Saturday, December 20, 2014

Rumah bergegar dirempuh lembu, balak hanyut


20 Disember 2014


PASIR MAS - Sekeluarga cemas apabila rumah bertiang kayu yang didiami mereka dirempuh dua ekor lembu serta sebatang kayu balak yang dihanyutkan arus banjir di pekan Rantau Panjang, Khamis lepas.
 
Ketika menceritakan situasi berkenaan, Mohd Firdaus Mohd Yusuf, 25, berkata, pada masa kejadian dia berada bersama isteri Nor Fasehah Anuar, 21, serta bayinya Nur Zahra Imani yang berusia sembilan bulan.
 
"Dalam pukul 8 pagi kami berada dalam rumah, air sedang naik secara mendadak, kalau saya keluar dari rumah mungkin paras dada, kemudian saya nampak tiga ekor lembu hanyut.
 
"Dua daripada tiga ekor lembu itu melanggar tiang rumah saya, bergegar rumah rasa macam nak runtuh, kemudian datang kayu balak sepanjang satu meter turut menghentam tiang rumah," katanya ketika ditemui di rumahnya di Rantau Panjang di sini, hari ini.
 
Mohd Firdaus berkata, kejadian berkenaan menyebabkan tiang rumahnya retak.

"Memang saya rasa takut, bimbang rumah runtuh dan menyebabkan kami sekeluarga dibawa air sungai yang deras.
 
"Nasib baik tiang rumah itu masih kukuh dan rumah tak runtuh, saya cemas sebab nak bawa keluarga keluar tak boleh air sangat deras," katanya.
 
Mohd Firdaus berkata, enam jam kemudian ayahnya Mohd Yusuf Alwi, 55, datang memindahkan mereka sekeluarga menggunakan perahu.
 
"Nasib baik ayah datang, air memang deras kami hanya mampu berdoa pada ketika itu, saya hanya dapat keluar ke tempat yang lebih selamat kira-kira 1 tengah hari.
 
"Saya kemudiannya bawa anak serta isteri ke rumah saudara terdekat, Alhamdulillah bayi saya pun selamat," katanya.
 
Dia berkata, ini merupakan pengalaman pertama dalam hidupnya dan menyifatkan kejadian banjir tahun ini merupakan yang terburuk sejak 2004.
 
"Kalau tahun lepas air naik juga tapi tidak setinggi sekarang, kelengkapan rumah memang tak sempat diselamatkan.
 
"Apa yang saya fikir masa itu adalah selamatkan keluarga, banjir kali ini menguji mental dan fizikal saya," katanya.  - Bernama

Melayu tidak boleh malas, terus kuasai ekonomi


Negarawan yang juga bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyampaikan Ucaptama 'Halatuju Melayu Islam Menjelang Wawasan 2020' pada Konvensyen Kepimpinan Melayu Muda Nusantara (Nusa'14) di Akademi Kenegaraan Biro Tatanegara, Jalan Bellamy di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Bernama
Negarawan yang juga bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyampaikan Ucaptama 'Halatuju Melayu Islam Menjelang Wawasan 2020' pada Konvensyen Kepimpinan Melayu Muda Nusantara (Nusa'14) di Akademi Kenegaraan Biro Tatanegara, Jalan Bellamy di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR - Kaum Melayu tidak boleh malas, sebaliknya harus berusaha lebih gigih untuk menguasai ekonomi negara bagi menjamin mereka memperoleh bahagian yang sepatutnya apabila Malaysia mencapai status negara maju menjelang 2020, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
 
Bekas Perdana Menteri itu menegaskan orang Melayu tidak boleh bergantung kepada penguasaan politik semata-mata kerana ia mungkin tidak mampu bertahan tanpa pegangan ekonomi yang kukuh.
 
Katanya, walaupun melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenal pada 1971 telah ditetapkan agihan ekonomi untuk orang Melayu sebanyak 30 peratus daripada kekayaan negara, namun selepas 20 tahun pelaksanaannya, sasaran itu dilihat tidak berjaya dipenuhi.
 
"Jadi jika kita mahu bahagian kita, orang Melayu mesti tukar pendirian, mesti usaha lebih gigih untuk dapatkan bahagian kita dalam negara maju.
 
"Saya khuatir bila kita capai matlamat negara maju pada 2020, orang Melayu menjadi golongan miskin di dalam negara kaya," katanya ketika menyampaikan ucaptama bertajuk 'Hala Tuju Melayu Islam Menuju Wawasan 2020' pada Konvensyen Kepimpinan Melayu Muda Nusantara (Nusa'14) di sini hari ini.
 
Dr Mahathir turut menjentik soal politik orang Melayu yang kini terpecah kepada tiga parti utama iaitu Umno, Pas dan PKR, yang menurutnya menjurus kepada undi Melayu menjadi minoriti dalam negara yang majoritinya orang Melayu.
 
Keadaan itu, katanya, menyebabkan setiap parti Melayu mempunyai sokongan kurang daripada 50 peratus dan akhirnya terpaksa 'mengemis' sokongan kaum lain untuk menang pilihan raya dan kekal berkuasa.
 
"Bila jadi pengemis, mereka (parti Melayu) bukan lagi merupakan orang berkuasa (sepenuhnya), ini keadaan yang sedang kita hadapi sekarang," katanya.
 
Selain itu, beliau turut menekankan pentingnya untuk kaum Melayu kembali mengamalkan ajaran dan nilai-nilai Islam yang sebenar sebagai landasan dan panduan hidup mereka.
 
"Maju atau mundurnya kita tidak bergantung kepada warna kulit, kekayaan sumber atau tempat tinggal kita, tetapi budaya dan nilai hidup yang dipegang," jelas Dr Mahathir.
 
"Nilai hidup yang baik termasuk jujur, amanah, bekerja keras perlu dijadikan budaya hidup kita. Kalau setakat berdoa tapi tak berusaha, ALLAH pun tidak akan tunaikan permintaan kita," kata Dr Mahathir. 
 
Kepada satu pertanyaan daripada peserta, Dr Mahathir mengulangi pandangannya berhubung pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M). 
 
"Sebaliknya wujudkan peluang kerja, latihan untuk rakyat supaya mereka dapat tingkatkan kebolehan dan ilmu untuk mendapat pekerjaan yang lebih baik dan gaji yang lebih tinggi, itu cara terbaik," katanya. - Bernama

Siasat salah guna wang negara


Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa
Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa
SHAH ALAM - Sidang tergempar Parlimen perlu diadakan untuk mencari langkah penjimatan kewangan negara.

Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, suruhanjaya bebas juga perlu ditubuhkan bagi membuat laporan terperinci terhadap pihak yang menyalahgunakan dana negara sehingga menjadikan kerajaan sebagai cagaran.

"Keadaan kewangan negara membimbangkan seluruh rakyat melibatkan isu pengapungan harga petrol, 1Malaysia Development Berhad dan kejatuhan nilai mata wang ringgit yang menjejaskan transaksi import dan eksport negara serta tahap keberhutangan negara yang membimbangkan.

"Parti yang memerintah seharusnya bersedia untuk ambil langkah praktikal bagi membuka ruang pendemokrasian serta berhenti mengugut rakyat dengan isu perkauman dan agama sebagai menutup kelemahan mereka," katanya dalam satu kenyataan bersama dengan aktivis
GAP lain termasuk Tamrin Tun Ghaffar dan Dyana Sofya.

Beliau yang juga Pengerusi Gerakan Anti Perkauman (GAP) berkata, PR yang membawa aspirasi untuk membuat perubahan politik juga harus fokus kepada janji dalam manifesto bagi meneruskan amanah undi yang diberikan.

"Tiba masanya rakyat Malaysia dihidangkan dengan politik kesedaran hati naluri dan politik budiman untuk kita tumpukan kepada membina negara dan menyelamatkan kegawatan kewangan negara," katanya.

Menurutnya, semua pemimpin politik daripada pelbagai parti perlu berbincang cara menyelamatkan keadaan kewangan negara dan tidak mengalihkan perhatian daripada masalah sebenar yang menjejaskan kestabilan ekonomi negara

PAS desak tarik balik Notis Merah kepada Al-Qaradawi


HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: PAS membantah sekeras-kerasnya tindakan Polis Antarabangsa (Interpol) mengeluarkan Notis Merah iaitu waran tangkap dan senarai orang yang dikehendaki kepada Presiden Kesatuan Ulamak Sedunia, Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradawi.
"Sesungguhnya ini adalah satu tindakan yang jelas 'double-standard' dan jelas berpihak kepada rejim kudeta Mesir pimpinan Jeneral As-Sisi.
"Perkara ini amatlah dikesali kerana umum mengetahui kekejaman dan kezaliman yang dilakukan oleh As-Sisi dan gerombolannya terhadap gerakan Ikhwanul Muslimin," tegas Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar dalam satu kenyataan.
Katanya, atas sifat dendam, kerajaan Mesir itulah yang menuntut Interpol bertindak sedemikian rupa.
Justeru, ujar beliau PAS memperingatkan bahawa tindakan Interpol itu seolah-olah menyemarakkan lagi Islamophobia dalam kalangan orang bukan Islam kepada Islam apabila ulama tersohor dunia Islam dikaitkan dengan tuduhan menghasut keganasan dan aktiviti terorisme.
Katanya, konspirasi Barat untuk memburukkan Islam sudah sekian lama berlaku dengan niat jahat mereka menakutkan dan menjauhkan masyarakat umum daripada agama Islam.
"Kami juga kesal akan sikap kerajaan Malaysia yang masih berdiam-diri dalam hal ini sedangkan Syeikh Yusuf bukanlah tokoh yang asing di Malaysia ini," ujarnya lagi.
Ini, katanya kerana pihak kerajaan sendiri pernah menganugerahkan Dr Yusuf Al-Qaradawi sebagai Tokoh Maal Hijrah 1431/2009 yang lalu.
Sehubungan itu, kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu Wisma Putra sewajarnya bersifat proaktif dalam hal ini untuk membela tokoh hebat yang telah menjadi mangsa teraniaya.
"Bukankah kerajaan sendiri sering mendabik-dada mengatakan Malaysia berpengaruh, disegani dan dihormati di peringkat antarabangsa maka tidaklah rugi untuk kita menyatakan pendirian dalam hal ini?" tanya beliau.
Beliau berkata, PAS turut menyeru pertubuhan OIC agar menyatakan pendirian mereka dalam hal ini kerana Syeikh Yusuf adalah bagaikan mutiara dan khazanah yang tidak ternilai yang masih kita punyai dan amatlah wajar dibela nasib beliau.
"Seluruh umat Islam wajar bersatu dan bersepakat untuk menyatakan kekesalan dan bantahan kita terhadap tindakan Interpol ini," katanya.
PAS, tegas beliau mendesak agar Red Notice yang telah dikeluarkan itu dapat ditarik balik dengan segera agar Interpol kekal sebagai institusi yang bebas dan tidak berpihak.
Menurutnya, amatlah malang sekali apabila Interpol sanggup tunduk dan bersekongkol dengan Rejim As Sisi yang kejam lagi zalim itu. -HARAKAHDAILY 20/12/2014

MH17: 700 Cebisan Mayat Masih Belum Dikenal Pasti


Diterbitkan: Sabtu, 20 Disember 2014 2:53 PM
Papan tanda dilarang masuk diletakkan di lokasi nahas MH17 yang masih dipantau rapi pasukan penyiasat.

SYDNEY: Keluarga salah seorang mangsa nahas pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 mendedahkan sebanyak 700 cebisan mayat tragedi itu masih dalam proses untuk dikenal pasti identiti mereka oleh pihak penyiasat di Belanda.
Akhbar Daily Mail melaporkan, keluarga kepada seorang pelajar, Ben Pocock, 20, dari Keynsham, Bristol yang turut terbunuh dalam nahas itu berkata, anak mereka dalam perjalanan ke Australia ketika nahas berlaku.
Pocock adalah pelajar tahun dua kursus ijazah sarjana Perniagaan Antarabangsa di Universiti Loughborough.
Bapanya, Jeremy Pocock berkata, keluarganya bersyukur kerana menerima hampir kesemua anggota badan anaknya.
“Kami merupakan salah satu daripada keluarga mangsa yang perlu melalui proses untuk mengenal pasti mayat mangsa dengan lebih lanjut.
“Hanya beberapa hari lalu kami dimaklumkan terdapat 700 serpihan tisu dan tulang manusia masih belum dikenal pasti dan ia adalah satu proses yang akan berlanjutan sehingga April atau Mei ini,” katanya kepada BBC TV malam Jumaat.
Pihak berkuasa mengumumkan pada awal Disember lalu sebahagian cebisan anggota badan 38 rakyat Australia yang maut dalam nahas MH17, setakat ini telah dikenal pasti secara fomal.

Susi rakus tangkap kapal asing


Jakarta: Menteri Kelautan dan Perikanan Indonesia Susi Pudjiastuti semalam mendesak Presiden Joko Widodo (Jokowi) supaya bertindak segera terhadap 13 kapal Cina dan Taiwan yang dikesan menangkap ikan di perairan negara itu.
Bercakap kepada wartawan di sini, Susi berkata, kapal berkenaan yang dikendalikan oleh warga asing dikesan menerusi data sistem pengawasan kapal (VMS) dan sistem pengecaman automatik (AIS) yang terpasang pada kapal terbabit.
“Kita perlu sebarkan kehadiran kapal berkenaan supaya Presiden Jokowi segera bertindak. Ayo, biar cepat ditangkap. Sudah terlalu banyak kekayaan laut kita dijarah,” kata Susi.
Sementara itu, kementeriannya bersama-sama tentera laut Indonesia sudah bersedia menenggelamkan tujuh lagi kapal asing yang ditahan di perairan negara itu.
Menurutnya, ketujuh-tujuh kapal berkenaan sudah melalui proses perbicaraan dan terbukti mencuri ikan di perairan Indonesia.
“Di Pontianak ada enam kapal, lima kapal Thailand dan satu Vietnam. Di Batam ada satu. Sudah sedia untuk ditenggelamkan,” kata Susi.
“Tujuh kapal asing berkenaan telah melalui proses penadilan dan terbukti mencuri ikan di laut Indonesia,” kata ketua pengarah kementerian Asep Burhanudin.
Dalam pada itu, lapan kapal China yang ditangkap di Laut Arafura kini dalam proses perbicaraan.
“Jika terbukti mereka mencuri ikan kita, kapal itu juga akan ditenggelamkan,” katanya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Disember 2014 @ 5:04 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/17584#sthash.ubEwWCDE.dpuf

China bantah AS jual senjata kepada Taiwan


Beijing: China semalam membantah kepada Amerika Syarikat (AS) selepas Presiden Barack Obama menandatangani perundangan baru meluluskan penjualan empat kapal peluru berpandu kepada Taiwan.
Jurucakap kementerian luar Qin Gang berkata, isu berkaitan dengan Taiwan antara kepentingan utama China selain menjadi perkara paling penting dan sensitif dalam hubungannya dengan AS.
“China membantah sekeras-kerasnya penjualan senjata kepada Taiwan oleh AS. Kami menyatakan pendirian ini dengan tegas, jelas dan konsisten.
“Tindakan itu mencampuri urusan dalaman China, mencemar kedaulatan dan kepentingan keselamatan kami selain melanggar hubungan dengan Taiwan,” katanya kepada media.
Sementara itu, kementerian pertahanan Taiwan yang pada mulanya merancang membeli dua kapal berkenaan mengucapkan terima kasih kepada AS kerana meluluskan pembelian itu sejajar dengan komitmen dibuat dalam Akta Hubungan Taiwan 1979 bagi membantu memberi sokongan terhadap keselamatan negara itu.
Penjualan senjata AS kepada Taiwan sering diselar China, namun setakat ini ia tidak menjejaskan hubungan Beijing dengan Washington.
China dan Taiwan diperintah berasingan sejak 1949. Bagaimanapun, Taiwan sentiasa berjaga-jaga yang sangsi dengan perancangan sebenar China terhadapnya. - Reuters
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Disember 2014 @ 5:01 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/17546#sthash.j7URMcsc.dpuf

Marah Malaysia guna ‘jamu’

Detikcom
Jakarta: Sebuah syarikat jamu terkenal Indonesia semalam menuduh Malaysia meniru jamu negara itu.
Presiden Pengarah PT Mustika Ratu Tbk Putri Kuswisnu Wardani berkata, Malaysia tidak sepatutnya menggunakan perkataan jamu untuk ubat tradisional kerana perkataan itu berasal dari bahasa Jawa.
Menurut Putri, masyarakat Melayu Malaysia dulunya menggunakan perkataan ‘ubat kampung’ tetapi kerana semakin popular ia diubah menjadi ‘jamu Malaysia.’
“Malaysia menamakan ubat tradisionalnya ubat kampung. Seperti di China, ada ‘Chinese medicine.’ Di India, namanya ayuveda. Tetapi sejak kebelakangan ini, pengeluar ubat tradisional di Malaysia menamakan produk mereka ‘jamu,’” kata Putri kepada wartawan di Kementerian Perdagangan Indonesia di Jakarta, semalam.
Menurutnya, perkataan jamu itu berasal dari bahasa Jawa yang bererti ramuan kesihatan dan ia tidak ada dalam perkataan Melayu.
Dia menggesa supaya perkataan jamu itu didaftarkan segera sebagai milik Indonesia.
“Jamu berasal dari Indonesia. Asal perkataan jamu itu ialah ‘jampi usodo,’ bahasa Jawa yang bererti ramuan kesihatan. Kita perlu daftarkan perkataan itu segera,” kata Putri.
Sehubungan itu, dia mendesak Indonesia mendaftarkan perkataan berkenaan sebagai warisan budaya nasional asli Indonesia di UNESCO.
Putri berkata, dia sudah bertemu dengan Menteri Kajian Teknologi dan Pelajaran Tinggi M Nasir untuk tindakan lanjut segera.
“Kami menemui Nasir untuk mengemukakan perkara ini. Jangan sampai produk kita didakwa milik negara lain,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Disember 2014 @ 5:04 AM


Presiden Mustika Ratu Putri Kuswisnu Wardani (duduk, kiri) bersama beberapa menteri, termasuk Menteri Penyelaras Pembangunan Manusia dan Kebudayaan Puan Maharani (tengah, duduk) ketika melancarkan kempen minum jamu di Kementerian Perdagangan, Jakarta, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/17588#sthash.wJnfn9mB.dpuf

Cinta dihambat dengan penyapu

Add caption
LELAKI terbabit bersiap sedia untuk menghantar hadiah kepada gadis yang diminatinya dengan mengguna dron.
Langfang: Seorang lelaki kaya cuba memikat seorang gadis dengan hadiah mewah yang dihantar dengan dron, terus menerusi tingkat kediaman gadis berkenaan.
Bagaimanapun, lelaki berkenaan yang namanya tidak disiarkan, dimalukan apabila gadis itu menyerang dron berkenaan dengan penyapu dan pengelap lantai.
Kejadian berlaku di sebuah bangunan asrama pelajar perempuan di sebuah universiti di bandar Langfang, wilayah Hebei.
Lelaki itu mengikat hadiah pada dron dan mengawal penerbangannya hingga ke tingkap kediaman gadis terbabit sementara orang ramai mengelilingi untuk memberi dorongan atau untuk melihat suasana yang disangka romantik.
Tetapi lelaki itu dimalukan apabila reaksi gadis itu bertentangan dengan apa yang diharapkannya.
Dia dan rakan sebiliknya menanti dengan penyapu, pengelap lantai dan beberapa senjata lain untuk memukul dron berkenaan, menyebabkan ia hampir terhempas.
Lelaki itu tidak ada pilihan lain selepas dimalukan, kecuali pulang bersama-sama dronnya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Disember 2014 @ 5:06 AM


- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/17601#sthash.2PDWIfsy.dpuf

Pertandingan Ratu Cantik Dunia mansuh sesi berpakaian bikini

gambar hiasan sebahagian daripada peserta yang mengambil bahagian
Gambar hiasan sebahagian daripada peserta yang mengambil bahagian dalam pertandingan Ratu Cantik Dunia. Penganjur menetapkan untuk memansuhkan sesi berpakaian renang bagi acara itu pada 2015.
NEW YORK 19 Dis. – Pertandingan Ratu Cantik Dunia akan memansuhkan sesi berpakaian baju renang atau bikini pada pertandingan berprestij itu pada musim 2015.
Akhbar Daily Mail melaporkan, penganjur pertandingan itu, Julia Morley mengumumkan bahawa tidak akan ada lagi sesi berpakaian baju renang pada pertandingan itu mulai tahun depan.
Dalam satu temu bual bersama majalah Elle, Morley berkata; “Memang benar. Tidak perlu untuk melihat wanita berjalan menaiki dan turun pentas dengan berpakaian bikini. Ia tidak memberi apa-apa kesan. Malah ia juga tidak memberi apa-apa manafaat kepada kita.”
“Saya tidak peduli jika seseorang itu mempunyai punggung yang lebih besar daripada orang lain. Kita memang tidak melihat kepada punggung. Kita hanya mendengar apa yang diperkatakan oleh peserta sahaja,” ujarnya Morley.
Dengan langkah itu, Morley berharap dapat membezakan pertandingan anjurannya dengan pertandingan Ratu Universe yang dianjurkan jutawan Donald Trump yang memberi penekanan kepada sesi berpakaian renang.
“Kita tidak mahu peserta merasakan diri mereka seperti mayat hidup yang bergerak,” ujarnya.
Pertandingan Ratu Cantik Dunia, yang dimulakan pada 1951 oleh arwah suaminya Eric, bermula dengan pertandingan yang mengutamakan pakaian renang secara eksklusif yang dikenali sebagai Festival Pertandingan Bikini.
Namun kini, Morley merasakan sesi berpakaian renang sudah ketinggalan zaman dan tidak relevan lagi.
Ekoran itu, pihak pengurusan memutuskan untuk tidak lagi menyiarkan sesi berpakaian renang pada petandingan Ratu Cantik Dunia sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan sesi penilaian dilakukan secara sulit di hadapan satu panel kecil.
Tetapi mulai 2015, pihak penganjur merancang untuk menghapuskan terus sesi berpakaian renang.
Morley yang mencecah usia 70-an berharap untuk mengadakan satu pertandingan `lain daripada yang lain’ dengan menitikberatkan kepintaran dan personaliti serta kecantikan fizikal peserta.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/pertandingan-ratu-cantik-dunia-mansuh-sesi-berpakaian-bikini-1.38581#sthash.sgdHKZCD.dpuf

Penduduk dikutuk jika abaikan Muzium Tsunami

Muzium Tsunami yang terdapat di pusat Kota Banda Aceh.
Muzium Tsunami yang terdapat di pusat Kota Banda Aceh.
JAKARTA - Kurator kesenian dan pemerhati muzium Indonesia keturunan Aceh, Merwan Yusuf menegaskan penduduk di wilayah autonomi itu akan ‘dikutuk’ seumur hidup sekiranya mensia-siakan Muzium Tsunami yang dibina di Banda Aceh.
“Muzium Tsunami merupakan satu-satunya muzium paling kontemporari di Indonesia yang dibangunkan semasa zaman moden, sekali gus merupakan monumen peristiwa tsunami atau dikenali sebagai smong.
“Kita rakyat Aceh akan ‘dikutuk’ sampai mati, sekiranya membiarkan muzium itu terbiar begitu sahaja,’’ kata Merwan dalam pertemuan dengan Wali Nanggroe, Malik Mahmud Al Haytar, di Jakarta, Isnin lalu, lapor Tribunnews.com.
Merwan berkata, kebanyakan muzium di Indonesia menggunakan bangunan bekas peninggalan Belanda.
“Inilah satu daripada perkara yang membezakan muzium-muzium lain dengan Muzium Tsunami yang dibina khas,’’ kata Merwan.
Muzium Tsunami dirancang oleh arkitek terkenal Indonesia, Ridwan Kamil yang kini merupakan Datuk Bandar Bandung.
“Ridwan bertanyakan keadaan muzium itu kepada saya dan kita prihatin kerana muzium itu terbiar begitu sahaja,’’ katanya.
Merwan meminta Wali Nanggroe untuk mengembalikan fungsi muzium tersebut dengan sempurna.
“Muzium itu secara langsung boleh menguatkan tamadun Aceh,’’ kata Merwan yang pernah menjadi kurator di Galeri Nasional dan Dewan Kesenian Jakarta.
Dalam pertemuan itu juga, seorang seniman dari Siemeulue, Yoppi Smong mencadangkan supaya nama muzium itu ditukar kepada Muzium Smong kerana dalam bahasa Simeulue, smong membawa maksud tsunami yang berasal daripada perkataan Jepun.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/penduduk-dikutuk-jika-abaikan-muzium-tsunami-1.38517#sthash.gAsnKUmq.dpuf

700 cebisan mayat mangsa nahas MH17 sedang dikenal pasti


20 Disember 2014 1:42 AM
 

Ben Pocock merupakan salah seorang penumpang yang terkorban dalam nahas pesawat MH17 pada 17 Julai lalu. – AGENSI

SYDNEY 19 Dis – Keluarga kepada salah seorang mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines MH17 mendedahkan bahawa sebanyak 700 cebisan mayat mangsa nahas pesawat itu sedang dikenal pasti identiti mereka oleh pihak penyiasat di Belanda.
Akhbar Daily Mail melaporkan, keluarga kepada seorang pelajar, Ben Pocock, 20, dari Keynsham, Bristol yang turut terbunuh dalam nahas itu berkata, anak mereka sedang dalam perjalanan ke Australia ketika nahas berlaku.
Pocock merupakan pelajar tahun dua kursus ijazah sarjana Perniagaan Antarabangsa di Universiti Loughborough.
Bapanya, Jeremy Pocock berkata, keluarganya berasa ber­syukur kerana pihaknya menerima hampir kesemua anggota badan anaknya.
“Kami merupakan salah satu daripada keluarga mangsa yang perlu melalui proses untuk mengenal pasti mayat mangsa dengan lebih lanjut.
“Hanya beberapa hari lalu kami dimaklumkan terdapat 700 serpihan tisu dan tulang manusia masih belum dikenal pasti dan ia adalah satu proses yang akan berlanjutan sehingga April atau Mei ini,” katanya kepada BBC TV malam semalam.
Pihak berkuasa mengumumkan pada awal Disember lalu sebahagian cebisan anggota badan 38 rakyat Australia yang maut dalam nahas MH17, setakat ini telah dikenal pasti secara fomal.
Sementara itu di China, seramai 30 ahli keluarga mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 mengadakan bantahan di Kementerian Luar China, hari ini sambil menuduh kerajaan gagal menyalurkan maklumat tentang proses pencarian pesawat berkenaan.
Bantahan itu diadakan di luar pintu pagar kementerian berkenaan yang dikawal ketat oleh anggota polis.
Mereka menggesa diberi peluang berunding dengan pegawai kerajaan bagi mendapatkan sedikit maklumat tentang usaha mencari yang sudah dijalankan untuk mengesan pesawat MH370. – AGENSI
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/700-cebisan-mayat-mangsa-nahas-mh17-sedang-dikenal-pasti-1.38594#sthash.XipMfUwW.dpuf