Saturday, September 3, 2016

Presiden Korea Utara ‘gila kuasa’


ONG BOON TECK
3 SEPTEMBER 2016
 ‎Presiden Korea Utara ‘gila kuasa’

 ‎Presiden Korea Utara ‘gila kuasa’
ANTARA pemimpin dunia yang dianggap kejam dan masih berkuasa hari ini adalah dinamakan Presiden Korea Utara, Kim Jong Un pastinya tersenarai sebagai manusia yang paling tidak perikemanusiaan.

Menurut laporan daripada sebuah portal berita dari China, DuoWei News, antara awal tahun ini hingga 31 Ogos lalu, sekurang-kurangnya 20 pegawai kanan kerajaan Korea Utara telah dihukum mati atas arahan presiden mereka yang semakin hilang akal.

Difahamkan, demi mengukuhkan kedudukan sebagai pemerintah tertinggi dalam negaranya, Jong Un sanggup menjatuhkan hukuman mati terhadap pegawainya yang dilihat cuba mengganggu urusan pentadbiran kerajaannya.

Kekejaman Jong Un mula disebarkan dalam media antarabangsa apabila menjalankan hukuman mati ke atas seorang pegawai kanannya dengan mengguna penyembur api.

Mangsa tersebut ialah Timbalan Menteri Kemudahan Awam, O Sang-hon. Beliau ialah antara 11 pegawai kanan parti yang ada hubungan dengan bapa saudara Jong Un sendiri, Jang Song-taek.

Jang dibicarakan dan menjalani hukuman mati Disember 2014 selepas bersalah atas tuduhan rasuah dan menjalankan kegiatan bertentangan parti Pekerja Korea.

Dan yang terbaharu, pada 31 Ogos lalu apabila jurucakap kerajaan Korea Utara, Jeong Joon-hee mengumumkan Timbalan Perdana Menteri, Kim Yong-jin telah dihukum mati atas kesalahan cuba melakukan pemberontakan terhadap pucuk pimpinan kerajaannya.

Menurut akhbar tersebut, Yong-jin dibunuh oleh skuad penembak pada Julai lalu selepas didakwa sebagai anti parti dan anti revolusi.

Manakala dua pegawai kanan lain terpaksa menjalani sesi pendidikan semula. Seorang daripada mereka adalah pegawai tertinggi yang bertanggungjawab dalam hal ehwal antara dua Korea, Kim Yong-Chol.

Kini, tidak seorang pun yang berani bersuara terhadap segala tindakan kejam yang dilakukan oleh presiden negara yang berfahaman komunis itu.

Adalah dijangkakan pengaruh dan penguasaan Jong Un dalam kerajaan Korea Utara akan terus berpanjangan sekurang-kurangnya dalam tempoh 30 tahun akan datang. Justeru, kemungkinan akan ada lebih ramai lagi pegawai yang akan dikenakan tindakan walaupun hanya melakukan kesalahan yang kecil.

Rafizi Diperintah Bela Diri Atas Pertuduhan Dedah Laporan 1MDB


Diterbitkan: Khamis, 1 September 2016 12:35 PM

Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen Pandan Mohd Rafizi Ramli pada Khamis diperintah membela diri atas dua pertuduhan memiliki dan mendedahkan laporan 1MDB di laman web, Facebook, telefon bimbit dan pada sidang media di lobi Parlimen, Mac lepas.

Hakim Mahkamah Sesyen Zulqarnain Hassan memutuskan bahawa pendakwaan berjaya membuktikan Mohd Rafizi telah memiliki dan mendedahkan halaman 98 laporan pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang masih diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi.

Zulqarnain dalam keputusannya mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Mohd Rafizi, 39, yang juga Naib Presiden dan Setiausaha Agung PKR, pada akhir kes pendakwaan.

Mahkamah menetapkan tiga hari perbicaraan mulai 27 September untuk mendengar pembelaan Mohd Rafizi.

Zulqarnain membuat keputusan itu selepas mendengar keterangan tujuh saksi pendakwaan dan hujah daripada Timbalan Pendakwa Raya Shukor Abu Bakar dan Zhafran Rahim Hamzah dan Peguam Gobind Singh Deo.

Mohd Rafizi, didakwa memiliki tanpa kebenaran satu halaman muka surat 98 mengenai Laporan Pengauditan 1MDB yang merupakan kesalahan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di lobi bangunan Parlimen, Jalan Parlimen, di sini pada 3 petang, 24 Mac lepas, mengikut Seksyen 8(1)(c)(iii) Akta Rahsia Rasmi 1972 dan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Mohd Rafizi didakwa mendedahkan kandungan laporan itu dalam sidang media di tempat sama, pada 3 petang, 28 Mac lepas, mengikut Seksyen 8(1)(c)(iv) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun, jika sabit kesalahan.

Belum cukup



DELA Rosa

Agensi
Manila: Ketua Polis Filipina, Jeneral Ronald ‘Bato’ dela Rosa mengarahkan anggotanya menggandakan usaha dalam operasi memerangi dadah bagi memenuhi janji Presiden Rodrigo Duterte dalam kempen pilihan rayanya.

“Kita tidak boleh gagalkan ikrar Presiden dalam kempennya yang mahu menyelesaikan masalah dadah, jenayah dan rasuah dalam masa enam bulan. Kita semakin kesuntukan masa,” kata Dela Rosa ketika berucap di Kem Bado Dangwa di La Trinidad, Benguet, semalam.

Menurutnya, ‘peperangan’ itu kini memasuki fasa kedua.

“Dua bulan sudah berlalu. Kita ada empat bulan lagi. Saya berharap kita dapat menggandakan usaha untuk mencapai sasaran.

“Kita tidak mahu hasrat rakyat Filipina untuk menyaksikan masalah dadah, jenayah dan rasuah dibasmikan gagal,” katanya.

Dia turut menyuarakan rasa gembiranya mengenai penurunan ketara kadar purata jenayah harian kepada lebih separuh.

Rekod polis menunjukkan jumlah jenayah harian di seluruh negara itu merosot sebanyak 49 peratus sejak Julai lalu.

Ketua Polis Filipina itu turut mengingatkan anggotanya supaya tidak mempedulikan kritikan pelbagai pihak mengenai perang terhadap dadah yang setakat ini sudah meragut lebih 2,000 nyawa.

“Anggap kempen ini baru bermula. Walaupun pelbagai kritikan diterima, kita perlu teruskan kempen ini selagi kita patuh kepada undang-undang dan menghormati hak asasi,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 September 2016 @ 5:06 AM