Bangkok: Dua tentera terbunuh dalam serangan bom di daerah Krong Penang, Yala semalam.
Kumpulan pemisah dipercayai meletupkan bom di tepi jalan kira-kira 200 meter dari sekolah Ban Sa-ai di daerah itu.
Jurucakap tentera, Kolonel Pramote Phom-in berkata, letupan itu mensasarkan enam anggota tentera yang meronda untuk mengawal keselamatan guru dan pelajar sekolah berkenaan.
Tiga orang awam dan dua tentera juga cedera. Pramote berkata, anggota pemisah mensasarkan golongan yang bekerja di sektor kerajaan terutama guru dan anggota keselamatan.
“Tahap keganasan masih tetap sama. Bilangan serangan sudah berkurang tetapi kini mereka menggunakan bahan letupan lebih kuat,” katanya.
Sementara itu dalam satu lagi kejadian, seorang lelaki ditembak mati di jalan raya dekat daerah Saiburi di Pattani semalam, kata ketua polis Saiburi, Kolonel Jirasate Dao-ngerntrakul.
Dia dikenali sebagai Mawee Masae, 29, dari Manang Dalum di Saiburi. Mawee pernah ditahan atas tuduhan melanggar undang-undang keselamatan pada 2003 tetapi kemudian dibebaskan. - Agensi