Friday, October 2, 2015

Arab Saudi, Iran guna diplomasi



SEORANG jemaah haji wanita Iran (kanan) menangis ketika dia dan seorang lagi jemaah disambut saudara-mara selepas tiba di Lapangan Terbang Imam Khomeini di Tehran Selasa lalu. - Agensi


JEDDAH – Menteri Kesihatan Arab Saudi dan Iran bersetuju menghantar pulang sebilangan jemaah haji Iran yang terkorban dalam tragedi rempuhan di Mina pada minggu lalu, lapor media rasmi Arab Saudi.
Persetujuan dicapai selepas Teheran mengancam akan bertindak ‘keras’ atas sebarang kelewatan.
Teheran sebelum ini­ menuduh Riyadh meng­halang usaha membawa pulang jenazah sekurang-kurangnya 239 warga Iran yang meninggal dunia dalam insiden itu.
Seramai 241 jemaah lain termasuk seorang diplomat kanan Iran dan bekas dutanya ke Lebanon merupakan warga Iran yang masih hilang selepas enam hari tragedi tersebut berlaku.
“Kedua-dua pihak bersetuju untuk menghantar pulang jenazah yang sudah dikenal pasti dengan secepat mungkin,” lapor agensi berita rasmi SPA semalam selepas pertemuan dua menteri ber­kenaan di Jeddah.
Menurut SPA, dua pihak terbabit juga akan saling berhubung untuk me­ngenal pasti identiti baki jenazah warga Iran dan merawat mereka yang ce­dera di bawah perjanjian antara Menteri Kesihatan Arab Saudi, Khaled al-Falih dan rakan sejawatnya dari Iran, Hassan Hashemi.
Laporan itu menyebut bahawa Arab Saudi mahu bekerjasama dengan Islam.
Pada minggu lalu, Teheran mendakwa pihak berkuasa Arab Saudi gagal memberikan visa kepada pegawai-pegawai Iran yang mahu memasuki negara itu bagi menguruskan proses membawa pulang rakyatnya yang terbunuh dan cedera.
“Pihak berkuasa Arab Saudi gagal menjalankan tugas mereka,” kata pempimpin agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei.
“Mereka sepatutnya tahu Iran akan bertindak balas secara keras atas sedikit penghinaan terhadap berpuluh-puluh ribu jemaah kami di Mekah dan jika mereka tidak memenuhi tanggungjawab menghantar pulang je­nazah jemaah kami,” tambahnya. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1002&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3nMjopna1 
Hakcipta terpelihara