|
Haron Din |
MARANG - Mursyidul Am Pas baharu, Datuk Dr Haron Din turut berkongsi pengalaman dan kisah kehidupannya pada sesi ‘Chat With Me’ Sembang Santai Bersama Pemuda sempena program Ijtima Perpaduan Ummah kali ke-3 di Rusila di sini.
Haron berkata, beliau adalah seorang insan terdidik dengan kerja berat sejak di bangku sekolah apabila beliau mengayuh basikal berulang alik dari rumah ke sekolah arab yang jauhnya kira-kira 20 kilometer.
“(Itu) rutin sewaktu kecil. Selalu berulang alik mengayuh basikal dan menjadikan saya seorang sukakan cabaran.
“Pada 1961 saya dan seorang kawan berpakat untuk pusing Malaya (Malaysia) mengembara ke seluruh tanah air dengan basikal,” katanya bekas pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu.
Beliau berkata, mereka berdua kemudiannya bertolak dari Perlis dengan basikal itu dan hanya berbekalkan RM50, namun dalam perjalanan, ketika sampai di Kuala Lumpur, sahabatnya itu mengalami demam panas.
Menurut beliau, mereka kemudiannya ke hospital untuk mendapatkan rawatan dengan duit yang ada, akhirnya sahabatnya itu sembuh dan mereka nekad untuk balik semula ke Perlis.
“Sampai di Perlis (ketika itu) pada waktu tengah hari, ramai orang memenuhi rumah saya. Sebaik sahaja sampai sebuah keranda besar diusung keluar. Saya terduduk kerana memikirkan ayah ataupun ibu saya mungkin meninggal.
“Saya meninjau orang ramai dan melihat ayah dan ibu. Ketika itu barulah saya tahu, bahawa yang meninggal itu adalah seorang lelaki yang tinggal di hujung sawah dan kebaikan hati ayah yang mahu menguruskan jenazah arwah di rumah kami sendiri. Itulah antara pengalaman saya yang dirasakan mencabar,” katanya.
Beliau berkata, bagaimanapun zaman kian berubah begitu pantas kerana pada zaman beliau dahulu, cabaran hampir tiada kerana budaya luar tidak dapat masuk ke Tanah Melayu.
“Yang ada hanyalah permainan melalaikan untuk memenuhi masa lapang dan tidak memberi erti kepada masyarakat.
“Tapi kini, cabaran yang ada menghambat kita hingga ke tempat tidur. Semua yang ada menyediakan hiburan dan keseluruhan daripada pengaruh ini membuat kita menyimpang dari Islam sebenar.
“Kesemua ini adalah cabaran yang memerlukan ketahanan, bukan sahaja orang muda, bahkan ketahanan dari seluruh masyarakat untuk kembali kepada Islam dari sumber asli dan penaksirannya yang dapat dipertanggungjawabkan sebagai sahih,” katanya.
Turut menjadi ahli panel pada pada program ‘Chat With Me’ Sembang Santai Bersama Pemuda ialah Pengerusi Jawatankuasa Induk Ijtima Perpaduan Ummah Kali Ke-3, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ustaz Azhar Idrus atau UAI.
Tuan Ibrahim yang juga Naib Presiden Pas itu turut berpesan kepada ribuan golongan muda yang hadir pada program santai itu agar jangan merosakkan diari hidup sendiri kerana mereka sendiri juga yang akan menyesal di kemudian hari.
“Gunakanlah waktu muda itu untuk melakukan sesuatu yang bermanfaat kerana kita tidak mungkin dapat mengembalikan waktu muda kita. Kesilapan di usia mudalah yang terkadang menimbulkan penyesalan di usia tua,” katanya.