merancang untuk menimbus reaktor nuklear panas Jepun itu dengan pasir atau konkrit untuk menghentikan krisis yang melanda negara itu tetapi pakar mengatakan ia terlalu awal untuk berbuat demikian, semalam.

Kerajaan Jepun merancang untuk menutup loji nuklear Fukushima Daiichi itu dengan pasir atau konkrit sebagai satu langkah kecemasan.

Namun, pakar berpendapat rancangan itu terlalu awal untuk dilakukan dan akan menjadi satu kesilapan besar serta boleh menyebabkan keadaan menjadi lebih buruk.

Pegawai Agensi Keselamatan Industri dan Nuklear Jepun, Hidehiko Nishiyama berkata, rancangan itu dipercayai bukan satu pilihan yang realistik.

"Memang benar kami akan membina tembok konkrit di kompleks loji nuklear itu suatu hari nanti tetapi bukan sekarang," katanya.

Sementara itu, pakar nuklear di Universiti Franciscan, Ohio, Alex Sich pula berpendapat membina tembok konkrit itu adalah satu risiko yang boleh mendatangkan bahaya kepada seluruh dunia.

Menurutnya, struktur yang menyekat bahan radioaktif akan rosak jika muatan berat dicampak ke atas mereka, menyebabkan jalan baru dibuka untuk bahan merbahaya itu keluar.

"Struktur reaktor di Jepun jauh berbeza. Ia dikelilingi beberapa penghalang yang direka khas untuk menyekat bahan radioaktif daripada teras reaktor.

"Jika muatan berat dicampakkan pada ketinggian ratusan meter menggunakan helikopter, ia boleh menyebabkan beberapa saluran dalaman retak dan mendedahkan teras reaktor itu," katanya.

Jepun cuba pulih kabel loji nuklear



TOKYO - Sekumpulan jurutera Jepun sedang bertungkus-lumus memulihkan kabel elektrik dengan harapan dapat mengembalikan tenaga kepada dua reaktor untuk menyalurkan air bagi mengekalkan tahap kedinginan, sekali gus mengelakkan kebocoran radiasi, semalam.

Lebih 20 pekerja loji itu dilaporkan cedera manakala lebih 20 penduduk sekitar Jepun terdedah kepada kesan radioaktif.

Bagaimanapun, kerja-kerja itu terpaksa dihentikan buat sementara waktu untuk memberi laluan kepada helikopter melepaskan air laut dari udara ke atas loji tenaga nuklear Fukushima Daiichi, yang terletak kira-kira 240 kilometer utara Tokyo.

Meskipun mereka berjaya menyambung semula tenaga elektrik itu namun belum ada kepastian sama ada pam tersebut boleh digunakan untuk menyalurkan air bagi mengekalkan tahap kedinginan reaktor memandangkan ia kemungkinan sudah rosak dalam bencana yang melanda negara itu.

”Kerja pembaikan belum menampakkan sebarang kemajuan setakat ini seperti yang diharapkan," kata seorang pegawai SyarikatBekalan Tenaga Elektrik Tokyo (Tepco).

Kerajaan arah periksa produk makanan



TOKYO - Kerajaan Jepun mengarahkan pihak berkuasa tempatan untuk mengesan makanan yang telah tercemar dengan bahan radioaktif selepas loji nuklear Fukushima Daiichi didakwa mengalami kebocoran radiasi, kelmarin.

Pegawai Kementerian Kesihatan melaporkan, tindakan mengehadkan kandungan radiasi pada penghasilan produk makanan tempatan itu adalah pertama kali dilakukan di negara tersebut.

Ia diselaraskan dengan program antibencana dan disediakan sebelumnya oleh suruhanjaya keselamatan kuasa atom kerajaan.

Had radiasi itu bergantung kepada jenis bahan makanan yang telah ditetapkan dalam rundingan antarabangsa dan diterima dalam pengambilan kuantiti makanan sederhana di Jepun.

Kebocoran radiasi di Jepun menyebabkan beberapa negara dirantau Asia bertegas untuk melakukan pemeriksaan terhadap produk yang diimport dari negara itu.

Saturday, March 19, 2011

Sambungan kabel tenaga di luar loji Fukushima selesai





2011/03/19

TOKYO: Jurutera sudah menyambung kabel kuasa pada bahagian luar loji tenaga nuklear yang lumpuh akibat tsunami dalam usaha terdesak menghidupkan semula pam air bagi menyejukkan rod bahan api yang terlampau panas dan menghalang pelepasan radiasi. 

Penyambung kabel di bahagian dalam loji berkenaan sedang dilakukan sebelum cubaan menghidupkan semula pam air sistem penyejukan loji Fukushima Daiichi itu dapat dilakukan.
Hampir 300 jurutera berusaha mencari penyelesaian kepada usaha menyambung semula bekalan elektrik ke loji dengan enam reaktor itu.
Menurut pihak berkuasa, jurutera terbabit berjaya menghidupkan semula pam diesel yang pernah digunakan untuk menyejukkan reaktor No.5. 

Agensi berita Jiji melaporkan TEPCO sudah mula menggunakan pam air berkuasa diesel di reaktor No.5. - Reuters 

Tahap krisis Fukushima dinaikkan


OSAKA: Agensi keselamatan nuklear Jepun semalam menaikkan paras krisis loji nuklear Fukushima kepada lima daripada empat pada skala graviti antarabangsa untuk kemalangan atomik.
Tahap paling tinggi skala itu ialah tujuh.

Keputusan Agensi Keselamatan Nuklear dan Perindustrian itu meletakkan Fukushima pada tahap yang sama dengan kemalangan nuklear di Pulau Three Mile di Pennsylvania pada 1979 dan menjadikannya yang terburuk di Jepun.

Seorang jurucakap agensi itu berkata, ia sudah memaklumkan kepada Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) mengenai keputusan itu yang dibuat berdasarkan keadaan reakor pertama, kedua dan ketiga di loji terbabit akibat gempa bumi dan tsunami Jumaat lalu.

“Zarah radioaktif masih terbebas di ruang angkasa,” katanya.

Antara enam reaktor di loji berkenaan, reaktor pertama, kedua dan ketiga beroperasi ketika gempa bumi berukuran 9 magnitud melanda dan berhenti secara automatik.

Bagaimanapun, sebahagian terasnya dipercayai cair kerana bencana berkembar itu memusnahkan sistem penyejukan loji berkenaan, menyebabkan berlaku letupan dan kebakaran.

Sejak itu pihak berkuasa berusaha memastikan rod bahan api dalam reaktor dan kolam menyimpan bahan api berada di bawah paras air.
Jika terdedah pada udara, ia boleh membebaskan sejumlah besar bahan radiokatif.

Agensi Keselamatan Nuklear Perancis meletakkan krisis Fukushima pada tahap enam pada skala itu. - AFP

Friday, March 18, 2011

Empat helikopter curah air di loji nuklear




DUA buah helikopter mengambil air laut di Jepun semalam dengan menggunakan sebuah bekas untuk dicurahkan ke reaktor loji nuklear Fukushima Daiichi di Fukushima, Jepun.


TOKYO - Sebanyak empat buah helikopter tentera Jepun digunakan bagi mencurahkan bertan-tan air ke loji jana kuasa nuklear Fukushima Daiichi di Fukushima semalam bagi tujuan menyejukkan batang bahan bakar daripada berlaku kebocoran radiasi.
Helikopter Pasukan Pertahanan daripada jenis CH-47 Chinooks berkuasa dua enjin itu memulakan misi pertama dengan membawa sebuah bekas yang berkapasiti tujuh tan air ke loji tersebut.
Operasi itu dilakukan bertujuan supaya batang bahan bakar dalam reaktor dan kolam penghadang ditenggelami air bagi mengurangkan pendedahan bahan pada udara dan menyebabkan bahan radioaktif tersebar ke alam sekitar.
Sebelum ini radiasi bocor dari reaktor nuklear itu tetapi dalam kadar yang masih tidak dianggap membahayakan kesihatan manusia.
Menteri Pertahanan Jepun, Toshimi Kitazawa berkata, sebanyak 11 kenderaan tentera juga akan dihantar bagi menyertai usaha untuk menyejukkan reaktor itu.
Agensi Keselamatan Nuklear Jepun menyatakan keutamaan akan diberikan kepada reaktor nombor tiga dan empat yang kemungkinan berada pada tahap terlalu panas.
Menurut seorang jurucakap loji nuklear itu yang dikendalikan syarikat Tokyo Elektric Power Co (TEPCO), kolam penghadang di reaktor nombor empat seperti sudah ditenggelami air pada Rabu lalu berdasarkan kepada pemerhatian dari helikopter.
"Kami tidak pasti berapa banyak air sudah berada di dalam reaktor tersebut dan kami juga tidak mempunyai informasi berapa banyak batang bahan bakar yang sudah terdedah," kata seorang jurucakap TEPCO.
Sebelum ini, pekerja-pekerja TEPCO sedang berusaha membaikpulih bekalan tenaga sistem penyejukan yang lumpuh ketika serangan gempa bumi dan tsunami yang melanda Jepun.
Loji itu pernah meletup sebanyak empat kali selepas ia rosak akibat gegaran gempa bumi yang berpusat di timur laut Jepun pada Jumaat lalu.
Gempa bumi kuat itu turut menyebabkan ombak tsunami setinggi 10 meter berlaku dan melanda kawasan di utara dan timur Jepun. - Agensi
-kosmo

Thursday, March 17, 2011

Krisis semakin tidak terkawal



sebahagian penduduk yang tinggal di barat loji nuklear Fukushima menjalani pemeriksaan radiasi di bandar raya Nihonmatsu di wilayah Fukushima sebelum dipindahkan, semalam. - AFP


TOKYO 16 Mac - Krisis nuklear Jepun semakin tidak terkawal hari ini selepas pekerja keluar sementara waktu dari loji nuklear di Fukushima yang rosak ekoran paras radiasi yang melonjak, tetapi usaha terdesak untuk mengelakkan berlaku malapetaka nuklear diteruskan dengan segera.
Pegawai Jepun berkata, mereka menghubungi tentera Amerika Syarikat (AS) mengenai kemungkinan menghantar pasukan bagi membantu pihak berkuasa di loji itu.
Awal hari ini, satu lagi kebakaran berlaku di reaktor No. 4 di loji tersebut yang telah mengeluarkan radiasi paras rendah yang dibawa angin ke Tokyo dalam tempoh 24 jam lalu, mencetuskan panik di ibu negara ini dan di beberapa negara.
Pekerja cuba membersihkan sampah sarap untuk membina sebatang jalan supaya kereta bomba boleh sampai ke reaktor No. 4 di kompleks nuklear Daiichi di Fukushima, 240 kilometer ke utara Tokyo.
Api tidak lagi kelihatan di bangunan yang menempatkan reaktor itu tetapi siaran televisyen menunjukkan kepulan asap putih atau wap.
Sebuah helikopter terbang di atas kompleks itu untuk menggugurkan air ke atas reaktor No. 3, yang mengalami kerosakan bumbung dalam kejadian letupan pada Jumaat lalu dan mengeluarkan wap awal hari ini, dalam usaha untuk menyejukkan rod tenaga nuklear.
Operator loji, Tokyo Electric Power Co. (TEPCO) menggambarkan reaktor No. 3 sebagai 'keutamaan' dan situasi di reaktor No. 4 sebagai 'tidak begitu baik'.
Pakar nuklear berkata, jalan penyelesaian yang dicadangkan untuk mengawal kebocoran radiasi di loji itu dianggap sebagai usaha terakhir untuk membendung berlaku bencana yang dijangka diingati sebagai satu bencana perindustrian paling buruk di dunia.
"Ini mimpi ngeri yang dialami secara gerak perlahan," kata penyelidik di Pusat Kajian Antarabangsa (sebahagian Institut Teknologi Massachusetts), Dr. Thomas Neff.
Di loji Fukushima, pihak berkuasa sejak berhari-hari lalu cuba mencegah air yang digunakan untuk menyejukkan teras reaktor yang mengandungi radioaktif daripada meruap, bagi mengelakkan teras reaktor menjadi terlampau panas dan kemungkinan membawa kepada kecairan berbahaya.
Kebimbangan kini tertumpu kepada kerosakan sebahagian bangunan reaktor No. 4 di mana rod tenaga terpakai disimpan di dalam takungan air, kerana paras air didapati semakin merosot dan boleh menyebabkan rod itu terdedah dan mengeluarkan radiasi.
Sebelum itu pasukan kecil yang ditugaskan untuk menangani krisis tersebut dikhuatiri tidak memadai atau pun sudah keletihan selepas berhari-hari bertungkus-lumus di kompleks itu.
Hanya 50 petugas berada di loji itu selepas pihak berkuasa membawa keluar 750 pekerja semalam.
Seorang veteran industri nuklear, Arnie Gundersen berkata, 50 pekerja tidak mampu menjaga enam reaktor nuklear.
"Tindakan membawa keluar 750 pekerja menandakan mereka mungkin sudah mengaku kalah," katanya. - Reuters

Berpuluh penerbangan ke Jepun dibatal



Penduduk bandar raya sendai berbaris panjang di terminal bas di hadapan stesen kereta api Sendai semalam bagi meninggalkan bandar raya itu yang teruk dilanda gempa bumi dan tsunami jumaat lalu. - AFP


FRANKFURT 16 Mac - Berpuluh-puluh penerbangan ke Jepun dibatalkan atau dilencongkan semalam dan penumpang udara mengelakkan perjalanan ke Tokyo kerana bimbang ancaman radiasi dari sebuah loji nuklear yang rosak teruk akibat gempa bumi pada Jumaat lalu.
Paling teruk terjejas ialah syarikat penerbangan Asia dan Eropah.
Deutsche Lufthansa berkata, ia melencongkan penerbangan dari Tokyo ke Osaka dan Nagoya, sekurang-kurangnya sehingga ke hujung minggu ini.
Katanya, pesawat yang pulang dari Tokyo kelmarin tidak dicemari radiasi.
Air China berkata, ia membatalkan penerbangan ke Tokyo dari Beijing dan Shanghai, terutamanya disebabkan kekurangan kapasiti operasi di beberapa lapangan terbang.
EVA Airways dari Taiwan mengumumkan akan membatalkan penerbangan ke Tokyo dan Sapporo sehingga akhir bulan ini.
Syarikat penerbangan Amerika Syarikat (AS) tidak melaporkan perubahan besar dalam jadual penerbangan mereka ke Jepun, tetapi pihak berkuasa penerbangan AS berkata, mereka bersedia mengambil tindakan termasuk melencongkan penerbangan jika krisis nuklear bertambah buruk.
Kerajaan lain termasuk Britain, Itali dan Belanda mengeluarkan amaran perjalanan dan penerbangan bagi mengelakkan persinggahan di ibu negara Jepun itu. - Reuters