Wednesday, March 30, 2011

Pasar raya warga Acheh diarah tutup



SKUDAI – Tiga pasar raya milik warga asing diarah tutup serta-merta selepas pihak penguat kuasa Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) mengeluarkan tujuh kompaun termasuk tiga notis dalam satu Operasi Bersepadu bersama Jabatan Imigresen, semalam.

Serbuan kira-kira jam 9.30 pagi hingga 1.30 petang semalam membabitkan 18 anggota penguat kuasa MPJBT menyerbu tiga pasar raya milik warga Acheh susulan liputan Sinar Harian pada 18 Mac lalu berhubung penyalahgunaan lesen perniagaan yang didalangi rakyat tempatan.

Ketua bahagian Perlesenan MPJBT, Johare Abdul Hamid berkata, hasil daripada liputan terbabit pihaknya menyerbu tiga pasar raya terbabit yang berada di lokasi berbeza iaitu di Taman Nusa Perintis 3, Taman Nusantara dan Taman Pulai Utama.

“Hasil serbuan berkenaan, kita dapati lesen perniagaan adalah milik rakyat tempatan namun telah disalahgunakan melalui sistem ‘ali baba’ kepada peniaga asing bagi membolehkan mereka menjalankan perniagaan di negara ini,” katanya.

Beliau berkata, tujuh kompaun bernilai RM1,750 dikeluarkan MPJBT selepas pemilik pasar raya terbabit gagal mematuhi notis pada 22 dan 23 Mac lalu di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976, di bawah kesalahan gagal mematuhi arahan Notis Kacau Ganggu Seksyen 82 (5).

“Selain itu, pemilik pasar raya terbabit juga dikenakan kompaun berdasarkan Undang-undang Kecil Mencegah Kekotoran MPJBT,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Johare berkata, disebabkan kesalahan terbabit, pasar raya berkenaan diarah tutup serta-merta dan tidak dibenarkan menjalankan operasi perniagaan bermula semalam.

Dalam serbuan sama, pihak Imigresen menahan 18 warga Acheh yang bekerja di pasar raya berkenaan berumur antara 26 hingga 36 tahun kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial dengan memasuki negara ini untuk bekerja.

Angkara cek RM8,004


MELAKA: Angkara cek yang tersalah tulis, kehidupan seorang kerani di sebuah syarikat penanaman kelapa sawit di Alor Gajah, dekat sini, menjadi tunggang langgang.
Norzailin Haron, 35, berkata, masalah berlaku apabila cek yang diterima untuk bayaran gaji bulanannya berjumlah RM804 tersalah tulis oleh pihak pengurusan, menjadikan jumlahnya RM8,004.

Katanya, ketika menerima cek itu, beliau hanya melihat angkanya kerana yakin jika angka salah, perkataannya juga salah, namun amaun yang tertera RM804 saja.

“Selama kira-kira tiga tahun bekerja di syarikat berkenaan, saya menerima gaji melalui cek dan tiada masalah seperti ini, malah cek bertarikh 29 Januari 2011 itu juga ditandatangani pengurus dan penolong pengurus,” katanya, ketika ditemui, di sini. Menurutnya, ketika menerima cek itu, dia meminta diberi cek tunai kerana memerlukan duit secepat mungkin, namun pihak pengurusan tetap memberikannya cek.

Katanya, dia kemudian meminta suaminya, Mohd Aznin Ishak, 39, memasukkan cek itu ke akaunnya.

Namun, katanya, sebulan selepas itu pada 11 Mac lalu, pihak pengurusan mendakwa bank tersalah mendepositkan RM8,004 ke akaunnya dan memintanya mengembalikan wang berkenaan.

“Saya memang terkejut kerana tidak mengetahui jumlah itu ada di dalam akaun simpanan memandangkan semua urusan suami yang lakukan.

“Bagaimanapun, suami mengetahui jumlah itu dan menyangkanya wang sagu hati dariapda syarikat.
“Beberapa hari kemudian, saya berbincang dengan pengurus dan bersetuju memulangkan wang itu melalui potongan gaji setiap bulan, namun ketua kerani membuat laporan polis mendakwa saya tidak amanah dan memakan duit syarikat,” katanya.

Norzailin tidak puas hati kerana dipaksa menulis sepucuk surat menyatakan beliau memohon maaf termakan duit syarikat, sedangkan itu bukan kesalahannya.

“Bila mereka suruh saya tulis surat, ini menunjukkan saya bersalah dan mereka senang-senang boleh berhentikan saya,” katanya yang kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Kerajaan Syria letak jawatan


DAMSYIK: Kerajaan Syria yang berdepan dengan kekacauan politik sejak dua minggu lalu meletakkan jawatan semalam dan kerajaan baru akan dibentuk dalam masa 24 jam.
Dengan Presiden Bashar al-Assad berdepan dengan krisis paling buruk sejak menggantikan bapanya yang meninggal dunia pada 2000, puluhan ribu warga Syria berhimpun di pusat bandar raya Damsyik untuk menunjukkan sokongan kepada pemimpin itu, semalam.

Seorang pegawai kanan yang enggan dikenali berkata, kerajaan akan mengemukakan perletakan jawatannya hari ini (semalam) dan Kabinet baru akan dibentuk dalam masa 24 jam.

Kerajaan yang ada sekarang dibentuk oleh Perdana Menteri, Mohammed Naji Otri pada 2003. Kali terakhir ia dirombak ialah pada April 2009.

Syria dicengkam gelombang tunjuk perasaan yang semakin ganas sejak pertengahan Mac, meletakkan tekanan yang tidak pernah berlaku pada Bashar.

Penunjuk perasaan menuntut kebebasan bersuara dan pembaharuan.

Tunjuk perasaan menuntut perubahan kebanyakannya tertumpu di Daraa, wilayah selatan negara itu dan Latakia, bandar pelabuhan di utara.

Aktivis berkata, lebih 130 orang terbunuh dan ramai lagi cedera dalam pertempuran antara pasukan keselamatan dengan penunjuk perasaan.
Sementara itu, semua jalan menuju ke Dataran Bahrat di Damsyik dikawal ketat ketika penduduk Syria, termasuk kanak-kanak berhimpun sambil mengibarkan bendera dan menjulang gambar Bashar dan bapanya, Hafez al-Assad.

“Kami berada di sini untuk menunjukkan hasrat sebenar rakyat Syria dan untuk melindungi dan menyokong Bashar al-Assad, kata seorang wanita muda, Raghad. - AFP

Ustaz bertemu jodoh saudara baru ketika berdakwah


KUCHING: “Saya tidak sangka bertemu jodoh dengan saudara baru ketika bertugas, malah perkenalan dengan isteri ketika mengajar di Lundu menjadi titik mula ‘percintaan’ kami hingga ke alam rumah tangga,” kata Abd Hadi Abd Halim, 25.
Dia yang bekerja sebagai Penyelia Kawasan Saudara Baru berkata, keadaan yang berlaku di luar perancangan kerana isterinya memeluk Islam hanya selepas tiga hari menyertai sesi penerangan mengenai agama baru.

Menurutnya, semuanya bermula sejak dua bulan lalu selepas ditugaskan ke Kampung Pasir Ulu, untuk berdakwah mengenai Islam di kawasan itu dan bertemu saudara baru di sana.

“Ketika itu, saya bersama beberapa pegawai beramah mesra dengan penduduk di kampung itu dan seorang daripada mereka adalah isteri saya yang tertarik memeluk Islam selepas mendengar taklimat guru agama.

“Kami kemudian mengambil keputusan mendirikan rumah tangga dan tinggal bersama dan dia kini bukan saja isteri, malah ‘pelajar’ saya di kelas agama,” katanya ketika ditemui pada majlis Seminar Pengukuhan Jati Diri Saudara Baru, di sini.

Bagi isterinya, Qistina Jaboh, 21, tiada yang lebih menggembirakannya dalam hidup selepas memeluk Islam dan berkahwin dengan seorang yang digelarnya ustaz sebelum ini.

“Sejak bergelar isteri, saya mengambil keputusan berhenti kerja sebagai pembantu sebuah kafe dan mahu memberi tumpuan sepenuhnya kepada rumah tangga dan belajar mengenai Islam dengan lebih mendalam,” katanya.

Kos selenggara 2 kapal selam RM50 juta setahun





2011/03/30

KUALA LUMPUR: Kos penyelenggaraan dua kapal selam negara, iaitu KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Abdul Razak, yang dikendalikan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia dianggarkan RM50 juta setahun, kata Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad. 

Katanya kos itu meliputi perkhidmatan sokongan serta logistik kedua-dua kapal selam jenis Scorpene itu dan tidak melibatkan kos alat ganti.
Menjawab soalan Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini, beliau berkata kontrak penyelenggaraan kedua-dua aset strategik negara itu, telah dianugerahkan dan dilaksanakan oleh syarikat usaha sama tempatan dengan pembuat Scorpene iaitu Boustead DCNS Naval Corporation Sdn Bhd.
Abdul Latiff berkata kontrak antara kerajaan dan syarikat penyelenggaraan itu meliputi perjanjian selama enam tahun. 

"Penyelenggaraan (setiap satu kapal selam) bernilai RM25 juta setahun itu untuk pastikan kita (negara) sebagai pengguna aset itu boleh menggunakan aset itu pada bila-bila masa. 

"Kalau ia tidak boleh memenuhi hasrat TLDM, kita boleh denda (syarikat itu) mengikut perjanjian yang dimeterai," katanya. 

Malaysia menempah dua kapal selam baru jenis Scorpene dengan kos pembelian berjumlah RM3.4 bilion pada 2002 yang dibina secara bersama oleh DCNS dari Perancis dan Navantia, syarikat pembuat kapal selam dari Sepanyol. 
KD Tunku Abdul Rahman tiba di perairan Malaysia pada September 2009 dari Perancis manakala kapal selam kedua negara, KD Tun Razak tiba di pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia di Teluk Sepanggar, Sabah pada Julai, 2010. 

Kepada soalan wakil yang sama, Abdul Latiff berkata kerosakan teknikal pada KD Tunku Abdul Rahman seperti yang dilaporkan sebelum ini telah berjaya diatasi dengan ujian selaman yang berjaya dilaksanakan pada 22 Febuari tahun lalu. 

Sebelum ini dilaporkan kerosakan mekanikal dikesan pada 17 Januari tahun lalu ketika kerja penyelenggaraan dilakukan di Pangkalan TLDM di Teluk Sepanggar. 

Abdul Latiff mengingatkan semua pihak agar tidak mendedahkan keburukan serta kelemahan aset pertahanan negara kepada anasir luar seperti yang sering kali dilakukan oleh pembangkang sebelum ini. 

"Masalah teknikal yang dihadapi oleh kapal selam adalah masalah biasa yang boleh dialami oleh mana-mana kapal selam dunia. Saya kira dalam hal ketenteraan dan keselamatan negara kita patut berkongsi rahsia, jangan mendedahkan kelemahan sistem pertahanan negara ke luar (negara)," katanya. 

Beliau berkata pencapaian paling membanggakan dalam operasi kapal selam berkenaan ialah apabila KD Tunku Abdul Rahman membuat penembakan misil SM 39 pada Julai lepas di kedalaman 55 meter dan telah mengenai sasaran yang berada sejauh 40 kilometer. 

"Kejayaan itu dapat meningkatkan semangat juang yang lebih tinggi kepada krew kapal walau pembangkang mengatakan kedua-duanya (kapal) bermasalah," katanya. 

Abdul Latiff juga berkata Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin berpuas hati selepas menaiki KD Tunku Abdul Rahman dan menyelam pada kedalaman maksimum operasi di Laut China Selatan baru-baru ini. - BERNAMA 

Pemerintah Syria letak jawatan, kabinet baru akan dibentuk



DAMSYIK: Pemerintah Syria meletak jawatan semalam dengan Kabinet baru dijangka dibentuk dalam tempoh 24 jam.
Peletakan jawatan itu telah diterima oleh Presiden Bashar al-Assad, lapor saluran televisyen setempat.Pemerintah pimpinan Perdana Menteri Mohammed Naji Otri itu sebelum ini dibentuk pada 2003 dan kali terakhir rombakan diadakan ialah pada April 2009.Perkembangan terbaru itu berlaku selang sehari pihak berkuasa Syria melepaskan tembakan bagi menyuraikan ratusan penunjuk perasaan di bandar Deraa.Sekurang-kurangnya 61 terkorban sejak protes menentang pemerintah di bahagian selatan bandar Deraa berlarutan selama 10 hari.Sebelum ini pemerintah mengumumkan, dalam beberapa hari mendatang, Encik Assad dijadualkan membubarkan undang-undang darurat yang telah berkuat kuasa sejak 1963.Beliau juga dijadualkan mengumumkan beberapa pembaharuan politik.Sementara itu, ribuan yang menyokong Encik Assad, yang dilantik sebagai Presiden pada 2000, telah berhimpun di tengah Damsyik semalam.'Rakyat mahukan Bashar al-Assad,' laung mereka.Salah seorang daripada penyokong itu, Cik Raghad, yang menghadiri rapat itu bersama saudara perempuannya, berkata:'Kami berada di sini bagi menunjukkan kemahuan sebenar rakyat Syria, iaitu me- lindungi dan menyokong presiden mereka. Semoga Tuhan melindungi beliau.'Seorang lagi penyokong, Encik Abu Khodr, berkata:'Rapat ini bertujuan menyekat rancangan memusnahkan perpaduan Syria. Bashar al-Assad merupakan tulang belakang Syria. Tanpa beliau, negara kita akan huru-hara.'Sementara itu, seorang pengamat politik Timur Tengah, Encik Faysal Itani, berkata langkah membubarkan perintah darurat merupakan satu tindakan simbolik.'Walaupun ia dilaksanakan... ia tidak akan menangani isu utama iaitu hakikat bahawa kuasa ekonomi dan politik berada dalam tangan golongan elit yang terpilih.'Apa yang patut dilakukan bagi menangani masalah sekarang ialah memperkenalkan rombakan menyeluruh berkaitan cara kuasa dibahagi-bahagikan,' katanya. -- AFP.

AP dakwa pemandu wanita berbahaya



KUALA LUMPUR: Sidang Dewan Rakyat kelmarin 'hangat' apabila Datuk Bung Moktar Radin, Ahli Parlimen (AP) Barisan Nasional (BN) bagi Kinabatangan, mendakwa pemanduan golongan wanita di Malaysia kebanyakannya amat berbahaya, sekali gus boleh mengundang kemalangan.
Beliau mendakwa, apabila kaum wanita memandu kereta, mereka tidak mempedulikan keadaan sekeliling dan ia menyebabkan pemandu lain terdedah kepada risiko kemalangan, lapor akhbar Utusan Malaysia semalam.Malah, katanya, pemandu wanita akan berasa marah selain ada yang sanggup mengeluarkan tangan menunjukkan pelbagai isyarat jika pemandu lain membunyikan hon.'Saya terpanggil membicarakan soal sebegini kerana pada saya kemalangan boleh berlaku disebabkan kecuaian orang lain. Maka kita di jalan raya tidak juga selamat daripada pemandu-pemandu yang cuai, terutama pemandu wanita.'Dia relaks, dia tidak peduli kiri kanan. Kita hon, dia marah, ada juga yang sanggup keluarkan tangan dan menunjukkan pelbagai isyarat,' katanya.Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang- Undang Perbekalan Tambahan (2010) 2011 di Dewan Rakyat kelmarin, lapor Utusan Malaysia.Kenyataan tersebut membangkitkan kemarahan Dr Siti Mariah Mahmud, AP Parti Islam SeMalaysia (PAS) bagi Kota Raja, yang serta-merta meminta Datuk Bung Moktar menarik balik kenyataannya.Datuk Bung Moktar, ketika mempertahankan kenyataannya, berkata beliau ikhlas menegur tetapi menegaskan perkara itu perlu diberi perhatian, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan pemandu yang baru lulus.Cik Nancy Syukri, AP Batang Sadong dari BN, ketika mencelah, berkata kecenderungan pemandu wanita yang baru lulus memandu secara perlahan adalah kerana mereka amat berhati-hati.

Gaji dan elaun ketua pegawai eksekutif Tabung Haji RM82,000 sebulan



KUALA LUMPUR 28 Mac - Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali hari ini memberitahu Dewan Rakyat bahawa gaji dan elaun yang diperolehi Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji adalah RM82,000 sebulan.
Beliau berkata, perkara itu dimaklumkan sendiri kepadanya oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom ekoran daripada soalannya ketika sesi perbahasan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong, Khamis lalu.
Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan mempunyai satu garis panduan supaya gaji yang dibayar kepada peneraju-peneraju syarikat milik kerajaan (GLC) sama ada ketua pegawai eksekutif atau pegawai-pegawai kanan adalah pada kadar yang munasabah dan bukannya dengan jumlah terlalu tinggi.
"Gaji Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri pun tidak setinggi seperti mana ketua pegawai eksekutif terbabit sedangkan tanggungjawab mereka lebih besar kerana terpaksa menguruskan sebuah negara.
"Berbanding dengan tanggungjawab seorang ketua pegawai eksekutif bagi sebuah GLC mereka hanya menguruskan sebuah syarikat. Tambahan pula mereka dibantu ramai kakitangan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2010) 2011 di Dewan Rakyat hari ini.
Ibrahim turut mempersoalkan kewajaran mereka mendapat imbuhan sebegitu besar walaupun hanya setakat menguruskan sebuah syarikat.
Beliau berkata, sebagai seorang ketua pegawai eksekutif sepatutnya mereka hanya berhak mendapat satu gaji serta satu elaun sahaja.
"Ini tidak, bila memegang jawatan ketua pegawai eksekutif sebagai contoh, di Tabung Haji, beliau juga akan menjadi pengerusi anak syarikat serta pengarah anak-anak syarikat yang lain.
"Beliau sepatutnya tidak layak menerima elaun tambahan tetapi cukup hanya satu gaji dan elaun sahaja," katanya.

Ladang 'setinggan' warga asing



Oleh Samadi Ahmad
bhnews@bharian.com.my
2011/03/30

RUMAH warga asing di Kampung Bukit Damar Sepang.
RUMAH warga asing di Kampung Bukit Damar Sepang.
Penduduk Kampung Bukit Damar, Bukit Baja bimbang terdedah risiko jenayah 

SEPANG: Lebih 1,000 penduduk Kampung Bukit Damar dan Orang Asli Bukit Baja dekat sini bimbang dengan kebanjiran warga asing yang semakin ramai tinggal di kampung itu sejak tujuh tahun lalu.
Jumlah mereka yang semakin bertambah secara mendadak hampir mencecah lebih 2,000 orang itu menyebabkan penduduk tempatan terdedah terhadap risiko jenayah yang dilakukan oleh mereka.
Warga asing itu daripada Indonesia, Nepal, Bangladesh, Vietnam, India dan China yang kebanyakan mereka bekerja sebagai pencuci bangunan dan buruh di tapak pembinaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Cyberjaya dan Putrajaya. 

Difahamkan, penempatan warga asing itu disewakan oleh pemilik ladang berkenaan kepada individu tertentu sejak tujuh tahun lalu berdasarkan lokasinya yang tersorok dan terlindung daripada pandangan luar. 

Lebih membimbangkan, kebanjiran warga asing itu menimbulkan rasa kurang selesa dari segi ketenteraman dan kedamaian selain sering dikaitkan dengan peningkatan kes jenayah seperti samun, judi dan mengotorkan kawasan kampung. 

Tinjauan Sentral mendapati warga asing itu tinggal dalam kontena dan rumah kongsi yang dibina pihak terbabit yang dilengkapi bekalan air dan elektrik. 
Lebih membimbangkan, kawasan ladang kelapa sawit itu kini menjadi 'setinggan' warga asing apabila mereka membina pondok kecil dan membuang sampah merata tempat berhampiran tempat tinggal mereka. 

Penduduk, Atoi Mohd, 26, berkata kedatangan warga asing beberapa tahun lalu di kampungnya makin menjadi-jadi kebelakangan ini. 

Atoi berkata, apa yang dikesalkan ialah kebanyakan mereka seolah-olah ingin terus bermastautin di kampung itu dan bilangan mereka semakin bertambah dari semasa ke semasa. 

Pekerja kontrak, Khairul Zamri, 30, pula memberitahu, beliau rimas dengan segelintir warga asing yang sering mengotorkan kawasan kampung itu dengan membuang sampah sesuka hati. 

Khairul berkata, penduduk tempatan juga bimbang mengenai tahap keselamatan mereka berikutan ada beberapa kes samun yang kerap berlaku kepada pemandu kereta dan penunggang motosikal yang melalui jalan kampung itu pada waktu malam. 

Kegelisahan berhubungan isu warga asing itu turut disuarakan oleh peniaga, Zainal Mat Ali, 54, yang menyifatkan penduduk setempat kini ibarat menumpang di tanah sendiri. 

“Hampir 80 peratus penduduk di kampung itu adalah warga asing, manakala bakinya Orang Asli. 

"Keadaan itu mencemarkan nama baik kampung tetapi dan menggugat keselamatan penduduk dan kami tidak berani menegur kerana mereka ramai," katanya. 

Perangkap maut



Oleh Mahani Ishak
bhjb@bharian.com.my
2011/03/30

 PENDUDUK menunjukkan takungan air dikeringkan pemilik tanah persendirian selepas sehari murid Tahun Enam  mati lemas.
PENDUDUK menunjukkan takungan air dikeringkan pemilik tanah persendirian selepas sehari murid Tahun Enam mati lemas.
Penduduk sekitar Kangkar Pulai gesa tingkat ciri keselamatan kolam terbiar 

JOHOR BAHRU: Selepas nyawa seorang murid Tahun Enam menjadi korban sebuah kolam terbiar di Kangkar Pulai, tuntutan kira-kira 1,000 penduduk sekitar situ yang mahu kolam yang menjadi 'perangkap maut' dekat rumah mereka dikeringkan, menjadi kenyataan.
Usaha mengeringkan kolam terbiar yang sering menjadi lokasi kanak-kanak untuk mandi-manda serta memancing, selain menjadi tempat lepak dan ponteng sekolah itu, dilakukan oleh pemiliknya.
Walaupun kolam itu dikeringkan, isu keselamatan di situ masih belum berakhir kerana penduduk mahu supaya pemilik kawasan terbabit memasang pagar atau menempatkan pengawal keselamatan bagi mengelak ia terus diceroboh, kerana masih ada beberapa kolam terbiar yang belum dikeringkan. 

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO cawangan Rumah Pangsa Bandar Baru Kangkar Pulai, Mohd Zaini Saimon, berkata tindakan mengeringkan air kolam terbabit perlu disusuli dengan pemasangan pagar. 

“Meskipun air sudah dikeringkan, keadaan di sini tetap bahaya kerana tanahnya jerlus. Kami masih bimbang jika ada kanak-kanak tertarik untuk mencari ikan pula di kawasan berlumpur tebal di sini kerana boleh menjadi perangkap maut. 

“Kawasan ini pernah menjadi lombong pasir tetapi sudah dihentikan operasi sejak beberapa tahun lalu, menyebabkan lebih 10 kolam terbentuk di kawasan ini dan kini terbiar,” katanya. 
Dalam kejadian Ahad lalu, seorang murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Kangkar Pulai ditemui mati lemas selepas terjatuh ke dalam kolam terbabit ketika mandi bersama beberapa rakan di situ. 

Mayat mangsa, Mohd Farriz Saparman, 12, dari Taman Pulai Bestari, di sini ditemui pasukan Bomba dan Penyelamat kira-kira jam 5.55 petang Ahad. 

Mangsa dipercayai lemas selepas terjatuh ke dalam kolam itu pada tengah hari Sabtu selepas keluar bermain basikal bersama dua rakannya. 

Dua rakan sebayanya yang ketakutan selepas melihat Mohd Farriz lemas, dipercayai bertindak menyembunyikan kejadian itu sehingga keluarga mangsa mula mencari sebelum menemui basikalnya tidak jauh dari kolam yang terletak kira-kira dua kilometer dari rumahnya. 

Operator pengeluaran yang juga pemancing, Mohd Shahril Buang, 47, berkata kolam terbiar di situ sering menjadi tumpuan kanak-kanak bermain air serta menarik kehadiran kaki pancing kerana banyak ikan talapia yang membiak di situ. 

“Saya dan rakan selalu ke sini untuk memancing sejak beberapa tahun lalu kerana kawasan ini banyak ikan. Kawasan ini juga sering menjadi tempat pelajar ponteng sekolah dan sebahagian mereka turut mandi dan mengambil risiko berenang hingga ke tengah kolam,” katanya. 

Ahli Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPBJT), Fakhrul Anwar Ramli, berkata beliau akan mengemukakan isu kolam terbiar di kawasan itu kepada Yang Dipertua MPBJT bagi mengambil tindakan segera. 

“Selepas meninjau kawasan ini, langkah segera patut diambil termasuk mengarahkan pemilik memasang pagar tinggi dan meletakkan notis amaran bahaya supaya kejadian lemas tidak berulang. 

“Pada masa sama, kita minta ibu bapa menjaga keselamatan anak masing-masing supaya mereka tidak dibiarkan bermain tanpa pengawasan orang dewasa kerana kawasan pasir jerlus ini mungkin mengundang lebih banyak bahaya,” katanya selepas menziarahi bapa mangsa, Saparman Sahali, 43, dan isterinya Sri Mahani Marwan, 34 di rumah mereka di Taman Pulai Bestari. 

Wanita tak lokek temu janji pertama





2011/03/30

LONDON: Lebih separuh daripada wanita di Britain mengeluarkan wang dari poket sendiri untuk membayar harga makanan sendiri ketika temujanji pertama, walaupun lelaki sedia membayarnya, menurut tinjauan, kelmarin. 

Tinjauan bank online First Direct dalam isu itu membabitkan 1,924 dewasa mendapati 58 peratus wanita menjangka bil dibayar secara berasingan pada temujanji pertama, manakala 29 peratus lelaki sependapat dengan cara itu.
Selain itu, 14 peratus wanita berpendapat, orang yang mencadangkan temu janji itu sepatutnya membayar bil.
Hanya suku wanita berpendapat lelaki sepatutnya membayar untuk temu janji pertama, sementara tiga peratus mengatakan mereka sendiri perlu membayarnya. 

Ini bermaksud, wanita berasakan mereka tidak sepatutnya terhutang budi terhadap lelaki, namun lelaki terbabit perlu membayar sendiri bahagian mereka. 

Responden lelaki sebaliknya percaya sifat bertimbang rasa masih wujud dengan 55 peratus sedia membayar bil sepenuhnya pada temu janji pertama dan membelanjakan purata £65 (RM315.45) pada temu janji pertama berbanding wanita yang mengeluarkan £50 (RM242.66). – Reuters 

Diplomat mak nyah sedia letak jawatan





2011/03/30

BANDAR RAYA PANAMA: Seorang diplomat Panama yang memakai gaun renda bersama sebiji pisang di dadanya umpama mak nyah ketika mengambil bahagian dalam karnival di Sepanyol menawar untuk meletak jawatan selepas perlakuannya mencetuskan kritikan. 

Italo Afu, konsul Panama di Pulau Canary Sepanyol kelmarin memohon berbanyak maaf.
“Tidak bolehkah beliau berpakaian seperti lanun atau kelasi malah Donald Duck,” kata Menteri Luar, Juan Carlos Varela. – AFP

Jackie Chan dilapor mati





2011/03/30

NEW DELHI: Aktor terkenal Hong Kong, Jackie Chan, menjadi mangsa terbaru penipuan kematian menerusi Twitter apabila dilaporkan meninggal dunia kerana serangan jantung. 

‘RIP Jackie Chan’ antara topik paling popular dalam perbualan menerusi Twitter dan Google, semalam.
Semuanya berpunca daripada laporan palsu yang difail menggunakan artikel Cable News Network (CNN) yang juga dipalsukan pemilik blog bernama Skiphopz sekali gus mencetus khabar angin kematian pelakon berusia 56 tahun itu.
Malah, ia juga menggunakan ulasan Presiden Barack Obama memberi penghormatan terakhir kepada aktor itu. 

“Jackie Chan berbakat besar dan mengingatkan kita mengenai kekuatan sifat kemanusiaan. Beliau akan kekal di hati kita, memberi inspirasi kepada generasi akan datang.” 

Artikel itu dibuat menggunakan perkhidmatan tanpa nama percuma secara online, membenarkan pengguna mencatat kod HTML code dan mencipta semula sebuah laman web tanpa identiti. 

Apapun, pelakon aksi terkenal itu nyata masih hidup dan bakal menemui peminat menerusi filem 1911 lewat tahun ini. – Agensi