Tuesday, May 12, 2015

Tunjuk kad OKU untuk dapat pelepasan


Putrajaya: Orang kurang upaya (OKU) perlu menunjukkan sijil dikeluarkan badan kebajikan swasta yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mendapat pelepasan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) ketika membeli alat bantuan OKU.
Pengarah GST Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Datuk T Subromaniam berkata, alat bantuan untuk OKU seperti kerusi roda, alat bantuan pendengaran, tongkat, kasut khas, katil mekanikal mudah alih dan alat bantuan penglihatan memang dikenakan GST.
“Tetapi OKU boleh mendapatkan pelepasan dengan menunjukkan sijil berkenaan kepada peniaga untuk menikmati kemudahan itu.
“Dalam Akta GST memang ada peruntukan ini, tetapi ada yang tidak sedar mengenainya. Pada masa sama peniaga juga perlu peka mengenai perkara ini dengan memberikan pelepasan sekiranya ada OKU mengemukakan sijil berkenaan ketika membeli peralatan terbabit,”katanya pada sidang media di sini, semalam.
Subromaniam berkata, pengecualian itu terdapat dalam Butiran 7 Perintah Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pelepasan) 2014.
Sementara itu, Subromaniam berkata, mengikut Seksyen 64 Akta GST 2014 pembekalan kerajaan persekutuan dan negeri adalah tidak dikenakan GST, begitu juga pembekalan berkaitan fungsi pengawalseliaan atau penguatkuasaan bagi pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan berkanun.
Katanya, hanya aktiviti perniagaan yang dibekalkan sahaja seperti penyewaan dewan dan premis komersial dikenakan GST.
Namun, beliau berkata, PBT berada dalam kedudukan sangat selesa pada era GST berbanding Cukai Jalan dan Perkhidmatan (SST) kerana boleh menuntut semula semua cukai input yang ditanggung oleh mereka.
“Di bawah SST kalau PBT beli barang seperti kereta, perkhidmatan kawalan keselamatan, yuran guaman, perkhidmatan telekomunikasi, yuran perundingan dan perkhidmatan profesional lain itu tak boleh dituntut semula.
“Tetapi di bawah GST cukai input boleh dituntut semula, bermakna PBT berada dalam kedudukan lebih baik berbanding SST, begitu juga perniagaan yang berdaftar mereka juga boleh tuntut semula cukai berkenaan,”katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, Ketua Pengarah JKDM sudah mengarah supaya pegawainya turun padang ke setiap negeri untuk memberi penjelasan sebenar kepada PBT bagi mengelakkan kekeliruan.
Dalam perkembangan lain, Subromaniam berkata jumlah pendaftaran GST sehingga kelmarin adalah 376,095.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/50290#sthash.4TyAet78.dpuf

Laporan Ketua Audit Negara Mengenai 1MDB Dijangka Siap Jun


Diterbitkan: Selasa, 12 Mei 2015 10:42 AM

PETALING JAYA: Laporan Ketua Audit Negara berhubung siasatan mengenai akaun 1Malaysia Development Bhd (1MDB) akan disiapkan menjelang bulan depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu pertemuan tertutup dengan semua ketua Umno bahagian memberitahu bahawa laporan mengenai penemuan awal oleh Ketua Audit Negara akan segera diserahkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
Menurut seorang ketua Umno bahagian di Selangor yang hadir pada pertemuan itu memberitahu bahawa Najib pada pagi Isnin menghubungi Ketua Audit Negara untuk bertanyakan tentang perkembangan siasatan dan diberitahu bahawa penemuan awal kemungkinan besar akan siap pada bulan depan.
Pertemuan Najib bersama semua ketua Umno Bahagian dalam majlis makan tengah hari di kediaman rasmi perdana menteri di Putrajaya pada Isnin ketika isu kontroversi membabitkan tanah RM188.5 juta yang dijual oleh syarikat pembangunan strategik 1MDB kepada Tabung Haji, lembaga urusan tabung haji sedang hangat diperkatakan.
Kira-kira 120 ketua Umno bahagian menghadiri pertemuan itu dan banyak perkara dipersoalkan dan rata-ratanya menerima penjelasan Najib.
Najib berkata, tanah itu dijual kepada Tabung Haji bukan untuk 'bailout' (melindungi) 1MDB tetapi Tabung Haji mahu mendapatkan keuntungan di atas pembelian tersebut.
Beliau berkata, urusan pembelian itu dibincangkan seawal 2013 tetapi beliau menasihatkan Tabung Haji untuk menjual semula tanah itu kerana persepsi yang kurang baik dan sukar untuk memberi penjelasan mengenai pembelian itu kepada 'pakcik dan makcik' di kalangan pendeposit.
Menurut Najib, 'bailout' hanya berlaku apabila wang disalurkan tanpa sebarang prospek pulangan keuntungan dan merujuk contoh isu 'bailout' Penerbangan Malaysia (MAS) semasa Tun Dr Mahathir menjadi perdana menteri.
Beliau berkata, kerajaan menyelamatkan syarikat penerbangan itu yang kerugian beberapa bilion ringgit dengan membayar RM8 sesaham semasa ia bernilai hanya RM3.50 setiap satu.

Jabatan Audit Cadang Serah Laporan Awal Pengauditan 1MDB Akhir Jun


Diterbitkan: Selasa, 12 Mei 2015 1:12 PM

KUALA LUMPUR: Jabatan Audit Negara pada Selasa memaklumkan jabatan itu kini giat melakukan pengauditan ke atas syarikat 1Malaysia Development Bhd (IMDB), dan berusaha menyiapkannya seberapa cepat yang boleh.
Sehubungan itu, Jabatan Audit bercadang mengemukakan laporan awal pengauditan ini kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) selewat-lewatnya akhir Jun ini.
"Jabatan Audit Negara sememangnya memberi keutamaan terhadap tugasan ini," demikian menurut Ketua Audit Negara dalam satu kenyataan sebagai maklum balas kepada pihak-pihak yang ingin mengetahui status terkini pengauditan jabatan itu terhadap 1MDB.

Tony Pua Fail Permohonan Batalkan Saman Najib


Diterbitkan: Isnin, 11 Mei 2015 4:31 PM

KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua Kiam Wee memfailkan permohonan bagi membatalkan saman fitnah yang difailkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terhadapnya berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Perkara itu dimaklumkan peguam Alliff Benjamin Suhaimi yang mewakili Pua ketika ditemui pemberita selepas kes itu disebut di dalam kamar di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi K. Pavani.
Alliff berkata mahkamah turut menetapkan 17 Jun untuk pengurusan kes.
Prosiding pada Isnin turut dihadiri peguam Choo Shi Jin yang mewakili perdana menteri.
Pada 8 Mei lepas, Pua memfailkan permohonan untuk membatalkan saman Najib atas alasan plaintif (Najib) tidak mempunyai locus standi untuk memulakan tindakan saman terhadapnya dan mendakwa saman itu bertujuan untuk menyusahkan dan merupakan satu penyalahgunaan proses mahkamah.
Najib, atas kapasiti peribadinya, memfailkan saman itu pada 5 Mac lepas dan menamakan Pua, 42, dan pemilik portal online Mediarakyat.net, Chan Chee Kong, 51, sebagai defendan pertama dan kedua.
Dalam pernyataan tuntutan itu, Najib mendakwa pada 13 Nov tahun lepas, Pua sebagai seorang penceramah utama pada majlis makan malam Kutipan Dana DAP telah memberi ucapan berhubung isu 1MDB dan rakaman ucapan itu telah dimuat naik oleh defendan kedua sendiri dan/atau ejennya di laman YouTube Mediarakyat dan laman web Mediarakyat.
Perdana menteri mendakwa rakaman itu kemudiannya telah dikongsi oleh defendan pertama dan/atau ejen-ejennya di laman facebooknya dan juga defendan kedua dan/atau ejen-ejennya di laman facebook Mediarakyat.
Najib berkata sehingga 2 Mac lepas, rakaman itu ditonton 194,979 kali di laman YouTube Mediarakyat manakala 200,709 pengguna Facebook mengikuti rakaman itu di laman Facebook Pua dan 165,293 lagi pengguna Facebook Mediarakyat mengikuti rakaman itu.
Katanya, rakaman ucapan itu mengandungi perkataan-perkataan yang merujuk dan berkaitan dengannya yang memfitnahnya dan individu yang dikenali sebagai 'Prime Minister' dalam perkataan-perkataan fitnah itu semestinya merujuk secara spesifik kepadanya (Najib).
Najib mendakwa perkataan-perkataan fitnah itu antara lain membawa maksud bahawa beliau telah merompak duit rakyat berkaitan urus niaga 1MDB dan oleh itu beliau adalah seorang yang tidak boleh dipercayai dan tidak layak memegang jawatan awam.
Najib, yang juga Presiden UMNO, berkata perkataan-perkataan fitnah itu merupakan fitnah yang amat serius dan menyebabkannya dibawa ke skandal awam, kebencian dan penghinaan oleh kawan-kawan, kenalan dan masyarakat awam di dalam negara dan di peringkat antarabangsa dan juga menyebabkan ketegangan hubungan antara rakyat dan pihak antarabangsa dengan plaintif.
Beliau berkata penerbitan perkataan-perkataan fitnah itu telah merosakkan reputasinya yang akan berterusan selama bertahun-tahun lamanya kerana rakaman ucapan itu boleh diakses secara meluas dan mudah di seluruh dunia melalui internet, blog, forum dan laman web tanpa sebarang sekatan dan boleh dikongsi semula.
Sehubungan itu, beliau menuntut ganti rugi am, teladan, kos dan perintah injunksi bagi menahan defendan pertama dan kedua atau ejen-ejennya daripada menerbitkan lagi perkataan-perkataan fitnah itu terhadapnya.

Tabung Haji Nafi Pintu Kaca Cawangan Sengaja Dipecahkan


Diterbitkan: Selasa, 12 Mei 2015 1:47 PM
Salah satu pintu kaca di cawangan Tabung Haji di Kangar, Perlis kerana engselnya tertanggal.

PETALING JAYA: Tabung Haji menafikan spekulasi mengenai salah satu daripada cawangannya telah dirosakkan akibat perbuatan vandalisme.
Sebaliknya, lembaga urusan tabung haji berkata, salah satu daripada pintu kaca di cawangannya di Kanggar, Perlis pecah selepas engselnya tertanggal.
"Perkara yang berlaku langsung tiada elemen jenayah. Tiada sesiapapun yang baling batu atau apa-apa sahaja. Saya berada di situ ketika ia berlaku," kata seorang pekerja cawangan itu yang enggan dikenali kepada The Star Online.
Pekerja itu berkata, kejadian berlaku pada kira-kira pukul 4.30 petang Isnin ketika sedang menutup premisnya.
Dia kemudiannya mengesahkan bahawa pintu kaca yang pecah itu sudah digantikan dengan yang baharu.
Sekeping gambar berhubung insiden tersebar meluas di media sosial sehingga timbul spekulasi mengenai ia merupakan perbuatan vandalisme.
Tabung Haji menjaid tajuk utama media sejak seminggu lalu selepas ia membuat pembelian terhadap plot tanah di Tun Razak Exchange (TRX) dengan RM188.5 juta daripada 1Malaysia Development Board (1MDB).
Pengerusinya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim pada sidang media Sabtu mengumumkan bahawa pembelian tanah itu bukan 'bail out' (melindungi) 1MDB.
Bagaimanapun, Tabung Haji kemudiannya memutuskan untuk menjual tanah berkenaan selepas mendapat nasihat daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Terima Kasih PAS - Azmin


Diterbitkan: Selasa, 12 Mei 2015 2:09 PM
Azmin Ali

KUALA LUMPUR: Kemelut antara PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sejak Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh dilihat semakin reda apabila parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyokong pelantikan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai ketua pembangkang yang baharu.
Saranan pelantikan Ahli Parlimen Permatang Pauh yang baharu itu bagi menggantikan suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini menjalani hukuman penjara selama lima tahun bersabit kesalahan liwat keduanya.
Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali berkata, beliau telah meneliti kenyataan yang dibuat Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar.
"Terima kasih kepada PAS atas sokongan terhadap pencalonan Dr Wan Azizah," katanya selepas majlis pengagihan bantuan pendidikan di Selayang, pada Selasa.
Pada majlis itu, bantuan berjumlah lebih RM1 juta diagihkan kepada 57 tadika, 49 sekolah serta 40 individu bagi tujuan pendidikan.
Azmin menambah, ketokohan dan kewibawaan Dr Wan Azizah untuk memimpin Pakatan Rakyat di Parlimen diyakini kerana beliau pernah menjadi ketua pembangkang sebelum ini.
"Kita percaya beliau boleh meneruskan tugas dan tanggungjawab dengan baik walaupun terlalu banyak isu yang sedang dibahaskan," katanya.
Dalam pada itu, Azmin berkata, isu mengenai berlakunya sabotaj di kalangan parti gabungan Pakatan tidak seharusnya timbul lagi kerana pilihan raya kecil itu sudah selesai.
"Pilihan raya sudah pun selesai dan majoriti yang mengundi juga cukup besar serta meyakinkan," katanya.

Tun M Berkeras Mahu Najib Letak Jawatan


Diterbitkan: Selasa, 12 Mei 2015 12:14 AM

PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tetap dengan pendirian tegasnya yang mahu Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.
Menerusi kemaskini terbaharu blog chedet.cc pada Isnin, Dr Mahathir berkata beliau tidak mempunyai pilihan dengan mendesak peletakan jawatan Najib berikutan kontroversi yang semakin meningkat terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB), pembelian loji janakuasa dengan harga yang jauh lebih tinggi dan pelaburan dan usaha sama dengan Petro Saudi.
"Berbilion Ringgit telah hilang dan tidak mungkin akan kembali. Secara langsung atau tidak langsung, Najib bertanggungjawab untuk kerugian besar-besaran ini. Oleh kerana tindakan yang tidak bertanggungjawab itu, Najib tidak lagi layak menjadi Perdana menteri," katanya.

Dr Mahathir berkata beliau sedar pembangkang akan memanfaatkan keengganannya menyokong Najib, sambil menambah bahawa Barisan Nasional akan menerima musibah sekiranya Najib terus kekal.

Beliau juga berkata, jika Umno dan kepimpinan BN perlu berubah, ia perlu dilakukan sebelum pilihan raya umum ke-14.

Dr Mahathir berkata beliau merasakan kontroversi mengenai 1MDB sangat serius dari kali pertama mengetahui tentang berita itu.

"Pada masa itu, tidak banyak maklumat mengenainya. Saya tidak mempunyai pilihan tetapi untuk menghantar surat yang menyatakan saya menarik balik sokongan terhadap beliau. Sejak itu, saya menerima banyak maklumat mengenai 1MDB dan saya terkejut dengan jumlah hutang.

"1MDB juga gagal untuk membayar pinjaman RM42bil, wang dikatakan melabur di Kepulauan Cayman. Butiran mengenai pelaburan dan usaha sama dengan Petro Saudi juga tidak jelas," katanya.

Najib Tak Perlu Letak Jawatan - Abdul Hadi


Diterbitkan: Selasa, 12 Mei 2015 1:20 PM
Abdul Hadi Awang.

KUALA TERENGGANU: Datuk Seri Najib Tun Razak perlu meneruskan tugasnya sebagai perdana menteri kerana beliau dipilih menerusi sistem yang adil, kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
"Beliau tidak sepatutnya tunduk kepada desakan dan beliau seharusnya diberi peluang untuk menyelesaikan masalah yang dihadapinya.
"Saya bersetuju dengan beliau yang beliau tidak perlu meletakkan jawatan dan saya mesti katakan bahawa beliau seharusnya diberikan peluang untuk menghabiskan penggalnya," katanya pada Selasa.
Abdul Hadi berkata, adalah sia-sia untuk mendesak perdana menteri supaya meletakkan jawatan berhubung kontroversi mengenai dakwaan penglibatan presiden Umno itu dengan 1malaysia Development Berhad (1MDB). 
"Sesuatu yang memalukan apabila mendesak beliau supaya meletakkan jawatan kerana kita sepatutnya mengamalkan sistem demokrasi yang sihat," katanya.
Tambah Abdul Hadi, desakan Najib untuk meletakkan jawatan itu merupakan senario yang berlaku semasa kepimpinan perdana menteri terdahulu.
"Ini bukan perkara baharu. Sebelum 1MDB, kita juga berhadapan dengan masalah Perwaja (Steel Sdn Bhd) dan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), sekadar menyebut beberapa nama," katanya.

Kertas Siasatan Kes Bantahan Salib Diserah Kepada DPP


Diterbitkan: Isnin, 11 Mei 2015 7:23 PM

SHAH ALAM: Polis telah menghantar kertas siasatan berhubung kes bantahan penduduk terhadap lambang salib di Petaling Jaya baru-baru ini, kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk tindakan lanjut. 
Bercakap dalam sidang media di sini hari ini, Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, selain keterangan daripada peserta bantahan, kertas siasatan itu turut mengandungi beberapa keterangan daripada pihak lain termasuk saksi kejadian. 
Pada April lepas, sekumpulan penduduk mengadakan bantahan terhadap pemasangan lambang salib di luar rumah kedai yang digunakan sebagai gereja di Taman Medan, Petaling Jaya. 
Berikutan kejadian itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dipetik sebagai berkata peserta demonstrasi itu boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Hasutan kerana ia melibatkan sensitiviti agama.  -- BERNAMA

Polis Ugut Nak Rogol Saya Dan Jual Video - Tahanan Bantah GST


Diterbitkan: Selasa, 12 Mei 2015 3:21 PM
(dari kiri) Sivamalar Genapathy, Maisara, Mohamad Asmadi dan Mohd Faizal.

PETALING JAYA: Seorang remaja perempuan yang ditahan berhubung perhimpunan Bantah GST pada 1 Mei lalu mendakwa seorang anggota polis mengugut untuk merogol dan memalukannya bagi membolehkan dia memberikan kerjasama ketika disoal siasat.
Maisara Amira yang digut di ibu pejabat polis Dang Wangi berkongsi pengalamannya itu di pejabat Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (empower) di sini, Selasa.
"Ayat yang dia kata seperti ini: "Kamu hendak saya rogol kamu? Hanya saya dan kamu sahaja dalam bilik ini. Dalam bilik ini, ada kamera dan mikrofon. Kalau saya jual video ini, saya boleh jadi kaya,' saya diugut begitu," katanya yang berusia 21 tahun.
Maisara yang direman selama empat hari mendakwa diugut oleh anggota polis semasa disoal siasat pada 5 Mei lalu, beberapa jam sebelum dia dibebaskan.
Cubaan ugutan seterusnya berlaku selepas ugutan pertama apabila cuba untuk mendapatkan maklumat dan kerjasama daripada Maisara yang hanya berdiam diri ketika itu.
"Dia cuba lagi dan kata 'Macam inilah. Saya akan bagi kamu satu peluang. Kamu jawab semua soalan yang diberikan pegawai polis. Jika tidak, saya akan minta dia keluar. Saya akan masuk dalam bilik ini. Dan saya akan kerjakan kamu," tambahnya.
Turut serta pada sidang media pada Selasa adalah bapanya, Mohamad Asmadi Mohamad Safari, dan peguamnya dari Lawyers for Liberty, Sivamalar Genapathy dan Mohd Faizal Abdul Rahman.
Peguamnya menuntut supaya siasatan bebas dilakukan berhubung perkara itu, dan berkata, polis mempunyai tempoh selama 48 jam bagi membolehkan penyiasatan mengenai ugutan rogol dijalankan di ibu pejabat Petaling Jaya dan bukannya dilakukan di lokasi kesalahan itu dilakukan seperti yang didakwa.
Pengarah Eksekutif Empower, Maria Chin Abdullah meminta supaya polis diadakan latihan semula apabila pertubuhan wanita mendesak supaya polis perlu menjalani penilaian semula mengenai cara mereka mengendalikan siasatan.
Polis sebelum ini dilatih oleh pertubuhan wanita mengenai bagaimana mengendalikan kes rogol.
"Mereka sepatutnya boleh faham sekiranya anda membuat ugutan rogol seperti itu, anda akan tahu kesannya kepada seseorang.
"Dalam kes ini, mereka membuat gangguan seksual dan ugutan rogol untuk mendapatkan maklumat daripada tahanan. Polsi sentiasa kata mereka akan mempertahankan wanita daripada keganasan. Tetapi mereka sendiri melakukan keganasan terhadap wanita," kata Maria Chin Abdullah.
Sidang media itu dibuat selepas Maisara membuat laporan polis berhubung kejadian di Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya pada Jumaat lalu.
Maisara merupakan satu-satunya tahanan wanita di antara 23 remaja yang ditahan berhubung perhimpunan 1 Mei lalu di Kuala Lumpur.

Ditelan mati mak, diluah mati bapa, kata Tun M

Dr Mahathir Mohamad
Dr Mahathir

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau sedar tindakannya terus-terusan mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak akan ‘memakan’ BN namun katanya, beliau tiada pilihan lain.

Dr Mahathir berkata, sekiranya beliau tidak menyerang Najib, BN akan mengalami nasib yang lebih buruk menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 nanti, mengulangi kata-katanya sebelum ini.

“Saya (juga) sedar jika saya tidak sokong Najib parti lawan akan ambil kesempatan. Sebaliknya jika Najib pimpin BN dalam PRU14, BN akan kalah. Luah mati mak, telan mati bapak,” tulisnya menerusi entri terbaru di blognya chedet.cc hari ini.

Dalam tulisan berjudul 'Pilihan Raya' itu, Dr Mahathir berkata, jika kepimpinan Najib hendak ditukar ia harus dilakukan segera.

“Jika kepimpinan Umno dan BN hendak ditukar, ia harus dibuat sebelum masa untuk pemulihan kerana waktu yang ada terlalu singkat sebelum PRU14.

“Kerana perbuatan yang tidak bertanggungjawab ini (isu 1MDB) Najib tidak lagi layak untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia,” tulisnya.

Dalam tulisan yang sama Dr Mahathir turut menyelar tindakan Najib yang menyalahgunakan dana awam demi kepentingan politik peribadinya.

“Ia gemar mengadakan perhimpunan rakyat upahan yang menatang sepanduk kecil yang dibekal kepada mereka dengan tulisan 'I love PM' dan menyanyi lagu 'IM4U'. Mereka ini datang kerana dibawa dengan bas dari jauh, diberi makan dan upahan.

“… saya harap Najib akan ambil iktibar dari PRU13. Tetapi tidak. Ia meneruskan dengan pemberian wang. Ia masih mengekalkan penasihat Britishnya.

Tingkat 4 diperbesarkan. Pejabat PM dipenuhi dengan ramai anggota yang diberi tugas-tugas ciptaan. Gaji yang diberi tidak mengikut sistem gaji pegawai kerajaan,” tulisnya.

Katanya lagi, selain itu Jawatan-jawatan bertaraf menteri diwujud untuk memberi tempat kepada yang bersara.

“Ditubuhkan badan bebas yang mengambil alih kerja dan tugas jabatan-jabatan kerajaan seperti EPU. Mereka ini dibayar gaji yang tinggi, yang menyebabkan pegawai Kerajaan berasa kecewa.

“Saya didatangi oleh ramai kumpulan-kumpulan dan individu yang mengadu terhadap kepimpinan Datuk Seri Najib. Mereka datang berkali-kali dan meminta saya buat sesuatu supaya Najib berhentikan dasar dan pendekatannya.

"Yang datang bukan sahaja orang Melayu dan ahli Umno tetapi juga orang Cina. Menerima desakan dari mereka ini saya cuba nasihat dan tegur Najib . Tetapi tidak berkesan. Ia yakin caranya, pemberian wang olehnya akan memikat hati orang ramai,” tulisnya.

Isu TH: Semua yang terlibat patut letak jawatan

Isu TH: Semua yang terlibat patut letak jawatan
Pihak Abim ditemui ketika sesi penyerahan memorandum kepada pemangku Ketua Pegawai Operasi TH, Adi Azuan Abdul Ghani.

KUALA LUMPUR - Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) hari ini mendesak semua pihak dalam Lembaga Tabung Haji (TH) yang terlibat dalam skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) untuk meletak jawatan.

Presidennya, Amidi Abdul Manan berkata, ia bagi mengembalikan penubuhan dan urus tadbir ‎TH ke objektif asal.

"‎Unsur-unsur 1MDB perlu 'dibersihkan' daripada TH. Langkah ini bagi memastikan keyakinan orang Islam terhadap TH dapat dipertahankan.

"Semua pihak khususnya pengurusan tertinggi TH yang terlibat dengan skandal ini harus meletak jawatan. Dalam masa yang sama, kami ingin mendesak Pengerusi TH sendiri, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim untuk meletak jawatan," katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Katanya, Abdul Azeez telah melakukan dua kesalahan yang mencalar integriti dan imej TH terhadap orang ramai.

"Pertama, beliau menafikan pembelian tanah tersebut dan sehari selepas itu pihak pengurusan TH pula menyokong apa yang tersebar di media sosial‎.

"Kedua, apa yang dibuat pada hari Sabtu lepas adalah menjual semula tanah tersebut dengan keuntungan. Jadi kami ingin menyoal adakah ini fungsi TH? Adakah untuk menjaga hartanah Bumiputera di kawasan bandar?" soalnya.

Abdul Azeez sebelum ini menegaskan beliau tidak akan tunduk dengan desakan supaya meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Tabung Haji yang disandang sejak 2013.

Menurut Abdul Azeez, ini kerana beliau tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh merugikan TH.

Artikel berkaitan: 'Abdul Azeez: Saya tidak akan letak jawatan'

Jelas Amidi lagi,  keperluan menjaga dan mempertahankan hartanah Bumiputera terutamanya di Kuala Lumpur boleh masih boleh direalisasikan menerusi bantuan pelbagai dana lagi seperti Mara, Dana Amanah Hartanah Bumiputera.

‎Sehubungan itu, pihaknya mendesak semua pihak yang terlibat dengan skandal tersebut meletak jawatan bagi mengekal kepercayaan orang ramai terhadap TH.

Wanita lahirkan bayi kembar tetapi berlainan bapa


AGENSI - SEORANG wanita dikenali sebagai T.M. melahirkan bayi kembar daripada bapa yang berbeza baru-baru ini.


NEW JERSEY, Amerika Syarikat – Seorang wanita di sini mencipta kejutan apabila melahirkan bayi kembar yang berbeza bapa.
Wanita yang hanya dikenali sebagai T.M. itu mengaku pernah tidur dengan dua lelaki dalam masa minggu sebelum dia disahkan mengandung.
Ujian paterniti bagi pengesahan hubungan antara bapa dan anak yang dijalankan kepada kedua-dua lelaki itu turut mengesahkan mereka adalah bapa kepada salah seorang kembar tersebut.
AGENSI - MESKIPUN merupakan adik-beradik kembar tetapi mereka ini berlainan bapa.


“Kes sebegini pernah berlaku melibatkan pasangan kembar pada kadar satu daripada setiap 13,000 kes pengesahan hubungan antara bapa dan anak yang dilaporkan,” kata Hakim Mahkamah Daerah Passaic, Sohail Mohammad.
Keadaan itu berlaku melalui proses yang dikenali sebagai superfecundation heteropaternal iaitu apabila seorang wanita melepaskan dua telur semasa kitaran haid wanita dan disenyawakan oleh benih lelaki berbeza bagi setiap satu telur tersebut.
Berikutan itu, teman lelaki kepada wanita itu hanya perlu membayar AS$28 (RM101) seminggu untuk perbelanjaan seorang anak kembarnya. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0512&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz3ZtZpIYJ0 
Hakcipta terpelihara 

Tabung Haji: Polis siasat salah guna kuasa


KUALA LUMPUR 11 Mei - Siasatan polis berhubung kes kebocoran dokumen rasmi Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) dalam urusan pembelian ta­nah di pusat kewangan Tun Razak Exchange (TRX) daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) turut menjurus dua aspek siasatan iaitu kebocoran rahsia rasmi kerajaan dan salah guna kuasa.
Khalid Abu Bakar
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, beberapa pegawainya akan ke Ibu Pejabat Tabung Haji melakukan pemeriksaan ke atas dokumen berkaitan.
“Apa juga maklumat yang kita terima, kita akan siasat.
“Malah, Jumaat lalu kita juga sudah bermesyuarat dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara untuk meneruskan siasatan berhubung perkara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi wawancara bersama program Malaysia Hari Ini (MHI) terbitan TV3 berhubung Kolaborasi Kreatif Angkatan Tentera Malaysiaa (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Dalam Strategi Lautan Biru Kebangsaan di Seri Pentas di sini hari ini.
Khalid berkata, siasatan tersebut bertujuan mengenal pasti kemungkinan wujud unsur penyelewengan dan juga pelanggaran tertib oleh Ahli Lembaga Pengarah anak syarikat Tabung Haji mengikut Akta Syarikat.
“Selain itu, polis turut menumpukan siasatan terhadap kebocoran maklumat rasmi kerajaan melibatkan agensi Tabung Haji,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Khalid memberitahu, pihaknya juga masih menunggu laporan audit daripada Jabatan Audit Negara kerana tidak mahu ada pertindihan siasatan.
“Tuduhan mengatakan kita tidak menyiasat itu tidak benar. Kami tidak boleh mendedahkan kepada semua mengenai siasatan yang dijalankan.
“Apabila sampai masanya untuk perkara ini dimaklumkan kita akan maklumkan,” ujarnya.
Tambahnya, polis setakat ini menerima dua laporan yang ma­sing-masing daripada pengurusan Tabung Haji dan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung kes tersebut.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/tabung-haji-polis-siasat-salah-guna-kuasa-1.90874#sthash.yv9XNLyW.dpuf