Tuesday, October 5, 2010

Saya tahu AC Mizal miliki kekayaan - Shafnie



KAJANG 4 Okt. - Bekas isteri pengacara dan pelakon AC Mizal, Shafnie memberitahu Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini bahawa dia mengetahui kekayaan sebenar artis tersebut bersumberkan media massa.
Menurut Shafnie Zainuddin, 34, bekas suaminya mempamerkan kekayaan yang dimilikinya termasuk beberapa buah kereta dan rumah mewah serta syarikat selain menjadi duta produk.
Dia memberitahu demikian ketika disoal balas oleh peguam syarie, Siti Aisyah Din yang mewakili AC Mizal dalam perbicaraan tuntutan untuk mengubah nafkah anak yang dikemukakannya di hadapan Hakim Syarie Abdul Halim Abdullah.
Ketika ditanya oleh Siti Aisyah, adakah dia bersetuju sekiranya aset tersebut bukannya kepunyaan pengacara tersebut sebaliknya milik orang lain, Shafnie dalam nada emosi menjawab:
''Saya tidak pasti, tetapi hanya orang kaya sahaja yang memiliki beberapa kereta mewah, rumah mewah dan perniagaan."
Siti Aisyah kemudiannya meminta Shafnie mengemukakan saksi bagi menyokong keterangannya mengenai kekayaan bekas suaminya itu.
Ibu kepada dua orang anak itu bagaimanapun menyatakan, dia tidak dapat berbuat demikian.
AC Mizal turut hadir ke mahkamah dengan ditemani oleh seorang rakannya.
Dalam permohonan tersebut, Shafnie yang diwakili peguam syarie, Mohd. Ridhwan Husin menuntut agar jumlah RM300 sebulan bagi dua orang anak diubah kepada RM3,770 sebulan.
Ia merangkumi makan minum bulanan sebanyak RM400, pengangkutan (RM240), insurans pendidikan (RM1,000), pembantu rumah (RM200), pengajian al-Quran (RM280), dana amanah pendidikan (RM1,000) dan sewa atau ansuran rumah (RM650).
Selain itu, dia meminta perbelanjaan tahunan berjumlah RM9,000 yang merangkumi pakaian (RM3,000), perubatan (RM1,500), yuran sekolah atau tuisyen (RM500), aktiviti kokurikulum (RM1,000) dan hiburan serta percutian (RM3,000).
Shafnie dan AC Mizal atau nama sebenarnya Mizal Zaini berkahwin pada 24 Jun 1995 dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad Shafiq Iman, 13, dan Muhammad Shabil Iman, 10, sebelum disahkan bercerai pada 17 Oktober 2001.
Perbicaraan seterusnya ditetapkan pada 12 Oktober ini.
Selain kes itu, mereka mempunyai satu lagi kes yang melibatkan isu tunggakan nafkah dua anak mereka yang berjumlah RM50,000 di mahkamah yang sama.
Nasib bekas pengacara Akademi Fantasia (AF) tersebut akan ditentukan pada 28 Oktober ini, sama ada dia wajar dihantar ke penjara bagi kesalahan tersebut.

Ibu, anak hidap penyakit lembut tulang perlu bantuan



Rozana Mohamad (kiri) menunjukkan kesan penyakit tulang reput di tangannya dan Norasiah di rumah mereka di Kampung Wakaf Che Yeh, Kota Bharu, kelmarin



KOTA BHARU 4 Okt. - Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, begitulah nasib yang terpaksa dilalui oleh seorang ibu berusia 42 tahun dan anak gadisnya yang pekak dan bisu apabila mereka turut menghidap penyakit 'tulang reput'.
Kecacatan tersebut menyebabkan Rozana Muhamad, 42, dan anaknya, Norasiah Mashim, 19, dari Kampung Wakaf Che Yeh di sini terpaksa menjalani kehidupan seharian yang sukar seperti berulang-alik ke tandas dan bilik air.
Lebih malang lagi apabila suaminya, Mashim Muhamad, 41, turut mengalami cacat pendengaran dan bisu.
Penyakit yang dialami oleh Rozana dan Norasiah menyebabkan pertumbuhan badan mereka terbantut sehingga terpaksa bergantung kepada bantuan orang lain untuk menjalani kehidupan seharian.
Malah, mereka juga menghadapi kesukaran untuk ke bilik air yang terletak di bahagian bawah rumah sehingga terpaksa berpaut pada tali yang disediakan.
Menurut anak sulung keluarga itu, Siti Rokiah, 22, dia amat mengharapkan agar ada pihak tampil membantu keluarganya membina bilik air yang lebih sesuai untuk ibu dan adiknya itu yang kerap terjatuh semasa hendak ke tandas.
Katanya, dia yang mencari rezeki dengan menjual burger di kawasan berhampiran, bimbang sekiranya ibu dan adiknya itu cedera akibat selalu jatuh berikutan penyakit yang dialami mereka.
"Saya berharap, ada pihak yang dapat membantu bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku kepada ibu dan adik perempuan saya," katanya di sini semalam.
Dia ditemui semasa menerima kunjungan Persatuan Harapan Wanita dan Armalah Kota Bharu diketuai oleh Pengerusinya, Hamizah Majid untuk menyampaikan sumbangan hamper makanan termasuk beras.
Menurut Siti Rokiah, selain Norasiah, dia mempunyai dua lagi adik iaitu Siti Rohani, 12 dan Siti Aishah, 10, yang belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Kota manakala ayahnya bekerja di Pusat Pemulihan Orang Cacat.
Katanya, kedua-dua ibu bapanya itu mendapat bantuan bulanan sebanyak RM600 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri yang digunakan bagi menampung perbelanjaan seharian termasuk persekolahan adik-adiknya.
Jelasnya, dia yang sudah berkahwin tidak mampu menyediakan wang secukupnya bagi membina bilik air yang lebih sesuai untuk kegunaan ibu dan adiknya itu.
"Kami tidak dapat berjimat untuk perbelanjaan membaiki bilik mandi dan tandas kerana wang dan bantuan yang diperoleh hanya mencukupi untuk menampung keperluan seharian," katanya.

Azizan ugut mahu dedah nama





ALOR SETAR 4 Okt. - Isu kenaikan tarif air di negeri ini makin panas apabila Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak (gambar) pula mengugut akan mendedahkan nama-nama pihak yang menyebabkan kerajaan negeri menanggung kerugian sehingga berjuta-juta ringgit dalam proses rawatan air.
Perkara itu disuarakan Azizan setelah beliau tidak berpuas hati dengan kenyataan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mahdzir Khalid semalam yang menyifatkannya memutarbelitkan fakta untuk merasionalkan keputusan kerajaan negeri menaikkan tarif air sehingga 27 peratus.
Azizan berkata, pemimpin Barisan Nasional (BN) terdahulu tidak perlu menuding jari kepada beliau kerana hutang piutang yang terpaksa ditanggung kerajaan negeri sekarang disebabkan oleh parti itu.
"Jangan tuding jari pada saya sebab hutang BN yang buat, lepas itu suruh saya bayar.
"Kalau pemimpin BN bising lagi saya akan beritahu saham mereka yang terlibat dalam syarikat yang menyebabkan kerajaan negeri menanggung hutang rawatan air," katanya di sini hari ini.
Baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Darul Aman (SADA), Datuk Adzmi Din mengumumkan tarif air di Kedah akan dinaikkan 27 peratus mulai Jumaat lalu bagi menampung kos pengeluaran dan pengurusan bekalan air yang semakin meningkat.
Kata Adzmi, tarif air yang diguna pakai sekarang merupakan tarif dan pelarasan yang berkuat kuasa pada 1 Mac 1993 dan sepanjang 17 tahun itu semakan semula tarif air di Kedah tidak pernah dibuat.
Kenaikan tarif air ini mendapat bantahan banyak pihak kerana kenaikan itu dianggap membebankan rakyat Negeri Kedah.
Azizan mendakwa, kerajaan negeri kini terpaksa menanggung kerugian yang besar kerana penswastaan air di Langkawi yang dibuat oleh kerajaan BN terdahulu.
"Syarikat Taliworks Sdn. Bhd. adalah syarikat yang mendapat kontrak merawat air di Langkawi namun kerajaan negeri terpaksa menanggung hutang yang besar akibat penswastaan ini.
"Untuk 2009, kerajaan terpaksa membayar RM39 juta kepada Taliworks sedangkan kutipan hanya RM14 juta dan ini bermakna kerajaan terpaksa tambah lagi RM25 juta kepada mereka," katanya.
Azizan berkata, beliau tidak tahu perjanjian apakah yang dibuat oleh pimpinan terdahulu dengan Taliworks yang menyaksikan hanya satu pihak yang mendapat keuntungan.
"Kontrak Taliworks dengan kerajaan negeri hanya akan tamat pada 2020 dan kita kini sedang berbincang dengan syarikat tersebut bagi memastikan kedua-dua pihak mendapat keuntungan bersama.
"Jadi kepada pemimpin terdahulu jangan tegur saya kerana saya ada bukti siapa yang terlibat dalam syarikat ini dan hanya tunggu masa untuk dedahkannya," katanya.

Taliban mengaku serang bekalan NATO



MIRANSHAH, Pakistan 4 Okt. - Taliban Pakistan mengaku bertanggungjawab melakukan dua serangan ke atas konvoi bekalan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di negara ini dan mengancam akan melakukan lebih banyak serangan.
Jurucakap Tehreek-e-Taliban Pakistan (TTP), Azam Tariq berkata, mereka mengaku bertanggungjawab atas serangan terhadap konvoi pembekal NATO di Sindh dan Islamabad.
"Kami akan melakukan lebih banyak serangan dan tidak akan membenarkan mereka menggunakan negara ini sebagai laluan membawa bekalan untuk tentera NATO yang berpangkalan di Afghanistan.
"Ini juga adalah sebagai tindakan balas terhadap serangan peluru berpandu yang dilancarkan oleh NATO," kata Azam.
Menurut polis, sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh apabila 20 trak yang membawa bekalan minyak untuk tentera NATO di Afghanistan diserang dan dibakar berhampiran ibu negara Pakistan, awal pagi tadi.
Serangan dilancarkan ketika pihak berkuasa Pakistan terus menutup jalan darat utama bagi mengangkut bekalan NATO buat hari kelima berturut-turut, selepas Islamabad menuduh helikopter perikatan itu membunuh tiga askar Pakistan di daerah Kurram, pada Khamis lalu.
Dalam kejadian sama Jumaat lalu di selatan Pakistan, sekumpulan lelaki bersenjata berat membakar berpuluh-puluh trak dan lori tangki yang membawa minyak untuk keperluan 152,000 tentera NATO yang memerangi pemberontak Taliban.
"Tiga orang terbunuh dan lapan lagi cedera. Kebanyakan yang cedera akibat terkena tembakan dan merupakan pemandu dan pembantu," kata pegawai polis kecemasan, Mohammad Ahad kepada AFP. - AFP

Geert Wilders didakwa cetus kebencian



AMSTERDAM 4 Okt. - Ahli Parlimen anti-Islam Belanda, Geert Wilders yang dijadual menjadi rakan tidak rasmi dalam kerajaan baru negara ini, dibicarakan hari ini atas tuduhan mencetuskan kebencian terhadap orang Islam.
Ahli politik kontroversi berambut perang itu boleh dikenakan hukuman penjara setahun atau didenda sebanyak 7,600 euro (RM30,000) kerana menggambarkan Islam sebagai 'fasis' dan menyamakan al-Quran dengan buku Mein Kampf karangan Adolf Hitler.
Perbicaran bermula pada pukul 9 pagi (3 petang waktu Malaysia) di hadapan ketua hakim Jan Moors dengan Wilders duduk di barisan hadapan di sisi peguamnya, Bram Moszkovicz.
Wilders, 47, didakwa atas lima tuduhan menyinggung perasaan orang Islam dan menghasut kebencian dan diskriminasi terhadap orang Islam dan penduduk berketurunan pendatang bukan Barat, terutamanya dari Maghribi.
Ahli Parlimen itu dalam keterangannya berkata, beliau hanya mahu mempertahankan kebebasan bersuara setiap rakyat Belanda.
Pendakwa raya berkata, Wilders menggambarkan Islam sebagai 'ideologi sakit Allah dan Muhammad' dalam kenyataan yang dibuatnya antara Oktober 2006 hingga Mac 2008.
Antara bahan bukti yang ditunjukkan di mahkamah ialah filem 17 minit yang dihasilkan oleh Wilders, 'Fitna', yang didakwa menggambarkan Islam sebagai kuasa yang mahu memusnahkan Barat.
Penayangan Fitna di Belanda pada 2008 mencetuskan protes di dunia Islam. - AFP

Mavi Marmara jadi lokasi filem anti-Israel



GAMBAR bertarikh 28 Mei lalu yang diambil dari laman web Free Gaza Movement menunjukkan Mavi Marmara ketika menyertai konvoi Freedom Flotilla menuju ke Gaza. - AFP



ANKARA 4 Okt. - Kapal Turki, Mavi Marmara yang digempur komando Israel semasa menyertai flotila bantuan ke Genting Gaza pada Mei lalu dijadikan latar belakang untuk sebuah filem anti-Israel.
Sebahagian penggambaran filemValley of the Wolves - Palestinediadakan di dalam Mavi Marmara, di mana sembilan aktivis Turki ditembak mati oleh komando Zionis Israel, yang mahu menyekat flotila berkenaan memasuki perairan Gaza pada Mei lalu.
Peranan kapal bantuan tersebut diumumkan semalam oleh Salih Bilici, jurucakap bagi badan kebajikan Islam Turki yang menaja pelayaran flotila itu.
Filem Valley of the Wolves - Palestine ialah lanjutan daripada siri drama televisyen penuh kontroversi tetapi sangat popular, Valley of The Wolves yang mengisahkan seorang ejen rahsia nasionalis yang ditugaskan untuk membunuh musuh negara.
Siri tersebut pernah mencetuskan perbalahan diplomatik antara Turki dengan Israel pada tahun ini selepas satu episodnya menunjukkan pasukan keselamatan Zionis Israel menculik kanak-kanak dan membunuh lelaki tua.
Wira dalam filem terbaru itu, Polat Alemdar dan pasukannya ditugaskan untuk memburu komander tentera Israel yang juga perancang operasi serangan, watak fiksyen yang diberi nama Mose Ben Eliezer, menurut laman web filem tersebut.
"Mose memusnahkan kampung-kampung, membunuh kanak-kanak dan memenjarakan sesiapa sahaja yang membantu Polat," katanya.
Di Israel, Timbalan Menteri Luar Danny Ayalon dan jurucakap Kementerian Luar Yigal Palmor enggan mengulas kerana mereka belum menonton filem tersebut.
Ayalon pada Januari lalu memanggil Duta Turki ke Israel untuk mengemukakan bantahan berhubung 'Valley of the Wolves', memaksa duta berkenaan duduk di atas sofa yang lebih rendah, dalam insiden yang mencetuskan kemarahan Turki.
Bilici berkata, krew filem kini melakukan penggambaran bagi melakonkan semula serangan ke atas Mavi Marmara, termasuk adegan menunjukkan aktivis Turki sedang mengerjakan solat subuh ketika helikopter Israel menghampiri kapal dan komando terjun ke atas kapal itu lalu menembak mereka.
Filem itu dijadual mula ditayangkan pada 28 Januari tahun depan. - AP

Yahudi bakar al-Quran, masjid



SEORANG penduduk menunjukkan salinan al-Quran yang dibakar di masjid perkampungan Beit Fajar di selatan Baitullaham, Tebing Barat, semalam. - AFP


RAMALLAH 4 Okt. - Pihak tidak bertanggungjawab membakar masjid di sebuah perkampungan Palestin di Tebing Barat hari ini, menconteng dinding dengan perkataan 'dendam' dalam bahasa Ibrani serta membakar salinan kitab suci al-Quran akan mencetuskan ketegangan baru setelah usaha perdamaian Asia Barat menemui jalan buntu.
Penduduk Palestin mengesyaki pelampau pendatang-pendatang Yahudi melakukan kebakaran di perkampungan Beit Fajjar tersebut yang mana 15 salinan al-Quran dan permaidani masjid itu dibakar, kata pegawai majlis perbandaran, Ali Thawabti.
Jelasnya, penduduk bagaimanapun berjaya memadamkan kebakaran dan 'pendatang Yahudi melarikan diri menggunakan kereta Peugeot putih'.
Ini merupakan kali keempat sebuah masjid di Tebing Barat mengalami vandalisme yang didakwa dilakukan pendatang Yahudi.
Ketua perunding Palestin berkata, kebakaran tersebut mencerminkan peranan penempatan haram Yahudi di Tebing Barat dalam konflik Israel-Palestin.
Usaha perdamaian tertunggak selepas sebulan siri rundingan dilakukan di Washington.
Pihak Palestin menegaskan, mereka tidak akan meneruskan rundingan damai tersebut sekiranya pembinaan penempatan haram diteruskan.
Namun Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang berdepan tekanan dalam kerajaan campuran yang menyokong penempatan haram, menolak untuk melanjutkan larangan pembinaan.
Wakil khas White House, George Mitchell berada di rantau ini sejak minggu lalu bagi mencari jalan penyelesaian namun masih gagal berbuat demikian.
Netanyahu juga turut memberitahu sekutu-sekutu politiknya tentang kemungkinan memperbaharui larangn pembinaan untuk memuaskan hati AS.
Pada awal sidang Kabinet hari ini, Netanyahu berkata Israel 'dalam rundingan diplomatik bersama pentadbiran AS bagi mencari satu penyelesaian untuk meneruskan proses rundingan damai' namun tidak meletakkan harapan terhadap kemungkinan beberapa manfaat dari AS. - AP/REUTERS

Mahasiswa UUM diberi amaran tidak libatkan diri di Galas


PARIT - Universiti Utara Malaysia (UUM) tidak akan bertolak ansur terhadap mahasiswanya yang melibatkan diri dalam kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas. 

Naib Canselor UUM, Profesor Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, pihak pengurusan universiti akan mengambil tindakan tegas, termasuk menggantung mahasiswa terbabit. 

Pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pengerusi Taman Teknologi Malaysia, Datuk Nasarudin Hashim di sini, semalam, berkata, tindakan tegas terpaksa diambil bagi memastikan pengajian mereka tidak terjejas akibat sibuk berpolitik. 

“Sebagai mahasiswa, mereka perlu mematuhi Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 yang melarang penglibatan pelajar dalam parti politik dan kesatuan sekerja. 

“Akta itu digubal demi kepentingan mahasiswa itu sendiri bagi memastikan pengajian mereka tidak terjejas. Tamatkan dulu pengajian sebelum melibatkan diri dalam politik atau berdepan dengan tindakan undang-undang, termasuk digantung pengajian mereka sebagai mahasiswa,” katanya. - Bernama

Militan Afghan mengaku serang konvoi Nato



MIRANSHAH - Kumpulan militan Afghanistan mengaku bertanggungjawab melakukan dua serangan ke atas konvoi bekalan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) di Pakistan dan mereka turut mengancam untuk melakukan lebih serangan di masa akan datang, semalam. 

Jurucakap Tehrekk-e-Taliban Pakistan (TTP), Azam Tariq berkata, mereka mengaku bertanggungjawab ke atas serangan trak bekalan Nato dan letupan tangki minyak yang berlaku Sindh dan Islamabad. 

"Kami akan melakukan lebih banyak serangan di masa hadapan dan dalam masa yang sama kami tidak akan membenarkan tentera Nato menghantar bekalan kepada pasukan tenteranya yang berpusat di Afghanistan," katanya. 

Sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh apabila kira-kira 20 bekalan tong minyak meletup akibat diserang kumpulan militan berhampiran ibu negara Pakistan. 

Lebih daripada 3,700 orang terbunuh akibat serangan berani mati dan letupan bom di Pakistan dalam tempoh tiga tahun ini yang dipercayai dilakukan puak Taliban dan Al-Qaeda.

70 peratus undi Cina diyakini berpihak kepada Pas




KOTA BHARU - Dewan Himpunan Penyokong Pas yakin lebih 70 peratus dari 2,500 undi masyarakat Cina yang akan membuang undi pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas akan berpihak kepada Pas. 

Ketuanya, Hu Pang Chaw berkata, momentum Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) lalu menunjukkan masyarakat bukan Melayu memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat (PR) tidak berubah, sekali gus memberi kelebihan kepada Pas untuk mempertahankan kerusi Galas. 

“Analisa awal menunjukkan sokongan masyarakat Cina di Gua Musang terutama di Galas tidak berubah, mereka masih memberi sokongan penuh kepada rakan PR tidak kira apa parti sekalipun,” katanya kepada Sinar Harian. 

DUN Galas mempunyai 10,330 undi yang diwakili masyarakat Melayu 65 peratus, Cina 22.3 peratus, India 1.8 peratus manakala lain-lain 10.5 peratus. 

Dalam pada itu, Pang Chaw berkata, pihaknya tidak bermasalah untuk mendapatkan undi bukan Melayu termasuk masyarakat Orang Asli di Galas. 

Katanya, kelebihan itu penting buat Pas untuk mempertahankan kerusi itu tetapi perlu memasang strategi khusus untuk menarik sokongan kaum Melayu. 

Mengenai persiapan sayap baru Pas itu, Pang Chaw berkata, pihaknya kini hanya menunggu arahan untuk menggerakkan jentera parti dan pihaknya tidak bermasalah untuk mengumpulkan jentera parti.

Mana ada hantu - Khalid



05/10/2010 5:47pm

SHAH ALAM 5 Okt. - “Mana ada hantu, saya pergi siang dan malam, tak ada apapun. Semua itu hanya untuk mensensasikan cerita saja,” kata Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar.
Beliau diminta mengulas dakwaan kononnya ada anggota polis yang menyiasat kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya diganggu makhluk halus.

Ketika ditanya pemberita di Majlis Rumah Terbuka Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini, Khalid lantas menafikan laporan itu.

Terdapat cakap-cakap kononnya ada anggota polis diganggu makhluk halus ketika bertugas di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, Banting, milik suspek utama kes pembunuhan Sosilawati dan tiga yang lain.
Ladang itu dipercayai lokasi pembunuhan itu.
Mengulas lanjut, beliau berkata semua siasatan berkaitan kes pembunuhan termasuk membabitkan hartawan dari India Allal Kanthan Muthuraja, 34, serta beberapa kes lain termasuk laporan Sabtu lepas mengenai kehilangan seorang lagi ahli perniagaan, masih dijalankan.
Katanya, perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. - Bernama

Jentera pilihan raya jangan masuk Galas - Orang Asli



05/10/2010 4:21pm

KOTA BHARU 5 Okt. - Masyarakat Orang Asli di Galas menubuhkan pasukan gerak gempur sendiri dan tidak mahu diganggu oleh mana-mana parti politik semasa kempen pilihan raya kecil di situ tidak lama lagi.
Ketua Masyarakat Orang Asli kawasan itu, Pandak a/l Panjang Ey berkata, jentera pilihan raya parti tidak perlu masuk ke kawasan mereka semasa kempen nanti.

"Kami mempunyai jentera gerak gempur sendiri untuk berkempen dalam pilihan raya kali ini," katanya pada majlis ramah mesra dengan pimpinan Pas Kelantan di kediaman rasmi Menteri Besar di sini hari ini.
Pandak berkata, pemimpin-pemimpin masyarakat Orang Asli juga harus diberi peluang untuk berceramah bagi menyuarakan masalah dan aspirasi masyarakat itu pada pilihan raya kecil itu. - Bernama

Syor kaji semula hukuman kesalahan berkaitan agama





2010/10/05

Hina anutan orang lain boleh cetus kemarahan, permusuhan kaum

MENGHORMATI agama bukan saja faktor yang menyumbang kepada ketenteraman awam atau kesejahteraan masyarakat. Ia bertujuan menghormati agama itu sendiri. Atas prinsip menghormati agama, undang-undang jenayah mengenai kesalahan berkaitan agama diperkenalkan. Undang-undang itu lahir atas dasar menjaga, menjamin dan menghormati kedudukan agama serta memberi penghormatan kepada penganutnya. 

Dalam sejarah undang-undang di England, kesalahan berkaitan agama diperkenalkan oleh common law dan ditadbir oleh Ecclesiastical Court yang juga dikenali sebagai Spiritual Court. Pada 1697, Akta Kesalahan Menghina Agama (Blasphemy Act) diperkenalkan. Akta itu antara lain menjenayahkan perbuatan menghina agama.
Agak malang bagi penganut agama lain, termasuk agama Islam, kerana undang-undang England itu hanya menjaga dan menjamin kedudukan agama Kristian. Kedudukan agama lain diabaikan. Prinsip ini dapat dilihat dengan jelas di dalam keputusan berkaitan terbitan The Satanic Verses tulisan kontroversi Salman Rushdie (yang lebih dikenali sebagai kes ex-parte Choudhury).
Atas dasar diskriminasi dan ketidaktentuan di dalam pemakaiannya, undang-undang ini mendapat kritikan hebat. Pelbagai gerakan dan desakan dilakukan ketika proses ‘pembaharuan’ yang membawa ideologi pemisahan antara agama dan pentadbiran, ke atas undang-undang menghina agama. Seterusnya, terkesan daripada itu, Blasphemy Act itu dimansuhkan pada 1966. 

Walaupun undang-undang bertulis mengenai kesalahan menghina agama dimansuhkan di England, ia masih kekal menurut common law. Pemakaian undang-undang berkaitan amat terhad dan pendakwaan terakhir yang berlaku ialah sekitar 1970-an. 

Setakat ini, ada banyak usaha ke arah memadamkan undang-undang tidak bertulis ini atas beberapa alasan utama seperti diskriminasi dan ketidaktentuan dalam pemakaiannya seperti yang disebut di atas. Usaha terakhir ialah pada 2001, menerusi ‘Religious Offences Bill’ 2001. Namun, usaha itu masih belum mencapai matlamat untuk menghapuskan undang-undang menghina agama Kristian di England. 

Apa yang ingin saya sampaikan ialah, walaupun kita amat menyedari bahawa perbuatan menghina agama adalah satu perbuatan yang boleh mencetus kemarahan dan permusuhan kaum, namun hakikatnya, itu bukanlah satu-satunya matlamat. Agama itu sendiri perlu dihormati – walau apa agama sekalipun – lebih-lebih lagi agama bagi negara. Dalam kata lain, perbuatan menghina agama tidak sepatutnya hanya disandarkan kepada alasan menjaga ketenteraman atau kesejahteraan awam. 
Semua masyarakat beragama harus menghormati kedudukan agama. Apa lagi kedudukan agama yang menjadi pegangan majoriti ahlinya. Seperti kedudukan undang-undang di England, walaupun dikatakan ada pemisahan antara agama dan pentadbiran negara, agama Kristian sentiasa dijamin kedudukannya oleh undang-undang berkaitan penghinaan terhadap agama. 

Pihak istana dan kerajaan masih enggan menghapuskan undang-undang yang menjamin kedudukan agama Kristian daripada celaan dan hinaan. Ini menunjukkan bahawa walau dalam keadaan apa sekalipun, agama Kristian masih mempunyai tempat yang selesa di England (sekurang-kurangnya dalam konteks undang-undang berkaitan menghina agama). 

Masyarakat Malaysia, yang secara umumnya adalah masyarakat beragama, seharusnya sentiasa sedar bahawa menjaga kedudukan agama bukan saja bagi tujuan mengelak daripada berlakunya ketegangan antara kaum dan agama. Ia harus juga bagi tujuan menjaga kedudukan agama itu sendiri. 

Peruntukan di dalam Seksyen 295 hingga 298A Kanun Keseksaan menjadi undang-undang khusus bagi menangani kesalahan berkaitan agama. Pada asalnya peruntukan ini adalah, seperti juga tujuan asal blasphemy law di England, untuk menjaga dan menjamin kedudukan agama, iaitu agama bagi negara itu. Namun daripada persoalan teknikal undang-undang, ia harus diterima pakai dalam konteks negara yang mengamalkan undang-undang berkenaan. 

Hukuman yang disediakan oleh peruntukan berkaitan agak rendah. Dengan perkembangan semasa, adalah baik bagi kerajaan untuk menilai semula jumlah dan jenis hukuman mengenai kesalahan berkaitan agama. Ini kerana undang-undang ini menjadi antara pemangkin kepada jaminan terhadap kedudukan agama di negara ini. 

Undang-undang ini juga melambangkan hak kebebasan beragama. Tidak ada sesiapa pun yang dibolehkan oleh undang-undang untuk menghina agama seseorang yang lain. Selain itu, hak kebebasan beragama juga merangkumi hak untuk tidak diguris perasaan sensitiviti terhadap agama yang dianuti. 

Walaupun sudah menjadi sebahagian daripada Kanun Keseksaan sejak sebelum merdeka lagi, pemakaian peruntukan di bawah Seksyen 295 hingga 298A di negara ini tidak begitu ketara. Berdasarkan laporan kes, ia masih belum mencukupi bilangan jari sebelah tangan. 

Sebagai akademik yang tidak terbabit secara langsung di dalam proses penyiasatan dan pendakwaan, saya tidak mengetahui apa sebenarnya masalah dan halangan dalam penyiasatan dan pendakwaan di bawah peruntukan ini. Mungkin masyarakat umum juga tertanya-tanya apa sebenarnya kedudukan undang-undang mengenai isu ini, seperti isu video yang dikaitkan dengan seorang paderi Kristian. 

Bagi masyarakat Islam di negara ini mereka mempunyai satu set undang-undang lain berkaitan kesalahan menghina agama Islam di dalam enakmen negeri. Undang-undang ini didasari prinsip menghormati agama seperti diiktiraf oleh al-Quran dan sunnah Rasulullah serta amalan sahabat. 

Kesalahan ini diletakkan di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah. Ini menjadikan jaminan kedudukan agama Islam, secara teorinya, agak kuat. Walau apa pun, seperti yang dimaklumi ramai, undang-undang Islam di Malaysia ini secara amalannya hanya terpakai ke atas orang Islam. Sebarang penyiasatan dan pendakwaan ke atas orang bukan Islam bukan di bawah bidang kuasa pegawai penguat kuasa agama, dan bukan juga di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah. 

Penulis ialah Penolong Profesor Kulliyyah Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Padi tenggelam



Oleh Sabaruddin Abd Ghani 

2010/10/05

Sawah tiga kampung musnah akibat banjir kilat perlu bantuan

KUALA KETIL: Kira-kira 20 petani yang mengusahakan sawah padi di Kampung Guar Chempedak, Kuala Badak dan Kuala Tembak, di sini mengalami kerugian beribu-ribu ringgit apabila sawah mereka yang hasilnya boleh dituai dalam tempoh seminggu lagi, musnah ditenggelami banjir kilat berikutan hujan lebat berterusan sejak Ahad minggu lalu. 

Berikutan itu, pesawah terbabit yang bergantung sepenuhnya kepada hasil padi kehilangan sumber pendapatan musim ini dan berharap mendapat bantuan kerajaan bagi mengusahakan semula tanaman pada musim akan datang.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Guar Chempedak, Ramli Abdullah, berkata akibat bencana alam itu, seluas kira-kira 40 hektar sawah di tiga kampung terbabit terendam air keruh dan berlumpur yang merosakkan tanaman padi.
Katanya, berikutan kejadian itu, pendapatan pesawah kebanyakannya adalah daripada golongan miskin terjejas apabila tanaman yang sudah mengeluarkan hasil itu musnah tanpa memperoleh pulangan seperti diharapkan. 

Beliau berkata, antara punca berlakunya banjir kilat yang menenggelamkan sawah ialah limpahan air terlalu banyak di Sungai Tembak yang laluannya mengalir merentasi kawasan sawah padi. 

“Banjir kilat yang melanda sawah padi kali ini paling teruk apabila padi yang menunggu masa untuk dituai terendam dalam air sedalam paras dada menyebabkan tanaman berkenaan reput,” katanya ketika ditemui di sini. 

Secara purata, setiap pesawah mengalami kerugian antara RM6,000 dan RM20,000, bergantung kepada keluasan sawah yang diusahakan. 
Ia termasuk kos mengusahakannya, upah penggunaan jentera pembajak, membuat sistem pengairan, penyediaan benih dan semburan racun serangga perosak tanaman. 

Sehubungan itu, JKKKP kampung menghantar laporan berhubung masalah itu kepada Pejabat Pertanian Daerah Baling dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Ketil supaya bantuan dapat disediakan untuk pesawah. 

Untuk jangka panjang, JKKKP kampung berkenaan berharap kerajaan mengambil langkah tertentu bagi menangani masalah banjir kilat yang sering melanda sawah padi apabila hujan berterusan. 

Pesawah, Jahaya Khamis berkata, sawahnya seluas kira-kira 3.5 hektar yang sudah sedia untuk dituai musnah dinaiki air mengakibatkan kerugian dianggarkan RM20,000. 

“Saya tidak dapat berbuat apa-apa apabila melihatkan keadaan sawah terendam air, cuma yang terfikir bagaimana hendak mencari modal untuk mengusahakan semula sawah pada musim akan datang,” katanya. 

Abdul Kadir Mat Isa pula berkata, sawahnya seluas kira-kira 2.5 hektar yang juga menunggu masa untuk hasilnya dituai musnah dalam kejadian banjir kilat kali kedua melanda sawah penduduk kampung terbabit. 

“Berikutan berlaku bencana alam itu, saya mengalami kerugian kira-kira RM8,000 dan berharap kerajaan dapat menghulurkan bantuan bagi membolehkan tanaman musim kedua iaitu bermula bulan ini dapat diusahakan,” katanya.

Pesantren tangani keganasan

INDONESIA yang mempunyai lebih 230 juta penduduk adalah negara yang mempunyai jumlah penduduk Islam paling ramai di dunia. Jumlah itu jauh lebih besar berbanding mana-mana negara di Asia Barat, tempat Islam mula bertapak.
Meskipun majoriti penduduknya beragama Islam, Indonesia secara amnya dilihat oleh masyarakat antarabangsa bahawa penganut agama lain boleh tinggal dengan aman bersama jiran Islam mereka.

Ramai pemerhati mengakui hakikat ini apabila mereka merumuskan Indonesia adalah negara mengamalkan toleransi.

Namun, sejak 10 tahun kebelakangan, khususnya sejak era reformasi, tanggapan bahawa Indonesia sebuah negara bertoleransi agak melencong dengan kemunculan semula kumpulan pelampau Islam.

Pelbagai kejadian ganas membantu mewajarkan pandangan yang Indonesia menjadi kubu kuat fahaman pelampau Islam.

Beberapa siri serangan bom yang berlaku hampir setiap tahun dari 2000 hingga 2005 memberi isyarat Indonesia sudah berubah.
Serangan paling buruk berlaku di Bali pada 12 Oktober 2002, menyebabkan lebih 200 orang terbunuh, kebanyakannya pelancong Australia.

Selepas serangan bom kedua di Bali pada 2005, ia kelihatan seolah-olah Indonesia sudah dapat menyelesaikan isu pelampau Islam.