Monday, January 18, 2016

Bekas pemimpin Umno dakwa ditawar sesuatu untuk tutup mulut


Bekas Ketua Wanita Umno Gopeng, Datuk Hamidah Osman mendakwa bahawa terdapat percubaan untuk menghalang beliau daripada bersuara, terutama kritikannya terhadap parti.
Bercakap sebagai panel Wacana Perdana Selamatkan Malaysia anjuran sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Ipoh, malam semalam, bekas ADUN Sungai Rapat tidak mendedahkan maklumat lanjut mengenai bentuk tawaran yang dibuat itu.
"Jika diberi pilihan antara pemimpin dan parti, saya akan pilih parti, tetapi jika antara parti dan negara, saya lebih utamakan kepentingan negara dari parti.
"Apa yang terjadi (pemecatan dalam Umno) saya reda dan saya sanggup ketepikan kepentingan diri kerana bimbang apa yang berlaku hari ini dan apa yang akan berlaku pada masa akan datang," kata Hamidah yang dipetik akhbar Sinar Harian.
Forum Wacana Perdana Selamatkan Malaysia itu diadakan di sebuah hotel di Ipoh dan antara yang menjadi panel adalah Naib Presiden PAS Idris Ahmad.
Pada 24 November tahun lalu, perdana menteri dan presiden Umno Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pemecatan Hamidah daripada parti berikutan gesaan terbukanya supaya Najib meletakkan jawatan.
Sejak itu, Hamidah beberapa kali berkongsi pentas yang sama khususnya bersama pengkritik Najib termasuk pembidasnya yang paling lantang, iaitu Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pemimpin pembangkang Britain jemput Trump lawat masjid

DUNIA ISNIN, 18 JANUARI 2016 @ 11:39 AM




PEMIMPIN pembangkang Britain, Jeremy Corbyn. - Foto REUTERS

 LONDON: Pemimpin pembangkang Britain, Jeremy Corbyn, ingin menjemput calon presiden Republikan, Donald Trump untuk mengunjungi masjid di London berikutan kecaman hartawan Amerika Syarikat itu terhadap umat Islam. Pemimpin Parti Buruh itu membuat kenyataan berkenaan sehari sebelum Parlimen Britain berbahas sama ada Trump perlu dihalang memasuki United Kingdom. "Saya memutuskan untuk menjemput Donald Trump ke Britain untuk melawat masjid di kawasan Parlimen saya kerana beliau ada masalah dengan penduduk Mexico dan umat Islam. "Seperti yang diketahui, isteri saya berketurunan Mexico dan kawasan Parlimen saya dihuni penduduk pelbagai budaya. "Jadi, apa yang saya hendak lakukan adalah pergi ke masjid dengan beliau dan biarkan beliau bercakap dengan penduduk di situ," kata Corbyn dalam program bersama Andrew Marr terbitan Perbadanan Penyiaran Britain (BBC). Trump berkata, beliau akan membatalkan perjanjian pelaburan bernilai AS$997 juta (RM4.3 bilion) di Scotland jika dilarang memasuki Britain. - AGENSI

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/115553

Ahli politik India lebih takut dibaling telur

ISNIN, 18 JANUARI 2016 @ 12:37 PM

NEW DELHI: Serangan telur kini dianggap lebih bahaya dan menakutkan ahli politik di negeri Odisha berbanding kemarahan pengundi atau soalan media.

 Serangan telur terhadap tiga menteri di negeri Odisha minggu ini oleh pekerja Kongres menimbulkan kemarahan parti pemerintah negeri itu, Biju Janata Dal.

Pemimpin tertinggi parti berkenaan mula merahsiakan program lawatan mereka, menukar atau membatalkan ia pada saat akhir untuk mengelak menjadi mangsa.

Kejadian bermula awal bulan ini apabila sebahagian pelajar dan sayap belia Kongres membaling telur ke arah kereta dinaiki Menteri Makanan dan Kebajikan Pengguna, Sanjay Das Burma, di Puri bagi membantah dakwaan penyelewengan pengagihan kad catuan makanan.

 Sejak itu, telur menjadi simbol rasa tidak puas hati dengan serangan sama dilancarkan terhadap kenderaan Menteri Undang-Undang, Arun Sahu dan Menteri Kesihatan, Atanu Sabyasachi Nayak.

 Polis yang berada dalam tekanan hebat untuk menghalang serangan seumpama itu, menangkap beberapa penyerang menurut seksyen yang tidak boleh diikat jamin, termasuk cubaan membunuh. - Agensi


SEBAHAGIAN pelajar dan sayap belia Kongres membaling telur ke arah kereta dinaiki Menteri Makanan dan Kebajikan Pengguna, Sanjay Das Burma, di Puri, New Delhi awal bulan ini. - Foto ihsan http://odishatv.in/  
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/115576

Sup Ketam Nipah Dipercayai Jadi Penawar Denggi


Diterbitkan: Isnin, 18 Januari 2016 9:06 AM
Tukang masak di Restoran Makanan Laut Aqua 8, Mohd Sabri Ahmad, 37, mengakui sup ketam Nipah adalah hidangan paling laris pada masa kini kerana ia dipercayai dapat membantu menyembuhkan pesakit denggi dengan cepat. -fotoTHESTAR/ZabidiTusin

KUALA TERENGGANU: Dalam kes demam denggi, ada yang percaya bahawa sup ketam dapat membantu!

Menurut seorang pemilik restoran, Siti Mastura Ali, permintaan sup ketam Nipah di restorannya telah meningkat berikutan wabak denggi di negeri ini.

Katanya hidangan itu tidak disediakan  bertujuan menjadi ubat tradisional kepada penyakit denggi tetapi dengan tidak semena-mena, pelanggannya mendapati mereka cepat sembuh selepas mencuba sup itu.

"Saya mula perasan apabila pelanggan memesan sup untuk dibawa pulang.

"Kemudian saya mendapat tahu mereka telah membawanya untuk diberikan kepada ahli keluarga mereka yang dimasukkan ke hospital berdekatan (Hospital Sultanah Nur Zahirah)," katanya.

Permintaan untuk supnya yang kini digelar 'sup denggi' telah meningkat dua kali ganda, malah ada satu tahap di mana restoran itu kadangkala tidak dapat menampung permintaannya.

"Susah nak cari ketam Nipah dan ia perlu ditangkap hidup-hidup dan dibeli segar setiap hari.

"Kalau dibekukan, ia cepat reput," katanya kepada The Star ketika ditemui di Restoran Makanan Laut Aqua 8 di Kampung Panji Alam, salah sebuah kawasan panas denggi di sini.

Menurut Jabatan Kesihatan Negeri, Panji Alam adalah salah satu kawasan wabak denggi yang paling teruk terjejas, dengan dua daripada tiga kematian di negeri ini datang dari kampung ini.

Pengamal perubatan alternatif Norhayati Ismail, 36, berkata memilih untuk tidak menghantar anaknya ke klinik dan telah merawat anaknya yang berusia sembilan tahun dengan ubat homeopati apabila dia dijangkiti denggi minggu lepas.

Katanya, keadaan anaknya itu bertambah baik dalam masa dua hari selepas dia telah diberi makan sebatian yang diperbuat daripada daun betik, spirulina dan sup ketam.

"Jika dia masih belum pulih, sudah tentu saya akan membawanya ke hospital," katanya ketika ditemui di Rumah Sihat, juga terletak di kampung itu.

Norhayati berkata tidak ramai jiran bertanyakan tentang rawatan alternatif itu daripadanya, kerana kebanyakan terus pergi ke hospital selepas kawasan itu diisytiharkan sebagai kawasan wabak.

Ditanya mengenai keberkesanan perubatan alternatif, Pengarah Jabatan Kesihatan negeri Dr Mohammad Omar menyebutnya sebagai satu bentuk makanan tambahan, bukan pengganti untuk mendapatkan rawatan yang sewajarnya.

"Ya, terdapat kajian yang mencadangkan beberapa perkara seperti daun betik yang boleh membantu tetapi ia adalah satu perkara kecil. Jika anda sakit, pergilah ke hospital," nasihat beliau.

SRC: Peguam Negara kembalikan kertas siasatan

18 JANUARI 2016

Mohamed Apandi Ali

PUTRAJAYA - Pejabat Peguam Negara hari ini mengembalikan dua kertas siasatan berkaitan dua kes SRC International dan satu kertas siasatan berkaitan kes  melibatkan dana RM2.6 bilion kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk mendapatkan penjelasan.
Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dalam satu kenyataan hari ini berkata pejabatnya telah meneliti dan mengkaji kertas-kertas tersebut yang telah dikemukakan SPRM pada 31 Disember tahun lepas.
"Setelah meneliti keseluruhan keterangan di dalam kertas-kertas siasatan itu, pejabat ini hari ini mengembalikan kertas-kertas siasatan tersebut untuk mendapatkan penjelasan daripada SPRM mengenai beberapa cadangan dan tindakan yang disyorkannya," katanya.
Beliau berkata pejabatnya mengarahkan agar kertas-kertas siasatan itu dikembalikan dalam masa terdekat.
SRC International ialah anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012. - Bernama

Anak resah cari wali bapa untuk bernikah

Melaka: Seorang bakal pengantin amat berharap menemui semula bapanya dalam tempoh dua bulan sebelum majlis pernikahan yang dijadualkan pada 26 Mac depan.
Siti Fairus Mohd Ali Napiah, 25, berkata, dia dan bakal suami Muhammad Nur Iman Mahmud, 23, berharap bapanya Mohd Ali Napiah, 50-an ditemui sekali gus menjadi wali perkahwinannya nanti.
Gadis itu berkata, sejak Disember lalu dia bersama abang angkatnya dan Muhammad Nur Iman berusaha mengesan Mohd Ali berdasarkan maklumat diperoleh termasuk ke alamat terakhir lelaki itu di Jalan Teo Joo, Triang, Pahang, namun tidak berhasil.
“Ketika berusia dua hari ibu saya Letchmmy Laila Abdullah, ketika itu berusia 19 tahun menyerahkan saya kepada keluarga angkat, sejak itu ibu dan bapa kandung tidak pernah datang menjenguk saya.
“Saya berharap menemui semula bapa kandung, bukan saja untuk menyaksikan pernikahan, tetapi paling penting menjadi wali majlis itu nanti,” katanya.
Katanya, dia dibesarkan ibu angkat Habibah Aji, 59 dan majlis pernikahannya bersama Muhammad Nur Iman, dijadualkan berlangsung di rumah keluarga angkat di Batu 9 Bertam Ulu, di sini.
Menurutnya, dia dan bakal suami resah jika gagal menemui Mohd Ali, dalam tempoh dua bulan akan datang berikutan tarikh pernikahannya semakin hampir.
“Saya minta kerjasama orang ramai yang mengenali atau tahu alamat bapa kandung supaya memaklumkannya kepada kami dengan menghubungi talian 012-9202830 atau 019-7346645,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 January 2016 @ 5:33 AM


Siti Fairus menunjukkan salinan sijil kelahirannya.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/108157#sthash.gKoFo99D.dpuf

Kanak-kanak tidak lapar, mengantuk atau rasa sakit



OLIVIA tidak lapar, mengantuk atau berasa sakit akibat sindrom ketiadaan kromosom nombor 6. - AGENSI


HUDDERSFIELD, Britain – Seorang kanak-kanak di sini didapati tidak makan, tidur dan merasai kesakitan sehingga doktor menggelarnya sebagai budak perempuan bionik.
Olivia Farnsworth, 7, sebelum ini membuatkan doktor-doktor keliru ekoran dia pernah dilanggar dan diseret oleh sebuah kereta di jalan raya tetapi dia bangkit kembali dan berjalan seperti biasa tanpa menangis.
Beberapa ujian perubatan kemudian mengesahkan bahawa Olivia yang pernah tidak tidur selama tiga hingga empat malam, mengalami sindrom kehilangan kromosom nombor 6 . Dia dipercayai orang pertama di dunia yang mengalami tiga simptom tersebut iaitu tidak lapar, mengantuk atau merasai kesakitan.
Ibunya, Niki Trepak, 32, menyatakan, keadaan pelik itu menyebabkan Olivia tidak memiliki perasaan cemas atau takut dalam dirinya.
“Dia berlari-lari di luar rumah dan diseret oleh kereta tetapi dia tidak mengadu kesakitan,” ujar Niki.
Niki menambah, keganjilan dalam diri anaknya itu bermula ketika dia berusia seawal beberapa bulan selepas dilahirkan. Penyakit itu juga menyebabkan Olivia menjadi terlalu cerewet dalam memilih makanan dan tidak membesar secara normal. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0118&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3xYAwLJ1I 
Hakcipta terpelihara