Tuesday, September 16, 2014

Isu MB Selangor bermula kecil

Dr Mohd Hatta Mohd Ramli
Dr Mohd Hatta Mohd Ramli
KUALA LUMPUR – Kemelut pertukaran Menteri Besar Selangor sebenarnya hanya perkara kecil dan tidak sepatutnya diperbesarkan.

Ketua ​Pengarah Pilihanraya Pas Pusat, Dr Hatta Ramli berkata, konflik melibatkan Pas dan PR tidak akan timbul jika Pas turut bersetuju dengan pencalonan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sejak awal.

“Isunya kecil sahaja pada mulanya, iaitu menukar menteri besar. Bukannya perkara ini tidak pernah berlaku di negara kita.

“Sepatutnya isu ini sudah lama selesai kalau kita (Pas) bersetuju untuk menukarkan penyandang jawatan tersebut dengan calon yang dicadangkan,” katanya dalam sesi soal jawab “Kemelut MB Selangor: Mampukah PR Bertahan?" yang dianjur oleh  Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma), semalam.

Konflik bermula apabila PKR mendesak Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar melepaskan jawatan dan digantikan dengan Wan Azizah.

Abdul Khalid akhirnya dipecat dari PKR kerana keengganannya untuk berundur dari jawatan menteri besar, yang mana ia memberi tekanan kepada seluruh komponen PR.

Dalam pada itu, Pas pula secara terang-terangan menolak Wan Azizah dari dinamakan calon bagi jawatan Menteri Besar Selangor.

Menurut Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Wan Azizah bukan seorang calon yang layak untuk mentadbir negeri Selangor kerana beliau lemah dari segi kepimpinannya.

Menurut beliau, hasrat untuk menukar Menteri Besar Selangor bermula dengan rasa tidak setuju dengan kepimpinan Abdul Khalid .

Dakwanya, Abdul Khalid telah membuat pelbagai janji dan memungkiri janji-janjinya sehingga membantutkan kelancaran jentera parti-parti di negeri tersebut.

“Ini merosakkan komponen PR, kita perlu bertindak sama ada lakukan pemantauan terhadapnya atau tukar sahaja menteri besar, “ katanya lagi.

Jelas beliau lagi, konsep dua lawan satu antara Pas, PKR dan DAP menyukarkan lagi proses pertukaran menteri besar.

“Benda mudah jadi susah.. Kalau proses pertukaran itu didukung ketiga parti dalam PR pada awalnya, Abdul Khalid pasti sudah menunjukkan kesediaan untuk ditukar.

“Tapi bila beliau (Abdul Khalid) tengok ruang kecil yang dihasilkan dari pertelagahan antara PR, beliau tetap berdegil dan tidak mahu lepaskan jawatannya,” ujarnya.

Nik Abduh anggap Mohd Lotfi mati syahid

Nik Abduh Nik Abdul Aziz
Nik Abduh Nik Abdul Aziz
TUMPAT - Kematian bekas Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Kedah, Mohd Lotfi Ariffin dianggap sebagai syahid, demikian jelas Ahli Jawatankuasa Kerja Pas, Nik Abduh Nik Aziz.

Menurutnya, ulama dunia, Dr Yusuf al Qardawi telah mengeluarkan fatwa bahawa Syria adalah negara jihad untuk menentang kekejaman Bashar al Assad.

Secara tidak langsung ia menjadikan bahawa kematian Mohd Lotfi yang berjuang di Syria dinamakan sebagai mati syahid.

"Dalam Islam kita tidak boleh nafikan ada dinyatakan mengenai tanah syahid. Namun wujud sedikit kekeliruan apabila Syria difitnah dunia kerana kewujudan kumpulan pelampau termasuk kumpulan ISIS.

"Menurut sumber yang saya terima, Mohd Lotfi menyertai kumpulan yang menentang kekejaman ISIS, maka Mohd Lotfi dianggap syahid," katanya

Bilangan jenazah dibawa pulang mungkin bertambah

mh17

MIRI - Jumlah jenazah mangsa nahas pesawat MH17 yang akan dibawa pulang Khamis ini mungkin bertambah kepada tiga daripada dua, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Beliau berkata ini kerana jenazah anak kapal Shaikh Mohd Noor Mahmood, 44, juga telah selesai melalui semua proses dan bergantung kepada kelulusan pihak berkuasa Belanda untuk dibawa pulang.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai sebelum ini mengumumkan empat lagi jenazah telah dikenal pasti sebagai rakyat Malaysia dan dua daripadanya iaitu jenazah Muhammad Afzal Tambi, 17, dan adiknya Marsha Azmeena, 15, telah mendapat kelulusan untuk dibawa pulang Khamis ini.

Rohani berkata jenazah seorang lagi rakyat Malaysia yang telah dikenal pasti iaitu Liew Yau Chee, 38, masih dalam proses dokumentasi.

Sementara itu beliau berkata Malaysia Airlines (MAS) sudah mula menghubungi waris keluarga mangsa untuk proses pengecaman barang-barang milik mangsa.

"Sebaik barangan milik mangsa ditemui, MAS terus menghubungi keluarga mangsa dan memberi gambar barangan tersebut untuk proses mengenal pasti," katanya kepada pemberita di sini.

Rohani berkata beliau akan bertemu 10 waris mangsa esok untuk membincangkan soal bantuan yang boleh diberikan kepada mereka.

"Ini untuk membantu waris mangsa meneruskan hidup dari segi persekolahan anak-anak mereka, kebajikan, kerja dan sebagainya," katanya. - Bernama

Bekas pensyarah UIA dilantik PM Turki

Ahmet Davutoglu
Ahmet Davutoglu
AHMET Davutoglu bukan nama asing di Malaysia. Pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri Turki pada 28 Ogos 2014 lalu sedikit sebanyak membanggakan Malaysia kerana beliau pernah bergelar pensyarah Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa. Bergelar Perdana Menteri Turki ke-26 beliau yang sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Menteri Luar pada 2009 berupaya memulihkan pengaruh serantau Turki dengan membina semula hubungan dengan Israel selepas serangan MV Mavi Marmara pada 2009.

Jasa

Perdana Menteri yang terkenal dengan sifat sederhana ini juga secara aktif terlibat dalam proses damai ketika perang saudara di Syria dan Libya. Beliau juga menyelesaikan beberapa isu pertikaian Cyprus dan terlibat secara langsung dalam konflik serangan Israel-Gaza baru-baru ini.

Selain itu, beliau merupakan antara pemimpin dunia dengan lantang mengutuk kegiatan Negara Islam (IS) di Iraq.

Sebelum menjadi Menteri Luar, Davutoglu berkhidmat sebagai ketua penasihat kepada Perdana Menteri, Recep Tayyip Erdogan dan menjadi Ahli Parlimen Konya pada 2011.

Pelantikan

Pada Pilihan Raya Presiden Turki Ogos lalu, selepas Parti Pembangunan Keadilan (AKP) pemimpin Erdogan meraih kemenangan, Davutoglu diumumkan oleh Jawatankuasa Eksekutif Pusat AKP sebagai ketua parti yang baharu sekali gus bergelar Perdana Menteri. Pelantikan beliau sebulat suara dipersetujui Kongres. Keputusan itu merupakan satu sejarah luar biasa yang pernah berlaku dalam parti tersebut.

Pada 29 Ogos 2014 beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri di hadapan Presiden Erdogan. Bagaimanapun, kumpulan berhaluan kiri yakin pelantikan Davutoglo hanya sekadar boneka kerana Erdogan akan menggunakan kuasa vetonya untuk memimpin negara itu.

Bukan picisan

Beliau bukanlah sekadar pemimpin yang mengikut telunjuk. Sejak tahun lalu, beliau dengan lantang mengkritik penularan rasuah serta terlibat protes anti-kerajaan. Kritikan itu akhirnya memakan diri apabila nama beliau disebut antara pemimpin terlibat dalam skandal rasuah.

Tuduhan dilemparkan oleh penyokong Fethullah Gulen itu tidak mematahkan semangatnya hingga terbukti ia hanyalah mainan kotor yang direka oleh gerakan itu.

Sejurus terbukti bebas dari tuduhan terbabit, beliau sekali lagi dengan lantang bersumpah akan membersihkan kegiatan rasuah sekiranya dilantik menjadi perdana menteri.

Terkenal sebagai penyokong dasar luar Neo-Ottoman atau Pan-Islam, Davutoglu membuat kenaikan bidaan Turki ke Kesatuan Eropah (EU) bagi mencapai sasaran strategik untuk kemajuan negaranya.

Ketika berucap di persidangan EU, beliau berjanji melakukan reformasi Perlembagaan, menangani rasuah dan meningkatkan rekod hak pekerja di Turki.

Kini, usaha itu sedang dilaksanakan dan mendapat sokongan daripada pelbagai pihak termasuk tentera.

Pendidikan

Beliau menamatkan pendidikan menengah di Sekolah Tinggi Istanbul. Pada 1983, beliau lulus dari Universiti Bosphorus dengan dua pengkhususan utama iaitu Sains Politik dan Ekonomi di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Sains.

Selepas itu, beliau menamatkan pengajian peringkat Sarjana Muda di Jabatan Pentadbiran Awam dan memperoleh Kelulusan Doktor Falsafah dari Jabatan Sains Politik dan Hubungan Antarabangsa di Universiti Bosporus.

Pada 1990 beliau menjadi Penolong Profesor di Jabatan Sains Politik, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia sehingga 1993 dan pada tahun sama beliau mendapat gelaran Profesor Madya.

Dua tahun selepas itu, beliau bekerja di Marmara University hingga 1999 sebagai pensyarah di Institut Kajian Timur Tengah, Institut Insurans dan Perbankan dan mengikuti Program Doktor Falsafah Pentadbiran Tempatan dan Jabatan Sains Politik.

Beliau juga pernah bergelar pensyarah di Akademi Tentera dan Perang antara 1998 dan 2002. Berbekal perluasan dalam bidang akademik, beliau meneruskan perkhidmatan sebagai pensyarah di Universiti Istanbul pada 1995-2004.

Ketika itu, beliau dilantik sebagai Ketua Jabatan Hubungan Antarabangsa, Ahli Senat Universiti dan Ahli Lembaga Pengurusan kampus serta ditawarkan sebagai pensyarah pelawat di Universiti Marmara.

Penghasilan buku  dan jurnal

Davutoglu menerbitkan beberapa buku dan artikel mengenai dasar luar di Turki dan Barat.

Buku dan artikel beliau diterjemahkan ke dalam beberapa bahasa termasuk Jepun, Portugis, Rusia, Arab, Parsi dan Albania.

Antara buku paling popular adalah Alternative Paradigms, Civilizational Transformation and the Muslim World.

Kehidupan peribadi

Beliau berkahwin dengan Sare Davutoglu pada 1984. Isterinya  merupakan seorang pakar sakit puan yang bekerja di İstanbul dan merupakan aktivis kempen anti-pengguguran.

Sepanjang perkahwinan itu mereka dikurniakan empat cahaya mata. Mereka sekeluarga juga dikhabarkan fasih berbahasa Inggeris, Jerman dan Arab.

Tubuh pusat tangani militan

Indonesia ambil langkah drastik membersihkan kegiatan militan dalam usaha perangi keganasan di negara itu. - Foto AFP
Indonesia ambil langkah drastik membersihkan kegiatan militan dalam usaha perangi keganasan di negara itu. - Foto AFP
JAKARTA - INDONESIA. Indonesia menubuhkan pusat pemulihan untuk membendung kegiatan militan menjelang akhir tahun ini.

Difahamkan, pusat itu adalah berasingan daripada sistem penjara di mana pihak berkuasa berusaha menghentikan kegiatan pengganas daripada berulang selepas bebas dari penjara.

Pihak berkuasa melaporkan, terdapat hampir 300 banduan di dakwa atas kesalahan keganasan.

"Ramai tahanan yang bebas masih terpengaruh dengan ideologi militan. Ini bermakna, program dibuat kerajaan tidak berkesan. Atas dasar itu, Agensi Anti Keganasan Nasional merancang membina pusat ini," katanya.

Menurutnya, pusat ini akan dibina di Sentul, pinggir Jakarta dan ia juga bertindak sebagai pusat latihan terbesar di Asia Tenggara untuk memerangi keganasan.

Dalam perkembangan lain, bakal Presiden Joko Widodo (Jokowi) dan wakil presidennya, Jusuf Kalla membentuk 34 kementerian iaitu jumlah sama ketika pemerintahan Susilo Bambang Yudhoyono.

Kementerian yang mewakili Kabinet itu diisi oleh 18 individu dari golongan profesional yang tidak mewakili mana-mana parti manakala 16 lagi terdiri daripada pemimpin politik, laporan dipetik dari Agensi.

Pejuang bantu mangsa banjir


Ketua Majlis Jihad Bersatu (UJC), Syed Salahuddin, dalam satu wawancara menuduh kerajaan India tidak bertindak secukupnya untuk membantu penduduk awam di Kashmir dalam menghadapi bencana itu.

“Kerajaan India hanya berminat untuk menyelamatkan pelancong dan askar mereka. Laporan mengenai penghantaran bantuan kepada penduduk Kashmir oleh media India hanya satu pembohongan,” katanya.
Dia juga menyelar kerajaan Pakistan kerana tidak mempedulikan mangsa banjir di Kashmir.

“Kami menggantung semua operasi kami menentang tentera India di Kashmir kerana mahu membantu mangsa banjir. Semua pejuang kami terbabit memberi bantuan,” katanya.

Antara kumpulan yang bernaung di bawah UJC ialah Laskar-e-Taiba yang mempunyai hubungan dengan al-Qaeda dan Taliban.
Foto
WANITA Kashmir menutup muka mereka bagi mengelak bau busuk dari bangkai haiwan ketika mereka menaiki bot di Srinagar untuk ke tempat lebih selamat.
Banjir dan tanah runtuh akibat hujan lebat yang bermula awal September lalu meragut hampir 500 nyawa di Pakistan dan India setakat ini. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/16

Puluhan hilang di pesisiran Libya


Tripoli: Puluhan pendatang warga Afrika hilang dan dikhuatiri mati selepas bot dinaiki mereka karam di luar pantai Libya.

Jurucakap tentera laut Libya Kolonel Ayub Kassem berkata, hanya 36 daripada pendatang terbabit termasuk tiga wanita berjaya diselamatkan selepas bot yang membawa kira-kira 200 pendatang itu karam di timur Tripoli, kelmarin.


“Kami melihat banyak mayat terapung tetapi tidak dapat menaikkan mereka ke darat disebabkan kekurangan peralatan selain hari semakin gelap.

“Keutamaan kami ketika itu adalah menyelamatkan sebanyak mungkin mangsa,” katanya.


Libya yang dibelenggu pergolakan dan masalah politik semakin menjadi batu loncatan untuk pendatang dari Afrika ke Eropah, selain sasaran sindiket pemerdagangan manusia untuk melintasi Laut Mediterranean, terutama ke Itali.


Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, puluhan orang hilang dan dikhuatiri maut selepas bot usang yang mereka naiki karam.

Kejadian paling teruk sejak kebelakangan ini berlaku hujung bulan lalu apabila 170 pendatang hilang di pesisiran pantai Libya.

Tahun ini turut melihat ledakan pendatang yang meninggalkan benua Afrika untuk ke Eropah dan Asia Barat.

UNHCR melaporkan lebih 100,000 sampai ke Itali sejak awal tahun ini dan hampir 2,000 maut dalam usaha memulakan kehidupan baru. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/16

120 bekas penagih tunai haji


Jeddah: Berikutan arahan dikeluarkan Menteri Dalam negeri Putera Muhammad Naif, seramai 120 pemuda Arab Saudi yang berjaya mengatasi masalah katgihan dadah dibenarkan menunaikan ibadah haji tahun ini.

Perkara itu didedahkan Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Memerangi Dadah Abdul Ilah Bin Mohammed Al-Sharif yang berkata arahan menteri terbabit akan dilaksanakan sejajar dengan kementerian terbabit selain rangkaian pemulihan dadah al-Amal.


Menurutnya, jemaah dipilih dalam kalangan mereka di beberapa daerah di negara itu dan dibawa menunaikan haji.
Ia sebahagian usaha menguatkan iman seterusnya menghalang mereka kembali menagih.
“Kami berusaha keras mengelak pemuda dan pemudi Arab Saudi menjadi mangsa bahan narkotik dan menarik mereka keluar dari kegelapan.
“Semua usaha ini membolehkan kami merawat hampir 120 orang di seluruh negara yang akan menunaikan haji tahun ini sebagai membantu mereka memulakan hidup baru,” kata Abdullah. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/16

Keganasan meletus semula di Ukraine


Kiev: Enam orang terbunuh manakala 15 yang lain cedera selepas kubu kuat pemberontak di Donetsk dibom dalam keganasan terburuk yang dilaporkan sejak gencatan senjata diadakan antara puak pemisah dengan tentera Ukraine 5 September lalu.

Pertempuran yang berlaku di lapangan terbang yang dikuasai pemberontak menyebabkan ramai penduduk di kawasan utara terperangkap dalam kejadian berbalas tembakan.


Kerajaan Ukraine berkata, kumpulan pemberontak itu bertanggungjawab terhadap kematian orang awam di situ kerana kawasan berkenaan dikuasai mereka.

“Tentera Ukraine tidak pernah mengebom kawasan kediaman dan penempatan orang awam sebelum ini,” kata jurucakap Majlis Keselamatan dan Pertahanan Ukraine, Andriy Lysenko.


Lysenko juga berkata, seramai 73 lagi tentera negara itu dibebaskan malam kelmarin dalam satu pertukaran tahanan dengan pemberontak.


Perkara itu disahkan ketua pemberontak, Andrei Purgin.

Ia adalah pertukaran tahanan terbesar yang dilaporkan sepanjang pertempuran berlaku sejak pertengahan April lalu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/16

Lorong khas untuk pengguna telefon bimbit tegar


Laluan sepanjang 30 meter itu mempunyai lorong dicat putih untuk mereka yang sentiasa terpaku pada skrin telefon masing-masing.

Ia mempunyai gambar telefon yang dilukis di atas jalan, perkataan ‘telefon bimbit’ dan garis putih yang memisahkan lorong itu dengan lorong lain. Lorong itu diwujudkan sebagai reaksi kepada peningkatan jumlah mereka yang ketagih dengan telefon bimbit yang kini menjadi isu besar di China.
Idea untuk mewujudkan lorong khas itu bagaimanapun dilihat ditiru dari satu projek dalam program televisyen di saluran National Geographic yang disiarkan awal tahun ini.

Program itu mendapati hanya segelintir orang mengubah laluan mereka walaupun selepas melihat tanda lukisan di atasnya.

Bagaimanapun, pihak berkuasa di China berkata penanda itu akan membantu untuk mengingatkan pejalan kaki bahawa adalah lebih baik untuk tidak mengguna telefon ketika berjalan. - Agensi
Foto
PENDUDUK di wilayah ini melihat lorong khas untuk pengguna telefon tegar.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/16

Scotland bakal hilang taraf EU, NATO



PEREKA fesyen ternama, Vivienne Westwood yang menyokong kemerdekaan bergambar bersama bendera Scotland pada satu acara fesyen di London pada 14 September lalu. - REUTERS


BRUSSELS - Penduduk Scotland bukan sahaja terpisah daripada United Kingdom (UK) tetapi turut hilang keanggotaan Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) jika mereka mengundi untuk merdeka pada referendum Khamis ini.
Beberapa pegawai EU berkata, proses untuk Scotland kembali menganggotai EU akan mengambil masa yang lama dan sukar.
"Scotland juga akan kehilangan beberapa keistimewaan yang dinikmati UK termasuk pengunaan mata wang pound sterling," kata mereka.
Di pihak NATO pula, ketegasan barisan pemimpin tempatan yang mahu Scotland bebas daripada senjata nuklear menimbulkan masalah operasi dan strategik kepada pakatan tersebut.
"Satu pelabuhan induk baharu perlu dicari untuk empat kapal selam Tentera Laut Diraja Britain yang kini berpangkalan di Clyde, Scotland," kata mereka.
"Perubahan ini berisiko menjejaskan pakatan pertahanan dan pencegahan sekutu NATO," kata Kementerian Pertahanan UK dalam satu kenyataan.
Selain dua senario tersebut, kemunculan sebuah negara baharu sebesar Republik Czech dan mempunyai 5 juta penduduk di Eropah Barat itu akan turut memberi kesan daripada sudut sosial dan politik yang sukar untuk dijangka.
Beberapa pakar berkata, kehilangan Scotland akan menyebabkan kumpulan politik di England, Wales dan Ireland Utara yang mahu UK keluar daripada EU bertambah kuat di Parlimen.
Sementara itu, penduduk di beberapa wilayah lain di Eropah termasuk Catalonia di Sepanyol, Flemish di Belgium dikhuatiri akan menuruti langkah Scotland untuk merdeka. - AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0916&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3DQlEqswy 
Hakcipta terpelihara 

Generasi muda Islam bertambah di Britain


LONDON 15 Sept. - Satu laporan statistik terkini mengejutkan, menunjukkan secara purata kanak-kanak Islam lebih ramai dilahirkan dan membesar di bandar raya Birmingham berbanding Kristian, serta beberapa bandar besar lain di Britain.
Akhbar Daily Mail melaporkan bahawa, pendedahan laporan statistik terbaharu yang dikeluarkan daripada bancian penduduk 2011, memberi gambaran masa depan yang bakal berlaku ekoran perubahan demografi di seluruh Britain yang semakin pantas berkembang itu.
Profesor Ted Cantle dari Yayasan ICoCo yang bertanggungjawab menggalakkan perpaduan masyarakat Britain berkata, keadaan tersebut berlaku disebabkan aliran masuk penduduk Islam yang berterusan dari beberapa negara Asia ke Britain.
"Tahap kesuburan yang lebih tinggi dalam kalangan penduduk Islam dari Asia turut mempengaruhi pertambahan bilangan kanak-kanak dari agama itu.
"Selain itu, terdapat kemerosotan jangka panjang yang mendadak terhadap sokongan ke atas agama Kristian berbanding Islam," katanya.
Di Birmingham, seramai 97,099 dari 278,623 kanak-kanak didaftarkan sebagai Islam berbanding 93,828 kanak-kanak Kristian, sementara selebihnya didaftarkan sebagai Hindu, Yahudi dan lain-lain.
Selain itu, trend yang sama turut didapati berlaku di beberapa bandar utama lain di Britain seperti di Bradford dan Leicester, bandar Luton di Bedfordshire dan Slough di Berkshire.
Beberapa pakar berkata, sesuatu perlu dilakukan bagi memastikan pergolakan tidak tercetus dalam kalangan penduduk berlainan agama di Britain.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140916/lu_04/Generasi-muda-Islam-bertambah-di-Britain#ixzz3DQY2S8bI
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Etnik Uighur guna pasport Turki palsu masuk Indonesia


JAKARTA 16 Sept. - Polis Indonesia hari ini memaklumkan, empat warga asing yang ditangkap hujung minggu lalu selepas disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan militan Negara Islam (IS) berasal dari kumpulan etnik minoriti Uighur di China.
Berdasarkan siasatan, mereka didapati memasuki Indonesia menggunakan pasport Turki palsu.
Jurucakap polis, Ronny Sompie berkata, mereka membayar sejumlah wang kepada seorang broker di Thailand untuk mendapatkan pasport palsu itu untuk memasuki Indonesia dan Malaysia.
Dalam pada itu, ketua polis, Sutarman berkata, keempat-empat individu terbabit memaklumkan mereka ingin bertemu dengan ketua kumpulan Mujahideen Indonesia Timur, Santoso yang kini bersembunyi dalam hutan di Poso.
“Kami masih menyiasat mengapa mereka ingin bertemu Santoso, sama ada untuk latihan atau mencetuskan keganasan," katanya. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140916/lu_05/Etnik-Uighur-guna-pasport-Turki-palsu-masuk-Indonesia#ixzz3DQXGXRFl
© Utusan Melayu (M) Bhd