Saturday, October 30, 2010

Rasuah politik lagi, nak pilihanraya macam-macam dapat


 RM5 juta bina masjid baru di Batu Sapi: Muhyiddin

SANDAKAN: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin
Yassin mengumumkan peruntukan kerajaan berjumlah RM5 juta untuk membina sebuah masjid baru di kawasan Batu Sapi.
Beliau berkata berkata masjid berkenaan adalah untuk memberi keselesaan kepada ribuan penduduk Islam di kawasan berkenaan untuk menunaikan ibadat. "Oleh kerana di sini terdapat ribuan umat Islam maka kita luluskanlah.
Inilah berkat kita ada kuasa dan kemampuan," katanya ketika berucap merasmikan
Majlis Pecah Tanah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Lupak Meluas di sini.
Projek PPR berkenaan melibatkan pembinaan 500 unit rumah dengan kos setiap blok dianggarkan antara RM80,000 dan RM100,000 dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun akan datang.
Rumah yang mempunyai kemudahan tiga bilik tidur, dua bilik air, dapur, ruang tamu serta dilengkapi dengan bekalan elektrik dan air adalah untuk penduduk setinggan di kawasan itu dengan penghuni dikenakan sewa sebanyak RM124 sebulan.
Muhyiddin berkata, kesediaan kerajaan memberi peruntukan untuk membina
masjid, rumah, sekolah dan memberi bantuan kepada rumah-rumah ibadat lain
seperti gereja, tokong dan kuil adalah kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) ada kuasa dan kemampuan.
Sehubungan itu beliau berharap rakyat perlu terus memberi kepercayaan kepada BN untuk memerintah negara ini kerana hanya kerajaan BN mampu menunaikan janji meskipun kadang-kadang mengambil masa kerana perlu memenuhi prosedur tertentu.
Tidak seperti parti pembangkang katanya, seperti Parti Keadilan Rakyat
(PKR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) yang cuma gah menjanjikan bulan dan bintang
meskipun menyedari mereka tidak mampu menunaikannya kerana tidak ada kuasa.
Muhyiddin meminta penduduk Sabah dan Batu Sapi khasnya supaya tidak
terpedaya dengan pelbagai isu yang cuba dibawa pembangkang untuk meraih simpati
kerana ia cuma akan merugikan rakyat Sabah sendiri.
"Ada pihak yang datang sini menjanjikan bulan dan matahari. Sebenarnya
mereka tidak ada kuasa dan tidak akan mampu melaksanakannya. Kalau 10 (Datuk)
Yong Teck Lee pun, Yong Teck Lee tidak mungkin dapat bina sebuah untuk rakyat
di sini.
Muhyiddin berkata, slogan "Sabah untuk Rakyat Sabah" yang digembar-gemburkan SAPP adalah perkara lama tanpa menyedari bahawa ramai rakyat Sabah sekarang sudah maju malah ramai di kalangan mereka memegang jawatan tinggi di
Semenanjung.
"Begitu ramai rakyat Sabah yang maju. Bukan sahaja di Sabah malah di Kuala Lumpur. Mereka menjawat jawatan tinggi. Menteri ada, ketua pengarah ada Peguam Negara ada dan banyak lagi. (Mereka) Bukan untuk Sabah sahaja tetapi untuk negara kita Malaysia," katanya.
Sehubungan itu beliau berkata isu yang penting sekarang ialah untuk
memantapkan Sabah dengan meletakkannya di tempat yang wajar sesuai dengan
kedudukannya sebagai negeri kedua terbesar di negara ini. - BERNAMA

Tarikh lihat anak bulan Aidiladha petang 6 November

KUALA LUMPUR: Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia menetapkan tarikh melihat anak bulan Zulhijjah pada 6 Nov ini, bersamaan 29 Zulkaedah.
Perkara itu dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin setelah diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja.

Majlis Raja-Raja juga turut mempersetujui cara menetapkan tarikh Hari Raya Qurban adalah berdasarkan rukyah dan hisab.

Sementara itu, 30 lokasi di seluruh negara ditetapkan untuk melihat anak bulan Zulhijjah, iaitu: 1. Pontian Kecil, Johor.

Lelaki batal bunuh diri kerana anak, isteri



SEORANG lelaki (kanan) yang cuba membunuh diri ditenangkan oleh orang ramai di Sungai Batu Pahat semalam.


BATU PAHAT - Tangisan anak dan pujukan isteri menyebabkan seorang lelaki membatalkan hasrat untuk membunuh diri dengan terjun ke Sungai Batu Pahat dari sebuah jambatan di Kampung Tambak di sini pukul 12 tengah hari semalam.
Sebelum itu, lelaki berusia 56 tahun terbabit bersama anak lelakinya yang berusia dua tahun dilihat termenung di tepi jambatan itu pada pukul 9 pagi sebelum kembali semula seorang diri tiga jam kemudian untuk terjun, dipercayai tertekan dengan masalah keluarga.
Seorang penduduk kampung yang enggan dikenali berkata, dia melihat lelaki itu bersama anaknya termenung di atas jambatan tersebut pukul 9 pagi.
Menurutnya, dia pelik melihat lelaki itu terus menghampirinya.
"Semasa ditanya, dia jawab hanya mahu tenangkan fikiran.
"Tidak lama selepas itu, dia beredar bersama anaknya," katanya semasa ditemui semalam.

Kekasih terlarang rupanya isteri orang




DI rumah inilah arwah Muda cuba meminum air kelapa untuk cuba menghilangkan bisa racun yang memasuki badannya. Gambar kecil, Kuntum.


KUALA TERENGGANU – Seorang remaja perempuan berusia 16 tahun yang dikatakan menjadi penyebab seorang penoreh getah berusia 27 tahun maut selepas dipaksa meminum racun kelmarin rupa-rupanya berstatus isteri orang.
Sehubungan itu, Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Supritendan K. Manoharan berkata, pihaknya telah menahan wanita itu, suami, 24, dan ibunya, 36, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Katanya, suami remaja itu ditahan Selasa lalu manakala ibu dan remaja tersebut ditahan ketika mereka datang untuk menemui lelaki itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Marang, kelmarin.
Dengan perkembangan terbaru itu, jumlah mereka yang ditahan meningkat kepada tujuh orang.
Difahamkan, remaja perempuan itu yang sudah berkahwin tahun lalu menjalinkan hubungan sulit dengan mangsa. Oleh kerana itu, dia dikatakan menjadi penyebab ahli keluarganya naik berang sehingga memaksa mangsa, Muda Mohd., 27, meminum racun pada 19 Oktober lalu.

Baik ada makna tu...rasuah politik....nak pilihanraya janji macam-macam


Muhyiddin lulus peruntukan projek pembinaan Sekolah Menengah Batu Sapi 2
SANDAKAN - Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meluluskan permintaan kerajaan negeri untuk membina sebuah lagi Sekolah Menengah di Batu Sapi.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata projek membina Sekolah Menengah Batu Sapi 2 akan memakan belanja sebanyak RM30 juta hingga RM40 juta dan peruntukkan itu telahpun disenaraikan di dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).

Menurutnya, projek pembinaan sekolah itu sesuai dilakasanakan memandangkan Sandakan sedang dibangunkan sebagai sebuah hab pendidikan negara.

“Di samping itu, sebanyak RM2.5 juta lagi diluluskan bagi membantu sekolah-sekolah di kawasan ini dari segi kekurangan peralatan dan baik pulih sekolah,” katanya pada Majlis Ramah Mesra Penjawat Awam dekat sini hari ini.

Beliau turut meminta guru-guru, terutama di Batu Sapi, supaya membantu usaha kerajaan memajukan bidang pendidikan negara. - BERNAMA

Guan Eng perjelas isu wang judi dan khutbah


GUA MUSANG - Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, yang pertama kali hadir membantu jentera Pas di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, kelmarin memperjelaskan beberapa isu berkaitan beliau dan Kerajaan Pulau Pinang, termasuk isu khutbah Jumaat dan pemberian wang judi. 

Beliau berkata, UMNO telah mengelirukan rakyat dalam isu-isu tersebut yang disifatkannya sebagai mainan politik pihak lawan untuk menjatuhkan beliau dan DAP di Pulau Pinang. 

Menurutnya, judi menjadi perkara utama membawa kehancuran kepada rakyat. Judi bukanlah amalan rakyat berbilang kaum di Malaysia, sekalipun di antara mereka yang bukan Islam. 

“Oleh itu, setelah Kerajaan Pulau Pinang mengharamkan judi, mereka sudah tiada isu lagi untuk mengatakan bahawa tindakan kerajaan adalah untuk menjaga sensitiviti kaum lain. 

“Ini kerana Lim Guan Eng itu orang Cina dan Kerajaan Negeri haramkan judi,” katanya pada ceramah perdana di Kampung Sungai Terah, dekat sini semalam, semalam. 

Dalam isu khutbah Jumaat yang menggantikan nama Yang Dipertuan Agung dengan nama beliau, Guan Eng menjelaskan khatib tersebut hanya mendoakan beliau supaya memeluk Islam. 

“Saya tidak berani ganti Agung. Siapa berani ganti Agung?,” katanya. 

Beliau turut meminta seluruh pengundi di DUN Galas supaya bijak memilih pemimpin agar tidak tertipu.

Bersesak dalam kandang lembu

DAIF...Salma bersama empat daripada lapan anaknya.
DAIF...Salma bersama empat daripada lapan anaknya.

BACHOK: Akibat kesempitan hidup, 12 beranak terpaksa bersesak dalam kandang lembu diubah suai menjadi bangsal mereka di Kampung Pak Mali, Bakong dekat sini, sejak setahun lalu.
Walaupun hidup dalam keadaan sukar dan serba kekurangan, itu hakikat terpaksa dilalui keluarga Salma Mamat, 36, dan Zakaria Abdullah, 42, selepas dihalau pemilik rumah sewa mereka di Pekan Gunong sebelum ini kerana tidak mampu membayar sewa.

Salma berkata, suaminya yang bekerja sebagai buruh hanya mampu menyediakan makan minum ala kadar untuk keluarga.

“Kami tiada pilihan selain tinggal di dalam bekas kandang lembu ini sebagai tempat berteduh dari hujan dan panas. Jika hujan lebat, tanah yang menjadi lantai rumah kami akan becak menyebabkan kami bertambah tidak selesa,” katanya sayu.



Dalam menjalani kehidupan seharian, pasangan itu terpaksa bersesak-sesak dengan lapan anak berusia antara setahun setengah hingga 22 tahun selain dua menantu iaitu isteri kepada anak sulung dan kedua mereka.

Biarpun sejumlah 12 orang tinggal di dalam bangsal yang serba daif itu, keluarga Salma hanya mempunyai satu katil buruk sebagai tempat tidur paling selesa.
Lapan anak Salma dan Zakaria ialah Mohd Badrul Hisham, 22; Mohd Badrul Azizi, 21; Sri Dalila, 18; Mohd Badrul Fauzi, 16; Mohd Badrul Hakimi, 15; Mohd Badrul Aminuddin, 13; Sri Mas Ayu, 6, dan Sri Dahlia Natasya, setahun setengah.


Menurut Salma, hanya dua daripada anaknya iaitu Mohd Badrul Fauzi dan Sri Mas Ayu bersekolah kerana mereka tidak mampu menanggung persekolahan anak yang lain.

Katanya, biarpun anak sulung dan keduanya sudah berkahwin serta bekerja, namun mereka terlalu miskin untuk membantu keluarga.

“Malah, isteri mereka turut tinggal bersama kami, menjadikan keadaan bangsal kami bertambah sesak. Dua anak lelaki saya hanya bekerja sebagai buruh dan mereka juga tidak mampu memiliki rumah sendiri.

“Memang sukar bagi kami meneruskan kehidupan setiap hari dan hanya mampu menikmati nasi berlauk kangkung dan budu. Jika teringin sangat makan lauk ikan, anak saya akan mencarinya di sekitar bendang dan sungai berdekatan,” katanya.

Salma berkata, dia sekeluarga amat mengimpikan sebuah rumah yang lebih sempurna bagi membesarkan anak.

“Rumah adalah keutamaan saya ketika ini, tambahan pula musim tengkujuh akan tiba tidak lama lagi.

“Jika kami masih tinggal di bangsal ini bermakna sepanjang malam kami akan tidur beralaskan tanah yang basah selain menghadapi masalah bumbung bocor,” katanya.

Waris mayat gadis dalam beg dicari





2010/10/30

pix_gal0
KUALA LUMPUR: Mayat seorang gadis yang ditemui dalam beg pakaian dan dibuang di belakang sebuah bengkel kereta di Ukay Perdana di Hulu Klang, dekat sini, semalam disahkan mati akibat pendarahan teruk dalam perut. 

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan, berkata laporan bedah siasat yang diperoleh semalam mendapati gadis berumur awal 20-an itu mati akibat ditendang atau dipukul dengan objek keras di perut.
"Selain pendarahan di perut, ada juga kesan lebam di muka mangsa. Namun, tiada kecederaan luar dikesan pada tubuh mangsa yang mati dalam tempoh 24 jam itu," katanya di sini, semalam.
Abdul Jalil berkata, tiga keluarga datang ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) bagi membuat pengecaman ke atas mayat itu. 

"Setakat ini, tiga keluarga termasuk yang berasal dari Indonesia sudah membuat pengecaman ke atas mangsa berikutan kehilangan ahli keluarga mereka tetapi mengesahkan bukan ahli keluarga mereka," katanya. 

Abdul Jalil berkata, polis tidak menerima sebarang laporan terbaru setakat ini. 

Dalam kejadian itu, mayat gadis terbabit ditemui oleh seorang pekerja bengkel kereta kira-kira pukul 3.30 petang dalam keadaan berlipat dan berpakaian lengkap. 
Polis percaya gadis itu bukan rakyat tempatan berikutan tiada parut suntikan vaksin BCG ditemui pada bahunya. Sehelai kertas yang bertulis nama dan nombor telefon negara asing turut ditemui dalam beg berkenaan. – BERNAMA

Zaid saingi Azmin



Oleh Khairul Anuar Abdul Samad dan Siti Fatimah Mohamed Anwar
krull@bharian.com.my
2010/10/30

Pemilihan PKR di Kota Bharu hadapi masalah 

ALOR SETAR: Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali, menerima tamparan hebat dalam pemilihan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Cabang Pokok Sena apabila hanya menerima dua undi berbanding pencabarnya Datuk Zaid Ibrahim dengan 20 undi.
Malah, Naib Presiden PKR, Mustaffa Kamil Ayub hanya memperoleh satu undi saja. Hanya 23 daripada 314 pengundi Cabang Pokok Sena yang keluar bagi melakukan pengundian itu.
Bagi pemilihan Cabang Alor Setar, Zaid sekali lagi mendahului dengan 59 undi, Mohamed Azmin hanya mendapat 20 undi manakala Mustaffa Kamil (lima). 

Bagaimanapun, di Cabang Langkawi Mohamed Azmin mendahului dengan 116 undi, berbanding Zaid mendapat 74 undi dan Mustaffa Kamil memperoleh tiga undi. 

Sementara itu, di KOTA BHARU, proses pemilihan di lima daripada 14 cabang PKR negeri diadakan semalam, berhadapan masalah sehingga menyebabkan ada ahlinya meninggalkan pusat pemilihan tanpa mengundi. 

Cabang PKR Tumpat menyaksikan 200 daripada 1,600 ahli meninggalkan tempat pemilihan disebabkan kemudahan proses pengundian gagal disediakan dengan sempurna selain berhadapan kesuntukan masa untuk menghadiri majlis agama. 
Ketua Cabang PKR Tumpat, Awang Che Mat, berkata proses pemilihan yang sepatutnya bermula jam 10 pagi terpaksa ditangguh setengah jam diikuti masalah kemudahan peralatan seperti pensil tidak disediakan untuk menanda kertas undi menyebabkan ahli berasa bosan hingga ada yang meninggalkan tempat itu. 

Katanya, antara ahli mengambil keputusan pulang ialah kaum Siam kerana mereka terpaksa menghadiri majlis agama, manakala ahli beragama Islam perlu menunaikan solat Jumaat. 

“Disebabkan lewat proses untuk membuang undi selain kemudahan peralatan tidak lengkap, 200 daripada 1,600 ahli dari cabang Tumpat, meninggalkan pusat pemilihan,” katanya. 

Proses pemilihan turut menghadapi masalah apabila proses pemilihan terpaksa ditunda satu jam disebabkan pengawas pemilihan dari Kuala Lumpur lewat tiba. 

Ketua Cabang PKR Kota Bharu, Abdul Halim Harun, berkata disebabkan pengawas berkenaan berhadapan masalah penerbangan, proses pemilihan dimulakan lewat sejam iaitu jam 11 pagi berbanding masa sebenar jam 10 pagi dan dipanjangkan dari jam 4 petang ke jam 5 petang.

Merapi muntah lahar pula

Usaha bantu mangsa tsunami bermasalah, korban bencana cecah 442
Foto
MERAPI mula luahkan lahar panas, semalam.
Foto
BAYI tiga minggu baru diselamatkan daripada tsunami.



YOGYAKARTA: Gunung berapi Merapi memuntahkan lahar buat kali pertama semalam selain meletus lima kali ketika Indonesia menghadapi kesukaran menghantar bantuan kemanusiaan kepada mangsa tsunami di Sumatera Barat.
Seramai 34 orang maut kerana letusan Merapi sejak Selasa lalu manakala angka kematian tsunami meningkat kepada 408 orang dan 303 lagi masih hilang.

Berpuluh-puluh mangsa terselamat daripada tsunami merana terbaring dalam hospital daif termasuk seorang bayi dua bulan yatim piatu ditemui dalam sebuah parit dipenuhi air.

Mereka yang cedera terbaring di atas tikar atau lantai ketika air hujan bocor di siling dan saluran intravena tergantung dari tali plastik yang diikat pada bumbung.

Bayi itu, paru-parunya dipenuhi cecair dan luka pada mukanya, tidur sambil matanya terkelip-kelip dalam buaian panas.

Pakar gunung berapi tempatan berkata, muntahan terbaru mungkin dapat menstabilkan lagi Merapi.
“Ia memuntahkan asap setinggi 3.5 kilometer di sebelah tenggaranya diikuti hujan debu,” kata pakar itu, Heru Suparwoko.

Beliau berkata, debu panas itu memang mengancam penduduk yang enggan akur kepada arahan supaya berpindah selepas pulang untuk menjaga ternaman dan kediaman masing-masing.

Seramai 50,000 orang lari ke tempat perlindungan sementara tetapi ramai pula yang pulang meskipun ada ancaman terhadap mereka jika Merapi meletus lagi.

“Memang susah meyakinkan orang ramai bahawa ancaman gunung berapi itu serius,” kata Pegawai Pusat Krisis Kementerian Kesihatan, Mudjiharto.

Pihak berkuasa bertanggungjawab dalam bencana percaya bahawa angka kematian akibat ombak besar yang melanda pulau Mentawai di pantai barat Sumatera Isnin lalu boleh melebihi 600 orang dengan kebanyakan mangsa dihanyutkan ke laut.

Hampir 13,000 penduduk tinggal dalam khemah mudah alih di pulau terbabit selepas rumah mereka dihanyutkan ombak besar selepas gempa bumi kuat berukuran 7.7 skala Richter.

Mentawai yang terkenal sebagai destinasii peluncur asing menyaksikan banyak mayat yang tertimbus di pantai atau tersangkut di atas pokok.

Di Pagai Utara, usaha menghantar bantuan ke pulau pedalaman terus bermasalah disebabkan laut bergelora dan kekurangan bot.

Seorang koordinator bantuan mengakui semalam bahawa bantuan kini tergendala. Suryadi yang mengkoordinasikan maklum balas bantuan dari Sumatera Barat, berkata bertan-tan bantuan tiba di bandar utama pulau terjejas teruk itu menggunakan helikopter, selepas laut ganas menghalang bot tiba selama dua hari.

Bagaimanapun, pekerja penyelamat berkata mereka tidak dapat menghantar bantuan ke perkampungan tepi pantai yang jauh di pedalaman dan hanya boleh sampai jika berjalan kaki atau melalui laut kerana jalan raya terlalu usang atau rosak kerana dilalui trak besar.

“Kami memerlukan lebih banyak bot,” kata Suryadi. – AFP/AP

Bas hadapi masalah brek - penumpang



KUALA LUMPUR 29 Okt. - Bas persiaran yang terbabas di Kilometer 38, Lebuh Raya Karak berdekatan Genting Sempah malam ini sehingga meragut tujuh nyawa penumpangnya, dipercayai menghadapi masalah brek.
Salah seorang penumpang bas tersebut, Mohd. Zairul Hafizat Fadzil, 15, berkata, kejadian itu berlaku sewaktu hujan renyai dan sebelum kejadian bas dipandu dalam keadaan stabil dan tidak laju.
''Bagaimanapun ketika menuruni bukit, tiba-tiba pemandu bas itu tidak dapat mengawal brek sehingga kenderaan tersebut melanggar pembahagi jalan dan terbabas.
''Sewaktu kejadian bas dipandu oleh pemandu kedua kerana pemandu pertama telah memandu sejak pukul 11 malam tadi iaitu ketika kami bertolak dari Kampung Baru di Baling,'' katanya kepada pemberita di Unit Kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL) ketika mendapatkan rawatan di sini malam ini.
Menurutnya, rombongan itu melibatkan seramai 44 penumpang termasuk seorang ustaz yang merupakan ketua rombongan selain pemandu bas dan pembantunya.
Tambahnya, mereka tiba di Genting Highlands pada pukul 8 pagi ini dan telah menghabiskan masa bermain-main di taman rekreasi di pusat peranginan itu .
Katanya, kejadian berlaku ketika mereka dalam perjalanan ke Kampung Baru Melayu Subang untuk mengikuti program homestay di sana .
''Kami telah merancang untuk bersiar-siar di sekitar Kuala Lumpur esok sebelum bertolak pulang ke Kedah pada pukul 11 malam esok,'' ujarnya.
Rakan mangsa, Ahmad Amirul Syukri, 13, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Siong berkata, selepas kejadian itu dia terpaksa merangkak keluar melalui tingkap bas yang telah pecah.
''Tetapi kerana keadaan yang tidak terkawal dan tergesa-gesa, saya mengalami kecederaan di kedua-dua belah tangan,'' jelasnya.
Dalam pada itu, Ahli Lembaga Pelawat Hospital Baling, Alias Abu Bakar yang ditemui selepas melawat mangsa berkata, beliau dimaklumkan seramai lima mangsa berada dalam keadaan kritikal dan sedang dirawat di HKL.
Jelasnya, terdapat beberapa mangsa lain yang kini dirawat sebagai pesakit luar.
Katanya, sebahagian mangsa juga telah dihantar ke Hospital Selayang dan Hospital Bentong untuk mendapatkan rawatan.
Menurutnya, selain belia dari Kampung Baru, sebahagian mereka juga berasal dari Kampung Pokok Setol dan Kampung Lalang yang kesemuanya terletak dalam Mukim Siong.

Kalau dah nasib apa nak dikata....


Ansari jatuh laut lagi...

ANSARI Abdullah ditarik oleh seorang penyokongnya setelah terjatuh apabila titi yang dinaikinya runtuh ketika berkempen di Kampung Gas, Sandakan, semalam.


SANDAKAN 29 Okt. - Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ansari Abdullah sekali lagi terjatuh ke dalam laut selepas laluan kayu menghubungkan ke sebuah rumah penduduk yang dilaluinya roboh di Kampung Gas di sini hari ini.
Turut terjatuh dalam insiden di kampung air itu ialah tiga lagi individu yang merupakan penyokong PKR.
Kejadian kira-kira pukul 3 petang itu memaksa Ansari mendapatkan rawatan selepas mengalami kecederaan ringan di dada dan kaki akibat terjatuh dari ketinggian kira-kira tiga meter.
Ini adalah kali kedua Ketua Cabang PKR Tuaran itu terjatuh ke dalam laut sejak memulakan kempen Selasa lalu.
Rabu lalu, Ansari dan dua individu termasuk wartawan penyiaran terjatuh ke dalam laut selepas jeti kayu yang dilalui mereka roboh di Pulau Api-Api.
Penyelaras media pilihan raya PKR, Sim Tze Tzin berkata, semasa kejadian Ansari berjalan di belakang Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Bagaimanapun katanya, Khalid sempat memasuki rumah penduduk berkenaan sebelum jambatan tersebut runtuh.
Katanya, Ansari yang agak trauma selepas kejadian itu menyalahkan kerajaan BN yang didakwa gagal menyediakan kemudahan yang baik kepada penduduk kampung.