Monday, October 20, 2014

Kapal angkasa AS jalankan misi rahsia?

Kapal angksa tanpa juruterbang, X-37B milik Tentera Udara AS,
Kapal angksa tanpa juruterbang, X-37B milik Tentera Udara AS, selamat mendarat di California Selatan selepas mengelilingi orbit bumi selama 674 hari, dipercayai menjalankan misi rahsia. – AGENSI
Kapal angkasa tanpa juruterbang milik Tentera Udara Amerika Syarikat (AS) dilapor selamat mendarat di sebuah pangkalan tentera di California Selatan, kelmarin, selepas hampir dua tahun mengelilingi orbit bumi untuk menjalani misi rahsia.
Laporan portal berita The Telegraph menyebut, kapal angkasa dikenali sebagai X-37B yang menggunakan tenaga solar, tiba di Pangkalan Tentera Udara Vanderberg kira-kira pukul 9.24 pagi (12.24 tengah hari waktu Malaysia).
Tambah laporan itu, misi yang dijalankan selama 674 hari di ruang angkasa bumi mencetuskan pelbagai teori termasuk kemampuan pesawat seberat 4.9 kilogram berkenaan, menjalankan misi pengintipan dan menawan satelit milik negara lain.
Teori tersebut timbul selepas dakwaan yang menyatakan kapal angkasa itu yang berukuran 2.9 meter panjang dan setinggi sembilan meter, membawa peralatan perisikan di ruang kargo yang disediakan.
Bagaimanapun, Tentera Udara AS dalam kenyataannya berkata, pesawat X-37B yang dibina oleh syarikat pembuatan pesawat, Boeing, hanya menjalankan eksperimen mengelilingi orbit dan akan melancarkan misi keempat pesawat berkenaan di Cape Canaveral, Florida pada tahun depan.
X-37B merupakan satu daripada kapal angkasa yang dibina Boeing dan program tersebut merupakan misi yang ketiga sejak kali pertama dilakukan pada Disember 2012.
- See more at: 

http://www.utusan.com.my/cmlink/utusan/berita/luar-negara/kapal-angkasa-as-jalankan-misi-rahsia-1.14672#sthash.qJ66tmCB.dpuf

Ustaz Kazim: Kempen sentuh anjing agenda liberal


Mohammad Kazim Elias
Mohammad Kazim Elias
SHAH ALAM - Kempen sentuh anjing yang kononnya untuk membuang stigma dan mengatasi persepsi negatif orang Islam dan Melayu terhadap haiwan itu sebenarnya adalah 'jarum halus' bagi menyuburkan fahaman liberal dan pluralisme di negara.

Pendakwah terkenal, Mohd Kazim Elias mendakwa kempen anjing anjuran seorang Islam itu merupakan satu gerakan untuk menghalalkan sesuatu yang sudah diharamkan ALLAH kepada penganutnya.

"Ini semua ada agenda halus untuk meliberal dan mempluralkan agama.

"Ianya gerakan yang cukup halus dan dimulakan dengan satu kempen secara kecil-kecilan yang akhirnya akan merubah dan menidakkan hukum dan itulah tujuan asalnya.

"Kalau hendak dijadikan sebagai binatang peliharaan seperti kucing dan ayam dan lain-lain tidaklah boleh dipandang ringan kerana ianya melibatkan urusan ibadat seharian," katanya yang dimuat naik dalam akaun Facebooknya, sebentar tadi.

Beliau berkata demikian mengulas kempen sentuh anjing "I Want to Touch a Dog" anjuran Syed Azmi Alhabshi di Central Park, Bandar Utama, Selangor, semalam.

[ARTIKEL BERKAITAN:  Izzah: Tahniah penganjur acara sentuh anjing]

[ARTIKEL BERKAITAN:  Acara sentuh anjing: Jakim siasat penganjuran]

Acara tersebut dianjurkan didakwa bagi membantu orang ramai terutamanya yang beragama Islam untuk mengatasi persepsi negatif terhadap anjing.

Kempen itu juga turut memberi peluang kepada orang ramai yang beragama Islam untuk menyentuh anjing sambil diperhatikan oleh pemilik haiwan berkenaan.

Dalam pada itu, beliau yang lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim turut mempersoalkan penganjuran kempen tersebut dan kesal segelintir penganut Islam mudah terpedaya tanpa usul periksa.

"Halusnya kempen anjing ini namun sayang ada segelintir umat Islam yang tidak cukup halus mata hatinya untuk meneliti....

"Berhati-hatilah dengan kempen sebegini, lepas kempen arak, mai anjing pula, lepas ni apa pula?

"Jangan lepas ini buat kempen babi pula dengan alasan bahawa babi sekarang sudah bersih dah diternak dalam aircond, yang mengamalkan tahap kebersihan mematuhi piawaian antarabangsa," tegasnya.

Mengulas lanjut, Mohd Kazim menegaskan hukum memegang anjing sama seperti memegang babi yang telah diharamkan oleh ALLAH kepada orang Islam kerana kedua-dua haiwan itu bersifat 'mughallazah'.

"Mana boleh saja-saja bela, saja-saja hendak pegang. Sebab apa hendak pegang? Isu apa? Hendak jadikan anjing sebagai apa? Mula-mula pegang, lepas itu bela, lepas itu masuk dalam rumah!

"Binatang mughalazah ini macam babi jugalah mugahalazahnya, lepas ini buat la kempen pula pegang babi dengan melawat ke pasar babi lepas tu melarat ke makan babi pulak.

"Tidaklah salah pegang anjing, tapi apa sebabnya sampai buat kempen? Kenapa tidak buat kempen ke masjid, kempen menerima hudud atau kempen menerima konsep kalimah ALLAH," soalnya lagi.

15 kematian yang diinginkan


http://khalifahalhidayah.blogspot.com | .

1. Mengucapkan kalimah syahadah ketika wafat. Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesiapa yang pada akhir kalimahnya mengucapkan La ilaaha illallah maka ia dimasukkan ke dalam syurga." (Hadis Riwayat Hakim)

2. Ketika wafat dahinya berkeringat. Ini berdasarkan hadis dari Buraidah Ibnul Khasib. Adalah Buraidah dahulu ketika di Khurasan, melihat saudaranya yang tengah sakit, namun didapatinya ia sudah wafat dan terlihat pada jidatnya (dahi) berkeringat, kemudian dia berkata: "Allahu Akbar, sungguh aku telah mendengar Rasulullah bersabda: Matinya seorang mukmin adalah dengan berkeringat dahinya." (Hadis Riwayat Ahmad, an-Nasai, at-Tirmidzi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, Al-Hakim dan ath-Thayalusi dari Abdullah bin Mas'ud)

3. Wafat pada malam Jumaat. Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: "Tidaklah seorang Muslim yang wafat pada hari Jumaat atau pada malam Jumaat kecuali pastilah Allah menghindarkannya dari seksa kubur." (Hadis Riwayat Ahmad)

4. Mati syahid di dalam medan perang.

5. Mati dalam peperangan fisabilillah.

Rasulullah bersabda, maksudnya: "Apa yang kalian kategorikan sebagai orang yang mati syahid di antara kalian?

Mereka menjawab: "Wahai Rasulullah yang kami anggap sebagai orang yang mati syahid adalah siapa saja yang mati terbunuh di jalan Allah.

Baginda bersabda: "Kalau begitu umatku yang mati syahid sangatlah sedikit."

Kalangan sahabat kembali bertanya: "Kalau begitu siapa sajakah dari mereka yang mati syahid wahai Rasulullah?"

Baginda menjawab: "Sesiapa yang terbunuh di jalan Allah, yang mati sedang berjuang di jalan Allah dan yang mati kerana penyakit kolera, yang mati kerana penyakit perut (iaitu disebabkan penyakit yang menyerang perut seperti busung lapar atau sejenisnya), dialah syahid dan orang-orang yang mati tenggelam, dialah syahid."(Hadis riwayat Muslim, Ahmad dan al-Baihaqi)

6. Mati disebabkan penyakit kolera. Mengenai ini banyak hadis Rasulullah s.a.w meriwayatkan antaranya sebagai berikut:
Rasulullah bersabda, maksudnya: "Penyakit kolera adalah penyebab mati syahid bagi setiap Muslim." (Hadis riwayat Bukhari, ath-Thayalusi dan Ahmad)

7. Mati kerana tenggelam.

8. Mati kerana tertimpa runtuhan/tanah.

Dalil dari dua perkara di atas adalah berdasarkan sabda Rasulullah bermaksud: "Kalangan syuhada itu ada lima; orang yang mati kerana wabak kolera, kerana sakit perut, tenggelam, tertimpa runtuhan bangunan dan syahid berperang di jalan Allah." (Hadis riwayat Imam Bukhari, Muslim, at-Tirmidzi dan Ahmad)

9. Perempuan yang meninggal kerana melahirkan anak.

10. Mati terbakar.

11. Mati kerana penyakit busung perut.

Mengenai kedua perkara ini banyak sekali riwayat dan yang paling masyhur adalah dari Jabir bin Atik secara marfu': "Kalangan syuhada ada tujuh: Mati terbunuh di jalan Allah, kerana penyakit kolera adalah syahid, mati tenggelam adalah syahid, kerana busung lapar adalah syahid, kerana penyakit perut keracunan adalah syahid, kerana terbakar adalah syahid dan yang mati kerana tertimpa runtuhan (bangunan atau tanah gelongsor) adalah syahid serta wanita yang mati ketika hamil adalah syahid." (Hadis riwayat Imam Malik, Abu Daud, an-Nasa'i, Ibnu Majah dan Ahmad)

12. Mati kerana penyakit Tubercolosis (TBC).

Ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w, maksudnya: "Mati di jalan Allah adalah syahid dan perempuan yang mati ketika melahirkan adalah syahid, mati kerana terbakar adalah syahid, mati kerana tenggelam adalah syahid, mati kerana penyakit TBC adalah syahid dan mati kerana penyakit perut adalah syahid." (Hadis riwayat Thabrani)

13. Mati kerana mempertahankan harta dari perompak. "Sesiapa yang mati kerana mempertahankan hartanya (dalam riwayat lain; Sesiapa menuntut hartanya yang dirampas lalu ia terbunuh) adalah syahid." (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud, an-Nasa'i, at-Tirmidzi, Ibnu Majah, dan Ahmad)

14. Mati dalam membela agama dan jiwa. "Sesiapa mati terbunuh dalam membela hartanya, dia mati syahid; siapa saja yang mati dalam membela keluarganya, dia mati syahid; sesiapa mati dalam membela agama (keyakinannya), dia mati syahid dan siapa saja yang mati mempertahankan darah (jiwanya) dia syahid."

15. Mati dalam berjaga-jaga (waspada) di jalan Allah. Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Berjaga-jaga (waspada) di jalan Allah sehari semalam adalah lebih baik daripada berpuasa selama sebulan dengan mendirikan (solat) pada malam harinya. Apabila dia mati, mengalirkan pahala amalannya yang dahulu dilakukannya dan juga rezekinya serta aman dari seksa kubur (fitnah kubur)."

16. Orang yang meninggal ketika mengerjakan amal soleh. Semoga kematian kita dalam husnul khatiimah.

Tiada sebab Pusat halang dedah perjanjian air


HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Kalau terma perjanjian penstrukturan semula air benar-benar melindungi kepentingan pengguna dan rakyat, tidak ada sebab Kerajaan Persekutuan bersungguh-sungguh untuk menghalang dokumen itu didedahkan.

Sehubungan itu, Selangor mahu Kerajaan Persekutuan menjelaskan penolakan permohonan mendedahkan kandungan perjanjian penstrukturan semula air kepada umum.

Menruut laporan Selangor Kini, Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata, permintaan kerajaan negeri seharusnya ditunaikan supaya kandungan perjanjian itu didedahkan kerana ia tidak membabitkan isu keselamatan dan berkisar kepentingan rakyat.

Bagaimanapun, katanya, setakat ini belum menerima sebarang surat rasmi daripada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA).

Beliau berkata, kementerian perlu memberi penjelasan mengapa perkara itu ditolak kerana kandungan perjanjian tidak membabitkan isu keselamatan.

"Ia hanya kontrak perniagaan antara dua pihak, mengapa harus disembunyikan?" katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan-Jabatan Kerajaan dan Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2014 Shah Alam hari ini.

Batal saja AES, sudah jadi projek 'gajah putih'


SALMIYAH HARUN | .
KUALA LUMPUR: Kerajaan sepatutnya mengumumkan pembatalan Projek Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) bernilai RM700 juta kerana didakwa telah menjadi sebuah projek 'gajah putih', demikian tegas Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar.

Beliau berkata, belum terlambat untuk kerajaan mengadakan rundingan dengan syarikat yang mengendalikan AES bagi membatalkan perjanjian itu walaupun terpaksa membayar ganti rugi.

"Bagi saya sepatutnya kerajaan umumkan pembatalan AES walaupun kerajaan terpaksa bayar ganti rugi kerana ianya masih belum terlambat untuk adakan rundingan dengan syarikat terbabit

"Kerana AES ini sangat menyusahkan rakyat.Isunya kita tegas tolak AES batalkan terus semua perjanjian dan bayar ganti rugi," katanya.

Katanya, soal AES menjadi gajah putih kerana kesilapan perancangan kerajaan yang sepatutnya projek tersebut memberi manfaat kepada rakyat.

Malahan beliau menegaskan projek AES bukan jalan penyelesaian mengatasi kemalangan sebaliknya adalah melalui pendidikan.

"Malangnya kerana masalah perundangan menyebabkan Peguam Negara terpaksa gantung pendakwaan yang telah dikeluarkan kepada mereka yang kena saman AES. Akhirnya AES tidak dapat berfungsi hingga sekarang," katanya yang juga Pengerusi Kempen Anti Saman Ekor (Kase).

Sementara itu Peguam Kase Zulhazmi Shariff berkata, sejak 18 Disember 2012 sehingga hari ini, sememangnya JPJ masih mengeluarkan saman AES tetapi seperti yang disebutkan oleh Ketua Pengarah JPJ, mereka tidak ada sebarang kuasa untuk menguatkuasakan saman tersebut kerana prosidingnya dibekukan oleh Peguam Negara.

"Apabila JPJ tiada apa-apa kuasa selanjutnya terhadap saman-saman AES, maka semua penerima Saman AES boleh abaikan sahaja saman-saman yang diterima. Tidak perlu bayar  dan tidak perlu ke mahkamah sehingga pembekuan prosiding ditarikbalik oleh Peguam Negara," katanya.

Katanya, JPJ telah menghentikan pengeluaran saman AES kerana saman-saman tersebut tiada apa-apa makna kerana JPJ tiada kuasa menguatkuasakan saman yang dikeluarkan.

Justeru katanya, tindakan JPJ keluarkan saman selepas pembekuan itu, telah mengelirukan dan menganiaya pengguna kerana pengguna tidak pasti status AES lalu ada di antara mereka membuat keputusan membayar kompaun sedangkan perkara tersebut tidak perlu.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendedahkan hanya kira-kira 200,000 saman daripada jumlah itu diselesaikan, tetapi tanpa kuasa untuk menyenaraihitamkan mereka yang tidak membayar, AES menjadi alat tidak berkesan untuk mencegah mereka yang memandu melebihi had laju.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Ismail Ahmad berkata AES masih relevan, tetapi ia jadi sia-sia selagi pembekuan masih diteruskan.

Syarikat milik penuh kerajaan, AES Solutions Sdn Bhd, akan mengambil alih pengurusan AES daripada ATES dan Beta Tegap bagaimanapun sehingga kini belum ada apa-apa perkembangan tentang perkara tersebut. - HARAKAHDAILY 20/10/2014

JIPS Siasat Anggota Polis Tak Jujur, Terbabit Jenayah


Diterbitkan: Isnin, 20 Oktober 2014 7:38 AM
- Gambar hiasan

PETALING JAYA: Wujud satu bahagian dalam pasukan polis yang mempunyai kuasa untuk membuat serbuan terhadap balai polis dan menjalankan ujian secara rawak untuk menangkap anggota polis yang tidak jujur dalam tugas dan terbabit dengan jenayah.

Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman (JIPS), adalah satu jabatan baharu yang ditubuhkan dengan diberikan kuasa untuk mengambil tindakan terhadap kakitangan yang didapati cuai atau malas dalam tugas-tugas mereka.

Pengarah jabatan ini yang pertama, Datuk Zubaidah Md Ismail memberi amaran bahawa tiada pegawai yang akan terlepas daripada disiasat dan diperiksa secara rawak oleh JIPS.

"Kami perlu memperbaharui integriti kami melalui pemeriksaan and keseimbangan.

"Mungkin ada sebahagian anggota dalam pasukan tidak akan menyukainya tetapi ini adalah masa itu kita melihat diri kita sendiri dan mengubah apa yang perlu diubah," katanya kepada The Star.
Zubaidah berkata JIPS adalah Biro Hal Ehwal Dalaman, Jabatan Polis New York (NYPD) versi Bukit Aman.

"Beberapa tahun lalu, NYPD adalah agensi yang dikaitkan dengan rasuah tetapi ia berjaya membersihkan namanya dengan melakukan ujian integriti secara rawak dan disasarkan kepada kakitangan.

"Kita tahu bahawa kita memerlukan sesuatu seperti ini dan ini sebabnya mengapa JIPS telah ditubuhkan," tambah beliau.

Dengan penubuhan jabatan baharu itu, Zubaidah berkata lembaga disiplin polis juga telah diserap ke dalam JIPS.

"Sebelum ini, lembaga disiplin adalah entiti yang berasingan. Tetapi dengan penubuhan JIPS, tujuannya adalah untuk memantau bukan sahaja sikap, tetapi juga integriti pegawai kita," katanya.

Zubaidah berkata JIPS akan berusaha untuk memastikan bahawa semua pegawai memenuhi pematuhan standard dalam melaksanakan tugasnya.

"Kami akan menempatkan pegawai kami dan menyerbu premis tanpa pengetahuan OCPD jika tiada tindakan diambil terhadap laporan yang dibuat.

"Kadang-kadang, kita perlukan tamparan kecil untuk menyedarkan kita yang sudah berpuas hati," katanya, sambil menambah JIPS juga akan menghantar surat peringatan kepada ketua polis daerah jika piawaian integriti dan pematuhan mereka tidak mencapai tahap sepatutnya.

pegawai kanan Biro Hal Ehwal Dalaman NYPD serta bekas ketua NYPD, Charles V Campisi yang berada di sini pada bulan Jun untuk bengkel mengenai memerangi rasuah, berkata rasuah biasanya dikaitkan dengan dadah apabila polis menerima suapan daripada pengedar, sambil menambah terdapat juga anggota polis yang terbabit dengan dadah.

Untuk mengatasi perkara itu, beliau berkata jabatan itu memperkenalkan ujian dadah secara rawak dan mereka yang gagal dalam ujian atau menolak untuk mengambil ujian itu akan dipecat.

Beliau juga berkongsi mengenai sasaran ujian integriti ke atas pegawai yang akan dilakukan terhadap lebih daripada 1,000 pegawai setiap tahun.

Zubaidah juga menggesa rakyat Malaysia untuk tidak menawarkan rasuah kepada anggota polis dan memberi amaran bahawa JIPS tidak memberi sesiapa yang ditangkap tawaran rasuah.

800 Hadir Acara 'I Want To Touch A Dog'


Diterbitkan: Isnin, 20 Oktober 2014 9:20 AM

PETALING JAYA: Program 'I want to touch a dog' (Saya mahu sentuh anjing), yang bertujuan untuk menghilangkan kebimbangan dan persepsi negatif terhadap anjing, terutamanya di kalangan umat Islam, disifatkan sebagai berjaya oleh penganjurnya.
Program yang diadakan buat kali pertama di One Utama di sini, menarik kira-kira 800 orang, dengan separuh daripada yang hadir adalah mereka yang beragama Islam.

Kebanyakan mereka yang datang bersama anak-anak dan bebas berjalan-jalan, menyentuh dan berinteraksi dengan pelbagai spesis anjing.

Kesemua anjing-anjing tersebut telah diperiksa dengan teliti oleh pihak penganjur.

Ketika menyentuh anjing dianggap "taboo" oleh sesetengah orang Islam, individu di sebalik acara itu, Syed Azmi Alhabshi gembira apabila ramai yang hadir bagi menyokong acara tersebut.

Syed Azmi berkata beliau agak terkejut dengan bilangan orang Islam yang datang.

"Ini hanya satu langkah kecil bagi kita. Saya tidak tahu sama ada selepas ini orang ramai faham dan tidak lagi membaling batu kepada anjing tetapi kita mahu orang ramai tahu bahawa jika mereka tidak memiliki pengetahuan atau ingin tahu tentang perkara ini, mereka hanya perlu bertanya," kata ahli farmasi berdaftar itu.

Acara dimulakan dengan ceramah agama oleh Mohd Iqbal Parjin, 33, seorang guru agama dan pelajar sarjana di Pusat Lanjutan Pengajian Islam, Sains dan Tamadun, berkaitan Islam dan anjing.

Beliau menjelaskan bahawa walaupun air liur anjing dianggap najis, Islam tidak perlu takut kepada binatang itu atau melihatnya sebagai jijik.

Umat ​​Islam juga diberi tunjuk ajar tentang bagaimana untuk membersihkan diri mereka mengikut ajaran-ajaran Islam (samak) selepas menyentuh anjing.

Tunjuk ajar diberikan oleh para sukarelawan yang menunjukkan cara samak, langkah demi langkah dengan membasuh dengan tanah untuk kali pertama dan enam kali dengan air bersih.

Seorang suri rumah tangga yang masih muda yang berpakaian hitam dan berpurdah yang mahu dikenali sebagai Fatimah, memerhatikan proses samak dengan teliti.

"Saya datang ke sini untuk mengetahui lebih lanjut tentang berinteraksi dengan anjing, mengenai pembersihan samak dan Sertu. Saya tidak pernah melakukan perkara seperti ini sebelum ini," kata ibu kepada dua anak ini sambil tersenyum.

Teori Isi Petrol Ikut Liter Lebih Berbaloi, Tidak Tepat - Pakar


Diterbitkan: Isnin, 20 Oktober 2014 10:00 AM

PETALING JAYA: Teori pengisian petrol mengikut liter lebih berbaloi berbanding mengikut ringgit adalah tidak tepat, jelas pakar.
Pakar ekonomi, Prof Dr Barjoyai Bardai berkata, secara matematiknya pengisian petrol menggunakan dua kaedah tersebut tidak menunjukkan sebarang perbezaan.
"Sebenarnya secara teorinya, jumlah minyak yang diperoleh sepatutnya sama. Saya tidak melihat sebarang perbezaan menerusi dua kaedah itu," katanya kepada mStar Online.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan kaedah pengisian terbaharu itu diamalkan kerana ada sesetengah stesen minyak yang mengambil kesempatan mengubahsuai meter pada pam minyak.
"Ada sesetengah pengusaha (stesen minyak) yang ambil kesempatan. Jika kita isi mengikut liter, kita dapat menyemak dan memastikan wang yang dibayar sepatutnya bergantung kepada jumlah liter," katanya.
Barjoyai Bardai.
Barjoyai berkata, amalan pengisian petrol mengikut liter mempunyai kelebihan kerana pemandu boleh mengetahui jumlah penggunaan minyak bagi setiap liter.
"Ada kebaikannya. Jika kita isi dengan liter, kita boleh tentukan berapa kadar penggunaan seliter minyak untuk kenderaan kita," katanya.
Malah, Barjoyai berkata, amalan pengisian petrol mengikut liter boleh dijadikan satu budaya baharu dikalangan rakyat Malaysia.
"Ia boleh dijadikan amalan baharu. Macam dulu juga, mula-mula kita timbang pakai kati tapi sekarang kita pakai kilogram. Maknanya, lebih baik pakai kilogram kerana seluruh negara menggunakannya.
"Jadi dalam kes ini, kita gunakan liter sebab ia adalah asas bagi menentukan kadar penggunaan untuk setiap kilometer," katanya.
Sementara itu, pensyarah kanan Jabatan Ekonomi di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dr. Baayah Baba turut berpendapat teori tersebut tidak logik.
"Apa bezanya isi liter dengan ringgit? Saya tak nampak ia boleh jadi masalah. Lainlah kalau kita isi minyak RM50.33, jadi jumlah bayaran akan dibundarkan ke RM 50.35... jadi dua sen akan dapat ke stesen minyak," katanya.
Tips pengisian petrol mengikut liter mula tersebar di laman sosial sejak kerajaan menurunkan subsidi petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen seliter berkuatkuasa tengah malam 1 Oktober lalu.
Susulan pengumuman Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) itu, harga runcit baharu bagi petrol RON95 ialah RM2.30 seliter dan diesel RM2.20 seliter.
Menurut teori tersebut, pembayaran mengikut liter adalah tips penjimatan minyak paling berkesan.
"Sebagai contoh, pemandu yang mengisi petrol RON95 sebanyak 20 liter hanya perlu membayar RM46. Ini adalah lebih baik daripada isi RM40 kerana jumlah minyak yang diperolehi adalah 15.7894737 liter sedangkan nozzle hanya menyukat dua tempat perpuluhan sahaja.
"Maknanya pengguna rugi 0.0094737 bagi setiap pengisian RM40. Bayangkan kalau setiap hari ada 1,000 orang yang isi RM40, stesen minyak dah untung 9.4737 liter," demikian menurut teori tersebut yang turut dikongsi di beberapa laman blog.

Ketua Menteri Marah Aktiviti Pembalakan Haram Berterusan Di Sarawak


Diterbitkan: Isnin, 20 Oktober 2014 3:22 PM
Tan Sri Adenan Satem

MIRI: Aktiviti pembalakan haram telah dikesan dijalankan di dua taman negara di Sarawak, salah satu daripadanya ialah hutan paya terbesar yang dilindungi sepenuhnya di negara ini.

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem pada Isnin menyatakan kemarahannya berhubung aktiviti haram yang masih berterusan dan dijalankan secara terang-terangan, terutama di hutan-hutan yang dilindungi.

"Cukuplah," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat dengan agensi-agensi penguatkuasaan di Miri di mana beliau mahu melihat aktiviti pembalakan haram dihentikan.

"Ya, kami mengesan aktiviti penebangan haram di negeri ini, termasuk di dua taman negara iaitu Taman Negara Maludam dan juga di Taman Negara Bukit Tiban.

"Saya mahu pegawai-pegawai perhutanan mencari dalang di sebalik aktiviti haram ini," katanya.

"Cukuplah, saya hanya ingin melihat hasil dalam memerangi pembalak haram ini. Saya telah berhenti mengeluarkan lesen pembalakan yang baharu. Mereka yang sekarang memegang lesen pembalakan juga telah diberi amaran untuk tidak boleh melampaui batas," katanya.

Ini adalah sesi ketiga perbincangan yang dilakukan Adenan dengan agensi-agensi penguatkuasaan di Sarawak dalam usahanya untuk menanamkan integriti dalam perkhidmatan awam selepas beliau mengambil alih jawatan sebagai Ketua Menteri pada awal tahun ini daripada Tun Abdul Taib Mahmud.

Maludam adalah paya gambut yang dilindungi sepenuhnya yang terbesar di Sarawak dengan keluasan 432 kilometer persegi di Bahagian Sri Aman di selatan Sarawak.

Taman Negara Bukit Tiban terletak di Bahagian Bintulu di utara Sarawak.

Taman nasional adalah habitat kepada spesies tumbuh-tumbuhan, pokok-pokok dan haiwan yang jarang ditemui dan terancam.

Acara Sentuh Anjing: Lebih Baik Belai Anak Yatim - Anak Presiden PAS


Diterbitkan: Isnin, 20 Oktober 2014 1:21 PM

PETALING JAYA: Timbalan Ketua Pemuda PAS Muhammad Khalid Abd Hadi berkata adalah lebih baik jika umat Islam berkempen untuk perkara-perkara lain selain kempen 'menyentuh anjing'.

"Daripada berkempen menyentuh anjing, adalah lebih baik jika mereka berkempen tentang penjagaan anak yatim.

"Nabi Muhammad pernah berkata bahawa sesiapa sahaja yang membelai kepala anak yatim akan menerima banyak ganjaran untuk setiap helai rambut yang dibelai.

"Daripada belajar tentang bagaimana kita harus mengusap anjing, apa kata kita belajar bagaimana untuk membersihkan kaki kita semasa berwuduk tanpa perlu membuka lapisan pakaian," kata Khalil, anak kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan, Selasa.

Mencadangkan bahawa acara 'menyentuh anjing' pada Ahad adalah cara bagi rakyat Malaysia untuk meredakan tekanan daripada masalah seperti kenaikan harga bahan bakar, Khalil berkata umat Islam hendaklah terlebih dahulu belajar bagaimana untuk memegang dan mencium batu Hajar Aswad di Kaabah sebelum mereka berfikir tentang bagaimana untuk membelai anjing.

"Ada satu kejadian berkaitan anjing peliharaan di dalam Al-Quran. Pelajaran daripadanya ialah, bukan untuk kita memiliki anjing sebagai haiwan peliharaan, tetapi bagi kita mengakui bahawa anjing juga memainkan peranan yang penting dalam perjuangan Islam."

Beliau menambah, penglibatan umat Islam dengan anjing adalah setakat memberi makan ketika lapar dan tidak mencederakannya kerana kerana haiwan itu berhak dianggap sebagai salah satu ciptaan Allah.

KDN Cadang Wujud Akta Baharu Perangi Keganasan - Ahmad Zahid


Diterbitkan: Isnin, 20 Oktober 2014 10:42 AM
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

BANGI: Kementerian Dalam Negeri bercadang memperkenalkan akta baharu bagi memerangi kegiatan keganasan, kata menteri berkenaan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata akta yang dicadangkan itu akan memperkuatkan lagi undang-undang sedia ada iaitu Akta Kesalahan, Keselamatan (Langkah-langkah Khas)
2012 (SOSMA) dan Undang-Undang Pencegahan Jenayah (Poca).

"Dengan penwujudan satu undang-undang baharu, maka ia bukan sahaja dapat membanteras, malah akan mencegah pengrekrutan bakal sukarelawan 'jihad' ini," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri program Gempur MAGIC anjuran Majlis Belia Selangor dan Biro Tata Negara di Universiti Kebangsaan Malaysia di sini, Ahad.

Ahmad Zahid berkata penularan aktiviti kumpulan militan Islam di negara ini perlu dibendung segera terutamanya dengan adanya cubaan merekrut pelajar-pelajar sekolah menerusi laman sosial.

Menurutnya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia serta Unit Pemantauan Media Sosial Polis DiRaja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus memantai laman sosial bagi mengekang kegiatan itu.

Mengulas lanjut, beliau berkata kerjasama dengan ATM juga akan diteruskan untuk berkongsi maklumat sekiranya terdapat sarang-sarang latihan merekrut militan diwujudkan.

"Kita yakin dapat menangkap lebih ramai lagi dan mengumpul maklumat-maklumat yang selama ini amat diperlukan bagi menentukan Malaysia tidak dijadikan sarang latihan 'jihadist' untuk dihantar ke Syria, Iraq dan negara-negara berkaitan," kata beliau.

Menurutnya pertemuan antara Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) dan Barisan Pembebasan Islam Moro(MILF) juga diharap dapat menyelesaikan permasalahan di Selatan Filipina terutamanya di Mindanao, sekaligus mengurangkan atau menyelesaikan masalah pengrekrutan sukarelawan jihad.

Mengulas mengenai Kedutaan Amerika Syarikat yang dikatakan memberi tekanan kepada Malaysia untuk menghapuskan Akta Hasutan 1948, Ahmad Zahid berkata mereka harus menghormati sistem politik dan perundangan negara ini.

"Mereka mesti tahu daripada komitmen kerajaan dan kenyataan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) juga jelas. Mereka tidak harus beri tekanan kepada kerajaan, apalagi memihak kepada mana-mana kumpulan untuk mengatakan
penghapusan satu-satu akta itu adalah terlalu lewat atau tidak diadakan," katanya.

Dalam perkembangan, lain Ahmad Zahid berkata operasi membanteras kegiatan haram sindiket berpengaruh di kawasan perkampungan Kuala Sepetang, Bagan Panchor dan Puala Kuala Sangga di Perak, yang didakwa menjadi lubuk jenayah, akan terus diperhebat.

Kementerian Dalam Negeri melalui Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC), Pasukan Khas Taktikal dan Risikan Narkotik (STING) dan Skuad Taktikal Khas serta kerjasama dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM)dan pasukan keselamatan lain akan memberi tumpuan kepada kawasan itu.

"Mereka bukan sahaja tangkap ikan tetapi ada kemungkinan melakukan penyeludupan barangan daripada luar negara tanpa cukai. Ada kemungkinan mereka seludup senjata atau dadah dari luar negara menggunakan awak-awak dari negara luar," katanya.

Menurutnya meskipun APMM kerap kali melakukan operasi membanteras kegiatan haram di perkampungan nelayan, anggota sindiket itu dapat memboloskan diri daripada pihak berkuasa.

Beliau mengulas laporan akhbar hari ini mengenai kawasan-kawasan yang didakwa menjadi lubuk jenayah dan dikatakan 'kebal' daripada tindakan pihak berkuasa.

Label 'Pendatang' : Gerakan Gantung Keahilaan Tan Lai Soon


Diterbitkan: Isnin, 20 Oktober 2014 5:22 PM

Tan Lai Soon.

KUALA LUMPUR: Parti Gerakan telah menggantung keahlian seorang perwakilan dari Johor, Tan Lai Soon berhubung kenyataannya yang melabelkan orang India, Cina dan Melayu adalah 'pendatang' atau imigran. 

Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti itu membuat keputusan tersebut selepas mengadakan mesyuarat tergempar pada Isnin.

Sebelum itu, kira-kira 14 ahli parti telah membuat aduan terhadap kenyataan Tan sebelum ini. Ekoran daripada aduan tersebut CWC telah memutuskan untuk menggantung keahilan dan mengeluarkan surat tunjuk sebab terhadap Tan.

Dalam Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan ke-43 pad Ahad, Tan berang dengan tindakan ahli Umno yang melabelkan orang Cina dan India sebagai 'pendatang', beliau berkata orang Melayu juga tidak jauh berbeza kerana mereka juga datang dari Indonesia.

Tan berkata hanya Orang Asli dan  penduduk asal Sabah dan Sarawak sahaja boleh dianggap sebagai penduduk asal di negara ini.

Timbalan Presiden Geraka, Datuk Dr Cheah Soon Hai berkata parti itu mengutuk kenyataan yang dibuat oleh Tan.

"Ia tidak melambangkan pendirian parti, semua kita adalah rakyat Malaysia dan tidak ada rakyat Malaysia yang boleh digelar sebagai 'pendatang' atau imigran.

"Rakyat Malaysia yang lahir di sini Malaysia adalah warganegara. Saya yakin sekiranya orang Melayu memanggil orang Cina sebagai 'pendatang' ia akan menyakiti antara satu sama lain," kata Cheah kepada pemberita pada Isnin.

"Kita harus mengambil maklum, Tan menarik balik kenyataannya sebelum ini dan dia telah memohon maaf atas kesilapannya," katanya.

Tan diberi tempoh selama 14 hari untuk menjawab surat tunjuk sebab mengapa dia tidak harus disingkirkan daripada parti seperti yang termaktub di bawah Artikel 17.2, perlembagaan parti.

Cheah turut memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia yang berasa kecil hati terhadap kenyataan Tan sebelum ini.

"Kami ingin menegaskan sekali lagi Gerakan merupakan sebuah parti yang terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum dan kami menolak sebarang kenyataan yang tidak melambangkan sifat perpaduan masyarakat pelbagai kaum di negara ini," katanya.

"Justeru, kami menggesa semua pihak berhenti membuat tuduhan kerana ia akan hanya memburukkan lagi keadaan. Gerakan sentiasa menjunjung tinggi prinsip Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan," katanya. 

Sweden Kerah Tentera Kesan Kapal Selam Rahsia Rusia Ceroboh Perairan


Diterbitkan: Isnin, 20 Oktober 2014 11:25 AM

SWEDEN mengerahkan beratus-ratus tenteranya yang terdiri daripada, pelayar, juruterbang dan penyelam untuk mengesan kehadiran kapal selam rahsia milik Rusia yang didakwa berada di perairan negara tersebut.
Operasi skala besar yang tidak pernah diadakan sejak perang dingin itu dimulakan selepas tentera Sweden berjaya memintas transmisi radio dipercayai milik kapal selam rahsia Rusia.
Transmisi itu dipercayai dipintas ketika kapal selam berkenaan dilaporkan berada berhampiran Stockholm.
Berikutan itu, sebagai tindakan awal, Sweden telah menghantar kapal selam mini untuk mengesan kapal selam rahsia milik Rusia.
Ia disusuli dengan penyelaman, tinjauan udara dan pelayar yang membuat pemantauan di pulau-pulau.

PM Jepun Hilang Dua Menteri Kabinet Wanita


Diterbitkan: Isnin, 20 Oktober 2014 3:02 PM
Shinzo Abe

TOKYO: Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe pada Isnin menerima tamparan hebat dengan peletakan jawatan dua menteri kabinet wanitanya berhubung dakwaan mereka menyalahgunakan dana politik.

Menteri Industri Yuko Obuchi dan Menteri Keadilan, Midori Matsushima, meletakkan jawatan setelah baru-baru ini dituduh menyalahgunakan wang dalam apa yang dikatakan pembangkang sebagai satu usaha untuk membeli undi.

Peletakan jawatan ini mengurangkan menteri kabinet wanita kepada tiga orang selepas tindakan Abe melantik lima menteri kabinet wanita dalam pentadbirannya pada September mendapat pujian ramai.

"Saya adalah orang yang melantik kedua-dua mereka. Sebagai Perdana Menteri, saya mengambil tanggungjawab ini dan sangat memohon maaf kerana situasi ini," Abe kepada pemberita, sambil menambah beliau akan menggantikan dua menteri berkenaan dalam masa beberapa hari.

Pengunduran dua menteri itu adalah kemelut yang pertama untuk Abe sejak memegang tampuk pemerintahan pada bulan Disember 2012.

TMJ Tamat Zaman Bujang Jumaat Ini


Diterbitkan: Isnin, 20 Oktober 2014 11:54 AM
Tunku Ismail Sultan Ibrahim

JOHOR BAHARU: Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, 30, bakal menamatkan zaman bujangnya Jumaat ini apabila melangsungkan pernikahan dengan Cik Khaleeda Bustamam, 21.
Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor Datuk Abdul Rahim Ramli berkata istiadat pertunangan dan pernikahan baginda dengan wanita pilihannya itu akan berlangsung di Istana Bukit Serene pukul 10 pagi pada hari itu.
"Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar akan menghadiahkan tujuh barangan kepada pihak perempuan, manakala pihak keluarga perempuan pula akan membalasnya dengan sembilan barangan," katanya pada sidang media di Bukit Timbalan, di sini, Isnin.
Istiadat pernikahan dikendalikan Mufti Johor Datuk Tahrir Samsuddin.
Hanya kerabat dan keluarga terdekat kedua-dua pasangan dijemput menghadiri istiadat pertunangan dan pernikahan itu.
Cik Khaleeda akan dikurniakan gelaran Che Puan, isteri kepada Tunku Mahkota Johor selepas istiadat pernikahan itu, menurut Abdul Rahim.
Katanya, istiadat merisik telah pun berlangsung pada 27 Sept lepas dengan rombongan diraja diketuai Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim.
Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor itu juga mengumumkan istiadat persandingan Tunku Mahkota Johor dengan Cik Khaleeda akan diadakan di Istana Besar, Johor Baharu pada 7.30 malam, 8 Nov depan.
Istiadat persandingan itu bakal berlangsung secara sederhana tetapi penuh dengan adat istiadat diraja Johor dan ketenteraan, dijangka dihadiri oleh kira-kira 1,200 jemputan dari dalam dan luar negara.
Antara tetamu kehormat yang akan menghadiri istiadat itu termasuk Sultan Brunei, Sultan Pahang, Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, Perdana Menteri Singapura serta barisan exco dan anggota Dewan Undangan Negeri Johor.
Menurut Abdul Rahim tiada liputan media bagi istiadat berkenaan.
Tunku Mahkota Johor diputerakan pada 30 Jun 1984 di Johor Baharu dan merupakan putera sulung daripada enam adik-beradik kepada Sultan Johor dan Raja Zarith Sofia.
Baginda mendapat pendidikan awal persekolahan di Johor Baharu sebelum melanjutkan pendidikannya di Australian International School, Singapura pada 1999 dan Hale School di Perth, Australia.
Bermula 17 Julai 2003 hingga 11 Disember 2004, Tunku Ismail menjalani latihan ketenteraan di India Military College di Dehradun, India dan ditauliahkan pangkat Leftenan.
Baginda menempa sejarah apabila menjadi rakyat asing pertama mengetuai Rejimen Berkuda Tentera India memberi tabik hormat kepada Presiden India, A.P.J Abdul Kalam sempena sambutan Hari Kebangsaan India ke-58 pada 20 Januari  2007.
Cik Khaleeda dilahirkan pada 16 Julai 1993 di Kuala Lumpur dan merupakan anak bongsu kepada lima adik-beradik kepada pasangan Bustamam Daud dan Aziyah Abdul Aziz.
Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Taman Seri Gombak bermula 2000 hingga 2003, sebelum meneruskan pendidikan awalnya di Sekolah St. George's Hanover Square, London pada 2003 hingga 2004.
Cik Khaleeda melanjutkan persekolahan menengahnya di Westminster Academy London pada September 2004 hingga Julai 2008 dan di Sekolah Sri Utama, Kuala Lumpur sekembalinya ke Malaysia pada 2010. - BERNAMA

Gambar Di FB: Zairil Fikir Ambil Tindakan Undang-Undang


Diterbitkan: Isnin, 20 Oktober 2014 9:52 AM
Zairil (kiri) dan Dyana Sofya.

GEORGE TOWN: Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari memikirkan kemungkinan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap penyiaran foto yang mengaitkan dirinya dengan seorang wanita di laman web sosial.

Foto-foto tersebut, yang menunjukkan seseorang yang kelihatan seperti dirinya sedang melakukan hubungan intim dengan seorang wanita yang kelihatan seperti calon DAP di Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan Dyana Sofya Mohd Daud mula muncul di Facebook, Sabtu lalu.

"Saya telah berbincang dengan peguam saya dan akan membuat keputusan tidak lama lagi," kata Zairil di rumah terbuka Deepavali kuil Dewi Sri Mahamariamman Bathrakaliamman di Batu Ferringhi, Ahad.

"Ini adalah politik kotor paling teruk. Saya tidak terkejut kerana terdapat dakwaan di media sosial pada masa lalu menyatakan bahawa saya lebih gemar kepada perempuan muda.

"Telefon saya juga digodam ketika PRK Sg Limau di Kedah November lalu," katanya.

Pengerusi Barisan Nasional Pulau Pinang Teng Chang Yeow kesal dengan posting tersebut.

"Memualkan apabila politik kotor menjadi berita sekali lagi. Ini agak tidak menyenangkan.

"Saya menggesa SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) untuk menyiasat sumber dan membawa pelakunya ke muka pengadilan," kata Chang Yeow dalam satu kenyataan.

Jakim Siasat Program 'I Want To Touch A Dog'


Diterbitkan: Isnin, 20 Oktober 2014 1:31 PM

KUALA TERENGGANU: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan menjalankan siasatan terperinci berhubung penganjuran acara 'I Want To Touch A Dog' (Saya Mahu Sentuh Anjing) yang berlangsung di Central Park, One Utama dekat Petaling Jaya, petang Ahad.

Ketua Pengarah Jakim Datuk Othman Mustapha berkata program itu tidak sepatutnya berlaku dan pihaknya kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab pihak penganjur yang tidak prihatin dengan sensitiviti umat Islam di negara ini.

Katanya, Islam di Malaysia yang berpegang teguh kepada Mazhab Syafie sudah jelas memperincikan bahawa anjing dan babi itu tergolong dalam najis mughallazah (berat).

"Acara itu tidak pernah dianjurkan sebelum ini dan ia merupakan kali pertama didedahkan kepada masyarakat, kita orang Islam dan agama sudah menetapkan dengan jelas hukum berkaitan anjing.

"Jakim akan segera menyiasat perkara ini dan sebarang tindakan akan dirujuk pada peruntukan-peruntukan yang ada," katanya kepada pemberita mengulas penganjuran program itu yang mendapat sambutan luar biasa daripada kalangan umat Islam di sekitar ibu kota, Ahad.

Othman ditemui media selepas merasmikan Multaqa Pengetua Sekolah Agama peringkat kebangsaan di sini, malam Ahad.

Beliau turut menasihatkan umat Islam agar melihat semula dan mendapatkan pandangan ulama mahupun ustaz sama ada apa yang dilakukan mereka dengan menyentuh, memeluk dan mendukung anjing itu betul dari segi agama dan selaras dengan tuntutan Islam.

Penganjuran program 'Saya Mahu Sentuh Anjing' oleh Syed Azmi Alhabshi yang bertujuan membantu orang ramai terutama masyarakat Islam untuk mengatasi rasa takut mereka terhadap anjing.

Program selama dua jam bermula 8 pagi hingga 10 pagi itu dibanjiri ratusan umat Islam bagi memberi peluang kepada mereka untuk menyentuh anjing sambil diperhatikan oleh pemilik haiwan.

Sementara itu, ketika ditanya tentang kehadiran seorang ustaz di samping dua individu lain dalam forum mini bagi menjawab pertanyaan dan kemusyiklan berkaitan anjing dalam acara tersebut, Othman berkata pihaknya akan turut menyiasat kelayakan agama lelaki berkenaan.

"Buat masa ini, kita tidak dapat maklumat lengkap sama ada betul atau tidak individu itu ustaz, sekarang ini siapa-siapa yang pakai songkok (berpenampilan alim) pun sudah boleh jadi ustaz," katanya.