Friday, May 13, 2016

Bank nafi beri maklumat Mohamad Salleh kepada Rafizi


KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu pihak bank tidak pernah memberi sebarang maklumat akaun bank Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail kepada Naib Presiden PKR Mohd Rafizi Ramli.
Pengurus Perniagaan Public Bank Berhad Cawangan Jalan Hang Lekiu, Chai Ma Fatt berkata beliau juga tidak mengetahui mengenai dakwaan kononnya Mohd Rafizi, yang juga Setiausaha Agung PKR mendapatkan maklumat akaun berkenaan daripada bank itu.  
Ma Fatt,49, berkata demikian ketika menjawab soalan peguam Datuk M. David Morais mewakili Mohamad Salleh selaku plaintif dalam perbicaraan kes samannya terhadap Mohd Rafizi dan portal berita Malaysiakini berhubung pembelian hartanah di KL Eco City, Bangsar.  
Selain itu, saksi plaintif itu berkata pihak bank pernah menawarkan pinjaman kepada Mohamad Salleh bagaimanapun menarik balik tawaran itu kerana selepas tujuh bulan tempoh tawaran, beliau masih tidak memberi sebarang maklum balas.  
"Pihak bank memberi sokongan terhadap pinjaman itu kerana percaya kepada kedudukan kewangan dan kredibiliti Mohamad Salleh," katanya.
Ma Fatt juga bersetuju dengan cadangan peguam Razlan Hadri Zulkifli, mewakili Mohd Rafizi, bahawa simpanan tetap sebanyak RM71.3 juta yang dibuat Mohamad Salleh ke dalam akaun bank tersebut antara faktor yang menyebabkan pihak bank memberi pinjaman kepadanya.  
Dalam saman difailkan pada 3 Jun, 2013, Mohamad Salleh, 67, dan NFCorp, mendakwa pada 7 Mac 2012, Mohd Rafizi selaku pengarah strategi PKR ketika itu, membuat kenyataan berbaur fitnah pada sidang media di pejabat PKR mengenai pembelian hartanah itu dan disiarkan oleh Malaysiakini pada hari yang sama. - Bernama

Public Bank tidak pernah dedah maklumat akaun Mohamad Salleh

mahkamah

KUALA LUMPUR 12 Mei - Public Bank Bhd. tidak pernah memberikan sebarang maklumat perbankan milik Pengerusi National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NFCorp), Datuk Seri Dr. Mohamad Salleh Ismail kepada Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh seorang saksi ketika perbicaraan kes saman fitnah Mohamad Salleh terhadap Rafizi dan pemilik portal Malaysiakini di Mahkamah Tinggi, di sini hari ini.
Pengurus Perniagaan Public Bank Cawangan Jalan Hang Lekiu, Chai Mai Fatt berkata, beliau juga tidak mengetahui mengenai dakwaan kononnya Ahli Parlimen Pandan itu memperoleh maklumat akaun tersebut daripada pihak bank.
Menurut Mai Fatt, pihak bank pernah menawarkan pinjaman kepada Mohamad Salleh pada Mei 2011 namun menarik balik tawaran tersebut selepas tidak mendapat maklum balas daripada beliau.
“Bank ada tawarkan pinjaman kepada beliau namun pada Januari iaitu selepas tujuh bulan ia ditarik balik kerana sudah melebihi tempoh had masa tawaran,” katanya ketika menjawab soalan peguam Datuk M. David Morais yang mewakili Mohamad Salleh selaku pihak plaintif.
Mai Fatt berkata demikian ketika memberi keterangan pada perbicaraan kes saman Mohamad Salleh dan NFCorp terhadap Rafizi dan Mkini dotcom Sdn. Bhd. yang dinamakan sebagai defendan pertama dan kedua atas dakwaan memfitnah beliau dan keluar­ganya.
Menurut Mai Fatt lagi, tawaran pinjaman tersebut disokong oleh pihak bank ekoran percaya terhadap kredibiliti Mohamad Salleh selain faktor kewangan plaintif yang kukuh.
Bagaimanapun, beliau bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan oleh peguam Razlan Hadri Zulkifli yang mewakili Rafizi bahawa simpanan tetap sebanyak RM71.3 juta yang dibuat Mohamad Salleh menjadi salah satu faktor mendorong pihak bank menawarkan pinjaman terbabit kepadanya.
Dalam pernyataan tuntutannya yang difailkan pada 7 Mac 2012, Mohamad Salleh mendakwa, Rafizi telah mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah pada sidang akhbar di ibu pejabat PKR berhubung pembelian hartanah KL Eco City dan berita itu disiarkan dalam portal berita, Malaysiakini pada hari sama.
Suami kepada bekas kepada bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil itu dalam samannya mendakwa, tuntutan itu difailkan kerana kerugian yang dialami akibat pembohongan, maklumat yang mengelirukan, pendedahan maklumat perbankan yang sulit dan kenyataan fitnah yang dibuat oleh defendan.
Pihak plaintif sehubungan itu menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk daripada pihak defendan selain injunksi bagi menghalang defendan daripada terus mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan dan memperdayakan orang ramai mengenai isu itu.
Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Azizul Azmi Adnan bersambung esok. - UTUSAN ONLINE
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/mahkamah/public-bank-tidak-pernah-dedah-maklumat-akaun-mohamad-salleh-1.325273#sthash.BlwGgrCK.dpuf